Isnin, 6 Julai 2009

Ulama perlu bantu atasi HIV

KOTA BHARU 5 Julai - Golongan ulama boleh membantu mengurangkan masalah jangkitan HIV/ Aids yang semakin menular di negara ini, kata Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Zaman Khan (gambar).


Zaman Khan berkata, ketika mereka menyampaikan ceramah melalui kaedah Islam di masjid selepas waktu solat berhubung masalah itu, ia mampu dihayati dengan baik oleh masyarakat pelbagai peringkat usia berbanding ceramah dan kempen yang dibuat pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).


"Kebanyakan ceramah atau apa- apa kempen terutama berkenaan HIV/AIDS yang dibuat oleh pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) lebih formal dan gagal menarik masyarakat untuk mendengar apa yang disampaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Memperingati Aids Sedunia 2009 di sini.


Beliau berkata, sehingga kini telah ada beberapa imam memberi tindak balas positif terhadap saranan beliau itu supaya mereka turut membantu bagi menghebahkan masalah sosial itu.
"Ulama tidak hanya akan bercakap mengenai hukum agama semata-mata tetapi turut menyelitkan isu semasa supaya mereka yang bertandang ke masjid secara tidak langsung mendapat maklumat terkini berkaitan masalah masalah HIV dan Aids sememangnya meningkat dari ke hari ke hari dengan penglibatan ramai golongan anak muda Melayu.



"Justeru itu dengan pendekatan baru yang dibawa ulama ini meskipun tidak secara keseluruhannya diharap menjadi satu titik permulaan dalam membantu mengurangkan masalah terbabit secara berperingkat-peringkat," katanya. - BERNAMA


Komen Saya:


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Terpanggil hati ini untuk mengulas tajuk berita diatas. Dalam kita menjalani segala cabaran dalam kehidupan ini jarang sekali kita mengaitkan setiap permasalahan kita kepada Allah yang sememangnya Maha Pentadbir, Pentadbir alam ini dan Pentadbir seluruh umat manusia.Sayangnya Allah hanya kita ingati dalam masa-masa tertentu sahaja kalau tidakpun ketika membuat ibadat khusus.


Walaubagaimanapun syabas dari saya kepada Datuk Zaman Khan kerana memberi satu pandangan yang bernas lagi jitu dalam menangani masalah HIV/AIDS ini. Setiap permasalahan yang datang sepatutnya terus dirujuk kepada Islam dahulu. Islam adalah cara hidup kita yang lengkap dan sempurna. Islam adalah penyelesaian kepada setiap permasalahan hidup.


Hinanya hidup kita di dunia ini adalah kerana kita membelakangkan Allah dan Islam agamanya yang tercinta. Menggunakan kaedah lain selain Islam sebenarnya mengundang kegagalan. Disinilah pentingnya peranan Ulamak selaku pewaris nabi untuk lebih berperanan turun ditengah-tengah masyarakat . Ulamak hendaklah menjadi contoh dan “Role Model” kepada masyarakat. Ulamak hendaklah turun dan menunjukkan secara realitinya bagaimana cara hidup Islam yang sebenarnya.



Majlis penyampaian ilmu semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah masyarakat. Masyarakat dahagakan cara , kaedah dan bagaimana ajaran Islam yang mulia ini dipraktikkan dalam kehidupan sebenar. Masyarakat hari ini mengidam mahukan Islam yang dilaksanakan.
Bangkitlah Wahai Ulamak dan seluruh ahli agama!. Masyarakat amat memerlukan anda semua. Semoga Allah memimpin kita semua ,memberikan hidayah dan taufiknya dalam menyelesaikan masalah masyarakat ini dan memberi kita semua kekuatan untuk mengamalkan Islam dalam setiap kehidupan seharian kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin