Jumaat, 31 Julai 2009

Tidak Ada Milik Manusia


TIDAK ada milik manusia
Pijaklah bumi, di mana sahaja,
bumi kepunyaan Tuhan
Dongaklah ke langit,
lihatlah bulan dan bintang-bintangnya,
semuanya ciptaan Tuhan
Hiruplah udara di waktu bila pun,
udara kepunyaan Tuhan
Dengarlah apa sahaja, lihatlah kecantikan alam,
semuanya Tuhan punya
Makanlah apa sahaja yang lazat, yang masam,
yang manis nikmat dari Khaliqul Arzaq
Lihatlah diri sendiri
Adakalanya kita hairan diri sendiri
kerana kebolehannya
Bukankah diri dan kemampuannya ciptaan Tuhan?
Lebih-lebih lagi jika seseorang itu dirinya cantik
Dia terpesona dengan kecantikannya
Apakah diri sendiri memberikannya kecantikan itu?
Sudah tentu Tuhan yang Maha Berkuasa
menganugerahkannya
Duduklah di dalam rumah besar atau istana namanya
Bahan-bahan rumah itu siapa yang punya?!
Pembangun rumah itu
siapakah yang memberi ilmu senibina itu?
Hingga mampu membina rumah
yang indah tersergam gagah
Bukankah ilmu Tuhan yang diberikan
sedikit kepadanya?
Isteri yang cantik, barang ciptaan Tuhan
Suami yang tampan anugerah-Nya juga
Bahkan apa sahaja yang kita lihat, dengar,
rasa, sentuh, makan, minum
Semuanya milik Tuhan Rabbul ‘alamin
Oleh itu mana milik kita?
Tidak ada milik kita!
Mengapa tidak bersyukur kepada-Nya?!
Patutnya kita tersungkur sujud kepada-Nya
Merendah dan menghina diri kepada-Nya
tanda bersyukur kepada-Nya


Minda Guruku

Selamilah Kata-Kata Ini......


Foto Oleh: NinaCG


Bahawa seorang Nabi mengeluh kepada Allah bahawa
dia telah menderita lapar, serangan tuma dan
kekurangan pakaian selama bertahun-tahun dan
pakaiannya hanyalah jubah bulu yang kasar dan Allah
mewahyukan kepadanya:
‘Wahai hamba-Ku, belumkah engkau senang hati
bahawa hatimu telah Aku lindungi dari sikap kafir
terhadap-Ku hingga engkau minta pula diberi keduniaan?”






Petikan dari Karya Mujaddid

Beginikah Sikap Kita???




1. Bila kita menerima nasib buruk, kita akan redha sebab kita yakin Allah yang mentakdirkannya
dan Allah cukup adil, pengasih dan setiap takdir-Nya adalah membawa kebaikan dan bukan untuk menganiaya dan menyeksakan kita. Lagi pun nasib buruk itu hanya satu manakala nikmat-nikmat lain pula
tidak terhitung banyaknya.



2. Bila datang ujian kita akan sabar. Allah menguji
kita atas dua maksud:

a. Untuk menghapuskan dosa. Kita memang
berdosa sama ada disedari atau tidak. Jadi
patutlah diuji untuk ingatkan kita bahwa
kejahatan itu jangan dibuat lagi. Balasan di
dunia pun rasanya tidak tahan apalagi balasan
Neraka. Bagaimanapun kita terimalah balasan
(ujian Allah itu) dengan tenang sambil mengharapkan
ujian itu akan berakhir dan dosa
kita terampun dan kita akan tenang semula.

b. Untuk meninggikan darjat kita. Kita cukup
suka kalau dapat naik pangkat. Jadi kalau ada
ujian-ujiian Allah yang bermaksud menguji
kesabaran kita supaya dinaikkan darjat kita
maka patutlah sangat kita terima, sabar dan
senang hati dengannya.

3.
Bila datang nikmat Allah sama ada lahir

atau batin, kita akan bersyukur. Kita akan
rasa keselesaan lahir kita dan ketenangan jiwa
kita semuanya pemberian Allah (kuasa Allah dan
nikmat daripada-Nya) .
Kita tidak akan dapat mengadakan sendiri tanpa
izin dan pertolongan Allah. Sebab itu kita sentiasa
rasa berterima kasih kepada Allah.
Perasaan itu menolong kita untuk ingat serta
cinta kepada Allah serta redha kepada kehendak-Nya
di samping membanyakkan ibadah-ibadah yang disukai-
Nya serta ingin mengorbankannya kepada Allah
sebagai tanda syukur kepada-Nya.

4.
Setiap kali selesai berusaha, berikhtiar

dan beribadah kepada Allah, kita akan
menyerahkannya kepada Allah sebagai hak
mutlak-Nya untuk ditentukan hasilnya baik atau buruk,
jaya atau gagal. Hatta diri kita ini berada dalam
tangan-Nya. Kita serah kepada-Nya dan baik sangka
kepada-Nya untuk diaturkan mengikut kehendak-Nya juga.

5.
Setiap kali kita buat dosa, kita akan takut
kepada Allah
. Hukuman Allah di dunia dan di Akhirat
pasti berjalan kepada sesiapa yang berdosa. Maka
hendaklah kita bertaubat (menyesal dan berjanji
tidak akan membuatnya lagi). Kemudian, harapkan
pula pengampunan Allah kerana Allah adalah Tuhan
yang Maha Pemaaf, Maha Sopan Santun dan Lemah-
Lembut.



6. Kita akan sentiasa beradab dan malu dengan
Allah
yakni sentiasa menunaikan kehendak-Nya
dengan penuh takut, rindu, harap dan cinta kepada-
Nya dan cukup malu untuk sombong kepada-Nya,
membelakangkan-Nya dan menjauhi-Nya. Ertinya kita
sentiasa tawadhuk dengan Allah, khusyuk, berhatihati,
bimbang dan cemas kalau-kalau tersilap dengan
Allah.

7.
Kita juga akan sentiasa merenung dan

menyesali diri, apakah kita sudah mendapat
keredhaan Allah dan keampunan daripada-Nya.
Kita yang selalu lalai, cuai dan lemah serta berdosa
ini, layakkah mendapat keredhaan dan pengampunan-
Nya? Masa ibadah kita terlalu pendek dibandingkan
dengan masa kita berbual-bual kosong,
berangan-angan fikir hendak luaskan dunia kita,
bermegah-megah dengan harta, anak dan pengikut
dan lain-lain kelalaian lagi.

8.
Layakkah kita ini masuk ke dalam Syurga?
Belum pernah tercabut roma kita kerana berjuang di
jalan Allah sedang ahli syurga seperti Nabi dan para
sahabat pernah tercabut gigi, pecah muka, remuk
tulang dan hilang nyawa kerana berjuang mempertahankan
agama Allah. Pengorbanan apa yang telah
kita buat yang kehebatannya mampu menebus kita
dari api neraka?

9.
Setiap kali apa-apa yang kita ingini,

tidak kita perolehi, kita akan redha sebab
kita sedar bukan kita yang menunaikan hajat
tetapi Allah. Dialah yang memberi rezeki dan
menyempitkannya. Sebab itu kita tenang, kita redha
dan sabar dengan kehendak Allah.

Kita rasa lemah, kita tidak mampu menunaikan
hajat sendiri tanpa bantuan Allah dan kita rasa malu
pula untuk tidak redha dengan Allah. Siapa kita?
Nyawa yang masih ada ini pun Allah punya. Kalau
Allah matikan kita lagi teruk. Semuanya terlepas.
Kerana itu kita rasa tidak mengapalah nikmat yang
sedikit itu Allah tidak beri. Kita hanya boleh meminta
bukan memaksa. Meminta sifat hamba dan memaksa
itu sifat tuan.




Petikan dari buku Mengenal Diri Melalui Rasa Hati

Khamis, 30 Julai 2009

DI ANTARA DUA ISTIGHFAR


"Manakala kita berdosa, Allah murka kepada kita. Dan kalau kita membawa dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang, bermakna kita menyembah Allah dalam keadaan Dia sedang murka kepada kita."

Adalah lebih patut kita beristighfar dan meminta ampun kerana kita sangat-sangat tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan di hadapan Tuhan semasa di dalam sembahyang."Istighfar bererti meminta maaf, meminta ampun dan bertaubat kepada Allah.


Di sini ingin diceritakan tentang dua istighfar.

Istighfar pertama :Istighfar yang pertama ialah sebelum solat atau sebelum sembahyang, iaitu sebelum takbiratul ihram.Istighfarlah dan bertaubatlah sebanyak -banyaknya dan sepuas-puasnya. Istighfarlah sehingga hati kita terasa kenyang, tenang dan tenteram.Semoga dengan itu Allah ampunkan dosa-dosa kita.Supaya kita tidak membawa dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang kita.


Antara sebabnya ialah:

1. Manakala kita berdosa, Allah murka kepada kita . Dan kalau kita membawa dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang, bermakna kita menyembah Allah dalam keadaan Dia sedang murka kepada kita.


2. Manakala kita berdosa dan tidak bertaubat dari dosa-dosa itu, kita sebenarnya orang yang derhaka dengan Tuhan . Kalau kita sembahyang juga tanpa kita bertaubat dari dosa-dosa tersebut maka sembahyang kita ialah sembahyang orang yang derhaka dengan Tuhan.


3. Kalau kita berdosa dan kita tidak mahu bertaubat dari dosa-dosa itu, kita ialah orang yang angkuh dan sombong dengan Tuhan . Kalau dalam keadaan itu kita bersembahyang, maka sembahyang kita ialah sembahyang orang yang angkuh dan sombong, bukan setakat angkuh dan sombong kepada manusia yang mungkin boleh dianggap ringan sedikit, tetapi angkuh dan sombong dengan Allah itu sendiri iaitu Tuhan yang hendak kita sembah.


4. Di dalam sembahyang, kita banyak berdoa. Kalau kita membawa dosa, Allah murka kepada kita . Bagaimana kita dapat berdoa kepada Tuhan yang sedang murka dengan kita. Apakah peluang bagi doa-doa kita itu dimakbulkan Tuhan? Kalau Allah tidak makbulkan doa-doa kita kerana Dia sedang murka kepada kita, mungkin kita akan selamat. Tetapi kalau Allah makbulkan juga doa dan permintaan kita dalam sembahyang dalam keadaan Dia sedang murka dengan kita, maka apa sahaja yang Allah kurniakan itu akan menjadi istidraj. Iaitu ia akan menjadi nikmat yang Allah kurniakan dengan marah. Ia akan menjadi nikmat yang tidak diiringi dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Di hujungnya nanti, kita akan jadi kufur nikmat.


5. Bagaimana pula hendak kita sembah Tuhan dalam keadaan kita sedang derhaka kepada-Nya kerana dosa-dosa kita yang tidak terampun . Kalau kita mengadap dan menyembah raja atau sultan manusia di dunia ini pun, dalam keadaan kita derhaka kepadanya, mungkin dia tidak mahu tengok kita. Kalau tengok pun, mungkin diherdik dan dimaki hamunnya kita. Atau mungkin dia akan terus tangkap dan hukum kita.


6. Bagaimana pula akan kita sembah Tuhan kalau kita angkuh dan sombong dengan-Nya kerana tidak mahu bertaubat dari dosa-dosa kita. Angkuh dan sombong itu bukan sifat hamba. Ia sifat Tuhan . Bagaimana boleh kita bersifat sombong dan angkuh dan kemudian mahu menyembah Tuhan. Ketika itu kita bukan lagi hamba. Kita tidak tawadhuk dan tidak merendah diri di hadapan Tuhan. Ketika itu kita seolah-olah mahu menyamai atau menandingi Tuhan. Dalam keadaan ini, bolehkah sembahyang kita itu dianggap sebagai satu penyembahan atau satu pengabdian.


Adakah ketika itu kita benar-benar sedang sembahyang dan sedang mengabdikan diri kepada Tuhan?Inilah di antara sebab mengapa sembahyang itu gagal untuk menghidupkan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan dalam diri orang yang bersembahyang. Kerana dalam sembahyang, mereka dimurkai Tuhan, mereka derhaka, dan mereka sombong dan angkuh dengan Tuhan.


Bila sembahyang tidak khusyuk dan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan tidak timbul atau tidak wujud di dalam sembahyang, maka sembahyang itu tidak ada nilai dan tidak ada erti apa-apa. Ia tidak mendidik hati kita dan tidak akan dapat menjauhkan kita dari perkara-perkara yang keji dan yang mungkar.
Istighfar kedua :Istighfar yang kedua ialah sesudah memberi salam. Lainlah kalau sembahyang kita itu seperti sembahyang orang muqarrobin atau orang siddiqin yang tidak ada lalai dalam sembahyang mereka. Bagi mereka ini, layaklah mereka mengucapkan hamdallah atau “Alhamdulillah” selepas salam sebagai tanda syukur kerana Allah telah kurniakan mereka nikmat khusyuk, tawadhuk dan khuduk di dalam sembahyang mereka.


Tetapi bagi kita orang-orang awam, yang sembahyang kita cacat sini cacat sana, bocor sini bocor sana, koyak sini koyak sana dan defect sini defect sana, mana mungkin layak bagi kita mengucapkan hamdallah. Adalah lebih patut kita beristighfar dan meminta ampun kerana kita sangat-sangat tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan di hadapan Tuhan semasa di dalam sembahyang .


Contohnya:1. Di hadapan Tuhan kita lafazkan berbagai-bagai perkataan, misalnya, “Allahu Akbar”, tetapi tidak faham pun apa yang kita lafazkan itu. Kalaupun faham, tidak terasa pula bahawa Allah itu benar-benar Maha Besar di hati kita. Kita tidak maksudkan dan kita tidak rasa apa yang kita kata . Kita hanya berlakon dan berpura-pura di hadapan Tuhan.


2. Dalam masa kita sedang menyembah Tuhan pula, jasad kita berdiri, rukuk dan sujud, tetapi hati dan jiwa kita entah ke mana-mana. Allah menunggu kita untuk disembah dan untuk menerima segala pengaduan tetapi kita tidak hadir. Kita wakilkan sahaja kepada jasad dan tubuh badan kita yang tidak tahu dan tidak faham apa-apa. Jasad dan jawarih kita sahajalah yang menyembah Tuhan.Sudahlah di luar sembahyang kita tidak pernah bersama Tuhan, ini sedang menyembah Tuhan dalam sembahyang pun kita gamak tinggalkan Tuhan untuk berfoya-foya dengan hal-hal dunia.


Belum pernah lagi kita dengar ada orang yang mengadap raja atau sultan dan sedang dia mengadap itu, langsung tidak menghiraukan raja malah dia tinggalkannya sultan begitu sahaja untuk pergi ke kedai membeli rokok. Tapi dengan Tuhan, semasa dalam sembahyang, inilah akhlak dan perangai kita.


3. Dalam sembahyang, Allah bukan hendak berhadapan dengan jasad kita tetapi dengan roh atau hati kita. Tetapi roh kita jarang hadir. Ramai orang yang boleh membawa jasad dan lidah mereka untuk bersembahyang tetapi tidak ramai yang mampu membawa roh dan hati mereka untuk bersembahyang sama.Demikianlah kita orang awam, selalu sahaja tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan dengan Tuhan. Kalau ini berlaku di luar sembahyang pun sudah dianggap berat, inikan pula ia berlaku ketika kita sedang mengadap dan menyembah Tuhan. Lagi-lagilah ianya dianggap berat. Patut sangatlah kita beristighfar dan meminta ampun selepas memberi salam!


PERINGKAT-PERINGKAT GOLONGAN YANG BERZIKIR






Foto Oleh: nan100001









Dalam bahasa Melayu, zikir bererti mengingat atau menyebut yang ada
hubung kait dengan Allah sama ada dengan perkataan,lisan atau dengan
perbuatan iaitu melibatkan seluruh anggota lahir (jawarih) kita. Atau dengan
hati, ia berlaku dengan perantaraan mahupun dengan tidak ada perantaraan
sama ada secara nyata (jahran) mahupun secara senyap (sirran).

Perlu diingat, bahawa zikir yang paling besar dan agung ialah melalui
sembahyang lima waktu. Selain ia bersifat menyembah,di dalamnya ada
berbagai bentuk zikir termasuk lafaz Al Jalaalah dan dua kalimah syahadah.
Oleh itu jangan ada di waktu sembahyangitu sama ada hati, lafaz yang diwajibkan
serta gerakgeri kita tidak menggambarkan menyembah dan mengingati
Allah SWT yang Maha Agung.

Kalau di dalam sembahyang ketiga-tiga anggota kita itu
sudah tidak menggambarkan kita berzikir kepada Allah, jangan
haraplah di luar sembahyang kita boleh mendisiplinkan ketiga tiga
anggota kita itu menepati berzikir kepada Allah. Allah Taala
berfirman:

Maksudnya: “Dirikanlah sembahyang kerana mengingati
Aku.” (Toha: 14)

Di sini disebutkan golongan-golongan yang berzikir seperti
berikut:

1.
Golongan yang langsung tidak menyebut Allah
atau nama Allah.
Kalaupun mereka menyebut Tuhan, tapi bukan Tuhan
yang sebenar kerana mereka menyebut tuhan-tuhan yang
mereka sangka-sangka. Tuhan yang mereka khayal-khayalkan,
tuhan palsu mereka, ertinya mereka menyebut bukan
kepada sasaran Tuhan yang sebenar. Inilah golongan orang
yang kafir.

2.
Golongan yang menyebut atau mengingat Allah
dengan lidah semata-mata tapi tidak dihayati oleh
hatinya atau mengingati sekali-sekala. Dengan kata-kata
yang lain hatinya tidak benar-benar merasa bertuhan dan tindak-tanduk
anggota lahirnya tidak mengikut syariat. Secara akal dan
ilmu mereka percaya adanya Tuhan, yakin Tuhan itu bersifat
begitu begini. Kalaupun mereka membaca lafaz-lafaz zikir
seperti lafaz Subhanallah, Alhamdulillah, Wallahu akbar,
ya Latif, ya Ghafar dan lain-lain, hanya menyebut pada lidah
(lisan) tidak di hati. Inilah golongan yang lalai. Golongan
yang lalai ini boleh jatuh kepada fasik, zalim, kalau dibiarkan
boleh jatuh kepada kafir secara tidak sedar.

3.
Golongan yang mengingati Allah SWT serta
menyerah diri pada Allah di waktu susah, waktu terdesak,
ketika mendapat bala bencana, maka barulah dia perlu
kepada Allah,barulah bersyariat. Di waktu itu dia mengharap sangat kepada
Allah, mengadu meminta pertolongan. Apabila berhadapan
dengan kesenangan atau masalah telah selesai
mereka melupai Tuhan, mereka tidak perlu kepada Tuhan
lagi. Itulah golongan pendusta.

4.
Golongan yang berzikir sama ada hati, perkataan dan fiziknya
(jawarihnya) sedikit lalai.
Iaitu masih banyak lagi mengingati
perkara-perkara yang harus (mubah) atau kalau perkataan
dan perbuatannya banyak kepada yang harus kalau
terlanggar perkara-perkara yang haram pun sedikit sangat.
Inilah golongan Ashabul Yamin atau orang yang soleh.

5.
Golongan yang seluruh anggota yang tiga itu sentiasa
berzikir dengan Allah dan sentiasa mengikut syariat
. Kalaupun
ada lalai kerana masih terlibat dengan hal atau perkaraperkara
yang harus (mubah). Inilah golongan muqarrobin.

6.
Golongan yang benar-benar tenggelam mengingati
Allah,mabuk mencintai-Nya, perkataan dan seluruh
jawarihnya benar-benar mengikut syariat dan dapat
membesarkan Tuhan. Perkara-perkara yang mubah pun mereka tidak
terlibat. Kalau ada pun terlalu terbatas. Mereka benar-benar
mabuk dengan Tuhan. Hatinya penuh rindu atau terlalu
takut dengan Tuhan. Nampak terserlah kebesaran Tuhan
itu pada kehidupan lahir mereka iaitu di dalam sikap dan
perihal kehidupan lahir mereka. Tanda-tanda kebesaran
Tuhan itu (ayatullah) benar-benar wujud pada diri mereka.
Itulah golongan siddiqin.

Sebenarnya kita diperintahkan agar setiap gerak-geri, sikap,
tindak-tanduk kita, sama ada lisan, hati, anggota lahir (jawarih)
adalah menggambarkan dan melambangkan kita itu ada hubung
kait dengan Allah Taala. Itulah yang dikatakan zikir itu.


Minda Mujaddid

Rabu, 29 Julai 2009

PERINGKAT-PERINGKAT MANUSIA MELIHAT ALAM SEJAGAT


Apabila disebut alam, ertinya segala sesuatu selain Allah SWT.
Kerana alam ini kesemuanya adalah ciptaan-Nya. Alam pula
ada beberapa bahagian. Ada alam ghaib, ada alam nyata, ada
alam manusia, ada alam malaikat, ada alam jin, ada alam haiwan,
ada alam nabatat, ada alam jamadat, ada alam fizikal, ada alam
rohaniah.

Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah tentang alam
nyata atau alam lahir atau juga alam syahadah yang terkandung
di dalamnya gunung-ganang, bukit-bukau, lautan dan daratan,
sungai, mata air, hutan belantara, kayu-kayan, langit dan bumi,
haiwan-haiwannya, pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhannya,
awan, hujan dan lain-lain lagi.

Manusia secara umumya melihat alam nyata ini ada beberapa
peringkat atau beberapa kategori kerana mereka menilai apa
yang dilihat itu tidak sama. Mereka mempunyai rasa dan
falsafahnya yang tersendiri. Mengikut apa yang direzekikan oleh
Allah kepada mereka berdasarkan persediaan-persediaan dan
bakat-bakat semula jadi, serta usaha ikhtiar mereka yang lahir
itu bolehlah dibahagikan kepada beberapa peringkat:

1. Golongan yang dirangsang oleh akal semata-mata.
Golongan ini apabila melihat alam yang berbagai-bagai jenis dan
bentuk, mereka tertarik mempelajarinya, mengkaji, menganalisa,
ingin tahu rahsianya. Mereka benar-benar menghidupkan akal
mereka. Jiwa mereka tidak berperanan. Ertinya mereka menggunakan
akal tanpa ditunjangi oleh iman atau ditunjangi oleh
akidah atau tauhid.

Lahirlah dari mereka ahli-ahli ilmu di dalam berbagai-bagai
bidang. Mereka akan menjadi orang yang mabuk ilmu. Masa
akan dihabiskan dengan mengkaji dan mengkaji.
Mereka boleh menjadi pemuja alam, orang yang free thinker,
boleh jadi filasuf, ahli-ahli teori yang memuja akal dan ilmu.
Mereka lebih berpegang kepada logik tapi jiwa kosong. Secara
tidak sedar mereka bertuhankan akal dan ilmu. Makin dalam
ilmunya semakin jauh daripada Allah SWT. Akhirnya ada yang
menjadi atheis.

2. Golongan yang dirangsangkan oleh nafsu.
Golongan ini melihat alam dengan penuh nafsu. Nafsunya lebih
berperanan dari akalnya. Mereka menggunakan akal kerana
tuntutan nafsu. Umpamanya melihat laut, nafsunya terangsang
bagaimana hendak mengambil khazanahnya. Melihat hutan,
cicir air liur dengan balak-balaknya. Melihat padang pasir, ingin
khazanah di dalamnya seperti minyak, emas, perak bagaimana
hendak dikeluarkan untuk menjadi kaya. Melihat perempuan
cantik, ingin memilikinya.


Golongan ini akan menjadi pemuja harta, tamak dengan
kekayaan, rakus dengan harta, bernafsu sangat dengan perempuan.
Golongan ini akan lahirlah kapitalis, golongan-golongan
korporat, millionaire, billionaire, kaki perempuan. Mereka
mencari ilmu pun kerana ekonomi dan kekayaan serta betina.
Mereka berperang untuk mendapat kuasa, menjajah negaranegara
lain pun dengan tujuan ekonomi. Mereka itu orang-orang
yang bertuhankan harta dan berkiblatkan betina.

3. Golongan yang dirangsangkan atau dipesonakan oleh
mata lahir semata-mata.
Golongan yang ketiga ini dirangsangkan dan dipesonakan
dengan mata lahir semata-mata. Ertinya matanya lebih berperanan
daripada akal, jiwanya dan nafsu. Mereka menjadi pencinta
alam. Mereka lebih cinta kepada tumbuh-tumbuhan, haiwan-
haiwan, gunung-ganang iaitu alam semula jadi daripada
cintakan manusia. Mereka memuja alam semula jadi. Manusia
kalau rosak, mereka tidak begitu mengambil pusing sangat, tapi
kalau alam semula jadi rosak dan tercemar, mereka sangat tersinggung
dan marah.

Mereka adalah golongan pemuja alam. Mereka itu ikut istilah
sekarang golongan greenpeace. Di zaman maju dan membangun
ini, mereka selalu saja berdemontrasi dengan pihak kerajaan dan
pemaju-pemaju. Mereka itu golongan menpertuhankan alam
semesta. Golongan ini juga jiwanya kosong. Agama tidak ada
di dalam kamus hidupnya.

4. Golongan yang dipesonakan oleh jiwa semata-mata.
Golongan ini dirangsang oleh jiwa semata-mata iaitu jiwa yang
kosong daripada tauhid. Ertinya jiwanyalah yang lebih berperanan
dan merangsang.


Mereka melihat alam sangat merasa sensitif. Mereka rasa
terhibur dengan alam semula jadi. Mereka mendapat inspirasi
dengan melihat alam. Mereka rasa syok dan seronok dengan
alam semula jadi. Mereka berfikir pun kerana menebalkan rasa.
Mereka ini adalah golongan mabuk rasa. Lahirlah di sini golongan
atheis, golongan sasterawan, ahli-ahli seni, pujangga,
mereka golongan yang selalu berkhayal. Mabuk rasa, berfoyafoya,
berlalai-lalai dan bersantai-santai. Mereka pandai main
bahasa, pandai menggambarkan dan mengibaratkan. Kalaupun
mereka menyebut Tuhan itu untuk penyedap bahasa bukan dari
kesedaran iman.

5. Golongan yang dirangsangkan oleh akal dan nafsu.
Golongan yang akal dan nafsunya lebih merangsang dan
berperanan. Daripada rangsangan keduanya ini akan lahirlah
golongan yang mabuk ilmu dan mabuk harta dan betina. Di
samping suka dengan ilmu mereka juga tamak dan rakus dengan
kekayaan serta gila betina. Mereka akan menghabiskan masa
kerana ilmu, harta dan betina. Kepada hal-hal yang lain hanya
sampingan sahaja atau sebagai tambahan sahaja. Apa yang
mereka puja itu, itulah tuhan mereka.

6. Golongan yang dirangsangkan oleh akal dan jiwa yang
tidak bertunjangkan tauhid.
Golongan yang akal dan jiwanya lebih berperanan dan merangsang
tapi jiwa yang tidak bertunjangkan tauhid atau iman.
Dari rangsangan kedua-dua inilah akan lahirlah golongan
pencinta ilmu dan ahli seni, ahli fikir juga ahli sastera tapi jiwa
kosong. Ketenangan dan kebahagiaan tiada.

7. Golongan yang dirangsang oleh akal dan jiwa yang bertauhid.
Golongan akal dan jiwa yang bertunjang tauhid lebih berperanan
dan merangsang. Ini akan melahirkan ahli ilmu yang beriman,
ahli teori yang bertauhid, cerdik pandai di dalam berbagai-bagai
bidang ilmu yang bertaqwa. Ahli fikir dan cendiakawan yang
makin dalam dan tinggi ilmunya, bertambah kuat iman. Bertambah
ilmu, bertambah taqwanya. Makin mendalam ilmunya,
makin dekat kepada Allah dan ada kalangan mereka itu mendapat
ilmu selain daripada saluran akalnya. Mereka akan dapat
ilmu-ilmu laduni dari saluran hatinya. Mereka mendapat darjat
di bawah darjat kenabian atau mereka waliyullah atau ulama ul
amilin.

8. Golongan yang tidak dirangsangkan oleh apa-apa.
Golongan yang tidak dirangsang oleh apa-apa, sekalipun mata
lahirnya. Mata lahir melihat sesuatu itu bersahaja semata-mata,
tidak ada perhatian. Melihat alam seolah-olah tidak melihat. Apa
yang mereka lihat tidak diambil perhatian. Mereka tidak merasa
apa-apa setiap apa yang dilihat. Itulah golongan yang dungu.

9. Golongan jiwa tauhidnya yang merangsang.
Golongan yang jiwanya lebih berperanan dan merangsang. Jiwa
yang hidup dan tajam iaitu jiwa yang bertunjang iman atau
tauhid. Akalnya hanya sekadar untuk mendapatkan ilmu yang
asas-asas saja. Mereka ini kerana jiwanya terlalu tajam atau
hidup, setiap apa yang mereka lihat, rasa, sentuh, lantas terus
terhubung dengan Allah, seperti terasa kebesaran-Nya, terasa
hebat-Nya, terasa ilmu-Nya, terasa penglihatan-Nya, terasa pendengaran-
Nya, terasa hebat-Nya, hingga mereka bertambah
takut, bertambah malu, makin terasa lemah, makin terasa kerdil,
makin terasa hina, makin bersyukur, makin redha, makin sabar,
lembut, makin merendah diri, makin terasa berdosa, mengharap
dan lain-lain rasa kehambaan. Dari sinilah lahirnya golongan
sufi. Mereka banyak yang dapat ilmu laduni, firasat, hatif dan
kasyaf.


Minda Guruku

Tuhan, Aku Adalah HambaMu


TUHAN, aku adalah hamba-Mu
Aku adalah hamba, hanya orang biasa sahaja
Aku bukan nabi dan tidak juga rasul
Ertinya aku bukan maksum
Aku sentiasa terdedah dengan dosa
Walaupun aku berhempas pulas melawan hawa nafsuku
Sekali-sekala aku kalah juga atau kecundang dengan nafsu
Di waktu itu sudah tentu syaitan
mengambil peluang menggodaku
Maka sudah tentu aku pun terbuat dosa
Tapi aku tetap mengaku bersalah
dan memohon ampun kepada-Mu Tuhan
Begitulah selalunya berlaku kepadaku
di dalam kehidupanku ini
Aku bukan tidak sedih dengan dosa
Tapi dengan kelemahan aku, aku terbuat lagi dosa
Namun begitu aku tetap memohon keampunan-Mu
Oleh itu aku harap pada-Mu janganlah biarkan aku
dengan dosa-dosa tidak berampun
Dengan rahmat-Mu aku harap ampunkanlah dosa-dosaku
Dengan kasih sayang-Mu maafkanlah
kesalahan-kesalahan aku itu
Aku bukan seronok dengan dosa bahkan terseksa dengannya
Tapi aku lemah, kerana itu selalu saja terbuat dosa
Kalau Engkau tidak pimpin aku,
begitulah yang selalu berlaku kepadaku
Pimpinlah aku Tuhan agar aku selamat
dari dosa-dosa dan noda-noda
Jika aku terbuat juga dosa-dosa aku harap Engkau
ampunkanlah dosa-dosaku itu


Minda Mujaddid

Selasa, 28 Julai 2009

PERINGKAT-PERINGKAT MANUSIA MENCARI HARTA DUNIA


1. Golongan yang sesat
Golongan yang hanya percayakan kehidupan dunia semata mata,
tidak ada kehidupan yang kedua atau kehidupan hari
Akhirat. Kalaupun mereka percaya adanya kehidupan Akhirat,
tapi mereka menganggap bahawa kesenangan dan kesusahan
kehidupan di dunia ini yang menentukan kesenangan dan
kesusahan di Akhirat. Oleh itu mereka burulah kesenangan dan
kekayaan dunia tanpa batas.


Mereka hanya memikirkan makan, minum dan seks. Mereka
tidak akan memikirkan halal dan haram sama ada mencarinya
mahupun menggunakannya. Halal dan haram tidak ada di
dalam kamus hidup mereka. Mereka benar-benar tenggelam di
dalam memburu dunia semata-mata iaitu makan, minum dan
seks. Mereka itu ialah golongan seperti yang Allah firmankan
melalui Al Quran iaitu seperti binatang bahkan ada yang lebih
sesat lagi iaitu golongan orang kafir.


2. Golongan yang bakhil
Golongan yang merebut harta dengan tamak tapi masih menjaga
tentang halal dan haram, zakat dikeluarkan, masih menjaga
perkara-perkara yang asas, namun tidak sanggup dibelanjakan
ke jalan Allah Taala. Tapi dibelanjakan ke jalan haram pun tidak
juga, sekadar untuk kepentingan sendiri dan suka menyimpan.
Itulah golongan muslim yang bakhil.


3. Golongan yang tamak
Golongan yang merebut dunia yang masih menjaga usahanya
itu daripada yang haram, zakat tetap dikeluarkan, tetapi apa
yang didapati tidak puas-puas kerana ingin kaya hingga cuai
melaksanakan amalan yang asas di samping tidak dikorban ke
jalan Allah Taala. Ini golongan yang tamak.


4. Golongan yang lalai
Golongan yang memburu harta namun tetap menjaga amalan
yang asas dan usahanya juga halal tapi tidak mengeluarkan zakat
dan tidak dikorbankan hartanya ke jalan Allah. Itulah golongan
muslim yang tertipu atau lalai.


5. Golongan yang bersyukur
Golongan yang bersungguh-sungguh mencari kekayaan tapi
dengan tujuan untuk khidmat. Semua hal dijaga, ibadahnya yang
asas dijaga, usahanya halal, zakat dikeluarkan, dikorbankan ke
jalan Allah, pemurah kepada fakir miskin. Inilah golongan yang
bersyukur dan pemurah tapi hisabnya banyak.


6. Golongan orang soleh
Golongan mencari harta sekadar untuk hidup dan boleh
beribadah kepada Allah, tidak mahu mencari harta yang banyak
takut tidak dapat menunaikan kewajipan dan takut lalai
daripada Allah dan mereka pemurah pula, usahanya sangat
dijaga daripada haram dan syubhat. Itulah golongan orang yang
soleh dan pemurah.


7. Golongan pemalas
Golongan yang tidak suka bersusah-susah dengan harta dunia
tapi bukan pula kerana takut lalai, tidak juga kerana takut tidak
dapat menunaikan kewajipan. Kalau tidak ada dia meminta minta
tapi tidak pula dia mencuri, menipu dan sebagainya.
Ibadah tetap dilaksanakannya. Itulah golongan muslim yang
pemalas.


8. Golongan siddiqin
Golongan yang tidak ada usaha langsung kerana menumpukan
semata-mata untuk ibadah kepada Allah dan tidak pula
meminta-minta. Tentang rezekinya diserah bulat-bulat kepada
Allah. Bahkan ada kalanya orang memberi pun dia menolaknya.
Itulah golongan siddiqin.


9. Golongan fasik
Golongan yang tidak suka bersusah payah mencari rezeki, bila
tidak ada dia meminta, menumpukan ibadah tidak juga. Inilah
golongan yang fasik yang pemalas.


10. Golongan yang sentiasa lalai
Di dalam pada itu ada golongan yang memburu harta, kalau
dapat dia lalai, kalau tidak dapat pun dia lalai.


11. Golongan yang lalai bila kaya
Ada golongan jika dapat menjadi kaya dia lalai tapi jika tidak
dapat dia tidak lalai.


12. Golongan yang lalai bila miskin
Ada golongan yang apabila dia tidak dapat dia lalai, bila dapat
dia tidak lalai.


13. Golongan yang tidak lalai apabila hidup sederhana
Ada golongan jika dia kaya dia lalai dan kalau miskin pun dia
lalai tapi bila pendapatannya sederhana dia tidak lalai.


14. Golongan yang tidak lalai dalam suasana apa sekalipun
Ada golongan di dalam suasana apa dan bagaimana sekalipun
dia tetap boleh mengabdikan dirinya kepada Allah dan mereka
tetap tidak dilalaikan oleh kehidupan dunia. Golongan itulah
yang menjadikan dunia sebagai jambatan ke Akhirat.


Minda Guruku

Isnin, 27 Julai 2009

Jadikan Dunia Bernilai AKhirat




DUNIA yang nampaknya hebat

Cantik dan indah mempesona setiap manusia

Kita manusia sahaja yang merasa cantik dan indah

Pada Tuhan tidak ada nilainya sekalipun senilai habuk

Atau senilai sebelah sayap nyamuk

Kalau dunia ini ada nilai pada Tuhan walaupun seberat habuk

Nescaya Tuhan tidak akan memberinya kepada orang kafir

Begitu juga kalau orang Islam

Di waktu taat Tuhan beri, di waktu derhaka Tuhan tarik

Adakalanya Tuhan beri, adakalanya Tuhan tahan

Nescaya parahlah manusia ini

Tapi pada Tuhan, dunia sedikit pun tidak ada nilai di sisi-Nya

Orang kafir pun Allah Taala beri makan dan berbagai-bagai nikmat lagi

Bahkan adakalanya orang kafir lebih banyak diberi daripada orang beriman

Begitulah nilai Tuhan terhadap dunia

Oleh kerana dunia ini tidak ada nilainya di sisi Allah

Tuhan menyuruh kita berilah dunia ini nilai Akhirat

Jadikan dunia ini jambatan ke Akhirat

Jual dunia ini untuk beli Syurga

Kalau tidak begitu, dunia ini tidak ada harga

Dunia ini kalau tidak dijadikan

Akhirat Kita hidup sia-sia, dunia akan binasa

Kalau kita gunakan dunia untuk Akhirat

Dunia sudah ada nilai Akhirat,ia kekal abadi di sana
Minda Guruku

Jangan Jadikan Allah Taala Keperluan Bermusim


Allah Taala adalah segala-galanya. Kalau bukan kerana Allah
Taala, segala-galanya tidak akan ada. Segala-galanya ada
kerana Allah Taala mengadakan. Kalau Dia tidak mengadakan,
segala-galanya termasuk kita pasti tiada.


Allah Taala mengadakan sesuatu sama ada di dunia mahupun
di Akhirat, nikmat dunia mahupun nikmat Akhirat, menjadikan
alam ghaib mahupun alam nyata, menjadikan manusia,
malaikat, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain semuanya
ada maksud, ada hikmah, bukan suka-suka lebih-lebih lagi
bukan sia-sia.


Setiap makhluk yang dicipta-Nya ada peraturannya, ada cara
kehidupannya yang tersendiri, mempunyai sistem yang tersendiri.
Malaikat ada sistem yang tersendiri, jin ada sistemnya yang
tersendiri, haiwan ada sistemnya yang tersendiri, manusia ada
sistemnya yang tersendiri, tumbuh-tumbuhan ada sistem yang
tersendiri. Begitulah setiap makhluk sama ada sebesar-besar
makhluk hinggalah sekecil-kecil makhluk, yang bernyawa
mahupun yang tidak bernyawa, semuanya ada peraturan dan
sistemnya yang tersendiri. Setiap makhluk itu adalah berjalan
mengikut peraturan atau sistemnya masing-masing.


Siapa sahaja yang tidak mengikut peraturan yang Allah Taala
sediakan, dia pasti binasa. Sama ada jangka pendek mahupun
jangka panjang. Bahkan dunia nanti binasa (Qiamat) setelah
setiap planet-planetnya tidak mengikut peraturan dan sistemnya
lagi.


Seterusnya, setiap makhluk ciptaan Tuhan itu dengan peraturan
serta sistemnya, setiap gerak-geri dan gerak-lakunya
tidak terlepas daripada ilmu-Nya, penglihatan-Nya, kuasa-Nya,
kehendak-Nya, pendengaran-Nya, walaupun sebesar habuk
tidak terlepas daripada Tuhan hinggakan manusia walaupun
dia sudah berusaha, usaha manusia itu pun tidak terlepas daripada
kuasa dan kehendak Allah Taala. Kemudian ke mana
makhluk ini akan pergi, ke mana kesudahannya, ke mana destinasi
akhirnya, apa nasibnya, semuanya tidak terlepas daripada
ketentuan Tuhan yang telah disebut sifat-sifat-Nya di atas.
Kalau begitu, siapa Tuhan? Tentu Tuhan Maha Agung, Maha
Hebat, Maha Gagah, Maha Kuasa, Maha Berilmu, Maha Berkehendak,
Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Sempurna,
entahkan Maha, Maha apa lagi yang tidak dapat dicapai oleh
akal untuk mengetahui dan memikirkannya, yang tidak ada
makhluk dapat menyukat maha-maha-Nya Tuhan itu.
Sifat Maha Kuasa Allah Taala sahaja sudah cukup menggerunkan
kita. Kerana jika Allah berkata: Jadilah, terus terjadi.


Jika Allah Taala berkata: Binasalah, maka binasalah benda atau
makhluk itu. Kehendak dan kuasa-Nya tiada makhluk yang dapat
menolaknya. Kalau Allah Taala berkata senang, pasti senang.
Kalau Allah Taala berkata susah, pasti susah. Kalau Allah Taala
berkata hidup, pasti hidup. Kalau Allah Taala berkata mati, pasti
mati. Kalau Allah Taala berkata pandailah, pasti pandai. Kalau
Allah Taala berkata bodohlah, pasti bodoh. Kalau Allah Taala
mengatakan sakitlah, pasti sakit. Kalau Allah Taala berkata
sembuhlah, pasti sembuh. Begitulah seterusnya apa sahaja Allah
Taala katakan pasti terjadi.


Begitulah agungnya Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang
Maha Sempurna. Apakah Tuhan itu kita tidak perlu kepada-
Nya? Tidak mahu meminta kepada-Nya? Tidak mahu ingatkan-
Nya? Tidak mahu mengagungkan-Nya? Tidak cinta kepada
Nya? Tidak takut? Tidak mengharap? Tidak memerlukan? Tidak
mematuhi-Nya. Tidak mensyukuri-Nya?


Apakah kita boleh terlepas dari-Nya? Boleh lari dari-Nya?
Boleh hidup tanpa-Nya? Boleh selamat tanpa-Nya? Tuhan sehebat
itukah yang kita hendak lawan? Hendak tidak ambil tahu?
Hendak tidak peduli? Hendak sombong dengan-Nya?
Kita perlu kepada Tuhan di waktu senang, di waktu susah,
di waktu miskin, di waktu kaya, di waktu aman, di waktu
darurat, di waktu sakit, di waktu sihat, di waktu sempit, di waktu
lapang, di waktu bodoh, di waktu pandai, di waktu di rumah,
di waktu di luar rumah, di waktu takut, di waktu tenang, di
waktu seorang, di waktu ramai, di waktu aman, di waktu huruhara.
Sepatutnya kita perlu kepada Tuhan di dalam sebarang waktu
dan situasi, di setiap tempat dan keadaan. Jangan anggap kita
boleh bersendiri.


Tapi malangnya kebanyakan umat Islam kerana sombongnya,
perlukan Tuhan di waktu-waktu tertentu sahaja. Tidak setiap
waktu dan situasi. Yakni di waktu kemarau, waktu sakit, waktu
miskin, waktu bala menimpa, waktu musuh menyerang. Itu pun
tidak semua orang berbuat sedemikian. Ada yang lebih sombong
dan angkuh lagi, di waktu kemarau, di waktu sakit, di waktu
bala menimpa pun tidak juga memerlukan Tuhan. Seolah-olah
memerlukan Tuhan itu rasa terhina, rasa jatuh martabat, rasa
malu, rasa jatuh wibawa.


Sepatutnya Tuhan itu adalah segala-galanya, dapat Tuhan
dapatlah segala-galanya. Kehilangan Tuhan, kehilangan segala galanya.
Tuhan adalah hidup mati kita. Tuhan adalah dunia
Akhirat kita. Dia adalah tempat rujuk, tempat mengadu, tempat
bermanja-manja, tempat berhibur, tempat lari, tempat menyerah
diri. Dialah harapan kita, Dialah kebahagiaan kita yang sejati.


Minda Mujaddid

Jumaat, 24 Julai 2009

Lumrah Orang Kaya Harta

Foto: Gerhana Bulan 22-7-2009, Gambar Atas Sebelum Gerhana,
Gambar Bawah Ketika Gerhana
Lumrah Orang Kaya Harta
Mencari kekayaan dan kesenangan bukan pula salah
sekiranya tidak melanggar perintah Allah
Mungkin dengan kekayaan dan kesenangan
boleh membuat kebaikan yang banyak
Ramai orang boleh mendapat manfaat dan faedah
Tapi lumrah berlaku telah terjadi di dalam sejarah
apabila seseorang itu kaya dan senang dia berubah
Perangai mereka berubah daripada baik kepada jahat
Sebelum ini ahli ibadah, jinak dengan Allah
Selepas itu masya-Allah renggang dengan Allah
Asalnya tawadhuk, kemudian sombong dan megah
Mulanya hidupnya sederhana,
kemudian pembaziran dan mewah
Bakhil dan tamak pun datang,
mudah menghina orang
Akhirnya berubah secara total
Terus lalai dengan Allah
Di masjid jarang-jarang ada
Sebelum ini masjid itu rumahnya yang kedua
selepas rumahnya
Sekarang hari Jumaat pun kadang-kadang tidak nampak
Begitulah pengaruh kekayaan dan kesenangan
Mudah lupa dengan Allah, dengan kawan renggang
Beribadah pun tidak senang
Begitulah nikmat dunia selalu menipu manusia


Minda Guruku

Pengertian Zuhud


Perkataan zuhud bila dilihat ertinya dalam kamus Arab atau mengikut pengertian bahasa biasa ialah meninggalkan dunia.Tetapi mengikut istilah Islam, erti zuhud itu ialah hati tidak terpaut atau tidak terpengaruh
dengan dunia dan nikmat-nikmatnya. Pengertian yang kedua, iaitu mengikut pengertian syariat inilah yang akan menjadi perbahasan saya. Kerana zuhud

mengikut syariat adalah disukai oleh Allah dan Rasul. Ia juga termasuk dalam sifat-sifat mahmudah. Moga-moga dengan izin Allah saya dapat menghuraikannya.

Mengikut tafsiran saya, kalau demikianlah pengertian zuhud itu,
tidak semestinya orang yang zuhud itu tidak memiliki dunia atau mesti
meninggalkan segala nikmat-nikmat dunia. Boleh jadi nikmat dunia yang
dimilikinya lebih banyak dari orang lain atau dia mengendalikan
dunia dengan banyaknya. Namun demikian,dunia yang banyak itu,
yang dimilikinya atau yang dikendalikannya itu tidak mempesonakannya.

Sedikit pun dunianya yang banyak itu tidak terjatuh ke hatinya. Bahkan
dunia itu ada atau tidak, sama saja baginya. Dia memiliki dunia serta
mentadbirnya adalah dengan tujuan agar dunia itu dijadikan alat untuk
membolehkannya beribadah kepada Allah SWT dan berkhidmat sesama
manusia. Dunia yang dimilikinya itu dijadikan jambatan untuk ke Akhirat.

Ini sesuai pula dengan tuntutan ajaran Islam yang dinyatakan dalam
sabda Rasulullah SAW:


Maksudnya: “Dunia itu adalah tanam-tanaman untuk
Akhirat.” (Riwayat Al ‘Uqaili)

Itulah Islam. Islam mengajar atau mendidik kita bahawa dunia itu
boleh diambil tetapi biarlah ia boleh dijadikan modal untuk beribadah
kepada Allah dan melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya kepada
manusia. Demikianlah, supaya dengan itu membolehkan seseorang itu
mengaut pahala sebanyak-banyaknya untuk dia memperolehi nikmat
Syurga di Akhirat. Siapa yang menjual dunianya untuk Allah atau untuk
Akhiratnya, maka Allah akan beli dengan bayaran yang berganda-ganda
tinggi nilainya. Iaitu digantikan dengan nikmat Syurga yang kekal abadi
dan terhindar daripada seksa Neraka yang amat azabnya.Persoalannya
sekarang, bagaimana hukum dan cara kita mengambil dunia ini?

Dan bagaimana cara mengendalikan dunia ini setelah realitinya
ia berada di hadapan kita? Pada saya ada beberapa kategori iaitu:

1. DUNIA YANG WAJIB
Dunia yang wajib diambil selagi ia halal ialah sekadar keper-
luan asas saja. Yang tidak boleh tidak (dharuri), yang mesti ada
seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian dan lain-lain
lagi. Kalau tidak diambil akan berlaku kecacatan di segi syariat
atau di sudut fizikal. Siapa meninggalkannya, haram hukumnya
kecuali setelah diusahakan tidak berjaya memperolehinya. Ini
tidak menafikan zuhud.

2. DUNIA YANG SUNAT
Dunia yang sunat diambil ialah perkara yang digunakan (selagi
halal) untuk kemudahan di dalam menunaikan tanggungjawab
yang wajib serta digunakan untuk menghasilkan perkara yang
tidak boleh tidak. Seperti kenderaan yang perlu, alat-alat rumah
yang memudahkan menjalankan tugas rumah tangga seperti
dapur gas, pinggan mangkuk, periuk, dulang, mesin basuh,
mesin jahit dan lain-lain lagi.

Agar dengan itu tidak membuang masa yang banyak. Dan
memudahkan menjalankan tanggungjawab. Bahkan adakalanya
menjadi wajib aradhi. Kalau tidak ada alat-alat itu maka tergendalalah
urusan yang wajib. Ini juga tidak menafikan zuhud.
Perlu diingat, keperluan seseorang antara satu sama lain tidak
sama. Maka sudah tentulah pula alat-alat keperluan tidak sama.
Sebagai contoh, alat-alat keperluan seorang guru sudah tentu
tidak sama dengan alat-alat keperluan seorang petani. Kiaskanlah
yang lain-lainnya.

3. DUNIA YANG HARAM
Dunia yang haram kenalah ditolak terus seperti arak, wang judi,
rasuah, hasil riba, hasil zina, tipu, rompak dan lain-lain lagi. Ini
kerana perbuatan yang haram itu akan membawa ke Neraka.

4. DUNIA YANG MAKRUH
Dunia yang makruh diambil iaitu harta-harta yang syubhat.
Yakni perkara-perkara yang samar-samar bercampur antara
yang halal dan yang haram, yang tidak dapat dipastikan yang
mana halal dan yang mana haram. Maka hukumnya makruh.
Bagi orang yang warak, dia terus meninggalkannya. Sesiapa
yang terlibat dengan harta syubhat ini ternafilah zuhudnya kerana
ia dibenci.

5. DUNIA YANG HARUS
Dunia yang mubah (harus) diambil iaitu yang berbentuk untuk
bersedap-sedapan, untuk keselesaan seperti kerusi yang mewah,
buaian, kerusi rehat, tilam, katil yang mahal, bilik yang agak
luas daripada kadar biasa tetapi tidak keterlaluan besarnya,
kenderaan yang mewah dan lain-lain lagi, selagi halal. Cuma
hisabnya banyak dan ia juga menafikan zuhud.

6. PEMBAZIRAN
Perkara yang halal sekalipun, kalau digunakan terlalu berlebih lebihan,
sudah melebihi batas keselesaan dan bersedap-sedapan,
ini sudah dianggap pembaziran. Sedangkan pembaziran adalah
haram di sisi Allah. Dalam Al Quran pembaziran itu dianggap
sebagai kawan syaitan. Firman-Nya:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu
adalah saudara kepada syaitan.” (Al Israk: 27)
Jadi, jika kita dapat menggunakan atau mengendalikan
dunia yang dimiliki, yang tidak menafikan zuhud iaitu cara
yang pertama dan kedua (dunia yang wajib dan sunat), ia masih
dikatakan zuhud.

Dalam Islam, kalau seseorang itu mengambil dunia sekadar yang perlu
dan untuk kemudahan atau paling tidak untuk keselesaan, kemudian selain
daripada itu, dia tidak mahu mengusahakannya kerana kurang yakin yang
dia boleh amanah dalam menggunakan dunia itu untuk Allah dan masyarakat,
maka tidak salah dia berbuat demikian.Demikianlah sebaliknya, kalau
seseorang itu yakin yang dia dapat berlaku amanah pada dirinya terhadap
dunia atau dapat mengendalikan dunia untuk Allah dan masyarakat dengan
sebaik-baiknya, yakni dia yakin boleh berbuat kebaikan dan kebajikan yang
banyak serta boleh bersyukur, maka tidak mengapa dia usaha mencari
kekayaan selagi halal. Padanya ada keharusan berbuat demikian. Ini juga
tidak menafikan zuhud.

Sebagai contoh: Katalah dunia itu ialah jawatan tinggi. Kita tidak yakin dengan
jawatan itu kita boleh berlaku amanah terhadap Allah dan masyarakat, maka
tidak salah kalau kita menolak jawatan tersebut. Sebaliknya, kalau kita yakin
dengan jawatan itu kita dapat amanah dengan Allah dan masyarakat, maka
tidak salah pula kita mengambilnya. Kalau harta, kita boleh mengambil
sebanyak mana sekalipun. Oleh itu kenalah kita hadapi dunia ini dengan iman
dan taqwa agar dapat diuruskan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

Perlu rasanya saya ingatkan, jika berlaku dalam satu masa atau satu zaman,
secara umum masyarakat Islam tidak dapat melaksanakan fardhu kifayah;
menyediakan keperluan makan minum yang halal, membangunkan
tempat-tempat pendidikan,membeli alat-alat senjata untuk melawan
musuh-musuh, memberi biasiswa pada anggota-anggota masyarakat yang
cerdik supaya berilmu di berbagai-bagai bidang yang menjadikan
masyarakatnya tidak bergantung kepada orang lain; maka bagi
orang yang mampu di waktu itu, wajib aradhi dia mengusahakan
hingga terlaksananya fardhu kifayah tadi. Kalau tidak, akan menjadi
satu kesalahan pada mereka.

Juga diingatkan, apabila berzuhud jangan sampai kita atau Islam terhina.
Ini dilarang kecuali kita memang tidak mampu walaupun sudah berusaha
untuk mengadakan keperluan-keperluan yang asas. Di waktu itu tidak
mengapa dan kenalah kita bersabar. Jadi, kita kena faham
sungguh-sungguh akan pengertian zuhud ini. Kalau tidak, jadilah
kita orang yang mewah tidak bertempat atau miskin sampai terhina
atau bermewah-mewah di sebarang tempat.Maksudnya begini; untuk
dapat mengekalkan zuhud mesti dilakukan beberapa cara. Di antaranya:

1. Mewah mesti kena pada tempatnya. Umpamanya, kalau
makan kenduri atau makan berjemaah, dibenarkan kita
bermewah-mewah lauk-pauknya. Tetapi kalau kita makan
seorang, eloklah berzuhud.

2. Miskin itu tidaklah dilarang tetapi tidak dibenarkan sampai
tidak mencukupi keperluan-keperluan asas. Jadi dibenarkan
miskin asal cukup keperluan asas.

3. Bermewah-mewah tidak boleh di sebarang tempat yakni
di waktu orang semuanya miskin, tidak dibenarkan kita
bermewah-mewah. Agar kekayaan itu dapat disalurkan
kepada orang miskin.

Secara ringkasnya, kita boleh mengambil dunia ini tetapi
perlu pertimbangkan mengikut ukuran semasa atau individu
atau jemaah atau kumpulan atau pemimpin atau mengikut
tanggungjawab serta tugas-tugas yang dipikul oleh seseorang
dan lain-lain lagi.

Contoh: Mengikut ukuran semasa yang tidak menafikan
zuhud:

1. Di zaman ini untuk menjimatkan masa, tenaga dan lainlain
lagi, kenalah naik kenderaan kapal terbang untuk
perjalanan yang jauh, bukan pakai kereta lembu atau kuda
atau kereta.

2. Di zaman moden ini untuk berhadapan dengan musuh musuh,
kenalah kita gunakan senjata-senjata canggih bukan
lagi menggunakan keris.

Contoh: Mengikut ukuran kumpulan atau jemaah yang tidak
menafikan zuhud:

Tidak salah bagi orang yang berjuang yang sentiasa sibuk,demi menjimatkan
masa, tenaga dan lain-lain lagi serta selalu didatangi tetamu, maka di rumahnya
dilengkapkan dengan petiais, dapur gas, mesin basuh dan lain-lain kemudahan.

Tidak salah pula mengadakan permaidani di rumah, di pejabat dan di masjid
selagi halal dengan tujuan menghormati tetamu atau kepentingan umum.
Bahkan di negeri-negeri sejuk, mengadakan permaidani di rumah dan
di masjid sudah menjadi wajib aradhi pula.

Bahkan melengkapkan alat-alat kemudahan ini sudah jadi perlu bagi orang
yang berjuang yang masanya terbatas. Kalau terlalu lama masa dihabiskan
untuk membasuh misalnya, ini dikira termasuk pembaziran masa, tenaga
dan lain-lain lagi. Sedangkan waktu itu sepatutnya lebih baik digunakan
untuk pengurusan hal-hal yang lebih perlu. Katalah contohnya, dengan
adanya mesin basuh, kita ada lebih masa untuk melayan suami terutama
kalau suami kita pulangnya pun hanya sekali-sekala.Boleh juga diniatkan
semasa mesin basuh itu bekerja, kita dapat rehat atau tidur, dengan tujuan
dapat bangun sembahyang malam. Kecuali untuk orang perseorangan yang
tidak berjuang atau tidak ada tanggungjawab mengadakan
kemudahan-kemudahan ini, dia tergolong orang yang tidak zuhud sebab
kalau diberi kemudahan dia akan relaks saja. Mungkin tidur baring saja atau
duduk-duduk berbual kosong atau membolehkan dia berlalai-lalai.

Ini menjadikan dia cinta dunia.
Berbeza dengan orang yang berjuang, yang masanya terbatas, banyak
tanggungjawab dan sentiasa bergerak cepat. Kalau tidak ada alat-alat
kemudahan ini, ia akan melambatkan atau mengganggu
program-program yang lain. Atau banyak tanggungjawab tidak dapat dilaksanakan.

Contoh lain: Mengikut ukuran pemimpin yang tidak menafikan zuhud.
Bagi seorang pemimpin, penting padanya keperluan alat-alat kemudahan
yang canggih seperti kereta, telefon, faks,komputer, perbelanjaan perjalanan
dan lain-lain lagi. Kalau tidak ada kemudahan alat-alat tadi, sudah tentu tergendala perjuangannya.

Juga diingatkan, kalau duit kita terbatas, janganlah dihabiskan untuk
membeli barang-barang untuk kemudahan. Dibimbangkan,nanti
tidak ada langsung bahagian untuk kita berbelanja pada perkara-perkara
yang asas atau terabai kewajipan fardhu kifayah. Ini akan jadi satu
kesalahan. Kerana perkara yang asas, wajib ditunaikan dan membangunkan
masyarakatitu adalah lebih perlu supaya terlaksananya fardhu kifayah.

Itu lebih patut kita utamakan. Biarlah kita susah sedikit asalkan kewajipan
dapat ditunaikan.


Minda Mujaddid

Khamis, 23 Julai 2009

Marilah Bersedekah Siri 1




Sumber artikel: Kelab perantaujeli.wordpress.com

Jika anda inginkan keberkatan pada gaji bulanan dan keluarga atau keberkatan pada harta keseluruhannya maka saya akan menceritakan beberapa bentuk kisah benar tentang keberkatan ini:


1. `Abdullah, seorang pegawai dengan gaji bulanan 4000 Riyal menghadapi pelbagai masalah kewangan dan hutang. Beliau bercerita: Saya menyangka bahawa saya akan hidup dalam keadaan ini sehingga mati dan keadaan saya tidak akan berubah buat selama-lamanya. Apa yang paling saya takuti ialah saya akan mati dalam keadaan berhutang yang bertambah pada setiap detik. Keperluan hidup benar-benar menyesakkan saya. Pada suatu hari saya pergi berehat di tempat-tempat orang muda yang mempunyai masalah seperti saya. Tujuan saya pergi ke sana ialah untuk meringankan bebanan diri saya dengan mendengar masalah orang lain. Pada hari tersebut terdapat salah seorang kawan yang saya hormati pandangannya lalu saya mengadukanperihal saya kepadanya. Beliau lalu menasihatkan agar saya mengkhususkan suatu bahagian daripada gaji bulanan saya untuk sedekah. Saya menjawab: “Saya makan pun tak cukup macam mana nak sedekah ?” Apabila saya balik ke rumah saya bercerita kepada isteri saya tentang apa yang berlaku. Isteri saya berkata: “Apa kata kita cuba dan mungkin Allah akan membuka jalan bagi kita.” Saya lalu menjawab: “Oleh yang demikian saya akan mengkhususkan 300 Riyal daripada gaji bulanan untuk sedekah.” Demi Allah selepas itu hidup saya mula berubah. Perasaan lapang mula menyelubungi saya dan saya menjadi sangat optimistik. Selepas dua bulan, hidup saya mula menjadi teratur semula. Saya mengecap barakah dalam gaji saya yang saya tidak pernah temui sebelum ini. Saya mendapat kekuatan pengurusan sehingga saya boleh menjangkakan bila hutang saya akan selesai. Selepas beberapa lama salah seorang saudara saya memulakan perniagaan hartanah dan setiap kali saya mendapatkan seorang ahli syer yang baru maka saya mendapat komisen. Segala puji bagi Allah, saya merasakan bahawa hutang-hutang saya akan habis dalam tempoh yang dekat. Setiap komisen yang saya dapat juga saya tidak lupa memperuntukkan satu bahagian untuk sedekah. Demi Allah, sesungguhnya sedekah itu tidak akan mengetahui kelebihannya melainkan orang yang telah mengecapinya. Bersedekahlah dan bersabar nescaya anda akan lihat kebaikan dan keberkatan dengan izin Allah.

2. Seterusnya ialah kisah salah seorang Shaikh yang thiqah (dipercayai) yang mengisahkan kisah anak beliau yang sakit. Shaikh ini mempunyai anak berumur 5 tahun. Pada suatu hari dia jatuh sakit. Dia pun membawa anaknya kepada doktor dan doktor memberitahunya bahawa dia sakit teruk dan tidak boleh disembuhkan. Dia akan mati tidak berapa lama lagi. Shaikh yang bertaqwa lagi saaleh ini pun mula berasa sedih yang bersangatan. Dalam kesedihan beliau tiba-tiba terlintas di fikiran beliau sebuah hadith Rasul SallAllahu `alayhi wa sallam: “Rawatilah penyakit kamu dengan bersedekah.” Pada malam tersebut seperti kebiasaan beliau selepas bangun untuk bertahajjud dan berdoa maka beliau memutuskan untuk keluar ke jalan raya untuk mencari orang yang boleh disedekahkan namun tidak ketemu. Cuaca di luar sangat dingin ketika itu dan manusia sedang tidur dalam rumah mereka. Namun beliau bertemu dengan seekor kucing putih lagi comel yang sedang menyusukan anak-anaknya dalam keadaan kelaparan yang bersangatan. Beliau pun segera kembali ke rumahnya dan memberikan kepada kucing tersebut seketul daging dengan niat sedekah kerana Allah. Kemudian beliau pergi ke masjid untuk solat Fajar dan kemudian kembali ke rumah untuk tidur sebentar. Semasa tidur beliau melihat suatu mimpi yang aneh di mana seekor gagak hitam yang besar menyerang anaknya dan cuba menyambarnya dalam keadaan anaknya menangis sambil meminta tolong. Dengan tidak semena-mena datang seekor kucing putih yang menyerang dan mencarik-carikkan gagak tersebut dan budak itu pun terselamat. Shaikh pun bangun selepas itu tanpa mengambil peduli tentang mimpi beliau yang aneh. Seperti kebiasaannya beliau akan membawa anaknya kepada doktor untuk beberapa pemeriksaan dan ujian. Doktor merasa terkejut selepas ujian tersebut dan mengesahkan bahawa anaknya tidak lagi mengalami apa-apa penyakit. Shaikh pun teringat kembali mimpi beliau serta sedekah yang beliau lakukan secara tersembunyi dalam kegelapan malam lalu bershukur kepada Allah atas perkara tersebut. Anak beliau pun membesar lalu menjadi seorang pemuda yang bertaqwa, menghafal keseluruhan Al Qur’an dan memiliki suara yang indah lagi lunak.




Demikianlah saudara-saudari yang dikasihi fillah sekalian. Telah saya ketahui daripada shaikh ini untuk bersedekah secara kerap walaupun dalam nilai yang sedikit lalu saya temui kelegaan selalu dengan izin Allah. Saya berharap agar anda telah mendapat faedah daripada kisah ini dan akan selalu mengingati para fakir miskin selalu. (Diambil daripada kisah-kisah dan pengajaran-pengajaran oleh Al Qattan) 3. Ini merupakan kisah ajaib yang terdapat dalam Kitab Al Birr wa As Silah oleh Imam Ibn Al Jawzi.



Pandangan Abihaiqal:


Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian,




Pada kali ini saya ingin memberi sedikit maklumat mengenai Khidmat Baitul Mahabbah, saya menyeru kepada diri saya dan Tuan-tuan sekiranya berkesempatan bolehlah terus menyumbang ke rumah kebajikan ini.

Khidmat Baitul Mahabbah (Rumah Kasih Sayang) adalah sebuah rumah Kebajikan menempatkan kanak-kanak malang dan kurang bernasib baik yang terdiri dari anak-anak yatim, anak-anak orang miskin dan sebagainya.Ia di tubuhkan pada awal tahun 2005. Bertempat di No. 29, Jalan 8/8, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor Darul Ehsan.Terdapat lebih kurang tiga puluh orang kanak-kanak dari kalangan anak-anak yatim, anak-anak fakir miskin, warga tua, ibu tunggal dan yang terbiar menghuni disini.Atas dasar kasih sayang yang di tuntut oleh Allah SWT dikalangan kita sesama manusia, anak-anak ini di asuh agar mereka kenal, yakin dengan Allah dan menerima ketentuan Tuhan mengikut kehendaknya.Kasih sayang di perlukan oleh semua insan. Justeru itu dirumah ini anak-anak ini cuba disuburkan Roh, M
ental dan Fizikal dengan kasih sayang yang tepat mengikut kehendak Allah.

RINGKASAN SYARIKAT






NAMA SYARIKAT : KHIDMAT BAITUL MAHABBAH (RUMAH KASIH SAYANG)NO. PENDAFTARAN : SA 0064640 – 4ALAMAT SYARIKAT :NO. 29, JALAN 8/8,BANDAR TASIK PUTERI,48020 RAWANG,SELANGOR DARUL EHSAN.NO. TELEFON : 03-60342593NO. FAKSIMILI : 03-60342593E-MAIL : kbm_2005@yahoo.com.my






OPERASI SYARIKAT :MENGURUSKAN KEPERLUAN UNTUK ANAK YATIM, ANAK-ANAK FAKIR MISKIN, IBU TUNGGAL, WARGA EMAS & ORANG YANG MEMERLUKAN BANTUAN.MENGENDALIKAN PROGRAM MOTIVASI DAN KHIDMAT KAUNSELING.






Untuk keterangan lanjut sila hubungi kami:


Ustazah Habidah 017-3085667



Ustaz Zailan 016-3313539

Pn. Sakinatul Laila 019-2863214 / 017-3448897


Pejabat 03-67342593

Alamat surat menyurat:Khidmat Baitul Mahabbah (Rumah Kasih Sayang),No. 29, Jalan 8/8, Bandar Tasik Puteri,48020 Rawang, Selangor Darul Ehsan.


Akaun Bank :MBB 562012003196 KHIDMAT BAITUL MAHABBAH http://rumah-kebajikan-kbm.blogspot.com/

Sumbangan berupa barangan / makanan bolehlah dihantar terus ke tempat kami atau hubungi terus wakil kami seperti yang dinyatakan di atas.Segala sumbangan anda kami dahului dengan ucapan terima kasih agar ianya dinilai di sisi Tuhan.






Jenis-jenis Sembahyang


Perkara penting yang perlu diambil perhatian semasa menunaikan sembahyang hendaklah khusyuk. Ini berpandukan apa yang diingatkan oleh baginda Rasulullah SAW kepada Abu Zar:
Ya Abu Zar dua rakaat sembahyang yang dilakukan dengan khusyuk itu lebih baik dari sembahyang
sepanjang malam tetapi dengan hati yang lalai
Foto Oleh Badruddin Ghazali
Sembahyang yang khusyuk bolehlah diertikan
sembahyang yang sempurna lahir dan batin. Ketika
jasad mengadap Allah, hati juga tunduk menyembah
Allah.

Ketika mulut menyebut Allahu Akbar, hati juga
mengaku Allah Maha Besar. Ketika jasad sujud
menghina diri, hati juga menyungkur menghina diri.
Dan ketika mulut memuji mengagungkan Allah dan
berdoa pada Allah, hati juga memuja, merintih dan
karam dalam penyerahan pada Allah.

Telah bertanya Jibril pada Nabi SAW:
Terjemahannya: Khabarkan padaku apa itu ihsan?
Dijawab baginda, Engkau menyembah Allah
seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika tidak kelihatan,
yakinlah bahawa Dia sentiasa melihat engkau.

Kalaulah dapat dihayati sembahyang itu, sebagaimana
yang dianjurkan di atas, kesannya akan cukup
besar pada diri dan jiwa manusia. Iman akan bertambah
di samping bertambahnya rasa tawakal, syukur,
redha, sabar dan lain-lain sifat mahmudah.
Cukuplah sedikit rakaat sembahyangnya asal
khusyuk daripada banyak sembahyang tetapi lalai.
Sebab perkara yang menjadi matlamat ibadah ialah
membuahkan iman dan akhlak manusia. Kalau
banyak pun rakaatnya tetapi dikerjakan dengan hati
yang lalai, maka bukan sahaja iman dan akhlak tidak
bertambah, malah ia menjadi sia-sia.

Mungkin pahalanya Allah berikan juga, tetapi
banggakah kita kalau perniagaan yang kita buat
hanya mengembalikan modal langsung tidak untung?
Sembahyang yang lalai tidak akan menambahkan
iman dan menguatkan jiwa sebaliknya meletihkan
badan sahaja.

Di Padang Mahsyar nanti, Allah akan memanggil
manusia yang sembahyang untuk diperiksa sembahyangnya.
Waktu itu sembahyang akan dikategorikan
pada lima peringkat:

1. Sembahyang orang jahil.
2. Sembahyang orang lalai.
3. Sembahyang orang yang lalai separuh khusyuk.
4. Sembahyang orang khusyuk.
5. Sembahyang Nabi-Nabi dan Rasul

Sembahyang orang jahil
ialah sembahyang yang
dilakukan oleh orang yang tiada ilmu tentang sembahyang.
Dia tidak tahu tentang rukun dan sunat dan
dibuat tanpa peraturan yang telah ditetapkan syariat.
Kerana itu awal-awal lagi sembahyangnya ditolak
malah ia berdosa kerana tidak belajar.

Sembahyang orang lalai ialah sembahyang yang
walaupun sempurna lahirnya tetapi hatinya tidak
hadir langsung dalam sembahyang. Bermacam-macam
perkara yang diingatkan sewaktu berdiri, rukuk,
sujud dan duduk dalam sembahyangnya itu. Dari awal
hingga akhir sembahyangnya sedikit pun tidak mengingati
Allah.

Sembahyang jenis ini diganjarkan dengan dosa
bukan dengan pahala. Allah berfirman:

Terjemahannya: Neraka Wail bagi orang yang
sembahyang. Yang mereka itu lalai dalam sembahyangnya.
(Al Maaun: 4-5)

Sembahyang yang ketiga ialah sembahyang yang
di dalamnya berlaku tarik menarik dengan syaitan.
Maknanya orang itu sentiasa berjaga bila syaitan mula
melalaikannya dari Allah, cepat-cepat dikembalikan
ingatannya pada Allah. Begitulah seterusnya berlakunya
hingga akhir sembahyang. Ada waktu lalai dan
ada waktu khusyuk. Sembahyang ini tidak berdosa
dan tidak juga berpahala. Cuma orang itu dimaafkan.

Sembahyang orang khusyuk ialah sembahyang
orang yang sepanjang sembahyangnya itu penuh
dengan ingatan pada Allah dan pada apa yang dibacakannya
dalam sembahyang.

Orang ini dapat merasakan yang dia sedang
mengadap Allah, maka perhatiannya hanya pada
Allah. Orang ini sembahyangnya bererti janjinya pada
Allah, memohon ampun pada Allah, berdoa pada
Allah, menghina diri pada Allah dan mengagungkan
Allah.
Sembahyang beginilah yang akan menghapuskan
dosa, membaharui ikrar, menguatkan iman, mendekatkan
hati pada Allah, meningkatkan taqwa dan
mengelakkan diri dari perbuatan keji dan mungkar.
Itulah keuntungan di dunia dan di akhirat Allah
menganugerahkan pahala syurga yang penuh kenikmatan.

Sembahyang yang kelima ialah peringkat tertinggi
iaitu sembahyang para Nabi dan Rasul. Mereka ini
luar biasa khusyuknya. Mereka benar-benar nampak
Allah dengan mata hati. Dalam sembahyang mereka
seakan-akan sedang berbual-bual dengan Allah. Sebab
itu mereka tidak pernah jemu dengan sembahyang.
Bagaimana indahnya perasaaan hati orang yang
dapat bertemu kekasihnya, begitulah indahnya perasaan
mereka ini dalam sembahyang.

Salah satu perkara utama yang disukai oleh Rasulullah
SAW ialah sembahyang. “Sembahyang penyejuk
mataku," menurut sabda baginda.

Syurga yang akan Allah anugerahkan pada mereka
ialah syurga tertinggi yang tidak tercapai oleh
orang-orang awam seperti kita.

Jadi tugas kita sekarang ialah memperbaiki sembahyang
di samping membanyakkannya. Untuk itu
kita sekali lagi mesti mujahadah. Dan hanya dengan
mujahadah kita mungkin dapat mempertingkatkan
iman dan membanyakkan amalan soleh. Dan hanya
dengan iman dan amal soleh sajalah kita dapat
membina dan mencantikkan rumah kita di akhirat
nanti.



Minda Mujaddid

Rabu, 22 Julai 2009

Berdoalah

Berdoa juga adalah ibadah, juga sumber iman dan
pergantungan diri kepada Allah. Orang-orang yang
tidak mahu berdoa kepada Allah sebenarnya sombong
dengan Allah. Bukankah terlalu banyak hajat,
keinginan dan harapan kita yang hanya mungkin
tercapai dengan pertolongan Allah?



Kalau begitu, berdoalah. Adukan semua masalah
kepada Allah dan gantungkan harapan penuh kepada-
Nya. Berdoalah di tempat-tempat dan di waktu waktu
yang di “kabul doa” dengan hati yang penuh
khusyuk, mengharap dan yakin serta sabar, insya-
Allah ia akan menjadi sumber ketenangan dan
kebahagiaan.



Sebab sudah fitrah manusia apabila ia dalam
kesusahan ia akan mengalami ketegangan fikiran dan
perasaan. Satu-satunya cara mengubat penyakit ini
ialah dengan mengadu, mengharap dan menyandarkan
diri kepada suatu kuasa yang boleh menolongnya
menyelesaikan masalah itu.




Kerana itu, Islam mengajar doa. Sebab hanya
Allah-lah kuasa mutlak yang layak dan mampu berbuat
begitu. Faedah berdoa ialah jiwa yang lemah
akan jadi kuat, hati yang susah jadi senang dan perasaan
yang gelisah jadi tenang.




Minda Guruku

Selasa, 21 Julai 2009

Minum Arak: Model dihukum 6 sebatan


Jul 20, 09 7:38pm
Seorang model pelancongan didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak.Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, dari Sungai Siput, Perak menjalani hukuman penjara tiga tahun, jika gagal membayar denda itu.Tertuduh didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating kira-kira pukul 11.40 malam pada 11 Julai tahun lepas, laporan Bernama.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.Abdul Rahman dalam penghakimannya berkata mahkamah tidak ragu-ragu dalam menjatuhkan hukuman selepas tertuduh mengaku bersalah ketika didakwa di mahkamah itu pada 1 Disember tahun lepas.Tertuduh yang dilihat mengalirkan air mata ketika penghakiman dibacakan kemudian memohon penangguhan hukuman untuk rayuan melalui peguamnya, Mohd Zuki Che Mat Ghani.Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Syarie, Saiful Idham Sahimi.

Pandangan:

Arak sepertimana yang kita tahu adalah Ibu kepada Segala Kejahatan. Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah.

Abul Laits berkata Rasulullah s.a.w. telah menerangkan bahawa tiap minuman yang memabukkan itu haram, dimasak atau tidak dimasak. Sebagaimana riwayat Jabir r.a. berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: Semua yang memabukkan jika diminum banyak, maka sedikit juga haram." Dilain riwayat dikatakan: "Yang memabukkan jika diminum satu botol, maka seteguk juga haram."

Marilah bersama kita nasihat menasihati tentang pentingnya kita menjauhi perbuatan meminum arak ini. Ingatlah bahawa tujuan kita dilahirkan kedunia ini adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah, semestinyalah kita wajib mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Ya Allah, Jadikanlah kami hamba-hambamu yang sentiasa mentaatimu dan pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai.

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin