Memaparkan catatan dengan label Taqwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Taqwa. Papar semua catatan

Isnin, 17 Ogos 2009

Kesan Bila Tidak Bertaqwa


Taqwa adalah punca keselamatan dan kebahagiaan dunia
dan Akhirat. Tanpa taqwa, kita tidak akan selamat dan tidak
akan bahagia. Kita tidak akan terpelihara dan tidak akan
dapat berlindung dengan Allah. Kita akan terdedah kepada pelbagai
serangan nafsu dan syaitan. Natijahnya, kita tidak akan
sampai kepada Tuhan dan hasilnya sangat rosak dan merosakkan.
Kalau taqwa tidak ada dan nafsu bermaharajalela, kesannya
amat buruk sekali.


Contoh Kesan Ke Atas Manusia
Mari kita lihat beberapa contoh yang melibatkan beberapa
golongan manusia:


1. Ulama
Bila taqwa tidak ada, para ulama akan dihinggapi oleh sifat-sifat
atau penyakit-penyakit berikut:
a. Sombong atau ego
b. Ujub dan riyak
c. Hasad dengki
d. Susah untuk menerima kebenaran dari orang lain
e. Ingin berlawan terutama sesama ulama
f. Mempergunakan ilmu sebagai alat untuk kepentingan
dunia, pangkat dan wang ringgit
g.Pemarah
h. Ingin dihormati (gila puji)
i. Kalau mampu, suka hidup bermewah-mewah.
Kalau hati tidak bertaqwa, maka mustahil akan kita temui
mufti-mufti, tuan-tuan kadhi, ustaz-ustaz dan tuan-tuan imam
yang merendah diri, yang merasai diri kurang, yang mengasihi
orang lain sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri yang
bersedia untuk ditegur walaupun oleh kanak-kanak, yang tidak
suka menunjuk-nunjuk pandai dan kehebatan, yang menggunakan
ilmu untuk kepentingan Allah dan kehidupan di
Akhirat, yang mudah melupa dan memaafkan kesilapan orang
lain, yang tidak suka dihormati dan dipuji kerana yang layak
dipuji hanyalah Allah dan yang zuhud serta warak.
Bila tidak ada ulama yang bersifat begini, maka umat seolah-olah
ketiadaan lampu penyuluh. Tinggallah mereka dalam
gelap-gelita. Tidak tahu halal haram, tidak kenal Quran dan
Hadis, tidak kenal Allah dan alam Akhirat, tidak pandai membezakan
akhlak baik dan akhlak buruk, tidak faham apa yang
boleh dan apa yang tidak boleh, juga tidak faham apa yang baik
dan apa yang tidak baik. Maka hidup mereka tidak menentu.
Kadang-kadang ke barat, kadang-kadang ke timur, terlanggar
ke sana, terlanggar ke sini, terjunam ke lembah-lembah, tersungkur
di jalanan dan macam-macam kacau-bilau lagi. Jarang
dan mungkin tidak ada langsung umat yang selamat.
Maka jadilah apa yang sedang terjadi hari ini. Umat Islam
tidak bertaqwa dan tidak ikut cara hidup Islam sepenuhnya.
Kadang-kadang jadi macam Yahudi, macam Kristian, macam
Hindu, macam Buddha, macam Hippies, macam Punk, macam
Skinhead, ikut rock, ikut metal dan macam-macam lagi. Budaya
dan tamadun Islam tidak ada dan tidak dapat dibangunkan dan
diperjuangkan. Yang ada ialah budaya kuning, budaya campur
aduk dan budaya kacau-bilau.

2. Pemimpin
Akibat ulama tidak bertaqwa maka mereka tidak dapat mendidik
pemimpin atau penguasa agar jadi pemimpin yang bertaqwa.
Bila pemimpin tidak bertaqwa, maka hatinya akan dikerumuni
oleh nafsu-nafsu jahat. Antaranya ego, sombong, takabur, riyak,
ujub, menzalim (diskriminasi), pilih kasih, gila kuasa, tidak adil,
berburuk sangka, berhasad dengki terutama sesama pemimpin,
menggunakan kuasa dan kepentingan untuk keuntungan dunia
dan peribadi, menghukum sesuka hati, takut dengan rakyat
sendiri, bersifat pemarah dan terlalu suka bermewah-mewah.
Kerana penguasa atau pemimpin tidak bertaqwa maka sukar
sekali untuk kita mencari seorang menteri atau wakil rakyat atau
presiden yang suka merendah diri dan merasa dirinya setaraf
dengan orang lain. Tidak berbangga dengan kuasa, tidak rasa
dirinya istimewa, berlaku adil dan berlemah-lembut, berbaik
sangka, berkasih sayang sesama pemimpin, menggunakan
kuasa untuk kepentingan Islam dan kehidupan di Akhirat,
berhati-hati ketika menghukum, suka memaafkan dan hidup
ala kadar iaitu sekadar memenuhi keperluan.
Bila hati pemimpin dan sikapnya sudah rosak, kotor dan
jahat, maka sudah tentu pimpinannya akan turut rosak, kotor
dan jahat sama ada mereka sedar atau tidak dan sama ada
mereka mahu atau tidak. Pemimpin seperti ini bukan bekerja
untuk menyelamatkan umat tetapi untuk mempertahankan
kuasa. Buat kebaikan bukan secara rela tetapi terpaksa sebab
takut dihukum atau dikata nista oleh rakyat. Dia berlaku zalim,
kejam, bermewah-mewah dan berfoya-foya dengan maksiat dan
kemungkaran.


Kalaupun ada pemimpin yang baik, yakni dia tidak buat
semua itu, tetapi kalau tidak atas dasar taqwa, nescaya dia akan
mencari juga kepentingan diri dan tidak tahan diuji. Dan ini
akan membawa kepada seribu satu macam masalah kepada
dirinya dan kepada rakyatnya. Pemimpin yang tidak bertaqwa
boleh menjadikan rakyat berpecah-belah, bergaduh dan
bersenget hati sesama sendiri. Bahkan di kalangan pemimpin
pun sama, mereka berdendam dan berdengki.
Apakah alasan berlakunya semua ini? Adakah sebab ekonomi
tidak kukuh, sebab kebodohan rakyat, sebab kemajuan
tidak seberapa atau sebab ilmu tidak ada. Sebenarnya semua
ini disebabkan manusia-manusia yang tidak bertaqwa. Kalaulah
masyarakat kita bertaqwa, nescaya Allah akan lepaskan kita dari
sebarang kesulitan dan masalah dan akan menjadikan negara
kita negara yang aman makmur dan mendapat keampunan
Allah SWT.


3. Orang Kaya
Kalau orang kaya tidak bertaqwa maka jadilah hatinya penuh
dengan sombong, ego, suka membazir, riyak, yakni suka menunjuk-
nunjuk, menyalahgunakan harta seperti untuk mengumpan
perempuan cantik, rasuah dan suka berlumba-lumba kekayaan
terutama dengan orang yang sama-sama kaya. Dalam pada itu
masing-masing saling kata-mengata.
Lihatlah hari ini mereka berbangga dengan rumah besar,
kereta besar, harta banyak, perabot mahal dan lain-lain lagi.
Mereka bercuti ke sana bercuti ke sini. Beli barang bukan di
Malaysia tetapi yang diimport dari London, Paris dan sebagainya.
Duit orang kaya lebih banyak daripada duit negara. Walhal
mereka tahu bahawa masyarakat mereka miskin. Tabung
perjuangan Islam sentiasa kosong malah terhutang-hutang.
Negara tidak cukup duit untuk membiayai keperluan rakyat
disebabkan orang kayanya berhati kejam dan sangat membazir.
Dalam keadaan ini sampai bila pun manusia tetap akan berada
di dalam keadaan tidak puas hati. Kecualilah, orang-orang kaya
sanggup menjadi bank kepada rakyat, yang memberi pinjaman
tanpa riba dan tidak minta dibayar di dunia. Sebab mereka
faham bahawa kekayaan mereka Allah yang punya dan ia adalah
pinjaman dari Allah, sekaligus sebagai ujian untuk melihat siapa
yang sedar diri tentang asal-usulnya.

4. Orang Miskin
Orang miskin kalau tidak bertaqwa maka tidaklah selamat
hatinya dari sifat-sifat yang buruk seperti tidak sabar dengan
kemiskinan hingga sanggup mencuri, menyamun, menipu dan
membunuh. Mereka sangat hasad dengki dan sakit hati dengan
orang yang kaya dan berada. Keinginan untuk kaya sangatlah
tebal hingga bila tidak kaya-kaya juga, mereka jadi putus asa
dengan Allah. Hal-hal yang sedemikian itu menyebabkan
berlaku berbagai jenayah dalam masyarakat. Rompak, samun,
seluk saku, ragut dan lain-lain bentuk kecurian menjadi
pekerjaan tetap yang mendatangkan pendapatan yang lumayan.
Hingga kerana itu, ramai manusia hidup dalam ketakutan,
kalau-kalau rumahnya pula dimasuki pencuri.
Padahal tidak sepatutnya perkara-perkara seperti ini berlaku
dalam masyarakat umat Islam. Kerana orang mukmin yang
bertaqwa kalau dia miskin dia redha dengan takdir. Dia tidak
terseksa dengan kemiskinan di dunia demi mengharapkan
kekayaan yang Allah janjikan di Akhirat.


5. Kaum Ibu dan Wanita
Kaum ibu atau wanita kalau tidak bertaqwa maka kerja mereka
ialah mengumpat, bersolek untuk menunjuk-nunjuk pada
orang lelaki, gila dunia yakni gilakan perabot, hiasan, gelang,
pakaian hingga lupa pada Allah dan lupa pada Akhirat. Seorang
isteri yang tidak bertaqwa tidak akan dapat melayan dan
mentaati suami dengan baik disebabkan tidak ada pada mereka
sifat merendah diri pada suami dan sifat memandang mulia
pada suami. Mereka bebas untuk keluar rumah dan menyusun
program sendiri tanpa memikirkan sangat apa kata suami.
Bila kaum ibu berada dalam keadaan begini maka rumah
tangga bukan lagi gelanggang cinta dan kasih sayang di mana
suami terasa seperti berada di dalam sebuah mahligai yang
penuh dengan kebahagiaan dan ketenangan di samping anakanak
yang terdidik dengan kasih sayang, akhlak mulia dan ilmu
yang berguna.


Oleh kerana semua manusia ini inginkan kasih sayang dan
kebahagiaan maka jika rumah tidak dapat menyediakannya,
tentu mereka akan cari kebahagiaan di luar. Lalu terjadilah apa
yang telah dan sedang terjadi. Disko, karaoke dan tempat
manusia mencari kasih dan kebahagiaan secara keji dan haram
itu sering penuh, bahkan merupakan suatu perniagaan yang
sangat menguntungkan. Ada yang menagih kebahagiaan dari
dadah, dari arak dan dari segala hiburan-hiburan yang kotor kotor.
Mereka menyangka itu semualah kebahagiaan hidup,
tidak ada yang lain lagi walaupun mereka sedar bahawa
melakukan semua itu bererti kehinaan dan kebinasaan hidup.


Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya seisi dunia ini adalah perhiasan.
Dan perhiasan yang paling baik ialah wanita (isteri)
yang solehah.” (Riwayat Muslim)


Semua orang tertarik pada perhiasan. Apalagi kalau alat
perhiasan itu adalah sesuatu yang sangat baik. Jadi, kalau dalam
sebuah rumah itu ada wanita solehah maka ahli-ahli rumah itu
akan tertarik untuk sentiasa berada di rumah. Rumah adalah
hiburan dan ketenangan bagi hati-hati mereka.


6. Pemuda dan Pemudi
Kalau pemuda atau pemudi tidak bertaqwa, maka jadilah
mereka manusia yang suka berfoya-foya, bercinta-cintaan,
berlagak ke hulu ke hilir dan menunjuk-nunjukkan diri. Bahkan
mereka sanggup menjadi kutu jalan. Kalau ada kesempatan
mereka akan mengorat tanpa malu bahkan ini sudah jadi
permainan yang lumrah. Rasa iri hati, cemburu dan hasad
dengki sesama sendiri bersarang penuh dalam hati-hati mereka.
Semua dapat kita saksikan dalam lakonan hidup mereka. Mereka
sering berangan-angan, khayal dan lalai dari tugas-tugas
yang sepatutnya. Kes-kes zina di kalangan muda-mudi yang
turut melibatkan pelajar-pelajar sekolah sudah jadi perkara
biasa dan seakan-akan mahu dibiarkan berterusan oleh masyarakat.
Mana ada satu sekolah yang muda-mudinya sedang memperjuangkan
agama, bangsa, negara dan tamadun umat supaya
kita jadi gagah dan mulia di mata dunia. Tidak ada. Yang ada
hanyalah membina budaya lucah, gila harta, gila perempuan,
gila pangkat dan saling berebutan hingga membuatkan jentera
penggerak pembangunan tamadun kita jadi lemah dan lembab.
Mereka tidak bekerja kalau bukan untuk makan gaji. Masa
kosong dibuang di padang bola, bukan memikirkan projek pertanian,
perindustrian dan lain-lain yang sungguh penting untuk
kekuatan umat. Berapa kerat muda-mudi Islam yang dapat
menunaikan sepenuhnya tuntutan sembahyang lima kali sehari
itu? Maka sebanyak itu sajalah dari mereka yang dapat diharapkan.
Selebihnya adalah pengganggu, perosak, pengacau dan
penghalang perjuangan kebenaran.


Muda-mudi yang bertaqwa ialah orang-orang yang serius
terhadap tanggungjawab pada agama, bangsa dan negara.
Mereka menyediakan tenaga, masa, fikiran dan semangat untuk
tugas sebagai khalifah Allah di dunia. Mereka sanggup tinggalkan
budaya liar, berfoya-foya, berlepak dan berlagak serta bergaya
tidak menentu.


Begitulah jauh bezanya antara umat yang bertaqwa dan
tidak bertaqwa. Kalaulah kita dapat capai maqam ini, insya-
Allah negara kita akan menjadi negara yang aman makmur
seperti yang kita laungkan dan idam-idamkan dan sebagaimana
yang difirmankan oleh Allah SWT:
Maksudnya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.”
Minda Guruku

Isnin, 6 Julai 2009

Contoh Amalan Seharian Untuk Menanam Benih Taqwa

Foto oleh: Emran MT


Bila kita keluar berkereta setiap hari lepas Subuh dan tiba di persimpangan jalan, hati kita berkata, "Di sini aku hendak dapat taqwa. Aku akan beri laluan kepada orang."Itulah taqwa. Tetapi jika kita berkata, "Ikut undang-undang, ini aku punya laluan. Buat apa aku beri laluan pada orang lain."Betullah itu kalau mengikut undang-undang. Tetapi kita tidak akan dapat taqwa sebab kita tidak mahu berkorban hak kita untuk orang lain.Kemudian kita terlihat pula ada orang yang berjalan kaki. Kita pun berkata, "Ini peluang untuk dapat taqwa." Maka kita tumpangkan dia. Itulah taqwa.

Kita tolong orang. Kita berkhidmat untuk orang.Kita hiburkan orang. Mungkin dia sudah letih dan sudah berjam-jam membuang masa menunggu bas. Kita jalan lagi. Kita angkat tangan kepada orang. Lebih-lebih lagi kita ucapkan, "Assalamualaikum." Itu taqwa lagi. Di persimpangan jalan pun sudah berapa banyak amalan taqwa yang boleh kita buat.Kemudian, kita singgah di gerai untuk minum. Duit ada lebih sedikit. Kita belanja orang sebelah minum. Lagi besar dapat taqwa. Di gerai ada nasi lemak, ada lauk ikan, lauk daging dan ayam. Dengan nasi lemak dan lauk pauk itulah kita boleh dapat taqwa kalau kita jamu dan belanja orang makan. Tetapi pernahkah kita di ajar begitu? Sanggupkah kita berbuat begitu? Tahukah kita bahawa itu taqwa? Sudah banyak kali kita dengar khutbah Jumaat, "Ittaqullah!" "Bertaqwalah kamu kepada Allah!" Tetapi tidak ada kefahaman dan penghayatannya.

Umat Islam bukan sahaja dilarang bermusuh tetapi diminta berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya. Itulah batang, dahan, ranting, daun,bunga dan buah di atas benih taqwa. Bila bertemu orang yang kita tidak kenal, tersilap cara kita bercakap dengannya, kita minta maaf dan kita merendah diri kepadanya. Itulah taqwa.


Bukan susah sangat hendak cari taqwa.Apabila orang pula bersalah dengan kita dan dia tidak meminta maaf, kita berkata, "Saya hendak taqwa, maka saya maafkan orang itu." InsyaAllah kita akan mendapat taqwa walaupun orang itu tidak meminta maaf. Ini yang digalakkan.Kita berjiran. Bila ada makanan lebih, kita beri kepada jiran. Kalau dia bersalah, kita maafkan dia. Kita jaga keperluannya.


Dengan jiran pun sangat banyak sifat taqwa yang boleh kita miliki.Kalau kita terbuat salah, sama ada sedar atau tidak, kemudian ada kawan menasihati kita, maka kita akan berterima kasih kepadanya dan kepada Tuhan. Itulah taqwa. Jangan pula kita marah, herdik atau menghina dia kerana menasihati kita. Itu sombong namanya. Bagaimana kita boleh jadi sombong walhal menerima nasihat itu adalah taqwa.Kita ke pasar membeli ikan.Kebetulan kita ada duit lebih. Apa salahnya kita belikan orang sebelah kita dua, tiga ekor ikan demi untuk mendapat taqwa. Peluang di depan mata kita tidak ambil.


Kita hendak cari taqwa di surau dan di masjid sahaja.Benih taqwa boleh tumbuh di mana-mana bukan sahaja di surau dan di masjid.Benih taqwa boleh tumbuh dalam kehidupan seharian, di pasar, di gerai, di kedai, di jalanan, di pejabat, di sekolah, waktu bertemu kawan, dengan jiran, dengan madu malahan di mana dan dengan sesiapa sahaja.Dalam melaksanakan tugas rasmi dan tanggungjawab kita boleh dapat taqwa. dalam membuat kerja tidak rasmi pun kita boleh dapat taqwa.


Dalam kita menegakkan hablumminallah , iaitu sembahyang, puasa,baca Quran, wirid dan zikir, kita boleh dapat taqwa. Dalam kita menegakkan hablumminannas seperti berniaga, bermasyarakat, berjiran dan bekerja, kita pun boleh dapat taqwa. Malahan peluang untuk mendapat taqwa di bidang hablumminannas lebih luas dan lebih banyak dan ia berlaku sepanjang masa dari sekecil-kecil amalan hinggalah kepada yang sebesar-besarnya. Yang penting kita berbuat sebanyak mungkin amalan makruf dengan kesedaran bahawa Allah melihat dan memerhati kita dan keredhaan-Nyalah yang kita harapkan. Besar atau kecil amalan tidak menjadi persoalan. Keikhlasan dan penghayatan itulah yang menjadi pokok.

Minda Guruku

Zikir Untuk Mencapai Taqwa


Berzikir memang di antara jalan untuk mencapai taqwa. Namun kalau maksud “zikir” ini tidak dikembangkan atau dijelaskan, ia akan menimbulkan kekeliruan. Ramai orang tidak memahami erti sebenar zikir dan hakikat zikir. Ramai yang menganggap zikir itu setakat kumat-kamit di mulut dan menggentel biji tasbih.


Kalau itulah zikir, masakan ia dapat mendatangkan taqwa. Taqwa bukan benda kecil. Taqwa adalah satu keadaan hati yang begitu tinggi. Iaitu hati yang tenang dan selamat sejahtera. Hati yang terisi dengan iman, yakin, ikhlas, redha, sabar, syukur, tawakal, takut dan berharap dengan Allah SWT. Hati yang mampu merasa sihat dalam sakit, kaya dalam miskin, ramai dalam keseorangan, lapang dalam kesempitan dan terhibur dengan ujian dan mehnah dari Tuhan.
Bentuk zikir berbeza-beza. Ada zikir qauli (disebut dengan lidah). Ada zikir fe’li (amalan lahir) dan ada zikir qalbi (iaitu zikir di hati).


Zikir Qauli


Zikir qauli ialah apa yang disebut dengan lidah berulang-ulang kali seperti nama-nama Tuhan, istighfar, selawat, ayat-ayat Al Quran dan sebagainya. Zikir qauli ini bertujuan untuk membantu hati dalam mengingati Allah. Zikir qauli yang tidak difahami dan tidak membawa apa-apa rasa di hati tidak ada makna apa-apa dan tidak ada pahalanya. Kecualilah kalau zikir itu ayat-ayat Quran dan selawat. Kalaupun tidak difahami dan tidak membawa rasa-rasa di hati, bacaan ayat-ayat Quran dan selawat tetap akan diberi pahala. Zikir-zikir yang lain, kalau tidak difahami dan kalau tidak membawa rasa-rasa di hati, bukan sahaja tidak dapat apa-apa pahala tetapi tidak juga dapat mendidik hati.


Ramai orang suka mengamalkan zikir qauli ini. Kadangkadang dibaca berulang-ulang kali zikir itu sampai beratus-ratus malahan beribu-ribu kali. Tapi harus diingat, nilai zikir qauli bukan terletak kepada jumlahnya tetapi kepada kefahaman dan kesannya kepada hati.

Kalau hati telah terhubung dengan Tuhan, kalau hati telah berzikir dan merasa bertuhan, maka zikir qauli tidak perlu lagi. Biar sahaja hati yang berzikir. Ini kerana zikir qauli adalah seperti “starter-motor” kepada kereta dan hati itu enjinnya. Kalau enjin kereta sudah hidup, tidak perlu lagi kita gunakan starter-motor.


Zikir Fe’li


Zikir fe’li pula ialah segala ibadah lahir sama ada yang sunat mahupun yang wajib atau fardhu. Ini termasuklah solat, puasa, zakat, haji, sedekah, menolong orang dan sebagainya.

Zikir fe’li ini juga kalau tidak memberi kesan kepada hati, tidak juga ada apa-apa makna. Kalau solat tidak menghidupkan rasa khusyuk iaitu rasa bertuhan dan rasa kehambaan, solat itu tidak ada apa-apa makna. Sampai bila pun kita tidak akan jadi baik. Ini kerana rasa bertuhan itu boleh menyuburkan sifat-sifat mahmudah dan rasa kehambaan itu boleh membakar sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita.


Kalau puasa tidak mampu membersihkan fitrah kita, dan tidak menginsafkan kita, maka puasa tidak ada makna apa-apa. Kerana amalan puasa itu bertujuan mengekang hawa nafsu dan menyucikan fitrah.

Kalau zakat tidak dapat memusnahkan cinta kita kepada dunia dan menimbulkan cinta kita kepada Akhirat, dan tidak dapat memupuk rasa kasih sayang terhadap fakir miskin, maka zakat tidak ada makna apa-apa. Cinta dunia kita itulah kepala atau ibu segala maksiat yang kita lakukan.


Kalau haji tidak dapat membuatkan kita rela berkorban dan bersusah payah kerana Tuhan, dan hati tidak tertuju kepada Tuhan, maka haji kita tidak ada makna apa-apa. Haji itu maksudnya “menuju” iaitu hati atau roh menuju Tuhan.


Zikir Qalbi


Zikir qalbi atau zikir hati itu ialah segala ibadah rohaniah yang melibatkan akal dan hati. Ini termasuklah mendidik hati supaya mengenal Tuhan sehingga menjadi orang yang arifbillah (orang yang mengenal Allah dengan hatinya). Kemudian menjadi orang yang cinta kepada Allah. Orang yang kenal Allah itu pasti akan jatuh cinta pada-Nya kerana Allah itu Maha Baik dan Maha Sempurna sifat-Nya. Selepas itu menjadi orang yang takut kepada Allah iaitu takut tersisih dari rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya. Kemudian pula menjadi orang yang kuat rasa bertuhan. Rasa hebat, gerun, tawakal, bergantung harap kepada Allah. Merasakan Allah sentiasa melihat, mengetahui serta mengawasi.


Ibadah rohaniah juga termasuk mujahadah melawan hawa nafsu (mujahadatunnafsi), muhasabah diri, memperbaiki diri melalui takhalli (membuang sifat-sifat mazmumah dari hati) dan tahalli (menghiasi hati dengan segala sifat-sifat mahmudah). Juga melihat kebesaran dan kekuasaan Allah dalam semua ciptaan dan perbuatannya.


Yang dikatakan yazkuru atau berzikir di dalam Al Quran untuk mencapai taqwa itu bukanlah setakat zikir biasa atau zikir luaran (qauli dan fe’li) tetapi adalah zikir qalbi yang merangkumi segala ibadah rohaniah atau ibadah hati seperti yang disebutkan di atas. Zikir qauli dan zikir fe’li tidak banyak memberi kesan pada hati. Kalaupun ia berkesan, hanya setakat 10%. Tetapi zikir qalbi, kesannya terus menerus kepada hati kerana hati itu sendiri yang berzikir. Keberkesanannya hingga 90%. Yang penting dalam berzikir bukan sebanyak mana zikir yang boleh kita sebut atau sebanyak mana amalan atau ibadah lahir yang boleh kita lakukan tetapi adalah setakat mana hati, jiwa dan roh kita boleh terkesan dan terdidik. Itulah yang boleh membawa kita kepada taqwa.


Di zaman ini, ibadah hati atau ibadah rohaniah tidak banyak disebut. Lebih-lebih lagi tidak banyak diamalkan. Manusia sibuk dengan ibadah lahir semata-mata. Namun, akhirnya nanti, hatilah yang menjadi ukuran. Hatilah yang akan diperlihatkan.


Firman Allah SWT:


Maksudnya: “Di hari harta dan anak-anak tidak berguna kecuali orang-orang yang datang kepada Allah dengan hati yang selamat sejahtera.” (Asy Syuara: 88- 89)


Firman Allah SWT:


Maksudnya: “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah sesiapa yang membersihkan hatinya (roh, jiwa, nafsunya) dan kecewalah sesiapa yang mengotori hatinya.” (Asy Syam: 9-10)
Sabda Rasulullah SAW:


Maksudnya: “Bahawasanya Allah tidak memandang akan lahir (rupa dan harta) kamu, tetapi memandang hati dan amalan kamu.”


Inilah sebenarnya maksud berzikir untuk mencapai taqwa iaitu mengamalkan ibadah-ibadah hati atau ibadah-ibadah rohani seperti mujahadatunnafsi atau mujahadah melawan hawa nafsu, memperbaiki diri, mengenal Tuhan dan segala amalan-amalan hati yang lain. Ia bukan setakat kumat-kamit di bibir dan menggentel biji tasbih. Ia juga bukan setakat wirid yang diulangulang sampai beratus-ratus atau beribu-ribu kali yang tidak memberi apa-apa kesan pada hati. Ia juga bukan setakat amalan atau ibadah lahir yang tidak berjiwa dan tidak ada rohnya.

Yang dikatakan yazkuru atau berzikir di dalam Al Quran untuk mencapai taqwa itu bukanlah setakat zikir biasa atau zikir luaran (qauli dan fe’li) tetapi adalah zikir qalbi yang merangkumi segala ibadah rohaniah atau ibadah hati

Rabu, 1 Julai 2009

Amalan Taqwa


Amalan taqwa pula bukan setakat apa yang terkandung di dalam rukun Islam seperti puasa, zakat, haji dan sembahyang sahaja. Bukan setakat membaca Quran atau berwirid dan berzikir sambil menggentel biji tasbih. Bukan juga bersuluk dan beruzlah menjauhkan diri dari orang ramai.


Amalan taqwa bukan sahaja di surau atau di masjid.Amalan taqwa adalah apa sahaja amalan dan perbuatan di dalam kehidupan yang berlandaskan syariat sama ada yang fardhu, wajib, sunat atau harus atau apa sahaja amalan dan perbuatan yang dijauhi dan ditinggalkan sama ada yang haram atau makruh yang dibuat berserta rohnya iaitu ada batinnya, penghayatan dan penjiwaannya.


Dengan kata-kata yang lain, ada terkait dengan akal, roh dan terhubung dengan Allah, dibuat kerana Allah dan mengikut cara yang Allah mahu.Ini termasuk segala perkara yang berlaku dalam kehidupan baik dalam kehidupan seharian, dalam bidang ekonomi, pembangunan, pendidikan, kenegaraan, kebudayaan, pentadbiran, ketenteraan, kesihatan dan sebagainya. Asalkan apa yang dibuat atau yang ditinggalkan itu berkait dengan Allah maka itulah amalan taqwa.


Amalan yang tidak berkait dan tidak dibuat kerana Allah, itu adalah amalan bangkai yang tidak ada nyawa, jiwa atau rohnya. Ia tidak sampai kepada Allah dan tidak ada apa-apa nilai di sisi-Nya.Bercakap boleh jadi taqwa kalau apa yang dicakapkan itu adalah ilmu, nasihat atau perkara-perkara yang baik dan manfaat dan dibuat kerana Allah. Diam juga boleh jadi taqwa kalau diam itu untuk mengelakkan dari berkata-kata perkara maksiat dan sia-sia atau supaya tidak menyakiti hati orang dan dibuat kerana takutkan Allah.


Dalam Islam, disamping ibadah lahir, ada banyak ibadah batin atau ibadah bersifat rohaniah. Ibadah lahir banyak syarat rukun dan sah batalnya. Tetapi ibadah batin tidak mengira tempat, waktu, masa, suci atau berhadas, haul atau nisabnya. Ia boleh dilakukan bila-bila masa. Ini termasuklah bertafakur, muhasabah diri, musyahadah, mujahadah, bertaubat, merintih dengan Tuhan, sabar dalam menanggung sakit, ujian, musibah, cacian, kehinaan dan makian orang, menyuburkan rasa-rasa berTuhan dan rasa kehambaan dan berzikir di hati. Ini semua adalah amalan rohani yang boleh menghasilkan taqwa.
Minda Mujaddid

Khamis, 25 Jun 2009

Apa Itu Taqwa?




Takrif Taqwa




Bila disebut taqwa, orang terjemah sebagai takutkan Tuhan. Itu tidak betul. Taqwa bukan bererti takut. Taqwa pada Tuhan bukan bererti takutkan Tuhan. Takut kepada Tuhan hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau khasya.Taqwa berasal dari perkataan waqa-yaqi-wiqoyah yang ertinya memelihara .Hujahnya ialah ayat Al Quran seperti berikut:



" Yaayyuhallazi naamanu quamfusakum waahlikum nara."
Maksudnya:



"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka." (At Tahrim: 6)



Di dalam Al Quran, kerap Tuhan menyeru dengan kalimah ittaqu atau yattaqi . Di mana ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa , ia membawa perubahan kepada makna. Di sini ittaqullah membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng / pelindung. laitu hendaklah jadikan Tuhan itu pelindung.




Jadikan Tuhan itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Tuhan, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Atau jadikan Tuhan itu dinding dari kejahatan.Usaha untuk menjadikan Allah sebagai pemelihara atau pelindung atau pembenteng ialah dengan melaksanakan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah lahir dan batin. Dengan kata-kata yang lain, perkara yang disuruh itu ialah membina sifat-sifat mahmudah.




Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah itulah usaha bagi menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah itulah usaha ke arah taqwa.Taqwa atau wiqoyah telah disalahertikan. Maksudnya telah disempitkan. la sebenarnya adalah lebih global dan luas. la adalah gudang mahmudah dan merupakan himpunan segala sifat-sifat mahmudah. Di situ ada sabar, redha, pemurah, berkasih sayang, pemaaf, memberi maaf, meminta maaf dan se-bagainya. Seluruh sifat mahmudah itulah taqwa. Jadi, besarlah erti taqwa. la membawa keselamatan dunia dan Akhirat.Oleh itu, kalau dikatakan ittaqullah , maknanya yang sebenar ialah `hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara` .




Oleh sebab istilah-istilah Islam telah banyak disalah guna dan disalahertikan, maka hilang berkatnya. Bila disebut istilah-istilah Islam, tidak terasa apa-apa. Contohnya ialah perkataan `khalwat `. Maksudnya mulia iaitu menyendiri dengan Tuhan. la satu bentuk amalan sufi. Tetapi maksudnya itu telah diselewengkan dengan membawa erti ` berdua-duaan lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi`.




Begitulah juga istilah ittaqullah ini. Setiap minggu pada hari Jumaat, dilaung-laungkan di mimbar masjid tetapi para jemaah tidak terasa apa-apa. Berkatnya telah hilang kerana maksudnya telah disalahertikan.Untuk menjadi orang yang bertaqwa ertinya menjadi orang yang berada dalam perlindungan Tuhan atau dalam pemeliharaan Tuhan. Orang yang berada dalam benteng dan kubu Tuhan. Dia selamat dari serangan luar. Serangan luar tidak lut dan tidak mengenai dirinya. Orang bertaqwa itu seolah-olah telah dipakaikan baju besi atau jaket kalis peluru.




Taqwa adalah pakaian jasad batin atau roh. la adalah amalan jiwa atau roh. Taqwa adalah perkara dalaman dan banyak melibatkan amalan hati. Kalau sungguh-sungguh diamalkan dan dihayati, akan lahir sifat-sifat mahmudah seperti jujur, adil, benar, berkasih sayang, lemah lembut, pemurah, tawadhuk, pemalu, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, pemaaf, amanah, tekun, rajin, lapang dada, bekerjasama, simpati, belas kasihan dan sebagainya.Orang yang bertaqwa adalah orang yang luar biasa. Sebab dia manusia yang sudah bersifat malaikat. Sifat malaikat sudah ada dalam dirinya. Dia sudah jadi orang Tuhan. Sebab itulah dia dibantu dan dibela oleh Tuhan. Orang bertaqwa sahaja yang akan selamat di dunia dan di Akhirat.




Minda Mujaddid

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin