Selasa, 21 Julai 2009

Minum Arak: Model dihukum 6 sebatan


Jul 20, 09 7:38pm
Seorang model pelancongan didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak.Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, dari Sungai Siput, Perak menjalani hukuman penjara tiga tahun, jika gagal membayar denda itu.Tertuduh didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating kira-kira pukul 11.40 malam pada 11 Julai tahun lepas, laporan Bernama.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.Abdul Rahman dalam penghakimannya berkata mahkamah tidak ragu-ragu dalam menjatuhkan hukuman selepas tertuduh mengaku bersalah ketika didakwa di mahkamah itu pada 1 Disember tahun lepas.Tertuduh yang dilihat mengalirkan air mata ketika penghakiman dibacakan kemudian memohon penangguhan hukuman untuk rayuan melalui peguamnya, Mohd Zuki Che Mat Ghani.Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Syarie, Saiful Idham Sahimi.

Pandangan:

Arak sepertimana yang kita tahu adalah Ibu kepada Segala Kejahatan. Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah.

Abul Laits berkata Rasulullah s.a.w. telah menerangkan bahawa tiap minuman yang memabukkan itu haram, dimasak atau tidak dimasak. Sebagaimana riwayat Jabir r.a. berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: Semua yang memabukkan jika diminum banyak, maka sedikit juga haram." Dilain riwayat dikatakan: "Yang memabukkan jika diminum satu botol, maka seteguk juga haram."

Marilah bersama kita nasihat menasihati tentang pentingnya kita menjauhi perbuatan meminum arak ini. Ingatlah bahawa tujuan kita dilahirkan kedunia ini adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah, semestinyalah kita wajib mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Ya Allah, Jadikanlah kami hamba-hambamu yang sentiasa mentaatimu dan pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin