Khamis, 2010 Februari 04

Pemikiran Umat Islam Masa Kini


Perbualan umat Islam hari ini jika bertemu, perbualan mereka bersifat peribadi, skop perbualannya sangat sempit dan terbatas sekali sekitar makan, minum, pakaian, tempat tinggal, gaji, isteri.Sedangkan Tuhan, bangsa, agama, negara, perjuangan, Akhirat jarang diperbualkan setiap hari. Jika bertemu di sekitar itulah perbualannya: "Anda kerja apa? Berapa gaji anda? Tempat tinggal di mana? Sudah kahwinkah? Berapa orang anak?"



Gambar oleh: khalid almasoud


Kalau tidak bercerita tentang tadi bercerita tentang tempat kerja: "Bos aku itu asyik menyinga aja! Apa sahaja aku buat serba tidak kena, pening kepala aku dibuatnya!






Kalau belum kahwin cerita fasal kahwin :"Susahlah hendak kahwin sekarang ini, belanja hantaran mahallah! Orang macam aku ini siapalah hendak, jawatan kecil gaji kecil, perempuan sekarang mata duitan! Orang macam engkau mudahlah kahwin, ramai perempuan yang hendak, engkau yang susah hendak pilih!Jawatan engkau besar, gaji engkau besar, mana perempuan yang tidak hendak!Cuma engkau sahaja yang belum mahu kahwin."






Sekitar yang disebutkan tadilah rata-rata perbualan umat Islam bila bertemu.Jika ada orang menceritakan Tuhan, agama, bangsa, perjuangan, ramai yang tercengang-cengang. Mereka rasa pelik, mereka tidak tahu hendak ikut sama membualkannya, mereka rasa asing.






Pemikiran manusia sungguh sudah rosak dan puncanya adalah kerana nafsu mendesak-desak apa yang dia hendak dan kehendak nafsu juga tidak ada batas dan sempadannya. Kehendak nafsu menggunakan fikiran yang sudah rosak sedangkan fikiran pada otak orang yang cerdik di dalam diri manusia. Dengan kekuatan fikiran kehendak nafsu amat lajunya.Fikiran yang sudah rosak hanya memikirkan makan, minum, pakaian, rumah, kenderaan, seks, nama. Belajar tinggi macam mana sekali pun tetap memikirkan makan, minum, pakaian, rumah, kenderaan, seks dan nama. Perjuangan manusia setakat itu sahaja, sejauh mana pun mereka mengembara matlamatnya itulah jua. Ke mana pun mereka belajar dengan tujuan apa yang telah dinyata, soal negara, bangsa bukan urusan mereka itu adalah urusan pemimpin negara atau orang politik sahaja.Soal Tuhan, soal agama lebih-lebih lagi tidak ada di dalam kamus hidup mereka.






Fikiran semacam ini telah menjangkit kepada umat Islam juga. Rata-rata umat Islam berfikiran makan, minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan, seks dan nama.Umat Islam memandang agama, bangsa, negara perkara kecil sahaja, agama kepunyaan ulama, bangsa dan negara ini urusan pemimpin negara. Ia bukan persoalan orang biasa atau urusan rakyat jelata. Oleh itu bagaimanakah agama hendak kuat, bangsa hendak dihormati,negara hendak berdaulat. Ia bukan merupakan tanggungjawab bersama, bukan kepunyaan bersama, hanya untuk orang tertentu sahaja.






Kalau begitulah, murah sangat kehidupan ini. Hidup kerana makan, minum, pakaian, rumah, kenderaan, seks, nama, kemudian mati selepas itu mereka anggap habis cerita.Mereka lupa selepas mati ada Syurga dan Neraka.Kalau hidup sepertimana yang kita cerita jawapannya kebanyakan manusia terjun ke Neraka. Ke Syurga mungkin setiap satu juta seorang sahaja. Sungguh tertipu kebanyakan manusia menilai kehidupan ini di dunia.Kehidupan di dunia sungguh dipandang murah sahaja, seolah-olah Tuhan jadikan dunia dan manusia untuk seronok-seronok semata-mata, kemudian mati habis cerita, selepas mati tidak ada kehidupan lagi. Kehidupan itu hanya semata-mata di dunia sahaja. Kerana itulah kebanyakan manusia hidup di dunia macam orang berkelah sahaja berhibur, berseronok, bergembira, bersukar ria. Begitulah kalau fikiran manusia sudah rosak.






Begitulah nasib agama, bangsa dan negara di seluruh dunia Islam sungguh malang dan menyedihkan. Bilakah agaknya umat Islam bertanggungjawab, berjiwa besar dan bercita-cita besar serta berpandangan jauh.






Kepada yang ada cita-cita dan juga sedang berjuang untuk Tuhan dan agama Islam, mari kita lihat pula mengapa perjuangan kebenaran seperti yang dibawa oleh para rasul banyak rintangannya.Ujian demi ujian berbagai bentuk sering mendatang, ujiannya pula besar-besar dan mencabar,yang kecilnya hanya sampingan. Sudahlah berhadapan dengan ujian demi ujian mendapat kemenangan pula setelah perjuangan terlalu panjang. Padahal rasul adalah kekasih Tuhan, mengapa pula disusah-susahkan.Kejadian ini ada banyak hikmahnya kebanyakan orang tidak boleh faham.






Di antara hikmahnya, bahawa kebenaran itu mahal nilainya,keselamatan dunia Akhirat yang berkekalan. Di Akhirat nikmat yang hendak diberikan nilainya tidak ada tandingannya kesusahan di dunia ini terlalu kecil kalau dibandingkan.






Hikmah yang berikutnya agar para-para pejuang sentiasa berpaut dengan Tuhan.Berpaut dengan Tuhan, itulah sifat hamba yang patut dikekalkan.






Hikmah yang lain supaya pejuang-pejuang yang datang tidak boleh kepura-puraan kalau tidak ada ujian banyak orang yang tidak ikhlas datang mengambil peluang. Ujian yang berat itulah menjadikan orang yang ikhlas kerana Allah sahaja yang berjuang.






Hikmah seterusnya agar anggota perjuangan hanya orang pilihan Tuhan. Setelah ada orang pilihan Tuhan itulah dia orang Tuhan sekalipun sedikit, barulah mereka diberi kemenangan. Setelah ditapis melalui ujian tinggal sedikit baru mendapat kejayaan. Setelah tinggal sedikit dapat kemenangan baru terasa kuasa dan kebesaran Tuhan. Dunia akan terkejut golongan yang sedikit diberi kemenangan, tentulah di belakangnya adalah Tuhan. Tuhan hendak memberi kemenangan menunggu pejuang-pejuang yang bertaqwa sekalipun sedikit orangnya. Ini adalah pengajaran buat umat Islam yang berjuang sepanjang zaman

ASZ

Rabu, 2010 Februari 03

Adab Makan Rasulullah SAW

Adab Makan (Rasulullah SAW menyukai dlafaf – makanan yang banyak tangan memakannya )



• Membaca doa yang bermaksud :- ‘Dengan nama Allah, Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah hidangan ini nikmat yang disyukuri yang sampai nikmat syurga ke atas nya.’


• Makan cara hamba - semasa duduk makan, baginda merapatkan antara kedua lututnya dan antara kedua tapak kakinya – tapak kaki kanan di atas tapak kaki kiri.


• Tidak memakan makanan yang sangat panas kerana tiada barakah diumpamakan memakan api.


• Tidak memakan dengan dua anak jari kerana demikian adalah cara makan syaitan.


• Menyukai kueh faludzaj – ramuan – minyak samin, madu lebah, tepung gandum.


• Menyukai roti syair, mentimun dan ruthab (kurma yang belum kering) di cecah dengan garam.


• Menyukai anggur dan semangka dimakan bersama roti dan gula atau ruthab.


• Memakan ruthab dengan tangan kanan dan biji di tangan kiri baginda diberi makan kepada kambing yang lalu lalang di tempat baginda makan.


• Memakan anggur dengan memegang tangkainya sehingga air anggur kelihatang pada janggutnya seperti benang mutiara.


• Menyukai susu dengan tamar (al-athyabin – dua yang terbaik)


• Menggemari daging – penghulu makanan di dunia dan di akhirat – khasiat menguatkan pendengaran.


• Menyukai roti bekuah dengan daging dan buah labu dan bersabda bahawa labu itu adalah pohon Nabi Allah Yunus a.s. Pernah menyarankan Aisyah ra memasak gulai dengan membanyakkan labu – akan menguatkan hati orang yang berduka


• Menyukai daging burung (tetapi tidak pula ikut menangkap burung berkenaan)


• Tidak menundukkan kepala semasa memakan daging burung tetapi mengangkatkan daging ke mulutnya dan menggigitnya.


• Menyukai roti dengan minyak samin.


• Menggemari daging kambing – bahagian lengan dan bahu


• Kurma madinah (al-ajwah – berasal dari syurga) – penawar racun dan sihir - adalah antara yang paling digemari di kalangan tamar.


• Sayur-sayuran yang digemari baginda pula ialah al-handaba, al-badzaruj dan al-hamqa’/ar-rajlah.


• Tidak menggemari bahagian daging spt. buah pinggang, zakar dan biji zakar, ghudad, darah, hempedu dll.


• Tidak menggemari bawang putih, bawang merah dan daun bawang prei (al-kurrats)


• Tidak pernah mencela makanan – kalau disukai, dimakan – kalau tidak disukai, ditinggalkan.


• Tidak menggemari dhab.


• Suka menghabiskan sisa makanan dengan anak jarinya – makanan yang penghabisan banyak barakahnya.


• Menjilat sisa makanan pada anak jari – yang tidak diketahui makanan mana yang paling berkat. Tidak menyapu dengan sapu tangan.


• Selesai makan – dibaca ‘Segala puji-pujian bagi Allah. Ya Allah Ya Tuhanku, bagiMu segala pujian. Engkau anugerahkan makanan, maka Engkau anugerahkan kekenyangan. Engkau anugerahkan kepuasan (kehilangan haus). Bagi Engkau segala pujian yang tidak dimungkiri keutamaannya, yang tidak ditinggalkan dan yang diperlukan kepadanya’


• Membasuh tangan dan menyapu lebihan air ke muka. Minum dengan tiga kali teguk dan dibaca sebelum setiap teguk : Bismillah - dan selepas setiap teguk : Alhamdulliah.


• Minum senafas dan tidak bernafas dalam bekas minuman yang diminum melainkan semasa menghisap.


• Memberikan lebihan air kepada orang yang lebih mulia kedudukannya samada di kiri atau di kanan baginda dan bersabda kepada orang yang tidak mendapat air bahawa sunat mengutamakan (orang yang lebih mulia kedudukannya)


• Tidak menggemari air susu dan madu dibawa bersama kerana tidak melambangkan tawaddak.


• Pemalu dalam perihal makan – tidak meminta kepada keluarga baginda makanan/minum – tetapi kalau diberi, baginda makan atau minum. Kadangkala bangun sendiri untuk mendapatkan makanan/

Gambar oleh:yimss sindhu

Lelaki derita tujuh tahun jadi mangsa dera isteri

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN


zulsham@kosmo.com.my






Inilah kesan kecederaan dialami Sham selepas mendakwa menjadi mangsa dera isteri dan dua anaknya di Selayang Rabu lalu.


MELAKA - Jika kisah isteri didera suami ia perkara biasa. Namun jika suami mendakwa dia menjadi mangsa dera isteri ia agak pelik.


Begitulah dakwaan seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Sham, 47, dari Selayang, Selangor yang memberitahu dia telah tujuh tahun menanggung nasib malang didera isteri berusia 43 tahun.


Bukan setakat itu, dua daripada tiga orang anaknya yang berusia 10 dan 16 juga didakwa turut mengikut perangai ibu mereka apabila bersubahat memukulnya jika si isteri naik angin.


Sham yang bekerja di sini hanya pulang sekali seminggu ke rumahnya di Selayang dan mendakwa setiap kali pulang ke pangkuan isterinya itu dia akan menjadi mangsa dera.


"Saya bekerja di Melaka dan hanya pulang pada hujung minggu manakala isteri tinggal bersama anak-anak di Selayang," cerita Sham ketika ditemui di Merlimau di sini semalam.

Selasa, 2010 Februari 02

Apa Itu Perjuangan Islam

Memperjuangkan Islam bukan sekadar memberitahu halal dan haram


Membangunkan Islam bukan cukup hanya mengecap seseorang itu bidaah, sesat, fasik, munafik, ekstrim dan melampau






Memperjuangkan Islam bagaimana menyuburkan tauhid dalam fikiran


Siapa yang takutkan Tuhan dan mencintai serta menghayati Tuhan


Agar Tuhan jadi tempat rujuk dan tempat menaruh harapan






Tuhan dibesarkan, diagungkan bahkan tempat sandaran insan


Hingga Tuhan diingati di mana-mana dan dirasakan Tuhan adalah segala-galanya






Dari sini barulah orang ingin bersyariat sebagai melahirkan cinta kepada Tuhan


Dari sini orang akan cinta mencintai sesama insan


Orang akan bersatu padu, rasa bersama dan bekerja sama, lahir timbang rasa, mengutamakan orang lain, khidmat sesama manusia kerana Tuhannya


Cerdik pandai tawadhuk, yang bodoh merujuk, yang miskin sabar di dalam hidupnya






Begitu juga berjuang itu sebenarnya menunjuk jalan


bagaimana mengutamakan akhirat


Menggunakan apa yang ada pada diri manusia


Memberitahu bagaimana bersatu di dalam Islam


Menunjuk jalan bagaimana berekonomi menurut Islam


Bermasyarakat secara Islam






Yang lebih penting para pejuang di dalam diri mereka ada role model untuk diikut


Ibadahnya, perpaduannya, masyarakatnya, ekonominya, keluarganya, kebersihannya, kasih sayangnya, kerjasamanya dan lain-lainnya


Inilah PERJUANGAN ISLAM SEBENARNYA


Bukan sekadar cakap-cakap, slogan dan syarahan






Yang lebih awal daripada itu semua


Para pemimpin ada ilmu untuk disarankan


Untuk pimpinan dan didikan


Ia merupakan panduan untuk insan yang ada kemahuan






Bukan sekadar slogan, gesaan, dan semangat-semangat yang tidak ada panduan


Kalau cara itu umat Islam berjuang cepat membatalkan tujuan


Kalau tidak hanya angan-angan bahkan membawa perpecahan






Para pejuang mestilah CUKUP PERSIAPAN


Persiapan ilmu, ROLE MODEL kepada manusia yang hendak disedarkan


Kalau begitu berjuang bukan mudah dan senang tapi amat mencabar


Bukan seperti makan minum dan berpakaian serta hiasan



ASZ

Isnin, 2010 Februari 01

Sudahkah Kita Menyiapkan Pembela Untuk Membela Kita Selepas Mati

Manusia hidup di dunia berbagai-bagai keadaannya, tidak sama,



Ada yang miskin, kaya, pandai, bodoh, yang cacat dan sempurna,


Ada yang berkuasa, ada pengikut, ada yang berpengaruh,


ada yang menjadi raja, ada yang berkawan, ada yang seorang diri sahaja,


Ada yang terkenal, ada nama, ada yang tidak tahu tentang dirinya,






Kalau mereka tidak takutkan Tuhan, tidak takut hari pembalasan,


Mereka akan melahirkan sikap mengikut keadaan dan suasana kehidupannya,






Ada yang megah, ada yang sombong, ada yang terhina,


Ada yang kecewa, ada yang putus asa, ada yang berbagai-bagai lagi sikap


Mengikutlah keadaan dan situasi diri dan status diri,






Tapi semuanya itu akan bersendiri apabila mati,


Sekalipun raja yang ada pengawalnya,


Sekalipun berkuasa, orang takut dengannya, namun didalam kubur seorang diri,






Yang ramai pengikut dan kawan,


Namun tidak ada yang ikut didalam kuburnya,


Masing-masing seorang diri tanpa kawan,


Sekalipun orang yang disayangi,






Orang yang tidak ada kawan didalam kubur tidak adalah pembelanya,


Oleh itu carilah kawan dimasa hidupnya sebagai pembela selepas mati,


Pembela itu ialah iman, taqwa, amal soleh


Dan kebaikan yang kita buat didunia,






Tawadhuk kita, pemurah kita, kasih sayang kita, tolak ansur kita,


Simpati kita dengan orang yang susah, mujahadah kita, jihad kita,


Nafsu kita yang ditundukkan kepada Tuhan,






Sudahkah kita menyiapkan pembela kita dimasa hidup


untuk membela kita selepas mati kita?


Dimasa itu harta dan anak tidak memberi apa-apa manafaat kepada kita,


Kecuali yang membawa hati yang selamat daripada syirik dan mazmumah.


ASZ







Jumaat, 2010 Januari 29

Mengamuk dicekup Jais


Sentral: Mengamuk dicekup Jais



Oleh Md Fuzi Abd Lateh


bhnews@bharian.com.my






WARGA emas yang ditahan ketika membeli nombor ekor di Bandar Bukit Sentosa, meronta-ronta cuba melepaskan diri daripada penguat kuasa Jais.





Warga emas kemaruk nombor ekor bertindak ganas, meronta ketika disoal





BUKIT BERUNTUNG: Seorang warga emas berusia 60 tahun bertindak ganas dan meronta-ronta apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan Operasi Judi di kedai ejen nombor ramalan di Bandar Bukit Sentosa, di sini kelmarin.





Pada awalnya, dia cuba menggunakan pelbagai helah termasuk melarikan diri ke keretanya bagi mengelak dicekup pada operasi yang dijalankan selama sejam itu.





Warga emas itu adalah antara enam pelanggan beragama Islam yang ditahan dalam operasi judi yang dijalankan pegawai Jais cawangan Hulu Selangor dan Gombak di dua kedai nombor ramalan.





Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jais cawangan Hulu Selangor, Khairul Hazri Sulaiman, berkata operasi bersepadu menahan penduduk Islam berjudi itu disertai tujuh kakitangan.





Katanya, operasi pertama tahun ini mendapat kerjasama empat pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.





"Dalam serbuan pertama di Jalan Orkid, Bukit Sentosa, kami menahan lima pelanggan beragama Islam kerana membeli nombor ekor.



"Kehadiran pegawai penguat kuasa tidak disedari membolehkan operasi berjalan lancar," katanya kepada Sentral di sini, semalam.





Beliau berkata, dalam operasi di premis kedua di Jalan Bunga Kertas di sini, pihaknya menahan warga emas itu yang berasal dari Kampung Sungai Buaya, juga kerana kesalahan sama.





"Beliau bertindak ganas dan mahu melarikan diri apabila disoal siasat. Semua suspek dibawa ke Balai Polis Bukit Sentosa menaiki kenderaan rasmi Jais untuk proses jaminan polis," katanya.





Beliau berkata, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 17 (9/95) Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Bersabit kesalahan pesalah boleh didenda RM3,000 atau dipenjarakan dua tahun.





Khairul Hazri berkata, operasi judi akan terus dijalankan mereka mengikut jadual dalam usaha membanteras penduduk Islam berjudi dan mendidik mereka mentaati perintah Tuhan sepanjang masa.





Katanya, beberapa bandar di Hulu Selangor dikenal pasti ‘port’ kaki judi Islam dan memberi jaminan serbuan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Apabila Pemimpin Tidak Memimpin






Terlalu banyak istilah digunakan bagi mengatakan tentang kepimpinan. Ada yang menggunakan istilah "Pemerintahan ". Ada yang menggunakan istilah "Kekuasaan" Ada pula yang menggunakan istilah "Pentadbiran "seperti Pentadbiran Carter (Carter Administration) dan sebagainya.
Bagi pemimpin pula, ada yang menggelarkan diri mereka "Presiden" Ada yang menggelarkan diri mereka "Raja" . Ada “Perdana Menteri” . "Chairman" dan bermacam-macam lagi.
Akan tetapi walaupun semua mereka ini berkuasa dan dianggap sebagai pemimpin di negara mereka masing-masing, mereka sebenarnya tidak memimpin dalam erti kata yang sebenarnya.
Mereka hanya menyusun dan mentadbir hal-hal yang bersangkutan dengan ekonomi, perumahan, pembangunan, keselamatan sosial, pelajaran, pengangkutan, kesihatan dan yang seumpamanya.


Mereka hanya terlibat dengan hal-hal yang menyentuh kehidupan lahiriah rakyat dan yang memenuhi keperluan dan kehendak fizikal dan material rakyat semata-mata.
Kepimpinan seperti ini tidak banyak bezanya dengan menggembala lembu dan kambing. Disediakan kandang, diberi makan minum atau disediakan padang ragut, dijaga keselamatan haiwan-haiwan tersebut supaya tidak diserang oleh musuh dan kalau sakit, dipanggil doktor haiwan untuk merawatnya.


Memimpin manusia bukan seperti menternak lembu atau kambing. Bukan setakat memberi mereka rumah, makan minum, hiburan, khidmat kesihatan dan kemudian membiarkan mereka membiak dan beranak-pinak.


Kalau kita lihat dan halusi betul-betul istilah kepimpinan itu sendiri, ia membawa maksud yang lebih dalam dan luas dari hanya menjaga, menyusun dan mentadbir hal-hal fizikal dan keperluan hidup.
Memimpin itu ada sangkut-paut dengan membimbing, mendidik, menunjuk ajar dan membina peribadi dan akhlak rakyat yang banyak berkait dengan soal roh dan jiwa mereka.
Memimpin itu ialah membangunkan kemanusiaan dan keinsanan rakyat. Laitu membangunkan fizikal mereka, membina akal mereka, mendidik hati dan nafsu mereka.
Memimpin adalah memperkenalkan rakyat kepada Tuhan agar Tuhan itu diimani dan diyakini, dicintai dan ditakuti. Agar Tuhan itu ditaati dan dipatuhi.
Tidak hairanlah mengapa manusia di seluruh dunia ini tidak terpimpin. Tidak ada orang yang memimpin mereka. Pemimpin-pemimpin mereka sendiri pun tidak menjalankan tugas memimpin ini. Malahan pemimpin-pemimpin mereka pun tidak terpimpin.


Kalau kita lihat negara-negara yang bukan Islam, walaupun rakyat mereka tidak dipimpin, namun keperluan lahiriah mereka sangat tersusun dan mereka sangat mewah dari segi material.
Di kebanyakan negara-negara umat Islam pula, bukan sahaja rakyatnya tidak dipimpin, keperluan lahiriah atau material rakyat pun sangat kurang dan pentadbirannya lemah dan kucar-kacir. Ini sudah dua kali malang.


Bukan sahaja soal material tidak selesai, soal rohani pun terabai. Macam orang kena penyakit barah dan leukimia pada masa yang sama. Kedua-duanya berbahaya dan boleh membawa maut.


Apabila tidak dipimpin, rakyat akan jauh dari Tuhan. Mereka akan jauh dari kebenaran. Mereka akan jauh dari petunjuk dan hidayah. Jiwa mereka akan kosong dari keimanan dan ketaqwaan.


Fitrah mereka akan rosak. Keinsanan mereka akan rosak. Akhlak mereka juga akan rosak. Mereka akan hilang panduan dan matlamat hidup. Dunia akan masuk ke dalam hati-hati mereka.


Mereka akan lupa Akhirat. Mereka akan hanya terangsang dan merasa ringan dengan hal-hal dunia dan akan merasa susah, berat dan tertekan dengan hal-hal Akhirat.


Nafsu mereka akan menggila dan menjadi tidak terkawal. Mereka akan rakus dan tidak puas mengejar dunia. Sudah ada sepuluh biji kereta mewah, mereka mahu sepuluh lagi.


Sudah ada sepuluh buah rumah “mansion”, mereka mahu sepuluh buah lagi. Nampak laut, mahu “luxury yacht” Nampak ruang udara mahu “private jet”.


Mereka tidak ada rasa bersalah. Buatlah apa maksiat pun, mereka tetap merasa megah. Mereka tunduk kepada hawa nafsu mereka dan akan merebut dunia ini semahu-mahunya. Mereka mengangkat nafsu-nafsu mereka menjadi Tuhan mereka.


Bila ini berlaku dan nafsu amarah bermaharajalela dalam diri mereka, maka hati-hati mereka akan menjadi gelap. Jiwa mereka akan mati. Mata hati mereka akan jadi buta.


Sukar untuk mereka merasa bertuhan. Sukar untuk mereka melihat kebenaran. Akhirat itu jadi kecil dan tidak penting bagi mereka. Bagi mereka, dunialah segala-galanya.


Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan bermacam-macam sifat mazmumah yang keji. Mereka akan jadi pencinta dunia. Mereka akan gila dunia. Mereka akan jadi pemburu dunia.


Mereka akan jadi hamba dunia. Mereka tidak akan nampak lagi halal haram, baik buruk, patut tak patut, sah atau batal. Apa sahaja yang mereka inginkan, mereka akan ambil. Apa cara pun akan digunakan. Bagi mereka matlamat menghalalkan cara.


Mereka akan menjadi ego, sombong dan angkuh. Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan sifat-sifat pemarah, bakhil, hasad dengki, tamak haloba, penting diri, besar diri dan mereka akan hidup nafsi-nafsi. Macam pokok dalam hutan. Masing-masing hendak meninggikan pucuk masing-masing.


Yang sedihnya, bukan sahaja rakyat biasa yang akan jadi begini. Pemimpin lebih-lebih lagi. Kalau begitu, siapakah yang akan memberi tunjuk ajar ? Siapakah yang akan melarang?


Pemimpin sendiri membawa contoh negatif yang diikuti oleh rakyat. Lama-lama ia jadi budaya. Sukar untuk diubah.


Inilah puncanya mengapa tidak wujud perpaduan. Inilah sebabnya tidak wujud kesatuan. Tidak wujud kasih sayang di kalangan manusia. Manusia asyik merebut-rebut dunia dan khazanah negara macam anjing merebut bangkai.


Sambil merebut bangkai, bergaduh dan menggigit-gigit sesama sendiri. Timbul krisis. Berlakulah pergaduhan dan perbalahan. Terjadilah tindas menindas, tekan menekan dan jatuh menjatuh.


Inilah juga puncanya mengapa maksiat dan jenayah berleluasa di kalangan manusia. Menipu, mencuri, merompak, menculik, merogol, membunuh dan macam-macam lagi.


Ini jugalah puncanya akhlak dan moral manusia jatuh menyapu bumi. Rupa macam manusia, tamadun lahiriah dan pembangunan hebat tetapi nilai, moral, akhlak dan cara hidup tidak ada beza dengan haiwan.


Inilah akibatnya apabila pemimpin tidak memimpin. Inilah akibatnya bila tumpuan hanya diberi kepada keperluan hidup lahiriah manusia semata-mata. Kepada ekonomi, kepada pembangunan dan kepada kemajuan.


Inilah akibatnya bila roh dan jiwa manusia diabai dan tidak dididik dan dibimbing. Tidak diisi dengan ketuhanan dan cinta Akhirat. Tidak diisi dengan keimanan dan ketagwaan. Rakyat jadi rosak. Masyarakat jadi rosak. Negara jadi rosak. Akhirnya seluruh dunia jadi rosak.


Pemimpin yang tidak memimpin hanya mencipta neraka di dunia. Dia membina huru-hara dan kacau-bilau. Dia mencipta kesusahan dan kesengsaraan.


Dia membawa kebimbangan, keresahan dan ketakutan di dalam hidup manusia. Dia merosakkan perpaduan. Dia memecah-belah. Dia memusnahkan kasih sayang. Dia menghijab dan mendinding manusia dari rahmat dan kasih sayang Tuhan. Dia merosakkan akhlak rakyat. Dia memusnahkan kemanusiaan dan keinsanan rakyat.


Pemimpin yang tidak memimpin sebenarnya membawa terlalu banyak kerosakan kepada rakyat. Deritanya bukan sahaja di dunia bahkan akan dibawa ke Akhirat.


Lebih-lebih lagilah pemimpin yang menyuruh, menggalak dan menganjurkan manusia membuat maksiat dan kemungkaran. Yang menyuruh manusia melanggar dan membelakangkan syariat. Yang menggalakkan rakyat berfoya-foya dan berlalai-lalai.


Pemimpin yang meremehkan agama dan menghalang manusia beragama. Pemimpin yang menghalang manusia menuju Tuhan. Yang menyusahkan urusan agama manusia.


Kemusnahan dan kerosakan bukan sahaja akan berlaku dengan lebih cepat bahkan akan berlaku dengan lebih dahsyat. Lebih baik manusia beruzlah untuk melindung dan memelihara diri dan iman masing-masing dari berada di bawah pemerintahan pemimpin yang seperti ini.


Di Akhirat nanti, setiap pemimpin itu akan disoal tentang apa yang dia pimpin. Lebih-lebih lagilah pemimpin negara. Tanggungjawabnya bukan setakat mengadakan rumah, makan minum, menjaga kesihatan, keselamatan atau mengadakan segala keperluan lahir rakyat.


Itu semua perkara kecil. Perkara remeh. Yang besarnya ialah tentang iman, amalan dan peribadi rakyat. Tentang aqidah, ibadah dan akhlak rakyat. Sudahkah dia mendidik, membimbing dan menunjuk ajar rakyat.


Sudahkah dia membawa rakyat kepada Tuhan dan merapatkan rakyat dengan agama ?


Sudahkah dia mensejahterakan hati dan rohani rakyat. Kesejahteraan fizikal dan lahiriah tidak ada makna apa-apa tanpa kesejahteraan rohani?


Kesejahteraan lahiriah tetap akan membawa kepada huru-hara, kacau-bilau, pergaduhan, perbalahan dan krisis. Kesejahteraan lahiriah semata-mata tetap akan mencetuskan pecah-belah dan benci-membenci.


Tidak akan wujud perpaduan dan kasih sayang hanya dengan kesejahteraan lahiriah. Keamanan, ketenangan, kedamaian, keharmonian dan kasih sayang akan hanya tercetus bila hati dan rohani rakyat berada dalam keadaan sejahtera.


Inilah sebenarnya tanggungjawab pemimpin. Mensejahterakan dan menenangkan hati dan rohani rakyat dengan mengembalikan mereka kepada fitrah semulajadi mereka yang suci murni. Inilah caranya pemimpin boleh memandu negara menjadi seperti apa yang Tuhan firmankan:
"Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan." (As Saba': 15)




ASZ









Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin