Selasa, 30 Jun 2009

Dosa Menghijab Bantuan Tuhan


Kegagalan yang Allah timpakan kepada kita satu persatu itu sebenarnya adalah pemberitahuan bahawa kita telah tidak ditolong Allah. Allah biarkan kita dan Allah hinakan kita kerana kita tidak mahu bertaqwa, banyak dosa dan tidak mahu bertaubat disamping tidak mahu belajar dari kesilapan.


Dosa-dosa itulah yang menjadikan kita tewas di tangan musuh.Sedangkan orang yang bertaqwa, ujian yang berat merupakan baja untuk menyuburkan perjuangan mereka. Tetapi bagi kita, ujian-ujian itu menghina dan tambah melemahkan kita. Makin berjuang makin kalah. Bukankah itu ertinya perjuangan itu tidak dibantu oleh Allah. Kenapa Allah biarkan kita?


Berkata Sayidina Umar Al Khatab:"Aku lebih takut pada dosa kamu daripada musuh-musuh kamu.Kerana bila kamu berdosa, Allah akan biarkan kamu kepada musuh-musuhmu."Maknanya, kegagalan kita ialah kerana dosa-dosa kita. Dosa-dosa kita adalah kerana kita tidak bertaqwa. Ertinya salah itu terletak pada diri kita sendiri bukan pada orang lain. Dan selagi kesilapan itu tidak dibetulkan, selagi kita tidak bertaubat dan selagi kita tidak dididik dan dilatih dengan iman dan taqwa, buatlah macam mana pun, insyaAllah, kita tidak akan boleh menang. Sebab kita sudah melanggar syarat dari Allah iaitu syarat taqwa.


Janganlah kita buat helah dan berdalih itu dan ini untuk dijadikan alasan kegagalan kita itu. Mengakulah dengan Allah bahawa kita belum bertaqwa sebab itu Allah tidak tolong. Itu punca dan sebab sebenarnya. Kalaupun kita tidak ada banyak alasan untuk kalah, kalau kita benar-benar bertaqwa, kita tetap akan Allah menangkan. Allah hanya akan menolong orang yang bertaqwa.Firmannya:


"Wallahu waliyul muttaqin" .


Maksudnya :"Allah jadi pembela (pembantu) orang yang bertaqwa." (Al Jasiyah:19)Firman-Nya lagi:


"Wamai yattaqillahayaj a`llahu makhroja. Wayarzuqhu minhaithula yahtasib"


Maksudnya:"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya."(At Thalaq:2-3)


Firman-Nya lagi:"Walau anna ahlalquraa amanu wattaqau lafatahna a`laihim barokatim minassama iwalardi."Maksudnya:"Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi." (Al A`raf:96)


Allah SWT memberi jaminan kepada para Sahabat di atas ketaqwaan mereka dalam firman-Nya:"In yakum minkum i`syruna sobiruna yaghlibu miatain. Wainyakum minkum miatun yaghlibu alfam minallazi nakafaru biannahum qaumulla yaftahun.Maksudnya: "Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) diantara kamu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti." (Al Anfal:65)


Peperangan Badar menyaksikan 313 orang para Sahabat mengalahkan 1,000 orang musuh. Tetapi hari ini, umat Islam ketawa kalau kita katakan tentang hal-hal begini. Karut, kata mereka. Tidak logik. Tidak rasional dan lain-lain lagi.Umat Islam sendiri tidak yakin dan tidak ghairah dengan Allah, dengan Rasulullah, dengan malaikat, dengan rijalullah, rijalulghaib, dengan mati, kubur, hari Kiamat, Syurga dan Neraka.


Soal cinta Allah, rindukan Allah, malu pada Allah, takutkan Allah, tawakkal, redha, sabar, syukur dan hina diri pada Allah sangat jauh dari perbincangan dan pemikiran umat Islam, apalagi untuk dijadikan amalan rohani mereka.Demikianlah taqwa itu jadi syarat terpenting dalam menegakkan hukum Allah. Sebab itu, Rasulullah sebelum berperang, selalu mengingatkan tentera Islam supaya yakin dengan Allah dan takutkan dosa.


Kalau kita berjuang atas nama Islam, kita mestilah terima syarat ini dan melaksanakannya. Barulah betul kita buat kerja Allah. Dan terhindarlah kita dari sikap memandai-mandai. Tetapi kalau kita perjuangkan Islam dengan cara yang kita fikirkan oleh otak kita, dan dengan kaedah yang kita cipta sendiri ertinya kita berjuang kerana kita, bagi pihak kita dan bukan kerana Allah dan bagi pihak Allah. Kalau ini berlaku, Allah akan berlepas diri dari kita dan tidak ada apa-apa lagi keistimewaan pada perjuangan itu kerana ia tandus dari satu tenaga yang luar biasa yakni bantuan Allah.



Minda Mujaddid

Dimana Iman Kita?


Peringkat-Peringkat Iman
1. Iman taqlid
2. Iman ilmu
3. Iman `ayyan
4. Iman haq
5. Iman haqiqat


Iman Taqlid Dan Iman Ilmu


Iman orang yang bertaqlid atau iman turut-turutan atau iman ikut-ikutan, imannya adalah tepat iaitu dia percaya kepada Allah dan Rasul tetapi kepercayaannya tanpa dalil, tanpa keterangan dan tanpa ilmu pengetahuan.Orang begini tidak kuat dan tidak teguh imannya.Imannya mudah goyang dan goncang.Begitu juga iman ahli ilmu. Imannya tepat. Tetapi walaupun keyakinannya kepada Allah dan Rasul dapat disokong dengan dalil-dalil, keterangan dan hujah-hujah namun iman peringkat ini baru sekadar sah.


Jiwanya belum kuat sedangkan kekuatan seseorang itu adalah pada jiwanya. Iman seperti ini belum sanggup melawan syaitan dan hawa nafsu. Kerana itu orang yang peringkat imannya di tahap ilmu akan melanggar perintah Allah dalam sedar. Orang yang mempunyai iman ilmu hanya pandai berkata-kata kerana dia ada ilmu tetapi tidak dapat mengotakan kata-katanya. Mereka dalam golongan ini akan menjadi mukmin `asi (derhaka) atau mukmin yang fasik atau mukmin yang berpura-pura.


Orang mukmin seperti ini setakat boleh mengucap dua kalimah syahadah dengan lidahnya dan akalnya percaya adanya Allah Taala dengan segala sifat-sifat yang wajib bagi-Nya. Tetapi dia belum dapat menanam kekuatan iman di dalam hatinya. Hatinya belum merasai yang Allah sentiasa melihat dan memerhatikan tingkah laku dan gerak-gerinya. Mukmin seperti ini, walaupun ilmunya tinggi melangit dan di dadanya penuh Al Quran dan Hadis, namun nafsunya masih besar.


Sifat-sifat mazmumah seperti riyak, ujub, hasad, sombong, pendendam, bakhil, gila puji, gila pangkat dan lain-lain masih banyak bersarang di dalam hatinya dan syaitan pula sentiasa menggodanya.Orang-orang mukmin seperti ini tidak sanggup menghadapi ujian-ujian hidup sama ada yang berbentuk kesenangan mahupun yang berbentuk kesusahan.Ertinya, kalau dia berhadapan dengan kesenangan, dia akan lupa dirinya dan akan terus terjebak ke dalam perangkap nafsu dan syaitan.


Manakala kalau dia berhadapan dengan kesusahan pula, dia akan cemas dan akan hilang daya pertimbangan.Dia akan bertindak di luar kehendak dan batas syariat.Iman yang sejati itu, dari mana akan lahir taqwa, setidak-tidaknya adalah peringkat iman `ayyan iaitu iman orang yang cukup yakin dengan Allah dan Rasul, lengkap dengan pengertian dan fahamannya serta diikuti dengan tindak-tanduk dan perbuatan.Orang yang beriman taqlid perlu meningkatkan imannya ke peringkat iman ilmu dengan cara belajar dan menambah ilmu. Orang yang beriman ilmu pula perlu meningkatkan imannya ke peringkat iman `ayyan dengan cara mengamalkan ilmu-ilmu yang diketahuinya dengan faham dan khusyuk.


Iman `Ayyan


Ini iman orang yang soleh atau iman ashabul yamin atau iman golongan abrar iaitu orang yang sentiasa sedar bahawa Allah Taala sentiasa mengawasi dirinya. Dengan kata-kata lain, orang yang memiliki iman `ayyan hatinya sentiasa dapat merasakan kehebatan Allah. Dia ada hubungan hati dengan Allah.


Kalau ada pun lupa dan lalainya kepada Allah, ianya terlalu kecil dan sedikit. Kerana itu, orang yang memiliki iman `ayyan ini adalah orang yang sentiasa takut kepada Allah dan kuat sekali penyerahan dirinya kepada Allah. Kalau iman ilmu, keyakinan cuma bertempat di fikiran, tetapi iman `ayyan, keyakinan bertempat di hati.Ini digambarkan dalam sepotong ayat Al Quran:


`` Alllazina yazkurunallaha qiyaman waqu`udan wa`ala junubihim wayatafakkaruna fikhalqis samawati wal ardhi rabbana makhalaqtana haza batila.``


Maksudnya:
`` Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk dan dimasa berbaring dan mereka sentiasa memikir kejadian langit dan bumi lantas mereka berkata,` Wahai Tuhan kami! Tidak Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia`.`` (Ali Imran:191)


Iman `ayyan mampu memacu umat ini menjadi umat yang gigih dalam memikul beban perintah Allah SWT. Iman `ayyan juga merupakan benteng yang kukuh yang melindungi umat dari terjebak dan terjerumus kepada berbagai anasir negatif, kemungkaran dan kemaksiatan. Iman `ayyan menjadikan seseorang itu memiliki kekuatan jiwa, gigih, kuat cita-cita, tahan diuji dan sanggup berkorban.


Oleh kerana orang mukmin yang sejati itu, perasaan bertauhid menghayati jiwanya, maka dia sentiasa takut dengan Allah malah rasa takutkan Allah itu bergelora di hatinya. Orang seperti ini sahajalah yang boleh tunduk kepada syariat Allah Taala.Firman Allah SWT:


``Innamal mukminu nallazina iza zukirallahu wajilat qulubuhum waiza tuliat `alaihim ayatuhu zadathum imanan wa`ala rabbihim yatawak kalun.``


Maksudnya:
``Hanya sanya, orang mukmin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah, bertambahlah mereka beriman dan mereka terus menyerah diri kepada Allah.`` (Al Anfal:2)


Sikap orang mukmin yang sejati itu, apabila Allah Taala mendatangkan hukum hakam dan peraturan hidup, dia tidak memilih mana yang sesuai mengikut kehendak nafsunya dan menolak mana yang bertentangan dengan kehendak nafsunya.


Orang mukmin yang sejati tidak menyoal dan mempertikaikan hukum Allah dan bersikap lurus dalam melaksanakan hukum Allah atau dalam meninggalkan larangan-Nya walau pun apa yang terjadi. Dia akan terus melaksanakan perintah Allah tanpa ragu oleh kerana jiwa tauhidnya berakar umbi di dalam hati. Dia patuh dan akan memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap segala perintah Allah.Firman Allah Taala:


``Innama kana qaulal mukminina iza du`u ilallahi warasulihi liyahkuma bainahum `ayyaqulu sami`na waata`na.``


Maksudnya:
``Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar menghukum di antara mereka, mereka ucapkan,``kami dengar dan kami patuh``. ( An Nur:51 )


Berbeza dengan orang yang tidak takut dengan Allah, dia akan memilih-milih hukum Allah dalam perlaksanaannya. Dia akan mengamalkan sesetengahnya dan meninggalkan sesetengahnya pula. Inilah sikap orang yang bukan mukmin sejati. Dia Allah golongkan ke dalam golongan orang yang sesat akibat dari sikapnya yang memilih-milih itu.Firman Allah SWT:


``Wamakana limukminin wala mukminatin iza qadhallahu warasuluhu amran `aiyakuna lahumul khiyaratu min amrihim. Wamayya` sillaha warasulahu faqad dhalla dhalalam mubina.``


Maksudnya:
` Tidak dianggap orang mukmin yang sebenar sama ada lelaki mahupun perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya mendatangkan sesuatu perintah, bahawa mereka mahu memilih pada urusan mereka dan siapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka telah sesatlah dia dengan amat nyata.`` (Al Ahzab: 36)


Iman Haq Dan Iman Haqiqat


Iman yang paling baik ialah iman haq dan iman haqiqat. Ini merupakan kemuncak iman iaitu iman bagi orang-orang yang hampir dengan Allah atau apa yang dinamakan sebagai golongan muqarrabin . Ia bukan lagi setakat iman sejati tetapi adalah iman yang sebenar dan iman yang sempurna. Orang yang memiliki iman haq dan haqiqat adalah orang yang sangat bertaqwa dan kuat penyerahan dirinya kepada Allah

Minda Guruku

Isnin, 29 Jun 2009

Mengapa Umat Islam Terhina


Terima kasih Tuhan yang mana Engkau masih memberikan kami dan masih membenarkan kami berbincang tentang ilmu serta membaiki diri Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad sebagai contoh terbaik bagi kita untuk membaiki diri. Kalau bukan dari Rasulullah kita tidak ada panduan dalam sebarang hal.


Alhamdulillah walaupun Rasulullah wafat, kita terasa Rasulullah masih hidup kerana panduannnya masih boleh kita tiru dan ikut, cuma mahu atau tidak. Bukan sahaja umat Islam bahkan seluruh dunia mengakui bahawa umat Islam mundur di mana-mana, kalah di mana-mana dan terhina di mana-mania. Masalah inilah yang memeningkan ulama dan pemimpin. Masing-masing tidak tahu macam mana hendak menjadi kuat dan tidak tahu punca kelemahan.


Oleh kerana tidak tahu bagaimana untuk jadi kuat dan mengapa dihina, maka mereka hanya mencuba dan mengagak-agak. Masalah tidak selesai bahkan yang berlaku bertambah kusut. Kehinaan yang sedia ada ditambah lagi dengn kehinaan yang amat dahsyat. Hasil dari hanya cuba dan agak-agak. Kalau tanam pokok tidak ada ilmu, sekadar diagak-agak, kemudian diharap dapat hasil banyak, kalau tidak menjadi atau tersilap, ianya sekadar tidak boleh dipakai. Kalau tidak ada hasil, bakar, buang atau biarkan sahaja. Tetapi kalau ulama atau pemimpin hendak baiki masyarakat Islam, tidak boleh dengan hanya mencuba-cuba. Kalau tidak menjadi, manusia itu ada nyawa, ada akal maka jika tidak boleh dipakai, tidak boleh pula dibuang. Kalau pokok bolehlah dibuang. Percubaan-percubaan itu lebih menghancurkan lagi dan yang dibuat oleh musuh. Ada yang berkata, "Kita lemah sebab penjajah. Kalau merdeka boleh berdiri sendiri, bina kekuatan sendiri."


Bila Tuhan beri kemerdekaan, maka hal ini semua negara umat Islam sudah merdeka. Ada yang sudah 100 tahun merdeka dan ada 60 tahun, 70 tahun. Paling pendek yakni Brunei yang baru 30 tahun merdeka. Kenyataannya kehinaan yang ditanggung bukan makin sikit tetapi makin menebal. Sudah 100 tahun merdeka tetapi masih tidak boleh berdiri sendiri. Sudah 60 tahun merdeka.masih tidak ada kekuatan sendiri.


Di celah itu kita dengar ada yang salahkan penjajah apabila tidak ada kelulusan tinggi. Ulama dan pemimpin menjadikan ini sebagai alasan mengapa negara tidak maju. Sekarang sudah beratus ribu prof, master dan sudah berapa juta dapat BA tetapi yang peliknya, di Indonesia, 2 juta orang tidak ada kerja. Padahal zaman dulu setakat darjah 6, buat kerja tidak kira kerja apa. la menunjukkan bahawa hujah itu tidak boleh dipakai. Hari ini pemimpin dan ulamak tidak tahu apa hendak dibuat.


Kalau kita jadikan Rasulullah ikutan, umat Islam tidak akan bingung kerana ada jalan keluar dan kita mudah faham apa rahsianya. Bila faham, kita akan tahu mengapa umat Islam tidak maju. Tentang ini cukup jelas. Di sudut ilmunya ada dalam Al Quran dan Hadis. Di segi realitinya ada pada sikap Rasulullah dan Sahabat kerana sejarah mereka dicatat. Tidak susah untuk dijadikan panduan. Kalau ulama dan pemimpin faham dan hayati boleh selesaikan masalah di negara ini. Sesetengah orang tahu hal ini kerana ulama selalu bacakan hadith berikut: Pada suatu hari ketika Rasulullah bersama Sahabat, Baginda berkata, "Selepas aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah.


Di atas kelemahan itu, orang kafir makan dengan rakus.Orang kafir akan menjadikan umat Islam sasaran tekanan mereka. lni sudah terbukti. Sahabat yang mendengar bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam lemah sehingga musuh begitu kuat." Kata Rasulullah, bahkan masa itu mereka lebih ramai dari para sahabat tetapi ramai itu, tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Ibarat buih di laut yang menggunung tetapi bila jatuh lidi ke atasnya pun, buih itu boleh pecah. Tidak payah ditimpa kayu balak. Sahabat bertanya lagi, `Mengapa seramai itu tapi macam buih di laut?" Jawab Rasulullah, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit wahan.- lstilah ini kurang dipakai dalam bahasa harian. Tidak pernah ada masa itu. Sahabat bertanya. "Apa itu wahan? Penyakit wahan itu ada dua iaitu:


1)Takut mati


Takut mati ialah orang yang takut hendak mati kerana Allah. Mati kerana dunia seperti kerana nama, glamor dan negara tidak apa. Maka Tuhan turunkan bala lalu dicabut rasa takut dengan Tuhan.


Bila rasa takut dengan Tuhan dicabut, ia digantikan dengan macammacam rasa takut yang lain seperti takut tidak makan, miskin, takut isteri, takut masa depan dan sebagainya. Walaupun umat Islam mengerjakan sembahyang, puasa dan haji tetapi mereka tidak sanggup atau tidak tahan dan takut untuk mati kerana Tuhan. Maka Tuhan jadikan umat Islam mati bukan kerana Tuhan.


Sebaliknya, mati bergelimpangan dalam berbagai bentuk. Ada yang mati kerana kereta, pangkat, kerana merebut dunia, rebut harta, suami, isteri, kawan dan macam-macam lagi. Semua itu kerana menolak mati kerana Tuhan. Macam-macam bentuk kematian.


Apa yang kita takutkan menjadi punca kita mati. Contohnya kalau tidak jaga badan, kita takut sakit kemudian mati. Maka Tuhan matikan kerana penyakit barah atau darah tinggi.Tuhan matikan kerana itu yang kita hendak. Kerana kita tidak takut Tuhan tetapi takut sakit maka dengan sebab sakit itulah kita mati.


Kalau orang takut mati kerana memperjuangkan Tuhan, tentulah orang tidak akan kempen Tuhan, tidak akan promosi Tuhan. Yang dikenalkan hanya ilmu bagaimana hendak dapat pangkat dan duit. Tuhan terabai, Tuhan sudah hilang dari manusia sekalipun orang sembahyang dan beribadah. Sedangkan yang berkuasa adalah Tuhan manakala manusia tidak ada kuasa.


Tuhan menahan kuasa manusia sehingga mereka dibiarkan menjadi lemah dan hina di mana-mana. Bagaimana hendak berhadapan dengan Amerika atau Yahudi kalau tidak ada campur tangan Tuhan? Tidak ada campur tangan Tuhan kerana kita tidak mengkehendakinya.

2. Cinta Dunia


Oleh kerana ada cinta dunia maka ditarik dari rasa cintakan Tuhan sehingga tidak lagi cintakan Tuhan. Kerana berkat Rasulullah, kerana sayangnya Allah dan Rasulullah terhadap umatnya, maka Tuhan hukum sedikit-sedikit, tidak terus direntap. Bila sudah cintakan dunia, Tuhan tarik balik rasa cinta terhadap Tuhan. Apabila tidak cinta Tuhan akan terhakislah cinta terhadap yang lain. Tetapi tidak serentak. Mula-mula cinta yang jauh dulu ditarik iaitu terhadap orang kafir. Kemudian pada umat Islam umumnya. Yakni:


1. Cinta kepada umat Islam yang sesama etnik

2.Cinta sesama keluarga

3.Cinta antara suami isteri

4.Cinta antara ibu dan anak.


Sebab itu berlaku ayah rogol anak. Anak rogol emak. Kerana cinta sesama ditarik balik. Orang yang dekat seperti anak dengan emak, bila besar sudah terenggang. Bagaimana hendak bersatu-padu sedangkan di antara anak dengan ayah, antara datuk dengan cucu pun tidak ada kasih sayang. Apatah lagi hendak disatukan bangsa yang jauh hubungannya? Umat Islam akhirnya terhina di mana-mana kerana tidak cintakan Tuhan. Tuhan tarik cinta sesama makhluk. Antara datuk dengan cucu yang selalunva disayang lebih. Itu pun ditarik balik. Dulu anak dijaga, tidak boleh keluar rumah.


Sekarang hendak tinggalkan anak dalam rumah pun takut. Tidak rasa cinta sesama manusia bukan kerana:

1. Kurang ilmu.

2. Bilangannya sedikit.


Tetapi kerana :

1. Tidak takutkan Tuhan.

2. Cinta dunia.


Peliknya ulama tidak merujuk kepada Hadis itu. Sebenarnya yang diperkatakan itu adalah buah daripada dua perkara tadi. Tidak bersatu itu adalah buah dari wahan. Tidak maju itu buah (hasil) bukan penyebab. Inilah yang hendak dihidupkan semula. Betulkan cara berfikir umat Islam itu. Inilah perjuangan kita yang kita semua perlu faham supaya kita bertindak cepat dengan mengharapkan pimpinan Allah dan berkat Rasulullah SAW. Syarat untuk menjadi pejuang, mestilah berkorban habis-habisan.


Barulah kita tahu bila kita cinta dunia maka Allah tarik rasa cintakan Tuhan. Seolah-olah cinta dunia itu saingan cinta Tuhan. Tidak mahu mendoakan orang lain juga adalah kerana telah ditarik cinta Tuhan. Disebabkan telah cinta dunia. Sampaikan kakak kita pun tidak kita sayang sangat. Atas nama keluarga pun, rasa cinta sudah lemah. Lebih menyayat hati, cucu dirogol datuk. Sepatutnya, datuk sayang cucu lebih dari sayang anak. Tetapi Tuhan sudah tarik rasa sayang itu. Rasa cinta itu tidak boleh dimasukkan dalam diri manusia oleh doktor. Ubatnya ialah dengan kita kempenkan agar manusia cintakan Tuhan.


Hari ini manusia menganggap yang penting adalah ilmu dan ekonomi. Sepatutnya didatangkan semula Tuhan di dalam hati. Jangan saingkan cinta Tuhan dengan yang lain-lain. Bukan setakat laungan berjuang tetapi takut hendak berkorban. Hendak korbankan RM 10, berfikir sampai tiga hari. Sedangkan nafas pun Tuhan yang beri, nyawa pun Tuhan berikan apatah lagi beras dan lain-lain. .


Hebatnya Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidatina Khadijah mendahului kita dalam berkorban. Di dalam Al Quran Allah mengingatkan: "Jika kamu lebih cinta emas, ladang, binatang ternakan lebih kamu cintai maka tunggulah saat kehancurannya"

Minda Mujaddid

Mencari Keredhaan Tuhan



Foto oleh:nasyryzal


Hidup ini matlamatnya adalah Tuhan. Tuhan yang hendak dibesarkan, disanjung dan dicintai. Untuk mendapatkan perasaan-perasaan itu, Tuhan beri jalan dan tunjukkan cara supaya melalui cara-cara itu dapat dizahirkan perasaan-perasaan itu. Cara-cara melahirkan perasaan itu ada yang berbentuk ibadah asas, sunat dan umum. Yang asas iaitu melalui ibadah yang fardhu seperti solat, zakat, haji dan lain-lain.

Semoga kita dapat melahirkan perasaan tadi iaitu rasa kebesaran Tuhan dan rasa hendak puji Tuhan melalui ibadah yang asas. Kalau yang fardhu tidak cukup untuk lahirkan perasaan bertuhan itu, ia boleh dilakukan melalui perkara-perkara sunat pula. Ibadah yang fardhu tidak boleh di ubah suai mengikut kehendak kita. Ia adalah ibadah yang tetap dan wajib dilaksanakan. Ia tidak boleh di tokok tambah. Orang tidak rasa puas melahirkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan itu melalui ibadah fardhu bolehlah ditambah dengan yang sunat pula. Tuhan tahu ada orang yang hatinya asyik dengan Tuhan, sentiasa ingat kepada Tuhan. Jika boleh hendaklah selalu bersama Tuhan. Ibadah yang fardhu tidak boleh ditambah bilangannya iaitu lima waktu sehari semalam.

Kita tidak boleh solat fardhu 30 waktu semata-mata kerana ingin mendampingi Tuhan. Tidak boleh memandai-mandai bagi yang fardhu. Perbanyakkanlah yang sunat bagi orang tidak merasa cukup untuk melahirkan perasaan kehambaannya dalam ibadah fardhu. Ia adalah ruang tambahan untuk melahirkan rasa hamba, cinta, takut dan lain-lain. Bagi orang yang ibadah fardhu pun sudah mengasyikkan jangan tambah fardhu tetapi tambah yang sunat. Begitulah yang fardhu dan sunat terbatas.

Selain dari fardhu dan sunat, ada ruang lain untuk yang harus seperti makan, rehat, kerja dan lain-lain. Yang harus ini jika tidak digunakan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, Allah masih memberi rukhsah atau pilihan kepada hamba-Nya samada hendak dilakukan atau tidak. Allah maafkan jika tidak digunakan perkara yang harus untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Sebaik-baiknya ruang-ruang ibadah yang harus juga digunakan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Cuma jangan digantikan dengan yang haram. Oleh itu selama 24 jam kita dalam beribadah kepada Tuhan.

Itulah rahmat Tuhan agar hamba-Nya tidak berdosa. Allah telah menyediakan garis panduan dan peringatan. Terpulang kepada kita samada untuk melaksanakan atau tidak. Di sini kita faham yang fardhu, yang sunat, yang harus semuanya dengan tujuan untuk taqarrub (mendekatkan diri) dengan Tuhan. Kalau mampu sehingga boleh merasakan kasih, takut, mabuk dengan Tuhan.

Kalau perkara-perkara itu tidak boleh datangkan perasaan-perasaan tadi, ibadah kita tiada bernilai di sisi Allah SWT. Solat jadi habuk, puasa jadi habuk, naik haji jadi habuk, solat semua jadi habuk sebab matlamat tidak sampai. Ibadah tidak dapat melahirkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Ramai orang yang faham tentang agama tinggalkan Tuhan. Ketika solat pun manusia boleh tinggalkan Tuhan. Inikan pula semasa cari makan, manusia mudah putus hubungan dengan Tuhan. Orang sudah tidak faham peranan ibadah itu untuk melahirkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Sebab itu solat banyak sekalipun tidak memberi kesan. Perangai tetap tidak berubah walaupun sudah banyak kali pergi umrah.

Tuhan tidak menilai kepada banyak atau sedikit tetapi Tuhan menilai kesannya. Tuhan tidak menilai amalan lahir tetapi Tuhan melihat apa yang ada dalam hati kita. Ertinya, amalan lahir itu dapatkah melahirkan rasa cinta dengan Tuhan, rindu dengan Tuhan, rasa Tuhan itu hebat, terasa malu dan takut dengan Tuhan? Kalau rasa-rasa atau matlamat ibadah itu kita dapat, buat yang fardhu pun sudah memadai. Ertinya kalau kita tidak tahu peranan ibadah yang sebenar, jika kita ibadah pun dalam keadaan lalai. Jika tidak ibadah lebih-lebihlah lagi hati kita lalai dengan Tuhan. Ini adalah fitrah hati yang suka bergantung, memuja dan memuji satu kuasa yang luarbiasa iaitu fitrah bertuhan.

Hati manusia akan mudah tersentuh bila diceritakan bab ketuhanan. Oleh itu, dalam beribadah jangan mengejar fadhilat. Itu adalah hasil sampingan dalam ibadah. Kalau kita makan gaji, gaji asas kita mungkin RM500 sahaja. Bila kerja lebih masa, dapatlah tambahan RM2 ribu. Dalam ibadah tambahan menjadi RM2 ribu itulah fadhilat kerana kerja lebih dari masa yang diwajibkan.

Ibadah asas mesti dilakukan. Jika tidak bagaimana kita hendak mengecapi fadhilat ibadah? Ibadah yang sunat tidak ada erti jika yang wajib tidak dilaksanakan. Orang kejar fadhilat mudah tertipu. Masyarakat digalakkan oleh ulama mengejar fadhilat ibadah sedangkan yang wajib pun tidak dilaksanakan.

Masyarakat boleh menjadi rosak. Contoh, kalau kita membaca Al Quraan. Kita mesti menanamkan dalam jiwa kita bahawa setiap yang dibaca itu adalah sebagai lambang cinta Tuhan kepada kita. Allah kurniakan setiap perintah untuk diri kita dulu laksanakan. Bukan untuk diarah-arah orang lain supaya berbuat sedangkan diri sendiri tidak melaksanakannya. Kita tidak rasa ilmu al Quraan itu untuk kita tapi untuk orang.

Peranan ibadah dan syariat ini telah diselewengkan oleh ahli-ahli agama. Di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz, beliau telah Allah berikan peluang memerintah selama dua tahun. Selama pemerintahannya itulah juga beliau dikatakan oleh isterinya bahawa beliau tidak dapat melaksanakan ibadah yang banyak seperti khalifah-khalifah yang lain. Ini memanglah munasabah kerana seorang pemerintah mempunyai masa yang sangat terhad di antara tanggungjawab dan bertaqqarub (mendekatkan diri) dengan Tuhan. Walaupun ibadahnya sedikit, Khalifah Umar Abdul Aziz ini mempunyai satu perasaan takutkan Tuhan bila hendak tidur. Beliau akan menggelupur takutkan Tuhan walaupun isteri ada di sebelah. Itulah kesan ibadah beliau yang sedikit. Hatinya sentiasa rasa malu dan takut dengan Tuhan. Hatinya sentiasa ingat Tuhan. Selama dua tahun zaman pemerintahannya, selama itulah beliau tidak pernah bersama dengan isterinya, Fatimah.

Orang yang banyak amalan sedangkan hatinya tidak terasa takut dengan Tuhan, kesalahan itu adalah berat kerana tidak terasa berdosa. Kalau kita mencuri terasa berdosa sebab kesalahan itu boleh dinilai secara lahir. Orang yang beribadah kerana fadhilat, tidak akan dapat rasa dirinya hamba. Bahkan mungkin terasa layak untuk menerima ganjaran fadhilat itu. Fadhilat itu tujuannya hendak melahirkan rasa hamba. Benda yang halus dan tersirat ini sangat bahaya. Kalau hendak dinilai ibadah kita, itupun belum dapat menebus nikmat sebelah biji mata yang Tuhan berikan.

Berbuatlah kerana Tuhan. Apa sahaja yang kita buat samada menuntut ilmu, mengajar, berdakwah, berjuang, bertemu dan berbincang, biarlah kerana Tuhan. Selama ini apa sahaja yang kita lakukan tidak kerana Tuhan. Menuntut ilmu semata-mata kerana hendak pandai, hendak makan gaji, kalau tidak khatam Quran tidak boleh sunat. Sikap inilah yang mesti dibetulkan.

Hidupkan semula apa yang diajar oleh Rasul. Semuanya kerana Tuhan. Sememanglah ianya sangat bertentangan dengan arus kehidupan manusia hari ini yang sangat condong ke arah keduniaan dan materialistik. Orang dulu-dulu sangat menjaga hati agar tidak rosak dengan Tuhan. Kalau pakai baju, di dalam zuhud sementara pakaian luar sangat cantik untuk mengelakkan pujian orang atas kezuhudannya.

Mereka lebih suka dikatakan sebagai orang yang berlalai dengan dunia dari pujian orang. Bimbang hatinya berbunga. Belajar sahaja tentang ilmu kesufian ini tidak cukup kuat untuk kita beramal jika tanpa pimpinan Tuhan.

Ilmu sahaja tidak boleh menjadikan hati menggelupur takut kepada Tuhan seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Hati yang kenal Tuhan tidak akan tenang. Walaupun kadang-kadang kita bergurau dengan manusia tetapi perasaan kenal Tuhan itu terpaksa disimpan-simpan. Bergurau itu hak manusia lain terhadap kita. Khalifah Umar Abdul Aziz tetap menjalankan tugas pemerintahan kerana ia hak rakyat. Dia bersikap normal seperti manusia lain.

Perasaan kenal Tuhan itu ditahan-tahan sehingga di malam hari sewaktu bersendirian di samping isteri, baru dapat dilepaskan perasaan takutkan Tuhan itu sehingga menggelupur. Kalau kita sedar hakikat ini macamana hati kita hendak tenang. Walaupun kadang-kadang kita bergurau sebab itu hak manusia tapi dalam hati orang tidak tahu kalau kita kenal Tuhan. Sebab itu kita cerita kisah Umar ibnu Aziz.

Perasaannya mesti sampai peringkat begitu kerana dia sedang berhadapan dengan dunia, harta, perempuan, dan lain-lain. Takut dengan Tuhan itulah baju kalis peluru untuk menangkis godaan dunia yang terlalu banyak. Sebagai pemimpin, pergi mana pun orang puji. Hati yang tidak kuat bergantung dengan Tuhan tidak akan boleh bertahan dan mudah kecundang serta berbunga. Rosaklah amalan. Melihat perempuan sahaja adalah seperti satu tembakan kepada hati. Belum lagi berhadapan dengan godaan dunia yang lain. Kalau tidak ada baju kalis peluru yang tebal memang habis kecundang.


Kita hendaklah takut pada Tuhan. Di waktu yang sama takut juga kepada isteri, pada harta, takut pada pakaian, kereta, takut pada jawatan kita, takut dengan pujian orang, takut tentang makan-minum, godaan anak dan isteri, kawan-kawan, waktu sihat, sakit dan senang kerana itu semua peluru dunia. Kalau badan tidak kalis peluru iaitu memiliki pakaian taqwa, kalau 1000 peluru dunia yang menembak mustahil satu tidak tembus.

Kalau kena satu peluru dunia sahaja pun sudah cukup untuk menyebabkan hati kita mati. Ini peluru maknawi yang tidak nampak. Sejauhmanakah ketaqwaan kita kepada Tuhan? Setebal manakah rasa kehambaan yang berada di dalam jiwa kita? Sedalam manakah rasa bertuhan yang dimiliki oleh hati kita hingga boleh menjadi baju kalis peluru kepada peluru-peluru dunia yang bertaburan menembak sasarannya setiap waktu dan ketika? Keredhaan Tuhan itu penting. Buatlah apa sahaja asalkan mengharapkan keredhaan Tuhan. Kalau Tuhan redha yang lain tidak menjadi hal. Kita mesti buat sesuatu sehingga redha Tuhan kita perolehi. Mesti ikhlaskan diri sehingga apa yang dibuat itu semuanya dalam redha Tuhan. Untuk mendapat redha Tuhan memang susah. Carilah rahmat Tuhan.


Rahmat Tuhan terlalu luas dan ia tidak mengira samada amalan besar atau kecil. Harapkanlah kepada rahmat Tuhan. Lupakan segala amal kebaikan yang kita lakukan. Itulah tanda keredhaan Tuhan. Bisikkan kepada Tuhan, Aku membuat semua ini kerana aku hendak rahmat Engkau sahaja, wahai Tuhan. Itulah hati orang yang mencari keredhaan Tuhan melalui rahmat-Nya. Sebab itu Rasulullah diutus sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. Memberi salam ke kanan selepas sembahyang adalah untuk memohon redha Tuhan untuk ke syurga. Ini bererti amal ibadah kita tidak ada erti dan sebarang nilai. Kita masuk syurga bukan kerana amal ibadah tapi di atas tiket redha dan rahmat Tuhan.

Mintalah keredhaan Tuhan daripada kemurkaan-Nya. Bila Tuhan murka bererti neraka. Yang penting Tuhan redha sebab itu pohonlah keredhaan Tuhan walaupun pada ibadah sunat. Ini sangat penting supaya kita rasa bukan kerana ibadah kita selamat, tapi kerana redha Tuhan. Kalau Tuhan redha bererti berdosa pun tidak apa. Kalau Tuhan tidak redha, tidak buat dosa pun jadi masalah. Dalam Al Quran Tuhan ada berkata, "Yang selamat ialah hamba-hamba Aku yang diikhlaskan oleh Tuhan." Tuhan tidak kata, "Yang selamat ialah hamba-hamba Ku yang ikhlas." Ikhlas itu adalah rahsia dan anugerah Tuhan. Tidak mampu hendak usahakan sendiri. Malaikat pun tidak tahu siapa yang ikhlas. Ikhlas itu ruh amal, jika tidak ikhlas tidak dikira beramallah. Kita tidak mampu hendak ikhlas kalau tidak diikhlaskan sendiri oleh Tuhan. Malaikat pun tidak tahu amalan yang dibawa itu ikhlas atau tidak.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu samada amalan itu ikhlas atau tidak. Muaz kata dia pun takut kerana tidak ada jaminan untuk berlaku ikhlas lalu dia bertanya kepada Rasulullah. Rasulullah SAW bersabda, "Akan mudah bila Allah mudahkan." Ia ada kaitan dengan Tuhan, dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan supaya seimbang dan kita tidak rasa putus asa. Saluran rahmat itu banyak. Rahmat itulah yang akan selamatkan kita.

Sumber rahmat itu banyak sebab itu dikatakan orang masuk syurga dengan rahmat Tuhan. Jika atas dasar amalan hamba walaupun menggunung tidak mungkin selamat. Tuhan bagi jalan keluar dengan rahmatnya yang amat luas. Seorang hamba masuk syurga bukan kerana ibadah tetapi rahmat Tuhan. Rahmat Tuhan itu beribu-ribu. Contohnya, kita buat dosa itukan bahaya. Tapi bila kita mengeluh dengan dosa, itu rahmat. Ertinya, Tuhan berkata jangan buat dosa. Itu tidak mungkin berlaku kerana kita sentiasa buat dosa. Tapi bila kita terbuat dosa, kemudian mengeluh tentang dosa, di situ ada rahmat Tuhan. Contoh lain, makan dengan orang soleh dan ulama ul amilin itu rahmat. Tolong orang susah juga rahmat. Mungkin nanti dia doakan kita. Untuk atasi susahnya untuk mendapat amalan yang ikhlas dan keredhaan Tuhan itu, Tuhan bagi banyak jalan untuk mendapat rahmat Tuhan. Kita tolong orang berjuang sedangkan kita tidak mampu, di situ juga ada rahmat Tuhan.

Banyakkan selawat itu rahmat sebab Rasulullah SAW akan syafaatkan walaupun tidak khusyuk. Oleh itu, rahmat Tuhan itu bermacam-macam bentuk. Walaupun dosa yang kita buat berat, tetapi bila datang tetamu, semua dosa itu terhapus. Ia seolah-olah najis yang menggunung hendak dibasuh dengan segelas air. Tuhan beri rahmat-Nya. Sebab itu mesti cari rahmat Tuhan. Zaman Rasulullah kalau rumah yang tidak pernah diziarahi tetamu, Rasulullah tidak mahu masuk sebab rumah itu tidak ada rahmat Tuhan sebaliknya di dalam kutukan Tuhan. Kita dimasukkan syurga atas dasar rahmat dan masuk neraka kerana keadilan Tuhan.

Tetamu yang datang merupakan penghapusan dosa. Kalau kita hendak harapkan amal ibadah yang kita buat, tidak mampu hendak masuk syurga. Carilah rahmat Tuhan, walaupun perkara itu nampak kecil. Ada orang yang dimasukkan ke dalam syurga kerana memberi anjing minum air di padang pasir. Orang yang sibuk bekerja tetapi tidak dapat buat perkara-perkara sunat seperti wirid zikir, kemudian susah hati pula, itu lebih baik daripada orang yang berwirid zikir tetapi tidak susah hati. Tuhan akan beri rahmat untuk orang yang tidak dapat wirid tetapi susah hati. Orang yang amal ibadah banyak pun jika tidak ada rasa takut, itu lebih bahaya daripada yang kurang beribadah tetapi takut. Kadang-kadang tukang masak lebih selamat.

Kalau Tuhan takdirkan kita boleh beribadah, boleh buat itu dan ini, apalah kita hendak bangga. Kita tetap hamba. Janganlah hendak berlagak sombong. Walaupun kita nampak megah tapi tidak ada apa yang hendak dibanggakan kerana kita hanya seorang hamba yang dhoif. Semuanya bergantung kepada kepada pemberian Tuhan. Tafakkur adalah digalakkan kerana waktu itulah kita dekat dengan Tuhan. Kadang-kadang solat pun tidak mendekatkan hati kita dengan Tuhan.

Waktu hendak tidur jika kita bertafakkur, hati lebih menggelupur takut dengan Tuhan dan lebih dekat dengan Tuhan daripada waktu bertahlil. Kadang-kadang waktu bertahlil pun hati tidak dekat dengan Tuhan. Oleh itu, di mana ada ruang dan peluang untuk rebut rahmat Tuhan, berbuatlah sekalipun amalan itu hanya kecil pada nilaian zahir. Ini adalah kerana jika Allah ikhlas amalan kita yang kecil itu, di situlah padangan dan keredhaan untuk kita yang bakal menyelamatkan kita di akhirat kelak.


Minda Mujaddid

Rasa Bertuhan Para Sahabat



Foto Oleh: Nasyryzal


Kalau kita lihat di zaman Rasulullah SAW, para sahabat rasa bertuhannya kuat, ertinya kemana pun pergi mereka membawa rasa bertuhan. Seolah-olah Tuhan berkata, di mana engkau berada disitulah Aku berada, ertinya Tuhan dihayati betul-betul dalam jiwanya. Perasaan bertuhan itu kuat. Kalau rasa bertuhan itu kuat, maka akan terasa selalu diawasi oleh Tuhan di mana pun dia berada.Mereka memiliki hubungan yang kuat dengan Tuhan.

Ibadah-ibadah yang fardhu terutama solat tidak terabai oleh kerja-kerja lain. Walaupun kerja dunia itu kadang-kadang nampak besar dan berjaya, tapi bagi orang beriman ketika datang panggilan Tuhan, maka itulah yang utama. Bahkan bagi mereka, setengah jam sebelum waktu shalat sudah mesti menyiapkan diri.

Kalau tidak dapat, minimal 15 minit sebelum solat.Para sahabat Rasulullah SAW, disiplin solatnya sangat kuat. Hal ini disebabkan kekhusyukan dalam solat dapat dibantu dengan datang awal ketika masuk waktu solat. Ketika itu kita bertafakur, berfikir tentang kebesaran Tuhan dan mengingat dosa-dosa. Hal itu sangat membantu untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Cuba bandingkan bila ketika 10 minit lagi hendak solat, kita makan dulu, lihat majalah dulu dll. Tentunya kegiatan itu yang akan ada dalam ingatan kita ketika solat. Sedangkan kejadian yang telah 2 tahun dahulu, tiba-tiba dapat teringat, apalagi yang 10 minit menjelang solat.Sebab itu sepatutnya 10 atau 15 minit atau setidak-tidaknya sewaktu azan kita sudah ada di tempat solat. Walaupun misalnya 10 atau 15 minit itu kita bukan di tempat solat, tapi mungkin di tempat kerja atau di dalam bilik, tapi kita sudah keadaan siap sedia untuk menunaikan solat. Ketika azan terus menuju tempat solat.

Kalaulah kita menjaga hak-hak Tuhan, terutama ibadah solat, maka hubungan kita baik dengan Tuhan. Nantinya kerja-kerja dunia akan menjadi mudah, sebab Tuhan yang akan melakukannya untuk kita. Kalau kita bersusah-susah untuk amalan yang akan menyelamatkan kita di akhirat, maka dengan dunia ini kita akan dimudah-mudahkan oleh Tuhan.Sebab itu perlu untuk selalu istiqamah dalam mengerjakan segala ibadah, terutama ibadah yang fardhu.

Kita mohon pada Tuhan untuk dapat selalu istiqamah. Bahkan itu lebih utama daripada memohon keselamatan. Dengan istiqamah itulah kita akan mendapat keselamatan. Sebab kalau kita kadangkala istiqamah, kalau Tuhan memberi kejayaan bukan atas dasar kasih sayangNya(istidraj).Istiqamah diawali dengan ibadah yang fardhu, kemudian barulah yang sunat, seperti solat sunat, puasa sunat, sedekah dll. Ibadah solat sunat yang utama diistiqamahkan adalah solat malam.

Ibadah itu meningkatkan darjat seorang hamba kerana jatuh kasih sayang Tuhan kepadanya.Namun istiqamah bukanlah satu yang mudah. Istiqamah itu dapat dilakukan oleh orang yang kuat disiplinkan diri. Sebagaimana Sayidatina Aisyah tidak pernah meninggalkan amalan sedekah walaupun hanya dengan setengah biji kurma. Banyak sekali amalan yang kita buat tidak istiqamah, seperti solat, kadang dibuat tepat waktu, kadang tidak. Bahkan lebih selalu dibuat terlewat dari waktunya. Kadang puasa, kadangkala tidak. Padahal kalau kita dapat membuat amal secara istiqamah, maka insya Allah kerja kita dimudahkan oleh Tuhan.Kadangkala kita beralasan tidak dapat istiqamah dalam beribadah, seperti solat di awal waktu ataupun solat berjemaah disebabkan kesibukan kerja-kerja rumah tangga, mengurus anak-anak dll.

Memang begitulah kenyataan yang kita hadapi sehari-hari. Tapi bila rasa berTuhan telah kuat tertanam dalam hati, sebagaimana kehidupan wanita di zaman para sahabat, maka walaupun kehidupan mereka lebih susah, tapi dapat pertahankan istiqamah.Sebab bagi mereka kalau kita kita jaga hubungan dengan Tuhan, maka Tuhan akan mudahkan segala urusan kita. Cuba kita bayangkan kehidupan para wanita di zaman Rasulullah SAW, untuk mendapatkan air wudhu mesti pergi dulu ke perigi di padang pasir. Tapi mereka tetap dapat juga istiqamah sembahyang malam.

Sebab itu pernah Rasulullah bercerita pada para sahabat, nanti umatku dimudahkan oleh Allah dengan bermacam-macam kemudahan, seolah-olah waktu itu Rasulullah nampak air pun ada di dalam rumah.Sahabat yang ketika itu mendengar merasa sedih. Seolah-olah sahabat berkata, mudah-mudahan umat Rasulullah SAW di waktu itu kuat ibadah, sebab merasakan betapa mereka susah untuk ibadah kerana susah untuk mendapatkan air. Rasulullah SAW berkata, "Oh tidak begitu, sekarang adalah lebih baik". Seolah-olah Rasulullah SAW berkata kemudahan itulah yang melalaikan, kesusahan kamu itulah yang menjadikan kamu kuat dan bersiap siaga.

Kalau kita sungguh-sungguh maka akan jatuh kasih sayang Tuhan. Walaupun kita letih pada malam hari tapi tetap Tuhan bangunkan pukul 4 pagi untuk tetap istiqamah solat malam, walaupun hanya tidur selama 1 jam. Waktu itu Tuhan beri kemudahan, setelah kita sungguh-sungguh mujahadah pada hari-hari sebelumnya sebagai suatu ujian.

Rasa bertuhan itu perlu dibawa kemana-mana. Walaupun sukar dan belum berjaya tapi mesti dicuba. Tuhan nilai bukan kerana ibadah, tapi usaha yang istiqamah, sehingga datang rahmat Tuhan. Jika tak berjaya, mohon ampun dengan Tuhan. Tuhan tidak berkata, siapa yang berjaya itu selamat, tapi siapa yang mencoba, kemudian tak berjaya tapi rasa tersiksa, maka akan datanglah rahmat Allah kepadanya.

Minda Guruku

Jumaat, 26 Jun 2009

Ajarlah Anak Bercakap Dengan Tuhan

" Menanam Jiwa Tauhid Sedari Kecil "

Pada zaman dahulu, ada tiga orang sahabat telah terperangkap dalam gua ketika mencari tempat berlindung. Apabila mereka masuk sahaja ke dalam gua tersebut, sebuah batu besar telah bergolek dan menutup pintu gua itu. Setelah puas berikhtiar, mereka kemudiannya berpakat untuk meminta doa kepada Tuhan dengan bersandarkan kepada amalan kebaikan yang ada pada mereka. Akhirnya batu besar itu dapat ditolak oleh mereka dan mereka pun terselamat. Salah seorang daripada mereka itu ialah seorang lelaki yang menceritakan amalannya terhadap ibu bapanya. Lelaki itu seorang yang miskin, tetapi dia tetap memelihara kedua ibu bapanya yang telah tua. Dialah yang mencari rezeki setiap hari untuk keluarga dan ibu bapanya itu.

Suatu hari, walaupun setelah puas berusaha mencari rezeki, lelaki itu hanya memperolehi semangkuk susu. Sampai di rumah, ibu bapanya sedang tidur. Lelaki itu menunggu kedua orang tuanya bangun untuk memberi susu itu kepada mereka. Anak-anaknya yang kelaparan bergantungan di tepi jubahnya merengek-rengek meminta susu tersebut. Lelaki itu tetap menunggu kedua ibu bapanya bangun dan meminum susu itu terlebih dahulu, kemudian barulah mereka akan minum susu yang selebihnya. Itulah amalan seorang anak soleh yang mendapat perhatian Tuhan, iaitu mengutamakan ibu bapanya lebih daripada diri dan keluarganya.

Dalam zaman moden ini, kisah seperti ini ibarat sebuah kisah dongeng sahaja. Adalah mustahil kita boleh mencari seorang anak soleh seperti ini pada zaman sekarang. Yang selalu kita dengar dan kita baca ialah kisah anak-anak yang degil, yang nakal, yang terlibat dalam pelbagai salah laku serta jenayah. Anak-anak yang "super" sekalipun yang ada pada zaman ini hanya setakat boleh memberikan ibu bapanya keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Bila mereka besar, mereka hanya boleh jadi "orang biasa" yang sekadar dapat memberikan kemewahan kepada ibu bapa dan keluarganya.

Mereka tidak dapat menzahirkan akhlak "super" yang telah menghiasi peribadi orang-orang soleh satu ketika dahulu. Mengapa ini terjadi? Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan ialah kerana kita tidak berjaya menanamkan iman dalam diri anak-anak . Menanamkan iman dalam diri anak-anak bukan setakat menghantar mereka ke sekolah-sekolah agama, atau mengajar mereka 6 rukun iman. Itu baru mengajar, belum menanamkan iman lagi.

Menanamkan iman memerlukan proses yang jauh lebih mendalam dari itu. Di antara proses yang paling utama untuk menanamkan iman ini ialah menanamkan rasa bertuhan dalam diri anak-anak. Setelah anak-anak diajar tentang sifat-sifat Tuhan, kita perlulah mengasaknya dalam diri anak-anak sehingga mereka benar-benar dapat rasakan sifat-sifat Tuhan itu.

Cara paling mudah untuk melakukannya ialah dengan mengajar dan mengajak anak berhubung dan bercakap-cakap dengan Tuhan dalam setiap keadaan Tetapi sebelum itu, anak perlu difahamkan SIAPA itu Tuhan. Kalau masalah itu ialah masalah yang memerlukan pergantungan, contohnya dia perlukan wang yang lebih untuk peralatan sekolah, ajak anak supaya dia boleh menganggap Tuhan itulah sebenar-benar ibu dan ayahnya (maksudnya, termpat pergantungan yang sebenar-benarnya). Datangkan hujah-hujah kepada anak, misalnya:

· walaupun kita sebagai ibu yang melahirkannya, tetapi hakikatnya Tuhanlah menciptakan dirinya daripada tiada kepada ada dan memberikan nyawa.

· Kalau ayah pula bekerja keras mencari rezeki untuk keluarganya, maka hakikatnya Tuhanlah yang mengurniakan rezeki itu. Tuhanlah yang menciptakan ayahnya, menyihatkan dan memberi tenaga kepadanya sehingga dia boleh bekerja untuk mencari rezeki. Oleh itu, tempat pergantungan dan tempat meminta sebarang hajat hanyalah kepada Tuhan yang benar-benar berkuasa.

· Begitu juga, ajaklah anak supaya dia boleh menganggap yang Tuhan itulah sebenar-benar kawan di waktu dia dilanda masalah kesunyian, difitnah atau disalah sangka oleh kawan. Dialah kawan yang paling setia. Di setiap waktu, Tuhan akan mendengar aduannya dan Tuhanlah penyelesai segala masalah. Kalau kawan ada had masa untuk dia berjumpa, dengan Tuhan tidak ada had masa. Kalau dengan kawan, perlu dia berjumpa di sesuatu tempat, dengan Tuhan, dia tidak perlukan tempat untuk berjumpa. Kalau kadang-kadang kawan tidak mahu atau tidak mampu melayan kerenahnya, Tuhan sentiasa bersedia untuk melayan kerenahnya. Tuhan tidak pernah salah sangka kerana Dia Maha Tahu segala-galanya. Tuhan juga adalah kawan yang paling jujur dan setia kerana Tuhan tidak pernah menganiaya hamba-hamba-Nya.

· Seterusnya, ajaklah anak supaya dia boleh menganggap yang Tuhan itulah raja yang paling berkuasa sewaktu dia takut menegakkan kebenaran (seperti takut cikgu marah kerana minta keluar kelas untuk sembahyang), atau menganggap Tuhan itulah pemimpin yang sebenarnya sewaktu dia kebingungan untuk memilih di antara beberapa pilihan.

Apabila dia sudah dapat menganggap yang Tuhan itulah sebenar-benar tempat pergantungan, bahawa Dialah sebenar-benar kawan, raja dan pemimpin, ajaklah si anak alihkan sebarang permintaan, pengaduan, keluhan, ucapan terima kasih, pujian dan apa juga yang bermain di fikiran dan bibirnya kepada Tuhan.

Cuma bezanya, kalau dengan manusia, kita perlu bercakap dengan mulut supaya boleh didengari, dengan Tuhan , kita perlu bercakap dengan hati . Kalaupun kita bercakap dengan mulut, ia mesti turut dihayati di dalam hati. Untuk peringkat permulaan, ajarlah dia cara hendak mengadap dan menyusun kata-katanya kepada Tuhan. Kerana Tuhan itu terlalu jauh lebih hebat dan berjasa berbanding sekalian raja, pemimpin, ibu, ayah dan rakan-rakannya, tentulah perlu beradab sopan ketika hendak mengadap dan membuat permintaan kepada-Nya. Supaya beradab dengan Tuhan :

1. Mulakan dengan mengaku kita banyak dosa dan kelemahan
2. Berkata-katalah dengan merendah diri dan mengagungkan Tuhan
3. Buatlah permintaan dengan merayu-rayu sebagai bukti kita benar-benar mengharap kepada Tuhan sekaligus merasa diri lemah dan Tuhan sahajalah yang berkuasa
4. Memohonlah dengan bersandarkan kepada keberkatan dan kebesaran Rasulullah SAW supaya doa kita mudah dikabulkan Tuhan.

Contoh kata-kata aduan yang boleh diajarkan kepada anak supaya dipanjatkan kepada Tuhan sewaktu dia ditimpa penyakit:

Ya Allah, wahai Tuhan yang telah menciptakan sekelian alam. Engkaulah Tuhan yang sangat berkuasa. Tidak ada satu pun yang berlaku di alam ini yang tidak Engkau tahu wahai Tuhan. Dan tidak ada penyakit yang Engkau tidak dapat ubatkan wahai Tuhan. Aku minta ampun atas segala dosaku. Atas sebab dosaku itulah Engkau berikan aku penyakit ini, dengan tujuan supaya aku bersabar. Itulah cara Engkau hendak menghapuskan dosa-dosaku itu. Tapi Tuhan, aku ini serba lemah. Aku tidak sanggup menanggung sakit ini lama-lama. Begitulah lemahnya aku wahai Tuhan. Tentu Engkau sangat berkuasa untuk sembuhkan penyakit aku ini. Aku akan makan ubat yang ibu berikan, tetapi Engkau sahaja yang boleh sembuhkan. Tolonglah Tuhan. Tolonglah aku yang banyak dosa ini. Aku tahu Engkau tentu marah kepadaku kerana aku selalu buat jahat. Tetapi kabulkanlah pemintaanku ini dengan berkat kedua ibu dan ayahku yang sangat taat kepada Engkau .

Ajarlah anak bercakap dengan Tuhan dalam keadaan-keadaan yang lain juga, seperti:
· meminta pertolongan Tuhan apabila hendak mengambil peperiksaan
· meminta pertolongan Tuhan kerana susah hendak berbuat baik
· meminta maaf kepada Tuhan apabila rasa bersalah kerana terbuat dosa (contohnya, tertinggal sembahyang)
· mengucapkan terima kasih kepada Tuhan sewaktu mendapat nikmat
· mencari simpati apabila rasa keseorangan bila diketepikan kawan dan lain-lain lagi

Dalam setiap keadaan, ajarlah anak menyusun kata-kata yang sesuai. Lama kelamaan, dia akan pandai menyusun kata-katanya sendiri. Apabila anak-anak terus-menerus diajar supaya bercakap-cakap dengan Tuhan, secara automatik hatinya akan diasak dengan rasa bertuhan, di antaranya merasakan Tuhan itu Maha Mendengar, Tuhan itu Maha Mengetahui, Tuhan itu Maha Penyayang, Tuhan itu Maha Pemurah, Tuhan itu Maha Adil, Tuhan itu Maha Berkuasa dan lain-lain lagi. Inilah sebahagian dari proses menanamkan iman dalam diri anak-anak. Ia boleh ditanam tanpa kita perlu sebut perkataan iman itu sendiri.

Dengan latihan seumpama ini, anak-anak akan membesar dalam suasana cukup peka dan sensitif dengan Tuhan. Bila ini sudah ada, dengan sendirinya dia akan malu dan takut untuk membuat dosa. Dia juga akan begitu sensitif untuk melakukan perkara-perkara yang baik yang akan mengundang pertolongan dan keredhaan Tuhan. Barulah akan muncul semula watak anak-anak yang soleh yang sanggup mengorbankan diri untuk berkhidmat kepada ibu bapa dan Tuhan mereka

Minda Guruku




Manusia Adalah Pengemis Yang Hina


SEMUA manusia atau hamba Allah adalah pengemis
Manusia datang ke dunia tidak punya apa-apa
Untuk keperluannya, dia meminta atau tidak
Tuhanlah yang memberinya
Sama ada Tuhan beri dengan rahmat-Nya
Mahupun diberi dengan ghodhob-Nya atau istidraj atau murka-Nya
Ada yang dapat banyak, ada yang dapat sedikit
Pengemis itu ada yang tidak dapat,
tidak pula merungut dan marah-marah
Tapi tidak kurang, ramai yang tidak dapat,
marah-marah dan membentak-bentak
Ada yang dapat, bersyukur kepada Allah,
malu dan menyembah-NyaYang lebih ramai,
tidak tahu pun untuk bersyukur
Bahkan kebanyakannya mereka sombong
dan bermegah-megah
Dapat pemberian dari Allah tidak pun mahu menyembah-Nya
Pengemis atau si fakir itu tidak sedar
diri mereka fakir atau peminta sedekah
Terus lupa kepada Allah
Mereka menjadi sombong, megah
Dan menghina si fakir yang dapat sedikit
Si pengemis yang dapat sedikit sakit hati
dengan pengemis yang dapat banyak
Timbullah di dalam masyarakat pengemis itu
dua kelompok yang sentiasa berbalah
Satu golongan sakit hati dapat sedikit
Yang satu golongan lagi bermegah-megah
dapat banyak
Pertarungan ini semakin ke hujung
semakin tajam dan sengit
Mereka berbalah hasil mengemis tidak sama banyak
Golongan ini sepatutnya malu
Awak pengemis hina, terbuang, tiba-tiba diberi
Kemudian bergaduh sesama sendiri
di hadapan Tuhan yang memberi
Tidak malukah peminta sedekah bergaduh sesama sendiri
di hadapan pemberi sedekah?

Minda Mujaddid

Pelajar Dibelasah 4 Senior

Pelajar dibelasah 4 senior

Oleh ZAMZURINA AHMAD utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN 25 Jun - Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga dibelasah empat senior mereka sambil disaksikan 80 pelajar lain di sebuah sekolah agama di Rompin, kira-kira pukul 1 pagi, semalam.
Kejadian berlaku di surau sekolah berkenaan menyebabkan mangsa, Mohd. Ashraf Abdul Aziz, 15, pengsan selain mengalami lebam di muka, badan dan lengan.
Menurut abang ipar mangsa yang enggan dikenali, ketika kejadian, mangsa baru sahaja selesai menunaikan solat sunat witir bersama beberapa pelajar lain.
"Sebaik selesai solat, empat pelajar yang berusia dalam lingkungan 16 dan 17 tahun itu segera menutup lampu dan membelasah mangsa sambil disaksikan pelajar lain.
"Mangsa yang cedera dihantar ke sebuah klinik swasta di Rompin oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, sebaik perkara itu diketahui oleh keluarganya, ibu mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Rompin.
"Namun, setelah keluarga mangsa berbincang bersama pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), laporan itu ditarik balik," ujarnya.
Berikutan itu, tambahnya, mangsa yang mengalami trauma bercadang untuk bertukar ke sekolah lain di Temerloh.
Sementara itu, Pengetua sekolah berkenaan, Nasiruddin Mohamed Yusof memberitahu, keempat-empat pelajar tingkatan empat dan lima itu telah dibuang asrama berikutan kejadian tersebut.
"Isu itu melibatkan pelajar dengan pelajar dan pihak sekolah telah mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah dalam kes ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Zainol Mujahidin Mat Yudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut semalam.
Beliau berkata, bagaimanapun tiada siasatan dijalankan berikutan telah dapat diselesaikan antara dua belah pihak.




Komen dari Saya:

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Bismillahir rahmanir rahim


Bukan pertama kali kita mendengar berita sebegini. Bagi sesetengah orang macam dah biasa sangat dengar kisah-kisah membuli macam ni. Sedih sangat. Dimanakah silapnya?. Berlaku di sekolah agama pulak tu.

Sepatutnya sekolah Agama menjadi contoh kepada sekolah-sekolah yang lain. Kalau nak dikatakan kurang didikan agama namapun dah sekolah agama. Tak sikit ilmu agama yang diberikan oleh Ustaz dan Ustazah tu.

Sebenarnya itulah bukti-bukti yang Tuhan nak tunjukkan kepada kita semua bahawa ilmu agama semata-mata tidak akan menjadikan anak-anak kita insan yang mulia akhlaknya.

Ilmu agama yang disampaikan hanya akan menjadi santapan akal semata-mata.

Selagi tidak diberi didikan Roh atau jiwa, imu-ilmu agama yang ada diakal tidak akan dapat dihayati sepenuhnya. Pendidikan hari ini sepatutnya meletakkan pembangunan roh dan pembangunan insan sebagai keutamaan didalam sukatan pelajaran mereka.

Proses membaiki diri dan mujahadatunnafs ( melawan hawa nafsu) hendaklah menjadi agenda utama dalam pendidikan. Lihatlah contoh bagaimana Rasullullah SAW melaksanakan proses pendidikan. Aspek pendidikan jiwa yang Baginda utamakan. Baginda menanamkan Rasa Bertuhan, Rasa Kehambaan, membuang sifat mazmumah (terkeji) dan menanamkan sifat mahmudah (terpuji). 13 tahun Baginda menanamkan aspek kenalkan Tuhan sungguh-sungguh didalam jiwa dan dihayati bukannya diakal. Kita sekarang hanya memperkenalkan Tuhan kepada anak-anak hanya di akal, hanya menjadi santapan akal bukan dijiwa atau roh, sebab itu anak -anak kita tak takutkan Tuhan, tidak merasa diri itu Tuhan perhatikan atau awasi, hanya ingatkan Tuhan ketika bersembahyang bukan diluar sembahyang.

Marilah kita bersama membuat anjakan paradigma dengan memberi penekanan kepada pembangunan roh didalam pendidikan. Suarakanlah dan cadangkanlah kaedah ini kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pendidikan agar generasi kita selepas ini akan menjadi mukmin sejati yang Allah redhai didunia dan akhirat. Sekian.

Khamis, 25 Jun 2009

Apa Itu Taqwa?




Takrif Taqwa




Bila disebut taqwa, orang terjemah sebagai takutkan Tuhan. Itu tidak betul. Taqwa bukan bererti takut. Taqwa pada Tuhan bukan bererti takutkan Tuhan. Takut kepada Tuhan hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau khasya.Taqwa berasal dari perkataan waqa-yaqi-wiqoyah yang ertinya memelihara .Hujahnya ialah ayat Al Quran seperti berikut:



" Yaayyuhallazi naamanu quamfusakum waahlikum nara."
Maksudnya:



"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka." (At Tahrim: 6)



Di dalam Al Quran, kerap Tuhan menyeru dengan kalimah ittaqu atau yattaqi . Di mana ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa , ia membawa perubahan kepada makna. Di sini ittaqullah membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng / pelindung. laitu hendaklah jadikan Tuhan itu pelindung.




Jadikan Tuhan itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Tuhan, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Atau jadikan Tuhan itu dinding dari kejahatan.Usaha untuk menjadikan Allah sebagai pemelihara atau pelindung atau pembenteng ialah dengan melaksanakan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah lahir dan batin. Dengan kata-kata yang lain, perkara yang disuruh itu ialah membina sifat-sifat mahmudah.




Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah itulah usaha bagi menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah itulah usaha ke arah taqwa.Taqwa atau wiqoyah telah disalahertikan. Maksudnya telah disempitkan. la sebenarnya adalah lebih global dan luas. la adalah gudang mahmudah dan merupakan himpunan segala sifat-sifat mahmudah. Di situ ada sabar, redha, pemurah, berkasih sayang, pemaaf, memberi maaf, meminta maaf dan se-bagainya. Seluruh sifat mahmudah itulah taqwa. Jadi, besarlah erti taqwa. la membawa keselamatan dunia dan Akhirat.Oleh itu, kalau dikatakan ittaqullah , maknanya yang sebenar ialah `hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara` .




Oleh sebab istilah-istilah Islam telah banyak disalah guna dan disalahertikan, maka hilang berkatnya. Bila disebut istilah-istilah Islam, tidak terasa apa-apa. Contohnya ialah perkataan `khalwat `. Maksudnya mulia iaitu menyendiri dengan Tuhan. la satu bentuk amalan sufi. Tetapi maksudnya itu telah diselewengkan dengan membawa erti ` berdua-duaan lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi`.




Begitulah juga istilah ittaqullah ini. Setiap minggu pada hari Jumaat, dilaung-laungkan di mimbar masjid tetapi para jemaah tidak terasa apa-apa. Berkatnya telah hilang kerana maksudnya telah disalahertikan.Untuk menjadi orang yang bertaqwa ertinya menjadi orang yang berada dalam perlindungan Tuhan atau dalam pemeliharaan Tuhan. Orang yang berada dalam benteng dan kubu Tuhan. Dia selamat dari serangan luar. Serangan luar tidak lut dan tidak mengenai dirinya. Orang bertaqwa itu seolah-olah telah dipakaikan baju besi atau jaket kalis peluru.




Taqwa adalah pakaian jasad batin atau roh. la adalah amalan jiwa atau roh. Taqwa adalah perkara dalaman dan banyak melibatkan amalan hati. Kalau sungguh-sungguh diamalkan dan dihayati, akan lahir sifat-sifat mahmudah seperti jujur, adil, benar, berkasih sayang, lemah lembut, pemurah, tawadhuk, pemalu, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, pemaaf, amanah, tekun, rajin, lapang dada, bekerjasama, simpati, belas kasihan dan sebagainya.Orang yang bertaqwa adalah orang yang luar biasa. Sebab dia manusia yang sudah bersifat malaikat. Sifat malaikat sudah ada dalam dirinya. Dia sudah jadi orang Tuhan. Sebab itulah dia dibantu dan dibela oleh Tuhan. Orang bertaqwa sahaja yang akan selamat di dunia dan di Akhirat.




Minda Mujaddid

Sayangilah Tuhan


Di dalam diri kita ini ada macam-macam khazanah yang bersifat fizikal, mental dan rohani. Dalam badan kita ada jantung, hati, paru-paru, usus-usus, buah pinggang, sistem peranakan, sistem penghadaman, ada otak, ada saraf, ada saluran darah dan lain-lain.


Tersimpan juga dalam tubuh kita berbagai-bagai maklumat aqliah seperti ilmu alam, ilmu matematik, maklumat sejarah, sains, ekonomi, rahsia-rahsia peribadi dan individu-individu lain termasuk maklumat tentang alam ghaib seperti syaitan, malaikat, alam kubur dan alam akhirat. Memang hebat batang tubuh kita ini. Kecil tapi berbagai khazanah ada di dalamnya.


Tapi yang hebat lagi dalam diri kita ini seperti ada berbagai-bagai lautan rasa yang gelombang-gelombangnya bertukar-tukar dengan rupa yang begitu pantas.
Kadang-kadang kita dilambung gelombang rasa gembira, kadang pula rasa sedih, sayu, takut, marah, sayang, rindu, kasih, cinta, gerun, geram, benci, meluat dan jijik. Tidak saja itu, lautan rasa boleh bertukar warna kepada rasa hebat, megah, sombong, tinggi diri, bangga, rasa mampu, rasa selamat, rasaboleh serba serbi.


Tiba-tiba dilanda pula ribut rasa derita, kecewa, putus asa, terseksa, lara, rasa diri tak berguna, rasa hina, rasa lemah, rasa tak selamat, rasa serba tak boleh. Di sudut lain lautan ini membawa irama gelombang yang lain pula. Rasa bakhil, gila dunia, gila kuasa, gila puji, gila wanita, tamak haloba, hasad dengki, dendam kesumat, rasa nak tipu, nak bohong, nak mencuri, nak bunuh orang, nak bunuh diri, mengangkat diri, jatuhkan orang dan macam-macam.


Namum janganlah lupa, lautan itu tidak cukup setakat itu. Ada pula jenis gelombang yang indah-indah melayari lautan rasa manusia hingga terbuai-buai kita dibuatnya oleh rasa-rasa sayang. Sayang ibu bapa, sayang isteri, suami. Sayang anak-anak, sayang kawan, sayang jiran dan siapa-siapa yang baik-baik. Sayang kucing, sayang bunga, sayang barang-barang, sayang hidup, sayang kerja, sayang rumah dan sayang dunia.


Seribu satu macam sayang berombak-rombak di dalam dada kita. Diiringi pula oleh rasa-rasa yang indah-indah seperti pemurah, peramah, bersangka baik, berbudi tinggi, lapang dada, berkasih sayang, memaafkan, rasa bersalah dan meminta maaf, rendah diri, memuliakan, ingin disayangi dan membalasnya.


Tapi kemuncak dari semua itu, ada satu rasa yang paling MAHAL dari semua iaitu RASA BERTUHAN . Rasa inginkan Tuhan sewaktu-waktu susah. Ajaibnya penciptaan, pemberian dan anugerah yang maha luas ini. Bagaimana diri manusia yang sekecil ini dibenarkan memiliki seribu satu macam khazanah rohaniah? Siapa pereka, perancang, pencipta dan mengawal system super power ini? Tuhan, bukan? Hanya Dialah yang semampu ini. Hanya Dia yang sebijak dan sekuasa itu! Hanya Dia dan Dia saja. Sebab itulah Tuhan yang Yang Agung ini telah memfirmankan bahawa: "Sesungguhnya manusia adalah sebaik-sebaik ciptaan dan kejadian"
Satu ciptaan yang jauh lebih hebat dari ciptaan gunung, bukit, laut, langit dan bumi.


Hanya manusialah terutama manusia bertaqwa yang disempurnakan dengan sesempurna ciptaan. Yakni dibekalkan benih taqwa dalam lautan hati dan roh mereka. Yang mana daripada keseluruhan kecintaan-kecintaan yang disebutkan tadi, mereka dapat tundukkan semuanya kepada cintakan Tuhan yang Agung. Orang yang gagal menundukkan kecintaan kepada Allah, mereka hanya dapat cinta murahan. Cinta inilah yang direbutkan. Sedangkan cinta Allah dibiarkan.


Ada rasa bertuhan, sayang Tuhan, inginkan Tuhan, mencari Tuhan dan bercakap, bertanya, meminta, memanja, mengadu, merintih, merindui, mencintai dan menyayangi Tuhan dengan seagung-agung perasaan cinta.


Perasaan-perasaan ini kalau disuburkan, dibina, dibaja, diarahkan, sungguh mampu akan menjadikan manusia berhati malaikat, yakni mengabdikan seluruh hidup, masa dan jiwa raganya menyembah Allah. Membawa rasa kehambaan dan rasa bertuhan disetiap detikan hati dan jantungnya. Hidup mati ditujukan kepada Allah semata-mata.
Inilah yang Allah maksudkan:


"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku." (Adz Dzaariyaat : 56)

Saudara saudari, Siapa kenal dirinya nescaya dia kenal Tuhannya. Renunglah penciptaan diri kita. Nescaya kita akan terpegun dan terkejut! Sebab semua kepunyaan kita itu bukan kita yang mengawalkan, mentadbir, mengurusnya. Degupan jantung, kerdipan mata, penapisan ginjal, sedutan dan lepasan nafas, merakamkan maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya sepanjang 50 dan 60 tahun, mengalunkan rasa-rasa, gerakan hati yang silih berganti tiada henti-henti, sesungguhnya diluar kawalan kita. Selamat tidaknya diri kita bukan kita yang menentukan. Bila jantung akan berhenti berdegup sekaligus memberhentikan jentera seluruh sistem manusia ini? Bukan kita yang boleh menjawabnya!


Tapi sayang ramai saintis yang menyelidik rahsia penciptaan manusia ini jadi tidak percaya Tuhan bahkan anti Tuhan! Apa mereka tidak perasankan bahawa seluruh keajaiban itu ada mula dan akan berakhir? Oleh siapakah memula dan mengakhirkan itu berlaku? Sedangkan empunya diri pun tidak tahu. Bukankah jawapannya ialah oleh Tuhan?


Instinct atau fitrah kita yang menjawabnya. Sebab fitrah memang dibentuk bersama rasa yakin adanya Tuhan. Rasa mahukan Tuhan. Sebab itu kita bangga mengaku sebagai seorang hamba Tuhan. Tetapi marah kalau orang tuduh kita hamba syaitan, hamba seks, hamba duit dll. Pelik manusia ini, macam-macam yang dicinta tapi marah bila dikaitkan dengan banyak-banyak itu. Sebab cinta itu murah.


Sedangkan cinta Tuhan itu mahal. Saintis itu sebenarnya ada rasa-rasa mahukan Tuhan. Terutama waktu-waktu susah mereka akan memanggil Tuhan dengan kata-kata oh my god! Tapi sayang perasaan terhadap Tuhan itu tidak dibaja, tidak disuburkan. Sedang rasa cintakan girlfriend itu begitu dipupuk. Sayang anak itu dibelai-belai. Sayangkan ibu bapa amat dibesar-besarkan. Sayang dunia, sayang pangkat, cinta kereta dan lain-lain sungguh bertakhta di hati. Sanggup hidup mati kerananyalah! Walhal apa sangatlah semua itu pada kita. Dia pernah ada dan pernah tiada.


Sedangkan Tuhan Dialah nafas kita, Dialah makanan kita, rezeki kita, Dialah bank kita, Dialah daya ingatan kita, Dialah manusianya kita, Dialah tidur lena kita, Dialah senyum tangis kita, Dialah nikah kahwin kita, Dialah kaya miskin kita, Dialah sakit sihat kita, tua muda kita, Dialah baik jahatnya kita, Dialah pandai bodohnya kita, Dialah hidup matinya kita, Dialah pandangan kita, penglihatan kita, perasaan beranak tidaknya kita, Dialah accidentnya tidak kita, Dialah orang suka tidaknya kita, Dialah mulia dan hinanya kita, berjawatan dan berkuasa tidaknya kita, jatuh bangun seseorang dan sesuatu kamu pun di tangan Tuhanlah juga. Lihat firmannya Ali Imran ayat 26.

"Sesungguhnya Tuhan adalah segala-galanya"


Tuhan sangat sayang pada kita manusia dan Dia sangat inginkan kita menyayangi-Nya. Kita boleh berkawan dengan-Nya bahkan Dia adalah kawan yang paling setia. Siapa yang kata makhluk manusia tidak boleh berkawan dengan Allah pencipta adalah satu pembohongan. Sebab Rasulullah SAW ketika akan wafat ada bersabda:


"Aku akan pergi kepada kawan yang Tinggi (Allah)"


Tiada cacat celanya Allah kalau kita jadi kawan Dia. Bukankah setiap saat Dia yang menjaga kita, memberi rezeki dan segalanya? Dia yang menguruskan kita, menolong kita, mengajar, membela, melindung, menjaga, memastikan waktu-waktu kita samaada untuk sihat, sakit, hidup dan mati. Allah tidak hina kerana bersama kita kerana Dia Maha Sempurna. Tiada apa yang boleh mencacat-celakan kesempurnaan-Nya. Dia sebagai kawan setia, prinsip hidup dan tempat rujuk. Bukankan setiap kali kita sembahyang kita berkata pada-Nya

"Akan Engkaulah kami sembah Akan Engkaulah kami meminta tolong"


Lagi yang selalu kita ungkapkan kehadrat Allah waktu sembahyang ialah "Ku sembahkan puja dan puji kepada Zat yang menghadiahkan alam ini kepadaku"


Ruginya kita kalau tidak mempedulikan Tuhan. Ruginya kita kalau tidak mengambil Tuhan jadi kawan yang setia. Malangnya kita kalau kita tidak cinta dan tidak sayang pada-Nya. Sedangkan kesayang-kesayangan kita yang lain, tidaklah berjasa dan berbaik pada kita sebanyak yang Tuhan lakukan untuk kita. Akhirnya ketahuilah bahawa kita ada Tuhan. Dia adalah segala-galanya.


Oleh itu sayangilah Tuhan.

Rabu, 24 Jun 2009

Menyeberangi Alam Barzakh


Sumber: Taman2 Syurga yahoogroups

"Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru saja kami kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar ligat. "Aii... menung nampak? Kenapa?" tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi penggali kubur di Bakri, Muar, Johor."Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit kena tanah," saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak datang ke kepala.

Mari pergi kat pondok..... mandur nak jumpa. Dia nak cakap fasal kerja, gaji,overtime. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah," tambah Bakar sambil memikul cangkul dan botol airnya. "Pergilah dulu, nanti aku datang," balas saya lantas duduk termenung. Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid.

Saya termenung. Ada satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya. Sebenarnya sudah lama ia bermain-main di benak tapi sekarang ini makin mendesak. Orang ramai sudah balik, Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata orang, selepas tujuh langkah kita tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk menyoal simati.

Kalau bagus amalannya semasa hidup, berbahagialah. Tapi kalau bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah... Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga ke kubur dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam... Konon cerita, lepas itu terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit. Eee... seramnya.

Macam mana agak-nya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah badannya, garangkah rupanya atau berjubah dan maniskah wajahnya? Kalau dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak terperi. Kalau lipan, jengking datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh, nak mengadu tak boleh, kita seoranglah menanggung sakit pedih.

Astaghfirullahal azim..... Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa muda saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas dan mengacau fikiran. Pergi.... pergi sekarang! Johar, masa inilah kalau nak cuba . Kawan- kawan dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya. Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan jiwa yang bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di telinga. Cepat, cepat, cepat! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi?' Kan engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut? Allah, bukannya kena tangkap, bukannya boleh mati... Jadi bisu? Sakit, lepas tu mereng sampai mati Jangan pedulilah, tu cerita orang saja. Entah ya entah tidak. Engkau orang muda, kuat semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat! Dimulai lafaz bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus bangun dan terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja digali sebab di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai persediaan. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar, kalau ada banyak kematian sekali gus, taklah timbul masalah. Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah, lailahaillallah, lailahaillallah.

.. Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau tanah dan sempitnya ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya betul-betul gemuruh. Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah dan segala seksaan yang pcrnah didengar daripada guru-guru agama terbayang di depan mata.

Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu. Jeritan, tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar pada malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran. Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa saya untuk menyaksikan sendiri keadaan di alam barzakh. Bunyinya memang gila, mana boleh manusia hidup menyeberangi ke alam barzakh, tapi saya ingin juga merasainya.

Lailahaillallah Lailahaillallah Lailahaillallah Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi kelam dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amat menakutkan. GGRUUMMM... PPPRRAAAPPP! ! Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu satu lagi sisi tanah kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan. "Ya Allaaaaahhh. .. apa yang berlaku ini?" saya menggeletar kerana bunyi itu datang dari dua arah dan saling rapat merapati. Air mata seperti hendak mengalir. GGGRRRRUUUMMM. ..

Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit menghimpit. Saya menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat daripada tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan dengan bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku. Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku ke tanah, tak dapat bergerak akibat terlalu terkejut. ARGGHKKK... ERRRKKKKKKK Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya laksana dia sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di kerongkong.

Nafas saya sudah tidak tentu arah, takut yang amat sangat. AARRKKK... UUURRRKKGGH! !! Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi... Perasaan simpati tak dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang tidak mampu ditembusi. Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila tiba-tiba... PPPR-RRAAPPPPP! !!... bunyi papan patah berderai. PRRAAKK... TTAAPP..... PRRAAPP! Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur berkecai lalu disudahi dengan suara lelaki tersebut mengeruh. Serentak itu, kedengaran pula tulang-temulang patah! Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah yang Nabi maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit tubuh orang-orang yang mengkufuri Allah hingga berselisih tulang selangkanya.

Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang mengerang itu. Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering apabila mendengar dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah berderap-derap. Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku, tiba-tiba satu deruan angin yang maha dahsyat datang menerpa. Desingannya menyakitkan telinga. Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam seperti asap, makin lama makin membesar lalu membentuk lembaga hitam yang teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang besi yang sedang membara, merah menyala. Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut. Pantas saya menepis, namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh, panasnya menyebabkan kulit tangan saya ini bagai tersiat dan dagingnya masak. "ARGGGHHHH" Jangan pukul aku lagiiiii!!!" saya meraung apabila lembaga itu memukul kaki saya. Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran.

Bagai hendak tercabut anak tekak saya menjerit kerana kehangatan besi itu membakar daging paha saya. "Arrgghhh... sakit, sakiiittt!!" saya meraung-raung, tapi lembaga hitam besar hingga sayup mata memandang itu terus menghayunkan besi panasnya ke kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya. Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit menghimpit. Bumi tempat saya berpijak bergegar hebat laksana dilanda gempa.

Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap bagai dahan sekah, tetap kedengaran. Dalam hati saya meraung, matilah aku kejap lagi, patahlah tulang aku, renyuklah badan aku dibelasah dengan besi panas. Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya terasa sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki mengerang lenyap serta-merta.

Suasana terasa hening. "Johar... Johar!!" sayup-sayup nama saya dipanggil. Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan terlalu letih. Wajah seseorang berbalam-balam di mata. "Johar... bangun, bangun!" nama saya dipanggil lagi, badan digoncang-goncang. Saya buka mata sedikit. Ooo... rupa-rupanya Bakar.

Bersama-sama Pak Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari kubur. Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. Bakar beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta mandur mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama mencari, akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri. "Engkau menepis sana , mengelak sini.

Habis tanah kubur tu engkau tumbuk. Aku ambil air. Aku simbahlah," kata Bakar sambil menunjukkan baldi yang digunakannya lalu disambut gelak tawa kawan-kawan. Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak ceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya. Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan akibat badan penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan menendang tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu.

Saya juga dibawa berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.. Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka berebut-rebut menyuruh saya menceritakan pengalaman menakutkan itu. Ada yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan, mimpi dan igauan semata-mata. Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati... Akhirnya saya telah saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat itu adalah keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya mimpi semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah. Yang penting keinginan untuk menjengah alam itu telah tertunai.

Peristiwa pada pertengahan 1970-an itu telah memberi keinsafan yang benar-benar mendalam di hati saya. Sesungguhnya janji ALLAH itu benar...MATI itu benar...SYURGA - NERAKA itu benar....dan. .azab kubur ...itu juga benarrrr.... .

Semoga ALLAH terima segala amalan kita dan mengampubi dosa-dosa kita.... AMIN YA RABBAL A'LAMIN

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin