Selasa, 2 Mac 2010

Hutang kahwin faktor rumah tangga retak





Gambar hiasan



2010/03/02


Sumber: metro online




KUALA LUMPUR: Kegagalan pasangan melangsaikan hutang pernah dibuat untuk menghadapi kenduri besar sewaktu mula memasuki alam rumah tangga dikesan menjadi antara faktor penyumbang keretakan institusi perkahwinan.


Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abd Rani, berkata pihaknya mendapati memang ada kes cerai yang terbawa-bawa dengan masalah untuk membayar hutang terbabit.




Menurutnya, disebabkan hutang itu, ada pasangan mengungkit di kemudian hari dan secara tidak langsung memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga.


“Kegagalan membayar hutang terbabit bukanlah faktor besar, cuma sampingan saja. Berdasarkan kes, kami dapati faktor utama perceraian di pihak suami ialah tidak bertanggungjawab, suami curang, berfoya-foya, mendera isteri dan panas baran.

 


“Di pihak isteri pula faktor ialah isteri ingkar perintah suami, kemudian isteri lari keluar rumah, tak bertanggungjawab iaitu tidak menjalankan tugas sebagai isteri dengan sempurna, termasuklah tidak patuh,” katanya.



Statistik nikah, cerai dan rujuk direkodkan Jais bagi tempoh sehingga Julai tahun lalu, menunjukkan 2,247 kes perceraian di Selangor, tidak termasuk kawasan Hulu Langat, manakala rujuk dengan 356 kes dan perkahwinan sebanyak 7,280 pasangan.





Bagi 2008, sebanyak 16,021 pasangan direkodkan melangsungkan perkahwinan manakala perceraian 4,069 kes, dengan rujuk 628 kes, meningkat berbanding tahun sebelumnya dengan 14,747 perkahwinan, 3,685 kes cerai dan 521 kes rujuk.



Mohd Hidayat berkata, pihaknya menyedari dengan angka kes perceraian yang masih kurang memuaskan dan untuk itu pelbagai usaha dilakukan, termasuk memperkenalkan program keluarga sakinah.





Katanya, program keluarga sakinah membabitkan lima modul dilancarkan Februari lalu dijangka dapat mengurangkan kadar perceraian sekali gus memperkasakan institusi perkahwinan pasangan Islam. “Modul program terbabit digarap dengan sempurna, menyentuh pelbagai aspek seperti akidah, kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat, kesan gejala sosial seperti akibat daripada perzinaan dan maqasid (kepentingan) syariah,” katanya.





“Pelaksanaannya bukan saja tertumpu di ibu pejabat Jais, tetapi turut diperluaskan ke semua pejabat agama daerah dan tidak hanya terbatas di masjid, malah boleh disampaikan di pelbagai institusi,” katanya.




Beliau berkata, Jais juga sentiasa mengalu-alukan kunjungan pasangan Islam yang menghadapi kemusykilan dan masalah di alam rumah tangga.


“Kami di seluruh negeri mempunyai unit khidmat nasihat bersedia menerima kehadiran mana-mana pasangan untuk mendapatkan kaunseling dan nasihat, supaya dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga,” katanya.

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin