Isnin, 27 Julai 2009

Jangan Jadikan Allah Taala Keperluan Bermusim


Allah Taala adalah segala-galanya. Kalau bukan kerana Allah
Taala, segala-galanya tidak akan ada. Segala-galanya ada
kerana Allah Taala mengadakan. Kalau Dia tidak mengadakan,
segala-galanya termasuk kita pasti tiada.


Allah Taala mengadakan sesuatu sama ada di dunia mahupun
di Akhirat, nikmat dunia mahupun nikmat Akhirat, menjadikan
alam ghaib mahupun alam nyata, menjadikan manusia,
malaikat, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain semuanya
ada maksud, ada hikmah, bukan suka-suka lebih-lebih lagi
bukan sia-sia.


Setiap makhluk yang dicipta-Nya ada peraturannya, ada cara
kehidupannya yang tersendiri, mempunyai sistem yang tersendiri.
Malaikat ada sistem yang tersendiri, jin ada sistemnya yang
tersendiri, haiwan ada sistemnya yang tersendiri, manusia ada
sistemnya yang tersendiri, tumbuh-tumbuhan ada sistem yang
tersendiri. Begitulah setiap makhluk sama ada sebesar-besar
makhluk hinggalah sekecil-kecil makhluk, yang bernyawa
mahupun yang tidak bernyawa, semuanya ada peraturan dan
sistemnya yang tersendiri. Setiap makhluk itu adalah berjalan
mengikut peraturan atau sistemnya masing-masing.


Siapa sahaja yang tidak mengikut peraturan yang Allah Taala
sediakan, dia pasti binasa. Sama ada jangka pendek mahupun
jangka panjang. Bahkan dunia nanti binasa (Qiamat) setelah
setiap planet-planetnya tidak mengikut peraturan dan sistemnya
lagi.


Seterusnya, setiap makhluk ciptaan Tuhan itu dengan peraturan
serta sistemnya, setiap gerak-geri dan gerak-lakunya
tidak terlepas daripada ilmu-Nya, penglihatan-Nya, kuasa-Nya,
kehendak-Nya, pendengaran-Nya, walaupun sebesar habuk
tidak terlepas daripada Tuhan hinggakan manusia walaupun
dia sudah berusaha, usaha manusia itu pun tidak terlepas daripada
kuasa dan kehendak Allah Taala. Kemudian ke mana
makhluk ini akan pergi, ke mana kesudahannya, ke mana destinasi
akhirnya, apa nasibnya, semuanya tidak terlepas daripada
ketentuan Tuhan yang telah disebut sifat-sifat-Nya di atas.
Kalau begitu, siapa Tuhan? Tentu Tuhan Maha Agung, Maha
Hebat, Maha Gagah, Maha Kuasa, Maha Berilmu, Maha Berkehendak,
Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Sempurna,
entahkan Maha, Maha apa lagi yang tidak dapat dicapai oleh
akal untuk mengetahui dan memikirkannya, yang tidak ada
makhluk dapat menyukat maha-maha-Nya Tuhan itu.
Sifat Maha Kuasa Allah Taala sahaja sudah cukup menggerunkan
kita. Kerana jika Allah berkata: Jadilah, terus terjadi.


Jika Allah Taala berkata: Binasalah, maka binasalah benda atau
makhluk itu. Kehendak dan kuasa-Nya tiada makhluk yang dapat
menolaknya. Kalau Allah Taala berkata senang, pasti senang.
Kalau Allah Taala berkata susah, pasti susah. Kalau Allah Taala
berkata hidup, pasti hidup. Kalau Allah Taala berkata mati, pasti
mati. Kalau Allah Taala berkata pandailah, pasti pandai. Kalau
Allah Taala berkata bodohlah, pasti bodoh. Kalau Allah Taala
mengatakan sakitlah, pasti sakit. Kalau Allah Taala berkata
sembuhlah, pasti sembuh. Begitulah seterusnya apa sahaja Allah
Taala katakan pasti terjadi.


Begitulah agungnya Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang
Maha Sempurna. Apakah Tuhan itu kita tidak perlu kepada-
Nya? Tidak mahu meminta kepada-Nya? Tidak mahu ingatkan-
Nya? Tidak mahu mengagungkan-Nya? Tidak cinta kepada
Nya? Tidak takut? Tidak mengharap? Tidak memerlukan? Tidak
mematuhi-Nya. Tidak mensyukuri-Nya?


Apakah kita boleh terlepas dari-Nya? Boleh lari dari-Nya?
Boleh hidup tanpa-Nya? Boleh selamat tanpa-Nya? Tuhan sehebat
itukah yang kita hendak lawan? Hendak tidak ambil tahu?
Hendak tidak peduli? Hendak sombong dengan-Nya?
Kita perlu kepada Tuhan di waktu senang, di waktu susah,
di waktu miskin, di waktu kaya, di waktu aman, di waktu
darurat, di waktu sakit, di waktu sihat, di waktu sempit, di waktu
lapang, di waktu bodoh, di waktu pandai, di waktu di rumah,
di waktu di luar rumah, di waktu takut, di waktu tenang, di
waktu seorang, di waktu ramai, di waktu aman, di waktu huruhara.
Sepatutnya kita perlu kepada Tuhan di dalam sebarang waktu
dan situasi, di setiap tempat dan keadaan. Jangan anggap kita
boleh bersendiri.


Tapi malangnya kebanyakan umat Islam kerana sombongnya,
perlukan Tuhan di waktu-waktu tertentu sahaja. Tidak setiap
waktu dan situasi. Yakni di waktu kemarau, waktu sakit, waktu
miskin, waktu bala menimpa, waktu musuh menyerang. Itu pun
tidak semua orang berbuat sedemikian. Ada yang lebih sombong
dan angkuh lagi, di waktu kemarau, di waktu sakit, di waktu
bala menimpa pun tidak juga memerlukan Tuhan. Seolah-olah
memerlukan Tuhan itu rasa terhina, rasa jatuh martabat, rasa
malu, rasa jatuh wibawa.


Sepatutnya Tuhan itu adalah segala-galanya, dapat Tuhan
dapatlah segala-galanya. Kehilangan Tuhan, kehilangan segala galanya.
Tuhan adalah hidup mati kita. Tuhan adalah dunia
Akhirat kita. Dia adalah tempat rujuk, tempat mengadu, tempat
bermanja-manja, tempat berhibur, tempat lari, tempat menyerah
diri. Dialah harapan kita, Dialah kebahagiaan kita yang sejati.


Minda Mujaddid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin