Selasa, 28 Julai 2009

PERINGKAT-PERINGKAT MANUSIA MENCARI HARTA DUNIA


1. Golongan yang sesat
Golongan yang hanya percayakan kehidupan dunia semata mata,
tidak ada kehidupan yang kedua atau kehidupan hari
Akhirat. Kalaupun mereka percaya adanya kehidupan Akhirat,
tapi mereka menganggap bahawa kesenangan dan kesusahan
kehidupan di dunia ini yang menentukan kesenangan dan
kesusahan di Akhirat. Oleh itu mereka burulah kesenangan dan
kekayaan dunia tanpa batas.


Mereka hanya memikirkan makan, minum dan seks. Mereka
tidak akan memikirkan halal dan haram sama ada mencarinya
mahupun menggunakannya. Halal dan haram tidak ada di
dalam kamus hidup mereka. Mereka benar-benar tenggelam di
dalam memburu dunia semata-mata iaitu makan, minum dan
seks. Mereka itu ialah golongan seperti yang Allah firmankan
melalui Al Quran iaitu seperti binatang bahkan ada yang lebih
sesat lagi iaitu golongan orang kafir.


2. Golongan yang bakhil
Golongan yang merebut harta dengan tamak tapi masih menjaga
tentang halal dan haram, zakat dikeluarkan, masih menjaga
perkara-perkara yang asas, namun tidak sanggup dibelanjakan
ke jalan Allah Taala. Tapi dibelanjakan ke jalan haram pun tidak
juga, sekadar untuk kepentingan sendiri dan suka menyimpan.
Itulah golongan muslim yang bakhil.


3. Golongan yang tamak
Golongan yang merebut dunia yang masih menjaga usahanya
itu daripada yang haram, zakat tetap dikeluarkan, tetapi apa
yang didapati tidak puas-puas kerana ingin kaya hingga cuai
melaksanakan amalan yang asas di samping tidak dikorban ke
jalan Allah Taala. Ini golongan yang tamak.


4. Golongan yang lalai
Golongan yang memburu harta namun tetap menjaga amalan
yang asas dan usahanya juga halal tapi tidak mengeluarkan zakat
dan tidak dikorbankan hartanya ke jalan Allah. Itulah golongan
muslim yang tertipu atau lalai.


5. Golongan yang bersyukur
Golongan yang bersungguh-sungguh mencari kekayaan tapi
dengan tujuan untuk khidmat. Semua hal dijaga, ibadahnya yang
asas dijaga, usahanya halal, zakat dikeluarkan, dikorbankan ke
jalan Allah, pemurah kepada fakir miskin. Inilah golongan yang
bersyukur dan pemurah tapi hisabnya banyak.


6. Golongan orang soleh
Golongan mencari harta sekadar untuk hidup dan boleh
beribadah kepada Allah, tidak mahu mencari harta yang banyak
takut tidak dapat menunaikan kewajipan dan takut lalai
daripada Allah dan mereka pemurah pula, usahanya sangat
dijaga daripada haram dan syubhat. Itulah golongan orang yang
soleh dan pemurah.


7. Golongan pemalas
Golongan yang tidak suka bersusah-susah dengan harta dunia
tapi bukan pula kerana takut lalai, tidak juga kerana takut tidak
dapat menunaikan kewajipan. Kalau tidak ada dia meminta minta
tapi tidak pula dia mencuri, menipu dan sebagainya.
Ibadah tetap dilaksanakannya. Itulah golongan muslim yang
pemalas.


8. Golongan siddiqin
Golongan yang tidak ada usaha langsung kerana menumpukan
semata-mata untuk ibadah kepada Allah dan tidak pula
meminta-minta. Tentang rezekinya diserah bulat-bulat kepada
Allah. Bahkan ada kalanya orang memberi pun dia menolaknya.
Itulah golongan siddiqin.


9. Golongan fasik
Golongan yang tidak suka bersusah payah mencari rezeki, bila
tidak ada dia meminta, menumpukan ibadah tidak juga. Inilah
golongan yang fasik yang pemalas.


10. Golongan yang sentiasa lalai
Di dalam pada itu ada golongan yang memburu harta, kalau
dapat dia lalai, kalau tidak dapat pun dia lalai.


11. Golongan yang lalai bila kaya
Ada golongan jika dapat menjadi kaya dia lalai tapi jika tidak
dapat dia tidak lalai.


12. Golongan yang lalai bila miskin
Ada golongan yang apabila dia tidak dapat dia lalai, bila dapat
dia tidak lalai.


13. Golongan yang tidak lalai apabila hidup sederhana
Ada golongan jika dia kaya dia lalai dan kalau miskin pun dia
lalai tapi bila pendapatannya sederhana dia tidak lalai.


14. Golongan yang tidak lalai dalam suasana apa sekalipun
Ada golongan di dalam suasana apa dan bagaimana sekalipun
dia tetap boleh mengabdikan dirinya kepada Allah dan mereka
tetap tidak dilalaikan oleh kehidupan dunia. Golongan itulah
yang menjadikan dunia sebagai jambatan ke Akhirat.


Minda Guruku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin