Isnin, 6 Julai 2009

Contoh Amalan Seharian Untuk Menanam Benih Taqwa

Foto oleh: Emran MT


Bila kita keluar berkereta setiap hari lepas Subuh dan tiba di persimpangan jalan, hati kita berkata, "Di sini aku hendak dapat taqwa. Aku akan beri laluan kepada orang."Itulah taqwa. Tetapi jika kita berkata, "Ikut undang-undang, ini aku punya laluan. Buat apa aku beri laluan pada orang lain."Betullah itu kalau mengikut undang-undang. Tetapi kita tidak akan dapat taqwa sebab kita tidak mahu berkorban hak kita untuk orang lain.Kemudian kita terlihat pula ada orang yang berjalan kaki. Kita pun berkata, "Ini peluang untuk dapat taqwa." Maka kita tumpangkan dia. Itulah taqwa.

Kita tolong orang. Kita berkhidmat untuk orang.Kita hiburkan orang. Mungkin dia sudah letih dan sudah berjam-jam membuang masa menunggu bas. Kita jalan lagi. Kita angkat tangan kepada orang. Lebih-lebih lagi kita ucapkan, "Assalamualaikum." Itu taqwa lagi. Di persimpangan jalan pun sudah berapa banyak amalan taqwa yang boleh kita buat.Kemudian, kita singgah di gerai untuk minum. Duit ada lebih sedikit. Kita belanja orang sebelah minum. Lagi besar dapat taqwa. Di gerai ada nasi lemak, ada lauk ikan, lauk daging dan ayam. Dengan nasi lemak dan lauk pauk itulah kita boleh dapat taqwa kalau kita jamu dan belanja orang makan. Tetapi pernahkah kita di ajar begitu? Sanggupkah kita berbuat begitu? Tahukah kita bahawa itu taqwa? Sudah banyak kali kita dengar khutbah Jumaat, "Ittaqullah!" "Bertaqwalah kamu kepada Allah!" Tetapi tidak ada kefahaman dan penghayatannya.

Umat Islam bukan sahaja dilarang bermusuh tetapi diminta berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya. Itulah batang, dahan, ranting, daun,bunga dan buah di atas benih taqwa. Bila bertemu orang yang kita tidak kenal, tersilap cara kita bercakap dengannya, kita minta maaf dan kita merendah diri kepadanya. Itulah taqwa.


Bukan susah sangat hendak cari taqwa.Apabila orang pula bersalah dengan kita dan dia tidak meminta maaf, kita berkata, "Saya hendak taqwa, maka saya maafkan orang itu." InsyaAllah kita akan mendapat taqwa walaupun orang itu tidak meminta maaf. Ini yang digalakkan.Kita berjiran. Bila ada makanan lebih, kita beri kepada jiran. Kalau dia bersalah, kita maafkan dia. Kita jaga keperluannya.


Dengan jiran pun sangat banyak sifat taqwa yang boleh kita miliki.Kalau kita terbuat salah, sama ada sedar atau tidak, kemudian ada kawan menasihati kita, maka kita akan berterima kasih kepadanya dan kepada Tuhan. Itulah taqwa. Jangan pula kita marah, herdik atau menghina dia kerana menasihati kita. Itu sombong namanya. Bagaimana kita boleh jadi sombong walhal menerima nasihat itu adalah taqwa.Kita ke pasar membeli ikan.Kebetulan kita ada duit lebih. Apa salahnya kita belikan orang sebelah kita dua, tiga ekor ikan demi untuk mendapat taqwa. Peluang di depan mata kita tidak ambil.


Kita hendak cari taqwa di surau dan di masjid sahaja.Benih taqwa boleh tumbuh di mana-mana bukan sahaja di surau dan di masjid.Benih taqwa boleh tumbuh dalam kehidupan seharian, di pasar, di gerai, di kedai, di jalanan, di pejabat, di sekolah, waktu bertemu kawan, dengan jiran, dengan madu malahan di mana dan dengan sesiapa sahaja.Dalam melaksanakan tugas rasmi dan tanggungjawab kita boleh dapat taqwa. dalam membuat kerja tidak rasmi pun kita boleh dapat taqwa.


Dalam kita menegakkan hablumminallah , iaitu sembahyang, puasa,baca Quran, wirid dan zikir, kita boleh dapat taqwa. Dalam kita menegakkan hablumminannas seperti berniaga, bermasyarakat, berjiran dan bekerja, kita pun boleh dapat taqwa. Malahan peluang untuk mendapat taqwa di bidang hablumminannas lebih luas dan lebih banyak dan ia berlaku sepanjang masa dari sekecil-kecil amalan hinggalah kepada yang sebesar-besarnya. Yang penting kita berbuat sebanyak mungkin amalan makruf dengan kesedaran bahawa Allah melihat dan memerhati kita dan keredhaan-Nyalah yang kita harapkan. Besar atau kecil amalan tidak menjadi persoalan. Keikhlasan dan penghayatan itulah yang menjadi pokok.

Minda Guruku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin