Jumaat, 24 Julai 2009

Pengertian Zuhud


Perkataan zuhud bila dilihat ertinya dalam kamus Arab atau mengikut pengertian bahasa biasa ialah meninggalkan dunia.Tetapi mengikut istilah Islam, erti zuhud itu ialah hati tidak terpaut atau tidak terpengaruh
dengan dunia dan nikmat-nikmatnya. Pengertian yang kedua, iaitu mengikut pengertian syariat inilah yang akan menjadi perbahasan saya. Kerana zuhud

mengikut syariat adalah disukai oleh Allah dan Rasul. Ia juga termasuk dalam sifat-sifat mahmudah. Moga-moga dengan izin Allah saya dapat menghuraikannya.

Mengikut tafsiran saya, kalau demikianlah pengertian zuhud itu,
tidak semestinya orang yang zuhud itu tidak memiliki dunia atau mesti
meninggalkan segala nikmat-nikmat dunia. Boleh jadi nikmat dunia yang
dimilikinya lebih banyak dari orang lain atau dia mengendalikan
dunia dengan banyaknya. Namun demikian,dunia yang banyak itu,
yang dimilikinya atau yang dikendalikannya itu tidak mempesonakannya.

Sedikit pun dunianya yang banyak itu tidak terjatuh ke hatinya. Bahkan
dunia itu ada atau tidak, sama saja baginya. Dia memiliki dunia serta
mentadbirnya adalah dengan tujuan agar dunia itu dijadikan alat untuk
membolehkannya beribadah kepada Allah SWT dan berkhidmat sesama
manusia. Dunia yang dimilikinya itu dijadikan jambatan untuk ke Akhirat.

Ini sesuai pula dengan tuntutan ajaran Islam yang dinyatakan dalam
sabda Rasulullah SAW:


Maksudnya: “Dunia itu adalah tanam-tanaman untuk
Akhirat.” (Riwayat Al ‘Uqaili)

Itulah Islam. Islam mengajar atau mendidik kita bahawa dunia itu
boleh diambil tetapi biarlah ia boleh dijadikan modal untuk beribadah
kepada Allah dan melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya kepada
manusia. Demikianlah, supaya dengan itu membolehkan seseorang itu
mengaut pahala sebanyak-banyaknya untuk dia memperolehi nikmat
Syurga di Akhirat. Siapa yang menjual dunianya untuk Allah atau untuk
Akhiratnya, maka Allah akan beli dengan bayaran yang berganda-ganda
tinggi nilainya. Iaitu digantikan dengan nikmat Syurga yang kekal abadi
dan terhindar daripada seksa Neraka yang amat azabnya.Persoalannya
sekarang, bagaimana hukum dan cara kita mengambil dunia ini?

Dan bagaimana cara mengendalikan dunia ini setelah realitinya
ia berada di hadapan kita? Pada saya ada beberapa kategori iaitu:

1. DUNIA YANG WAJIB
Dunia yang wajib diambil selagi ia halal ialah sekadar keper-
luan asas saja. Yang tidak boleh tidak (dharuri), yang mesti ada
seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian dan lain-lain
lagi. Kalau tidak diambil akan berlaku kecacatan di segi syariat
atau di sudut fizikal. Siapa meninggalkannya, haram hukumnya
kecuali setelah diusahakan tidak berjaya memperolehinya. Ini
tidak menafikan zuhud.

2. DUNIA YANG SUNAT
Dunia yang sunat diambil ialah perkara yang digunakan (selagi
halal) untuk kemudahan di dalam menunaikan tanggungjawab
yang wajib serta digunakan untuk menghasilkan perkara yang
tidak boleh tidak. Seperti kenderaan yang perlu, alat-alat rumah
yang memudahkan menjalankan tugas rumah tangga seperti
dapur gas, pinggan mangkuk, periuk, dulang, mesin basuh,
mesin jahit dan lain-lain lagi.

Agar dengan itu tidak membuang masa yang banyak. Dan
memudahkan menjalankan tanggungjawab. Bahkan adakalanya
menjadi wajib aradhi. Kalau tidak ada alat-alat itu maka tergendalalah
urusan yang wajib. Ini juga tidak menafikan zuhud.
Perlu diingat, keperluan seseorang antara satu sama lain tidak
sama. Maka sudah tentulah pula alat-alat keperluan tidak sama.
Sebagai contoh, alat-alat keperluan seorang guru sudah tentu
tidak sama dengan alat-alat keperluan seorang petani. Kiaskanlah
yang lain-lainnya.

3. DUNIA YANG HARAM
Dunia yang haram kenalah ditolak terus seperti arak, wang judi,
rasuah, hasil riba, hasil zina, tipu, rompak dan lain-lain lagi. Ini
kerana perbuatan yang haram itu akan membawa ke Neraka.

4. DUNIA YANG MAKRUH
Dunia yang makruh diambil iaitu harta-harta yang syubhat.
Yakni perkara-perkara yang samar-samar bercampur antara
yang halal dan yang haram, yang tidak dapat dipastikan yang
mana halal dan yang mana haram. Maka hukumnya makruh.
Bagi orang yang warak, dia terus meninggalkannya. Sesiapa
yang terlibat dengan harta syubhat ini ternafilah zuhudnya kerana
ia dibenci.

5. DUNIA YANG HARUS
Dunia yang mubah (harus) diambil iaitu yang berbentuk untuk
bersedap-sedapan, untuk keselesaan seperti kerusi yang mewah,
buaian, kerusi rehat, tilam, katil yang mahal, bilik yang agak
luas daripada kadar biasa tetapi tidak keterlaluan besarnya,
kenderaan yang mewah dan lain-lain lagi, selagi halal. Cuma
hisabnya banyak dan ia juga menafikan zuhud.

6. PEMBAZIRAN
Perkara yang halal sekalipun, kalau digunakan terlalu berlebih lebihan,
sudah melebihi batas keselesaan dan bersedap-sedapan,
ini sudah dianggap pembaziran. Sedangkan pembaziran adalah
haram di sisi Allah. Dalam Al Quran pembaziran itu dianggap
sebagai kawan syaitan. Firman-Nya:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu
adalah saudara kepada syaitan.” (Al Israk: 27)
Jadi, jika kita dapat menggunakan atau mengendalikan
dunia yang dimiliki, yang tidak menafikan zuhud iaitu cara
yang pertama dan kedua (dunia yang wajib dan sunat), ia masih
dikatakan zuhud.

Dalam Islam, kalau seseorang itu mengambil dunia sekadar yang perlu
dan untuk kemudahan atau paling tidak untuk keselesaan, kemudian selain
daripada itu, dia tidak mahu mengusahakannya kerana kurang yakin yang
dia boleh amanah dalam menggunakan dunia itu untuk Allah dan masyarakat,
maka tidak salah dia berbuat demikian.Demikianlah sebaliknya, kalau
seseorang itu yakin yang dia dapat berlaku amanah pada dirinya terhadap
dunia atau dapat mengendalikan dunia untuk Allah dan masyarakat dengan
sebaik-baiknya, yakni dia yakin boleh berbuat kebaikan dan kebajikan yang
banyak serta boleh bersyukur, maka tidak mengapa dia usaha mencari
kekayaan selagi halal. Padanya ada keharusan berbuat demikian. Ini juga
tidak menafikan zuhud.

Sebagai contoh: Katalah dunia itu ialah jawatan tinggi. Kita tidak yakin dengan
jawatan itu kita boleh berlaku amanah terhadap Allah dan masyarakat, maka
tidak salah kalau kita menolak jawatan tersebut. Sebaliknya, kalau kita yakin
dengan jawatan itu kita dapat amanah dengan Allah dan masyarakat, maka
tidak salah pula kita mengambilnya. Kalau harta, kita boleh mengambil
sebanyak mana sekalipun. Oleh itu kenalah kita hadapi dunia ini dengan iman
dan taqwa agar dapat diuruskan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

Perlu rasanya saya ingatkan, jika berlaku dalam satu masa atau satu zaman,
secara umum masyarakat Islam tidak dapat melaksanakan fardhu kifayah;
menyediakan keperluan makan minum yang halal, membangunkan
tempat-tempat pendidikan,membeli alat-alat senjata untuk melawan
musuh-musuh, memberi biasiswa pada anggota-anggota masyarakat yang
cerdik supaya berilmu di berbagai-bagai bidang yang menjadikan
masyarakatnya tidak bergantung kepada orang lain; maka bagi
orang yang mampu di waktu itu, wajib aradhi dia mengusahakan
hingga terlaksananya fardhu kifayah tadi. Kalau tidak, akan menjadi
satu kesalahan pada mereka.

Juga diingatkan, apabila berzuhud jangan sampai kita atau Islam terhina.
Ini dilarang kecuali kita memang tidak mampu walaupun sudah berusaha
untuk mengadakan keperluan-keperluan yang asas. Di waktu itu tidak
mengapa dan kenalah kita bersabar. Jadi, kita kena faham
sungguh-sungguh akan pengertian zuhud ini. Kalau tidak, jadilah
kita orang yang mewah tidak bertempat atau miskin sampai terhina
atau bermewah-mewah di sebarang tempat.Maksudnya begini; untuk
dapat mengekalkan zuhud mesti dilakukan beberapa cara. Di antaranya:

1. Mewah mesti kena pada tempatnya. Umpamanya, kalau
makan kenduri atau makan berjemaah, dibenarkan kita
bermewah-mewah lauk-pauknya. Tetapi kalau kita makan
seorang, eloklah berzuhud.

2. Miskin itu tidaklah dilarang tetapi tidak dibenarkan sampai
tidak mencukupi keperluan-keperluan asas. Jadi dibenarkan
miskin asal cukup keperluan asas.

3. Bermewah-mewah tidak boleh di sebarang tempat yakni
di waktu orang semuanya miskin, tidak dibenarkan kita
bermewah-mewah. Agar kekayaan itu dapat disalurkan
kepada orang miskin.

Secara ringkasnya, kita boleh mengambil dunia ini tetapi
perlu pertimbangkan mengikut ukuran semasa atau individu
atau jemaah atau kumpulan atau pemimpin atau mengikut
tanggungjawab serta tugas-tugas yang dipikul oleh seseorang
dan lain-lain lagi.

Contoh: Mengikut ukuran semasa yang tidak menafikan
zuhud:

1. Di zaman ini untuk menjimatkan masa, tenaga dan lainlain
lagi, kenalah naik kenderaan kapal terbang untuk
perjalanan yang jauh, bukan pakai kereta lembu atau kuda
atau kereta.

2. Di zaman moden ini untuk berhadapan dengan musuh musuh,
kenalah kita gunakan senjata-senjata canggih bukan
lagi menggunakan keris.

Contoh: Mengikut ukuran kumpulan atau jemaah yang tidak
menafikan zuhud:

Tidak salah bagi orang yang berjuang yang sentiasa sibuk,demi menjimatkan
masa, tenaga dan lain-lain lagi serta selalu didatangi tetamu, maka di rumahnya
dilengkapkan dengan petiais, dapur gas, mesin basuh dan lain-lain kemudahan.

Tidak salah pula mengadakan permaidani di rumah, di pejabat dan di masjid
selagi halal dengan tujuan menghormati tetamu atau kepentingan umum.
Bahkan di negeri-negeri sejuk, mengadakan permaidani di rumah dan
di masjid sudah menjadi wajib aradhi pula.

Bahkan melengkapkan alat-alat kemudahan ini sudah jadi perlu bagi orang
yang berjuang yang masanya terbatas. Kalau terlalu lama masa dihabiskan
untuk membasuh misalnya, ini dikira termasuk pembaziran masa, tenaga
dan lain-lain lagi. Sedangkan waktu itu sepatutnya lebih baik digunakan
untuk pengurusan hal-hal yang lebih perlu. Katalah contohnya, dengan
adanya mesin basuh, kita ada lebih masa untuk melayan suami terutama
kalau suami kita pulangnya pun hanya sekali-sekala.Boleh juga diniatkan
semasa mesin basuh itu bekerja, kita dapat rehat atau tidur, dengan tujuan
dapat bangun sembahyang malam. Kecuali untuk orang perseorangan yang
tidak berjuang atau tidak ada tanggungjawab mengadakan
kemudahan-kemudahan ini, dia tergolong orang yang tidak zuhud sebab
kalau diberi kemudahan dia akan relaks saja. Mungkin tidur baring saja atau
duduk-duduk berbual kosong atau membolehkan dia berlalai-lalai.

Ini menjadikan dia cinta dunia.
Berbeza dengan orang yang berjuang, yang masanya terbatas, banyak
tanggungjawab dan sentiasa bergerak cepat. Kalau tidak ada alat-alat
kemudahan ini, ia akan melambatkan atau mengganggu
program-program yang lain. Atau banyak tanggungjawab tidak dapat dilaksanakan.

Contoh lain: Mengikut ukuran pemimpin yang tidak menafikan zuhud.
Bagi seorang pemimpin, penting padanya keperluan alat-alat kemudahan
yang canggih seperti kereta, telefon, faks,komputer, perbelanjaan perjalanan
dan lain-lain lagi. Kalau tidak ada kemudahan alat-alat tadi, sudah tentu tergendala perjuangannya.

Juga diingatkan, kalau duit kita terbatas, janganlah dihabiskan untuk
membeli barang-barang untuk kemudahan. Dibimbangkan,nanti
tidak ada langsung bahagian untuk kita berbelanja pada perkara-perkara
yang asas atau terabai kewajipan fardhu kifayah. Ini akan jadi satu
kesalahan. Kerana perkara yang asas, wajib ditunaikan dan membangunkan
masyarakatitu adalah lebih perlu supaya terlaksananya fardhu kifayah.

Itu lebih patut kita utamakan. Biarlah kita susah sedikit asalkan kewajipan
dapat ditunaikan.


Minda Mujaddid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin