Rabu, 24 Februari 2010

Mari kita bercerita tentang Rasullullah SAW


Mari kita bercerita tentang Nabi kita,



Yaitu Rasulullah SAW,


penyelamat manusia dunia akhirat,


Walaupun sebelum ini kita telah menceritakan banyak kali tentangnya,


Mungkin kita ceritakan disudut-sudut lain yang belum diceritakan lagi,


Foto oleh: Ismailuz

Kalau pun diceritakan lagi banyak kali tidak mengapa,


Supaya yang lupa diingat kembali,Bertambah ingat lagi,






Nabi Muhammad SAW orang luar biasa yang tidak ada taranya


Sebelum dan sesudahnya dikalangan manusia,


Sekalipun dikalangan para rasul dan para nabi yang telah diberita,


Dia adalah rohnya malaikat dan tubuhnya manusia,






Orang paling cerdik dan paling bersih rohnya,


Dikalangan manusia sebelum dan sesudahnya,


Maka dia diberi julukan oleh Tuhan 'fathonah',


Bahkan yang paling 'Fathonah' dikalangan rasul-Nya,






Ilmunya bukan didapati dari aqalnya,


Walaupun dia orang yang paling tajam aqalnya,


Dia mendapat ilmu dijatuhkan Tuhan didalam hatinya,


Wahyu namanya, dia belajar langsung dari Tuhannya,


Kerana inilah dia tidak perlu menulis


Dan membaca seperti manusia biasa,


Kerana itulah ilmunya tidak dilupa sepanjang masa,


Kalau dari aqal mungkin dilupakannya,


Ilmunya menceritakan dunia dan akhirat,






Tawakalnya luarbiasa,


Sebab itulah dimalamnya makanan tidak disimpan untuk esok harinya


Dan diberikan kepada manusia yang memerlukannya


Kerana dia yakin, kalau esoknya dia hidup


Tuhan merezekikannya,






Dia tidak membunuh orang,


Walaupun disetengah-setengah waktu dia boleh membunuhnya,


Tapi dia tidak membunuhnya,


Dia mengambil jalan yang utama,


Yaitu memaafkannya,


Kerana itu orang itu Islam ditangannya,






Beraninya luarbiasa tiada tandingannya,


Dia sanggup lewat dihadapan musuhnya seorang diri,


Musuhnya tidak mengapa-apakannya bahkan terpinga-pinga,






Kasih sayangnya sangat ketara,


Terutama kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda,


Orang yang bersalah dimaafkannya,


Sekalipun orang itu tidak memintanya,


Pernah hamba sahaya hendak dihukum oleh tuannya,


Dia membuka bajunya untuk disebat,


Pengganti hamba sahaya, tuan hamba sahaya itu malu dibuatnya,


Lalu dimerdekakannya,


Pernah Rasulullah SAW membeli hamba sahaya kemudian dimerdekakannya,






Pemurahnya tidak ada taranya,


Macam angin kencang lajunya,


Tiada siapa yang dapat menandinginya,


Dan tidak pernah menghampakan orang yang meminta,


Sekalipun dia terpaksa berhutang buat sementara,






Kalau ada orang mengata dan menghinanya,


Dia diam saja, tidak menjawabnya,


Gembiranya tidak ketawa, hanya senyum sahaja,


Cuma ketaranya pada mukanya,


Bahkan tidak pernah menghina orang atau mengata aibnya,


Sekalipun musuhnya,






Rasulullah makannya sedikit sekadar mengalas perutnya


Dia tidak pernah makan seorang, sekalipun lapar,


Paling tidak, dia makan berdua,


Tapi kalau dia tidak suka setengah jenis makanan itu,


Dia tidak pula mencercanya,






Kalau dia marah dengan orang,


disembunyikan marahnya


Sehingga orang tidak tahu marahnya,


Dia tidak pernah melahirkan jijik kepada manusia,


Sebab itu dia sanggup makan dengan orang berkudis-kudis badannya,






Sabarnya luarbiasa,


Tentang ujian yang Tuhan timpakan kepadanya berbagai-bagai bentuknya,


Dia redha,


Lantaran itu Tuhan beri dia gelaran 'Ulul Azmi'


Yang tiada bandingannya,


Bahkan dia ketua 'Ulul Azmi', dikalangan rasul-rasul,






Ditangannya lahirlah murid-murid yang luarbiasa,


Diberi gelaran sahabat namanya,


Ratusan ribu banyaknya, lebih seratus ribu bilangannya,


Ini tidak pernah berlaku dikalangan rasul-rasul sebelumnya,


Semua sahabat-sahabatnya masuk syurga,


Kerana dosa-dosa mereka diampunkan oleh Tuhannya,


Kerana menjadi sahabat-sahabatnya,


Sahabat-sahabatnya laksana bintang-bintang dilangit,


Rasul adalah bulan purnama,






Hatinya tidak tidur sekalipun matanya tidur,


Menunjukan hatinya sentiasa jaga,


Sebab itulah kalau dia tidur tidak membatalkan wudhu'nya,






Dia menghormati manusia sesuai dengan darjatnya,


Sekalipun orang itu kafir,


Kadang-kadang dibentangkan serbannya untuk tempat duduk tetamunya


Kerana menghormati tetamunya,






Dia tidak mengutuk dan melaknat makhluk Tuhan,


Sekalipun binatang yang melata,


Begitu juga tidak pernah melakukan kesalahan,


Sekalipun menyalahi utama,






Kalau dia melihat perempuan, matanya ditundukannya,


Dia orang paling pemalu,


Malunya kalah anak dara yang paling pemalu,


Sebab itu seumur hidup dia tidak pernah


Melihat kemaluannya dan kemaluan isterinya,


Kalau dia lewat, tidak diizinkan perempuan dihadapannya,






Ibadahnya banyak, terutama diwaktu malam,


Hingga bengkak-bengkak kakinya,


Dia suka berkhidmat dengan isteri-isteri dan keluarga,


Bukan diarah-arahkan oleh isteri-isterinya,


Tapi dia buat dengan sukarela,


Kerana mencari redha Tuhannya,


Dia sebaik-baik suami,


Tidak mampu orang lain membuatnya,






Bahkan dia berkhidmat dengan musuhnya,


Satu cerita yang menyayat hati kita,


Seorang buta yang benci kepadanya.


Rasul berkhidmat tanpa diketahuinya,


Hingga sampai waktu wafatnya,


Diganti oleh Saidina Abu Bakar untuk berkhidmat kepadanya,


Tapi dirasakan olehnya ada kelainan dari sebelumnya,


Kamu ini siapa?


Saidina Abu Bakar berkata "Saya Abu Bakar


Pengganti Rasul berkhidmat kepada kamu,


Yang Rasul itu sudah wafat"


Sibuta itu terkejut!


Rupanya yang berkhidmat padanya orang yang paling dibenci,


Kerana terkejutnya menjadikan dia mati,


Tapi sempat dia mengucap dua kalimah syahadat,


Islamlah dia,






Kalau dia bersahabat atau berkawan


Mengutamakan kawannya,


Bahkan berkhidmat kepada sahabatnya,


Setiap orang yang bergaul, berpuas hati dengannya,


Setiap orang merasa dia dihormatinya,


Walaupun berbagai-bagai peringkat kedudukannya,






Mari kita teruskan cerita tentang nabi kita,


Supaya lebih terperinci lagi


Cerita dan beritanya,






Dia manusia luarbiasa kekasih Tuhannya,


Agar lebih nampak dia manusia istimewa,






Dia tidak akan makan sebelum lapar,


Dia akan berhenti sebelum kenyang,


Tidak macam manusia biasa,


Dia tidak suka makanan banyak jenis lauknya,


Kalau dia suka kerana Tuhannya,


Kalau dia marah pun kerana Tuhannya,


Bukan kerana peribadinya,






Dia wafat, boleh dikatakan tidak meninggalkan harta,


Dia tidak meninggalkan sembahyang jemaah,


Kecuali sekali saja didalam hidupnya,


Yaitu waktu sakit hingga membawa wafatnya,






Makan minumnya bukan diusahakannya,


Tetapi setiap kali hendak makan, ada rezekinya,


Tapi pengikutnya disuruh berusaha,


Terutama yang ada keluarga,






Dia tidak menerima upah,


Lebih-lebih lagi meminta upah,


Kerana usaha perjuangannya,


Tetapi ulama dihari ini, memakan upah


Dari usaha dakwahnya,


Seperti yang dibuat oleh kebanyakan ulama-ulama yang cinta dunia,


Bahkan ada ulama yang meminta upah dari dakwah dan pengajiannya,


Takut dengan Tuhan ketara dimukanya,






Dia beristerikan janda kaya, Khadijah namanya,


Hartanya diserahkan habis kepadanya,


Tetapi nabi korbankan harta itu semuanya,






Dan nabi, kalau dia berkawan, sebaik-baik kawan,


Kalau dia dirumah, sebaik-baik bapa,


Kalau dia bersama isteri, sebaik-baik suami,


Kalau dia memimpin, sebaik-baik pemimpin,






Kalau dia bercakap lantang suaranya,


Tegang urat nadinya,


Kalau dia bercakap bak mutiara,


Sangat berkesan pada jiwa orang yang mendengarnya,


Kalau dia berucap atau berpidato,


tidak ada gelak ketawa manusia yang mendengarnya


Kerana manusia yang mendengar insaf dibuatnya,


Tidak seperti ulama-ulama hari ini,


Kalau mereka bercakap gelak ketawa orang yang mendengarnya,


Kerana yang dicakapkan itu dari lidahnya,


Bukan dari hatinya,


Nabi kalau bercakap singkat-singkat sahaja, tidak meleret,


Tidak seperti kebanyakan manusia,






Dia bercakap pendek sahaja,


Tapi terhimpun berbagai-bagai ilmu didalamnya,


Dikatakan oleh hadis 'jawa miul kalim'


Kata-katanya singkat tapi padat,


Kata-katanya singkat tapi maksudnya luas,






Kata-katanya singkat tapi puas dan menggetarkan jiwa,


Tidak seperti orang lain bercakap berjela-jela, isinya tiada,


Masa terbuang cakapnya tidak menggetarkan jiwa,






Kita sambung lagi cerita nabi kita,






Nabi tidak suka berjalan-jalan membuang masa,


Juga tidak akan bercakap yang sia-sia,


Sekalipun tidak berdosa,


Kalau dia ketawa tidak berbunyi,






Insafnya dapat dilihat dimukanya,


Takutnya kepada Tuhan dimukanya ketara,


Dia melahirkan kegembiraan bila


Kawan-kawannya gembira,


Dia melahirkan kesedihan diatas kesedihan kawan-kawannya,






Rasulullah mudah menangis


Kerana takutkan Tuhannya,


Rasulullah tahu Tuhan kasih kepadanya,






Akhlaknya sungguh agung,Tuhan memujinya,


Bahkan mengatakan dia yang paling bertaqwa dikalangan manusia


Sebelum dan sesudahnya,


Seolah-olah dia tidak mendengar apa yang Tuhan kata terhadap dirinya,


Tuhan berkata "Akhlaknya, sungguh agungnya,


tidak ada siapa boleh menandinginya,


tetapi dia tidak merasa bangga, dia tetap merasa hamba"


Dia tetap dapat mengekalkan rasa takut dengan Tuhannya,


Rasa kehambaan sentiasa didalam hatinya,


Bahkan tidak pernah putus daripada perasaannya,


Soal Tuhan memujinya itu hak Tuhannya,


Tapi dia tetap merasa hamba kepada Tuhannya,






Tawadhu' dengan Tuhannya, sentiasa ada,


Sangat ketara, didalam hidupnya,






Dia berpakaian jubah dan serban,


Warna yang dia suka kebanyakannya putih dan hijau,


Warna lain ada juga dipakainya,


Tapi sekali sekala,






Makanan yang dia suka, susu dan kurma,


Daging sebagai lauknya,


Itulah penguat badannya,






Demikianlah secara ringkas


Yang global tentang cerita nabi kita,


Yang tidak disebut berusahalah untuk mempelajarinya,


Didalam sejarah nabi kita ada dicerita,






Mukjizat banyak berlaku ditangannya,


Yang lahir dan yang batin,


Yang besar ialah Al Quran dan Al Hadith,


Yang kekal sampai keakhir zaman,


Untuk pengajaran dan panduan kepada manusia,


Demi keselamatan manusia dunia dan akhiratnya,


Tetapi apa yang disebutkan itu


Sudah memada,


Bagi orang yang tiada masa mengkajinya,






Kalau peribadi seseorang itu dapat menggambarkan bayangan nabi kita,


Orang itu boleh menjadi ikutan manusia,


Kalau dia memimpin, Tuhan memberkatinya,


Betapalah kalau dia pemimpin yang Tuhan janjikan buat manusia,






Tetapi apa yang berlaku diakhir zaman ini,


Orang yang menceritakan nabi,


Dia melupakan diri,


Dia menceritakan memujikan nabi,


Tapi dirinya tidak terpuji,


Kerana itulah banyak cakap tidak memberi kesan


Seseorang itu banyak cakap tidak menggambarkan sikap nabinya,


Walaupun dia seorang pemimpin,


Orang tidak suka mengikutnya,


Lidahnya tidak masin,


Dia berkata tidak mengkotanya,


Bahkan orang yang mengata dan mencerca dibelakangnya,


Bahkan anak isterinya tidak menghormatinya,






Sekianlah adanya.

Khamis, 18 Februari 2010

3 wanita disebat

Oleh Sazarina Shahrim


sazarina@bharian.com.my






PEGAWAI Jabatan Mufti Negeri Pahang menunjukkan cara sebatan kes peminum arak dan zina pada satu seminar di Kuantan, baru-baru ini.






Kumpulan pertama jalani hukuman ikut undang-undang syariah: Hishammuddin






PUTRAJAYA: Tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, menjadi kumpulan wanita pertama menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini.






Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.






Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.






Sambil merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum dilaksanakan, beliau menegaskan sebatan terhadap tiga wanita itu tidak langsung mendatang kecederaan.






"Dari segi pelaksanaan dan kebimbangan orang ramai kononnya apa yang berlaku (hukuman) tidak berperikemanusiaan dan mencederakan, tidak berasas dan hanya digembar-gemburkan sedangkan apa yang dilihat tiada kesan kecederaan langsung.






"Berdasarkan temubual dengan tiga pesalah wanita itu, didapati bahawa mereka reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman yang diterima.






"Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, mereka mengakui ia mendatang kesan yang mendalam kepada diri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini, semalam.






Beliau berkata, seorang daripada wanita itu sudah dibebaskan Ahad lalu selepas menjalani hukuman penjara sebulan, seseorang lagi akan dibebaskan hujung bulan ini manakala pesalah ketiga Jun depan.






Selain tiga wanita terbabit, katanya, empat pesalah lelaki turut dikenakan hukuman enam sebatan pada hari sama pada jam 10 pagi.






Tahun lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Kartika Sari kerana kesalahan meminum arak, mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan hukuman berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini.






Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan hukuman itu yang didakwa sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan walaupun Kartika Seri sendiri rela untuk dikenakan sebatan.






Hishammuddin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama dan kehakiman syarie dalam melaksanakan hukuman itu.






"Saya berharap isu ini tidak disalah erti sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman berkenaan adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan supaya mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik," katanya.

Jumaat, 12 Februari 2010

Di Pondok Kecil



Album :


Munsyid : Nadamurni


http://liriknasyid.com


Foto Hiasan: abdee mari












Dipondok kecil di pantai ombak


berbuih putih beralun-alun






Disuatu hari ayah berkata


jaga adik mu ayahkan pergi jauh


ku pandang wajah ayah dahinya ku cium


air mata mengalir hatiku pilu






Diam-diamlah sayang jangan menangis


doakan ayah semoga diterima


diam adik ku sayang jangan menangis


andai ayah gugur doakan dia syahid






Selamat berjuang ayah tercinta


kau pergi dulu ayah ke medan juang


ku iringi doa moga berjaya


beroleh kemenangan demi agama Islam






Wahai abang ku kemana


ayah ku sayang ayah ku cinta ayah 2x






Duhai adik ku sayang jangan bersedih


ayah mu pergi menyambut seruan Ilahi


tapi ingatlah adik ku pesanan ayah


berjuang dan berkorban walau dimana jua






Pada Mu Tuhan aku bermohon


dosa ayah ku minta diampunkan


berilah rahmat bantulah dia


untuk menegakkan agama Islam

Khamis, 11 Februari 2010

Apa dosa bayi perempuan ini?

Oleh Rizanizam Abdul Hamid


Sumber : Utusan online


KEJAM... Mayat bayi perempuan dihurungi semut dijumpai di hadapan Masjid Permatang Duyong, Melaka, semalam. – Utusan/GAIE UCHEL
MELAKA 10 Feb. – Mungkin kehadirannya ke dunia ini tidak diingini. Namun perlukah bayi yang tidak berdosa ini diperlakukan sedemikian rupa?
Tidak dapat dibayangkan ada orang yang tergamak meninggalkan bayi yang masih bertali pusat di atas lantai di tepi pintu pagar sebuah masjid di sini


Tidak diketahui sama ada ada bayi itu masih bernyawa ketika ditinggalkan di situ. Apa yang pasti, badannya dihurungi semut sewaktu ditemui. Dan bayi itu tidak lagi bernyawa.
Tidak ada manusia waras tergamak memperlakukan sedemikian. Namun itulah yang berlaku terhadap bayi perempuan ini.


Siri kekejaman terhadap bayi yang kelahirannya tidak dikehendaki nampaknya semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tiada penamatnya.
Sudah tiga hari berturut-turut kes yang hampir sama berlaku. Kelmarin, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan semalam, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah.
Penemuan terbaru awal pagi ini, cukup mengejutkan seluruh penduduk Kampung Permatang Duyong di sini.


Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat itu hanya dibalut dengan sehelai kain putih.


Bilal masjid yang datang menunaikan solat Subuh merupakan orang pertama menjumpai mayat bayi itu yang pada mulanya disangka gumpalan baju.
Mohamad Abu, 60, berkata, dia ternampak gumpalan kain putih di atas lantai berhampiran pintu pagar kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Saya tidak berapa perasan kerana keadaan ketika itu gelap. Saya ingat ia hanya baju putih yang mungkin dibawa angin dan terjatuh di situ.
“Ketika itu, saya tidak mempedulikan kain putih tersebut kerana hendak menunaikan solat Subuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Permatang Duyong, hari ini.


Sebaik sahaja selesai solat, dia dikejutkan oleh jeritan seorang rakannya yang memberitahu ada mayat bayi perempuan di atas lantai berhampiran pagar masjid.
Mohamad yang bergegas keluar, terkejut apabila melihat mayat bayi yang dibaluti kain putih itu dihurungi semut.
“Saya betul-betul tidak sangka kain putih yang saya lihat tadi rupa-rupanya digunakan untuk membalut bayi,” katanya.
Dia kemudiannya segera menghubungi polis dan memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi perempuan di masjid berkenaan.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut sambil memberitahu, polis sedang berusaha mengesan ibu bapa bayi berkenaan.
“Mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.


“Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan ibu bapanya termasuk mendapatkan rekod kelahiran daripada hospital dan klinik-klinik kerajaan serta swasta,” katanya.


Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Rabu, 10 Februari 2010

2 Dalang Dikesan




Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


dayana@hmetro.com.my


2010/02/10



Gambar Hiasan oleh: anno-R

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan tidak berkunjung ke premis makanan tidak mempunyai logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau pejabat agama Islam negeri kerana sijil yang dikeluarkan mendatangkan keraguan.


Setiausaha Kerja, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata setakat ini terdapat dua syarikat tempatan aktif menjalankan kegiatan menjual sijil halal yang kebanyakannya dibeli pengusaha restoran terkemuka tanah air.
“Dua syarikat ini adalah antara dalang yang membekalkan sijil dan logo halal tidak sah kepada pengusaha restoran seluruh Malaysia. Namun, ia mudah untuk dikenal pasti kerana logo yang diberikan berbeza dengan yang dikeluarkan Jakim dan pejabat agama Islam negeri.


“Mungkin ramai yang menyangka sesebuah premis itu halal selepas melihat logo yang tertera namun, ia sepatutnya diteliti kerana tidak semua logo halal dikeluarkan Jakim,” katanya.


Nadzim berkata, PPIM menerima banyak aduan daripada pengguna dan hasil penyelidikan dibuat mendapati terdapat dua syarikat yang ‘menobatkan’ diri mereka sebagai pengeluar sijil halal.
“Tiga laporan polis dibuat terhadap syarikat berkenaan kerana mereka menjalankan perniagaan mengeluarkan sijil dan logo halal,” katanya. Menurutnya, tidak sukar untuk peniaga mendapatkan sijil halal daripada syarikat berkenaan kerana ia boleh dikeluarkan walaupun hanya dengan persetujuan melalui panggilan telefon.


“Sekiranya peniaga mampu membayar caj dikenakan dalam masa singkat mereka akan mendapat sijil dan logo halal,” katanya.
Menurutnya, setakat ini lebih 100 premis makanan termasuk restoran, kopitiam dan kafe terkenal menggunakan sijil dan logo halal yang diragui kesahihannya.


“Semua restoran berkenaan tidak melalui pemeriksaan oleh pegawai Jakim dan secara tidak langsung menunjukkan makanan disediakan belum tentu menepati kriteria halal,” katanya.


Menurut Nadzim, apa yang membimbangkan adalah tindakan seumpama itu boleh mengganggu ekonomi negara yang dikenali sebagai destinasi hab halal.


“Banyak pelancong dari negara Islam berkunjung ke Malaysia kerana tidak susah mencari makanan halal, namun dengan kewujudan logo halal palsu itu, ia akan menjejaskan imej negara,” katanya.


Bagaimanapun, menurutnya tidak ada banyak perkara dapat dilakukan kerana Akta Halal masih belum diwujudkan menyebabkan tiada tindakan dapat diambil terhadap individu atau syarikat yang menyalah guna logo halal.


“Kami sudah perjuangkan mengenai Akta Halal sejak 13 tahun lalu namun difahamkan masih belum diluluskan. Sekiranya akta ini diwujudkan ia dapat melindungi hak pengguna terutama yang beragama Islam daripada terus tertipu.
“Perkataan halal bukan saja merujuk kepada jenis makanan dijual sebaliknya merangkumi sumber bahan, cara penyediaan, cara pembuatan dan kebersihan premis,” katanya.


PPIM meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jakim dapat menjalankan pemeriksaan terhadap premis yang mempunyai logo halal dan mengambil tindakan terhadap pengusaha yang menggunakan logo tidak diiktiraf.


“Kita tidak mahu terus tertipu kerana makanan halal adalah perkara penting.
“Walaupun ia mungkin bukan dianggap sebagai jenayah besar, namun makanan tidak halal yang dimakan menyebabkan kadar jenayah semakin meningkat,” katanya.

Khamis, 4 Februari 2010

Pemikiran Umat Islam Masa Kini


Perbualan umat Islam hari ini jika bertemu, perbualan mereka bersifat peribadi, skop perbualannya sangat sempit dan terbatas sekali sekitar makan, minum, pakaian, tempat tinggal, gaji, isteri.Sedangkan Tuhan, bangsa, agama, negara, perjuangan, Akhirat jarang diperbualkan setiap hari. Jika bertemu di sekitar itulah perbualannya: "Anda kerja apa? Berapa gaji anda? Tempat tinggal di mana? Sudah kahwinkah? Berapa orang anak?"



Gambar oleh: khalid almasoud


Kalau tidak bercerita tentang tadi bercerita tentang tempat kerja: "Bos aku itu asyik menyinga aja! Apa sahaja aku buat serba tidak kena, pening kepala aku dibuatnya!






Kalau belum kahwin cerita fasal kahwin :"Susahlah hendak kahwin sekarang ini, belanja hantaran mahallah! Orang macam aku ini siapalah hendak, jawatan kecil gaji kecil, perempuan sekarang mata duitan! Orang macam engkau mudahlah kahwin, ramai perempuan yang hendak, engkau yang susah hendak pilih!Jawatan engkau besar, gaji engkau besar, mana perempuan yang tidak hendak!Cuma engkau sahaja yang belum mahu kahwin."






Sekitar yang disebutkan tadilah rata-rata perbualan umat Islam bila bertemu.Jika ada orang menceritakan Tuhan, agama, bangsa, perjuangan, ramai yang tercengang-cengang. Mereka rasa pelik, mereka tidak tahu hendak ikut sama membualkannya, mereka rasa asing.






Pemikiran manusia sungguh sudah rosak dan puncanya adalah kerana nafsu mendesak-desak apa yang dia hendak dan kehendak nafsu juga tidak ada batas dan sempadannya. Kehendak nafsu menggunakan fikiran yang sudah rosak sedangkan fikiran pada otak orang yang cerdik di dalam diri manusia. Dengan kekuatan fikiran kehendak nafsu amat lajunya.Fikiran yang sudah rosak hanya memikirkan makan, minum, pakaian, rumah, kenderaan, seks, nama. Belajar tinggi macam mana sekali pun tetap memikirkan makan, minum, pakaian, rumah, kenderaan, seks dan nama. Perjuangan manusia setakat itu sahaja, sejauh mana pun mereka mengembara matlamatnya itulah jua. Ke mana pun mereka belajar dengan tujuan apa yang telah dinyata, soal negara, bangsa bukan urusan mereka itu adalah urusan pemimpin negara atau orang politik sahaja.Soal Tuhan, soal agama lebih-lebih lagi tidak ada di dalam kamus hidup mereka.






Fikiran semacam ini telah menjangkit kepada umat Islam juga. Rata-rata umat Islam berfikiran makan, minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan, seks dan nama.Umat Islam memandang agama, bangsa, negara perkara kecil sahaja, agama kepunyaan ulama, bangsa dan negara ini urusan pemimpin negara. Ia bukan persoalan orang biasa atau urusan rakyat jelata. Oleh itu bagaimanakah agama hendak kuat, bangsa hendak dihormati,negara hendak berdaulat. Ia bukan merupakan tanggungjawab bersama, bukan kepunyaan bersama, hanya untuk orang tertentu sahaja.






Kalau begitulah, murah sangat kehidupan ini. Hidup kerana makan, minum, pakaian, rumah, kenderaan, seks, nama, kemudian mati selepas itu mereka anggap habis cerita.Mereka lupa selepas mati ada Syurga dan Neraka.Kalau hidup sepertimana yang kita cerita jawapannya kebanyakan manusia terjun ke Neraka. Ke Syurga mungkin setiap satu juta seorang sahaja. Sungguh tertipu kebanyakan manusia menilai kehidupan ini di dunia.Kehidupan di dunia sungguh dipandang murah sahaja, seolah-olah Tuhan jadikan dunia dan manusia untuk seronok-seronok semata-mata, kemudian mati habis cerita, selepas mati tidak ada kehidupan lagi. Kehidupan itu hanya semata-mata di dunia sahaja. Kerana itulah kebanyakan manusia hidup di dunia macam orang berkelah sahaja berhibur, berseronok, bergembira, bersukar ria. Begitulah kalau fikiran manusia sudah rosak.






Begitulah nasib agama, bangsa dan negara di seluruh dunia Islam sungguh malang dan menyedihkan. Bilakah agaknya umat Islam bertanggungjawab, berjiwa besar dan bercita-cita besar serta berpandangan jauh.






Kepada yang ada cita-cita dan juga sedang berjuang untuk Tuhan dan agama Islam, mari kita lihat pula mengapa perjuangan kebenaran seperti yang dibawa oleh para rasul banyak rintangannya.Ujian demi ujian berbagai bentuk sering mendatang, ujiannya pula besar-besar dan mencabar,yang kecilnya hanya sampingan. Sudahlah berhadapan dengan ujian demi ujian mendapat kemenangan pula setelah perjuangan terlalu panjang. Padahal rasul adalah kekasih Tuhan, mengapa pula disusah-susahkan.Kejadian ini ada banyak hikmahnya kebanyakan orang tidak boleh faham.






Di antara hikmahnya, bahawa kebenaran itu mahal nilainya,keselamatan dunia Akhirat yang berkekalan. Di Akhirat nikmat yang hendak diberikan nilainya tidak ada tandingannya kesusahan di dunia ini terlalu kecil kalau dibandingkan.






Hikmah yang berikutnya agar para-para pejuang sentiasa berpaut dengan Tuhan.Berpaut dengan Tuhan, itulah sifat hamba yang patut dikekalkan.






Hikmah yang lain supaya pejuang-pejuang yang datang tidak boleh kepura-puraan kalau tidak ada ujian banyak orang yang tidak ikhlas datang mengambil peluang. Ujian yang berat itulah menjadikan orang yang ikhlas kerana Allah sahaja yang berjuang.






Hikmah seterusnya agar anggota perjuangan hanya orang pilihan Tuhan. Setelah ada orang pilihan Tuhan itulah dia orang Tuhan sekalipun sedikit, barulah mereka diberi kemenangan. Setelah ditapis melalui ujian tinggal sedikit baru mendapat kejayaan. Setelah tinggal sedikit dapat kemenangan baru terasa kuasa dan kebesaran Tuhan. Dunia akan terkejut golongan yang sedikit diberi kemenangan, tentulah di belakangnya adalah Tuhan. Tuhan hendak memberi kemenangan menunggu pejuang-pejuang yang bertaqwa sekalipun sedikit orangnya. Ini adalah pengajaran buat umat Islam yang berjuang sepanjang zaman

ASZ

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin