Beristighfar itu adalah perkara biasa yang kita
lakukan selepas sembahyang. Ianya seperti sudah
menjadi kelaziman. Walaupun ia bukan wajib, tapi
seolah-olah menjadi kewajiban. Apa yang sebenarnya
dituntut daripada istighfar itu, mungkin ramai yang
tidak tahu. Mari kita memperkatakannya.
Istighfar selepas sembahyang itu bukan sekadar lafaz
sahaja. Tapi apa yang dituntut daripada istighfar ini
adalah hati yang beristighfar. Mulut menyebut, hati
merasa. Maksudnya yang lebih jelas, bila kita
beristighfar, hati mesti turut sama merasa. Hati rasa
berdosa. Hati rasa bersalah. Terasa sembahyang banyak
kekurangannya. Terasa sembahyang banyak cacat-celanya.
Sembahyang yang tidak khusyuk bahkan selalu sahaja
lalai dengan Tuhan. Begitulah keadaan sembahyang kita
sehingga merasa amat bersalah dengan Tuhan. Jadi, bila
beristighfar, rasa-rasa itulah yang patut timbul.
Rasa-rasa itulah yang patut hadir.
Walau sembahyang sudah sesempurna mungkin, kena rasa
sebaliknya. Kena rasakan yang sembahyang kita seperti
tiada nilai di sisi Tuhan. Walau sudah dapat khusyuk,
kena rasakan yang sembahyang kita ini jauh daripada
khusyuk. Lebih-lebih lagilah kena dirasakan bila
sembahyang itu memang kita sedar yang kita buat dengan
berlebih kurang. Jadi, istighfar yang terkandung di
dalamnya rasa-rasa seperti ini adalah istighfar yang
mendapat perhatian Tuhan. Selainnya, Tuhan tak
pandang. Istighfar yang tidak membawa rasa adalah
istighfar kosong. Beristighfar beribu kali pun, jika
tidak membawa kesan kepada hati; isitghfar itu tidak
dikira. Di sisi Tuhan, seperti belum beristighfar.
Sebenarnya, janganlah istighfar setakat untuk
sembahyang sahaja. Untuk apa-apa ibadah sekalipun,
memang dituntut untuk kita beristighfar. Puasa,
sebagai contoh. Selepas berpuasa, istighfarlah dengan
Tuhan dan rasakan yang puasa kita banyak kurangnya.
Puasa kita tidak lebih daripada sekadar menahan lapar
dan dahaga. Zakat, haji dan lain-lain ibadah sunat pun
seperti itu juga. Istighfar dan rasakan sedemikian.
Malah, sebaik selesai bekerja atau berniaga pun, elok
beristighfar. Secara sedar atau tidak sedar, entah
berapa banyak dosa yang sudah kita lakukan dalam
berniaga atau bekerja. Betapa banyak hukum Tuhan sudah
kita langgar. Kalau tidak dosa lahir, dosa batin tak
terlepas. Ada riyak, ujub, takbur, sombong, hasad
dengki, buruk sangka dan berbagai lagi. Begitulah
hendaknya.
Jadi, bilamana kita beristighfar, bukti kita hamba
yang sangat sensitif dengan Tuhan. Yang bukan sahaja
akan memohon ampun bila terbuat dosa, tetapi tetap
juga memohon ampun bila selesai membuat kebaikan.
Sedangkan Rasulullah pun beristighfar tidak kurang
daripada 70 kali sehari. Inikan pula kita umatnya,
mestilah lebih daripada itu. Moga-moga dengan
istighfar itu, Tuhan pandang kita dengan rahmat dan
kasih sayangNya. Diampunkan kita dan dimasukkan kita
ke dalam golongan orang-orang yang mensucikan diri.
Sekian.
********************
Maksud firman Tuhan:
“Mudah-mudahan Tuhanmu mengampuni kesalahanmu dan
memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir air
sungai di bawahnya, pada hari Allah tiada akan
menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman
bersamanya.”
(At-Tahrim: 8)
Sumber Gambar: eyneeep's photostream
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
-
Saya rasa, mana nama pihak, sila berhati hati bila nak guna nama “Sunnah”
kerana bimbang berdusta atas nama Nabi, yang mana nerakalah tempat bagi
mereka ...
Sehari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan