Selasa, 15 Disember 2009

Kenapa Ibadah Tidak Mendidik Kita?



Pertama, kerana selama ini kita diberi ilmu tentang ibadah, sama ada ibadah asas mahupun ibadah sunat, yang hanya bersangkut paut dengan hukum hakam iaitu tentang syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya.



Oleh itu dalam beribadah, itulah yang kita jaga iaitu syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya dan tidak lebih dari itu.


Dalam sembahyang, itulah empat perkara yang ditekankan. Begitu juga dalam ibadah puasa dan haji. Ilmu lain termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman tidak diajar. Penghayatanya tidak diajar. Kalau begitu keadaannya bagaimanalah ibadah itu dapat dihayati. Kalau ibadah penting seperti sembahyang yang menjadi tiang agama dan ibu segala ibadah pun hanya diajar syarat, rukun sah dan batalnya sahaja, tetapi ilmu falsafah, kefahaman dan penghayatannya tidak diajar, maka rugi sungguhlah kita.


Fenomena ini sudah berlaku selama tujuh ratus tahun semenjak jatuhnya empayar Islam. Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini sangat terbatas. Ilmu ibadah yang diajar tidak langsung menyentuh tentang roh ibadah atau hikmah dalam ibadah. Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak bersembahyang pun, sembahyang mereka tidak memberi apa-apa kesan pada diri dan hati mereka. Akhlak mereka tidak banyak berubah. Bahkan orang yang banyak beribadah menjadi lebih beku, tidak aktif, tidak produktif dan sangat pasif.






Ibadah tanpa penghayatan dan penjiwaan ini tidak memberi apa-apa kekuatan. Ibadah seperti ini tidak dapat melahirkan bangsa yang kuat dan yang mempunyai peribadi yang agung. Dalam perintah Tuhan supaya kita beribadah itu terkandung ubat bagaimana kita boleh melahirkan bangsa yang gagah dan agung dan dapat menguasai dunia. Tetapi disebabkan ibadah kita itu hanya ibadah lahir, tidak ada jiwa, tidak ada roh dan tidak dihayati, kita bersembahyang atau kita tidak bersembahyang, kita ibadah atau tidak beribadah, sama saja kesannya pada kita.






Kedua, kerana solat atau sembahyang itu diantara tujuannya ialah untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan.Bukan untuk mengajar manusia tetapi untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia. Kerana manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang. Hanya manusia atau insan itu sifatnya adalah pelupa. Walaupun manusia itu ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang tetapi mereka tetap akan lupa. Itulah sifat manusia. Istilah insan itu sendiri adalah istilah ins dalam bahasa Arab yang maksudnya pelupa.






Solat atau sembahyang akan hanya memberi kesan pada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Hanya dalam sembahyang, dia diingat-ingatkan dan disedarkan lagi. Lima kali sehari semalam, Allah ingat-ingatkan dia tentang Tuhan untuk menampung sifat pelupanya. Supaya dia jangan terus lupa. Itulah rahmat dan kasih sayang Tuhan.






Sembahyang hanya boleh menyedarkan orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Tetapi kebanyakan umat Islam; di luar sembahyang pun dan dalam kehidupan seharian, tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan. Kalau di luar sembahyang sudah jahil, tidak ada ilmu dan tidak faham, bagaimana untuk mengingat Tuhan dalam sembahyang?.


Bagaimana dapat mengingat perkara yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah faham? Ini perkara mustahil. Orang yang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan sangat susah hendak disedarkan. Orang macam ini, sembahyang tidak ada makna baginya. Terpekik terlolong dalam sembahyang pun tidak jadi apa-apa. Dia tidak ubah seperti orang gila.






Inilah juga sebab kenapa ibadah terutama solat atau sembahyang tidak mendidik kita. Umat Islam rata-rata tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan. Sembahyang tidak membawa mereka kepada Tuhan jauh sekali mengingatkan mereka tentang Tuhan. Mereka tidak kenal Tuhan yang mereka sembah.






Ampun maaf



1 ulasan:

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin