skip to main |
skip to sidebar
Kenapa Susah Sebelum Susah
Hampir semua umat Islam hari ini diganggu oleh persoalan hidup masa depan atau kata mereka hidup jangka panjang. Iaitu apa nak jadi selepas pencen? Atau bagi yang bekerja dengan swasta atau di jabatan kerajaan akan bimbang tentang bagaimana hidup di hari tua. Tempoh masa depan atau jangka panjang itu ialah bila pencen dan bila tua, iaitu antara umur 55 hinggalah habis umur yakni mati, sekitar 65 hingga 70 tahun.
Foto oleh:yimss sindhu
Ertinya tempoh jangka panjang yang mereka bimbangkan itu ialah sekitar 10-15 tahun saja. Antara perkara-perkara yang mereka bimbangkan ialah: Adakah rumah tempat berteduh? Cukupkah harta untuk makan minum? Siapa nak jaga atau nak tolong kalau sakit pening? Anak-anak bolehkah hidup sendiri dan kalau boleh mahukah menolong? Isteri sanggupkah menunggu lagi? Kain baju, pinggan mangkuk dan lain-lain keperluan asasi cukupkah untuk keperluan? Dan lain-lain lagi.
Persoalan-persoalan itu datang mengganggu ketika manusia mula baligh iaitu dalam umur 15 tahun atau ketika manusia mula bekerja, mula hidup sendiri, iaitu sekitar umur dua puluhan. Oleh kerana tiada alasan untuk menolak persoalan yang menganggu fikiran ini, maka manusia berfikir bagaimana untuk menyelesaikannya.
Mereka amat takut kalau-kalau hidup jangka panjang itu gelap, tiada persediaan. Sebab itu mereka kerahkan fikiran, tenaga, masa dan kebebasan hidup kepada usaha-usaha mencari bekal untuk hidup jangka panjang yang merka katakan itu. Apa yang paling penting ialah usaha mencari sebanyak-banyak duit dan harta. Sebab itu kita dapati manusia hari ini bertungkus-lumus, berhempas pulas dan bermati-matian bekerja mencari duit dan mengumpul harta. Sebab itu jika lihat manusia berduyun-duyun keluar dari rumah menuju ke sasaran masing-masing yang semuanya bermaksud mencari rezeki, duit dan harta benda buat bekal masa depan yang dikatakan jangka panjang.
Dan tiap-tiap orang anak yang ke sekolah dari peringkat tinggi dan universiti semuanya dengan maksud mahu dapat kerja, dapat gaji untuk hidup sekarang dan masa depan yang jangka panjang itu. Bila dapat kerja dan dapat gaji, yang mula diusahakan ialah buat simpanan di bank. Untuk apa? Buat bekal hari tua atau selepas pencen. Kemudian untuk beli rumah, beli harta dan siapkan peralatan rumah, juga sebagai bekal hari tua.
Begitu manusia dibimbangkan dengan hidup selepas yang pencen dan hari tua. Dan begitu baiknya usaha dan rancangan yang mereka aturkan sebagai persediaan menanti ketibaan hari-hari yang mereka cemaskan itu. Dan atas semua itulah umat Islam kini membentuk perjalanan dan corak hidup mereka, setakat 10 – 15 tahun. Samada mereka sedar atau tidak, mereka telah menyimpang jauh dari perjalanan dan corak hidup yang ditentukan oleh Islam ke atas mereka.
Islam mengajak umatnya memandang hidup di dunia ini sebagai sementara dan jangka panjangnya adalah pendek sekali. Masa depan dan jamgka panjang yang sebenarnya ialah kehidupan sesudah mati, iaitu di negeri akhirat yang lama masanya tiada hujung lagi, kekal abadi. Dan menurut Islam hidup di dunia ini adalah satu peluang yang Allah berikan pada manusia untuk mencari bekal sebanyak-banyaknya buat persediaan hidup sebenar di akhirat nanti. Bersabda Rasulullah S.A.W:
“Dunia adalah tanam-tanaman untuk akhirat.”
Ertinya, hidup di dunia ini umpama seorang petani yang berhadapan musim menuai. Maka hendaklah kita berusaha mencari benih, tapak semaian, bercucuk tanam, membajak, membaja dan menjaga tanaman dari serangan musuh. Bilakah musim menuai dan memakan hasil? Iaitu bila kita mati, kita berpindah ke alam akhirat dan hidup disana selama-lamanya. Kalau tanaman kita baik, benihnya baik, bajanya baik, maka hasilnya juga adalah baik. Tapi kalau tanaman tidak menjadi kerana benihnya tidak baik, baja tidak cukup, kawalan tidak sempurna, maka hasilnya juga tentu tidak memuaskan. Ertinya lagi bahawa Islam menuntut umatnya supaya datang ke dunia ini dengan tujuan melakukan ibadah pada Allah S.W.T yang bermaksud:
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku.”
(Az Zariyat: 56)
Manusia diminta untuk menjadikan segala aktiviti hidupnya sebagai ibadah, bakti, ketaatan dan pengabdian diri dari seorang hamba pada khaliqnya. Apa saja yang dilakukan mestilah diniatkan kerana Allah dan bertujuan untuk mentaati perintah Allah supaya mendapat keredhaan Allah untuk selamat dari azab api neraka Allah di akhirat nanti.
Jadi, Islam mengajar penganutnya supaya memandang masa depan sebenarnya bukan lepas pencen dan hari tua tapi ialah lepas mati di hari kiamat Bila kita percaya hari kiamat ertinya kita percaya bahawa selepas mati, kita dihidupkan lagi. Hidup untuk dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita lakukan semasa hidup di dunia. Kalau yang kita lakukan itu dikira benar dan selari dengan undang-undang dan kehendak Allah maka kita akan dapat hidup yang nikmat. Tapi kalau kita gagal memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh Allah, maka tempat kita ialah penjara akhirat yakni neraka jahanam.
Atas keyakinan ini umat Islam diminta untuk hidup sebagai seorang hamba Allah iaitu bekerja sepenuh masa dengan dan untuk Allah. Untuk itu perjuangan hidup mestilah bermula dari aqidah yang sah, ibadah yang bersih, akhlak yang mulia. Selain itu manusia mesti berusaha membebaskan diri dari sebarang system hidup yang kufur. Dia mesti menerima dan mengamalkan Islam dalam semua aspek hidupnya, pendidikan, pelajaran, ekonomi, social, perhubungan, perubatan, perniagaan, perkebunan, perusahaan, perjuangan, politik dan persoalan alam sejagat.
Barulah dia dikira berjaya menjadikan seluruh hidupnya dalam mentaati Allah. Dan barulah dia akan selamat dalam hidup jangka panjangnya di akhirat nanti.
Kalau begitu tidak timbul lagi kebimbangan manusia pada nasib masa depan yang pendek di dunia ini. Sebab kebimbangannya sentiasa pada nasibnya di akhirat, iaitu hidup masa depan dan jangka panjang yang hakiki. Selamatkan aku dari api neraka? Itulah persoalan yang sentiasa mengganggu fikiran umat Islam yang beriman.
Kerana itu dia pun berusaha sedaya upaya agar setiap doa yang dilakukan adalah kerana Allah dan mendapat keredhaan Allah. Dan tidak akan cuai beribadah malah diperbanyakkan dari masa ke semasa. Dia bekerja mencari rezeki dengan niat untuk hidup senang untuk beribadah pada Allah, bukan lagi untuk kaya dan untuk masa pencen dan masa tua.
Dia tidak cuai lagi berjuang dan berjihad, berkorban masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit untuk menegakkan jemaah Islam. Dia tidak bermewah-mewah lagi sebab dia takut dihisab oleh Allah di akhirat nanti. Dia tidak mengumpul dan menyimpan wang dan harta benda lagi kerana ia tahu dia mungkin mati sebelum harta itu digunakan betul-betul di jalan Allah. Kalau pun disimpan adalah dalam batas-batas keperluan yang dibenarkan oleh Islam. Dan dia tidak perlu lagi rumah besar sebab dia yakin rumah itu untuk ditinggalkan. Cukup rumah sederhana dan untuk jangka pendek, untuk tujuan berlindung dari panas dan hujan, untuk beribadah dan untuk jaga aurat. Dan dia tidak akan menimbunkan peralatan rumah, kain baju dan pinggan mangkuk lagi sebab itu semua bakal menyusahkan urusan hidup di akhirat nanti. Dia ambil yang perlu saja.
Pendek kata,. kerana mahu menebus kehidupan bahagia nanti, dia sanggup mengorbankan kemahuannya pada dunia yang pendek ini. Itulah sikap hidup yang paling bijaksana. Rasulullah S.A.W bersabda:
“Orang yang paling cerdik ialah orang yang sentiasa mengingati mati.”
Mati mesti datang. Tapi bukan mesti selepas pencen, sekarang pun boleh mati, atau setahun lagi, atau bila-bila saja. Jadi patut sangat kita dahulukan bekal-bekal untuk hidup sesudah mati. Untuk hidup masa depan yang pendek di dunia ini, tidak salah jika usahakan juga. Tapi janganlah kerana sampai tidak kenal Tuhan, tidak sembahyang, tidak puasa, tidak zakat, tidak haji, tidak berjuang dan berjihad, tidak baca Quran, tidak tahu hadis dan tidak fikir akhirat.
Jangka panjang yang pendek itu hanya pendek tempohnya (10 –15 tahun), itupun belum tentu tibanya. Entah-entah kita mati sebelum itu. Jadi bersiaplah sekadar patut untuknya. Janganlah sampai terkorban iman, ibadah dan umur. Jangan pula sampai hilang ketenangan, hilang bahagia kerana bimbangkan masa depan yang pendek itu.
Kenapa kita susahkan perkara yang belum berlaku? Ertinya susah sebelum susah. Kalau susah betul, jadilah dua kali susah.Tapi kalau kita mati sebelum itu, ertinya kita rugi di dunia kerana tidak sempat menikmati bekalan itu dan rugi di akhirat kerana tidak bersedia untuknya.
Umat Islam janganlah terus tertipu. Janganlah jadikan tujuan hidup untuk bahagia di dunia saja, setakat masa depan yang pendek. Tetapi halalkan rancangan masa depan itu ke akhirat iaitu satu tempoh hidup jangka panjang yang kekal abadi. Di sana kita ditunggu satu dari dua tempat kediaman, syurga dan neraka.
Tiada siapa yang sanggup masuk neraka, api yang maha panas yang membakar tubuh kerdil yang sampai padanya. Ertinya semua orang inginkan syurga. Untuk itu siapkan diri dengan iman yang benar, dengan ibadah yang diterima dan jadikan perjuangan dengan cara hidup sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W semasa hayat bagida.
Hanya itulah satu-satunya cara hidup yang menjadi pilihan kita, kalau mahu bersamanya di dalam syurga. Kalau tidak, dan kalau kita masih mengorbankan hidup untuk sesudah pencen saja, hingga kerana itu tinggal sembahyang dan tinggal Islam, apa bekal lagi yang boleh kita persembahkan pada Allah buat tebusan pada syurga kenikmatan yang abadi itu? Dan kalau tiada tanyalah diri kenapa aku bimbangkan nasib masa depan di dunia yang jangka panjangnya pendek saja, tapi tidak bimbangkan nasib masa depan di akhirat yang tempoh masanya tiada limit? Atau aku yakin bahawa selepas mati ada kehidupan yang lebih panjang lagi?
Minda Guruku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan