Inilah pembicaraan tentang tertipu. Dalam bahasa Arabnya disebut “Ghurur”.
Tertipu dengan kawan-kawan atau musuh sudah biasa sekali kita dengar. Malah ia
juga pernah berlaku pada diri kita. Tetapi tertipu dengan amalan jarang-jarang
kita dengar. Bagaimana kita ini boleh tertipu? Sedangkan kita pun tahu, syaitan
dan nafsu itu sentiasalah menjadi musuh kita dan ingin menipu kita. Malah dunia
pun diisytiharkan Tuhan sebagai tipuan juga sepertimana firmanNya: “Dunia itu
tiada lain hanyalah mata benda yang menipudaya” (Ali-Imran:185). Tertipunya kita
adalah kerana faktor kurang ilmu. Sudah tahu kurang ilmu, tidaklah pula mahu
mencari guru mursyid sebagai jalan penyelesaian. Jadilah kita terus-terusan
tertipu dalam kehidupan kita.
Berikut adalah contoh-contoh tipuan yang perlu kita tahu dan elakkan:
Dari sudut ilmu.
Seseorang yang dia itu menuntut ilmu agama tetapi apa yang ditumpunya adalah
bersangkut paut dengan bab-bab hukum fekah sahaja. Dia lebih gemar dengan
pendalamannya terhadap usul fekah, hal-hal mudharabah dan musyarakah, hudud dan
qiyas. Sentiasalah dia mendalami hal-hal fekah itu hingga membawa kepada fatwa
halal haram dalam berbagai bidang termasuk bidang muamalah dan jinayah. Dia itu
asyik dengan hukum halal haram tetapi melupakan ilmu tentang Tuhan. Jadilah dia
orang yang tidak mengenal Tuhan. Dia lebih tahu dan kenal tentang hukum daripada
tahu dan kenal tentang Tuhan, Yang Empunya hukum? Walhal, tujuan menegakkan
hukum itu adalah untuk membesar dan mengagungkan Tuhan sehingga Tuhan itu
dicintai dan ditakuti. Tak kenal maka tak cinta. Bagaimana hendak cinta Tuhan
sedangkan Tuhan itu tidak dikenali? Lebih-lebih lagilah susah untuk Tuhan itu
ditakuti. Kerana asas sudah ditinggalkan. Asas itu adalah mengenal Tuhan.
Seorang itu menyibukkan dirinya dengan mengkaji dan berbahas tentang hal-hal
khilafiah dan bidaah. Dia cukup sensitif dengan kesilapan orang dalam hal-hal
khilafiah dan bidaah. Mahu sahaja dia perbetulkan. Mahu sahaja dia berbahas
dengan orang yang tersilap itu. Walhal ada yang lebih penting yang patut
disibukannya. Dia masih tidak selesai dengan maksiat batinnya dan diapun tidak
sedar yang hatinya penuh bersarang maksiat batin itu. Atas dirinya ada tuntutan
untuk belajar ilmu tasauf dan yang itu seperti tidak dipedulikannya. Dia itu
tertipu dengan keseronokan hal-hal khilafiah dan bidaah.
Lebih malang lagi seorang itu sibuk dengan ilmu duniawi seperti mengkaji alam
dan cakerawala, mengkaji teori ekonomi serta mempelajari ilmu kesusasteraan.
Sedangkan dia itu tidak termasuk di dalam golongan orang yang sudah selesai
fardhu ainnya. Dan dia itu sanggup berbelanja semata-mata untuk ilmu dunianya,
sanggup ke timur dan ke barat untuk memenuhi nafsunya terhadap ilmu itu. Dia
sudah tertipu yang dia itu lebih mengutamakan ilmu dunia daripada ilmu akhirat.
Lebih-lebih lagi dia itu masih terbarai fardhu ainnya. Inilah kesilapan yang
dilakukan tanpa disedari.
Ada juga seorang yang hanya berminat mengetahui hukum-hakam tentang sembahyang.
Dipelajarinya habis-habis tentang ilmu hukum hakam sembahyang. Dijaganya juga
sungguh-sungguh ilmu tentang sah batal serta rukun sembahyang ini. Tidak dinafi,
sah batal dan rukun sembahyang itu penting, tetapi ia tidak boleh terhenti
setakat itu sahaja. Namun, dia tertipu hanya mempelajari ilmu lahir tentang
sembahyang sahaja. Walhal, dalam sembahyang ada lahir, dan ada batinnya. Yang
batin inilah yang menjadi penyumbang besar dalam sembahyang. Yang batin inilah
yang ditinggalkan. Belajar yang lahir-lahir ini mudah. Tetapi, yang batin iaitu
nak mendapat khusyuk dalam sembahyang, susah sekali. Patut-patutnya masa yang
dia ada itu lebih banyak diperuntukkan untuk ilmu batin dalam sembahyang.
Dari sudut amalan.
Seseorang yang membuat solat sunat dan puasa sunat hingga bengkak kakinya dan
juga hitam dahinya sehingga dia merasakan dirinya sudah layak mendapat syurga
Tuhan. Sudah layak digelar orang kesayangan Tuhan. Dia lupa yang dia itu hamba,
dan tidaklah wajar hamba itu “claim” dengan Tuhan atas amalannya. Walhal
Rasulullah sendiri mengaku bahawa beliau itu tidak terlepas di sisi Tuhan dengan
amalannya. Hanya sanya beliau terlepas dengan rahmat Tuhan. Jadi tertipu abid
tadi dengan amalannya hinggakan dia itu bukan berkehendakkan rahmat Tuhan. Yang
dia hendak adalah status sebagai ahli syurga dan kemegahan menjadi abid. Dia
takjub dengan amalannya, merasakan amalannya melayakkan dia ke syurga dan
menjadi orang kesayangan Tuhan. Patut-patut selepas beribadah, dia merasa cemas
dan bimbang, apakah nasibnya di sisi Tuhan. Patut-patut dia merasa yang
amalannya itu banyak cacat celanya. Bukan rasa selesa dan aman dengan amalannya
itu.
Seorang yang bersangatan dalam membaca Al-Quran dengan menjaga sungguh-sungguh
makhraj, tajwid dan lagu bacaannya. Dan dia itu sebegitulah selamanya, membaca
Al-Quran tanpa dapat memahami butir-butir yang terkandung dalam Al-Quran. Malah,
tidak cukup dengan membaca sendiri, dia masuk bertanding pula untuk beradu
kekuatan siapakah yang paling baik bacaannya di kalangan mereka. Penghujungnya,
ditawarkan hadiah berupa piala dan wang ringgit untuk orang seperti ini.
Tertipunya orang ini kerana menyangka membaca Al-Quran itu sudah cukup memenuhi
tuntutan Al-Quran terhadap dirinya. Walhal, Al-Quran itu bukan untuk dibaca
sahaja, tetapi untuk difahami dan dihayat isikandungnya. Kemudian, diamalkan dan
diperjuangkan.
Dari sudut perjuangan.
Seorang yang berjuang untuk mendapatkan negara, diwar-warkan yang dia itu
pejuang Islam. Diperjuangkan negaranya menjadi negara Islam. Walhal anak
isterinya masih tidak mengamalkan Islam. Dia lupa akan firman Tuhan: Peliharalah
diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka (At-Tahrim: 6). Yang dia tahu,
hanya tuntutan negara Islam itu. Sedangkan dia tidak mengusahakan untuk
mengislamkan dirinya, isterinya dan anak-anaknya. Jadilah dia itu orang yang
bernafsu tinggi seperti hendak mendirikan pondok di atas lumpur. Asas atau
foundationnya tidak kukuh, goyang dan boleh roboh bila-bila masa.
Dari sudut kemasyarakatan.
Ada orang, cita-citanya tinggi, hendak menyelesaikan masalah umat Islam. Maka
disibukkanlah dirinya dengan simposium, seminar dan pembentangan kertas kerja.
Dirasakannya cara itu boleh menyelesaikan masalah umat Islam. Namun, segalanya
nampak cantik di atas kertas. Seminar yang diadakan tinggal seminar. Masalah
umat Islam bukan berkurang tapi bertambah. Sebenarnya, masalah umat Islam bukan
boleh diselesaikan hanya dengan berseminar dan bersimposium. Contohnya, masalah
gejala sosial yang berlaku, kena turun padang dan kenal pasti sendiri masalah
yang berlaku. Kena tahu punca masalah dan kemudian serahkan pada yang orang yang
ahlinya untuk selesaikan masalah. Ini tidak, kadang-kadang sebut sahaja Islam
tetapi masalah itu hendak diselesaikan ikut akal fikiran. Patutnya masalah itu
diselesaikan ikut cara Tuhan. Tetapi digunakan akalnya. Kemudian bertempik ke
sana ke sini dengan slogan. Dijangkakan slogan itu boleh menyelesaikan masalah.
Masalah tak selesai-selesai kerana akal
fikiran sudah mengambil tempat Tuhan dalam menyelesaikan masalah. Inilah orang
yang menyangka dirinya penyelesai masalah tetapi hakikatnya di tangan dia
masalah tak selesai-selesai juga.
Inilah sahaja yang dapat dikongsikan dalam pembicaraan tentang tertipu.
Moga-moga ada manfaatnya untuk kita bersama. Sekian.
Minda Mujaddid
Gambar hiasan: yimss sindhu
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
-
Saya rasa, mana nama pihak, sila berhati hati bila nak guna nama “Sunnah”
kerana bimbang berdusta atas nama Nabi, yang mana nerakalah tempat bagi
mereka ...
Sehari yang lalu
Salam,
BalasPadamMemang benarlah manusia ini mudah kena tipu, kerana syaitan itu PAKAR dalam melakukan tipuannya.. Dunia juga turut menipu kita, sedangkan manusia ini MUDAH LUPA.. Si pelupa memang mudah sangat kena tipu. Begitulah resam hidup di dunia.. Tidakkah kita yang telah diberi PERINGATAN ini RISAu dan BIMBANG atas fenomena ini? Maka hendaklah kita teruskan USAHA dan tingkatkan kerja kita demi memberikan peringatan kepada seluruh UMMAT.. Berkerjalah sebagaimana Rasulullah telah berkerja..