Khamis, 24 Disember 2009

'Tahi judi' tak pernah serik

'Tahi judi' tak pernah serik



Oleh Asrol Awang


bhnews@bharian.com.my





SEORANG wanita bersama anaknya menilik nasib sebelum membeli nombor ekor di Kuantan.



Ada ibu bapa Muslim tanpa segan silu bawa anak masuk kedai nombor ekor






KUANTAN: Tidak serik. Biarpun larangan ke atas umat Islam memasuki premis perjudian di Pahang berkuat kuasa 12 Mac lalu selepas mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, ia seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kepada 'tahi judi' di negeri itu.



Sebaliknya, mereka tanpa rasa bersalah atau segan dengan selamba masuk ke premis perjudian, termasuk menilik nasib kerana masih percaya bahawa ia boleh memberi kekayaan sekelip mata.






Mengikut Seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, umat Islam yang berbuat demikian boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya.



Bagaimanapun, ia seperti dipandang remeh dan langsung tidak menakutkan segelintir umat Islam di sini supaya menjauhi daripada melakukan perkara yang sia-sia itu.

 
Tinjauan Edisi Timur mendapati ada di kalangan mereka yang mengunjungi premis menjual nombor ramalan di sekitar daerah ini sambil ‘ditemani’ ahli keluarga termasuk anak.

 
Mengulas perbuatan itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata perbuatan bapa membawa anak membeli nombor ekor dianggap keterlaluan.

 
Mereka seolah-olah turut mengheret ahli keluarga untuk sama-sama bersekongkol melakukan perbuatan tidak bermoral sekali gus memberi tanggapan negatif kepada umat Islam lain.





Perbuatan itu seolah-olah mendidik kanak-kanak tanpa sedar kerana gerak-geri orang dewasa akan diperhatikan dan tidak mustahil menjadi ikutan apabila dewasa kelak.





Katanya, seorang bapa sepatutnya menunjukkan nilai murni kepada anak mereka dan bukannya bertindak membawa anak ke tempat yang dilarang bagi mengelak dipengaruhi dan mengikut jejak bapanya apabila dewasa.





“Dalam hal ini, saya kecewa dan berasa terkilan kerana perbuatan itu sememangnya tidak wajar ditunjukkan kepada kanak-kanak yang mudah mengingati perlakuan orang dewasa terutama kanak-kanak yang berusia tiga tahun ke atas.





“Mereka sepatutnya sensitif dan tidak menunjukkan perlakuan negatif kepada kanak-kanak yang masih mentah dan tidak mengenal dosa dan pahala,” katanya





Namun, Wan Abdul Wahid berkata, jika perbuatan itu berterusan, beliau bimbang kanak-kanak terbabit akan mengikut perbuatan yang dilihat apabila dewasa kelak





“Oleh itu, umat Islam dinasihatkan tidak mengunjungi kedai nombor ramalan yang sememangnya ditegah Islam bagi memastikan mereka bebas daripada perbuatan sia-sia





“Bukan saja haram di sisi Islam, malah wang hasil kemenangan itu sememangnya tidak berkat apabila diberi kepada keluarga terutama isteri dan anak,” katanya.





Sementara itu, seorang pesara, Zakaria Ahmad, 60, berkata beliau amat terkilan perlakuan seorang ayah yang sanggup membawa anaknya memasuki premis terbabit





Katanya, jika sikap seperti itu tidak ditegah daripada awal, beliau bimbang ia menjadi kebiasaan kepada umat Islam, sedangkan membeli nombor ramalan adalah haram.





“Oleh itu, saya meminta pihak berkuasa terutama Jaip mengambil tindakan tegas terhadap orang Islam yang memasuki dan membeli nombor sebagai peringatan kepada individu lain,” katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin