Rabu, 2 Disember 2009

Bila Iman Lemah

Akal manusia dan fikirannya boleh menjelajah dunia sehingga



tidak ada pelosok dunia yang otaknya tidak menjejaki


dan menjelajahinya. Kaki otaknya begitu panjang sekali,


tidak ada ruangan-ruangan dunia ini yang tidak dipijak manusia.


Kerana itu berbagai-bagai ilmu, bermacam-macam maklumat,


berbagai-bagai pengalaman yang manusia perolehi.


Manusia boleh tahu di atas gunung, di dalamnya, di bawah


bumi, apatah lagi di dasarnya, di lautan dan di dasarnya. Habis


semuanya dijelajahi. Padang pasir, gurun, di perut bumi, sungai


kecil dan besar, otaknya selongkari hingga terdedah dan terbongkar


semuanya.






Otak manusia menerokai empat penjuru dunia, Kutub Utara,


Kutub Selatan, Timur dan Barat. Otaknya boleh teroka dan jelajahi


hutan belantara. Berbagai-bagai kehidupan dapat diketahui


di samping khazanah bumi yang lain. Habis seluruh


khazanah dunia ini otak mereka kumpulkan.






Seolah-olah dunia ini kecil sebesar dulang, manusia berada


di hadapannya melihat seluruh isinya. Tidak ada apa yang tidak


dapat dilihat dan pastikan. Semuanya dapat manusia perhatikan


dan mengetahui rahsia-rahsianya.






Sungguh hebat otak manusia, boleh mengembara ke seluruh


dunia, menjelajahi seluruh pelosoknya, menjejaki bukit dan


lurahnya. Apatah lagi kalau kaki manusia boleh membawa


mengembara sama otaknya ke seluruh dunia. Maka otak bertambah


rata lagi. Mengembara di pelosok dunia, melihat dari dekat,


dapat mengesan lebih dalam lagi rahsia dunia ini, lebih banyak


lagi rahsia bumi dan alam Tuhan ini menjadi maklumatnya.


Begitulah kebolehan otak manusia, ia boleh mengetahui


rahsia dunia dan seluruh isinya sebagai maklumat seolah-olah


otak manusia macam burung, boleh terbang di seluruh dunia.


Atau dunia ini macam sebesar dulang, seluruh apa yang ada di


dalam dulang dapat dilihatnya.






Kalau begitulah keadaan otak manusia, otak seolah-olah


bebas, merdeka, terlalu jauh perjalanannya, terlalu luas dunia


kehidupannya. Begitulah kebolehan otak yang dicipta oleh Allah


Taala yang Maha Berkuasa, kebolehannya luar biasa.


Namun begitu, walaupun kemampuan otak manusia bebas,


merdeka, gelanggang kehidupannya begitu luas, tapi apabila


jiwa manusia itu sempit kerana tidak ada iman atau lemah iman


kerana tidak bersama dengan Tuhan, manusia tetap hidup


terseksa, sengsara, seolah-olah hidup di dalam jel yang sempit,


gelap-gelita pula. Di waktu itu otak tidak boleh buat apa-apa,


tidak berfungsi, dia tidak boleh menolong manusia. Dia juga


ikut sama hidup di dalam kurungan yang sempit itu. Kakinya


ikut terbelenggu, seolah-olah dirinya tidak boleh pergi ke manamana.


Di waktu itu fikiran buntu oleh penjara itu, ilmu dan


maklumat-maklumat tidak berguna lagi di waktu itu.


Apa buktinya? Banyak sangat buktinya kerana ia sering berlaku


di dalam kehidupan ini. Contohnya, apabila datang ujian atau


bala bencana, seperti jatuh miskin, dileter oleh isteri, bankrapsi,


dibuang kerja, sakit yang berat, patah kaki, kena tangkap, dimasukkan


ke dalam jel, kena ISA dan lain-lain lagi, masya-Allah,


jiwanya yang sempit kerana tidak beriman atau lemah iman itu


seolah-olah menjerit-jerit cuma tidak didengarinya. Terasa sakit.


Bumi yang luas dirasakan sempit, badan macam kena himpit


seolah-olah masuk ke bumi.






Fikiran yang selama ini begitu bebas,


merdeka, mempunyai maklumat yang luas, telah terbang dan


hilang kecerdikannya, tidak boleh membantu. Keadaan berfikir


pun tidak menentu. Perasaan jadi tidak normal dan melulu,


sesetengah pegangan hilang, keyakinan berubah 90 darjah.


Baru kita faham, kalau akal sahaja kuat dan merdeka sedangkan


jiwa lemah dan tidak merdeka, akhirnya akal juga turut


lemah hingga tidak berfungsi mengakibatkan segala-galanya


berubah. Berubah sikap, berubah watak, berubah tabiat, berubah


akhlak, berubah pakaian. Yang tidak berubah hanyalah nama


dan warna kulit. Tapi yang bersifat maknawi dan rohaniah berubah


semuanya. Amat terkejut dan mengejutkan, hairan menghairankan,


tercengang-cengang orang dibuatnya.






Begitulah apabila jiwa lemah kerana kelemahan iman atau


sudah tidak ada iman, jiwa rasa sempit apabila kena ujian atau


ditimpa bala. Macam burung duduk di dalam sangkar yang


sempit, menggelupur tidak keruan, menyondol sana, menyondol


sini hingga tercabut bulu, terkopek kulit kepala.






Sebab itulah Islam menyuruh penganutnya jangan hanya


menguatkan akal semata-mata tapi yang penting daripada itu


hendaklah sentiasa kuatkan jiwa. Jiwa hendaklah dikuatkan


dengan iman dan sifat-sifat taqwa agar apabila diuji, jiwa tidak


sempit. Jiwa tidak menderita. Segala keyakinan dan pegangan


beragama tidak hilang atau tidak berubah. Fikiran tetap dengan


kemerdekaannya kerana jiwa stabil dan normal, tidak terjejas


oleh ujian.






Oleh itu jangan kita biarkan jiwa kita terkurung oleh dunia


dan masalah. Jangan penjarakan dia di dalam keseksaan nafsu


yang memang tidak suka jiwa kita bebas dan merdeka. Jangan


biarkan dia diseksa oleh ujian-ujian yang mendatang. Sepatutnya


kita biarkan dia terbang hingga bukan sahaja menjelajahi dunia


ini tetapi biarkan dia menjelajahi alam malakut, alam rohaniah


yang lebih tinggi lagi atau alam ukhrawiah agar dia bebas sebebas-


bebasnya, agar dia merdeka, supaya jangan terasa dia


hidup sempit dan terhimpit.






Di samping itu yang lebih penting lagi hendaklah manusia


jadikan jiwanya selalu bersama Tuhan. Pergilah dan bawa ke


mana-mana bersama Tuhan, jangan biarkan dia keseorangan.


Kita jadikanlah Tuhan sebagai kawan jiwa kita. Janganlah lepaskan


dia daripada berkawan dengan Tuhan.


Firman Allah SWT:


Maksudnya: “Mereka yang sentiasa mengingati Allah


dalam waktu berdiri, berbaring dan di waktu duduk, mereka


sentiasa memikirkan tentang kejadian langit dan bumi


seraya berkata, “Wahai Tuhan kami, tidak Engkau jadikan


semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, jauhilah kami


dari azab api Neraka.” (Ali Imran: 191)






Di waktu itu masalah kehidupan dunia tidak akan menggugat.


Ujian dan bala bencana tidak akan dapat mengurungnya.


Nafsu tidak akan dapat memenjarakannya. Di waktu itu jiwa


kita tidak akan tergugat, dia tetap bebas dan gagah, merdeka



dan kuat serta pegangan kita tidak akan berubah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin