Jumaat, 21 Ogos 2009

Tips Hayati Puasa

Foto oleh: shabbirthtz

Kita telah berpuasa sekian lama. Namun, tiap kali kita berpuasa apakah nilaian puasa kita di sisi Tuhan? Semakin baikkah akhlak dan peribadi kita? Atau sama sahaja seperti sebelum-sebelumnya. Tujuan ibadah bagi hamba-hamba Tuhan adalah agar hamba itu mengenali Tuhan seterusnya benar-benar merasakan kebesaran dan keagungan Tuhan. Selain ibadah itu dapat memberi kesan kepada seseorang agar orang itu benar-benar menghayati dirinya sebagai hamba Tuhan.


Oleh itu, puasa yang tidak memberi kesan kepada peribadi seseorang adalah ibadah yang sia-sia. Kalaulah hendak diibaratkan ibadah itu sebatang pokok, maka ia adalah pokok yang kegersangan buahnya. Dalam erti kata lain, pokok yang tidak mendatangkan hasil. Orang yang berpuasa tetapi tidak menghayati puasa, adalah orang yang lahirnya berpuasa tetapi batinnya tidak berpuasa. Sedangkan ibadah puasa itu ia ada lahir dan ada batinnya. Tidak boleh berpuasa sekadar lahir sahaja. Sekadar lapar dan dahaga sahaja. Sekadar tak makan dan tak minum. Tidak boleh begitu. Sedangkan yang Tuhan hendak lihat, yang dalam itu. Apa yang ada dalam hati kita.


Sejauhmana penghayatan hati kita di waktu berpuasa. Yang lahir ini kena buat juga kerana ia menentukan sah batal puasa. Perlu juga. Tetapi yang dalam itulah yang terpenting sebab ia menentukan soal hubungan kita dengan Tuhan. Ia menentukan nilaian ibadah kita di sisi Tuhan. Diterima atau tidak di sisi Tuhan, banyak bergantung kepada penghayatan seseorang dalam berpuasa.Tidak boleh tidak, kenalah berpuasa dengan penghayatan. Bukan sekadar biasa sahaja seperti mana yang kita lakukan sebelum ini. Kenalah menghayati puasa itu kerana ia adalah pakej menyucikan fitrah kita yang Tuhan datangkan 1 bulan dalam 12 bulan.


Bagaimana nak hayati puasa? Intipati puasa adalah mujahadah. Bila bermujahadah bersungguh-sungguh melawan nafsu, maka di situlah nanti ada penghayatan. Di samping mujahadah menahan lapar dan dahaga dalam berpuasa, apa yang dituntut adalah bersungguh-sungguh melawan nafsu terhadap keinginan-keinginan yang bertentangan dengan kehendak Tuhan. Sudah menjadi watak nafsu itu sendiri sangat sukakan kepada kejahatan. Nafsu tidak suka kepada perintah Tuhan. Apa yang Tuhan suruh buat, itulah yang dibencinya. Sebaliknya, apa yang Tuhan larang, menjadi kesukaannya. Kalau kita turut sahaja kata nafsu, kita sebenarnya sudah melawan Tuhan. Kita bukan jadi hamba Tuhan tetapi jadi hamba nafsu. Mahu tidak mahu, kenalah bermujahadah dengan nafsu.Tambahan daripada itu, lakukanlah berbagai pengisian roh di dalam bulan ini. Banyakkan bertafakur tentang kejadian ciptaan Tuhan.


Usahakan memperbaiki solat agar benar-benar khusyuk. Bacalah Al-Quran dan fahamilah maksud daripadanya. Rasakanlah di dalam hati apa yang telah diceritakan oleh Tuhan di dalam Al-Quran itu. Solat terawih kerjakanlah ia sebanyak 20 rakaat dengan penuh rasa cinta kepada Tuhan. Moga-moga dengan panduan ini, kita akan menjadi orang yang bersih suci fitrahnya. Hanya orang yang sudah bersih suci fitrahnya sahaja yang layak mendapat hadiah Tuhan berupa keredhaanNya, keampunan, rahmat dan lepas dari azab neraka.


Sumber : Minda Global

1 ulasan:

  1. ramadhan kareem abihaiqal..
    bagus entry ni..
    moga kita semua mengambil ikhtibar bersama

    BalasPadam

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin