Khamis, 27 Ogos 2009

Insan Yang Kenal Tuhannya...




Bukan mudah-mudah dengan hanya memberikan hujah Al-Quran dan hadis tentang Tuhan, sudah kita anggap orang itu kenal Tuhan. Bukan sebegitu mudah. Belum lagi kenal Tuhan untuk orang seperti itu. Walaupun hebat hujahnya, ada dalil dan nas sekali, dibawa pula pendapat ulamak muktabar, namun dalam soal mengenal Tuhan, itu bukan ukuran. Memang ilmu itu perlu ada dalam kita mengenal Tuhan, tetapi ia tak boleh dijadikan ukuran seseorang itu mengenal Tuhan. Orang seperti itu baru boleh kita katakan, tahu tentang Tuhan. Atau boleh kita panggil dia, ada ilmu tentang Tuhan. Dalam ertikata lain, mereka ini adalah “Alimbillah”. Jika, persoalan Tuhan baru di akal, baru bermain-main di fikiran, itu belum cukup syarat mengenal Tuhan.


Bila cukup syaratnya? Bila Tuhan itu sudah dihayati sifat-sifatnya, dijiwai dan dirasai sungguh-sungguh di hati. Malah dari situlah timbul pelbagai rasa dengan Tuhan yang antaranya rasa cinta dan takut Tuhan. Kalau ini berlaku, orang seperti ini layak kita gelar “Arifbillah”. Dari rasa-rasa inilah yang mendorong orang ini untuk beribadah kepada Tuhan. Dari rasa-rasa inilah yang meningkatkan taqwa mereka. Biar kurang hujahnya, biar kurang nak bercakap sangat tentang ilmu Tuhan, tetapi dia boleh merasa. Kemudian dari rasa ini, terdorong baginya untuk amalkan segala suruhan dan tinggalkan segala larangan Tuhan. Dari perilaku seharian, membuktikan yang dia ini sungguh mengenal Tuhannya. Apakah kita sudah jadi orang seperti ini? Apakah kita hanya takat boleh bercakap sahaja tentang Tuhan? Atau hanya boleh berfikir-fikir tentangNya sahaja? Jika belum, sungguh hati kita perlu dipimpin untuk itu.

Al Alimbilah, orang yang mengetahui ALLAH dengan rambang
Ia mempercayai ALLAH berdasarkan hujah ilmu dan akal
Atas dasar ilmu ia tidak boleh menolak adanya Tuhan
Tapi percaya secara ilmu itu, tidak ada rasa berTuhan
Takut dan cintanya dengan ALLAH tidak dapat dirasakan
Berlainan sekali Al Arifbillah
Orang yang mengenal ALLAH dengan makrifat yang mendalam
Ilmunya memberitahu
Dikuatkan dengan perasaan hati yang sentiasa sedar rasa berTuhan

Al Alimbillah suka berbahas, suka berforum, suka bermujadalah
Tapi apa yang dibincangkan tidak pun dihayati
Dan tidak diperbincangkan dengan amalan

Al Arifbillah, cinta dan takutnya dengan Tuhan amat mendalam
Perasaan itu payah hendak diungkaikan
Rasa kehambaan dapat dilihat di dalam kehidupan

Al Arifbilah bercakap berdasarkan pengalaman
Al Alimbilah bercakap di atas dasar ilmu pengetahuan
Al Arifbillah kerana rasa kehambaan mendalam
Sifat-sifat mahmudahnya nampak terserlah di dalam kehidupan

Al Alimbillah sifat-sifat mazmumahnya yang terserlah
Terutama sifat-sifat ego, riak dan megah Gila nama dan glamour
Ingin dipuji dan dikenang jasanya

Al Arifbillah , sanjungan dan pujian itulah yang menyeksa hatinya
Itulah yang dibenci dan sangat tidak disukainya
Al Alimbilah belum menyelamatkan seseorang
Al Arifbillah baru ada jaminan dari Tuhan

Minda Guruku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin