Selasa, 25 Ogos 2009

Pembicaraan tentang Tertipu



Inilah pembicaraan tentang tertipu. Dalam bahasa Arabnya disebut “Ghurur”. Tertipu dengan kawan-kawan atau musuh sudah biasa sekali kita dengar. Malah ia juga pernah berlaku pada diri kita. Tetapi tertipu dengan amalan jarang-jarang kita dengar. Bagaimana kita ini boleh tertipu? Sedangkan kita pun tahu, syaitan dan nafsu itu sentiasalah menjadi musuh kita dan ingin menipu kita. Malah dunia pun diisytiharkan Tuhan sebagai tipuan juga sepertimana firmanNya: “Dunia itu tiada lain hanyalah mata benda yang menipudaya” (Ali-Imran:185).


Tertipunya kita adalah kerana faktor kurang ilmu. Sudah tahu kurang ilmu, tidaklah pula mahu mencari guru mursyid sebagai jalan penyelesaian. Jadilah kita terus-terusan tertipu dalam kehidupan kita.Berikut adalah contoh-contoh tipuan yang perlu kita tahu dan elakkan:Dari sudut ilmu. Seseorang yang dia itu menuntut ilmu agama tetapi apa yang ditumpunya adalah bersangkut paut dengan bab-bab hukum fekah sahaja. Dia lebih gemar dengan pendalamannya terhadap usul fekah, hal-hal mudharabah dan musyarakah, hudud dan qiyas. Sentiasalah dia mendalami hal-hal fekah itu hingga membawa kepada fatwa halal haram dalam berbagai bidang termasuk bidang muamalah dan jinayah. Dia itu asyik dengan hukum halal haram tetapi melupakan ilmu tentang Tuhan. Jadilah dia orang yang tidak mengenal Tuhan. Dia lebih tahu dan kenal tentang hukum daripada tahu dan kenal tentang Tuhan, Yang Empunya hukum?


Walhal, tujuan menegakkan hukum itu adalah untuk membesar dan mengagungkan Tuhan sehingga Tuhan itu dicintai dan ditakuti. Tak kenal maka tak cinta. Bagaimana hendak cinta Tuhan sedangkan Tuhan itu tidak dikenali? Lebih-lebih lagilah susah untuk Tuhan itu ditakuti. Kerana asas sudah ditinggalkan. Asas itu adalah mengenal Tuhan.Seorang itu menyibukkan dirinya dengan mengkaji dan berbahas tentang hal-hal khilafiah dan bidaah. Dia cukup sensitif dengan kesilapan orang dalam hal-hal khilafiah dan bidaah. Mahu sahaja dia perbetulkan. Mahu sahaja dia berbahas dengan orang yang tersilap itu. Walhal ada yang lebih penting yang patut disibukannya. Dia masih tidak selesai dengan maksiat batinnya dan diapun tidak sedar yang hatinya penuh bersarang maksiat batin itu. Atas dirinya ada tuntutan untuk belajar ilmu tasauf dan yang itu seperti tidak dipedulikannya. Dia itu tertipu dengan keseronokan hal-hal khilafiah dan bidaah.Lebih malang lagi seorang itu sibuk dengan ilmu duniawi seperti mengkaji alam dan cakerawala, mengkaji teori ekonomi serta mempelajari ilmu kesusasteraan. Sedangkan dia itu tidak termasuk di dalam golongan orang yang sudah selesai fardhu ainnya. Dan dia itu sanggup berbelanja semata-mata untuk ilmu dunianya, sanggup ke timur dan ke barat untuk memenuhi nafsunya terhadap ilmu itu. Dia sudah tertipu yang dia itu lebih mengutamakan ilmu dunia daripada ilmu akhirat. Lebih-lebih lagi dia itu masih terbarai fardhu ainnya. Inilah kesilapan yang dilakukan tanpa disedari.


Ada juga seorang yang hanya berminat mengetahui hukum-hakam tentang sembahyang. Dipelajarinya habis-habis tentang ilmu hukum hakam sembahyang. Dijaganya juga sungguh-sungguh ilmu tentang sah batal serta rukun sembahyang ini. Tidak dinafi, sah batal dan rukun sembahyang itu penting, tetapi ia tidak boleh terhenti setakat itu sahaja. Namun, dia tertipu hanya mempelajari ilmu lahir tentang sembahyang sahaja. Walhal, dalam sembahyang ada lahir, dan ada batinnya. Yang batin inilah yang menjadi penyumbang besar dalam sembahyang. Yang batin inilah yang ditinggalkan. Belajar yang lahir-lahir ini mudah. Tetapi, yang batin iaitu nak mendapat khusyuk dalam sembahyang, susah sekali. Patut-patutnya masa yang dia ada itu lebih banyak diperuntukkan untuk ilmu batin dalam sembahyang.


Dari sudut amalan Seseorang yang membuat solat sunat dan puasa sunat hingga bengkak kakinya dan juga hitam dahinya sehingga dia merasakan dirinya sudah layak mendapat syurga Tuhan. Sudah layak digelar orang kesayangan Tuhan. Dia lupa yang dia itu hamba, dan tidaklah wajar hamba itu “claim” dengan Tuhan atas amalannya.


Walhal Rasulullah sendiri mengaku bahawa beliau itu tidak terlepas di sisi Tuhan dengan amalannya. Hanya sanya beliau terlepas dengan rahmat Tuhan. Jadi tertipu abid tadi dengan amalannya hinggakan dia itu bukan berkehendakkan rahmat Tuhan. Yang dia hendak adalah status sebagai ahli syurga dan kemegahan menjadi abid. Dia takjub dengan amalannya, merasakan amalannya melayakkan dia ke syurga dan menjadi orang kesayangan Tuhan. Patut-patut selepas beribadah, dia merasa cemas dan bimbang, apakah nasibnya di sisi Tuhan. Patut-patut dia merasa yang amalannya itu banyak cacat celanya. Bukan rasa selesa dan aman dengan amalannya itu.


Seorang yang bersangatan dalam membaca Al-Quran dengan menjaga sungguh-sungguh makhraj, tajwid dan lagu bacaannya. Dan dia itu sebegitulah selamanya, membaca Al-Quran tanpa dapat memahami butir-butir yang terkandung dalam Al-Quran. Malah, tidak cukup dengan membaca sendiri, dia masuk bertanding pula untuk beradu kekuatan siapakah yang paling baik bacaannya di kalangan mereka. Penghujungnya, ditawarkan hadiah berupa piala dan wang ringgit untuk orang seperti ini. Tertipunya orang ini kerana menyangka membaca Al-Quran itu sudah cukup memenuhi tuntutan Al-Quran terhadap dirinya. Walhal, Al-Quran itu bukan untuk dibaca sahaja, tetapi untuk difahami dan dihayat isikandungnya. Kemudian, diamalkan dan diperjuangkan.


Dari sudut perjuangan Seorang yang berjuang untuk mendapatkan negara, diwar-warkan yang dia itu pejuang Islam. Diperjuangkan negaranya menjadi negara Islam. Walhal anak isterinya masih tidak mengamalkan Islam. Dia lupa akan firman Tuhan: Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka (At-Tahrim: 6). Yang dia tahu, hanya tuntutan negara Islam itu. Sedangkan dia tidak mengusahakan untuk mengislamkan dirinya, isterinya dan anak-anaknya. Jadilah dia itu orang yang bernafsu tinggi seperti hendak mendirikan pondok di atas lumpur. Asas atau foundationnya tidak kukuh, goyang dan boleh roboh bila-bila masa.


Dari sudut kemasyarakatan Ada orang, cita-citanya tinggi, hendak menyelesaikan masalah umat Islam. Maka disibukkanlah dirinya dengan simposium, seminar dan pembentangan kertas kerja. Dirasakannya cara itu boleh menyelesaikan masalah umat Islam. Namun, segalanya nampak cantik di atas kertas. Seminar yang diadakan tinggal seminar. Masalah umat Islam bukan berkurang tapi bertambah. Sebenarnya, masalah umat Islam bukan boleh diselesaikan hanya dengan berseminar dan bersimposium.


Contohnya, masalah gejala sosial yang berlaku, kena turun padang dan kenal pasti sendiri masalah yang berlaku. Kena tahu punca masalah dan kemudian serahkan pada yang orang yang ahlinya untuk selesaikan masalah. Ini tidak, kadang-kadang sebut sahaja Islam tetapi masalah itu hendak diselesaikan ikut akal fikiran. Patutnya masalah itu diselesaikan ikut cara Tuhan. Tetapi digunakan akalnya. Kemudian bertempik ke sana ke sini dengan slogan. Dijangkakan slogan itu boleh menyelesaikan masalah. Masalah tak selesai-selesai kerana akal fikiran sudah mengambil tempat Tuhan dalam menyelesaikan masalah. Inilah orang yang menyangka dirinya penyelesai masalah tetapi hakikatnya di tangan dia masalah tak selesai-selesai juga.Inilah sahaja yang dapat dikongsikan dalam pembicaraan tentang tertipu. Moga-moga ada manfaatnya untuk kita bersama. Sekian.


Minda Global

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin