Rasulullah mendidik para Sahabat dan anggota masyarakat, 99% secara tidak rasmi, di semua tempat sama ada ketika di atas unta, di masjid, di pasar, di kedai-kedai, waktu istirahat, ketika musafir, di majlis kenduri, di majlis kematian, di medan perang atau lain-lain. Hal inilah yang dilakukan dan diteruskan oleh para Sahabat.
Kalau kita kaji sejarah, belum pernah kita dengar misalnya, `Malam Sabtu ini datanglah ke masjid A, ada ceramah dari Rasulullah atau hari Ahad ini akan ada program tabligh akbar Rasulullah jam 11 pagi di kampung ini.`Ringkasnya, ke mana saja Rasulullah pergi dan siapa saja yang ditemui, baginda akan menyampaikan didikannya. Kalau yang hadir itu seorang, maka seoranglah yang dididiknya. Tapi kalau ramai, ramailah yang terlibat. Rasulullah tidak membiarkan maksiat atau kesilapan seseorang itu terus terjadi. Waktu itu juga ditegur dengan kasih sayang dan dibaiki.Bila jumpa orang, itulah kuliah, itulah dakwah, itulah pendidikan.
Walau tidak bercakap, tapi Rasulullah menunjukkan secara lisanulhal (perbuatan). Bila Rasulullah SAW berjalan, dia melihat orang yang sedang memerah susu kambing, maka Rasulullah SAW akan menghampiri dan bertanya khabar. Rasulullah SAW akan bercerita bahawa Allah yang Maha Esa, Maha Pengasih, Maha Penyayang. Baginda berjalan lagi, ingin minum di kedai. Orang yang ada di sana lebih ramai lagi. Katalah yang akan disampaikan tajuk pemurah dan dia tidak ada kesempatan untuk bercakap, sebab semua orang sibuk. Maka dia akan buat secara lisanulhal. Selepas makan dia akan membayarkan semua orang.
Begitulah Rasulullah SAW mendidik secara tidak rasmi dan hasilnya lebih berkesan kerana iadari hati ke hati. Hari ini kita banyak berhadapan dengan keadaan yang rasmi,jadi kita hendaklah berhikmah, kita dapat buat dengan dua cara iaitu secara rasmi (formal) dan tidak rasmi (informal).Cara pendidikan begini, yang disebut mubasyarah (secara langsung), dilakukan dengan lisan (lisanulmaqal) atau dengan sikap (lisanulhal).
Dalam sistem pendidikan sekarang, pendidikan begini disebut pendidikan informal (tidak rasmi). Ia dapat dilakukan di sebarang tempat, pada sebarang waktu, dan pada setiap orang. Rasulullah memberi kelebihan kepada pendidikan informal daripada pendidikan formal kerana cara informal ini lebih berhasil, praktikal dan memberi hasil yang cepat dan konkrit. Manakala pendidikan formal hanya menambahkan teori-teori yang jarang dipraktikkan.Sistem pendidikan Rasulullah ini kelihatan mempunyai maksud untuk melahirkan manusia yang mengamalkan ilmunya. Baginda tidak menekankan ilmu yang tinggi atau ilmu yang banyak, sebaliknya memberi keutamaan kepada pengamalan ilmu.
Minda Guruku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan