Isnin, 17 Ogos 2009

Kesan Bila Tidak Bertaqwa


Taqwa adalah punca keselamatan dan kebahagiaan dunia
dan Akhirat. Tanpa taqwa, kita tidak akan selamat dan tidak
akan bahagia. Kita tidak akan terpelihara dan tidak akan
dapat berlindung dengan Allah. Kita akan terdedah kepada pelbagai
serangan nafsu dan syaitan. Natijahnya, kita tidak akan
sampai kepada Tuhan dan hasilnya sangat rosak dan merosakkan.
Kalau taqwa tidak ada dan nafsu bermaharajalela, kesannya
amat buruk sekali.


Contoh Kesan Ke Atas Manusia
Mari kita lihat beberapa contoh yang melibatkan beberapa
golongan manusia:


1. Ulama
Bila taqwa tidak ada, para ulama akan dihinggapi oleh sifat-sifat
atau penyakit-penyakit berikut:
a. Sombong atau ego
b. Ujub dan riyak
c. Hasad dengki
d. Susah untuk menerima kebenaran dari orang lain
e. Ingin berlawan terutama sesama ulama
f. Mempergunakan ilmu sebagai alat untuk kepentingan
dunia, pangkat dan wang ringgit
g.Pemarah
h. Ingin dihormati (gila puji)
i. Kalau mampu, suka hidup bermewah-mewah.
Kalau hati tidak bertaqwa, maka mustahil akan kita temui
mufti-mufti, tuan-tuan kadhi, ustaz-ustaz dan tuan-tuan imam
yang merendah diri, yang merasai diri kurang, yang mengasihi
orang lain sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri yang
bersedia untuk ditegur walaupun oleh kanak-kanak, yang tidak
suka menunjuk-nunjuk pandai dan kehebatan, yang menggunakan
ilmu untuk kepentingan Allah dan kehidupan di
Akhirat, yang mudah melupa dan memaafkan kesilapan orang
lain, yang tidak suka dihormati dan dipuji kerana yang layak
dipuji hanyalah Allah dan yang zuhud serta warak.
Bila tidak ada ulama yang bersifat begini, maka umat seolah-olah
ketiadaan lampu penyuluh. Tinggallah mereka dalam
gelap-gelita. Tidak tahu halal haram, tidak kenal Quran dan
Hadis, tidak kenal Allah dan alam Akhirat, tidak pandai membezakan
akhlak baik dan akhlak buruk, tidak faham apa yang
boleh dan apa yang tidak boleh, juga tidak faham apa yang baik
dan apa yang tidak baik. Maka hidup mereka tidak menentu.
Kadang-kadang ke barat, kadang-kadang ke timur, terlanggar
ke sana, terlanggar ke sini, terjunam ke lembah-lembah, tersungkur
di jalanan dan macam-macam kacau-bilau lagi. Jarang
dan mungkin tidak ada langsung umat yang selamat.
Maka jadilah apa yang sedang terjadi hari ini. Umat Islam
tidak bertaqwa dan tidak ikut cara hidup Islam sepenuhnya.
Kadang-kadang jadi macam Yahudi, macam Kristian, macam
Hindu, macam Buddha, macam Hippies, macam Punk, macam
Skinhead, ikut rock, ikut metal dan macam-macam lagi. Budaya
dan tamadun Islam tidak ada dan tidak dapat dibangunkan dan
diperjuangkan. Yang ada ialah budaya kuning, budaya campur
aduk dan budaya kacau-bilau.

2. Pemimpin
Akibat ulama tidak bertaqwa maka mereka tidak dapat mendidik
pemimpin atau penguasa agar jadi pemimpin yang bertaqwa.
Bila pemimpin tidak bertaqwa, maka hatinya akan dikerumuni
oleh nafsu-nafsu jahat. Antaranya ego, sombong, takabur, riyak,
ujub, menzalim (diskriminasi), pilih kasih, gila kuasa, tidak adil,
berburuk sangka, berhasad dengki terutama sesama pemimpin,
menggunakan kuasa dan kepentingan untuk keuntungan dunia
dan peribadi, menghukum sesuka hati, takut dengan rakyat
sendiri, bersifat pemarah dan terlalu suka bermewah-mewah.
Kerana penguasa atau pemimpin tidak bertaqwa maka sukar
sekali untuk kita mencari seorang menteri atau wakil rakyat atau
presiden yang suka merendah diri dan merasa dirinya setaraf
dengan orang lain. Tidak berbangga dengan kuasa, tidak rasa
dirinya istimewa, berlaku adil dan berlemah-lembut, berbaik
sangka, berkasih sayang sesama pemimpin, menggunakan
kuasa untuk kepentingan Islam dan kehidupan di Akhirat,
berhati-hati ketika menghukum, suka memaafkan dan hidup
ala kadar iaitu sekadar memenuhi keperluan.
Bila hati pemimpin dan sikapnya sudah rosak, kotor dan
jahat, maka sudah tentu pimpinannya akan turut rosak, kotor
dan jahat sama ada mereka sedar atau tidak dan sama ada
mereka mahu atau tidak. Pemimpin seperti ini bukan bekerja
untuk menyelamatkan umat tetapi untuk mempertahankan
kuasa. Buat kebaikan bukan secara rela tetapi terpaksa sebab
takut dihukum atau dikata nista oleh rakyat. Dia berlaku zalim,
kejam, bermewah-mewah dan berfoya-foya dengan maksiat dan
kemungkaran.


Kalaupun ada pemimpin yang baik, yakni dia tidak buat
semua itu, tetapi kalau tidak atas dasar taqwa, nescaya dia akan
mencari juga kepentingan diri dan tidak tahan diuji. Dan ini
akan membawa kepada seribu satu macam masalah kepada
dirinya dan kepada rakyatnya. Pemimpin yang tidak bertaqwa
boleh menjadikan rakyat berpecah-belah, bergaduh dan
bersenget hati sesama sendiri. Bahkan di kalangan pemimpin
pun sama, mereka berdendam dan berdengki.
Apakah alasan berlakunya semua ini? Adakah sebab ekonomi
tidak kukuh, sebab kebodohan rakyat, sebab kemajuan
tidak seberapa atau sebab ilmu tidak ada. Sebenarnya semua
ini disebabkan manusia-manusia yang tidak bertaqwa. Kalaulah
masyarakat kita bertaqwa, nescaya Allah akan lepaskan kita dari
sebarang kesulitan dan masalah dan akan menjadikan negara
kita negara yang aman makmur dan mendapat keampunan
Allah SWT.


3. Orang Kaya
Kalau orang kaya tidak bertaqwa maka jadilah hatinya penuh
dengan sombong, ego, suka membazir, riyak, yakni suka menunjuk-
nunjuk, menyalahgunakan harta seperti untuk mengumpan
perempuan cantik, rasuah dan suka berlumba-lumba kekayaan
terutama dengan orang yang sama-sama kaya. Dalam pada itu
masing-masing saling kata-mengata.
Lihatlah hari ini mereka berbangga dengan rumah besar,
kereta besar, harta banyak, perabot mahal dan lain-lain lagi.
Mereka bercuti ke sana bercuti ke sini. Beli barang bukan di
Malaysia tetapi yang diimport dari London, Paris dan sebagainya.
Duit orang kaya lebih banyak daripada duit negara. Walhal
mereka tahu bahawa masyarakat mereka miskin. Tabung
perjuangan Islam sentiasa kosong malah terhutang-hutang.
Negara tidak cukup duit untuk membiayai keperluan rakyat
disebabkan orang kayanya berhati kejam dan sangat membazir.
Dalam keadaan ini sampai bila pun manusia tetap akan berada
di dalam keadaan tidak puas hati. Kecualilah, orang-orang kaya
sanggup menjadi bank kepada rakyat, yang memberi pinjaman
tanpa riba dan tidak minta dibayar di dunia. Sebab mereka
faham bahawa kekayaan mereka Allah yang punya dan ia adalah
pinjaman dari Allah, sekaligus sebagai ujian untuk melihat siapa
yang sedar diri tentang asal-usulnya.

4. Orang Miskin
Orang miskin kalau tidak bertaqwa maka tidaklah selamat
hatinya dari sifat-sifat yang buruk seperti tidak sabar dengan
kemiskinan hingga sanggup mencuri, menyamun, menipu dan
membunuh. Mereka sangat hasad dengki dan sakit hati dengan
orang yang kaya dan berada. Keinginan untuk kaya sangatlah
tebal hingga bila tidak kaya-kaya juga, mereka jadi putus asa
dengan Allah. Hal-hal yang sedemikian itu menyebabkan
berlaku berbagai jenayah dalam masyarakat. Rompak, samun,
seluk saku, ragut dan lain-lain bentuk kecurian menjadi
pekerjaan tetap yang mendatangkan pendapatan yang lumayan.
Hingga kerana itu, ramai manusia hidup dalam ketakutan,
kalau-kalau rumahnya pula dimasuki pencuri.
Padahal tidak sepatutnya perkara-perkara seperti ini berlaku
dalam masyarakat umat Islam. Kerana orang mukmin yang
bertaqwa kalau dia miskin dia redha dengan takdir. Dia tidak
terseksa dengan kemiskinan di dunia demi mengharapkan
kekayaan yang Allah janjikan di Akhirat.


5. Kaum Ibu dan Wanita
Kaum ibu atau wanita kalau tidak bertaqwa maka kerja mereka
ialah mengumpat, bersolek untuk menunjuk-nunjuk pada
orang lelaki, gila dunia yakni gilakan perabot, hiasan, gelang,
pakaian hingga lupa pada Allah dan lupa pada Akhirat. Seorang
isteri yang tidak bertaqwa tidak akan dapat melayan dan
mentaati suami dengan baik disebabkan tidak ada pada mereka
sifat merendah diri pada suami dan sifat memandang mulia
pada suami. Mereka bebas untuk keluar rumah dan menyusun
program sendiri tanpa memikirkan sangat apa kata suami.
Bila kaum ibu berada dalam keadaan begini maka rumah
tangga bukan lagi gelanggang cinta dan kasih sayang di mana
suami terasa seperti berada di dalam sebuah mahligai yang
penuh dengan kebahagiaan dan ketenangan di samping anakanak
yang terdidik dengan kasih sayang, akhlak mulia dan ilmu
yang berguna.


Oleh kerana semua manusia ini inginkan kasih sayang dan
kebahagiaan maka jika rumah tidak dapat menyediakannya,
tentu mereka akan cari kebahagiaan di luar. Lalu terjadilah apa
yang telah dan sedang terjadi. Disko, karaoke dan tempat
manusia mencari kasih dan kebahagiaan secara keji dan haram
itu sering penuh, bahkan merupakan suatu perniagaan yang
sangat menguntungkan. Ada yang menagih kebahagiaan dari
dadah, dari arak dan dari segala hiburan-hiburan yang kotor kotor.
Mereka menyangka itu semualah kebahagiaan hidup,
tidak ada yang lain lagi walaupun mereka sedar bahawa
melakukan semua itu bererti kehinaan dan kebinasaan hidup.


Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya seisi dunia ini adalah perhiasan.
Dan perhiasan yang paling baik ialah wanita (isteri)
yang solehah.” (Riwayat Muslim)


Semua orang tertarik pada perhiasan. Apalagi kalau alat
perhiasan itu adalah sesuatu yang sangat baik. Jadi, kalau dalam
sebuah rumah itu ada wanita solehah maka ahli-ahli rumah itu
akan tertarik untuk sentiasa berada di rumah. Rumah adalah
hiburan dan ketenangan bagi hati-hati mereka.


6. Pemuda dan Pemudi
Kalau pemuda atau pemudi tidak bertaqwa, maka jadilah
mereka manusia yang suka berfoya-foya, bercinta-cintaan,
berlagak ke hulu ke hilir dan menunjuk-nunjukkan diri. Bahkan
mereka sanggup menjadi kutu jalan. Kalau ada kesempatan
mereka akan mengorat tanpa malu bahkan ini sudah jadi
permainan yang lumrah. Rasa iri hati, cemburu dan hasad
dengki sesama sendiri bersarang penuh dalam hati-hati mereka.
Semua dapat kita saksikan dalam lakonan hidup mereka. Mereka
sering berangan-angan, khayal dan lalai dari tugas-tugas
yang sepatutnya. Kes-kes zina di kalangan muda-mudi yang
turut melibatkan pelajar-pelajar sekolah sudah jadi perkara
biasa dan seakan-akan mahu dibiarkan berterusan oleh masyarakat.
Mana ada satu sekolah yang muda-mudinya sedang memperjuangkan
agama, bangsa, negara dan tamadun umat supaya
kita jadi gagah dan mulia di mata dunia. Tidak ada. Yang ada
hanyalah membina budaya lucah, gila harta, gila perempuan,
gila pangkat dan saling berebutan hingga membuatkan jentera
penggerak pembangunan tamadun kita jadi lemah dan lembab.
Mereka tidak bekerja kalau bukan untuk makan gaji. Masa
kosong dibuang di padang bola, bukan memikirkan projek pertanian,
perindustrian dan lain-lain yang sungguh penting untuk
kekuatan umat. Berapa kerat muda-mudi Islam yang dapat
menunaikan sepenuhnya tuntutan sembahyang lima kali sehari
itu? Maka sebanyak itu sajalah dari mereka yang dapat diharapkan.
Selebihnya adalah pengganggu, perosak, pengacau dan
penghalang perjuangan kebenaran.


Muda-mudi yang bertaqwa ialah orang-orang yang serius
terhadap tanggungjawab pada agama, bangsa dan negara.
Mereka menyediakan tenaga, masa, fikiran dan semangat untuk
tugas sebagai khalifah Allah di dunia. Mereka sanggup tinggalkan
budaya liar, berfoya-foya, berlepak dan berlagak serta bergaya
tidak menentu.


Begitulah jauh bezanya antara umat yang bertaqwa dan
tidak bertaqwa. Kalaulah kita dapat capai maqam ini, insya-
Allah negara kita akan menjadi negara yang aman makmur
seperti yang kita laungkan dan idam-idamkan dan sebagaimana
yang difirmankan oleh Allah SWT:
Maksudnya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.”
Minda Guruku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin