السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Untuk kita mendidik nafsu, payah sekali. Jarang kita ambil berat pada nafsu kita. Kita tidak peduli pun.Bahkan kita selalunya mengikut sahaja nafsu kita.
Kerana itulah kita selalu terbuat dosa. Kerana itulah kita selalu melanggar perintah Tuhan. Walhal, Tuhan sudah memberitahu di dalam Al-Quran, nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.
Lebih berat daripada itu,Tuhan mengingatkan kita, “Tidakkah kamu lihat
orang-orang yang mengambil nafsu sebagai Tuhan mereka”. Maksudnya,
pada sesetengah orang, nafsu sudah jadi Tuhan mereka. Mereka bertuhankan nafsu dan mengikut apa sahaja telunjuk nafsu.Datangnya Ramadhan adalah program Tuhan untuk mendidik nafsu kita. Itulah kasih sayang Tuhan kepada kita.Seolah-olah Tuhan paksa kita melalui Ramadhan ini supaya kita baikkan nafsu kita.
Kita berpuasa supaya nafsu kita terdidik seterusnya menjadi orang bertaqwa.Itulah yang Tuhan kehendaki, “...kamu berpuasa moga-moga kamu menjadi orang bertaqwa” Namun, semuanya atas kita. Untuk melalui Ramadhan ini, kenalah bersungguh-sungguh. Kalau tak bersungguh, program Tuhan ini berlalu begitu sahaja. Program Tuhan ini tak akan mendatangkan hasil untuk kita. Takut-takut kita menjadi orang yang merosakkan program Tuhan. Maksud bersungguh itu ialah sungguh-sungguh melawan nafsu.Inilah yang dikatakan mujahadah. Bukan sahaja nafsu makan minum yang perlu dilawan pada waktu berpuasa.Tetapi nafsu yang melibatkan anggota lahir seperti mulut, tangan, kaki, telinga dan mata.
Bila nafsu kita jahat, dia gunakan anggota badan kita untuk buat perkara yang berlawan dengan kehendak Tuhan. Kenalah kita sungguh-sungguh menahan anggota badan ini daripada membuat jahat. Mulut sebagai contoh, yang mengeluarkan kata-kata; jangan dibiarkan menyakiti hati orang lain. Tahan ia daripada terus-terusan mengumpat dan memfitnah. Tangan pula, usahakan tidak mengambil harta orang lain tanpa kebenaran.
Begitulah seterusnya untuk anggota-anggota lain. Jadi, bila nafsu itu dapat kita lawan sungguh-sungguh di bulan Ramadhan ini, barulah progam Tuhan itu dapat berlaku pada kita. Barulah nanti kita akan jadi “orangbaru” di penghujung Ramadhan. Itulah ertinya “aidilfitri” kepada kita. Kerana aidil fitri itu bermaksud kembali kepada fitrah. Bila nafsu sudah terdidik,fitrah jadi bersih. Fitrah kita akan kembali kepada asal sepertimana bayi baru lahir yang bersih fitrahnya. Inilah tuntutan Ramadhan. Inilah yang sebenarnya harus kita fahami dalam puasa kita. Jika tidak, kita sekadar membenarkan kata-kata Rasulullah,betapa ramai orang yang berpuasa, tetapi sekadar mendapat lapar dan dahaga. Sekian.
Minda Guruku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan