Isnin, 10 Ogos 2009

Erti Sekular Atau Sekularisme

Foto: Oleh evissa

Saya tidak perlu membahas dan memperkatakan tentang erti
perkataan sekular ini dari sudut sejarah, siapakah tokoh yang
menuturkannya lebih dahulu, di zaman bila dan mengapa timbul
perkataan ini kerana itu semua tidak penting bagi kita.

Apa yang penting bagi kita, sebagai pegangan dan panduan
agar kita tidak terjebak oleh faham sekular atau sekularisme ini
ialah pengertian sekular itu sendiri mengikut pandangan Islam.
Oleh itu perbahasan secara falsafah serta merujuk kepada sejarah
dan tokoh-tokoh yang memperkatakan perkataan itu, tidak perlu
kita bawa di sini. Ditakuti artikel ini terlalu panjang. Jadi kita
hanya ambil yang perlunya sahaja untuk menjadi pegangan kita
bersama. Agar di dalam kehidupan kita, walaupun di dalam
bidang apa pun, kita tidak terjebak atau menempuh jalan sekular
ini.

Sekarang marilah kita menghurai faham sekular ini mengikut
pandangan Islam.
Faham sekular ialah mengendalikan urusan kehidupan di
dunia secara terpisah daripada agama, ia tidak ada hubungan
dengan Tuhan atau tidak ada hubungkait dengan Akhirat. Terpisah
ini tidak kira sama ada di bidang ekonomi, politik, pendidikan,
pentadbiran, kebudayaan, perhubungan dan lain-lain
lagi. Dengan kata-kata yang lain, faham sekular itu ialah faham
keduniaan semata-mata. Ia tidak ada sangkut paut dengan
Akhirat.

Ertinya, bagi orang yang berfaham sekular, hidup di dunia
ini hanya habis di dunia. Kalau untung pun hanya berlaku di
dunia. Kalau rugi pun hanya berlaku di dunia. Sama ada susah
atau senang, hanya di dunia. Ia tidak akan dipersoalkan lagi di
Akhirat. Dosa dan pahala tidak masuk kira di sini kerana
kehidupan itu hanya di dunia semata-mata.

Di dalam faham sekular, syariat tidak diambil kira. Syariat
tidak ada tempat dalam kehidupan. Tuhan tidak campur tangan
di dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian manusia
boleh buat apa sahaja. Yang penting mendapat untung. Yang
diperlukan adalah pembangunan dan kemajuan. Yang mustahak
mendapat kemenangan dan kejayaan walau apa cara sekalipun.
Walau terpaksa menghalalkan cara. Halal dan haram jangan
difikirkan. Pantang larang jangan diambil kira.

Mengikut fahaman sekular, dunia bukan jambatan untuk
Akhirat atau bukan tanaman untuk Akhirat. Segala apa yang
berlaku di dunia ini hanya habis di dunia semata-mata. Tidak
timbul soal dosa dan pahala dalam faham sekular. Tidak ada
kehidupan di Akhirat atau tidak ambil pusing kehidupan di
Akhirat. Kalaupun percaya dengan hari Akhirat, tetapi acuh
tidak acuh. Seolah-olah Akhirat itu hendak dilupakan atau tiada.
Bahkan sesetengah orang tidak senang dengan kehidupan
Akhirat. Sebut sahaja Akhirat, hati benci, mulut mencemik.
Orang yang menyebut Akhirat dirasakan kolot dan sudah
ketinggalan zaman.


GOLONGAN-GOLONGAN SEKULAR
Setelah kita menghurai dan membahaskan erti faham sekular
atau sekularisme maka di sini kita faham bahawa mereka yang
berfaham sekular itu boleh dibahagi kepada beberapa kategori.
Di antaranya seperti berikut:

1.
Golongan yang berfaham sekular sejati (pure)
Golongan yang tidak percaya langsung adanya Tuhan dan
adanya kehidupan Hari Akhirat. Agama dianggap candu
kepada manusia. Ia adalah bikinan manusia. Wujudnya
alam ini adalah secara nature atau semula jadi. Orang atau
golongan yang berpegang dengan faham ini adalah orang
yang berfaham komunis, atheis atau free thinker. Golongan
ini adalah orang yang berfahaman sekular yang sejati atau
yang pure.

2.
Golongan orang-orang yang berfaham sekular yang tersesat
Golongan orang-orang kafir yang percaya dengan Tuhan,
dengan hari Akhirat dan percaya dengan agama tetapi tidak
kenal Tuhan. Keyakinannya dengan hari Akhirat tidak
tepat. Agamanya tersesat. Kehidupan dunianya terpisah
dari agama. Dalam urusan kehidupan di dunianya, seolaholah
Tuhan tidak campur tangan. Inilah golongan faham
sekular yang tersesat.

3.
Golongan orang-orang Islam yang yakin dengan wujudnya
Tuhan
Golongan orang-orang Islam yang yakin dengan wujudnya
Tuhan dan pengenalannya tentang Tuhan tepat. Percaya
dengan hari Akhirat secara tepat. Namun Islamnya hanya
di sudut ibadah. Persoalan kehidupan seperti ekonomi,
politik, pendidikan, perjuangan dan lain-lain tidak boleh
dicampur aduk dengan Islam kerana kejahilan. Syariat Islam
tidak ada tempat di dalam kehidupan kecuali di sudut
ibadah sahaja. Selain ibadah, mereka boleh menerima apa
sahaja pandangan ideologi atau akal fikiran. Itulah golongan
sekular disebabkan fasik.

4. Golongan sekular disebabkan zalim
Orang Islam seperti golongan ketiga tadi tetapi yakin
bahawa Islam itu adalah agama yang syumul. Ia adalah agama
seluruh kehidupan. Islam adalah agama ibadah, agama
politik, agama pentadbiran, agama ekonomi, agama pendidikan
tetapi mungkin kerana takut dengan golongangolongan
tertentu, atau tidak sanggup menerima risiko yang
berat, kerana kepentingan peribadi atau kerana malu dan
takut dituduh kolot maka berlakulah syariat Islam ditinggalkan
melainkan di sudut ibadah. Di aspek-aspek kehidupan
yang lain, syariat Islam tidak menjadi disiplin dan
peraturan. Inilah golongan sekular disebabkan zalim.

5.
Golongan sekular yang tertukar nawaitu
Orang Islam yang mengerjakan ibadah, berjuang, ber
ekonomi, berpendidikan, berdakwah, berpolitik, berhubung
dan lain-lain lagi walaupun mengikut syariat tetapi bukan
kerana Allah Taala. Semua itu dibuat kerana riyak, ujub,
nama, glamour, pangkat, wang ringgit, sama ada disedari
atau tidak. Oleh kerana itu pahalanya tidak sampai di Akhirat.
Itulah golongan sekular disebabkan tertukar nawaitu
atau niatnya.

6.
Golongan sekular yang disebabkan adanya unsur-unsur
sekular atau mementingkan dunia
Golongan yang lebih halus lagi daripada itu ialah apabila
seseorang Islam itu, segala usaha-usahanya mengikut syariat
tetapi oleh kerana terlalu membesarkan kehidupan dunia
daripada kehidupan Akhirat, dia tidak sanggup mengeluarkan
zakat lalu menjadi bakhil. Dia tidak suka membuat
kebaikan, tidak suka menolong orang, tidak suka bersedekah,
suka mengumpul harta sahaja dan menjadi tamak.
Itulah golongan sekular disebabkan adanya unsur-unsur
sekular atau mementingkan dunia.

Begitulah erti faham sekular atau sekularisme mengikut
pandangan Islam yang saya faham secara ringkas. Jadi faham
sekular ini hanya mementingkan dunia semata-mata. Percaya
dengan hari Akhirat tetapi tidak mengambil berat terhadap
Akhirat. Sengaja melupa-lupakan atau acuh tidak acuh dengan
Akhirat kerana hati telah terpaut dengan kehidupan dunia.
Apatah lagi kalau seseorang itu tidak percaya langsung dengan
hari Akhirat. Kehidupan itu hanya di dunia semata-mata. Lebih lebih
lagilah orang itu berfaham sekular yang sejati atau orang
yang berfaham keduniaan yang benar-benar pure.
Oleh yang demikian di akhir zaman ini, majoriti penduduk
dunia ini berfaham sekular. Sama ada mereka berkeyakinan
bahawa kehidupan ini hanya habis di dunia atau yang masih
yakin dengan kehidupan di Akhirat tetapi dari segi hati dan
sikapnya, dia lebih mementingkan kehidupan di dunia dari
kehidupan Akhirat.


Di sini jugalah bahawa umat Islam pun telah ramai yang
menganut faham ini. Kalau tidak berfaham sekular yang tulen
pun setidak-tidaknya tempias-tempiasnya telah menyerang
umat Islam. Di sinilah rahsianya mengapa umat Islam tidak
boleh bersatu. Hati umat Islam telah dirosakkan oleh faham
sekular atau faham sekularisme.

Sekianlah pandangan saya ini. Kalau ada kebenarannya,
maka ia adalah daripada Allah Taala yang Maha Mengetahui.
Kalau ada salah dan silapnya maka ia adalah daripada kelemahan
saya sendiri
Minda Guruku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin