Rabu, 17 Jun 2009

Sembahyang Adalah Berat

Sembahyang lima waktu itu kalau dipandang sepintas lalu secara lahirnya tidaklah berat sangat kerana bacaan-bacaannya tidaklah terlalu panjang dan menyusahkan menghafalnya. Masa untuk mengerjakannya pun tidak memakan masa terlalu lama, setakat 15 - 20 minit sahaja. Di antara satu waktu ke satu waktu ada ruangan-ruangan untuk rehat atau bekerja dan boleh pula dikerjakan di mana-mana sahaja ada kesempatan. Tidak mesti dikerjakan di masjid. Tidak memerlukan wang yang banyak. Bahkan di dalam pengalaman mengerjakan sembahyang tidaklah sampai meletihkan dan menyusahkan.

Tapi mengapa Allah Taala menyatakan melalui Al Quran bahawa sembahyang itu adalah besar iaitu sangat berat.Maksudnya: Sesungguhnya (sembahyang itu) adalah amat berat kecuali bagi orang yang khusyuk. (Al Baqarah: 45)
Khusyuk yang dimaksudkan di sini ialah orang yang mukmin yang jiwa tauhidnya mendalam, hingga dengan itu jiwa dan perasaan kehambaannya begitu kuat iaitu rasa bertuhan itu benar-benar memenuhi hati dan perasaan mereka dan rasa itu tidak lekang hingga dibawa ke mana-mana.

Hamba Allah yang seumpama ini rasa cintanya dengan Tuhan atau rasa takut dengan Tuhan menguasai fikiran, jiwa dan perihal mereka. Maka sudah tentulah mereka itu mudah mengerjakannya serta dapat melaksanakan kehendak-kehendak sembahyang itu di dalam kehidupan mereka. Bahkan mereka rindu dengan sembahyang, seronok mengerjakannya kerana dengan bersembahyang itu mereka dapat bercakap-cakap dengan Tuhan,mengadu, meminta-minta, mengharap-harap, membesarkan,mensucikan, memuja, merindui, melepaskan segala perasaan yang terbuku iaitu memohon ampun dan maaf.

Mereka yang hatinya khusyuk itu, memang sembahyang itu sentiasa ditunggu-tunggunya, dari satu waktu ke satu waktu.Di dalam istilah Islam dikatakan muraqobah. Kerana itulah mereka, oleh sebab tidak sabar hendak bercakap-cakap dengan Tuhan di dalam ibadah sembahyang yang fardhu, mereka membanyakkan sembahyang sunat. Di sanalah mereka meluahkan rindu dan segala perasaan hati. Mereka rasa senang dan tenang selepas sembahyang kerana segala pengaduan telah dipanjatkan kepada Tuhan.

Walau bagaimanapun bercampur rasa bimbang itu memang ada, ditakuti sembahyang tidak diterima, permohonan tidak dikabulkan, pengiktirafan (pengakuan, ikrar, sumpah) dianggap dusta.

Beratnya Ada Tiga Peringkat. Bagi orang Islam yang hatinya tidak khusyuk iaitu hubungan hati dengan Tuhan tidak kuat atau terputus sama sekali, sudah tentulah rasa bertuhan tidak wujud. Kesedaran bertuhan itu tidak ada di dalam fikiran dan jiwa mereka. Kalau begitu sudah tentulah rasa cinta atau takut dengan Tuhan tidak ada.

Orang Islam yang begini sudah tentulah terasa berat mengerjakan sembahyang. Terasa terbeban dengan sembahyang. Orang begini tidak akan hendak menunggu-nunggu sembahyang. Selain sembahyang fardhu, lebih-lebih lagilah.Apabila khusyuk dengan Tuhan tidak ada, sudah tentu ada perkara lain yang kita jiwai dan hayati. Ada perkara lain yang kita besarkan dan agungkan.

Ada perkara lain yang mendarah mendaging yang menjadi otak dan jiwa kita. Mungkin banyak,mungkin sedikit. Mungkin harta kekayaan, anak isteri, jawatan dan pangkat, glamour dan nama. Bahkan mungkin juga kesusahan yang menimpa kita itu yang menjadi otak dan jiwa kita.Ertinya kesusahan itulah yang menghantui dalam fikiran dan jiwa kita. Mungkin semuanya sekali.Orang yang begini sikapnya sudah tentu amat berat dengan sembahyang. Susah dengan sembahyang. Sembahyang dirasakan beban yang berat, sembahyang mengganggu kehidupan mereka. Oleh yang demikian sudah tentu tidak larat membuatnya.Atau kalaupun dibuat, hatinya tidak sembahyang. Di dalam sembahyang dia akan ingat perkara yang dijiwainya. Fizikal atau jasadnya sembahyang, fikiran dan hatinya tidak bersembahyang.

Berat Peringkat Pertama - Sebelum Mengerjakan
1. Apabila Tuhan tidak dijiwai atau rasa bertuhan sudah lemah, waktu bekerja sudah tentu sayang hendak meninggalkan kerja. Tertinggallah sembahyang atau qadha saja. Ketika mengerjakan sembahyang terseksa rasanya.

2. Apabila sedang bersuka ria dengan anak isteri dan mereka itulah yang dijiwai, maka berat pula hendak mengerjakan sembahyang. Tertinggal sembahyang atau melewat-lewatkannya.Kalau buat pun tidak dari hati.

3. Apabila sedang bermesyuarat yang kita jiwai dan pandang besar maka sembahyang dipandang kecil. Tertinggal sembahyang atau qadha sahaja. Dan sudah tentu tidak khusyuk kerana hati bukan pada sembahyang.

4. Apabila sedang berkelah dan berseronok-seronok dengan kawan-kawan dan pemandangan yang kita jiwai, sudah tentulah sembahyang tidak diambil kira, tinggal terus atau qadha saja.

5. Apabila sibuk dengan kenduri-kendara, kita jiwai kenduri itu, sembahyang dilupakan terus atau qadha saja. Itupun terasa terpaksa.

6. Waktu musafir lebih-lebih lagilah badan letih, pemandangan dan apa saja yang dirasa dan dilihat mempesona. Hendak mengerjakan sembahyang tentulah berat. Tinggalkan saja atau qadha. Waktu membayarnya tidak dari hati. Hendak cepat-cepat saja.

7. Apabila jiwa bertuhan tidak ada atau lemah, kalaupun boleh bermujahadah dapat juga mengerjakan sembahyang tapi terasa sangat terlalu berat maka sembahyang tidak dapat dijiwai. Sembahyang pun hendak cepat-cepat saja.

Lebih-lebih lagilah terasa berat hendak melaksanakan ikrar dan tuntutan sembahyang itu di luar sembahyang. Sudah tentu tidak boleh menunaikannya. Kerana Tuhan dan syariat Tuhan itu belum kita jiwai lagi. Kalau begitu tidak hairan orang yang mengerjakan sembahyang masih terlibat dengan maksiat dan kemungkaran seperti tipu, rasuah, zina, curi, merompak, pergaulan bebas lelaki perempuan, menzalim, judi, dedah aurat dan juga tidak hairanlah orang yang bersembahyang akhlaknya masih rosak seperti memfitnah, mengumpat, menghina, berdusta, mengadu domba, bercakap kotor dan lucah, bakhil, tamak, pemarah,sombong, riyak, suka nama dan glamour.

Walaupun mereka bersembahyang hakikatnya mereka tidak bersembahyang.Jadi jelaslah bahawa bagi orang yang tidak khusyuk iaitu yang tidak berjiwa tauhid, hanya setakat berfikiran tauhid sahaja sudah tentulah amat berat dengan sembahyang kecuali bagi orang yang khusyuk. Maksudnya: Sesungguhnya (sembahyang itu) adalah amat berat kecuali bagi orang yang kusyuk. (Al Baqarah:45)Apakah yang selalu diingat oleh orang yang tidak khusyukdalam sembahyang? Orang yang tidak khusyuk sembahyang, mereka merasa berat dengan sembahyang sekalipun dapat dibuatnya. Tapi apakah yang mereka ingat dalam sembahyang?Iaitu setiap yang mereka khusyukkan. Ertinya setiap perkara yang mereka jiwai dan cintai atau yang mereka besarkan dan ambil berat.

Itulah yang ringan diingat atau mudah diingat.Ingatan itulah yang akan datang di dalam sembahyang menggantikan rasa bertuhan, menggantikan menjiwai segala bacaan, seperti hal-hal pekerjaan di pejabat akan datang dalam sembahyang, kisah anak isteri akan datang di dalam sembahyang, kawan-kawan pacaran kita itu yang akan datang di dalam sembahyang. Urusan persekolahan akan datang di dalam sembahyang.

Mengira-ngira duit, rugi untung akan datang dalam sembahyang. Setiap kesusahan, kegembiraan dan kegemaran kita itu yang datang dalam sembahyang. Dendam kesumat dengan orang itu akan datang di dalam sembahyang.Walhasil setiap apa saja yang kita jiwai di dalam kehidupan kita sama ada yang menggembirakan mahupun yang menyusahkan jika kita jiwai (khusyuk) maka itulah yang akan datang di dalam sembahyang.

Berat Peringkat Kedua- Di Dalam Sembahyang.
Katalah seseorang itu boleh juga mengerjakan sembahyang sama ada di awal waktu atau di akhir waktu atau qadha sama ada sembahyang berseorangan atau berjemaah. Apabila jiwa tauhid lemah atau rasa bertuhan sudah tidak ada, ertinya rasa khusyuk dengan Tuhan sudah tidak ada maka dia mengerjakan sembahyang itu rasa terpaksa, berat, jemu, sembahyang hendak cepat sahaja dan gopoh-gapah.

Dia tidak bersabar, tidak berlambatlambat dan bertenang-tenang, lebih-lebih lagi tidak sabar hendak memahami dan menghayati setiap perkataan dan lafaz yang dibaca. Akhirnya dia membaca tanpa roh dan jiwa.

Tarikan dunia lebih mempengaruhi jiwa dan fikiran, maka pada waktu itu yang mudah datang ialah kerja dunia kita, urusan dunia kita, mengingat-ingat nasib kita apakah yang akan berlaku di dunia ini.Maka melayang-layanglah fikiran kita, kosonglah jiwa kita daripada mengingati Allah Taala di waktu sembahyang itu.

Oleh kerana itulah mengerjakan sembahyang terasa penat, berat dan menjemukan kecuali orang yang khusyuk.Kalaulah tidak dipupuk lagi jiwa tauhid, lama-kelamaan boleh berhenti bersembahyang. Lebih-lebih lagi setelah bertambah sibuk dengan kerja dan urusan dunia atau melayan orang ramai kerana urusan dunia yang sementara ini.


Berat Peringkat Ketiga - Menunaikan Ikrar Dan Tuntutan Sembahyang
Peringkat ketiga ini adalah menunaikan ikrar dan tuntutan di dalam sembahyang. Ini lebih-lebih lagi amat berat untuk melaksanakannya.Sebagaimana yang kita maklum bahawa waktu kita mengerjakan sembahyang itu berbagai-bagai janji dan ikrar telah kita buat di hadapan Tuhan.

Di antara ikrar dan janji kita itu adalah kita berikrar menyembah dan meminta pertolongan dengan-Nya, membesarkan-Nya, meminta kepada-Nya ditunjukkan ke jalan yang lurus (benar) iaitu jalan-jalan para rasul,bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan sesat.

Berjanji ingin hidup mengikut syariat Tuhan di dalam segala hal dan perilaku, di dalam seluruh sistem kehidupan; bermasyarakat, berekonomi,berhubung, berpolitik, bernegara, mentadbir dan lain-lain lagi.Di dalam sehari semalam lima kali kita berikrar dan berjanji kepada Tuhan. Setiap kali bersembahyang kita berikrar dan berjanji lagi. Ikrar dan janji yang sama.

Begitulah diulang-ulang kita berjanji kepada Tuhan. Bagi orang yang khusyuk kepada Tuhan iaitu yang berjiwa tauhid, amat takut dan bimbang sungguh. Justeru itulah mereka selepas sembahyang bersungguh-sungguh mengendalikan kehidupan di dalam semua aspek mengikut Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Di dalam menunaikan janji itu mereka tetap takut.

Di dalam bersungguh-sungguh melaksanakan janji di dalam seluruh kerja dan usaha mereka, namun mereka sentiasa bimbang kalau-kalau janji tidak dapat ditunaikan. Begitulah sikap orang yang khusyuk.Berlainan sekali bagi orang yang tidak khusyuk atau orang yang tidak berjiwa tauhid. Janji hanya tinggal janji. Di dalam sembahyang, berdusta selalu dengan janji. Setiap kali berjanji di dalam sembahyang kemudian berbohonglah di luar.

Sembahyang orang yang tidak khusyuk selalu saja mengkhianati janji dengan Tuhannya. Sudahlah begitu, iaitu janji kepada Tuhan tidak ditunaikan, namun tidak pernah merasa takut, bimbang,kesal, bahkan melupakan begitu saja perbuatan tidak menunaikan janji itu. Tidak seperti orang yang khusyuk yang walaupun sudah sungguh-sungguh menunaikan janji kepada Tuhan,namun hatinya sentiasa takut kepada Tuhan.

Seolah-olah merasakan belum menunaikan janjinya.Mereka yang tidak khusyuk terasa berat hendak menunaikan janji kepada Tuhan kerana pautan dengan Tuhan sudah tidak ada atau sudah tipis. Tarikan kepada Tuhan telah lemah. Justeru itu tarikan dunialah yang merangsang mereka.

Oleh yang demikian melaksanakan kehendak-kehendak nafsu dan syaitan itulah yang ringan bagi mereka memperjuangkannya. Kehendak Allah Taala walaupun telah berjanji, itu sangat berat untuk diperjuangkannya. Oleh yang demikian tidak hairanlah berjanji hendak menyembah dan membesarkan Tuhan, tetapi dalam kehidupan menyembah dan membesarkan harta, betina, pangkat,pemimpin, bintang filem.

Berjanji hendak hidup di dalam semua aspek kehidupannya mengikut syariat Tuhan, tetapi yang diikut ialah fikiran, ideologi, isme, teori akal. Mereka yang tidak khusyuk, sembahyang tidak ada hubungan dengan kehidupan, tidak ada hubungan dengan masyarakat, ekonomi, politik, kebudayaan,perlembagaan negara dan lain-lain.
Apabila Meninggalkan Sembahyang.

Sembahyang adalah ibu segala ibadah. Cara ibadah yang paling lengkap untuk hamba-Nya merasakan rasa bertuhanan dan agar hamba-hamba-Nya dapat melahirkan sifat-sifat kehambaan, masa pembaharuan iman dan ikrar kepada Tuhan. Oleh yang demikian, apabila seseorang hamba itu tidak mengerjakan atau meninggalkan sembahyang maka mereka boleh dianggap sebagai berikut:

1. Dia telah melakukan sombong yang paling besar, iaitu sombong kepada Tuhan yang menciptanya, menghidupkannya dan memberi nikmat kepadanya.

2. Dia seolah-olah tidak mengaku bahawa Allah Taala itu adalah Tuhannya.

3. Orang yang meninggalkan sembahyang, orang yang sudah terputus hubungannya dengan Allah Taala iaitu telah putus asa dengan Tuhan dan terputus dari rahmat-Nya.

4. Orang yang tidak bersedia berikrar atau membaharui ikrar agar hidup matinya untuk Allah Taala.

5. Orang yang tidak bercita-cita, beriman dan membaiki jiwanya dan dirinya.

6. Orang yang tidak lagi mengharap kepada Tuhan.

7. Orang yang tidak bersembahyang ertinya isytihar perang dengan Tuhan.

Begitulah keadaannya. Munasabahlah siapa yang meninggalkan sembahyang menjadi kafir.

Minda Guruku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin