Jumaat, 26 Jun 2009

Pelajar Dibelasah 4 Senior

Pelajar dibelasah 4 senior

Oleh ZAMZURINA AHMAD utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN 25 Jun - Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga dibelasah empat senior mereka sambil disaksikan 80 pelajar lain di sebuah sekolah agama di Rompin, kira-kira pukul 1 pagi, semalam.
Kejadian berlaku di surau sekolah berkenaan menyebabkan mangsa, Mohd. Ashraf Abdul Aziz, 15, pengsan selain mengalami lebam di muka, badan dan lengan.
Menurut abang ipar mangsa yang enggan dikenali, ketika kejadian, mangsa baru sahaja selesai menunaikan solat sunat witir bersama beberapa pelajar lain.
"Sebaik selesai solat, empat pelajar yang berusia dalam lingkungan 16 dan 17 tahun itu segera menutup lampu dan membelasah mangsa sambil disaksikan pelajar lain.
"Mangsa yang cedera dihantar ke sebuah klinik swasta di Rompin oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, sebaik perkara itu diketahui oleh keluarganya, ibu mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Rompin.
"Namun, setelah keluarga mangsa berbincang bersama pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), laporan itu ditarik balik," ujarnya.
Berikutan itu, tambahnya, mangsa yang mengalami trauma bercadang untuk bertukar ke sekolah lain di Temerloh.
Sementara itu, Pengetua sekolah berkenaan, Nasiruddin Mohamed Yusof memberitahu, keempat-empat pelajar tingkatan empat dan lima itu telah dibuang asrama berikutan kejadian tersebut.
"Isu itu melibatkan pelajar dengan pelajar dan pihak sekolah telah mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah dalam kes ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Zainol Mujahidin Mat Yudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut semalam.
Beliau berkata, bagaimanapun tiada siasatan dijalankan berikutan telah dapat diselesaikan antara dua belah pihak.




Komen dari Saya:

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Bismillahir rahmanir rahim


Bukan pertama kali kita mendengar berita sebegini. Bagi sesetengah orang macam dah biasa sangat dengar kisah-kisah membuli macam ni. Sedih sangat. Dimanakah silapnya?. Berlaku di sekolah agama pulak tu.

Sepatutnya sekolah Agama menjadi contoh kepada sekolah-sekolah yang lain. Kalau nak dikatakan kurang didikan agama namapun dah sekolah agama. Tak sikit ilmu agama yang diberikan oleh Ustaz dan Ustazah tu.

Sebenarnya itulah bukti-bukti yang Tuhan nak tunjukkan kepada kita semua bahawa ilmu agama semata-mata tidak akan menjadikan anak-anak kita insan yang mulia akhlaknya.

Ilmu agama yang disampaikan hanya akan menjadi santapan akal semata-mata.

Selagi tidak diberi didikan Roh atau jiwa, imu-ilmu agama yang ada diakal tidak akan dapat dihayati sepenuhnya. Pendidikan hari ini sepatutnya meletakkan pembangunan roh dan pembangunan insan sebagai keutamaan didalam sukatan pelajaran mereka.

Proses membaiki diri dan mujahadatunnafs ( melawan hawa nafsu) hendaklah menjadi agenda utama dalam pendidikan. Lihatlah contoh bagaimana Rasullullah SAW melaksanakan proses pendidikan. Aspek pendidikan jiwa yang Baginda utamakan. Baginda menanamkan Rasa Bertuhan, Rasa Kehambaan, membuang sifat mazmumah (terkeji) dan menanamkan sifat mahmudah (terpuji). 13 tahun Baginda menanamkan aspek kenalkan Tuhan sungguh-sungguh didalam jiwa dan dihayati bukannya diakal. Kita sekarang hanya memperkenalkan Tuhan kepada anak-anak hanya di akal, hanya menjadi santapan akal bukan dijiwa atau roh, sebab itu anak -anak kita tak takutkan Tuhan, tidak merasa diri itu Tuhan perhatikan atau awasi, hanya ingatkan Tuhan ketika bersembahyang bukan diluar sembahyang.

Marilah kita bersama membuat anjakan paradigma dengan memberi penekanan kepada pembangunan roh didalam pendidikan. Suarakanlah dan cadangkanlah kaedah ini kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pendidikan agar generasi kita selepas ini akan menjadi mukmin sejati yang Allah redhai didunia dan akhirat. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin