Jumaat, 26 Jun 2009

Ajarlah Anak Bercakap Dengan Tuhan

" Menanam Jiwa Tauhid Sedari Kecil "

Pada zaman dahulu, ada tiga orang sahabat telah terperangkap dalam gua ketika mencari tempat berlindung. Apabila mereka masuk sahaja ke dalam gua tersebut, sebuah batu besar telah bergolek dan menutup pintu gua itu. Setelah puas berikhtiar, mereka kemudiannya berpakat untuk meminta doa kepada Tuhan dengan bersandarkan kepada amalan kebaikan yang ada pada mereka. Akhirnya batu besar itu dapat ditolak oleh mereka dan mereka pun terselamat. Salah seorang daripada mereka itu ialah seorang lelaki yang menceritakan amalannya terhadap ibu bapanya. Lelaki itu seorang yang miskin, tetapi dia tetap memelihara kedua ibu bapanya yang telah tua. Dialah yang mencari rezeki setiap hari untuk keluarga dan ibu bapanya itu.

Suatu hari, walaupun setelah puas berusaha mencari rezeki, lelaki itu hanya memperolehi semangkuk susu. Sampai di rumah, ibu bapanya sedang tidur. Lelaki itu menunggu kedua orang tuanya bangun untuk memberi susu itu kepada mereka. Anak-anaknya yang kelaparan bergantungan di tepi jubahnya merengek-rengek meminta susu tersebut. Lelaki itu tetap menunggu kedua ibu bapanya bangun dan meminum susu itu terlebih dahulu, kemudian barulah mereka akan minum susu yang selebihnya. Itulah amalan seorang anak soleh yang mendapat perhatian Tuhan, iaitu mengutamakan ibu bapanya lebih daripada diri dan keluarganya.

Dalam zaman moden ini, kisah seperti ini ibarat sebuah kisah dongeng sahaja. Adalah mustahil kita boleh mencari seorang anak soleh seperti ini pada zaman sekarang. Yang selalu kita dengar dan kita baca ialah kisah anak-anak yang degil, yang nakal, yang terlibat dalam pelbagai salah laku serta jenayah. Anak-anak yang "super" sekalipun yang ada pada zaman ini hanya setakat boleh memberikan ibu bapanya keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Bila mereka besar, mereka hanya boleh jadi "orang biasa" yang sekadar dapat memberikan kemewahan kepada ibu bapa dan keluarganya.

Mereka tidak dapat menzahirkan akhlak "super" yang telah menghiasi peribadi orang-orang soleh satu ketika dahulu. Mengapa ini terjadi? Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan ialah kerana kita tidak berjaya menanamkan iman dalam diri anak-anak . Menanamkan iman dalam diri anak-anak bukan setakat menghantar mereka ke sekolah-sekolah agama, atau mengajar mereka 6 rukun iman. Itu baru mengajar, belum menanamkan iman lagi.

Menanamkan iman memerlukan proses yang jauh lebih mendalam dari itu. Di antara proses yang paling utama untuk menanamkan iman ini ialah menanamkan rasa bertuhan dalam diri anak-anak. Setelah anak-anak diajar tentang sifat-sifat Tuhan, kita perlulah mengasaknya dalam diri anak-anak sehingga mereka benar-benar dapat rasakan sifat-sifat Tuhan itu.

Cara paling mudah untuk melakukannya ialah dengan mengajar dan mengajak anak berhubung dan bercakap-cakap dengan Tuhan dalam setiap keadaan Tetapi sebelum itu, anak perlu difahamkan SIAPA itu Tuhan. Kalau masalah itu ialah masalah yang memerlukan pergantungan, contohnya dia perlukan wang yang lebih untuk peralatan sekolah, ajak anak supaya dia boleh menganggap Tuhan itulah sebenar-benar ibu dan ayahnya (maksudnya, termpat pergantungan yang sebenar-benarnya). Datangkan hujah-hujah kepada anak, misalnya:

· walaupun kita sebagai ibu yang melahirkannya, tetapi hakikatnya Tuhanlah menciptakan dirinya daripada tiada kepada ada dan memberikan nyawa.

· Kalau ayah pula bekerja keras mencari rezeki untuk keluarganya, maka hakikatnya Tuhanlah yang mengurniakan rezeki itu. Tuhanlah yang menciptakan ayahnya, menyihatkan dan memberi tenaga kepadanya sehingga dia boleh bekerja untuk mencari rezeki. Oleh itu, tempat pergantungan dan tempat meminta sebarang hajat hanyalah kepada Tuhan yang benar-benar berkuasa.

· Begitu juga, ajaklah anak supaya dia boleh menganggap yang Tuhan itulah sebenar-benar kawan di waktu dia dilanda masalah kesunyian, difitnah atau disalah sangka oleh kawan. Dialah kawan yang paling setia. Di setiap waktu, Tuhan akan mendengar aduannya dan Tuhanlah penyelesai segala masalah. Kalau kawan ada had masa untuk dia berjumpa, dengan Tuhan tidak ada had masa. Kalau dengan kawan, perlu dia berjumpa di sesuatu tempat, dengan Tuhan, dia tidak perlukan tempat untuk berjumpa. Kalau kadang-kadang kawan tidak mahu atau tidak mampu melayan kerenahnya, Tuhan sentiasa bersedia untuk melayan kerenahnya. Tuhan tidak pernah salah sangka kerana Dia Maha Tahu segala-galanya. Tuhan juga adalah kawan yang paling jujur dan setia kerana Tuhan tidak pernah menganiaya hamba-hamba-Nya.

· Seterusnya, ajaklah anak supaya dia boleh menganggap yang Tuhan itulah raja yang paling berkuasa sewaktu dia takut menegakkan kebenaran (seperti takut cikgu marah kerana minta keluar kelas untuk sembahyang), atau menganggap Tuhan itulah pemimpin yang sebenarnya sewaktu dia kebingungan untuk memilih di antara beberapa pilihan.

Apabila dia sudah dapat menganggap yang Tuhan itulah sebenar-benar tempat pergantungan, bahawa Dialah sebenar-benar kawan, raja dan pemimpin, ajaklah si anak alihkan sebarang permintaan, pengaduan, keluhan, ucapan terima kasih, pujian dan apa juga yang bermain di fikiran dan bibirnya kepada Tuhan.

Cuma bezanya, kalau dengan manusia, kita perlu bercakap dengan mulut supaya boleh didengari, dengan Tuhan , kita perlu bercakap dengan hati . Kalaupun kita bercakap dengan mulut, ia mesti turut dihayati di dalam hati. Untuk peringkat permulaan, ajarlah dia cara hendak mengadap dan menyusun kata-katanya kepada Tuhan. Kerana Tuhan itu terlalu jauh lebih hebat dan berjasa berbanding sekalian raja, pemimpin, ibu, ayah dan rakan-rakannya, tentulah perlu beradab sopan ketika hendak mengadap dan membuat permintaan kepada-Nya. Supaya beradab dengan Tuhan :

1. Mulakan dengan mengaku kita banyak dosa dan kelemahan
2. Berkata-katalah dengan merendah diri dan mengagungkan Tuhan
3. Buatlah permintaan dengan merayu-rayu sebagai bukti kita benar-benar mengharap kepada Tuhan sekaligus merasa diri lemah dan Tuhan sahajalah yang berkuasa
4. Memohonlah dengan bersandarkan kepada keberkatan dan kebesaran Rasulullah SAW supaya doa kita mudah dikabulkan Tuhan.

Contoh kata-kata aduan yang boleh diajarkan kepada anak supaya dipanjatkan kepada Tuhan sewaktu dia ditimpa penyakit:

Ya Allah, wahai Tuhan yang telah menciptakan sekelian alam. Engkaulah Tuhan yang sangat berkuasa. Tidak ada satu pun yang berlaku di alam ini yang tidak Engkau tahu wahai Tuhan. Dan tidak ada penyakit yang Engkau tidak dapat ubatkan wahai Tuhan. Aku minta ampun atas segala dosaku. Atas sebab dosaku itulah Engkau berikan aku penyakit ini, dengan tujuan supaya aku bersabar. Itulah cara Engkau hendak menghapuskan dosa-dosaku itu. Tapi Tuhan, aku ini serba lemah. Aku tidak sanggup menanggung sakit ini lama-lama. Begitulah lemahnya aku wahai Tuhan. Tentu Engkau sangat berkuasa untuk sembuhkan penyakit aku ini. Aku akan makan ubat yang ibu berikan, tetapi Engkau sahaja yang boleh sembuhkan. Tolonglah Tuhan. Tolonglah aku yang banyak dosa ini. Aku tahu Engkau tentu marah kepadaku kerana aku selalu buat jahat. Tetapi kabulkanlah pemintaanku ini dengan berkat kedua ibu dan ayahku yang sangat taat kepada Engkau .

Ajarlah anak bercakap dengan Tuhan dalam keadaan-keadaan yang lain juga, seperti:
· meminta pertolongan Tuhan apabila hendak mengambil peperiksaan
· meminta pertolongan Tuhan kerana susah hendak berbuat baik
· meminta maaf kepada Tuhan apabila rasa bersalah kerana terbuat dosa (contohnya, tertinggal sembahyang)
· mengucapkan terima kasih kepada Tuhan sewaktu mendapat nikmat
· mencari simpati apabila rasa keseorangan bila diketepikan kawan dan lain-lain lagi

Dalam setiap keadaan, ajarlah anak menyusun kata-kata yang sesuai. Lama kelamaan, dia akan pandai menyusun kata-katanya sendiri. Apabila anak-anak terus-menerus diajar supaya bercakap-cakap dengan Tuhan, secara automatik hatinya akan diasak dengan rasa bertuhan, di antaranya merasakan Tuhan itu Maha Mendengar, Tuhan itu Maha Mengetahui, Tuhan itu Maha Penyayang, Tuhan itu Maha Pemurah, Tuhan itu Maha Adil, Tuhan itu Maha Berkuasa dan lain-lain lagi. Inilah sebahagian dari proses menanamkan iman dalam diri anak-anak. Ia boleh ditanam tanpa kita perlu sebut perkataan iman itu sendiri.

Dengan latihan seumpama ini, anak-anak akan membesar dalam suasana cukup peka dan sensitif dengan Tuhan. Bila ini sudah ada, dengan sendirinya dia akan malu dan takut untuk membuat dosa. Dia juga akan begitu sensitif untuk melakukan perkara-perkara yang baik yang akan mengundang pertolongan dan keredhaan Tuhan. Barulah akan muncul semula watak anak-anak yang soleh yang sanggup mengorbankan diri untuk berkhidmat kepada ibu bapa dan Tuhan mereka

Minda Guruku




1 ulasan:

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin