Selasa, 30 Jun 2009

Dosa Menghijab Bantuan Tuhan


Kegagalan yang Allah timpakan kepada kita satu persatu itu sebenarnya adalah pemberitahuan bahawa kita telah tidak ditolong Allah. Allah biarkan kita dan Allah hinakan kita kerana kita tidak mahu bertaqwa, banyak dosa dan tidak mahu bertaubat disamping tidak mahu belajar dari kesilapan.


Dosa-dosa itulah yang menjadikan kita tewas di tangan musuh.Sedangkan orang yang bertaqwa, ujian yang berat merupakan baja untuk menyuburkan perjuangan mereka. Tetapi bagi kita, ujian-ujian itu menghina dan tambah melemahkan kita. Makin berjuang makin kalah. Bukankah itu ertinya perjuangan itu tidak dibantu oleh Allah. Kenapa Allah biarkan kita?


Berkata Sayidina Umar Al Khatab:"Aku lebih takut pada dosa kamu daripada musuh-musuh kamu.Kerana bila kamu berdosa, Allah akan biarkan kamu kepada musuh-musuhmu."Maknanya, kegagalan kita ialah kerana dosa-dosa kita. Dosa-dosa kita adalah kerana kita tidak bertaqwa. Ertinya salah itu terletak pada diri kita sendiri bukan pada orang lain. Dan selagi kesilapan itu tidak dibetulkan, selagi kita tidak bertaubat dan selagi kita tidak dididik dan dilatih dengan iman dan taqwa, buatlah macam mana pun, insyaAllah, kita tidak akan boleh menang. Sebab kita sudah melanggar syarat dari Allah iaitu syarat taqwa.


Janganlah kita buat helah dan berdalih itu dan ini untuk dijadikan alasan kegagalan kita itu. Mengakulah dengan Allah bahawa kita belum bertaqwa sebab itu Allah tidak tolong. Itu punca dan sebab sebenarnya. Kalaupun kita tidak ada banyak alasan untuk kalah, kalau kita benar-benar bertaqwa, kita tetap akan Allah menangkan. Allah hanya akan menolong orang yang bertaqwa.Firmannya:


"Wallahu waliyul muttaqin" .


Maksudnya :"Allah jadi pembela (pembantu) orang yang bertaqwa." (Al Jasiyah:19)Firman-Nya lagi:


"Wamai yattaqillahayaj a`llahu makhroja. Wayarzuqhu minhaithula yahtasib"


Maksudnya:"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya."(At Thalaq:2-3)


Firman-Nya lagi:"Walau anna ahlalquraa amanu wattaqau lafatahna a`laihim barokatim minassama iwalardi."Maksudnya:"Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi." (Al A`raf:96)


Allah SWT memberi jaminan kepada para Sahabat di atas ketaqwaan mereka dalam firman-Nya:"In yakum minkum i`syruna sobiruna yaghlibu miatain. Wainyakum minkum miatun yaghlibu alfam minallazi nakafaru biannahum qaumulla yaftahun.Maksudnya: "Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) diantara kamu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti." (Al Anfal:65)


Peperangan Badar menyaksikan 313 orang para Sahabat mengalahkan 1,000 orang musuh. Tetapi hari ini, umat Islam ketawa kalau kita katakan tentang hal-hal begini. Karut, kata mereka. Tidak logik. Tidak rasional dan lain-lain lagi.Umat Islam sendiri tidak yakin dan tidak ghairah dengan Allah, dengan Rasulullah, dengan malaikat, dengan rijalullah, rijalulghaib, dengan mati, kubur, hari Kiamat, Syurga dan Neraka.


Soal cinta Allah, rindukan Allah, malu pada Allah, takutkan Allah, tawakkal, redha, sabar, syukur dan hina diri pada Allah sangat jauh dari perbincangan dan pemikiran umat Islam, apalagi untuk dijadikan amalan rohani mereka.Demikianlah taqwa itu jadi syarat terpenting dalam menegakkan hukum Allah. Sebab itu, Rasulullah sebelum berperang, selalu mengingatkan tentera Islam supaya yakin dengan Allah dan takutkan dosa.


Kalau kita berjuang atas nama Islam, kita mestilah terima syarat ini dan melaksanakannya. Barulah betul kita buat kerja Allah. Dan terhindarlah kita dari sikap memandai-mandai. Tetapi kalau kita perjuangkan Islam dengan cara yang kita fikirkan oleh otak kita, dan dengan kaedah yang kita cipta sendiri ertinya kita berjuang kerana kita, bagi pihak kita dan bukan kerana Allah dan bagi pihak Allah. Kalau ini berlaku, Allah akan berlepas diri dari kita dan tidak ada apa-apa lagi keistimewaan pada perjuangan itu kerana ia tandus dari satu tenaga yang luar biasa yakni bantuan Allah.



Minda Mujaddid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin