Selasa, 13 Oktober 2009

Tuhan dan Kasih Sayang Keperluan Sebenar Manusia



Gambar Hiasan: Solat di Medan Perjuangan

 
Wahai manusia, adanya kita ini di dunia ini hari ini, walhal sebelumnya kita pernah tidak ada disini, dan di satu hari pula nanti pasti kita tiada disini lagi, semuanya adalah ditentukan oleh dua faktor yang utama iaitu Tuhan dan Kasih Sayang. Tanpa kedua-duanya tidak mungkin kita ada, atau ada tapi sangat tidak sempurna. Hidup tapi tiada makna.


Mari kita mengkaji kebenaran kata-kata saya ini. Supaya kalau ia benar moga hidup kita selepas ini akan lebih bermakna lagi.


Mulanya seorang lelaki jatuh cinta dengan seorang wanita. Si wanita juga terjatuh hati padanya. Hatta kalau ditawarkan jejaka atau si dara lain pun, pasti ditolaknya kerana masing-masing sudah cukup terikat dengan cinta sesama. Cuba anda tanyakan, bagaimana boleh terjadi hal yang menakjubkan itu? Perasaan-perasaan itu dapat diikat oleh kuasa siapa? Dan kalau nanti ikatan perasaan itu putus, siapa perancangnya? Dan kalaulah perasaan-perasaan pengikat antara teruna dara itu tidak pernah wujud, sebenarnya perkahwinan jadi tidak perlu. Kalaulah manusia tidak mahu berkahwin, lebih-lebih lagi mereka tidak akan beranak. Tiada anak ertinya kita pun tiadalah di maya pada ini.


Ertinya lahirnya kita kedunia ini adalah hasil perancangan seorang ‘tuan’ yang memasukkan rasa keinginan mendalam lelaki kepada wanita dan sebaliknya. Bila Dia mencabut perasaan-perasaan itu bercerai-berailah dua manusia tadi. Marilah kita namakan Tuan kita itu yang kuasanya tanpa limit itu sebagai Tuhan. Memang Dia pun cakap bahawa Dialah Tuhan Pencipta Yang Agung itu. Logikkah kalau ada orang yang mengatakan Tuhan tidak ada? Mana mungkin sesuatu itu mencipta dirinya sendiri


Baiklah, kalau Tuhanlah perancang yang Maha Hebat itu, apakah Dia tidak penting dalam hidup kita? Apa ada yang lebih penting dari Dia? Sampai-sampai Dia tidak difikirkan dan tidak dipedulikan pun?


Lihat! Tuhan melakukan ciptaanNya lagi dengan lahirnya anak satu demi satu dari sepasang lelaki dan wanita tadi. Yang ajaibnya, antara si anak terbina ikatan oleh perasaan kasihkan saudaranya yang tumbuh dalam dada masing-masing. Siapa tumbuhkan pokok rohaniah yang mata tak mampu melihatnya itu? Bagaimana kalau pokok-pokok itu tidak mahu tumbuh?


Tapi watak perasaan ini boleh berubah rupanya. Dia tidak selamanya subur. Kasih sayang boleh musnah oleh rasa-rasa kepentingan yang cukup kuat mencengkam di hati-hati saudara-mara tadi bilamana masing-masing dewasa dan terjun dalam dunia masing-masing.


Berpecah-belahlah insan-insan yang tadinya disatukan oleh kasih fitrah dari rahim seorang ibu dan ayah. Kepentingan dunia dilihat menjadi sebab perpecahan manusia. Kasih fitrah tidak mampu bertahan apalagi kasih-kasih buatan oleh jasa, kroni, parti dan persatuan. Hari ini mereka berbaik-baik, hari esok boleh mereka bermusuhan! Sedangkan manusia bukannya bahagia dengan perpecahan dan permusuhan. Tanpa kasih sayang suami isteri bercerai-berai, kecewa, putus asa dan menderita, anak-anak sakit jiwa. Sakit-sakit jantung, darah tinggi itu sesungguhnya berpunca dari tekanan-tekanan hidup akibat pergaduhan, kebencian dan kemarahan di kalangan manusia.


Bukankah peperangan-peperangan yang sedang melanda dunia ini hanya berpunca dari hilangnya kasih sayang? Perang keluarga terjadi bilamana masing-masing tak boleh mengawal perasaan benci-membenci. Peperangan di tempat-tempat kerja terjadi bilamana masing-masing tidak mampu membendung hasad dengki. Peperangan di antara kelompok terjadi akibat masing-masing tidak sanggup tercabar. Peperangan antara etnik terjadi kerana rebutan pengaruh. Peperangan antara negara-negara kerana kepentingan-kepentingan duniawi yang nak dipertahankan!


Mana ada satu peperangan yang berlaku di dunia ini akibat dari manusia saling berkasih sayang dan inginkan kebaikan?


Rumahtangga yang aman damai sampai ke anak cucu itu kelihatan berlaku di kalangan orang-orang yang mampu berkasih sayang sekalipun dalam ujian kepahitan. Negara-negara yang aman dari perang itu juga kelihatan di sebabkan faktor mengutamakan kasih sayang. Sebenarnya dan sesungguhnya dunia sedang amat memerlukan kasih sayang untuk selesaikan peperangan. Tapi bagaimana? Biar saya pecahkan persoalan ini, dengan formula-formula yang saya temukan dalam pertanyaan-pertanyaan panjang saya kepada Tuhan. Hanya Tuhan saja Kuasa Yang Maha Tahu dimanakah dunia harus memulakan perjalanan keluar dari masaalah yang cukup kronik ini!


Saudara,


Kita pun sudah tahu bahawa tangan yang memberi dan mencabut kasih sayang ialah Tuhan. Mengapa Dia memberi dan mengapa Dia mengambil kembali. Rasanya kita boleh agak jawapannya. Macam kita memberi rumah pada anak kita. Mengapa kita ambil kembali rumah itu? Tentu kerana anak cukup derhaka, biadap dan menyalahguna! Tindakan itu kan cukup bijak kalau kita sayangkan anak. Tentu dia akan betulkan kesilapannya untuk dapatkan kembali rumah itu.


Maka sesungguhnya wahai manusia, langkah pertama untuk keluar dari dunia neraka ini ialah Cari Tuhan. Tuhan yang sedang mentadbir matahari dan bulan dan yang sedang mengambil berat tentang batang tubuh kita ini. Dia yang sudah sekian lama kita tidak pedulikan. Kerana menganggap kita sudah cukup tidak perlukan Tuhan. Sampai-sampai ada yang konon tidak percayakan Tuhan. Tidak yakin dengan Tuhan. Kederhakaan dan kebiadapan itu membuatkan kasih sayang tercabut dari suami isteri, murid dan guru, pemimpin dan rakyat. Kasih sayang tidak sanggup berada dalam diri-diri orang yang bodoh sombong dengan Tuhan Penciptanya. Lalu isilah kekosongan jiwa dengan derita, gelisah, kecewa dan putus asa.


Tapi aneh manusia intelek yang menderita ini terus menerus berjuang dengan lantang untuk membangunkan ekonomi, politik, teknologi dan pembangunan ummah. Seolah-olah dia berkata, ekonomilah, politiklah, ICTlah dan pembangunanlah yang akan mengubat penderitaan dan kekecewaan! Sedangkan kesibukannya memperjuangkan itu semualah menyebabkan porak perandanya rumah tangganya, anak-anak, cucunya dan kroninya dan etniknya dan bangsanya! Nyata sekali golongan ini sedang berpura-pura, berlakon menyembunyikan realitinya hidup dan perjuangannya!


Sebenarnya mereka tidak temui Tuhan, sebagai formula dan keutamaan untuk menyelesaikan seluruh masaalah yang sedang mereka tanggung!


Ya, Tuhan pun tidak memilih mereka untuk tujuan itu, kerana mereka langsung tidak mahu bertanya kepadaNya. Mereka hanya bertuhankan akal dan nafsu semata-mata.


"Wahai Tuhan, Maha Guru, Tempat Rujuk dan Pakar Pencipta dan Penyelesai masalah, kasih sayang yang tercabut dari hati-hati manusia itu, kembalikanlah. Bayaran yang kami akan buat untuk permintaan ini dan pemberianMu nanti mahal sekali. Iaitu kami janjikan untuk mencintaiMu sepenuh hati, menyebutMu selalu, promosi dan perjuangkanMu di mana-mana. Dan kasih sayang yang kami dapatkan semula ini, akan kami jaga dan perjuangkan sungguh-sungguh Tuhan. Agar dia tidak hilang lagi dari hati-hati kami. Agar kami tidak menderita seteruk ini lagi !!! Amin."


Terima kasih Tuhan.


Minda Global

1 ulasan:

  1. JazakAllah tuan, sangat berkaitan dengan saya buat masa ini, alhamdulillah, Allah telah membuka ruang untuk saya membaiki keadaan ...tanpa hidayah Nya siapalah saya.

    BalasPadam

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin