JANGANLAH merasa kita ini cukup gagah, tidak perlu kepada orang lain. Hingga kerana itu kita menyombongkan diri terhadap orang lain terutama orang yang lebih bawah daripada kita seperti orang yang kita rasakan lebih miskin, lebih bodoh dan rendah pangkatnya daripada kita. Sebenarnya selaku hamba Allah, kita diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan serba lemah dan sangat memerlukan pertolongan atau bantuan daripada orang lain apatah lagi daripada Allah SWT sendiri. Tanpa bantuan-bantuan daripada Allah dan daripada sesama manusia, kita akan mengalami kesusahan dan hina-dina. Mari kita lihat beberapa contoh.
1. Seorang raja atau ketua negara yang menguasai dunia daerah pemerintahan yang luas, dengan rakyat yang ramai dan bala tentera yang besar, sehingga ia ditakuti kawan dan lawan, apakah ia sudah boleh hidup sendiri tanpa memerlukan bantuan orang lain? Jawabnya, tidak! Ia tetap memerlukan bantuan orang lain. Sebab, kalau bukan dengan jasa dan budi orang lain, raja itu akan berada dalam kesusahan dan dalam keadaan lemah.
Istananya yang besar, gagah dan indah itu bukanlah dibangunkan denagna titik peluh tukang bina? Kayu-kayu yang digunakan untuk membangaunkan istana, bukankah diusahakan oleh penebang kayu di hutan belantara? Kayu-kayu itu kemudiannya diproses dan dijual kepada raja untuk dijadikan istana; bukankah pekerjaan itu dilakukan oleh mendapatkan istananya itu, raja telah menerima sumbangan dan jasa yang lebih besar daripada rakyat atau orang-orang bawahan. Mustahil raja terdaya masuk ke hutan uantuk menebang kayu, memproses kayu menjadi papan, kemudian mendirikan istananya seorang diri. Kerana itu raja terpaksa meminta bantuan orang ramai walaupun mereka itu lebih rendah darjat daripadanya. Ertinya ramai orang lain yang terlibat membina istana besar dan tersergam indah itu. Jika tidak mendapat bantuan mereka tentu raja tidak dapat tinggal dia dalam istana yang dibanggakannya itu.
Pengajaran daripada perkara ini ialah sekalipun kita seorang raja, apatah lagi kalau rakyat jelata, kita tetap memerlukan orang lain untuk menolong kita. Kita tidak mungkin boleh hidup sendiri. Sudah banyak kita menerima budi dan jasa orang lain. Bahkan mungkin jasa orang pada kita lebih besar dan lebih banyak daripada apa yang terdaya kita berikan pada mereka. Kerana itu kita sepatutnya merasa malu dan terhutang budi kepada manusia lain lebih-lebih lagi kepada Allah. Sumbangan mereka besar pada tamadun manusia. Seeloknya kita mencari jalan bagaimana untuk membalas budi mereka itu dan mencari jalan bagaimana untuk menghiburkan mereka atau bagaimana untuk menolong memenuhi keperluan-keperluan hidup mereka. Sepatutnya kita muliakan mereka sesuai dengan jasa mereka. Jangan sekali-kali kita sombong dan angkuh terhadap mereka dan membiarkan mereka dalam kesusahan atau meletakkan mereka di taraf yang hina seolah-olah merekalah manusia yang tidak berharga dan tidak berguna apa-apa di dalam kehidupan. Di sisi Allah barangkali darjat mereka lebih mulia daripada kita. Allah berfirman yabg bermaksud:
“Semulia-mulia kamu disisi Allah ialah yang paling taqwa”
(Al-Hujurat: Ayat 31)
Sekalipun kita raja apatah lagi seorang rakyat biasa, sebenarnya kita ini lemah dan serba kurang. Kekuatan dan kehebatan kita adalah hasil pengorbanan orang lain. Tanpa pengorbanan dan kerjasama orang lain, kita tidak mungkin boleh memiliki keistimewaan dan kemuliaan seperti sekarang. Tanpa tukang rumah, kita akan menjadi orang yang tidak ada tempat tinggal, terpaksa hidup berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit.
Tanpa petani, kita ketiadaan beras, sayur-sayuran dan buah-buahan. Tanpa nelayan kita tidak akan berlauk. Tanpa tukang jahit, kita tidak akan berbaju. Tanpa tukang masak, kita akan kelaparan. Tanpa penjual kita tidak ada bekalan makanan. Tanpa pekerja kita tidak akan dapat keperluan hidup yang bermacam-macam jenis dan corak sama ada daripada segi bentuknya, rupa atau kelazatan (kesedapan). Pendek kata hidup kita ini sentiasa bergantung dan bersandar pada jasa dan pengorbanan orang lain. Seorang yang mahu bebas daripada mengharap sumbangan orang lain lebih-lebih lagi dengan Allah pasti akan merasa sangat susah bahkan mungkin akan mati kelaparan. Demikianlah sunnatullah, dijadikan manusia terpaksa merasa perlu kepada manusia lain agar mereka saling merasa terhutang budi dan perlu-memerlukan.
Agar mereka dapat hidup dalam keadaan hormat-menghormati dan berkasih-sayang; janganlah raja memperkecilkan rakyatnya, janganlah orang besar memperkecilkan orang bawah., janganlah si kaya memperkecilkan si miskin, janganlah orang pandai menghina orang bodoh, janganlah ada seorang hamba Allah yang menyombongkan diri pada seorang hamba lain, kerana orang yang diperkecilkan dan dianggap hina itu banyak berjasa kepada kita. Mereka itu sangat kita perlukan dalam hidup kita. Tanpa mereka kita tidak akan merasakan keselesaan dan keistimewaan hidup seperti sekarang.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) itu lebih baik daripada mereka yang mengolok-olokkan, dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita yang diperolok-olokkan lebih baik daripada wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.”
(Al-Hujurat: Ayat 11)
Gambar Hiasan oleh: Vit Hassan
Firman Allah lagi yang bermaksud:
“Janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekuatanmu tidak dapat membelah bumi dan ketinggianmu tidak dapat menyamai bukit.”
(Al-Israk: Ayat 37)
2. Seorang ahli ilmu, bijak pandai, cendekiawan atau pujangga yang bertaraf professor antarabangsa yang fikiran dan ucapannya dikagumi, hasil karyanya banyak dan bertimbun-timbun, peminatnya dari seluruh lapisan masyarakat di dunia ini, apakah dia bebas daripada mengharap dan memerlukan bantuan atau kerjasama orang lain? Apakah dia boleh merasa dirinya luar biasa daripada manusia lain, seolah-olah dia didatangkan dari kayangan? Dan bolehkah dia menyombongkan diri, mendabik dada mengaku kebesarannya hingga orang lain seolah-olah tidak berguna dan tidak diperlukan dalam hidupnya?
Untuk menjawabnya, elok kita tanyakan beberapa soalan: Dari mana asal-usulnya? Adakah dia pandai dengan sendirinya? Di mana dia belajar dan siapakah yang membangunkan tempat pengajian itu? Kepandaiannya untuk siapa dan tulisannya dibawa ke mana? Kertas-kertas tulis dan buku-buku karangannya siapa yang mencetak dan menyempurnakannya? Siapa pula yang menjual, mengedar dan membelinya? Sanjungan yang diperolehinya, dari mana datangnya? Sakitnya siapa yang menguruskan, makan minumnya dari mana diperolehi? Pakaian, tempat tinggal dan kenderaan dari mana didapati?
Sebenarnya, ada manusia yang lebih mulia dan lebih berjasa daripadanya. Yakni ibu bapa dan guru-gurunya. Ibu bapanyalah yang mendidik dan menjadikannya manusia berilmu sedangkan asalnya begitu lemah dan jahil sekali. Lebih-lebih lagi dia terhutang budi kepada Allah SWT.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Bukankah telah datang atas manusia satu waktu daripada masa sedangkan dia ketika itu belum merupakan suatu yang dapat disebut? Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia itu daripada setitis mani yang bercampur. Yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami pun jadikan dia mendengar dan melihat.”
(Al-Insan: Ayat 1-2)
Kemudiannya guru-gurunya yang memperkenalkan alif, ba, ta dan a, b, c, kepadanya. Dan gurulah yang memperkenalkan dunia dan akhirat kepadanya. Kalau bukan melalui guru, bolehkah ilmu datang sendiri? Tentu tidak! Kalau begitu alangkah besarnya jasa guru dan alangkah mulianya guru bagi seorang murid. Seorang professor yang tidak memuliakan guru dan ibu bapanya, bererti ia tidak tahu mengenang budi dan ia adalah professor yang derhaka, professor yang tekah dirosakkan oleh kepandaian dan ilmunya sendiri. Ia patut disedarkan bahawa ibu bapa dan gurunya lebih besar jasa dan lebih mulia daripada dirinya. Kepandaian dan kemuliaan yang diperolehi adalah hasil sumbangan dan pengorbanan ibu bapa dan guru-gurunya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendenagaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (menbiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?”
(Al-Jaasiah: Ayat 23)
Seorang professor juga patut sedar bahawa kepandaiannya bukan untuk dirinya. Kalau masyarakat tidak mengiktiraf ilmunya dan tidak mahu belajar daripadanya, dia menjadi tidak istimewa lagi. Dia akan sendirian dan keseorangan. Ketinggiannya adalah kerana diangkat oleh masyrakat. Masyarakat yang menjadikan dia berada di tempat yang istimewa. Tanpa masyarakat dia hanya seorang manusia biasa yang tidak dikenali sesiapa. Kalau begitu, tidaklah boleh seorang professor melupakan masyarakatnya.
Murid-murid juga penting bagi seorang professor. Muridnyalah yang menyebabkan dia jadi guru terkenal dan diminati. Muridnyalah yang membolehkan dia dapat berjasa dan lebih mulia. Tanpa murid, kepada siapa ilmunya hendak disalurkan? Hasil karya seorang professor juga memerlukan pembaca, pembeli, pengedar, pencetak, pembuat kertas, dakwat, dan lain-lain lagi. Mustahil seorang professor dapat melakukan semua itu seorang diri. Bagaimana kalau tidak ada kertas, tiada dakwat, tiada pencetak, penjual, pembeli dan pembaca? Akan berhargakah buah fikiran professor itu? Tentu tidak! Kalau begitu, seorang professor harus sedar bahawa ia tidaklah terlalu istimewa daripada manusia di bawahnya. Tanpa orang-orang itu dia sendiri tidak berharga apa-apa.
Selain daripada itu perlu disedari bahawa gelaran professor itu cuma untuk satu sudut kecil daripada keperluan hidup. Sedangkan hidup ini banyak keperluannya. Yakni makan minum, kesihatan, tempat tinggal, kenderaan, pakaian, kawalan keselamatan dan lain-lain. Yang mana semua itu kita perlu dapatkan daripada orang lain. Kita sendiri tidak dapat mengadakannya. Seorang professor tentu tidak boleh buat roti. Demikianlah dalam keperluan kesihatan, tempat tinggal, kenderaan dan lain-lain. Kita perlukan jasa dan pengorbanan orang lain. Ertinya kita saling perlu-memerlukan.
Pengajaran atau hikmah yang boleh diambil ialah:
Sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah, setiap orang pasti memerlukan bantuan. Sama ada daripada Allah atau daripada manusia. Hanya Allah yang tidak memerlukan apa-apa daripada sesiapa pun.
Dalam hidup ini, kita telah banyak menerima budi dan bantuan daripada manusia lain. Kadang-kadang orang yang berbudi itu ialah orang yang kita tidak kenali dan kita anggap tidak bernilai.
Adanya orang kaya dan orang miskin, orang besar dan orang kecil, orang pandai dan orang bodoh adalah rahmat Allah untuk menjadikan kita saling bantu-membantu dan perlu-memerlukan supaya wujud jemaah atau masyarakat. Hidup tidak akan sempurna kalau semua orang pandai dan kaya. Keseimbangan serta keindahan hidup itu hanya akan berlaku kalau ada orang besar dan juga ada orang kecil. Ada tauke, ada kuli, ada orang kaya dan ada orang miskin. Barulah segala keperluan masyarakat akan terisi dan dipenuhi dengan sendirinya.
Perbezaan kebolehan bukan untuk dipertandingkan atau untuk menyombongkan diri atau untuk berbangga-bangga dan berkecil hati serta berhasad dengki. Ia adalah untuk isi-mengisi, sumbang-menyumbang, saling memberi dan menerima dan seterusnya agar masing-masing merasa dirinya diperlukan, dihormati dan dikasihi.
Kehidupan manusia bermula daripada satu ibu dan ayah ini (Adam dan Hawa) sebenarnya umpama satu keluarga besar. Antara satu dengan yang lain berhubung-kait dan terikat sama ada mahu atau tidak mahu. Misalnya pembuat tayar kereta di Eropah, berkait dengan penoreh getah di rancangan tanah Felda, Malaysia. Kalau hal ini dihalusi oloeh tauke tayar, tentu dia akan menziarahi penoreh getah dengan rasa terhutang budi. Seterusnya tauke akan membela penoreh getah tadi agar tidak hidup miskin dan merempat. Demikianlah seterusnya manusia akan saling bela-membela dan ziarah-menziarahi kerana mereka sebenarnya adalah satu keluarga.
Sehebat manapun seseorang, pasti dia memerlukan jasa orang lain. Sehina manapun seseorang, pasti dia sudah berbudi kepada orang lain. Ertinya, setiap orang ada nilai dan harga dirinya di sisi orang lain. Maka tidak patutlah timbul hina-menghina dan pecah-belah.
Seorang raja atau presiden atau perdana menteri atau menteri atau ulama atau professor atau saudagar kaya atau ketua tentera atau apa saja kebesaran yang dimilikinya, dia pasti tidak boleh hidup bersendirian. Apalagilah kalau manusia itu seorang rakyat biasa, petani, nelayan, kerani, buruh kasar dan mereka yang tidak kaya, tidak pandai, tidak mulia dan tidak berjawatan, memanglah memerlukan jasa dan sumbangan orang yang lebih mampu daripadanya. Ertinya, manusia memang memerlukan manusia lain. Mereka saling berkait dan tidak boleh terpisah, seolah-olah terikat dalam satu keluarga yang besar.
Oleh itu tidak sepatutnya kita membiarkan adanya kasta-kasta atau kelas-kelas dalam sistem hidup masyarakat manusia di dunia ini. Tidak sepatutnya raja terpisah dengan rakyat jelata, orang besar terpisah daripada orang kecil, si kaya mengasingkan diri daripada orang miskin dan orang pandai tidak bergaul dengan orang jahil. Sebab antara orang golongan-golongan yang berbeza ini sebenarnya ada kaitan dan hubungan yang begitu penting. Orang besar tidak boleh hidup tanpa orang kecil. Orang kaya tidak boleh hidup tanpa orang miskin. Dan orang pandai tidak boleh hidup tanpa orang jahil. Tauke tidak boleh hidup tanpa buruh. Begitulah sebaliknya.
Kalaulah hal ini diinsafi dan disedari sebenar-benarnya oleh setiap manusia, tiada seorang pun tergamak untuk berlaku sombong dengan orang lain. Sebaliknya, masing-masing rasa rendah diri dan memandang orang lain dengan rasa hormat dan kasih sayang. Raja akan meraikan rakyatnya kerana dengan ada rakyatlah maka dia dijadikan raja. Rakyat pula memuliakan rajanya kerana rajanyalah yang menaungi hidupnya. Tauke-tauke besar akan menyayangi kulinya kerana dari titik peluh kulinyalah dia dapat menjadi tauke. Kuli pula akan sayang pada tauke kerana atas jasa taukelah dia dapat mencari kehidupan. Orang pandai menghormati ornag jahil, kerana dengan adanya orang jahillah dia boleh menggunakan kepandaiannya. Sebaliknya si jahil sangat hormat pada si pandai kerana atas jasa si pandailah dia mendapat ilmu. Demikianlah seterusnya. Alhasil manusia akan hidup bersatu-padu dalam satu susunan hidup masyarakat yang sama rata dan hormat-menghormati serta saling merasa perlu-memerlukan antara satu sama lain. Tidak ada lagi masyarakat super scale, first class, second class, third class dan no class bahkan semuanya senasib. Senasib ertinya masing-masing tidak lepas daripada menerima dan mengharap bantuan orang lain. Senasib juga ertinya tidak lepas daripada dimatikan oleh Allah, tidak lepas daripada Alam Barzakh dan Alam Akhirat serta daripada Syurga dan Neraka. Maknanya manusia semuanya jadi satu kelas, satu hati dan benar-benar bersatu.
Hari ni kesedaran begitu belum wujud dalam masyarakat kita. Tidak ramai yang faham kenapa Allah jadikan orang besar, orang kecil, orang pandai, orang jahil, orang kaya, orang miskin, tauke, kuli, dan lain-lain lagi. Kerana itu manusia tidak sedar yang mereka saling perlu-memerlukan, kait-mengait dan berhubung dengan hubungan yang penting. Apabila hal ini tidak disedari, terjadilah keadaan ketika masing-masing terasa dirinya lebih daripada orang lain. Manakala yang kurang pula rasa hina diri dan hasad dengki. Lalu manusia hidup berantakan, pecah-belah dan tekan-menekan. Tidak ada kedamaian dan kasih-sayang lagi. Kehidupan menjadi begitu tegang dan meruncing. Kebahagiaan di dunia sering terancam, di akhirat lebih-lebih lagi.
Menyedari hakikat ini marilah kita sama-sama merenung dan berfikir untuk mengubah sikap, membaiki keadaan dengan masing-masing memulakan sikap menghormati orang lain sebagaimana mereka menghormati dan mengasihi diri sendiri.
Pernah Sayidina Muaz bertanya kepada Rasulullah, “Bagaimana untuk selamat di hari hisab nanti?”, jawab Rasulullah, “Engkau kasihi orang lain sebagaimana engkau mengasihi dirimu sendiri.”
Minda Guruku
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
-
Saya rasa, mana nama pihak, sila berhati hati bila nak guna nama “Sunnah”
kerana bimbang berdusta atas nama Nabi, yang mana nerakalah tempat bagi
mereka ...
2 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan