Khamis, 1 Oktober 2009

Iman Akar Tunjang Bahagian 2

Kembali kepada perbandingan seperti di awal bab ini.
Perbezaannya ialah bagaimana andainya seseorang itu
memang memiliki identiti sebagai pegawai istana. Memang
dia benar-benar dikenali ramai sebagai pegawai istana.


Bukan sekadar mengenali raja tetapi sentiasa akrab. Dia juga
sangat masak dengan segala selok-belok dan ehwal istana.
Dialah orang raja yang mengundang kita bertemu raja dan
bertandang ke istana. Tentulah dengan mudah kita menerima
undangannya. Tidak timbul sebarang keraguan melihat
kepada peribadinya itu. Kita yakin kepada dirinya dan
tentu dia tidak sanggup berbohong atau tidak membuat
ajakan kosong. Sudah pasti dia tidak akan menipu bagi
pihak raja kerana dia memang benar-benar orang raja dan
punyai ‘authority’ sebagai pegawai istana.


Inilah satu bentuk perbandingan yang menghampirkan
kepada pemahaman kita dalam konteks perjuangan Islam.
Iaitu syarat keimanan yang menjadi sebab untuk Allah SWT
beri kemenangan kepada umat iaitu sekurang-kurangnya
bertaraf iman ‘Ayan atau orang yang berjiwa tauhid. Ini
adalah tahap sekurang-kurangnya yang mesti dicapai khususnya
oleh golongan yang mahu meletakkan dirinya sebagai
mujahid atau pejuang menegakkan agama Allah SWT.


Berjiwa tauhid atau memiliki iman ‘Ayan ini juga yang
dikatakan sebagai orang soleh atau Ashabul Yamin (golongan
kanan). Kepada merekalah Allah SWT menjanjikan akan
diserahkan kekuasaan atau diangkat menjadi khalifah sebenar
di atas muka bumi. Mereka yang Allah SWT ‘pandang’
layak untuk diserahkan amanah menjadi pengganti
(khalifah) untuk mengatur dan mencatur manusia. Firman
Allah SWT:


Terjemahannya: “Dan Allah telah berjanji kepada
orang yang beriman di antara kamu dan menger-
jakan amal-amal soleh bahawa Dia sesungguhnya
akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana
Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum
mereka berkuasa.” (An-Nur: 55)


Mereka ini dijamin selamat dan tidak akan jatuh ke
neraka di akhirat kelak. Apabila Allah SWT menjamin keselamatan
akhirat itu sudah pastilah mereka adalah golongan
umat Islam yang selamat di dunia. Selamat di dunia
disifatkan kerana hati sentiasa takut kepada Allah SWT,
sentiasa berada di atas landasan syariat. Ibadah mereka
bukan sahaja banyak tetapi juga sempurna. Akhirat amat
digeruni. Inilah yang disifatkan oleh Allah SWT di dalam


Al Quran:


Terjemahannya: “Sesungguhnya orang yang benar-
benar beriman itu ialah apabila disebut nama
Allah, gementar hati mereka dan apabila dibacakan
ayat-ayat Allah bertambah imannya, sedang mereka
itu bertawakkal kepada Tuhannya.” (Al-Anfaal: 2)


Ciri-ciri mereka ini ialah orang yang hatinya takut,
gerun, cemas dan bimbang terhadap Allah SWT. Jiwanya
benar-benar bertauhid. Hatinya sentiasa merasai Allah SWT
Maha Besar, Maha Agung, Maha Mendengar, Maha Melihat,
Maha Mengetahui, Maha Pencipta. Atau mana-mana asma’
Allah SWT disebut atau diingat akan mendatangkan getaran
pada hatinya.


Hatinya sentiasa terpaut dan bertaut dengan Allah SWT.
Dalam sehari semalam, lapan belas jam dalam ibadah
khusus mahupun ibadah umum. Baki dari itu dia berbuat
perkara harus. Namun tidak pula terjatuh kepada sebarang
dosa. Pengawasan hatinya kepada syariat sangat kuat.


Andainya terjatuh juga kepada dosa tanpa disengajakan
atau tanpa disedari, atau bukan dari kehendak nafsunya
atau yang datang kepadanya, nescaya sekadar dosa kecil.
Itupun sekali-sekala dan sangat sedikit. Begitupun, dia
segera memohon keampunan dan Allah SWT mengampuninya.
Dosa walaupun kecil, Allah SWT tidak ampunkan
kerana keangkuhan, disengajakan, diremehkan dan berlengah-
lengah memohon keampunan.


Mereka penuh sedar akan kedatangan akhirat yang hak
dan pasti. Kehidupan dunia yang sementara dan singkat
ini bakal diperhitungkan di akhirat nanti. Mereka bimbang
andainya bakal tergelincir ke neraka. Syurga yang penuh
nikmat itu pula disediakan bagi orang yang benar-benar
layak. Nilai Syurga yang begitu tinggi bukan sebarangan
orang untuk memasukinya. Terasa tidak layak memasukinya.


Namun mereka mendambakan rahmat dan kasih
sayang Allah SWT. Maka mereka buru sepenuh masa dan
tenaga untuk memperolehi rahmat Allah SWT itu.
Setiap masa, tenaga, harta-benda dan pemikiran dicurahkan
untuk berbuat kebaikan. Keazamannya, cita-citanya,
impiannya dan harapannya ialah ingin melihat
Islam itu mulia. Daya juang dan pengorbanannya tinggi.
Hidupnya zuhud dan sederhana. Dan memang memilih
kehidupan itu hanya semata-mata cintakan Allah SWT,
Rasul-Nya dan agama yang Mulia. Keyakinannya kental,
kemahuannya kuat, azamnya tinggi, cita-citanya besar iaitu
kejayaan umat Islam.


Tidak ada istilah kepentingan diri dalam kamus hidupnya.
Hidup matinya ikhlas untuk Allah SWT, Rasul-Nya
dan Islam. Bukan penghargaan yang diharapkan tetapi
harga diri. Bukan penghormatan yang diidamkan tetapi
penuh terhormat. Bukan dipuji, dipuja dan dipermuliakan
yang diinginkan tetapi hidup dengan kemuliaan. Firman
Allah SWT:


Terjemahannya: “Kemuliaan itu ada pada Allah,
pada Rasul-Nya dan pada orang mukmin.....”




Pegangan hidupnya adalah seperti yang disabdakan
oleh Rasulullah SAW:


Terjemahannya: “Umat terdahulu selamat (berjaya)
kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Dan
umat terakhir kelak akan binasa kerana bakhil (harta
dan jiwa) dan tiada cita-cita.” (Riwayat Abi Ad
Dunya)


Roh manusia dalam keadaan tersendiri tanpa jasad
sangat mengenal Allah SWT. Namun hati atau roh itu tetap
mampu mengenal Allah SWT seperti asalnya apabila
bersungguh-sungguh menolak tuntutan nafsu dan syaitan.


Apabila hati itu bersih dari pengaruh nafsu dan syaitan
maka ianya kembali terbuka pandang-tembus mengenal
Allah SWT seperti asal fitrah kejadian roh itu.
Roh yang mengenal Allah SWT, yang benar-benar
merasai kebesaran dan keagungan Allah SWT ini yang
disifatkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:


Terjemahannya: “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah
kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi
diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah
hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-
Ku.” (Al- Fajr: 27-30).


Umat Islam mesti benar-benar memahami hakikat
bahawa segala jenis kemungkaran, maksiat, kejahatan dan
gejala negatif berpunca dari nafsu yang liar. Nafsu tidak
boleh ditundukkan dengan undang-undang, peraturan dan
hukuman. Nafsu tidak dapat dikalahkan oleh segala usaha
lahir seperti membesarkan otot-otot. Otot-otot yang pejal
membenjol serta keras dan padat tidak akan dapat mengekang
hawa nafsu.



Misalnya, dunia hari ini menghadapi fenomena berleluasanya
gejala negatif terutamanya golongan remaja. Tiada
apa yang silap dengan kajian, perancangan, program dan
aktiviti yang begitu banyak. Tenaga, masa dan wang ringgit
begitu besar sebagai peruntukan untuk mencegah dan
membendung gejala negatif. Namun hasilnya sangatlah
mengecewakan.


Buatlah apa pun program dan aktiviti. Jika tidak menjurus
kepada peningkatan iman hingga ke taraf iman ‘Ayan,
selagi itu tidak akan berhasil mencegah dan membendung
gejala negatif. Buatlah kajian seberapa teliti dan terperinci
diiringi pula dengan perancangan jangka pendek dan
jangka panjang. Seandainya itu semua tidak ada langsung
berkaitan dengan soal spiritual, rohaniah, mengekang nafsu,
selagi itu tidak akan membawa sebarang penyelesaian
yang konkrit dan berkesan.


Kerakusan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan memanjat
gunung, bersampan, berakit dan berkayak, berenang,
bersilat, berjogging dan bersukan. Semua aktiviti ini
hanyalah memejalkan otot badan. Nafsu bersifat rohani.


Apabila nafsu terdorong untuk menagih dadah, ianya tidak
dapat ditangkis atau ditepis dengan langkah atau buah silat
dan lain-lain.
Hukuman pula hanyalah jalan keluar terakhir dan
bukan penyelesaian yang berkesan. Hukuman sama saja
seperti orang yang takutkan harimau. Masuk di kawasan
yang dikenal pasti ada harimau, tidak mencemaskan
sekiranya seseorang itu memiliki apa saja alat yang memungkinkan
dia menewaskan harimau itu. Ertinya masih
ada peluang untuk bebas dan terlepas dari terkaman harimau.
Tidak menghairankan sekalipun ramai yang sudah
dihukum mati kerana mengedar dadah, namun dadah tetap
terus beredar di pasaran secara meluas. Ini menunjukkan
adanya mereka yang berjaya mengelakkan diri dari ditangkap
oleh pihak berkuasa.


Mati itu sendiri hanya ditakuti oleh orang beriman. Ini
adalah kerana orang beriman tahu dan dapat merasakan
betapa dahsyat peristiwa mati dan selepas itu. Orang muk-
min saja yang bimbang terhadap kegemparan mati dan
akhirat. Bagi orang yang tidak beriman, mati itu hanya
sekadar satu peristiwa yang bakal dilalui oleh semua orang.
Mati bagi mereka berakhirlah segala persoalan hidup. Tidak
lebih dari itu. Sebab itu mereka tidak menjadikan mati itu
sebagai ubat untuk menghindarkan diri dari kemungkaran.


Hanya orang beriman saja yang yakin dan berpegang kepada
sabda Rasulullah SAW:


Terjemahannya: “Cukuplah mati sebagai penasihat.”


Mati itu sendiri hanya berkesan mengingatkan orang
beriman. Bagi orang yang tidak beriman, hukuman mati

itu hanya bersifat menamatkan kerja-kerja jahat yang
dilakukannya.


Kerakusan nafsu hanya mampu ditundukkan oleh
iman. Iman pula mestilah pada kategori iman ‘Ayan. Iman
‘Ayan inilah ubat paling berkesan dalam menangani gejala
negatif.


Sekiranya umat Islam terutamanya pemimpin masyarakat,
para pejuang, pendakwah, warga pendidik dan seluruh
ibubapa benar-benar prihatin terhadap segala masalah
umat Islam, hendaklah kembali kepada usaha ikhtiar yang
benar-benar tepat. Natijah dari ketepatan itulah nanti Allah
SWT datangkan kejayaan dan kemenangan kepada umat.
Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin