Rabu, 30 September 2009

Iman Akar Tunjang Bahagian 1

Oleh: DR. Ahmad Fauzi Abdul Hamid



Kekuatan Iman - Akar Tunjang


Layakkah seorang yang hanya sekadar tahu mengenai
raja dan dirinya bukan petugas istana mengajak orang lain
 menemui raja dan menginap di istana?
Demikianlah kedudukannya, tidak layak seorang yang
hanya tahu tentang Allah SWT dan tidak mahu mengamalkan
Islam menjadi pejuang Islam. Memperjuangkan Islam
ertinya mengajak manusia kepada mengenal Allah SWT.
Mentaati, mengabdi dan menyerah diri kepada Allah SWT
serta mengamalkan keseluruhan ajaran Islam.
Tiada siapa yang hatinya teringin untuk menuruti
pelawaan ke istana kerana orang itu tidak berkelayakan dan
tiada ‘authority’. Malah timbul pula keraguan apakah orang
itu benar-benar membawa ke istana atau boleh jadi dia seorang
pembohong yang boleh menjerumuskan ke gaung
yang dalam. Tiada identiti atau tanda-tanda bahawa orang
itu petugas istana.


Orang yang hanya tahu mengenai Allah SWT serta
rukun iman yang lainnya, sekadar berada di kategori iman
yang sah. Tetapi tidak terjamin selamat dari kederhakaan,
kemungkaran dan kemaksiatan. Andainya Allah SWT tidak
ampunkan, nescaya dia terjun ke neraka terlebih dahulu.
Keimanan taraf itu belum mencapai tahap ‘orang Allah
SWT’. Hatinya lalai, tidak terpaut dan tidak bertaut dengan
Allah SWT. Ibarat orang yang tahu gula itu manis tetapi
tidak pernah memakan gula. Orang yang hanya tahu segala
sifat-sifat Allah SWT berdasarkan ilmu yang dipelajarinya
tetapi tidak merasai di hati tentang sifat-sifat Allah SWT
itu. Tauhidnya sekadar berlegar di dalam akal fikirannya
dan tidak di hati. Maka itulah yang dikatakan iman ilmu.


Orang yang imannya bertaraf iman ilmu sekadar berfikiran
tauhid, belum berjiwa tauhid.
Hatinya lalai, nafsunya rakus, ibadahnya cuai dan tiada
kelazatan. Syariatnya longgar, akhlaknya rosak. Keperibadian
Islamnya kurang meyakinkan. Penampilan dirinya,
gerak-gerinya, tingkah-lakunya, percakapannya, pemikirannya
tidak menggambarkan keindahan Islam. Rumahtangganya
tidak terpimpin dan tidak wujud suasana sebuah
keluarga Islam. Kebahagiaan hidup tidak diperolehi sepenuhnya.


Masih terasa sedap dengan maksiat. Sekali-sekala
insaf dan sedar kerana ilmunya masih menyuluh dan dia
tahu maksiat itu berdosa dan mendatangkan kemurkaan
Allah SWT yang balasannya adalah Neraka. Namun apabila
berhadapan dengan ujian, cubaan dan tarikan kemaksiatan,
masih ada kemahuan untuk melawan tetapi seringkali
tumpas dan kecundang.
Ilmu Islamnya bersarang di akal. Dia tahu halal dan
haram. Tetapi bila bertembung dua keadaan antara tuntutan
Tuhan dan kepentingan duniawi, nescaya terdorong untuk
memilih kepentingan duniawinya. Ini adalah kerana dia
tidak merasa takut kepada Allah SWT dan terlupa terhadap
azab akhirat. Longgarnya syariat bukan kerana tidak tahu
tetapi kerana tiada sepenuh kerelaan, pengabdian dan
perhambaan kepada Allah SWT. Dia masih di peringkat
terpaksa dan sering pula ada helah dan hujah untuk membenarkan
pelanggaran syariat.


Demikianlah sedikit gambaran orang yang jarang jarang
sekali hatinya dengan Allah SWT serta tidak benar benar
berpegang kepada syariat Islam. Dan inilah juga
gambaran yang mewakili majoriti umat Islam seluruh
dunia. Umat yang berjiwa lemah, ujian yang ringan pun
tidak upaya menghadapinya. Risiko yang sedikit sudah
tergadai perjuangan.




Sekali lagi ditegaskan di sini bahawa perjuangan Islam
ertinya membawa manusia amnya, dan khususnya umat
Islam sendiri kepada mengagungkan Allah SWT, membesar,
menyembah, mengabdi dan mentaati Allah SWT. Juga ingin
membawa manusia kepada menerima, memahami dan
menghayati ajaran Islam. Dan juga membawa mereka
kepada kehidupan yang diikat oleh syariat atau hukum hakam
Islam.


Kesimpulannya, apalah yang dapat diharapkan daripada
orang yang lalai dengan Allah. Hatinya tidak terpaut
dan bertaut dengan Allah SWT. Ibadahnya cuai, syariatnya
longgar dan masih lazat dengan kemungkaran. Ertinya
syarat yang pertama sebagai sebab untuk Allah SWT serahkan
kejayaan dan kemenangan sudah gagal dipenuhi oleh
umat Islam. Selagi umat Islam di tahap iman ilmu atau
sekadar berfikiran tauhid, selama itulah Allah SWT tidak
datangkan keyakinan kepada manusia untuk menerima
Islam sepenuhnya. Kalau pun ada yang menerima Islam,
maka pengamalannya juga sama saja dengan pejuang Islam
itu sendiri.


Dalam situasi iman sedemikian, andainya dia seorang
pemimpin, maka kezaliman dan kerosakan berleluasa hasil
dari kekuasaan yang dimilikinya. Pemikirannya tidak membawa
banyak kebaikan kepada umat. Pembangunannya
condong kepada materialisma. Keuntungan dunia lebih diutamakan.
Rakyat menerima padah di atas kerakusannya.
Andainya dia seorang intelek, cetusan idea dan pandangannya
lebih cenderung kepada kepentingan pemerintah.
Andainya dia seorang ulama, maka masyarakat
umum tidak menjadikannya sandaran. Dia tidak mewarisi
peribadi, tugas, peranan dan tanggungjawab para Nabi dan
Rasul. Kehidupan ulama tidak berbeza dengan orang
awam.


Andainya dia seorang pekerja, buruh atau petani,
keluh-kesah, mendongkol dan tiada kesabaran sering
melanda hidupnya. Sudahlah nasibnya miskin material
yang memang sedia susah, ditambah pula dengan miskin
jiwa, bertambah parahlah penderitaan hidup yang dialami.




Kemiskinan dianggapnya satu bala dari Tuhan.
Orang kaya yang kelebihan harta-benda tidak dirasainya
sebagai kurnia Allah, amanah dan ujian. Mereka kedekut,
tamak, membazir, berfoya-foya, bermewahan dan
berlebihan. Akhirnya lahirlah masyarakat yang mengalami
berbagai kegawatan. Semua perkara negatif, mungkar,
jenayah dan kesalahan hanya mahu diundang-undangkan.
Kemudian dikuatkuasakan berserta hukuman. Maka lahirlah
umat yang tidak pernah puas hati, berdendam, geram
dan pemarah.


Begitu pun kedudukan umat Islam di seluruh dunia,
kedapatan pula pihak yang mendakwa bahawa umat Islam
tidak menegakkan hukum Islam kerana tiada kuasa. Pada
satu sisi, dakwaan ini boleh diterima kerana dibuat oleh
mereka yang inginkan kuasa dan belum memperolehinya.


Di sisi yang lain dakwaan tersebut mungkin sekadar retorika
atau slogan yang tidak dapat dipertanggungjawabkan
kebenarannya. Realitinya banyak negara di dunia ini yang
memang dikuasai oleh umat Islam sepenuhnya. Dari peringkat
tertinggi seperti Presiden, Perdana Menteri atau
Sultan hinggalah kepada buruh, petani dan penganggur
semuanya beragama Islam. Namun sukar hendak dilihat
gambaran Islam dalam kehidupan dari individu, rumahtangga,
masyarakat, institusi hinggalah kepada negara. 90%
tidak bersembahyang apakah tunggu dapat kuasa? Apakah
menutup aurat perlu dienakmenkan terlebih dahulu? Kasih
sayang dan perpaduan perlukah diundang-undangkan?


Secara umumnya umat Islam itu terdiri daripada pemimpin
yang adil, ulama menjadi contoh dan obor, orang
kayanya pemurah, golongan miskin dan pekerja bawahan
sangat sabar, orang bersalah memohon ampun dan bertaubat,
suami bertanggungjawab, isteri taat dan berkhidmat,
anak-anak menghormati ibubapa. Apakah semua ciri-ciri
yang perlu dimiliki oleh semua golongan itu perlu menunggu
kuasa pemerintahan dan undang-undang terlebih
dahulu? Bagaimana andainya tidak mendapat kuasa pemerintahan
sampai bila-bila?

 Apakah dengan mudah Allah
SWT akan terima alasan tidak berlaku itu semua lantaran
tidak ada kuasa pemerintahan? Inilah salah satu bentuk
kecelaruan fikiran serta kefahaman umat Islam.
Begitulah situasi umat Islam apabila masih berada di
tahap iman ilmu, atau sekadar berfikiran tauhid. Inilah yang
dimaksudkan dengan tumpas atau kecundang di gelanggang
sendiri. Tewas kepada kerakusan nafsu. Kalah kepada
pujuk rayu syaitan. Jatuh terjelepak berhadapan dengan
tarikan dan tipu daya kelazatan dan kesenangan duniawi
yang sementara.


Sayangnya terlalu sedikit di kalangan umat Islam yang
menyedari dan memandang penting terhadap persoalan
pertama dan utama ini. Akibatnya umat Islam terus bergelut
dan bergelumang dengan berbagai sifat dan perbuatan
negatif. Maksiat dan kemungkaran itulah yang menjadi
hijab atau penghalang dari turunnya bantuan Allah SWT.


Dalam konteks dakwah pula, ini adalah penghalang manusia
menerima kebenaran (Islam). Umat Islam gagal
memperlihatkan kesyumulan Islam. Umat Islam tidak
memperlihatkan imej mulia dan tingginya ajaran Islam.


Perlakuan umat Islam sendiri sangat bercanggah dengan
ajaran Islam itu sendiri yang merupakan agama selamat
sejahtera, indah dan mulia. Islam agama selamat tetapi
umatnya tidak selamat. Islam agama sejahtera tetapi umatnya
dilanda derita. Islam agama indah tetapi umatnya


kacau-bilau dan penuh dengan berbagai kegawatan. Islam
agama mulia tetapi umatnya ditimpa kehinaan di manamana.


Rasulullah SAW bersabda:
Terjemahannya: “Kecacatan agama kerana hawa
nafsu.” (Riwayat Al Syahaab)


Rasulullah SAW bersabda:
Terjemahannya: “Orang yang kurang amalannya
maka Allah akan menimpakan dengan kegelisahan
dan kesedihan.” (Riwayat Ahmad)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin