Akibat taufan Katrina, krisis di Iraq dan juga pertumbuhan pesat industri negara-negara di Asia, pengedaran minyak di seluruh dunia sudah tidak seimbang dan semua negara di dunia merasai bahang kenaikan harga minyak ini.
Dalam Islam berniaga bukan semata-mata untuk mencari untung kerana di dalam perniagaan tidak semestinya kita sentiasa mendapat untung. Dalam perniagaan sering juga kita menghadapi kerugian.
Tujuan perniagaan mengikut Islam sebenarnya ialah untuk memperbesarkan, memperpanjangkan dan memperluaskan aktiviti syariat dan dengan tujuan beribadah dan mendapat pahala yang banyak. Justeru itu di dalam perniagaan, hendaklah kita sentiasa mencari keredhaan Tuhan dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.
Mari kita lihat betapa di dalam perniagaan itu luas sekali syariatnya atau luas sekali ibadah yang berlaku di mana kebaikan dan pahalanya pula amat banyak sekali.
Di antaranya:-
1. Di dalam Islam berkawan itu disuruh. Di Akhirat kelak, kawan itu boleh memberi syafaat. Melalui perniagaan, kita akan banyak dapat kawan sama ada dari kalangan pembekal-pembekal, kawan-kawan sekerja ataupun para pelanggan.
2. Melalui perniagaan, kita dapat memberi khidmat secara langsung mahupun secara tidak langsung kepada manusia dan ahli-ahli masyarakat. Ada Hadis yang bermaksud:“Yang paling baik di antara kamu ialah kamu yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”
3. Islam sangat menggalakkan kerjasama. Di dalam perniagaan banyak terdapat unsur-unsur kerjasama dan peluang serta keperluan untuk bekerjasama. Di dalam Al Quran ada disebutkan maksudnya: “Bertolong bantulah di atas kebaikan dan ketaqwaan.” (Al Maidah: 2)
4. Di dalam perniagaan juga ada banyak tolak ansur, iaitu satu sifat terpuji yang sangat dianjurkan oleh Islam. Kalau tidak ada tolak ansur, kita tidak boleh berniaga.
5. Perniagaan membantu dan memudahkan manusia dan ahli masyarakat mengurus dan mendapatkan keperluan hidup mereka, terutama di bidang makan minum dan keperluan harian. Mendahulukan, mengutamakan dan memudahkan orang lain itu sangat dipandang tinggi dan baik dalam Islam.
6. Dengan berniaga kita dapat menyelamatkan barangan keluaran umat Islam sama ada hasil pertanian, hasil ternakan dan lain-lain dengan mengumpul dan memasarkannya. Kalau tidak, barangan itu akan rosak dan terbuang. Akan timbul pembaziran. Dalam Islam pembaziran sangat dilarang. Menjauhi dan mengelak pembaziran adalah satu kewajipan.
7. Kita dapat memperolehi banyak pengalaman melalui perniagaan sama ada di bidang pengurusan, perakaunan, mengenal barang, mengenal tempat, mengenal cara hidup dan masalah manusia dan lain-lain lagi. Dalam Islam, mencari ilmu dan pengalaman seperti ini sangat dituntut.
8. Dalam berniaga, kita boleh berlatih sabar dalam menghadapi berbagai-bagai masalah perniagaan dan dalam menghadapi berbagai-bagai kerenah pelanggan. Sabar adalah satu sifat mulia (mahmudah) yang sangat diperlukan dalam kehidupan. Orang yang sabar diberi pahala oleh Tuhan tanpa hisab.
9. Berniaga merupakan salah satu cara untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Ia merupakan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Tuhan di muka bumi supaya dapat dilihat kebesaran Tuhan serta dapat dibesarkan dan dinikmati segala nikmat dan anugerah-Nya agar manusia boleh bersyukur dan mendapat pahala pula di atas kesyukuran mereka itu.
10. Dalam berniaga, kita berpeluang mengeluarkan zakat perniagaan. Dengan itu salah satu dari rukun Islam dapat kita tunaikan. Dapat kita wujudkan salah satu sumber atau saluran untuk membantu fakir miskin dan asnaf-asnaf yang lain. Banyak golongan akan terbantu dan terbela.
11. Dalam perniagaan, kita dapat membuat latihan berlapang dada terutama apabila berhadapan dengan karenah manusia. Ia sentiasa mencabar emosi dan perasaan kita. Maka kita selalu sahaja menyembunyikan kemarahan kita. Menyembunyikan kemarahan itu disuruh oleh Islam. Di dalam Quran ada disebut bahawa menyembunyikan sifat marah itu adalah satu dari sifat orang bertaqwa.
12. Perniagaan memerlukan sifat berlapang dada, bertolak ansur, bertimbang rasa, memberi maaf, berlebih kurang, bersimpati dan sebagainya. Sifat-sifat ini terpuji dan sangat diperlukan dalam pergaulan. Dalam Hadis ada disebut bahawa Islam itu adalah as-samhah iaitu agama pemaaf dan berlapang dada.
13. Perniagaan mewujudkan peluang pekerjaan untuk manusia sebagai sumber mencari rezeki. Dengan perniagaan, manusia boleh mengelak diri dari menganggur yang ditegah oleh syariat. Sekaligus tenaganya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ertinya, dengan adanya perniagaan, tenaga manusia tidak dibazirkan dan manusia itu boleh jadi produktif dengan mengeluarkan hasil untuk faedah manusia lain.
Jelas bahawa dengan apa yang disenaraikan di atas, begitu banyak sekali syariat Islam dapat kita tegakkan melalui perniagaan. Maksudnya, berbagai-bagai aspek dalam Islam dapat kita bangunkan di dalam perniagaan. Apabila banyak aspek syariat yang dapat kita bangunkan maka banyaklah ibadah kita. Banyaklah pahala yang kita dapat. Oleh itu, tidak hairanlah Islam menganggap orang yang berniaga secara jujur dan menepati kehendak-kehendak syariat itu sebagai orang yang berjihad fisabilillah. Munasabah juga berniaga itu dianggap kerja yang paling baik dalam Islam kerana kebaikan yang diperolehi oleh masyarakat hasil dari perniagaan adalah terlalu banyak.
Sekian
ASZ
Gambar hiasan: yimss sindhu
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
-
Saya rasa, mana nama pihak, sila berhati hati bila nak guna nama “Sunnah”
kerana bimbang berdusta atas nama Nabi, yang mana nerakalah tempat bagi
mereka ...
Sehari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan