skip to main |
skip to sidebar
GOLONGAN-GOLONGAN DIKALANGAN UMAT ISLAM TERHADAP PERJUANGAN
Apabila kita mengatakan perjuangan ertinya adanya sebuah
jemaah yang ada pemimpin yang ditaati, ada pengikut
yang setia, ada dasar perjuangan yang berlandaskan Al
Quran dan As Sunnah, yang ia ditegakkan lebih dahulu sejauh
yang termungkin di dalam jemaah itu sebagai model. Ada
aktiviti ke luar dan ke dalam melalui berbagai-bagai cara dan
strategi untuk mencapai matlamat.
Ertinya Islam tidak berjuang secara individu atau secara
berseorangan tanpa ada jemaah, pemimpin dan pengikut serta
tanpa aktiviti, kerana Islam itu adalah cara hidup bernegara,
berekonomi, bermasyarakat, berpendidikan, berhubung, berkebudayaan,
berundang-undang, berdisiplin dan lain-lain lagi.
Oleh kerana perjuangan Islam itu adalah terpaksa sibuk, berkorban,
terkorban, menghabiskan masa, berhadapan dengan
kesusahan dan cabaran, terpaksa mengkesampingkan kepentingan
diri, maka selepas kejatuhan empayar Islam ada beberapa
golongan umat Islam dalam menghadapi perjuangan ini iaitu:
1. Golongan yang hidup matinya untuk Islam. Faham apa yang
mereka perjuangkan. Bersungguh-sungguh mengamalkan
di dalam diri mereka dan keluarga mereka, memberi seluruh
jiwa raga, masa dan harta untuk Allah dan Rasul. Mereka
sanggup berhadapan dengan sebarang risiko, bahkan mati
di dalam perjuangan itu memang ditunggu-tunggu. Syahid
adalah idaman mereka. Golongan ini amat sedikit dan
darjatnya lebih tinggi daripada ahli ibadah.
2. Golongan yang bersungguh-sungguh berjuang seperti
golongan yang pertama tadi serta faham apa yang mereka
perjuangkan. Cuma lemah mujahadah melawan nafsu. Di
dalam gigih berjuang itu, maksiat dibuat juga. Di dalam ada
cita-cita Islam, terlibat juga dengan dosa. Ini terserahlah
kepada Allah Taala, terpulanglah kepada Allah. Dia mengampunkan
sesiapa yang Dia kehendaki dan mengazab
sesiapa yang Dia kehendaki. Atau jika kebaikan yang mereka
lakukan lebih banyak daripada kejahatan, maka beratlah
amalan kebaikannya maka mereka tergolong dalam ashabul
yamin.
3. Golongan yang berjuang secara jahil. Fardhu ain di dalam
diri pun belum selesai. Mereka berjuang semata-mata kerana
semangat dan fanatik sahaja. Di dalam perjuangan mereka
mengganas, merosak dan menzalim sama ada di sedari atau
tidak. Mereka itu kalau gigih sekalipun berjuang, namun
Allah SWT tidak akan menerima perjuangan mereka. Kerana
kerosakannya lebih banyak daripada kebaikannya. Golongan
ini agak ramai di zaman ini.
4. Umat Islam yang berjuang bukan kerana Allah dan Rasul
atau bukan kerana hendak menegakkan Islam tapi berjuang
kerana mahu merebut pangkat atau kerana sakit hati dengan
musuh-musuhnya atau kerana kemegahan bangsa, negara
atau kerana nama atau kerana ideologi. Islam itu hanya
diselit-selitkan atau dijadikan bahan slogan untuk mempengaruhi
umat Islam. Golongan ini tertolak. Sama ada jadi
zalim, fasik atau kafir.
5. Golongan yang ingin berjuang tapi belum mula berjuang
kerana wadah-wadah perjuangan yang wujud di negaranya
atau jemaah perjuangan yang ada di negaranya tidak meyakinkan.
Kerana tahu tidak ada kemampuan dan kelayakan,
mereka beribadah dan membaiki diri sambil menunggu
perjuangan yang sebenar. Mereka lebih banyak menyendiri.
Golongan ini memang elok menyendiri.
6. Golongan yang menghabiskan masa untuk ibadah serta
membaiki diri, sedangkan kemampuan ada. Walaupun ada
perjuangan kebenaran di hadapan matanya namun mereka
tidak mahu menggabungkan diri. Kerana tidak mahu bersusah
payah atau tidak mahu menerima atau menanggung
risikonya. Golongan ini dimurkai Allah SWT.
7. Golongan yang uzur, sama ada uzur disebabkan sakit atau
cacat anggota atau tua atau terlalu miskin, sedangkan tanggungjawab
serta ada keluarga yang hendak ditanggung.
Maka mereka tidak dapat ikut serta di dalam perjuangan,
hanya memberi doa semata-mata. Golongan ini dimaafkan.
8. Golongan yang memilih menghabiskan masa untuk beribadah
daripada berjuang di waktu musuh belum begitu
mengancam terhadap umat Islam dan negara Islam. Sedangkan
sudah ada golongan lain yang berjuang dan tenaga
itu sudah cukup sebagai menegakkan fardhu kifayah. Maka
Golongan itu diharuskan untuk bersikap demikian tapi pahalanya
rendah dibandingkan dengan golongan yang berjuang
itu.
9. Golongan yang sudah tidak mempedulikan langsung terhadap
Islam. Mereka ialah Islam keturunan. Ibadah untuk
dirinya sahaja, tidak mahu berjuang, malah mereka tidak
mahu fikir mengenainya dan hanya mahu hidup sematamata.
Memikirkan makan, minum dan seks sahaja. Islam
tidak ada langsung di dalam hati mereka. Golongan ini disangsikan
keislaman mereka.
10. Ada golongan pada mulanya menceburkan diri di dalam
perjuangan. Apabila mendapat kesusahan atau tidak tahan
berhadapan dengan ujian dan cabaran, akhirnya mengundurkan
diri. Yang mengundurkan diri itu, ada yang menentang
dan ada yang tidak menentang.
11. Ada golongan yang menggabungkan dirinya di dalam
perjuangan setelah perjuangan itu telah menghasilkan buahnya,
ertinya setelah perjuangan memberi kesenangan. Tapi
apabila berhadapan dengan ancaman atau ujian yang berat,
ia akan menentang perjuangan itu dan adakalanya terus
menyebelahi musuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan