Rabu, 2 September 2009

Bila JAWI Gegar Orang Yang Tidak Berpuasa....

Gambar oleh: Berita Harian


Sumber berita Harian Metro : KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang sedang leka menikmati nasi lemak bungkus di sebuah gerai makan bertempiaran melarikan diri sebaik menyedari gerai berkenaan diserbu pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Wilayah Persekutuan (Jawi), pagi semalam.



Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki Melayu berkenaan yang tidak berpuasa bersama beberapa rakan lain didapati menggunakan lokasi tersorok di belakang Kompleks Wilayah di sini, untuk mengisi perut pada siang hari Ramadan.

Lelaki terbabit yang meloncat tembok batu setinggi lebih satu meter terus melarikan diri dengan meninggalkan dua rakannya yang terpinga-pinga dikepung pegawai Jawi.
Sebaik ditahan, dua lelaki berusia awal 20-an yang sedang merokok sambil menjamu selera diminta menyerahkan kad pengenalan sebelum disoal siasat pegawai Jawi.


Sorang lelaki terbabit yang mengaku sedang memakan nasi lemak panas memberi alasan kononnya tidak dapat berpuasa semalam kerana terlupa niat puasa sebelum tidur.

Bagaimanapun, alasan berkenaan dianggap tidak munasabah berikutan lelaki terbabit didapati `curi' makan di lokasi tersorok yang menjadi tumpuan kaki ponteng puasa menjamu selera di siang hari.


Berikutan itu, pegawai Jawi diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasan Agama (KPPA), Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Zainul Abidin Mat Nor, mengarahkan kedua-dua lelaki terbabit datang ke ibu pejabat Jawi untuk diambil keterangan hari ini selain bungkusan makanan dan minuman turut diambil sebagai bukti.

Pemeriksaan sama turut dilakukan pegawai Jawi di kawasan medan selera di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini sebelum mendapati beberapa gerai terbiar dijadikan `markas' berkumpul sambil mengisi perut.


Ini terbukti apabila beberapa bahagian dapur tersorok di medan selera berkenaan dipenuhi dengan tin minuman, air kotak dan bungkusan makanan yang berselerakan di atas meja.


Operasi terbabit diteruskan ke Kompleks Pertama dan medan selera pusat beli-belah Sogo, di sini.

Dalam pemeriksaan di medan selera di tingkat enam berkenaan, dua lelaki yang dipercayai baru saja menjamu selera turut diperiksa dan disoal siasat pegawai Jawi.

Bagaimanapun, timbul suasana panas apabila seorang daripada lelaki berkenaan tidak mengaku bungkusan makanan terbabit miliknya sebaliknya memberi alasan majikannya baru saja beredar selepas menjamu selera.


Namun, dakwaan terbabit dianggap satu lagi alasan tidak munasabah apabila lelaki itu turut didapati sedang menyepit rokok masih berasap di tangannya.

Pada masa sama seorang gadis berusia awal 20-an yang baru sahaja ingin menjamu selera dengan hidangan laksa asam turut disoal siasat oleh pegawai Jawi kerana didapati tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai.


Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata semua lelaki dan wanita beragama Islam yang ditahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 atas kesalahan makan, minum atau menghisap rokok secara terbuka di tempat awam.

Jika sabit kesalahan kali pertama, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya semalam.


Dalam operasi bersepadu Jawi terbabit di 80 lokasi sekitar ibu kota semalam, seramai 13 lelaki termasuk seorang wanita yang tidak berpuasa ditahan.

Asmawi berkata, program rondaan , pemantauan dan pencegahan sempena bulan Ramadhan 2009 dilakukan dalam usaha melaksanakan dakwah bilhal kepada masyarakat.

3 ulasan:

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin