Jumaat, 11 September 2009

Mengenal Ulamak


Foto oleh : arzah1


Ramai orang di sana-sini memperkatakan tentang ulamak. Malah tidak kurang juga ada di antara mereka yang mengaku diri ulamak. Walhal, tidak pernah berlaku dalam sejarah, ulamak itu melantik diri mereka ulamak. Imam Syafie, sebagai contoh, rakyat yang mengakui dirinya ulamak tetapi dia sendiri tidak pula mengaku ulamak. Imam Ghazali pun begitu juga. Ramai orang cakap-cakap yang Imam Ghazali itu ulamak. Tapi bagi Imam Ghazali sendiri, tidak pula dia mengaku ulamak. Namun, apapun yang telah disebutkan tadi, ulamak itu bukan dinilai oleh orang ramai. Bukan juga dinilai oleh kerajaan. Lebih-lebih lagilah bukan dinilai oleh tuanpunya diri yang merasa dirinya ulamak. Kalau begitu bagaimana hendak kenal ulamak?



Ini boleh kita lihat dalam Al-Quran, Firman Allah yang bermaksud, "Hanya sanya yang takut dengan Tuhan itu ialah ulamak" - Al-Fathir:28. Dalam ayat ini, ada 2 perkataan penting yang boleh kita ambil. Pertama, ulamak dan kedua ialah takut. Maksud ulamak di sini ialah orang yang ada ilmu yakni ada ilmu dunia dan ilmu akhirat. Ada ilmu tentang Tuhan dan ada ilmu tentang syariat. Kemudian, dia itu takut dengan Tuhan. Kalau begitu kata Tuhan, iaitu ulamak mesti ada ilmu akhirat, ilmu dunia dan juga takut dengan Tuhan; maka datanglah perintah Allah melalui ayatNya yang bermaksud: "Hendaklah kamu bertanya (tentang akhirat, tentang dunia, ekonomi, masyarakat) kepada ahli zikir." (An-Nahl:43)


Rupanya, ulamak itu ialah ahli zikir. Ahli itu menunjukkan orangnya, dan zikir itu menggambarkan sifatnya. Ertinya, di sini, ulamak itu ilmunya mendarah mendaging. Tidak perlu buka kitab tetapi bila ditanya tentang ilmu Islam, dia boleh jawab. Bila ditanya tentang masyarakat Islam, keluar jawapannya. Itulah maksud mendarah mendaging. Ilmu yang ada difahami, dihayati dan dijiwai. Kalau baru waktu itu hendak buka kitab, itu merujuk kepada guru yang mengajar dan taklah disebut sebagai ulamak. Ada beza ahli zikir dengan ahli fikir. Ahli fikir, ilmunya sekadar di akal, tidak turun ke hati. Maksudnya ahli fikir ini sekadar tahu ilmu atau sekadar berteori-teori sahaja. Ilmunya hanya jadi bahan "mental-exercise". Ilmunya bertapak di akal, bukan di hati. Ilmunya tak mendarah mendaging, bermaksud tak difahami, hayati dan jiwai.


Mari kita perincikan maksud ahli zikir pula. Orang ini ialah yang cinta dan takutkan Tuhan. Ilmu yang ada padanya sudah mendarah daging. Kalau hatinya ibarat gudang, segala jenis barang ada di dalamnya. Hendak minta apapun, semuanya ada dalam gudang. Mintalah apa sahaja yang diperlukan, dia boleh jawab. Begitulah sekali diumpamakan ilmunya. Kalau kerajaan, rakyat, orang besar atau kecil, hendak bertanya, tanyalah dengan ulamak yang dikatakan ahli zikir ini. Jangan tanya kepada ustaz atau guru, sebab dia faham satu-satu bab sahaja. Merujuk pada ayat Al-Quran tadi, Allah tidak sebut tanya guru, tetapi jelas Allah sebut tanyalah Ahli Zikir. Hati ahli zikir ini kuat dengan Tuhan dan ilmunya mendarah daging. Orang seperti inilah yang diperlukan oleh Umarak (pemimpin). Umarak kena banyak bergantung kepada Ulamak untuk memimpin dan mencorak masyarakat. Sekian


Sumber: Minda Global

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin