Khamis, 10 September 2009

Majlis Ulama Indonesia Haramkan Pengemis Jalanan

Sumber : Berita Harian

JAKARTA: Buat pertama kalinya selepas kemerdekaan, Majlis Ulama Indonesia atau MUI mengeluarkan fatwa bahawa meminta sedekah di jalanan adalah sesuatu yang haram.


Sumber Gambar: Basri Marzuki

Perbuatan meminta sedekah di ibu negara itu biasanya menjadi satu fenomena bermusim terutama pada Ramadan. Malah bulan puasa juga menjadi tarikan bagi sekumpulan peminta sedekah untuk memenuhi setiap penjuru di ibu negara itu.

Tahun ini sehingga hari ke-13 Ramadan hampir 1,500 peminta sedekah dengan kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak dari luar Jakarta dilaporkan ditahan pihak berkuasa bandar raya terbabit.

Keputusan ulama itu dibuat berikutan keputusan hampir sama dikeluarkan pihak berkuasa sivil untuk mengambil tindakan terhadap peminta sedekah dan juga mereka yang memberikan sedekah.

Fatwa MUI juga dibuat selepas langkah yang hampir sama diambil oleh Persatuan Ulama Madura (Jawa Timur) pada pertengahan Ogos lalu.

Bagi kebanyakan ulama Islam perbuatan meminta sedekah akan menyebabkan malas. Ketua MUI Jakarta, Amidan berkata fatwa terbabit adalah bertujuan menghukum mereka yang mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang lain untuk mendapatkan wang.


“Sebilangan peminta sedekah mempunyai pendapatan mingguan lebih tinggi daripada pekerja kolar putih,” kata Amidan.

Beliau menolak bantahan daripada peminta sedekah dengan menyifatkan bahawa perbuatan meminta sedekah tidak diperkenankan dalam Islam.

“Memberi adalah lebih baik daripada menerima dalam Islam,” katanya.

Keputusan MUI itu turut mendapat pandangan yang berbeza di Indonesia. Ada yang menyukai langkah itu manakala yang lain berkata ia menghalang orang ramai daripada bersedekah sepanjang bulan Ramadan dan disifatkan sebagai idea yang tidak baik.


Dua pertubuhan Islam penting Indonesia, Nahdathul Ulama (NUI) dan Muhammadiyah menyambut baik keputusan ulama berkenaan.

Media tempatan melaporkan kebanyakan peminta sedekah bermusim datang dari utara Jawa dan Tegal di Jawa Barat. Mereka sebenarnya tidak miskin, hidup dalam rumah yang baik di bandar atau kampung mereka. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin