Rabu, 27 Januari 2010

EKONOMI ISLAM MENURUT KEHENDAK TUHAN

Akibat taufan Katrina, krisis di Iraq dan juga pertumbuhan pesat industri negara-negara di Asia, pengedaran minyak di seluruh dunia sudah tidak seimbang dan semua negara di dunia merasai bahang kenaikan harga minyak ini.



Dalam Islam berniaga bukan semata-mata untuk mencari untung kerana di dalam perniagaan tidak semestinya kita sentiasa mendapat untung. Dalam perniagaan sering juga kita menghadapi kerugian.

 
Tujuan perniagaan mengikut Islam sebenarnya ialah untuk memperbesarkan, memperpanjangkan dan memperluaskan aktiviti syariat dan dengan tujuan beribadah dan mendapat pahala yang banyak. Justeru itu di dalam perniagaan, hendaklah kita sentiasa mencari keredhaan Tuhan dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.





Mari kita lihat betapa di dalam perniagaan itu luas sekali syariatnya atau luas sekali ibadah yang berlaku di mana kebaikan dan pahalanya pula amat banyak sekali.





Di antaranya:-





1. Di dalam Islam berkawan itu disuruh. Di Akhirat kelak, kawan itu boleh memberi syafaat. Melalui perniagaan, kita akan banyak dapat kawan sama ada dari kalangan pembekal-pembekal, kawan-kawan sekerja ataupun para pelanggan.





2. Melalui perniagaan, kita dapat memberi khidmat secara langsung mahupun secara tidak langsung kepada manusia dan ahli-ahli masyarakat. Ada Hadis yang bermaksud:“Yang paling baik di antara kamu ialah kamu yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”





3. Islam sangat menggalakkan kerjasama. Di dalam perniagaan banyak terdapat unsur-unsur kerjasama dan peluang serta keperluan untuk bekerjasama. Di dalam Al Quran ada disebutkan maksudnya: “Bertolong bantulah di atas kebaikan dan ketaqwaan.” (Al Maidah: 2)





4. Di dalam perniagaan juga ada banyak tolak ansur, iaitu satu sifat terpuji yang sangat dianjurkan oleh Islam. Kalau tidak ada tolak ansur, kita tidak boleh berniaga.





5. Perniagaan membantu dan memudahkan manusia dan ahli masyarakat mengurus dan mendapatkan keperluan hidup mereka, terutama di bidang makan minum dan keperluan harian. Mendahulukan, mengutamakan dan memudahkan orang lain itu sangat dipandang tinggi dan baik dalam Islam.





6. Dengan berniaga kita dapat menyelamatkan barangan keluaran umat Islam sama ada hasil pertanian, hasil ternakan dan lain-lain dengan mengumpul dan memasarkannya. Kalau tidak, barangan itu akan rosak dan terbuang. Akan timbul pembaziran. Dalam Islam pembaziran sangat dilarang. Menjauhi dan mengelak pembaziran adalah satu kewajipan.





7. Kita dapat memperolehi banyak pengalaman melalui perniagaan sama ada di bidang pengurusan, perakaunan, mengenal barang, mengenal tempat, mengenal cara hidup dan masalah manusia dan lain-lain lagi. Dalam Islam, mencari ilmu dan pengalaman seperti ini sangat dituntut.





8. Dalam berniaga, kita boleh berlatih sabar dalam menghadapi berbagai-bagai masalah perniagaan dan dalam menghadapi berbagai-bagai kerenah pelanggan. Sabar adalah satu sifat mulia (mahmudah) yang sangat diperlukan dalam kehidupan. Orang yang sabar diberi pahala oleh Tuhan tanpa hisab.





9. Berniaga merupakan salah satu cara untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Ia merupakan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Tuhan di muka bumi supaya dapat dilihat kebesaran Tuhan serta dapat dibesarkan dan dinikmati segala nikmat dan anugerah-Nya agar manusia boleh bersyukur dan mendapat pahala pula di atas kesyukuran mereka itu.





10. Dalam berniaga, kita berpeluang mengeluarkan zakat perniagaan. Dengan itu salah satu dari rukun Islam dapat kita tunaikan. Dapat kita wujudkan salah satu sumber atau saluran untuk membantu fakir miskin dan asnaf-asnaf yang lain. Banyak golongan akan terbantu dan terbela.





11. Dalam perniagaan, kita dapat membuat latihan berlapang dada terutama apabila berhadapan dengan karenah manusia. Ia sentiasa mencabar emosi dan perasaan kita. Maka kita selalu sahaja menyembunyikan kemarahan kita. Menyembunyikan kemarahan itu disuruh oleh Islam. Di dalam Quran ada disebut bahawa menyembunyikan sifat marah itu adalah satu dari sifat orang bertaqwa.





12. Perniagaan memerlukan sifat berlapang dada, bertolak ansur, bertimbang rasa, memberi maaf, berlebih kurang, bersimpati dan sebagainya. Sifat-sifat ini terpuji dan sangat diperlukan dalam pergaulan. Dalam Hadis ada disebut bahawa Islam itu adalah as-samhah iaitu agama pemaaf dan berlapang dada.





13. Perniagaan mewujudkan peluang pekerjaan untuk manusia sebagai sumber mencari rezeki. Dengan perniagaan, manusia boleh mengelak diri dari menganggur yang ditegah oleh syariat. Sekaligus tenaganya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ertinya, dengan adanya perniagaan, tenaga manusia tidak dibazirkan dan manusia itu boleh jadi produktif dengan mengeluarkan hasil untuk faedah manusia lain.



Jelas bahawa dengan apa yang disenaraikan di atas, begitu banyak sekali syariat Islam dapat kita tegakkan melalui perniagaan. Maksudnya, berbagai-bagai aspek dalam Islam dapat kita bangunkan di dalam perniagaan. Apabila banyak aspek syariat yang dapat kita bangunkan maka banyaklah ibadah kita. Banyaklah pahala yang kita dapat. Oleh itu, tidak hairanlah Islam menganggap orang yang berniaga secara jujur dan menepati kehendak-kehendak syariat itu sebagai orang yang berjihad fisabilillah. Munasabah juga berniaga itu dianggap kerja yang paling baik dalam Islam kerana kebaikan yang diperolehi oleh masyarakat hasil dari perniagaan adalah terlalu banyak.





Sekian

ASZ




Gambar hiasan: yimss sindhu


Selasa, 26 Januari 2010

Penulis blog hina Almarhum Sultan Iskandar ditahan

Oleh Azida Shaharuddin


azida@nstp.com.my


JOHOR BAHRU: Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Aduka Taruna, akhirnya ditahan polis petang semalam bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri.



Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di sekitar Kota Bharu, Kelantan, kira-kira jam 4 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, ketika dihubungi mengesahkan penahanan penulis blog itu yang disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, penulis terbabit boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, selain dikenakan denda tambahan RM1,000 setiap hari dalam tempoh kesalahan

Mohd Mokhtar berkata, lelaki terbabit dibawa ke IPD Muar kerana laporan awal yang dibuat terhadapnya, diterima IPD berkenaan.

Selain itu, IPD Kluang menerima 23 laporan yang dibuat orang awam serta ahli politik berhubung kenyataan penulis blog berkenaan; IPD Batu Pahat (empat); Johor Bahru Selatan (tiga) dan satu di IPD Seri Alam.

Sehubungan itu, Mohd Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang penghinaan, fitnah mahupun tuduhan tidak berasas di blog.

"Polis berkemampuan menjejaki pihak bertanggungjawab yang menyalahguna saluran multimedia," katanya.

Difahamkan, penulis blog yang beralamat di Seremban, Negeri Sembilan itu, menyembunyikan diri di Kota Bharu selepas kenyataan yang disiarkan dalam blognya, Sabtu lalu, menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Penulis blog terbabit menerima lebih 1,000 komen susulan kenyataan itu, dengan sebahagian besarnya menyatakan rasa tidak puas hati dan ada yang mengugut untuk membunuhnya.

Aduka Taruna dipercayai penulis blog keempat ditahan polis kerana menyiarkan kenyataan berunsur penghinaan atau hasutan.


Pada 0gos 2008, penulis blog `Penarik Beca', Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, sebagai satu penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai supaya membenci polis.



Isnin, 25 Januari 2010

KEINDAHAN DAN KECANTIKAN SEORANG WANITA

Malu pada seorang wanita itu sebenarnya



di situlah letaknya keindahan


dan kecantikannya


Bersopan santun, berakhlak mulia,


maruahnya dijaga kerana ia adalah harga dirinya


Pandai bergaul tapi tidak bebas dan terbabas


Pakaiannya kemas tapi tidak menampakkan


terlalu mewah atau menunjuk-nunjuk


dan tidak pula terlalu rendah mutunya kecuali tidak ada


Berbudi bahasa, peramah dan mesra,


tapi tidak mengada-ngada


Auratnya dijaga tidak didedahkan kepada yang bukan muhramnya


Matanya selalu ditundukkan


terutama kepada laki-laki ajnabi kecuali perlu sahaja


Bahasa bersahaja, mengikut fitrah semulajadinya,


tidak dibuat-buat atau mengada-ngada


Percakapannya dijaga, tidak menyindir-nyindir atau mengata-ngata orang


atau memuji-muji diri dan keturunannya


Suaminya dihormati dan ditaatinya,


keluarga suaminya dimuliakannya


Berkasih sayang dan berlemah lembut dengan anak-anaknya


tetapi tidak terlalu dimanja dan dimewah-mewahkan


Rajin bekerja dan mengemaskan rumahtangga budaya hidupnya


Beribadah dengan Tuhan tidak diabaikan bahkan istiqamah ibadahnya


Jiran dan kehormatan jiran sangat dijaga,


macam menjaga keluarganya


Ketika berjalan jauh bersama muhramnya atau bersama 3 orang wanita


yang boleh dipercaya


Tidak tamak, tidak bakhil, sentiasa baik sangka dengan suaminya


Apatah lagi cemburu dan prejudis dengan suaminya


tidak ada di benak kepalanya


Jika suaminya susah, sanggup bersama-sama susah dengan suaminya


Tidak suka meminta-minta dengan suaminya kecuali terlalu perlu sahaja


Tidak suka bertanya-tanya suaminya ketika balik,


“Abang ke mana? Dari mana?


Buat apa di sana? Mengapa lambat balik?”


Suaminya balik disambut dan dilayan dengan baik


Di waktu itu dia tahu dan faham apa keperluan suaminya


Hingga sikapnya itu suaminya senang,


tenang, terhibur dan lapang fikirannya


Tidak meninggikan suara dengan suaminya,


kalau dia bersalah cepat meminta maaf dengan suaminya


Kesalahan dan kesilapan suaminya dilupa-lupakan sahaja


Tidak mengungkit-ungkit suaminya,


sekalipun di waktu dia tidak senang


dengan suaminya


Itulah kecantikan dan keindahan seorang wanita


Manalah hendak kita cari wanita semacam ini sekarang?


Minda Guruku







Gambar Hiasan: Snetesa

Khamis, 21 Januari 2010

Punca Kerosakan Masyarakat

Hendak membaiki dan membaikpulih masyarakat Islam yang telah rosak, kena dikaji sumber penyakit, bila bermulanya dan siapa pencetusnya. Masalah yang terjadi pada manusia pada hari ini adalah berpunca daripada manusia itu sendiri. Ini telah diperjelaskan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran, maksudnya: “Telah terjadi kerosakan di darat dan lautan berpunca dari perbuatan tangan manusia.” (Ar-Rum:41)



Dalam ayat lain, Allah berfirman:


“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.” (As-Syuura:30)


Mari sama-sama kita mengkaji punca kerosakan tersebut. Di sini, ada 2 sebab terbesar bagaimana kerosakan oleh manusia ini boleh terjadi.


Sebab pertama, ialah kerana 2 golongan penting dan berpengaruh di tengah masyarakat sudah rosak iaitu ulamak dan pemimpin. Ini telah berlaku dan tepatlah sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. “Ada dua golongan manusia apabila mereka baik, baiklah masyarakat, tetapi apabila rosak, maka rosaklah masyarakat. Mereka ialah ulamak dan pemimpin.” Di sini fahamlah kita, bila masyarakat itu rosak, puncanya bukan dari masyarakat secara umum, tetapi menjurus kepada kerosakan 2 golongan. Itulah dia ulamak dan pemimpin.


Golongan yang pertama adalah ulamak. Bila ulamak sudah rosak, oleh kerana dia adalah contoh, maka rosaklah rakyat. Ulamak ibarat benteng masyarakat. Bila benteng rebah, masyarakat ikut rebah. Yang kedua, adalah pemimpin. Pemimpin itu ada berbagai-bagai peringkat. Samda bertaraf negara, bertaraf bangsa, bertaraf etnik, bertaraf jemaah atau bertaraf puak, pokoknya dia pemimpin. Pemimpin itu adalah bayangan masyarakat. Pemimpin adalah orang yang disegani dan berpengaruh di kalangan masyarakat. Apabila ia rosak, mudah sahaja masyarakat rosak. Bila pemimpin semua peringkat sudah rosak, maka rosaklah masyarakat.


Sebab kedua mengapa berlakunya kerosakan masyarakat adalah kerana umat Islam ini sudah cinta dunia dan takut mati untuk Tuhan. Bila cinta dunia, ertinya tidak cinta Tuhan. Bila cinta dunia juga bermakna tidak takut Tuhan. Bila tidak cinta Tuhan dan tidak takut Tuhan, ertinya jati diri umat Islam sudah roboh. Jadilah hati umat Islam itu terdedah kepada berbagai-bagai kejahatan. Bila begitu keadaannya, musuh seperti Yahudi ambil peluang. Maka Yahudi masukkan berbagai perkara negatif seperti bahan-bahan lucah, bahan-bahan yang boleh merosakkan akhlak, perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu jahat. Yahudi buat begitu kerana mereka ambil peluang di waktu mana jati diri umat Islam sudah roboh disebabkan tidak cinta Tuhan dan tidak takut Tuhan.


Begitulah serba ringkas punca kerosakan masyarakat Islam yang perlu kita ketahui. Dari punca inilah, kerosakan tersebut boleh dibaikpulihkan. Hasilnya nanti, masyarakat Islam akan kembali menjadi masyarakat yang cintakan Tuhan dan berkasih sayang sesama manusia. Ini sesungguhnya, mengulangi gambaran masyarakat Islam contoh di zaman Rasulullah dan para sahabat 1400 tahun dahulu.



Minda Mujaddid


Foto oleh: haikalhelmi

Rasuah Seks Dan Wang


Sumber : Berita Harian Online


Setiausaha Kerja Exco Selangor antara 34 orang ditahan SPRM dalam serbuan besar-besaran kes curi, seludup pasir di lima negeri





PUTRAJAYA: Setiausaha kerja seorang Exco Selangor dan setiausaha sulit seorang ahli politik adalah antara 34 orang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima sogokan serta rasuah seks berhubung kes mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri.





Penahanan besar-besaran itu dibuat dalam beberapa siri operasi kelmarin dan semalam hasil risikan, intipan, pemantauan dan pemerhatian sejak April tahun lalu berikutan 410 maklumat awam yang diterima SPRM.





Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata selain dua pegawai ahli politik, turut ditahan 24 kakitangan awam yang sebahagiannya pegawai dan ketua jabatan, lima orang awam dan tiga kakitangan swasta.

 
Dalam operasi itu, SPRM juga merampas wang tunai kira-kira RM50,000 dan beberapa dokumen.





Beliau mengesahkan pasir yang dicuri itu diseludup ke negara jiran.





Shukri berkata, seorang kakitangan kerajaan sudah didakwa di Ipoh, kelmarin, berhubung kes itu.





Katanya, siasatan mendapati setiap individu terbabit dipercayai menerima sogokan antara RM500 hingga RM50,000 termasuk ada yang mendapat wang secara bulanan dan tiga membabitkan rasuah seks.





Beliau berkata, sindiket mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri itu dikatakan membabitkan sogokan lebih RM280,000, selain rasuah seks





Shukri enggan mendedahkan lima negeri terbabit, tetapi difahamkan kes berkenaan berlaku di Johor, Pahang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.





“Operasi masih berjalan dan SPRM menjangka akan ada lagi beberapa tangkapan dan saya berharap orang ramai memberi kerjasama.





"Saya tidak ada jumlah (akan ditahan) tetapi dijangka ramai lagilah... ada kemungkinan (pangkat) tinggi lagi, tunggu, sabar dan lihat," katanya pada sidang media di sini, semalam.





Difahamkan, dua daripada 24 kakitangan awam ditahan itu adalah ketua jabatan kerajaan di Selangor.





Shukri juga merujuk kepada ketegangan yang berlaku di Shah Alam, semalam, apabila pegawainya dihalang daripada menahan seorang individu yang bekerja dengan ahli politik.





Semua 34 individu itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.





“Rasuah itu untuk memproses permohonan mengeluarkan pasir, mempercepatkan permohonan pengeluaran pasir dan tidak mengambil tindakan ke atas (kegiatan) pasir yang dibawa keluar tanpa permit,” katanya.





Beliau enggan menjelaskan mengenai rasuah seks, tetapi meminta media menunggu sehingga perbicaraan.





Shukri berkata, sebahagian daripada mereka yang ditahan dibebaskan selepas diambil keterangan manakala bakinya masih ditahan untuk disoal siasat.





Terdahulu, di SHAH ALAM, Setiausaha Kerja kepada Exco Selangor ditahan pegawai suruhanjaya itu di pejabat wakil rakyat berkenaan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bagi membantu siasatan.





Beliau dibawa sepasukan lima pegawai SPRM diketuai Superintendan Prem Raj Victor ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya jam 3.30 petang, diiringi Exco itu dan peguam dilantik kerajaan negeri.





Exco itu yang ditemui mengesahkan pegawai SPRM mengambil tiga dokumen berkaitan profil sebuah syarikat melombong pasir dan dokumen lawatan ke China.





Di IPOH, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM30,000 ke atas pembantu am rendah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ipoh yang mengaku salah menerima suapan RM6,000 untuk kelulusan mengeluarkan pasir Sungai Menora, Mukim Sayong di Kuala Kangsar, Perak.





Noorazhar Azlan, 48, dituduh melakukan perbuatan itu di Dulang Coffee House, Hotel Excelsior di sini, jam 12.15 tengah hari, 15 Januari lalu.





Hakim Tan Hooi Leng dalam keputusannya berkata, tertuduh melakukan kesalahan keji dan boleh memberi kesan bukan saja kepada dirinya, tetapi masyarakat umum.





Bagaimanapun, katanya, individu itu berjaya ditahan dan dibawa ke ibu pejabat suruhanjaya di sini selepas perbincangan lebih sejam dengan peguamnya.






“Justeru, hukuman ini adalah mesej kepada diri kamu (tertuduh) dan juga orang lain," katanya.





Rabu, 20 Januari 2010

Berdakwah Kerana Kewajipan Bukan Cari Makan

Engkau berdakwahkah atau mengambil upah?


Berdakwah kerana Allah bukan mengambil upah


Engkau tawar-menawar dahulu baru berdakwah,


itu bukan kerana Allah


Berdakwah bagi yang pandai adalah kewajipan bukan untuk cari makan


Berdakwah kerana Tuhan bukan cari makan


Kalau berdakwah bukan cari makan


tapi orang beri upah tidak pula satu kesalahan


Tidak malukah bahawa engkau berdakwah itu adalah kewajipan


Ia adalah suruhan Tuhan


Suruhan Tuhan wajib disampaikan


Maka mengapa engkau berdakwah dijadikan gelanggang cari makan


Tidak malukah engkau dengan Tuhan


Cari makan banyak jalan


Bumi Tuhan luas,


berusahalah secara halal di mana-mana pun boleh cari makan


Jangan cari makan dengan ibadah


Ibadah adalah kewajipan


Berdakwah itu adalah satu cabang ibadah


Ibadah kenalah laksanakan


Ibadah tidak boleh dijadikan gelanggang cari makan


Tidak fahamkah engkau akan suruhan Tuhan?!


Kalau tidak faham mengapa tidak cari ilmu pengetahuan


Mencari ilmu pengetahuan satu kewajipan


Kalau engkau faham dua kali kesalahan


Salah kerana melanggar ajaran Tuhan


Satu lagi salah engkau melanggar kerana ada pengetahuan


Tinggalkanlah berdakwah kerana cari makan



Berdakwahlah kerana kewajipan


Itu adalah perintah Tuhan


Gambar Hiasan: Hanksun88

Selasa, 19 Januari 2010

Panduan Menangani Gejala Sosial

Satu panduan yang berupa risalah atau artikel atau



buku kecil harus dikeluarkan dengan segera bagi


menangani gejala-gejala masyarakat terutama yang


berlaku kepada pelajar-pelajar sekolah dan remaja masa


kini agar kaedah-kaedah atau formula-formula yang


dilaksanakan itu tidak merupakan percubaan semata-mata


atau ‘trial and error’. Biarlah kaedah itu tepat dan


untuk tindakannya ada orang yang layak melaksanakannya


secara ia sendiri menghayati dan diapplykan kepada


pelajar-pelajar atau belia, kena sasarannya agar


usaha-usaha kita itu berkesan, selepas itu tidak ada


lagi meraba-raba mencari formula serta sentiasa


mencuba-cuba.






Mendidik binatang atau cara menanam pokok boleh


dicuba-cuba. Kalau tidak tepat atau tidak menjadi dia


tidak merosakkan generasi penerus. Binatang atau


pokok itu boleh dimusnahkan sahaja atau dijual


murah-murah atau disembelih dan dibuat sayur. Kemudian


boleh cari formula (kaedah) yang lain untuk membuat


percubaan kepada haiwan atau tanaman.






Tapi untuk mendidik manusia yang berperanan sebagai


hamba Allah dan khalifah-Nya serta penerus generasi


yang ada, mana boleh mendidik mereka dengan membuat


formula (kaedah) secara mencuba (trial and error)


kerana kalau kaedah itu tidak tepat, akan musnahlah


satu generasi yang generasi itu akan mendidik pula


generasi berikutnya. Akan punahlah bangsa itu


berlarut-larutan beratus-ratus tahun lamanya.


Oleh itu untuk menangani gejala sosial di kalangan


pelajar atau belia, mana boleh sekadar dengan cara


riuh-rendah diperkatakan di suratkhabar, disemarakkan


dengan majlis forum merata negara, dibuat


bermacam-macam undang-undang dan peraturan,


digertak-gertak dan ditakut-takutkan dengan polis.






Kita bimbang dengan usaha-usaha ini kalau ibarat


gejala sosial itu merupakan pokok dedalu, ia akan


menjadi baja untuk lebih menyuburkan pokok dedalu itu.


Ertinya usaha kita itu akan menyuburkan lagi


gejala-gejala sosial di dalam kehidupan kita.






Untuk menangani gejala sosial itu memerlukan golongan


yang ikhlas, kita faham kepada siapa sebenarnya yang


patut menjadi teras menangani masalah ini. Kita tahu


golongan sampingan yang ikut serta untuk dibawa


bersama. Kita mengerti golongan yang mana pula yang


sedang merosakkan para pelajar atau remaja untuk


dibanteras dan puak mana pula yang mengambil


kesempatan dengan kerosakan yang ada.






Kalau kita bukan orangnya menangani gejala sosial di


kalangan pelajar atau remaja, kita jangan campurtangan


walaupun kita ada jawatan atau orang terkenal. Kita


serahlah kepada orang lain yang boleh membuat kerja


ini. Tuhan tidak memberi seseorang itu pakar di semua


bidang. Walaupun boleh mencabar kewibawaan kita, kalau


kita tidak faham di bidang ini janganlah kita


memandai-mandai. Kalau ada golongan yang lain, mungkin


tidak menonjolkan diri atau keadaan tidak membolehkan


dia menonjolkan diri, kita yang ada kuasa


menonjolkannya. Kita tonjollah dia, kita bolehlah


membantu dengan cara teknikal atau kewangan dan doa.






Di bawah ini diberi sedikit panduan secara umum,


iaitu:






1. Kalau di sekolah tempat sumber para pendidik dan


pendidikan manusia sudah tidak mampu lagi melahirkan


manusia yang berdisiplin lahir dan batin, jangan mimpi


di kilang, di padang, di hutan-hutan rekreasi, di


ladang, di pejabat dan lain-lain tempat, dapat


melahirkan manusia yang berdisiplin lahir dan batin.


Kerana tempat-tempat itu bukan gelanggang pendidikan.






2. Sepatutnya manusia yang terdidik itu selalunya lahir


daripada guru-guru yang terdidik, pemimpin guru-guru


seperti pengarahnya, nazir-nazirnya dan


menteri-menteri yang terdidik kerana mereka specialist


di bidang itu.






3. Dasar pendidikan dan pelajaran yang baik itu


menekankan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan


manusia sesama manusia hingga lahir manusia yang


takutkan Allah (iman). Dari sini timbul sifat adil,


amanah, timbang rasa, tawadhuk, pemurah dan pandai


menghormati manusia mengikut taraf masing-masing;


dengan guru bagaimana, dengan ibu bapa bagaimana,


dengan pemimpin bagaimana, dengan kawan sebaya macam


mana, dengan orang yang di bawah peringkatnya macam


mana, meletakkan diri di dalam pergaulan macam mana?






4. Gejala-gejala masyarakat ini, ia bala dari Tuhan.


Ada perkara yang tersembunyi mengapa Tuhan lakukan.


Banyak manusia tidak tahu perkara yang batiniah ini.


Di antaranya dasar pelajaran dan pendidikan yang tidak


tulen berdasarkan syariat, banyak bersifat akli,


mereka yang terlibat dengan pelajaran dan pendidikan


nawaitunya bukan kerana Allah, mungkin kerana gaji,


nama, kedudukan.






5. Mungkin di sudut-sudut lain seperti di bidang


pembangunan, ekonomi, kita berjaya lantaran itu kita


sombong, bangga, mencari nama, lupa hubungan kita


dengan Allah, memperkecil-kecilkan orang lain, maka


Allah rosakkan di aspek yang lain maka akhirnya


kejayaan-kejayaan itu tidak ada erti apa-apa lagi


kepada manusia, agar manusia kembali kepada Allah dan


tidak menghina golongan-golongan yang lain yang tidak


mampu membuat kemajuan. Allah mahu makin banyak nikmat


Allah (kemajuan) makin merendah diri bukan membesar


diri. Allah mahu mengajar manusia usaha di tangan


manusia, yang menjayakan ialah Allah Taala, supaya


manusia tidak sombong.






6. Mungkin kita hanya mengiktiraf usaha-usaha kita atau


golongan yang sama prinsip dengan kita. Kemudian kita


tekan dan zalimi golongan lain yang tidak sebulu


dengan kita, sama ada secara terang-terangan atau


secara senyap-senyap. Lantaran itu Allah murka, maka


Allah lakukan melalui usaha dan dasar yang kita buat


itulah yang menimpakan mala petaka kepada kita.






7. Sebahagian umat Islam, bala bencana yang berlaku


(gejala sosial) itu mereka tidak percaya ia adalah


disebabkan dosa. Oleh itu mereka tidak akan merasa


berdosa dan dengan itu mereka tidak akan bertaubat


kepada Allah di dalam menyelesaikan masalah yang


timbul. Tapi apa yang mereka hubung kaitkan dengan


gejala itu ialah disebabkan hal-hal lahir seperti


miskin, tidak ada hubungan yang rapat dengan ibu bapa,


oleh kerana keadaan memaksa seperti bekerja di tempat


yang jauh atau masa panjang di luar rumah, maka


hal-hal inilah yang cuba dibaiki. Yang sebenarnya


hal-hal lahir, ia sampingan sahaja atau hal-hal


tambahan yang menjadi penyebab, tapi ada yang lebih


pokok lagi iaitu dosa.






Bukankah di dalam Al Quran, ada menyebut yang


bermaksud:


“Kami tidak membinasakan suatu kampung (negara/negeri)


kalau penduduknya baik.”






Apabila bala bencana Allah lakukan kerana dosa maka


balanya merata. Orang yang baik juga tidak terkecuali


ditimpa sama.






8. Apa yang kita lihat sekarang pelajaran kita lebih


banyak menekankan tentang teknikal, terlalu kurang


menekankan tentang mengenai roh/nafsu. Habis masa,


banyak terkorban wang memikirkan teknikal, persoalan


hendak mujahadatunnafsi tidak ada di dalam kurikulum.


Kalaupun menyebut hal kerohanian, masih kabur dan


tidak tahu bagaimana hendak membangunkan jiwa.






9. Pendidikan kita sekarang lebih banyak menekankan


hal-hal akli dan fizikal. Terlalu sedikit tentang


kerohanian, yang sedikit itu pun tidak begitu jelas.






10. Kita merasa pelik mengapa wujud guru kaunseling,


padahal di dalam Islam setiap guru itu


bertanggungjawab tentang pelajaran, pendidikan,


mengkaunseling mana-mana yang tidak kena pada para


pelajar bahkan guru yang mengajar lebih berhak


mengkaunseling pelajar kerana mereka rapat dengan


pelajar. Tentu lebih faham hendak membantu pelajar.


Guru kaunseling, dia memberi kaunseling bila ada


timbul masalah pada pelajar, masa itu baru hendak


kenal pelajar itu.






Oleh kerana ukuran kita selama ini tentang baik dan


buruk itu berdasarkan akal bukan syariat, ada


perkara-perkara yang menjadi gejala-gejala masyarakat


tidak dianggap gejala. Seperti pendedahan aurat,


pergaulan bebas, tari-menari yang bercampur lelaki dan


perempuan, gambar-gambar perempuan yang seksi ia


dibiarkan berleluasa. Padahal di dalam


setengah-setengah gejala sosial ia berpunca dari apa


yang kita sebutkan tadi secara tidak sedar sedikit


demi sedikit merosakkan jiwa.






Foto Hiasan oleh: nikshai

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin