Khamis, 11 Februari 2010

Apa dosa bayi perempuan ini?

Oleh Rizanizam Abdul Hamid


Sumber : Utusan online


KEJAM... Mayat bayi perempuan dihurungi semut dijumpai di hadapan Masjid Permatang Duyong, Melaka, semalam. – Utusan/GAIE UCHEL
MELAKA 10 Feb. – Mungkin kehadirannya ke dunia ini tidak diingini. Namun perlukah bayi yang tidak berdosa ini diperlakukan sedemikian rupa?
Tidak dapat dibayangkan ada orang yang tergamak meninggalkan bayi yang masih bertali pusat di atas lantai di tepi pintu pagar sebuah masjid di sini


Tidak diketahui sama ada ada bayi itu masih bernyawa ketika ditinggalkan di situ. Apa yang pasti, badannya dihurungi semut sewaktu ditemui. Dan bayi itu tidak lagi bernyawa.
Tidak ada manusia waras tergamak memperlakukan sedemikian. Namun itulah yang berlaku terhadap bayi perempuan ini.


Siri kekejaman terhadap bayi yang kelahirannya tidak dikehendaki nampaknya semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tiada penamatnya.
Sudah tiga hari berturut-turut kes yang hampir sama berlaku. Kelmarin, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan semalam, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah.
Penemuan terbaru awal pagi ini, cukup mengejutkan seluruh penduduk Kampung Permatang Duyong di sini.


Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat itu hanya dibalut dengan sehelai kain putih.


Bilal masjid yang datang menunaikan solat Subuh merupakan orang pertama menjumpai mayat bayi itu yang pada mulanya disangka gumpalan baju.
Mohamad Abu, 60, berkata, dia ternampak gumpalan kain putih di atas lantai berhampiran pintu pagar kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Saya tidak berapa perasan kerana keadaan ketika itu gelap. Saya ingat ia hanya baju putih yang mungkin dibawa angin dan terjatuh di situ.
“Ketika itu, saya tidak mempedulikan kain putih tersebut kerana hendak menunaikan solat Subuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Permatang Duyong, hari ini.


Sebaik sahaja selesai solat, dia dikejutkan oleh jeritan seorang rakannya yang memberitahu ada mayat bayi perempuan di atas lantai berhampiran pagar masjid.
Mohamad yang bergegas keluar, terkejut apabila melihat mayat bayi yang dibaluti kain putih itu dihurungi semut.
“Saya betul-betul tidak sangka kain putih yang saya lihat tadi rupa-rupanya digunakan untuk membalut bayi,” katanya.
Dia kemudiannya segera menghubungi polis dan memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi perempuan di masjid berkenaan.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut sambil memberitahu, polis sedang berusaha mengesan ibu bapa bayi berkenaan.
“Mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.


“Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan ibu bapanya termasuk mendapatkan rekod kelahiran daripada hospital dan klinik-klinik kerajaan serta swasta,” katanya.


Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin