skip to main |
skip to sidebar
Tuhan! Setiap doaku Engkau dengarlah.
* Tuhan memang mendengar setiap rintihan hamba-Nya. Cuma kadang-kadang engkau sendiri yang tidak rasa Tuhan sentiasa mendengar apa sahaja yang terlintas di hati dan fikiran engkau.
Setiap permintaanku Engkau terimalah dengan redha. Setiap rintihanku dengan sebab dosa, hapuskanlah dosaku. Penderitaan jiwaku akan dosa dosa, kasihanilah aku. .
* Tuhan memang menerima setiap permintaan hamba-Nya. Doa itu senjata orang mukmin. Tuhan sangat suka mendengar rintihan hamba-Nya. Terutama hamba-Nya yang berdosa. Ia bagaikan nyanyian seorang kekasih terhadap orang yang dikasihinya. Tetapi pastikan engkau bertaubat atas dosa-dosamu dahulu. Kemudian lakukanlah sedekah untuk menebus kembali kesalahan yang telah dilakukan.
Setiap kesungguhanku bermujahadah Engkau kiralah Walaupun aku lemah, memanglah hamba-Mu lemah, maafkan aku. Kelemahan itu memang sifat hamba Di sinilah dengan rahmat-Mu Engkau maafkan selalu. Atau setidak-tidaknya dengan kemaafan-Mu, Engkau gugurkanlah dosa-dosaku.
Tuhan sangat mengambil kira tentang hamba-Nya. Setiap zarah kebaikan akan dihitung. Begitu juga setiap zarah kejahatan turut akan dihitung. Kesungguhan engkau bermujahadah, berhempas pulas dengan nafsu yang rakus dan ganas, Allah tahu dan akan menilai semua itu. Jika kita mengaku diri kita lemah, itulah sifat kehambaan namanya. Di situlah letaknya kasih sayang Tuhan. Dia mahu kita rasakan kita tidak punya apa-apa. Dan tidak ada kuasa apa-apa. Semuanya berjalan atas kehendaknya jua. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dosa dengan Tuhan, mudah bagi Dia untuk ampunkan tetapi dosa sesama manusia mesti diselesaikan di dunia lagi.
Aku bukan gembira dengan dosa-dosa yang aku lakukan. Tidaklah pula aku bangga dengan kebaikan yang aku buat. Apa yang berlaku itu ada maksud dari-Mu. Dengan dosa disuruh dukacita, begitulah sifat hamba. Dengan kebaikan disuruh bersyukur, kerana itulah anugerah kepada hamba.
Sepatutnya kita merintih bersungguh-sungguh atas dosa-dosa yang dilakukan. Menangis membasahi pipi seperti orang-orang soleh zaman dahulu. Engkau patut irihati pada mereka yang merintih pada Tuhan bersungguh-sungguh sehingga adakalanya airmata itu menitis ke bumi. Mereka merasakan kebaikan yang mereka lakukan adalah milik Tuhan. Ia berlaku kerana Allah yang mengkehendakinya begitu. Manusia tiada daya dan upaya tanpa keizinan Tuhan. Bersyukurlah jika dapat berlaku taat di kala orang lain ramai yang masih ingkar pada Tuhan.
Pimpinlah aku selalu di dalam kehidupan ini. Kerana kehidupan di dunia selalu sahaja menipu. Kalau Engkau tidak pimpin aku tidak ada ertinya hidup ini. Dan kecundanglah aku di akhirat sana.
* Allah akan menjadi pemimpin bagi orang-orang bertaqwa. Tuhan akan ajarkan engkau berbagai ilmu jika engkau mengejar taqwa. Engkau akan selamat jika engkau mengejar taqwa. Taqwa itu ialah engkau kekalkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam jiwamu setiap ketika walau di mana jua. Engkau akan dipimpin Tuhan menuju jalan-Nya dalam mencari keredhaan Dia di dunia dan Akhirat
Minda Guruku
Gambar Hiasan: Eric Lafforge
BUKANLAH setiap yang menempa nama wira
Tidak setiap yang ada glamour banyak peminat jadi wira
Tidak semesti setiap yang kuat itu wira
Bukan pula setiap yang gagah itu wira
Tidak juga yang berani itu wira
Kalaulah setiap yang berani itu wira
Yang paling berani yang membunuh dirinya
Apakah dia yang paling wira?
Dialah yang paling celaka!
Dialah yang paling malang dan hina!
Siapa yang sebenarnya wira?
Yang sanggup menyeberangi lautan?
Yang menawan angkasa?
Wira yang sebenarnya mengikut Nabi yang bersabda
Siapa yang sanggup melawan nafsunya
Gambar Hiasan Oleh: Egyptian Photographer
Allah Didahulukan dan Taqwa Diutamakan!
Minda Guruku
ENGKAU ingin memperjuangkan Islam
Perjuangkan Islam di dalam diri lebih dahulu
Engkau ingin didik orang, didiklah diri lebih dahulu
Engkau ingin menyampaikan risalah Islam?
Engkau hayati lebih dahulu
Kalau engkau merasa Islam itu satu kebenaran
Tegakkanlah kebenaran di dalam diri lebih dahulu
Islamkanlah diri lebih dahulu
Sebelum meng-Islamkan orang
Kalau tidak begitu, nanti akan ditertawakan orang
Jika di dalam diri belum kelihatan Islamnya
Mana boleh mempengaruhi orang lain
untuk menerima Islam
Di dalam diri belum selesai
Mana boleh meyakinkan orang untuk menerimanya
Pakailah Islam itu di dalam diri lebih dahulu
Orang akan melihatnya
Kalau indah dilihatnya
Akan ramai pula yang akan memakainya
Islam bukan macam menjual barang
Apa yang kita jual tidak mesti kita pakai
Kita tidak memakai apa yang kita jual,
orang tidak akan mempertikaikan
Tapi Islam adalah keyakinan,
keindahan dan keselamatan
Tentulah kita dahulu yang mengamalkannya
Minda Guruku
Gambar Hiasan: Solat di Medan Perjuangan
Wahai manusia, adanya kita ini di dunia ini hari ini, walhal sebelumnya kita pernah tidak ada disini, dan di satu hari pula nanti pasti kita tiada disini lagi, semuanya adalah ditentukan oleh dua faktor yang utama iaitu Tuhan dan Kasih Sayang. Tanpa kedua-duanya tidak mungkin kita ada, atau ada tapi sangat tidak sempurna. Hidup tapi tiada makna.
Mari kita mengkaji kebenaran kata-kata saya ini. Supaya kalau ia benar moga hidup kita selepas ini akan lebih bermakna lagi.
Mulanya seorang lelaki jatuh cinta dengan seorang wanita. Si wanita juga terjatuh hati padanya. Hatta kalau ditawarkan jejaka atau si dara lain pun, pasti ditolaknya kerana masing-masing sudah cukup terikat dengan cinta sesama. Cuba anda tanyakan, bagaimana boleh terjadi hal yang menakjubkan itu? Perasaan-perasaan itu dapat diikat oleh kuasa siapa? Dan kalau nanti ikatan perasaan itu putus, siapa perancangnya? Dan kalaulah perasaan-perasaan pengikat antara teruna dara itu tidak pernah wujud, sebenarnya perkahwinan jadi tidak perlu. Kalaulah manusia tidak mahu berkahwin, lebih-lebih lagi mereka tidak akan beranak. Tiada anak ertinya kita pun tiadalah di maya pada ini.
Ertinya lahirnya kita kedunia ini adalah hasil perancangan seorang ‘tuan’ yang memasukkan rasa keinginan mendalam lelaki kepada wanita dan sebaliknya. Bila Dia mencabut perasaan-perasaan itu bercerai-berailah dua manusia tadi. Marilah kita namakan Tuan kita itu yang kuasanya tanpa limit itu sebagai Tuhan. Memang Dia pun cakap bahawa Dialah Tuhan Pencipta Yang Agung itu. Logikkah kalau ada orang yang mengatakan Tuhan tidak ada? Mana mungkin sesuatu itu mencipta dirinya sendiri
Baiklah, kalau Tuhanlah perancang yang Maha Hebat itu, apakah Dia tidak penting dalam hidup kita? Apa ada yang lebih penting dari Dia? Sampai-sampai Dia tidak difikirkan dan tidak dipedulikan pun?
Lihat! Tuhan melakukan ciptaanNya lagi dengan lahirnya anak satu demi satu dari sepasang lelaki dan wanita tadi. Yang ajaibnya, antara si anak terbina ikatan oleh perasaan kasihkan saudaranya yang tumbuh dalam dada masing-masing. Siapa tumbuhkan pokok rohaniah yang mata tak mampu melihatnya itu? Bagaimana kalau pokok-pokok itu tidak mahu tumbuh?
Tapi watak perasaan ini boleh berubah rupanya. Dia tidak selamanya subur. Kasih sayang boleh musnah oleh rasa-rasa kepentingan yang cukup kuat mencengkam di hati-hati saudara-mara tadi bilamana masing-masing dewasa dan terjun dalam dunia masing-masing.
Berpecah-belahlah insan-insan yang tadinya disatukan oleh kasih fitrah dari rahim seorang ibu dan ayah. Kepentingan dunia dilihat menjadi sebab perpecahan manusia. Kasih fitrah tidak mampu bertahan apalagi kasih-kasih buatan oleh jasa, kroni, parti dan persatuan. Hari ini mereka berbaik-baik, hari esok boleh mereka bermusuhan! Sedangkan manusia bukannya bahagia dengan perpecahan dan permusuhan. Tanpa kasih sayang suami isteri bercerai-berai, kecewa, putus asa dan menderita, anak-anak sakit jiwa. Sakit-sakit jantung, darah tinggi itu sesungguhnya berpunca dari tekanan-tekanan hidup akibat pergaduhan, kebencian dan kemarahan di kalangan manusia.
Bukankah peperangan-peperangan yang sedang melanda dunia ini hanya berpunca dari hilangnya kasih sayang? Perang keluarga terjadi bilamana masing-masing tak boleh mengawal perasaan benci-membenci. Peperangan di tempat-tempat kerja terjadi bilamana masing-masing tidak mampu membendung hasad dengki. Peperangan di antara kelompok terjadi akibat masing-masing tidak sanggup tercabar. Peperangan antara etnik terjadi kerana rebutan pengaruh. Peperangan antara negara-negara kerana kepentingan-kepentingan duniawi yang nak dipertahankan!
Mana ada satu peperangan yang berlaku di dunia ini akibat dari manusia saling berkasih sayang dan inginkan kebaikan?
Rumahtangga yang aman damai sampai ke anak cucu itu kelihatan berlaku di kalangan orang-orang yang mampu berkasih sayang sekalipun dalam ujian kepahitan. Negara-negara yang aman dari perang itu juga kelihatan di sebabkan faktor mengutamakan kasih sayang. Sebenarnya dan sesungguhnya dunia sedang amat memerlukan kasih sayang untuk selesaikan peperangan. Tapi bagaimana? Biar saya pecahkan persoalan ini, dengan formula-formula yang saya temukan dalam pertanyaan-pertanyaan panjang saya kepada Tuhan. Hanya Tuhan saja Kuasa Yang Maha Tahu dimanakah dunia harus memulakan perjalanan keluar dari masaalah yang cukup kronik ini!
Saudara,
Kita pun sudah tahu bahawa tangan yang memberi dan mencabut kasih sayang ialah Tuhan. Mengapa Dia memberi dan mengapa Dia mengambil kembali. Rasanya kita boleh agak jawapannya. Macam kita memberi rumah pada anak kita. Mengapa kita ambil kembali rumah itu? Tentu kerana anak cukup derhaka, biadap dan menyalahguna! Tindakan itu kan cukup bijak kalau kita sayangkan anak. Tentu dia akan betulkan kesilapannya untuk dapatkan kembali rumah itu.
Maka sesungguhnya wahai manusia, langkah pertama untuk keluar dari dunia neraka ini ialah Cari Tuhan. Tuhan yang sedang mentadbir matahari dan bulan dan yang sedang mengambil berat tentang batang tubuh kita ini. Dia yang sudah sekian lama kita tidak pedulikan. Kerana menganggap kita sudah cukup tidak perlukan Tuhan. Sampai-sampai ada yang konon tidak percayakan Tuhan. Tidak yakin dengan Tuhan. Kederhakaan dan kebiadapan itu membuatkan kasih sayang tercabut dari suami isteri, murid dan guru, pemimpin dan rakyat. Kasih sayang tidak sanggup berada dalam diri-diri orang yang bodoh sombong dengan Tuhan Penciptanya. Lalu isilah kekosongan jiwa dengan derita, gelisah, kecewa dan putus asa.
Tapi aneh manusia intelek yang menderita ini terus menerus berjuang dengan lantang untuk membangunkan ekonomi, politik, teknologi dan pembangunan ummah. Seolah-olah dia berkata, ekonomilah, politiklah, ICTlah dan pembangunanlah yang akan mengubat penderitaan dan kekecewaan! Sedangkan kesibukannya memperjuangkan itu semualah menyebabkan porak perandanya rumah tangganya, anak-anak, cucunya dan kroninya dan etniknya dan bangsanya! Nyata sekali golongan ini sedang berpura-pura, berlakon menyembunyikan realitinya hidup dan perjuangannya!
Sebenarnya mereka tidak temui Tuhan, sebagai formula dan keutamaan untuk menyelesaikan seluruh masaalah yang sedang mereka tanggung!
Ya, Tuhan pun tidak memilih mereka untuk tujuan itu, kerana mereka langsung tidak mahu bertanya kepadaNya. Mereka hanya bertuhankan akal dan nafsu semata-mata.
"Wahai Tuhan, Maha Guru, Tempat Rujuk dan Pakar Pencipta dan Penyelesai masalah, kasih sayang yang tercabut dari hati-hati manusia itu, kembalikanlah. Bayaran yang kami akan buat untuk permintaan ini dan pemberianMu nanti mahal sekali. Iaitu kami janjikan untuk mencintaiMu sepenuh hati, menyebutMu selalu, promosi dan perjuangkanMu di mana-mana. Dan kasih sayang yang kami dapatkan semula ini, akan kami jaga dan perjuangkan sungguh-sungguh Tuhan. Agar dia tidak hilang lagi dari hati-hati kami. Agar kami tidak menderita seteruk ini lagi !!! Amin."
Terima kasih Tuhan.
Minda Global
Dalam Al Quran , Tuhan ada berkata:
"Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji manusia , siapa
di kalangan mereka itu yang baik amalannya."
(Surah Al Mulk:2)
Dalam ayat ini ada 2 perkara yang ditekankan:
1. Tuhan jadikan mati dan hidup
2. Untuk uji manusia itu siapakah yang baik amalannya
1. TUHAN JADIKAN MATI DAN HIDUP
Kalaulah kita yang sebut ayat ini, bukan Tuhan yang menyebutnya ,
tentu kita berfikir secara logik akal, kita akan sebut hidup dahulu
baru mati. Memang kenyataannya kita hidup dahulu baru mati. Tapi
Tuhan sebut mati dahulu baru sebut hidup. Tuhan tidak sesuka hati
menyebut, walaupun satu huruf ada maksud dan hikmah, ada nilai yang
besar di sisi Tuhan. Kalau secara logik akal tentu kita berfikir
yang mana dahulu, hidup atau mati. Tidak kira yang mana dahulu,
Tuhan tidak begitu. Satu huruf pun yang Tuhan sebut ada maksud,
tidak secara suka-suka.
Mengapakah Tuhan menyebut mati dahulu dan tidak memilih hidup
dahulu baru mati. Ini menunjukkan Tuhan hendak tarik perhatian
manusia supaya kita pandang besar mati, lebih daripada soal hidup.
Mengapa? Sebab hidup di dunia sementara. Hidup di Akhirat selama-
lamanya kekal abadi. Hidup di dunia, sudahlah tidak lama, masa yang
ada pun hanya sekejap sangat. Cuba kita analisa tempoh hidup kita di
dunia. Kita tidak fikirlah bagi yang mati dalam kandungan, bayi,
kehendak-kehendak dan sebelum baligh, itu tidak ada erti apa-apa.
Kehidupan seorang manusia itu sejak dari lahir sahaja hingga
menjelang baligh itu tidak ada erti apa-apa. Sebab masa itu, manusia
tidak ada kebebasan, hidupnya yang betul-betul berganting pada ibu
dan ayahnya. Sebahagian masa kita sedar, sebahagiannya tidak. Sejak
waktu bayi sampai umur 5 tahun kita tidak sedar. dari 5 tahun hingga
baligh baru sedar, itupun tidak indah keadaannya terkongkong oleh
ibu dan ayah. Masa yang kita hendak ambil kira ialah sejak mula
baligh, secara puratanya umur 12 tahun. Kita kira dari umur kita 12
tahun, sebelum itu kita tidak kira, paling lama berapa tahun manusia
hidup? Katalah 100 tahun - 12 tahun=88 tahun. Katalah dari umur 80 -
100 tahun dah nyanyuk, 20 tahun itu sudah tidak dikira. Kita tolak
lagi 88 - 20, jadi tinggal 68 tahun sahaja. Hidup selama 68 tahun
itu pun jarang dapat, mungkin dalam 100 orang, seorang sahaja, tapi
hitung panjang manusia hidup dalam 40 - 50 tahun sahaja masa prime,
jadi kita hendak bahaskan masa yang 50 tahun ini.
Di sini Tuhan hendak mengambil perhatian kita supaya besarkan
Akhirat. Walaupun kita hidup istimewa, sejak lahir sahaja sudah
berada dalam istana, 50 tahun dalam istana. Nampak hebatlah, rumah
besar, makan besar, pangkat besar dan dibesar-besarkan orang. Kalau
dalam 50 tahun ini, kita tidak ikut disiplin Tuhan, dalam masa diuji
oleh Tuhan 50 tahun hidup istimewa, lepas itu kena hidup dalam
Neraka selama-lamanya. Bila kita gagal berhadapan dengan ujian
Tuhan, walaupun hidup istimewa, tapi kita akan berhadapan dengan 4
penderitaan.
1. Penderitaan sewaktu mati.
Mati itu kita tidak boleh ukur pada pandangan lahir semata-mata.
Kalau diukur secara lahir, kadangkala orang berkata : " si polan itu
nampaknya senang matinya, bagus matinya, nampak elok sahaja, mudah
sahaja." Itu kata kita yang menilai lahirnya sahaja sedangkan di
waktu itu dia sudah berada di alam lain, bukan di alam kita.
Penderitaan yang dihadapi oleh orang yang hendak mati bukan kita
tahu. Rasul SAW pernah berkata bahawa orang yang mati dalam
penderitaan itu ada tanda-tandanya, di antaranya ialah:
a) mata terbeliak
b) telinga kembang
c) berbunyi macam kerbau
Itulah di antara ciri-ciri orang yang mati di dalam azab. Jadi orang
yang gagal ujian Tuhan walau dia raja sekalipun, hidup senang,
dilayan istimewa, tidak pernah susah hanya sekitar 50 tahun, tapi
selepas itu tetap tidak akan terlepas daripada penderitaan mati. Itu
nisbah seorang raja, kita tidak cakap tentang orang biasa, yang
kadangkala susah, kadangkala senang hidupnya. Ini kita cakap tentang
orang yang 50 tahun hidup dengan penuh istimewa, tidak pernah susah.
Hadis juga ada menceritakan sakit mati bagaikan 300 tetakan pedang.
Bayangkan kalau sekali orang sembelih kita, walaupun kita tidak
pernah alami, tentu terasa sakitnya, sedangkan sakit mati itu ialah
300 kali ganda. Walaupun nampak macam sekejap sahaja hilang nyawa
tapi sebenarnya macam 300 tetakan.
2. Di Alam Barzakh
Sewaktu di tanam, apabila orang yang mengiringi jenazah sudah balik,
7 langkah bermulalah penderitaan kubur, Pertamanya, kejahatan kita
dilembagakan, busuknya kalau terbau oleh orang dunia, boleh mati.
kalau terbaulah busuknya kejahatan itu, nescaya akam mati makhluk
seluruh dunia. Kemudian orang yang mati itu akan bertanya, "kau
siapa?" . Lembaga itu akan menjawab:" Aku ini kejahatan kau". Lepas
itu barulah Malaikat datang, bertanya pula, bila tidak dapat jawab,
dia perosok ke dalam tanah 70 hasta, setiap kali ditanya dan tidak
boleh jawab malaikat akan perosokkan lagi sampai kiamat. Larat ke?
3. Di Padang Mahsyar
Matahari berada di atas ubun-ubun bagi orang yang jahat. Manusia
padat dan sendat macam dalam kotak rokok, peha bertindih satu sama
lain, peluh keluar hingga tenggelam manuisa dalam peluhnya.
4. Dalam Neraka
Orang yang jahat sewaktu meniti titian siratul mustaqim akan jatuh.
Maka bermulalah penderitaan di Neraka. Di antaranya kaki dan tangan
disatukan, diikat dan dicantumkan ke tengkok, api menyala, panasnya
90 kali ganda api di dunia. Api yang paling kuat di dunia dianggap
1, di Neraka ditambah power 90 kali ganda lagi panas, larat ke? Di
sebat setiap hari oleh Malaikat. Bila lapar di bagi makan buah
Zaqqum, ertinya bara api. Larat ke? Bagi orang kafir kekal selama-
lamanya dalam Neraka, bagi orang Islam yang buat dosa, tidak kekal ,
tapi mungkin sejuta tahun atau beribu tahun. Larat ke?
Orang yang waktu hidup tidak ikut disiplin Tuhan dia tidak tahan di
uji dengan 4 penderitaan yang bakal di tempoh. Oleh itu kalaulah
orang tahu hakikat ini, kerana Tuhan susah pun tidak mengapa.
Kesusahan 50 tahun di dunia ini tidak sama dengan susah yang 4 jenis
tadi itu. Di dunia ini ujian yang paling susah mungkin kena langgar
kereta , mati, jatuh ke laut, mati lemas, sakit kuat, mati. Tapi
tidaklah tersiksa sangat berbanding dengan kesusahan di Akhirat
nanti. Sebab itulah tidak pelik mengapa Tuhan sebut tentang dulu
baru dunia. Cuba kita lihat realiti yang berlaku hari ini, bila
disebut antara dunia dan akhirat, manusia lebih cenderung untuk
memikirkan tentang dunia berbanding akhirat. Lebih mengambil berat
tentang dunia berbanding akhirat. Ertinya kalau nisbah dunia dan
akhirat kita fikir yang dekat iaitu dunia. Tapi kalau di antara
dunia dengan dunia , kita tidak fikir yang dekat, kita fikir yang
jauh.. Di dunia seseorang itu akan fikir untuk masa depannya,
sanggup belajar jauh di luar negara, jual tanah, jual aset, biar
susah dahulu asalkan senang. Nisbah kehidupan di dunia , manusia
cenderung untuk berfikir jauh, tidak fikir yang dekat. Tapi nisbah
akhirat dia tidak fikir yang jauh, padahal itu lebih berat. Akhirat
lebih utama kerana ia kekal selama-lamanya. Untuk masa depan di
dunia orang sanggup susah payah belajar, ambil Phd di Amerika,
pinjam duit merata-rata, belajar di sana sejuk, tapi tidak mengapa
susah dahulu, senang kemudian. Pandai pula berfikir, susah dahulu
senang kemudian. Mengapa tidak buat untuk akhirat begitu? Jadi
penderitaan dunia dan akhirat itu jauh bezanya. Nisbah penderitaan
di dunia dengan akhirat, susah di dunia ini macam digigit nyamuk,
manakala akhirat macam dimakan singa. Walaupun sebenarnya kadarnya
bukan macam itu tapi itu sahaja yang boleh kita cuba bandingkan.
Yang kita takut sangat nyamuk gigit sampai sanggup ambil risiko di
makan singa, kenapa? Sebenarnya bandingan lebih dari itu. Nikmat
dunia ini apa sangat, nisbah makan apa yang sedap. Katalah durian.
Lepas makan , durian ke mana? Ke tandas. Tapi nisbah makanan di
akhirat, kalaulah kita makan epal, kita gigit klai pertama, lain
rasanya, gigit lagi kali kedua dah lain pula rasa, bertambah sedap,
bertambah sedap lagi, sudahlah bertambah sedap, tidak sakit perut,
tidak ke tandas selepas itu. Tapi orang tidak nampak itu semua,
orang nampak durian di dunia, tidak nampak durian di akhirat.
Di Syurga orang yang paling rendah iman dapat 50 bandar, bukan
bandar macam KL atau New York, tidak dapat digambarkan keindahannya.
Katalah orang hadiah kita 50 bandar macam KL, nanti menyusahkan.
Yang kedua, bolehkah lawat semua? Hari ini secara detail kita tidak
dapat melawat semua, tidak mampu, kalau mampu pun tentu letih, jemu,
apa indah lagi, sedangkan di akhirat, teringat sahaja tak sampai 1
minit, semua dapat lihat, yang lagi tinggi iman , lagi banyak bandar.
Bila nak melawat, sekelip mata, boleh lawat semua. katalah ada 100
jenis buah, sekelip mata boleh makan 100 jenis itu, tidak sakit
perut, niat sahaja. Katalah pekan kita 1 di New York, niat sahaja
sudah sampai, teringat hendak pergi KL pula, niat sahaja sudah sampai
KL. Katalah hendak melawat dengan kapal terbang, sudah ada kapal
terbang, tidak jatuh pula, walaupun kita minta jatuh, jatuh juga tapi
sedap. Isteri pula ada 1000, 2000 orang. Diantaranya bidadari,
walaupun istimewa, isteri-isteri kita jadi ketua bidadari kalau dia
masuk Syurga sama, tapi kalau tak masuk Syurga sama, habislah. Hidup
di sana sentiasa berkasih sayang, teringat hendak bergaduh pun
tidak, kerana masing-masing tenggelam dalam nikmat, tidak jemu.
Jadi di Akhirat, penderitaan dahsyat, nikmat pun dahsyat. Sebab itu
Tuhan sebut mati dahulu sebab ia besar, sedangkan dunia kecil tidak
ada harga. Sebab itu dalam Quran disebut Tuhan,
"Dunia ini pada aku kalau ada nilai setakat sebelah sayap nyamuk
pun , orang jahat tidak akan dapat apa-apa"
Oleh kerana dunia tidak ada nilai di sisi Tuhan , maka orang jahat
diberi banyak, siapa paling jahat, dapat paling banyak. Siapa paling
baik, makin tidak dapat macam Rasu-Rasul. Tuhan tidak bagi
kekasihNya perkara yang tidak ada nilai. Dunia ini untuk orang jahat
ambil. Untuk para kekasih Tuhan , Tuhan berkata "Engkau kekasih Aku,
Aku hendak simpan di Syurga." Setelah kita buat perbandingan dunia
akhirat, munasabahlah Tuhan sebut mati dahulu baru akhirat supaya
kita bagi tumpuan pada akhirat bukannya dunia.
Minda Guruku
Takut Kepada Tuhan
Takut kepada Tuhan adalah salah satu sifat taqwa. Takut kepada Tuhan itu berbentuk rasa. Tak sama rasa takut kepada Tuhan dengan rasa takut kepada makhluk. Buktinya, orang yang takut kepada makhluk akan menjauhkan dirinya daripada makhluk itu. Tetapi orang yang takut kepada Tuhan, akan berusaha mendekatkan dirinya dengan Tuhan.
Untuk takut kepada Tuhan memerlukan ilmu. Ilmu yang bukan sekadar bertapak di akal, tetapi dari akal turun ke hati hingga mendatangkan rasa. Ilmu yang dimaksudkan itu ialah ilmu mengenal Tuhan. Ilmu itu membolehkan seseorang mengenali Tuhannya; zat, sifat dan perbuatan Tuhan. Bila sudah kenal, maka cinta kepada Tuhan pun berbunga dan berbuah. Daripada cinta tersebut, timbul rasa takut kepada Tuhan. Memang dasar orang bercinta, takut cinta tidak berbalas, takut cinta terputus di tengah jalan, takut jika yang dicintai tidak mencintai. Ilmu itu membuatkan dia faham peranan Tuhan pada dirinya, apa sahaja nikmat dan ujian diterimanya dengan rasa takut kepada Tuhan. Ilmu itu juga membuatkan dia faham terhadap tabsyir (khabar gembira) dari Tuhan, jika dia menurut perintah Tuhan dan meninggalkan laranganNya. Ilmu itu juga membuatkan dia faham terhadap tanzir (ancaman) dari Tuhan, jika dia melanggar perintah Tuhan dan mengikut hawa nafsunya membuat larangan Tuhan. Begitulah besarnya ilmu tentang Tuhan sehingga Allah mengisytiharkan di dalam Al-Quran bahawa orang yang mempunyai ilmu tentang Tuhan inilah yang paling takut kepadaNya. Bahkan orang yang takut dengan Tuhan ini jugalah tergolong di dalam golongan orang yang disabdakan oleh Rasulullah, iaitu orang yang seolah-olah dia melihat Tuhan, jikapun dia tidak dapat melihat Tuhan, dia terasa bahawa Tuhan sentiasa memerhatikan dirinya. Persoalannya, mana mungkin kita hendak takutkan Tuhan jika kita tidak ada ilmu tentang Tuhan?
Rasa takut kepada Tuhan ini bagi orang bertaqwa boleh menjadikan dirinya resah dan gelisah sepanjang masa. Adakalanya dia menung sendirian sehingga mengalirkan airmata. Adakalanya terpekik terlolong secara tiba-tiba hingga terkejut orang dibuatnya. Kadang-kadang, kelihatan berjalan keseorangan tidak mahu campur orang. Kadang-kadang berlama-lama di tikar sembahyang. Pernah juga terjadi, badannya terketar-ketar, tidak tertahan, terus sahaja pengsan. Begitu sekali kesan orang yang takutkan Tuhan. Tetapi bagi orang yang ada hubung kait dengan perjuangan kebenaran, terutama yang bertaraf pemimpin, dengan rahmat Tuhan rasa itu dapat dikontrol. Jika tidak, bagaimana dia hendak berjuang? Yang jadi pemimpin, mungkin tak ada orang yang mahu ikutnya. Di sinilah adilnya Tuhan.
Orang yang sudah ada rasa takut kepada Tuhan, sebelum sembahyang, takut itu meningkat grafnya. Oleh kerana Dia hendak berjumpa Tuhan dalam satu majlis istimewa, maka datang takut yang amat sangat. Biarpun gembira kerana itulah pertemuan istimewa hamba dengan Tuhannya, tetapi dia takut sangat jika tidak dapat beradab dengan Tuhan. Takut sangat datang dia kepada Tuhan dengan membawa dosa. Takut sangat datang dia kepada Tuhan dengan mendapat murka Tuhan. Itu sebabnya dia banyak beristighfar kepada Tuhan sebelum mendirikan sembahyang. Selepas dia sembahyang, takut itu meningkat lagi grafnya. Padahal baru sahaja selesai bertemu Tuhan, patutnya rasa lega. Tidak begitu kepada orang seperti ini. Rasa takut itu melonjak lagi kerana bimbangkan hasil pertemuan tadi. Dia bimbangkan apa kata Tuhan tentang dirinya dalam sembahyang tadi. Dia rasa yang dalam sembahyang tadi dia membuat dosa. Dia merasa sembahyangnya tadi banyak lalainya. Itulah yang dirasainya sedangkan belum tentu lagi yang dia itu lalai dalam sembahyangnya. Tetapi begitulah rasa orang yang istiqamah takut kepada Tuhan, tak berhenti daripada takut kepadaNya. Patut-patutnya datang takut itu bila terbuat dosa, tetapi ini tidak. Takut itu dirasakan sepanjang masa hinggakan dalam berbuat baik pun, dia merasa takut kepada Tuhan.
Demikian sedikit dapat diceritakan perihal takut kepada Tuhan sebagai ilmu kepada kita. Moga-moga ada manfaatnya. Sekian.
Gambar Hiasan Oleh: Arshad Habib
Minda global
Sumber: Respeks group@yahoogroups.com
Aku hari ini telah membuka satu emel yang menyatakan tentang hukum melabur dalam Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB)
Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB), termasuk pembayaran dividen dan bonusnya, adalah harus.
Berikutan itu, umat Islam tidak perlu ragu-ragu mengenai status pelaburan kedua-dua skim berkenaan.
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti dan mempertimbangkan semua kesan daripada pelaburan berkenaan.
Beliau berharap tiada pihak membangkitkan lagi isu kononnya hasil skim pelaburan itu haram.
“Umat Islam boleh menyertai skim pelaburan ini dan tidak perlu ragu-ragu terhadap status pelaburan yang dibuat serta dividen atau bonusnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia ke-80 di sini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Muhamad Datuk Sheikh Abdul Aziz dan Setiausaha Jawatankuasa Fatwa, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz. Muzakarah selama tiga hari itu dihadiri semua mufti.
(Sumber Berita Harian)
Ini pula dari laman web Ustaz Zaharuddin
Hari ini saya menerima satu email yang mengandungi satu attachemnet surat dari Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia kepada Setiausaha, Majlis Penasihat Syariah salah sebuah Bank Islam di Malaysia berkenaan hukum Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).
Apa yang jelas, telah saya sebutkan sebelum ini berkali-kali, walaupun ia telah disahkan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Namun kaedah dan implementasi ASB dan ASN bercanggah dengan panduan sebuah saham amanah yang diiktiraf PATUH SYARIAH oleh Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia.
Tatkala itu, bolehlah dianggap terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan hukum ASB dan ASN antara dua badan pengeluar hukum yang terbesar di Malaysia. Bagi mereka yang ingin lebih berhati-hati dan menjamin tidak terjebak di dalam yang haram, kerana harta akan menjadi darah daging diri dan ahli keluarga. Saya menyarankan agar melihat dengan lebih teliti keahlian ahli-ahli fatwa dari kedua-dua badan terbabit.
Jika di tanya kepada pendapat peribadi saya, saya lebih cenderung kepada pendapat Majlis Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam hal ini setelah melihat kepada panduan yang diletakkan mereka bagi mengiktiraf sesebuah Amanah Saham yang patuh atau tidak patuh Syariah.
Anda mungkin berkata,
"SAYA TIDAK PEDULI, ASALKAN MAJLIS FATWA LULUSKAN, SAYA AKAN BERPEGANG DENGANNYA KERANA MEREKA YANG TANGGUNG DI AKHIRAT"
Ulasan saya, Allah swt memberikan kita aqal untuk memerhati dan meneliti pandangan kedua-dua badan besar ini setakat kemampuan yang ada, berfikirlah. JIia benar-benar setelah membaca hujjah kedua-dua pihak, lalu anda yakin dengan salah satu antaranya. Anda telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik. Namun jika, sambil malas dan ingin mengambil mudah, lalu terus berpegang dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, tanpa mengendahkan hujah Majlis SYariah Suruhanjaya Sekuriti. Tatkala itu, individu tersebut tidak berada dalam situasi yang sepatutnya.
Perlu difahami bahawa Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dianggotai oleh individu yang sememangnya specialist dan berpengalaman di dalam bidang muamalat dan kewangan Islam. Untuk melihat senarai ahlinya, sila buka di sini
Berikut adalah salinan suratnya, saya telah memadam nama bank Islam yang ditujukan surat ini, kerana apa yang penting adalah isi kandungan surat.
Hasil daripada surat ini, Suruhanjaya Sekuriti kelihatan TIDAK MEMBENARKAN bank-bank Islam di Malaysia memberikan pembiayaan tunai kepada pelanggan yang ingin menyertai ASB dan ASN.
Berikut adalah tulisan-tulisan saya yang lalu berkenaan ASB dan ASN. Dan Kita masih mengharap pihak ASB dan ASN mengambil inisiatif lebih tulen untuk melayakkan mereka digelar patuh syariah oleh Majlis Syariah SC, Malaysia.
1) Perbincangan Hukum ASB
2) Tak Puas Hati Berkenaan Hukum ASB
3) Majlis Fatwa kata ASB Harus : Ulasan UZAR
Sejurus mereka mengubah kaedah pelaburan mereka dan diluluskan oleh Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Di ketka itu, semua artikel-artikel saya berkaitan ASB tidak lagi terpakai tentunya.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman