Memaparkan catatan dengan label Sembahyang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sembahyang. Papar semua catatan

Khamis, 13 Ogos 2009

Ditanya Tentang Sembahyang



Ditanya tentang sembahyang:

Bagaimana saya ingin tahu sembahyang saya diterima Tuhan ataupun tidak?



Dijawab:

Sembahyang kita itu ada lahir dan ada batin. Lahirnya kita bersembahyang, sah sembahyang kita, dianggap sudah memenuhi tuntutan sembahyang. Batinnya, kita pun tahu, sejauhmana dalam sembahyang kita itu, kita sudah khusyuk. Sudah mendapat rasa-rasa dengan Tuhan. Sudah ada rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Bila dikaji-kaji, dinilai-nilai, memang kita seperti belum bersembahyang. Atau sembahyang kita itu hanya fizikal atau lahir sahaja. Tiada batinnya. Tiada kelazatannya. Tiada hiburannya. Jauh sekali mahu rasa cemas, rasa takut, rasa bimbang dengan Tuhan dalam sembahyang.


Jadi, dari situ kita boleh ukur, kita boleh agak, Tuhan takkan terima sembahyang sebegini. Sembahyang kita, sembahyang orang lalai. Sembahyang kita sembahyang bangkai, kerana lahir sahaja kita hidup bersembahyang tapi roh kita seperti mati, tak terhubung dengan Tuhan. Sembahyang seperti itu Tuhan lemparkan kembali ke muka kita, sebab teruknya, rosaknya, buruknya dalaman sembahyang itu. Justeru, selepas sembahyang, patut sangat kita rasakan yang sembahyang kita banyak cacat-celanya.


Patut sangat kita rasakan yang kita hanya membuat dosa dalam kita bersembahyang. Hati kita sepatutnya menderita atas sembahyang yang baru kita kerjakan tadi. Walhal memang hati kita mengharapkan agar sembahyang kita itu dapatlah dipandang Tuhan hendaknya. Maka, atas kerana ini semua, mohonlah kepada Tuhan, minta ampun padaNya dengan kata-kata seperti berikut: “Ampunkan aku wahai Tuhan atas sembahyang aku sebentar tadi. Aku tak berdaya.


Aku tak mampu melawan perasaanku yang menghala ke dunia. Nafsuku yang sentiasa mengalihkan hatiku daripada mengingatiMu.. Daripada terhubung denganMu.. Jahatnya aku..zalimnya aku..kepada Engkau, Tuhanku.”Bukti seorang itu sudah benar-benar sembahyang, selepas sembahyang dia menjadi orang yang sangat bermanfaat kepada manusia. Sebab ada keterangan dalam hadis, “sebaik-baik manusia itu manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” Manusia itu boleh menjadi sebaik manusia atas kerana sembahyangnya yang sudah terhubung dengan Tuhan.


Sembahyang seperti ini menghidupkan jiwa. Maka kesan daripada sembahyangnya, jadilah dia orang yang sangat mahu memberi khidmat, mahu menolong dan membela orang lain. Kalau lepas sembahyang, gaduh dengan orang, buat jahat dengan orang, tak ada sifat membela dan mengasihi orang, maka sembahyangnya tidak menghidupkan jiwanya. Sembahyangnya tidak memberi apa-apa kesan pada dirinya. Tuhan suruh sembahyang bukan untuk Tuhan. Sebab kalau kuat sembahyang, hebat sembahyang bagaimanapun, kebesaran Tuhan tak akan bertambah. Tak juga berkurang jika dia tak sembahyang atau lemah sembahyangnya.


Kebesaran Tuhan sudah tetap sempurna, tak terkesan dengan sembahyang hambaNya. Jadi, Tuhan buat sembahyang adalah untuk keperluan hambaNya. Agar hamba itu boleh hidup jiwanya dan jadi dia orang yang sangat berkasih sayang, bertolong bantu dan bermasyarakat dengan orang lain. Kalau ini tak boleh dilakukan, sembahyangnya seperti tidak sembahyang. Dia sembahyang tapi sembahyang tak memberi apa-apa kesan kepada dirinya.Bukti lagi seorang itu sudah benar-benar sembahyang, lepas sembahyang dia jadi orang baru, yang dia tidak akan sekali-kali membiarkan diri dia berada dalam kemurkaan Tuhan. Mengapa tidak? Sedangkan Tuhan sudah berjanji dalam Al-Quran, “sesungguhnya sembahyang itu mencegah diri kamu daripada berbuat keji dan mungkar.”


Kalau dengan sembahyangnya tak dapat mencegah dia dari buat keji dan mungkar, maka dia seperti tidak bersembahyang. Dia sembahyang tapi masih minum arak. Dia sembahyang tapi masih berzina. Dia sembahyang tapi masih berjudi. Dia sembahyang tapi masih mencuri. Maka sembahyangnya hanya sekadar memenuhi tuntutan wajib sembahyang. Hakikatnya dia belum bersembahyang. Sedangkan jika sembahyang dia dengan khusyuk, maka sembahyangnya dapat menghubungkan diri dia dengan Tuhan. Dia akan jadi manusia yang sangat cinta dan takutkan Tuhan. Justeru tidaklah dia sanggup meletakkan diri dia dalam kemurkaan Tuhan. Kerana di mana sahaja dia pergi, rasa cinta dan takut Tuhan itu membendung dia daripada melakukan keji dan mungkar yang dimurkai Tuhan.Sekian.


Sumber : Minda Global

Sembahyang Titik Tolak Segalanya


KEBAIKAN seseorang hamba itu
Bermula daripada membaikkan sembahyangnya
Dari sembahyanglah titik tolak segala-galanya
Apabila sembahyang itu sempurna lahir batinnya
Khusyuk, khuduk, tadharuk
dan faham apa yang dibaca
Selepas itu rahmat dan berkat daripada Tuhan
pun mencurah-curah
Dianugerahkan kepadanya
Allah Taala akan bersihkan jiwanya
Tuhan akan masukkan hidayah ke dalam hatinya
Cinta, takut, kasih sayang, pemurah,
bertimbang rasa, sabar, redha, tawakal,
pemaaf pun berbunga
Kelihatan pula kepada peribadinya
syariatnya sangat dijaga
Akhlak mulianya, disiplin peribadinya ketara
Kerana itu betulkan sembahyang kita
Hayati sembahyang hingga kita terasa
bahawa kita menyembah-Nya
Janganlah kita anggap jiwa boleh dibersihkan
tanpa sembahyang
Atau boleh jiwa kita dimurnikan
dengan sembahyang yang lebih kurang
Sembahyang adalah ibu ibadah
Sembahyang adalah sumber segala kebaikan
Di dalam Islam sembahyang sangat diambil perhatian
Apabila baik sembahyang
segala-galanya akan menjadi baik
Jika sembahyang sudah dicuaikan
Atau bersembahyang tidak ada penghayatan
Maka seluruh pintu kebaikan akan tertutup
1Kalau ada juga orang boleh buat kebaikan
tanpa sembahyang
Ini adalah kebaikan bukan bertunjangkan iman
Boleh jadi kebaikan itu secara kebetulan
atau ikut-ikutan
Haraplah diambil perhatian tentang sembahyang


Minda Guruku

Jumaat, 7 Ogos 2009

PERTEMUAN DENGAN RAJA SEGALA RAJA




SEMBAHYANG adalah ibu segala ibadah
Ibadah rasmi dari Tuhan kepada hamba-hamba-Nya
seluruhnya
Ia merupakan pertemuan rasmi
Lima kali sehari semalam dengan Allah
Ertinya pertemuan rasmi dengan Raja
yang Maha Agung, Raja Segala Raja
Umpama pertemuan rasmi raja manusia
Sesama rakyat jelatanya
Bagaimana keadaan kita, apa yang kita rasa
Apa persiapan yang sepatutnya?
Kita siapkan pakaian yang cantik
Kita bersihkan badan kita
Kita berwangi-wangian, pergi dengan kenderaan
sampai istana
Di istana kita duduk dengan penuh tertib
berhadapan dengan raja
Kita duduk dengan penuh tawadhuk
Bahu membongkok mata ke lantai dan khudhuk
Kita tidak pandang kiri dan kanan
Penuh bimbang, malu dan takut
Tidak ada seorang yang berani bercakap-cakap
Dan bersembang-sembang
Menunggu dengan penuh takut akan perintah raja
Apa titah raja, apa pesanan, apa amanahnya
Dan apa nasihatnya
Begitulah sembahyang, pertemuan dengan Allah
Secara rasmi, Ia adalah Raja Segala Raja
Raja yang bukan jenis manusia
Raja yang mempunyai Zat yang Maha Suci
daripada segala penyerupaan
Pengetahuan-Nya tembus, penglihatan-Nya tembus,
pendengaran-Nya tembus
Sepatutnya pertemuan kita lebih serius
Lebih beradab, bertertib dan takut
Di waktu itu kita menyediakan diri kita
Bersih lahir dan batin
Menunggu penyembahan itu dengan penuh takut
Malu, khusyuk, tadharuk
Takut dan malu hendak bercakap-cakap dan berbual
Kecuali yang ada hubungkait dengan Tuhan
Kita menyembah, seluruh fikiran, hati dan jiwa
Seluruhnya tertumpu kepada Tuhan
Fizikal ikut rukuk
Fikiran ikut rukuk, hati ikut rukuk
Fizikal ikut sujud, fikiran ikut sujud dan jiwa ikut sujud
Waktu berdiri dirasakan seolah-olah
kita berada di Padang Mahsyar
Sedangkan Tuhan sedang melihat
Aduh kecutnya perut, menggeletar sepatutnya jiwa kita
Di waktu itu sepatutnya tidak ada apa yang kita ingat
Kecuali sepenuh hati dan jiwa raga dan fikiran kita
hanya kepada Allah semata-mata
Tapi ramai manusia tidak begitu
Berhadapan dengan raja jenis manusia lebih terasa gerun,
malu dan beradab
Dari berhadapan dengan Tuhan pencipta manusia
Kerana manusia belum kenal Tuhan Khaliqnya
Minda Guruku

Rabu, 5 Ogos 2009

KENALAH JAGA SEMBAHYANG SUNGGUH SUNGGUH


Foto Oleh Khazan Che Mat

Oleh kerana sembahyang fardhu lima waktu adalah ibu
segala ibadah, tiang agama, pembangun insaniah dan
umat, maka sembahyang hendaklah istiqamah mengerjakannya.



Dijaga sungguh-sungguh roh sembahyang itu bahkan
kalau boleh sekalipun perkara yang sekecil-kecilnya hendaklah
dipelihara seperti
mempertahankan sunatnya, jauhi yang makruh
di dalam sembahyang, sembahyang di awal waktu, pertahankan
sembahyang jemaah, luruskan saf, rapat-rapat ketika
sembahyang jemaah.



Kemudian jauhi bersembahyang di tempat di mana bangunan
yang dibina daripada duit haram atau syubhat, kosongkan tempat
sembahyang dari perkara yang boleh mengganggu fikiran
kita ketika mengerjakan ibadah sembahyang seperti jangan ada
di dinding masjid atau surau gambar-gambar yang boleh melalaikan
kita. Tempat sujud biarlah kain putih, jauhi daripada
tempat sujud yang ada gambar pemandangan yang boleh
mengalih fikiran dan perasaan kita agar kita benar-benar dapat
membuat penumpuan kepada kerja sembahyang.



Begitulah juga jauhi daripada bersembahyang di tempat yang
sibuk, tempat lalu-lalang orang, tempat hingar-bingar, hiruk pikuk
yang boleh mengganggu kekhusyukkan kita di dalam
sembahyang, yang boleh mengganggu kita untuk menghayati
sembahyang sepenuhnya agar sembahyang kita itu benar-benar
membina fikiran kita dan membangunkan jiwa kita. Agar
sembahyang betul-betul mendidik kita hingga boleh mengubah
sikap dan perihal hidup kita daripada jahat kepada baik.

PERASAAN YANG PATUT TIMBUL KETIKA BERSEMBAHYANG



Rasa takut, rasa bimbang, rasa malu, rasa gementar, rasa hina
diri, rasa lemah dan dhaif, meminta, mengharap, mensucikan
dan mentaqdiskan Tuhan, membesarkan-Nya, merindui, bermanja-
manja, merasa dilihat-Nya, merasa didengar-Nya, merasa
dikuasai-Nya, rasa diketahui-Nya, memenuhi lubuk hati kita.



Dengan cara itu subur jiwa tauhid kita dan sekaligus dapat
menghidupkan jiwa kehambaan di dalam jiwa kita dan dengan
itu ruang-ruang yang mengganggu dan melalaikan kita tertutup
habis. Maka oleh yang demikian sembahyang itu semakin lama
makin memberi kesan kepada fikiran, jiwa dan sikap serta perilaku
kita.




Minda Guruku

Khamis, 23 Julai 2009

Jenis-jenis Sembahyang


Perkara penting yang perlu diambil perhatian semasa menunaikan sembahyang hendaklah khusyuk. Ini berpandukan apa yang diingatkan oleh baginda Rasulullah SAW kepada Abu Zar:
Ya Abu Zar dua rakaat sembahyang yang dilakukan dengan khusyuk itu lebih baik dari sembahyang
sepanjang malam tetapi dengan hati yang lalai
Foto Oleh Badruddin Ghazali
Sembahyang yang khusyuk bolehlah diertikan
sembahyang yang sempurna lahir dan batin. Ketika
jasad mengadap Allah, hati juga tunduk menyembah
Allah.

Ketika mulut menyebut Allahu Akbar, hati juga
mengaku Allah Maha Besar. Ketika jasad sujud
menghina diri, hati juga menyungkur menghina diri.
Dan ketika mulut memuji mengagungkan Allah dan
berdoa pada Allah, hati juga memuja, merintih dan
karam dalam penyerahan pada Allah.

Telah bertanya Jibril pada Nabi SAW:
Terjemahannya: Khabarkan padaku apa itu ihsan?
Dijawab baginda, Engkau menyembah Allah
seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika tidak kelihatan,
yakinlah bahawa Dia sentiasa melihat engkau.

Kalaulah dapat dihayati sembahyang itu, sebagaimana
yang dianjurkan di atas, kesannya akan cukup
besar pada diri dan jiwa manusia. Iman akan bertambah
di samping bertambahnya rasa tawakal, syukur,
redha, sabar dan lain-lain sifat mahmudah.
Cukuplah sedikit rakaat sembahyangnya asal
khusyuk daripada banyak sembahyang tetapi lalai.
Sebab perkara yang menjadi matlamat ibadah ialah
membuahkan iman dan akhlak manusia. Kalau
banyak pun rakaatnya tetapi dikerjakan dengan hati
yang lalai, maka bukan sahaja iman dan akhlak tidak
bertambah, malah ia menjadi sia-sia.

Mungkin pahalanya Allah berikan juga, tetapi
banggakah kita kalau perniagaan yang kita buat
hanya mengembalikan modal langsung tidak untung?
Sembahyang yang lalai tidak akan menambahkan
iman dan menguatkan jiwa sebaliknya meletihkan
badan sahaja.

Di Padang Mahsyar nanti, Allah akan memanggil
manusia yang sembahyang untuk diperiksa sembahyangnya.
Waktu itu sembahyang akan dikategorikan
pada lima peringkat:

1. Sembahyang orang jahil.
2. Sembahyang orang lalai.
3. Sembahyang orang yang lalai separuh khusyuk.
4. Sembahyang orang khusyuk.
5. Sembahyang Nabi-Nabi dan Rasul

Sembahyang orang jahil
ialah sembahyang yang
dilakukan oleh orang yang tiada ilmu tentang sembahyang.
Dia tidak tahu tentang rukun dan sunat dan
dibuat tanpa peraturan yang telah ditetapkan syariat.
Kerana itu awal-awal lagi sembahyangnya ditolak
malah ia berdosa kerana tidak belajar.

Sembahyang orang lalai ialah sembahyang yang
walaupun sempurna lahirnya tetapi hatinya tidak
hadir langsung dalam sembahyang. Bermacam-macam
perkara yang diingatkan sewaktu berdiri, rukuk,
sujud dan duduk dalam sembahyangnya itu. Dari awal
hingga akhir sembahyangnya sedikit pun tidak mengingati
Allah.

Sembahyang jenis ini diganjarkan dengan dosa
bukan dengan pahala. Allah berfirman:

Terjemahannya: Neraka Wail bagi orang yang
sembahyang. Yang mereka itu lalai dalam sembahyangnya.
(Al Maaun: 4-5)

Sembahyang yang ketiga ialah sembahyang yang
di dalamnya berlaku tarik menarik dengan syaitan.
Maknanya orang itu sentiasa berjaga bila syaitan mula
melalaikannya dari Allah, cepat-cepat dikembalikan
ingatannya pada Allah. Begitulah seterusnya berlakunya
hingga akhir sembahyang. Ada waktu lalai dan
ada waktu khusyuk. Sembahyang ini tidak berdosa
dan tidak juga berpahala. Cuma orang itu dimaafkan.

Sembahyang orang khusyuk ialah sembahyang
orang yang sepanjang sembahyangnya itu penuh
dengan ingatan pada Allah dan pada apa yang dibacakannya
dalam sembahyang.

Orang ini dapat merasakan yang dia sedang
mengadap Allah, maka perhatiannya hanya pada
Allah. Orang ini sembahyangnya bererti janjinya pada
Allah, memohon ampun pada Allah, berdoa pada
Allah, menghina diri pada Allah dan mengagungkan
Allah.
Sembahyang beginilah yang akan menghapuskan
dosa, membaharui ikrar, menguatkan iman, mendekatkan
hati pada Allah, meningkatkan taqwa dan
mengelakkan diri dari perbuatan keji dan mungkar.
Itulah keuntungan di dunia dan di akhirat Allah
menganugerahkan pahala syurga yang penuh kenikmatan.

Sembahyang yang kelima ialah peringkat tertinggi
iaitu sembahyang para Nabi dan Rasul. Mereka ini
luar biasa khusyuknya. Mereka benar-benar nampak
Allah dengan mata hati. Dalam sembahyang mereka
seakan-akan sedang berbual-bual dengan Allah. Sebab
itu mereka tidak pernah jemu dengan sembahyang.
Bagaimana indahnya perasaaan hati orang yang
dapat bertemu kekasihnya, begitulah indahnya perasaan
mereka ini dalam sembahyang.

Salah satu perkara utama yang disukai oleh Rasulullah
SAW ialah sembahyang. “Sembahyang penyejuk
mataku," menurut sabda baginda.

Syurga yang akan Allah anugerahkan pada mereka
ialah syurga tertinggi yang tidak tercapai oleh
orang-orang awam seperti kita.

Jadi tugas kita sekarang ialah memperbaiki sembahyang
di samping membanyakkannya. Untuk itu
kita sekali lagi mesti mujahadah. Dan hanya dengan
mujahadah kita mungkin dapat mempertingkatkan
iman dan membanyakkan amalan soleh. Dan hanya
dengan iman dan amal soleh sajalah kita dapat
membina dan mencantikkan rumah kita di akhirat
nanti.



Minda Mujaddid

Selasa, 14 Julai 2009

Sembahyang Adalah Mikraj Pembakar Mazmumah


Ada satu pemberian yang maha berharga dari Zat Tuhan kepada setiap hamba yang Islam iaitu sembahyang. Mengerjakannya manusia akan terjauh daripada maksiat, kemungkaran dan kegagalan. Sembahyang adalah kebahagiaan dan kemenangan. Ia bermula dari azan dan diakhiri dengan salam dan doa.

Orang yang tidak sembahyang sebenarnya sedang bermusuh dengan Tuhan.

Di dalamnya manusia diajak bercakap-cakap dengan Maharaja alam yang merupakan tuan punya kepada seluruh isi dunia dan Akhirat. Maha Besar Tuhan kerana sanggup berbual dengan hamba-Nya yang hina dina dalam satu majlis upacara penyembahan yang sangat professional, penuh kemanjaan, pengabdian dan dramatik.

Perbincangan terlalu global menjangkau seluruh dunia dan Akhirat. Fokusnya ialah perhubungan cinta dua hala antara hamba dengan Tuhan yang Maha Menyintai. Sempat juga dalam tempoh lima minit itu memasuki medan perang untuk membakar semua nafsu mazmumah dan syaitan terkutuk yang sangat jahat mahu merosakkan hubungan kasih cinta hamba dan Tuhan. Nafsu mahu dia yang dituhankan, dipuja, dicinta dan diperturutkan.

Namun kekuatan sembahyang dan majlis dengan Tuhan benar-benar dapat menangkisnya bahkan sampai membuahkan satu pemikiran yang agung,perasaan yang agung dan akhlak yang agung hasil sembahyang. Cinta Tuhan membuahkan cinta sesama manusia hingga kita sanggup mendoakan dan menjaminkan keselamatan bagi seluruh isi langit dan bumi dengan Rahmat dan Keberkatan dari Tuhan.

Sembahyang membuatkan seseorang tidak mungkin lagi mengkhianati seseorang yang lain. Tidak mungkin berkrisis dan berperang. Sembahyanglah satu-satunya kursus yang mampu membuatkan manusia menang terhadap nafsunya dan membawa kasih sayang dan pembelaan untuk manusia.

Sembahyang sungguh hebat, agung dan amat menguntungkan. Sebuah perniagaan yang cukup besar. Sebuak projek yang maha menakjubkan dan sejenis aktiviti yang dicipta Tuhan yang akan membangunkan mental, roh dan fizikal bertaraf dunia dan Akhirat hanya dalam masa yang begitu pendek.

Kalaulah anda tahu erti sembahyang seperti yang Tuhan maksudkan anda tidak akan meninggalkan sembahyang buat selamanya. Bahkan tidak jemu pun kerana rindu cinta, bahagia dan berjaya.

Sembahyang - Mengadap Raja Segala Raja

Sudah menjadi kebiasaan kalau rakyat mengadap raja, raja memanggilnya lebih dahulu mengadapnya.
Sejak dipanggil, belum pun mengadapnya, orang yang dipanggil berbagai-bagai perasaan Rasa cemas, takut , bimbang, risau, fikiran tidak menentu dibuatnya.
Kalau tidak beradab tentulah dimarahnya, kalau tidak pandai mengadap alangkah malunya.
Semakin dekat hari hendak mengadap raja dia semakin cemas, semakin bimbang, semakin risau apa hendak dibuat serba tidak kena.


Mengapa perasaan itu begitu rupa?
Kerana kita tahu hendak bertemu raja, raja itu siapa?
Dia berkuasa dan boleh memarahi kita, boleh meghukum, boleh juga memuji dan redha dengan kita.
Tapi takut dengan raja lebih mengatasi dari segala-galanya.
Itu baru raja dunia, sejenis kita, sama-sama lemah macam kita. Sama-sama dicipta oleh Tuhan kita. Cuma dia raja, berkuasa boleh menghukum kita, datang bimbang dan takut dengannya.
Kalau hendak mengadap Tuhan macam mana sepatutnya? Tuhan adalah Raja segala Raja Raja dunia Akhirat, raja jenis manusia pun Dia cipta.


Hamba mengadap Tuhan, juga Tuhan memanggil hamba-Nya lebih dahulu sebelum mengadap-Nya. Tuhan memanggil melalui azan dan iqamah untuk memberi pengetahuan dan pengisytiharan mengadap-Nya.
Bahkan sebelum diseru setiap hamba sudah tahu sebelum mangadap, mestilah diseru terlebih dahulu.
Kalau benar-benarlah kita kenal siapa Tuhan, kenal kebesaran-Nya, kehebatan-Nya, kemahasucian-Nya, keagungan-Nya, berkuasa-Nya, penglihatan-Nya,pendengaran-Nya, pengetahuan-Nya kehendak-Nya, hukuman-Nya, redha-Nya, kasih sayang-Nya dan lain-lain lagi sifat-sifat-Nya, sebelum diseru kita sepatutnya sudah tidak menentu perasaan.
Setelah diseru melalui azan dan iqamah sepatutnya semakin takut dan cemas persaan.
Semakin dekat hendak bersembahyang semakin bimbang sebenarnya.


Sepatut begitulah kalau kita benar-benar kenal Tuhan. Tapi biasanya tidak begitu, kita tidak terasa apa-apa, macam hendak jumpa kawan sahaja.
Kerana itulah tidak hairan kebanyakan orang bersembahyang sekalipun imam dan ulama tidak memberi kesan kepada jiwa, pada peribadi dan kehidupan.
Umat Islam hari ini tidak memberi kekuatan apa-apa hasil dari sembahyang, sama ada di segi mental mahupun jiwa. Sembahyang umat Islam hari ini tidak mencegah kemungkaran teruatama kemungkaran batin seperti sombong, riyak, ujub, megah, pemarah, dengki, dendam, tamak, bakhil, tidak ada rasa bersama, tidak ada tolak ansur, fikir diri sendiri.


Mengapa terjadi begitu?


Kerana tidak cukup kenal Tuhan, kenal Tuhan yang asasnya sahaja.
Sembahyang pun hanya sekadar tahu syarat, rukun, sah, batal sahaja. Padahal sembahyang adalah ilmu yang global, sembahyang adalah lautan ilmu. Dalam sembahyang terhimpun ilmu aqidah, syariat dan tasawuf. Falsafah sembahyang terlalu tinggi, ilmu yang tersirat, bersifat maknawi dan rohani.


Ilmu sembahyang yang lebih mendalam tidak pernah diajari. Bahkan para ulama pun sudah tidak tahu dan tidak mengerti. Itulah yang menjadi masalah hari ini.
Minda Mujaddid

Khamis, 18 Jun 2009

Bagaimana Solat Boleh Membina Kekuatan

Solat atau sembahyang itu Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. la bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu hebat. Kita akan dapat rasa bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan macam mana wujudnya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kuasa-Nya. Terasa kita kesempurnaan Tuhan.

Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya. Solat itu adalah satu modul yang Iengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat , ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung . Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai dan dihayati.

Berikut adalah beberapa contoh bagaimana solat dapat membina sifat-sifat yang positif:

1. Rajin . Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas. Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakon-lakon atau dibuat-buat. Mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.

Dalam sembahyang kita memuja dan memuji Tuhan. Kita kata Tuhan Maha Besar. Kita akui Tuhan Maha Suci. Kita akui Tuhan pentadbir dunia dan Akhirat. Hati kita rasa bertuhan, rasa Tuhan itu besar. Kita rasa Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita. Kita juga membuat janji dan ikrar bahawa semua solat, ibadah, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan.

Solat dan ibadah dipisahkan walhal solat pun ibadah juga. Itulah tandanya solat itu ibadah yang penting, utama dan pertama dari ibadah-ibadah yang lain sama ada yang wajib atau yang sunat. Kita bertungkus-lumus membuat semua ibadah. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Boleh jadi ianya perkara ibadah, boleh jadi tidak. Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadah ataupun tidak. Kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita jadikan ibadah. Jadi mana boleh rehat-rehat. Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Inilah dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak.

Segala macam perkara yang jadi ibadah kita buat. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadah. Maknanya solat itu membunuh kemalasan. Kalau sesuatu kelompok itu ibadahnya banyak, baca Quran banyak, wirid dan zikir banyak, kita kata mereka hebat. Itu sebenarnya satu salah tafsir. Kita sangka mereka baik sebab mereka tidak tegur orang dan hanya beriktikaf sahaja. Tapi mereka tidak rajin dan tidak berkhidmat kepada masyarakat.

Di sini konsep ibadah itu sudah silap. Itu menunjukkan mereka hanya ada ilmu tetapi tidak faham dan ilmu itu tidak dihayati. Pada orang ramai, mereka orang baik. lni satu kesalahan yang besar. Orang yang baik itu bukan setakat boleh beribadah dan tidak mengganggu orang. Orang yang baik itu, selepas ibadah mesti aktif dan mesti berkhidmat kepada orang lain dengan tenaganya, nasihat dan wang ringgit.

Ada Hadis yang bermaksud: "Yang paling baik di antara kamu ialah kamu yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain." Sebab itu para salafussoleh, kerana ibadah mereka dihayati dan berperanan pada diri mereka, kalau selepas waktu Subuh, walaupun mereka tidak ada kerja yang khusus, mereka sengaja keluar cari-cari pasal (untuk buat kebaikan) dan cari-cari kerja. Mereka pergi tolong petik gandum, tolong mencangkul tanpa disuruh atau diminta.

Kalau mereka melihat ada rumah yang bumbungnya bocor, mereka minta izin tuan rumah untuk membaikinya. Inilah solat yang melahirkan orang yang aktif. Tapi hari ini, orang banyak solat, banyak ibadah, tetapi mereka jadi beku dan jumud. Bahkan nasib mereka pun ditentukan oleh orang lain. Bukankah ini satu kesilapan yang besar. Hanya kerana mereka itu nampak lembut, tidak ganggu orang, kuat ibadah, maka orang anggap itu baik dan bagus. Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Orang yang banyak berkhidmat dengan Tuhan mesti banyak berkhidmat dengan manusia . Kalau betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia . Itulah sepatutnya natijah atau hasil dari solat.


2. Berjiwa Besar. Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertaqwa. Kalau itulah yang kita rasa maka akan timbullah rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertaqwa itu Tuhan kata, "Dia orang Aku." Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya berbagai-bagai perkara dan Tuhan tidak, mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati. Apakah janji Tuhan kepada orang mukmin, orang bertaqwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan? Tuhan janjikan kepadanya: a.Keselamatannya b.Kewangannya c.Kehidupannya d.Kepandaian e.Kemenangan f.Tuhan bertanggungjawab dan akan mengalahkan musuh-musuhnya Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera-tentera Tuhan.

Tuhan boleh arah mereka bertindak. Kalau begitulah keyakinan kita hasil dari solat, maka dari solat itulah kita akan beroleh jiwa yang besar. Orang yang sudah jadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain. Orang tengok gunung, tidak ada yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana merasa insaf dengan kebesaran Tuhan. Tetapi dengan melihat orang Tuhan dan orang yang bertaqwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah.

Bila tengok sahaja orang bertaqwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah. Orang bertaqwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan. Dia tidak boleh tengok orang susah. Pasti dibantunya. Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya . Tuhan Maha Pemurah, dia pun mahu jadi pemurah.

Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat balk pada orang yang buat jahat padanya. Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-Nya, tidak solat, berjudi, minum arak tapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak dan isteri kepada mereka. Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar .

3. Berani.
Dalam solat, ada ubat atau pil untk menjadikan orang penakut itu berani. Malahan sebelum mengangkat takbir solat pun, sudah dirasakan betapa hebatnya kekuasaan Tuhan dan betapa lemahnya makhluk ini.

Datang kesedaran bahawa makhluk tidak ada kuasa langsung . Malaikat, jin, harimau dan manusia lain semuanya setaraf, setitik pun tidak ada kuasa dan kekuatan. Cuma kalau ada perbezaan antara satu sama lain adalah kerana Tuhan bagi sedikit kelebihan kepada dia. Tuhan bagi kelebihan tidak sama kepada setiap makhluk. Yang kuat dan berkuasa itu Tuhan, bukan makhluk. Bukan malaikat, bukan jin, bukan manusia dan bukan harimau. Yang patut dan layak ditakuti ialah Tuhan.

Bila Tuhan sebenar-benarnya ditakuti, maka akan lenyaplah takut dan akan timbullah rasa berani terhadap sesama makhluk. Ini termasuk juga takut kepada miskin, sakit, hilang pangkat dan jawatan, hilang pengaruh, mati dan sebagainya. Kalau kita sedar semua itu adalah dari Tuhan, maka takut kita itu akan berpindah dari perkara-perkara tersebut kepada Tuhan. Begitu juga rasa takut kepada bencana alam seperti banjir besar, gunung berapi, gempa bumi dan wabak penyakit. Tuhan kata jadi maka jadilah. Tuhan kata tidak maka tidaklah. Akan datang rasa takut kepada Tuhan lebih dari takut kepada bencana alam itu. Takut pada Tuhan itu adalah takut yang hak dan mesti dikekalkan. Takut pada makhluk adalah takut yang batil. la mesti dibuang.

4. Disiplin.
Dalam sembahyang kita berikrar dan berjanji bahawa hidup dan mati kita pun untuk Tuhan . Kalau pengakuan macam ini boleh dibuat dan dihayati dengan sepenuh hati, kita akan jadi seorang manusia yang penuh disiplin. Kalau satu bangsa boleh buat pengakuan yang seperti ini, maka bangsa itu akan menjadi satu bangsa yang berdisiplin. Bila disebut mati, semua orang yakin akan mati. Bila mati ertinya kembali kepada Tuhan. Kembali ertinya pulang ke tempat asal. Maksudnya, asal kita adalah dari Tuhan. Datang dari Tuhan, kembali pun kepada Tuhan. Maka perlulah kita hidup dan mati kerana Tuhan.

Bila datang dari Tuhan dan kembali pun kepada Tuhan maka mesti ada jalan dari dan kepada Tuhan. Bila hidup dan mati kita ikrarkan untuk Tuhan maka sudah tentu kita akan ikut jalan ini. Jalan ini ialah syariat Tuhan. Kita akan ikut syariat Tuhan. Taat dan patuh kepada syariat ini ialah disiplin. Disiplin termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sebaliknya, bangsa yang tidak berdisiplin, siapa sahaja yang melihat akan mentertawakan bahkan akan memperlecehkan mereka.

Tidak ada disiplin di sudut manapun akan jadi bahan kelakar bagi orang Yahudi. lni dapat kita lihat pada bangsa yang di Timur Tengah. Mereka sungguh tidak berdisiplin. Naik baspun berebut-rebut, tidak tahu hendak beratur. Itu sebab bangsa Yahudi tidak hormat, tidak takut dan tidak gerun dengan mereka. Itu sebab Yahudi berani memperkotak katik dan menzalimi mereka.

5. Sabar .
Sabar juga termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sifat sabar Iebih utama bagi pemimpin. Oleh itu sifat sabar yang tertinggi dihadiahkan Tuhan kepada pemimpin, kepada para rasul terutamanya yang Ulul `Azmi. Sabar adalah syarat utama bagi seorang pemimpin. Dalam sembahyang ada ubat dan pil untuk menjadikan seseorang itu penyabar. Sebelum kita mulakan sembahyang pun sudah ada didikan untuk kita bersabar sama ada kita sedar ataupun tidak, sebab hendak sembahyang bukannya senang, Iebih-Iebih lagi bagi orang yang belum khusyuk. Hendak sembahyang pun satu ujian.

Bukan senang hendak bangun tidur di waktu pagi untuk sembahyang Subuh. Sebab itu, sesetengah orang dia duduk-duduk dulu. Dia menung dulu. Mengenangkan terpaksa ke bilik air. Kalau tidak sabar, kita tidak akan boleh buat. Kalau tidak sabar, boleh jadi kita akan tidur semula. Sebelum sembahyang pun sudah perlu banyak sabar. Dalam sembahyang Iebih-Iebih lagi. Bila kita sebut: "Maliki you middin" yang bermaksud: "Tuhan yang memerintah di hari Akhirat" ia jadi pemangkin untuk kita bersabar. Bersabar melaksanakan segala suruhan Tuhan.. Biarlah bersusah-susah sedikit. Biarlah sakit sedikit. Biarlah tidak dapat mengikut kehendak nafsu asalkan di Akhirat kita selamat.

Dengan itu ia memudahkan kita untuk bersabar. Samalah dengan orang yang mengejar dunia. Hendak sekolah bukan seronok. Hendak belajar bukan senang. Hendak masuk universiti bukan mudah. Tetapi demi untuk menjadi pandai, supaya dapat kerja dan jawatan yang tinggi, bersusah payah pun dibuat juga. Orang boleh bersabar menghadapi apa yang dia benci, apa yang dia tidak suka dan apa yang menjemukannya, asalkan matlamat dan cita-citanya tercapai.

Minda Guruku

Rabu, 17 Jun 2009

Sembahyang Tidak Mengubah Perangai

Ketika engkau bersembahyang atau menyembah Allah,
Fizikal engkau berdiri tapi dia tidak tahu apa-apa,
Anggota lahir engkau rukuk tapi dia tidak faham apa-apa,
Juga anggota lahir engkau sujud, perlu diingat ia tidak mengerti apa-apa,
Bahkan walaupun lidah engkau membaca tapi dia tidak faham apa-apa,
Oleh itu kalau fikiran engkau tidak berdiri sama-sama,
Engkau belum bercakap apa-apa dengan Tuhan,
Jika jiwa engkau tidak rukuk sama,
Engkau belum rasa bertuhan,
Bila hati engkau dan jiwa engkau tidak sujud sama,
Apa yang engkau bisik dan cakapkan kepada Tuhan engkau?
Kalau engkau tidak bercakap apa-apa di dalam menyembah Allah,
Jika engkau tidak rasa bertuhan,kerana hati dan jiwa engkau tidak ikut berdiri rukuk dan sujud,
Engkau di waktu itu tidak merasa kehambaan,
Jadi kalau ketika menyembah Allah,
Berbisik-bisik dan bercakap-cakap dengan Tuhan pun tidak,
Rasa bertuhan pun tidak ada di waktu itu,
Rasa kehambaan pun tidak wujud ketika sembahyang,
Tidak rasa memohon dan meminta,
Tidak terasa merendah diri dan menghina diri di hadapan Tuhan,
Engkau belum bersembahyang,
Engkau tidak bersembahyang di waktu itu,
Engkau hanya bersenam dan beriadhah untuk Allah,
Patutlah perangai engkau tidak berubah,
Engkau bukan menyembah Allah,
Tapi riadhah.


Lepas Asar
01 11 1999

Minda Guruku

Sembahyang Adalah Berat

Sembahyang lima waktu itu kalau dipandang sepintas lalu secara lahirnya tidaklah berat sangat kerana bacaan-bacaannya tidaklah terlalu panjang dan menyusahkan menghafalnya. Masa untuk mengerjakannya pun tidak memakan masa terlalu lama, setakat 15 - 20 minit sahaja. Di antara satu waktu ke satu waktu ada ruangan-ruangan untuk rehat atau bekerja dan boleh pula dikerjakan di mana-mana sahaja ada kesempatan. Tidak mesti dikerjakan di masjid. Tidak memerlukan wang yang banyak. Bahkan di dalam pengalaman mengerjakan sembahyang tidaklah sampai meletihkan dan menyusahkan.

Tapi mengapa Allah Taala menyatakan melalui Al Quran bahawa sembahyang itu adalah besar iaitu sangat berat.Maksudnya: Sesungguhnya (sembahyang itu) adalah amat berat kecuali bagi orang yang khusyuk. (Al Baqarah: 45)
Khusyuk yang dimaksudkan di sini ialah orang yang mukmin yang jiwa tauhidnya mendalam, hingga dengan itu jiwa dan perasaan kehambaannya begitu kuat iaitu rasa bertuhan itu benar-benar memenuhi hati dan perasaan mereka dan rasa itu tidak lekang hingga dibawa ke mana-mana.

Hamba Allah yang seumpama ini rasa cintanya dengan Tuhan atau rasa takut dengan Tuhan menguasai fikiran, jiwa dan perihal mereka. Maka sudah tentulah mereka itu mudah mengerjakannya serta dapat melaksanakan kehendak-kehendak sembahyang itu di dalam kehidupan mereka. Bahkan mereka rindu dengan sembahyang, seronok mengerjakannya kerana dengan bersembahyang itu mereka dapat bercakap-cakap dengan Tuhan,mengadu, meminta-minta, mengharap-harap, membesarkan,mensucikan, memuja, merindui, melepaskan segala perasaan yang terbuku iaitu memohon ampun dan maaf.

Mereka yang hatinya khusyuk itu, memang sembahyang itu sentiasa ditunggu-tunggunya, dari satu waktu ke satu waktu.Di dalam istilah Islam dikatakan muraqobah. Kerana itulah mereka, oleh sebab tidak sabar hendak bercakap-cakap dengan Tuhan di dalam ibadah sembahyang yang fardhu, mereka membanyakkan sembahyang sunat. Di sanalah mereka meluahkan rindu dan segala perasaan hati. Mereka rasa senang dan tenang selepas sembahyang kerana segala pengaduan telah dipanjatkan kepada Tuhan.

Walau bagaimanapun bercampur rasa bimbang itu memang ada, ditakuti sembahyang tidak diterima, permohonan tidak dikabulkan, pengiktirafan (pengakuan, ikrar, sumpah) dianggap dusta.

Beratnya Ada Tiga Peringkat. Bagi orang Islam yang hatinya tidak khusyuk iaitu hubungan hati dengan Tuhan tidak kuat atau terputus sama sekali, sudah tentulah rasa bertuhan tidak wujud. Kesedaran bertuhan itu tidak ada di dalam fikiran dan jiwa mereka. Kalau begitu sudah tentulah rasa cinta atau takut dengan Tuhan tidak ada.

Orang Islam yang begini sudah tentulah terasa berat mengerjakan sembahyang. Terasa terbeban dengan sembahyang. Orang begini tidak akan hendak menunggu-nunggu sembahyang. Selain sembahyang fardhu, lebih-lebih lagilah.Apabila khusyuk dengan Tuhan tidak ada, sudah tentu ada perkara lain yang kita jiwai dan hayati. Ada perkara lain yang kita besarkan dan agungkan.

Ada perkara lain yang mendarah mendaging yang menjadi otak dan jiwa kita. Mungkin banyak,mungkin sedikit. Mungkin harta kekayaan, anak isteri, jawatan dan pangkat, glamour dan nama. Bahkan mungkin juga kesusahan yang menimpa kita itu yang menjadi otak dan jiwa kita.Ertinya kesusahan itulah yang menghantui dalam fikiran dan jiwa kita. Mungkin semuanya sekali.Orang yang begini sikapnya sudah tentu amat berat dengan sembahyang. Susah dengan sembahyang. Sembahyang dirasakan beban yang berat, sembahyang mengganggu kehidupan mereka. Oleh yang demikian sudah tentu tidak larat membuatnya.Atau kalaupun dibuat, hatinya tidak sembahyang. Di dalam sembahyang dia akan ingat perkara yang dijiwainya. Fizikal atau jasadnya sembahyang, fikiran dan hatinya tidak bersembahyang.

Berat Peringkat Pertama - Sebelum Mengerjakan
1. Apabila Tuhan tidak dijiwai atau rasa bertuhan sudah lemah, waktu bekerja sudah tentu sayang hendak meninggalkan kerja. Tertinggallah sembahyang atau qadha saja. Ketika mengerjakan sembahyang terseksa rasanya.

2. Apabila sedang bersuka ria dengan anak isteri dan mereka itulah yang dijiwai, maka berat pula hendak mengerjakan sembahyang. Tertinggal sembahyang atau melewat-lewatkannya.Kalau buat pun tidak dari hati.

3. Apabila sedang bermesyuarat yang kita jiwai dan pandang besar maka sembahyang dipandang kecil. Tertinggal sembahyang atau qadha sahaja. Dan sudah tentu tidak khusyuk kerana hati bukan pada sembahyang.

4. Apabila sedang berkelah dan berseronok-seronok dengan kawan-kawan dan pemandangan yang kita jiwai, sudah tentulah sembahyang tidak diambil kira, tinggal terus atau qadha saja.

5. Apabila sibuk dengan kenduri-kendara, kita jiwai kenduri itu, sembahyang dilupakan terus atau qadha saja. Itupun terasa terpaksa.

6. Waktu musafir lebih-lebih lagilah badan letih, pemandangan dan apa saja yang dirasa dan dilihat mempesona. Hendak mengerjakan sembahyang tentulah berat. Tinggalkan saja atau qadha. Waktu membayarnya tidak dari hati. Hendak cepat-cepat saja.

7. Apabila jiwa bertuhan tidak ada atau lemah, kalaupun boleh bermujahadah dapat juga mengerjakan sembahyang tapi terasa sangat terlalu berat maka sembahyang tidak dapat dijiwai. Sembahyang pun hendak cepat-cepat saja.

Lebih-lebih lagilah terasa berat hendak melaksanakan ikrar dan tuntutan sembahyang itu di luar sembahyang. Sudah tentu tidak boleh menunaikannya. Kerana Tuhan dan syariat Tuhan itu belum kita jiwai lagi. Kalau begitu tidak hairan orang yang mengerjakan sembahyang masih terlibat dengan maksiat dan kemungkaran seperti tipu, rasuah, zina, curi, merompak, pergaulan bebas lelaki perempuan, menzalim, judi, dedah aurat dan juga tidak hairanlah orang yang bersembahyang akhlaknya masih rosak seperti memfitnah, mengumpat, menghina, berdusta, mengadu domba, bercakap kotor dan lucah, bakhil, tamak, pemarah,sombong, riyak, suka nama dan glamour.

Walaupun mereka bersembahyang hakikatnya mereka tidak bersembahyang.Jadi jelaslah bahawa bagi orang yang tidak khusyuk iaitu yang tidak berjiwa tauhid, hanya setakat berfikiran tauhid sahaja sudah tentulah amat berat dengan sembahyang kecuali bagi orang yang khusyuk. Maksudnya: Sesungguhnya (sembahyang itu) adalah amat berat kecuali bagi orang yang kusyuk. (Al Baqarah:45)Apakah yang selalu diingat oleh orang yang tidak khusyukdalam sembahyang? Orang yang tidak khusyuk sembahyang, mereka merasa berat dengan sembahyang sekalipun dapat dibuatnya. Tapi apakah yang mereka ingat dalam sembahyang?Iaitu setiap yang mereka khusyukkan. Ertinya setiap perkara yang mereka jiwai dan cintai atau yang mereka besarkan dan ambil berat.

Itulah yang ringan diingat atau mudah diingat.Ingatan itulah yang akan datang di dalam sembahyang menggantikan rasa bertuhan, menggantikan menjiwai segala bacaan, seperti hal-hal pekerjaan di pejabat akan datang dalam sembahyang, kisah anak isteri akan datang di dalam sembahyang, kawan-kawan pacaran kita itu yang akan datang di dalam sembahyang. Urusan persekolahan akan datang di dalam sembahyang.

Mengira-ngira duit, rugi untung akan datang dalam sembahyang. Setiap kesusahan, kegembiraan dan kegemaran kita itu yang datang dalam sembahyang. Dendam kesumat dengan orang itu akan datang di dalam sembahyang.Walhasil setiap apa saja yang kita jiwai di dalam kehidupan kita sama ada yang menggembirakan mahupun yang menyusahkan jika kita jiwai (khusyuk) maka itulah yang akan datang di dalam sembahyang.

Berat Peringkat Kedua- Di Dalam Sembahyang.
Katalah seseorang itu boleh juga mengerjakan sembahyang sama ada di awal waktu atau di akhir waktu atau qadha sama ada sembahyang berseorangan atau berjemaah. Apabila jiwa tauhid lemah atau rasa bertuhan sudah tidak ada, ertinya rasa khusyuk dengan Tuhan sudah tidak ada maka dia mengerjakan sembahyang itu rasa terpaksa, berat, jemu, sembahyang hendak cepat sahaja dan gopoh-gapah.

Dia tidak bersabar, tidak berlambatlambat dan bertenang-tenang, lebih-lebih lagi tidak sabar hendak memahami dan menghayati setiap perkataan dan lafaz yang dibaca. Akhirnya dia membaca tanpa roh dan jiwa.

Tarikan dunia lebih mempengaruhi jiwa dan fikiran, maka pada waktu itu yang mudah datang ialah kerja dunia kita, urusan dunia kita, mengingat-ingat nasib kita apakah yang akan berlaku di dunia ini.Maka melayang-layanglah fikiran kita, kosonglah jiwa kita daripada mengingati Allah Taala di waktu sembahyang itu.

Oleh kerana itulah mengerjakan sembahyang terasa penat, berat dan menjemukan kecuali orang yang khusyuk.Kalaulah tidak dipupuk lagi jiwa tauhid, lama-kelamaan boleh berhenti bersembahyang. Lebih-lebih lagi setelah bertambah sibuk dengan kerja dan urusan dunia atau melayan orang ramai kerana urusan dunia yang sementara ini.


Berat Peringkat Ketiga - Menunaikan Ikrar Dan Tuntutan Sembahyang
Peringkat ketiga ini adalah menunaikan ikrar dan tuntutan di dalam sembahyang. Ini lebih-lebih lagi amat berat untuk melaksanakannya.Sebagaimana yang kita maklum bahawa waktu kita mengerjakan sembahyang itu berbagai-bagai janji dan ikrar telah kita buat di hadapan Tuhan.

Di antara ikrar dan janji kita itu adalah kita berikrar menyembah dan meminta pertolongan dengan-Nya, membesarkan-Nya, meminta kepada-Nya ditunjukkan ke jalan yang lurus (benar) iaitu jalan-jalan para rasul,bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan sesat.

Berjanji ingin hidup mengikut syariat Tuhan di dalam segala hal dan perilaku, di dalam seluruh sistem kehidupan; bermasyarakat, berekonomi,berhubung, berpolitik, bernegara, mentadbir dan lain-lain lagi.Di dalam sehari semalam lima kali kita berikrar dan berjanji kepada Tuhan. Setiap kali bersembahyang kita berikrar dan berjanji lagi. Ikrar dan janji yang sama.

Begitulah diulang-ulang kita berjanji kepada Tuhan. Bagi orang yang khusyuk kepada Tuhan iaitu yang berjiwa tauhid, amat takut dan bimbang sungguh. Justeru itulah mereka selepas sembahyang bersungguh-sungguh mengendalikan kehidupan di dalam semua aspek mengikut Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Di dalam menunaikan janji itu mereka tetap takut.

Di dalam bersungguh-sungguh melaksanakan janji di dalam seluruh kerja dan usaha mereka, namun mereka sentiasa bimbang kalau-kalau janji tidak dapat ditunaikan. Begitulah sikap orang yang khusyuk.Berlainan sekali bagi orang yang tidak khusyuk atau orang yang tidak berjiwa tauhid. Janji hanya tinggal janji. Di dalam sembahyang, berdusta selalu dengan janji. Setiap kali berjanji di dalam sembahyang kemudian berbohonglah di luar.

Sembahyang orang yang tidak khusyuk selalu saja mengkhianati janji dengan Tuhannya. Sudahlah begitu, iaitu janji kepada Tuhan tidak ditunaikan, namun tidak pernah merasa takut, bimbang,kesal, bahkan melupakan begitu saja perbuatan tidak menunaikan janji itu. Tidak seperti orang yang khusyuk yang walaupun sudah sungguh-sungguh menunaikan janji kepada Tuhan,namun hatinya sentiasa takut kepada Tuhan.

Seolah-olah merasakan belum menunaikan janjinya.Mereka yang tidak khusyuk terasa berat hendak menunaikan janji kepada Tuhan kerana pautan dengan Tuhan sudah tidak ada atau sudah tipis. Tarikan kepada Tuhan telah lemah. Justeru itu tarikan dunialah yang merangsang mereka.

Oleh yang demikian melaksanakan kehendak-kehendak nafsu dan syaitan itulah yang ringan bagi mereka memperjuangkannya. Kehendak Allah Taala walaupun telah berjanji, itu sangat berat untuk diperjuangkannya. Oleh yang demikian tidak hairanlah berjanji hendak menyembah dan membesarkan Tuhan, tetapi dalam kehidupan menyembah dan membesarkan harta, betina, pangkat,pemimpin, bintang filem.

Berjanji hendak hidup di dalam semua aspek kehidupannya mengikut syariat Tuhan, tetapi yang diikut ialah fikiran, ideologi, isme, teori akal. Mereka yang tidak khusyuk, sembahyang tidak ada hubungan dengan kehidupan, tidak ada hubungan dengan masyarakat, ekonomi, politik, kebudayaan,perlembagaan negara dan lain-lain.
Apabila Meninggalkan Sembahyang.

Sembahyang adalah ibu segala ibadah. Cara ibadah yang paling lengkap untuk hamba-Nya merasakan rasa bertuhanan dan agar hamba-hamba-Nya dapat melahirkan sifat-sifat kehambaan, masa pembaharuan iman dan ikrar kepada Tuhan. Oleh yang demikian, apabila seseorang hamba itu tidak mengerjakan atau meninggalkan sembahyang maka mereka boleh dianggap sebagai berikut:

1. Dia telah melakukan sombong yang paling besar, iaitu sombong kepada Tuhan yang menciptanya, menghidupkannya dan memberi nikmat kepadanya.

2. Dia seolah-olah tidak mengaku bahawa Allah Taala itu adalah Tuhannya.

3. Orang yang meninggalkan sembahyang, orang yang sudah terputus hubungannya dengan Allah Taala iaitu telah putus asa dengan Tuhan dan terputus dari rahmat-Nya.

4. Orang yang tidak bersedia berikrar atau membaharui ikrar agar hidup matinya untuk Allah Taala.

5. Orang yang tidak bercita-cita, beriman dan membaiki jiwanya dan dirinya.

6. Orang yang tidak lagi mengharap kepada Tuhan.

7. Orang yang tidak bersembahyang ertinya isytihar perang dengan Tuhan.

Begitulah keadaannya. Munasabahlah siapa yang meninggalkan sembahyang menjadi kafir.

Minda Guruku

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin