Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan

Isnin, 24 Ogos 2009

Burulah Rahmat Allah, Jangan Kejar Fadhilat Ibadah Semata-mata

Foto oleh; Tok Osman


Burulah Rahmat Allah, Jangan Kejar Fadhilat Ibadah Semata-mata (Sempena Ramadan Al-Mubarak)
Kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus untuk mengejar dunia, untuk mendapatkan harta benda, kekayaan, glamour, nama dan pujian, pangkat, gelaran, darjah kebesaran, kuasa, perempuan dan sebagainya tanpa mempedulikan nasib mereka di Akhirat, maka jelas mereka itu rugi dan tertipu.Namun begitu kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus untuk mengejar Akhirat iaitu untuk mendapatkan Syurga, dengan melakukan berbagai-bagai ibadah sebanyak-banyaknya dan dengan mencari dan mengejar fadhilat, dengan tujuan untuk mengumpulkan sebanyak-banyak pahala maka dikhuatiri mereka juga rugi dan tertipu.

Tetapi, kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus hanya kerana Allah, kerana merasakan dirinya seorang hamba dan sudah menjadi kewajipannya untuk taat dan berbakti kepada Allah, kerana merasakan tugasnya sebagai hamba tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdi diri kepada Allah, untuk menagih simpati, belas kasihan, keampunan dan kasih sayang Tuhan, untuk menyatakan kesyukurannya ke atas segala nikmat yang telah dikurniakan- Nya, untuk mendapat keredhaan Allah, yang beribadah atas dorongan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang terpahat di hatinya dan untuk mendapatkan Tuhan itu sendiri maka inilah jalan yang lurus dan hak.Justeru itu, kalau ada orang yang mengajak kita kepada dunia yang semata-mata dunia, dan yang tidak ada nilai Akhiratnya, maka itu adalah satu penipuan yang amat nyata.Kalau ada pula orang yang mengajak kita kepada Akhirat yakni semata-mata untuk mendapat Syurga dengan mengejar fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihan amalan, maka itu juga dikhuatiri adalah satu penipuan yang akan merugikan kita.

Tapi kalau ada orang yang mengajak kita kepada Tuhan, yang mengajak kita untuk mengenali Tuhan, yang mengajak kita untuk rasa bertuhan dan merasakan bahawa diri kita ini hamba, yang mengajar kita supaya takut dan cinta kepada Tuhan, maka inilah jalan kebenaran iaitu jalan yang ditunjukkan oleh para rasul.


Kedudukan seorang hamba di sisi Allah bukan diukur kepada berapa banyak ibadah dan fadhilat-fadhilat yang diamalkannya tetapi kepada apa yang ada di dalam hatinya, iaitu keimanannya, keyakinannya dan ketaqwaannya. Kepada kebersihan hati dan jiwanya. Kepada rasa takut, cinta, gerun, hebat, tawakal, pergantungan, harapan dan penyerahannya kepada Tuhan. Ibadah seorang hamba itu hanyalah manifestasi dari apa yang wujud dalam hatinya. Ibadah seorang hamba adalah dari rasa cinta dan takutnya kepada Tuhan. Dari rasa kehambaannya yang begitu mendalam dan sifat-sifat hamba yang tajam di hatinya seperti rasa hina, berdosa, dhaif, lemah, malu dan sebagainya di sisi Tuhan. Lagi kuat iman dan lagi tinggi taqwa seseorang hamba itu maka lagi kuat dan tekunlah dia beribadah, lebih kemaslah syariat dan lebih mulialah akhlaknya.

Memang Allah ada menjanjikan Syurga bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Tapi itu hak Tuhan untuk memberi, bukan hak manusia untuk menuntutnya. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan amal ibadah. Jangankan Syurga, nikmat sebelah mata pun tidak dapat dibayar dengan ibadah seumur hidup. Belum mata yang sebelah lagi, telinga yang mendengar, hidung yang menghidu. Belum lagi makanan yang dimakan, air yang diminum dan oksigen yang dihirup sepanjang hidup. Belum lagi segala anggota tubuh dan organ di dalam badan. Belum lagi nikmat akal yang berfikir dan hati yang merasa. Dan belum lagi nyawa dan roh yang dengannyalah kita dapat mengetahui dan merasakan hakikat kewujudan ini.

Tidak ada manusia yang masuk ke Syurga kerana amal ibadahnya. Tidak juga para nabi dan para rasul. Tidak juga Rasulullah SAW. Baginda sendiri masuk ke Syurga semata-mata kerana rahmat Allah.Kalau rahmat Allah lah yang menjadi sebab seseorang hamba itu masuk ke Syurga maka orang yang mahukan Syurga sepatutnya memburu rahmat Allah ini dan bukan fadhilat-fadhilat, kelebihan amalan ataupun pahala. Fadhilat, kelebihan amalan dan pahala tidak akan mendatangkan rahmat Tuhan. Allah memberi rahmat-Nya hanya kepada hamba-hamba yang dikasihi dan dicintai-Nya. Oleh itu cinta dan kasih sayang Tuhanlah yang patut dicari dan diusahakan. Tidak ada jalan lain untuk mendapat kasih sayang Tuhan melainkan dengan bertaubat, membersihkan hati, memperbaiki diri, mempertingkatkan iman dan ketaqwaan, menanam rasa bertuhan dan rasa kehambaan di hati, memupuk rasa takut, cinta, gerun, hebat dan rindu kepada Tuhan, menajamkan sifat-sifat kehambaan seperti malu, hina, rasa berdosa, dhaif, lemah dan sebagainya di hadapan Tuhan dan mengabdikan diri keseluruhannya kepada Tuhan.

Apalah maknanya kita mengejar pahala yang merupakan hadiah dan pemberian dari Tuhan kalau Tuhan tidak sayang kepada kita. Adalah lebih baik kita menagih cinta dan kasih sayang Tuhan walaupun tanpa hadiah dan pemberian. Kalau Allah sudah sayang dan cinta kepada kita, bukankah itu seperti telah mendapat segala-galanya. Apalah nikmat yang ada pada hadiah dan pemberian Tuhan berbanding nikmat mendapat kasih sayang Tuhan itu sendiri. Nikmat kasih sayang Tuhan lebih besar dan lebih agung. Betapa hebat pun nikmat Syurga di Akhirat nanti, semua itu kecil berbanding nikmat dapat melihat wajah Tuhan. Kalau melihat wajah Tuhan pun sudah mengalahkan nikmat Syurga, apatah lagi nikmat mendapat cinta dan kasih sayang Tuhan.

Memang di dalam ibadah ada fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihan nya. Akan tetapi itu semua adalah anugerah Allah kerana kasih dan sayang-Nya. Janganlah pula itu kita jadikan matlamat ibadah kita. Seperti juga Syurga. Ia satu anugerah kepada hamba-hamba Tuhan yang beriman dan beramal soleh. Tapi janganlah pula Syurga itu kita jadikan matlamat ibadah. Ibadah yang kita lakukan mesti tetap kerana Allah dan sebagai pengabdian kita kepada-Nya. Moga-moga dengan itu Allah redha dan sayang kepada kita. Moga-moga Allah mengampunkan kita dan menerima kita sebagai hamba-hamba- Nya.Janganlah kita terlalu menghargai, menginginkan dan mengidamkan hadiah yang Allah akan beri tetapi lupa untuk memuja, menyanjung, menyayangi dan mengagungkan Allah yang memberi hadiah itu. Janganlah pula kita seperti kanak-kanak yang melompat, melonjak dan bersorak-sorai kegembiraan kerana mendapat gula-gula dari ayahnya hingga terlupa dia akan kehadiran ayahnya dan terlupa dia untuk berterima kasih padanya.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Tips Hayati Puasa

Foto oleh: shabbirthtz

Kita telah berpuasa sekian lama. Namun, tiap kali kita berpuasa apakah nilaian puasa kita di sisi Tuhan? Semakin baikkah akhlak dan peribadi kita? Atau sama sahaja seperti sebelum-sebelumnya. Tujuan ibadah bagi hamba-hamba Tuhan adalah agar hamba itu mengenali Tuhan seterusnya benar-benar merasakan kebesaran dan keagungan Tuhan. Selain ibadah itu dapat memberi kesan kepada seseorang agar orang itu benar-benar menghayati dirinya sebagai hamba Tuhan.


Oleh itu, puasa yang tidak memberi kesan kepada peribadi seseorang adalah ibadah yang sia-sia. Kalaulah hendak diibaratkan ibadah itu sebatang pokok, maka ia adalah pokok yang kegersangan buahnya. Dalam erti kata lain, pokok yang tidak mendatangkan hasil. Orang yang berpuasa tetapi tidak menghayati puasa, adalah orang yang lahirnya berpuasa tetapi batinnya tidak berpuasa. Sedangkan ibadah puasa itu ia ada lahir dan ada batinnya. Tidak boleh berpuasa sekadar lahir sahaja. Sekadar lapar dan dahaga sahaja. Sekadar tak makan dan tak minum. Tidak boleh begitu. Sedangkan yang Tuhan hendak lihat, yang dalam itu. Apa yang ada dalam hati kita.


Sejauhmana penghayatan hati kita di waktu berpuasa. Yang lahir ini kena buat juga kerana ia menentukan sah batal puasa. Perlu juga. Tetapi yang dalam itulah yang terpenting sebab ia menentukan soal hubungan kita dengan Tuhan. Ia menentukan nilaian ibadah kita di sisi Tuhan. Diterima atau tidak di sisi Tuhan, banyak bergantung kepada penghayatan seseorang dalam berpuasa.Tidak boleh tidak, kenalah berpuasa dengan penghayatan. Bukan sekadar biasa sahaja seperti mana yang kita lakukan sebelum ini. Kenalah menghayati puasa itu kerana ia adalah pakej menyucikan fitrah kita yang Tuhan datangkan 1 bulan dalam 12 bulan.


Bagaimana nak hayati puasa? Intipati puasa adalah mujahadah. Bila bermujahadah bersungguh-sungguh melawan nafsu, maka di situlah nanti ada penghayatan. Di samping mujahadah menahan lapar dan dahaga dalam berpuasa, apa yang dituntut adalah bersungguh-sungguh melawan nafsu terhadap keinginan-keinginan yang bertentangan dengan kehendak Tuhan. Sudah menjadi watak nafsu itu sendiri sangat sukakan kepada kejahatan. Nafsu tidak suka kepada perintah Tuhan. Apa yang Tuhan suruh buat, itulah yang dibencinya. Sebaliknya, apa yang Tuhan larang, menjadi kesukaannya. Kalau kita turut sahaja kata nafsu, kita sebenarnya sudah melawan Tuhan. Kita bukan jadi hamba Tuhan tetapi jadi hamba nafsu. Mahu tidak mahu, kenalah bermujahadah dengan nafsu.Tambahan daripada itu, lakukanlah berbagai pengisian roh di dalam bulan ini. Banyakkan bertafakur tentang kejadian ciptaan Tuhan.


Usahakan memperbaiki solat agar benar-benar khusyuk. Bacalah Al-Quran dan fahamilah maksud daripadanya. Rasakanlah di dalam hati apa yang telah diceritakan oleh Tuhan di dalam Al-Quran itu. Solat terawih kerjakanlah ia sebanyak 20 rakaat dengan penuh rasa cinta kepada Tuhan. Moga-moga dengan panduan ini, kita akan menjadi orang yang bersih suci fitrahnya. Hanya orang yang sudah bersih suci fitrahnya sahaja yang layak mendapat hadiah Tuhan berupa keredhaanNya, keampunan, rahmat dan lepas dari azab neraka.


Sumber : Minda Global

Khamis, 20 Ogos 2009

Apa maksud Tuhan menyuruh Kita Berpuasa Sebulan Setiap Tahun


Merujuk kepada Al-Quran, tujuan berpuasa adalah untuk bertaqwa. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 183, ertinya; Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagai-mana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. Berpuasa rupa-rupanya boleh mengakibatkan seseorang hamba Allah bertaqwa kepada Tuhannya yakni bila mana Ramadhan dilalui dengan tepat dan penuh penghayatan. Kalau bukan caranya, berpuasa di bulan Ramadhan hanya menghasilkan lapar, dahaga dan keletihan sahaja, sia-sia. Dalam setahun kita telah melalui berbagai-bagai cabaran hidup yang boleh merosakkan ketaqwaan kita kepada ALLAH.


Bila manusia tidak bertaqwa, mereka akan hilang wibawa dan kemanusiaan. Manusia menzalim, menindas, menipu, mementingkan diri, jatuh menjatuhkan , hasad dengki, pemarah, takabur, bakhil, berdendam dan lain-lain. Masyarakat manusia tidak lagi berkasih sayang, bekerjasama, bertolak ansur dan bertolong bantu. Sebaliknya akan berebut-rebut, berkrisis, bertelagah dan berperang. Peperangan antara suami isteri, anak dengan ibu bapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dengan pemimpin dan lain-lain. Manusia hilang kemanusiaan. Masyarakat manusia tidak berwatak manusia lagi! Bertukar kepada watak syaitan dan haiwan.


Allah SWT yang Maha Adil lagi Bijaksana, yang menjadikan manusia , tahu di mana kekuatan dan kelemahannya, tahu bagaimana menguatkan yang lemah, menyuburkan yang kuat, tahu punca kekuatan dan kelemahan, telah memilih sebulan Ramadhan untuk jadi ubat kepada setahun penyakit. Berpuasa dan ibadah-ibadah tambahan Ramadhan itu mampu menyelesaikan masalah-masalah selama setahun. Umpama kereta yang letih dan lemah setelah setahun digunakan , overhaul sebulan cukup untuk sihat semula. Ya, Ramadhan datang untuk overhaul manusia supaya dapatkan kemanusiaan semula. Rugilah orang-orang yang gagal menjadikan ibadah-ibadah Ramadhan untuk membaik pulih kemanusiaan mereka. Macam ruginya orang yang diberi kereta tapi tidak pandai mengguna atau tersalah guna.


Bagaimana Ramadhan Overhaul Hati Manusia?Terdapat pakej ibadah yang cukup hebat dan berkesan, kuat menguat satu sama lain, supaya manusia dibaik pulihkan sepanjang Ramadhan . Allahlah yang punya pakej ini Maha pakar dalam merawat jiwa, fikiran dan fizikal manusia supaya kembali suci sesuci fitrah semulajadinya.Pakej itu ialah ibadah puasa, terawih, baca Quran, zikir, tasbih, paling asas adalah mujahadah untuk melawan nafsu. Seseorang yang sanggup melakukan keseluruhan pakej ibadah ini dengan serius dan penghayatan, sungguh akan memperolehi satu kekuatan roh, mental dan fizikal untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi.


Membawa bersamanya segala sifat-sifat baik seorang manusia seperti merendah diri, pemurah, berkasih-sayang terutama dengan orang miskin dan susah, tawakkal, sabar, tenang, adil, berbaik sangka, sanggup meminta maaf dan memberi maaf, bertolak ansur, jujur, mementingkan orang lain dan lain-lain. Kalau ada manusia begini, di muka bumi ini dan tentunya ada, ketahuilah bahawa pada merekalah Allah akan pusakakan bumi ini untuk ditadbir. Sebab Allah berjanji untuk menutup bumi ini dengan keadilan oleh orang-orang yang mereka itu cintakan Allah dan Allah juga cintakan mereka.Bagaimana Ibadah Memproses Ketaqwaan Manusia ?Allah jadikan manusia makhluk yang wajib berusaha dan berikhtiar untuk berjaya dalam apa juga bidang. Kejayaan tidak jadi sendiri kepada manusia.


Manusia perlu bertarung, berjuang untuk kejayaan besar mereka. Nelayan mengharungi gelombang laut, petani melawan panas terik, ibu bertarung dengan kesusahan melahirkan anak, bapa tercabar dalam melakukan tanggung jawab pada keluarga, guru berhadapan dengan ragam murid, pemimpin paling teruk berhadapan dengan 1001 jenis kesusahan dalam kepimpinan.Untuk mengalahkan nafsu dan syaitan, Allah mewajibkan peperangan yang paling besar dan dahsyat yang tak dapat dilihat oleh mata kerana ia bersifat rohani dan maknawi.


Hanya orang yang mampu melepasi halangan-halangan nafsu sahaja yang layak mendapatkan taqwa. Ketaqwaan adalah sijil atau ukuran paling mulia untuk seseorang manusia menjadi sesempurna manusia . Tanpa taqwa, PhD, harta, pangkat tidak menjamin manusia dapat dikembalikan kepada kemuliaan yakni kemanusiaannya. Orang kaya, berpangkat dan berijazah tapi yang bertuhankan hawa nafsu akan jadi sejahat-jahat manusia sedangkan dengan taqwa, orang miskin pun jadi mulia apa lagi kalau orang kaya yang bertaqwa!Sebab itulah saya katakan ibadah paling asas dalam pakej Ramadhan ialah mujahadah terhadap nafsu. Yakni usaha-usaha memaksa diri sendiri untuk melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya.


Mujahadah ialah sanggup menyiksa diri sendiri dalam usaha untuk menunaikan perintah-perintah Allah kerana kebaikan yang diperintahkan bertentangan dengan kehendak nafsu liar dalam diri. Contoh, untuk berkasih sayang seperti yang Allah Taala perintahkan, seseorang sanggup menelan marahnya pada seseorang dengan penuh sabar. Tahan marah dan sabar itu sungguh menyiksakan . Orang-orang yang tahu selok beloknya sahaja yang boleh melakukan dengan pertolongan Allah. Mujahadah memang menjemukan, nafsu benci dan meletihkan . Siapa sanggup tersiksa atas cita-citanya? Hanyalah orang yang berjiwa besar. Sebab letih fizikal boleh rehat, tapi perang dengan nafsu tak boleh rehat-rehat. Kalau rehat nafsu lagi manja dan mengada-ngada. Perang yang tak rehat-rehat inilah dikatakan perang paling berat dan dahsyat.Terdapat tiga pemangkin yang Allah sediakan untuk mendorong mujahadah ini di bulan Ramadhan iaitu:

1. Puasa yang dihayati

2. Sembahyang yang khusyuk

3. Baca Quran yang dijiwai


Puasa yang dihayati akan menjadi pendorong/pemangkin mujahadah melawan hawa nafsu kerana puasa itu akan menimbulkan keinsafan, kesedaran, rasa timbang rasa, rasa lemah dan rasa hamba seorang hamba Allah. Orang yang berpuasa dapat menangisi golongan susah dan miskin. Orang miskin terus lapar tanpa tahu pasti bila waktu berbuka. Buruh-buruh terus letih sampai bila-bila tanpa tahu bila sebenarnya mereka boleh rehat dan holiday. Bilamana rasa-rasa itu menguasai diri seseorang pasti akan membunuh nafsu-nafsu yang suka kepada kejahatan dan melanggar perintah Tuhan seperti rasa tamak dan sombong orang kaya terhadap orang miskin.


Sembahyang yang khusyuk adalah rahsia kemenangan. Kemenangan seseorang terhadap musuh utama dalam hidupnya iaitu nafsu dan syaitan. Sembahyang itu adalah sebesar-besar atau seagung-agung projek yang menjamin kekayaan manusia paling utama. Yakni sembahyang dapat membina dan menebalkan rasa-rasa yang amat diperlukan oleh seseorang hamba yakni rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Rasa yang mampu menghalau dan memusnahkan nafsu yang jahat yang menjadikan manusia paling berguna pada manusia yang lain. Kalau bukan sembahyang, apakah langkah lain untuk manusia memperolehi modal-modal hidup rohaniah yang amat diperlukan itu?


Baca Quran yang dijiwai sesungguhnya akan menemukan khabar gembira, ada amaran, suri teladan, kesedaran dan keinsafan . Pemikiran yang agung, global dan praktikal hanya dan hanya oleh Al Quran. Membacanya di bulan Ramadhan, ertinya membangunkan suatu pemangkin yang cukup kuat untuk mengalahkan nafsu dan pengaruh syaitan dalam diri manusia. Bila nafsu kehaiwanan dapat dikalahkan, manusia akan mendapatkan kemanusiaannya semula. Masyarakat kita akan berwibawa semula! Ibadah tambahan lainnya akan jadi ringan untuk dilaksanakan dan akan membuahkan akhlak yang luar biasa. Allah SWT memerintahkan puasa Ramadhan adalah semata-mata untuk bertaqwa kepadaNya. Yakni dengan melakukan overhaul dan baik pulih kepada jiwa, fikiran dan fizikal.


Sumber: Minda Guruku Oleh Saudara Rafiq

Ramadhan... Program Tuhan Untuk Mendidik Nafsu



السلام عليكم و رحمة الله و بركاته



Untuk kita mendidik nafsu, payah sekali. Jarang kita ambil berat pada nafsu kita. Kita tidak peduli pun.Bahkan kita selalunya mengikut sahaja nafsu kita.

Kerana itulah kita selalu terbuat dosa. Kerana itulah kita selalu melanggar perintah Tuhan. Walhal, Tuhan sudah memberitahu di dalam Al-Quran, nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.


Lebih berat daripada itu,Tuhan mengingatkan kita, “Tidakkah kamu lihat

orang-orang yang mengambil nafsu sebagai Tuhan mereka”. Maksudnya,

pada sesetengah orang, nafsu sudah jadi Tuhan mereka. Mereka bertuhankan nafsu dan mengikut apa sahaja telunjuk nafsu.Datangnya Ramadhan adalah program Tuhan untuk mendidik nafsu kita. Itulah kasih sayang Tuhan kepada kita.Seolah-olah Tuhan paksa kita melalui Ramadhan ini supaya kita baikkan nafsu kita.


Kita berpuasa supaya nafsu kita terdidik seterusnya menjadi orang bertaqwa.Itulah yang Tuhan kehendaki, “...kamu berpuasa moga-moga kamu menjadi orang bertaqwa” Namun, semuanya atas kita. Untuk melalui Ramadhan ini, kenalah bersungguh-sungguh. Kalau tak bersungguh, program Tuhan ini berlalu begitu sahaja. Program Tuhan ini tak akan mendatangkan hasil untuk kita. Takut-takut kita menjadi orang yang merosakkan program Tuhan. Maksud bersungguh itu ialah sungguh-sungguh melawan nafsu.Inilah yang dikatakan mujahadah. Bukan sahaja nafsu makan minum yang perlu dilawan pada waktu berpuasa.Tetapi nafsu yang melibatkan anggota lahir seperti mulut, tangan, kaki, telinga dan mata.


Bila nafsu kita jahat, dia gunakan anggota badan kita untuk buat perkara yang berlawan dengan kehendak Tuhan. Kenalah kita sungguh-sungguh menahan anggota badan ini daripada membuat jahat. Mulut sebagai contoh, yang mengeluarkan kata-kata; jangan dibiarkan menyakiti hati orang lain. Tahan ia daripada terus-terusan mengumpat dan memfitnah. Tangan pula, usahakan tidak mengambil harta orang lain tanpa kebenaran.


Begitulah seterusnya untuk anggota-anggota lain. Jadi, bila nafsu itu dapat kita lawan sungguh-sungguh di bulan Ramadhan ini, barulah progam Tuhan itu dapat berlaku pada kita. Barulah nanti kita akan jadi “orangbaru” di penghujung Ramadhan. Itulah ertinya “aidilfitri” kepada kita. Kerana aidil fitri itu bermaksud kembali kepada fitrah. Bila nafsu sudah terdidik,fitrah jadi bersih. Fitrah kita akan kembali kepada asal sepertimana bayi baru lahir yang bersih fitrahnya. Inilah tuntutan Ramadhan. Inilah yang sebenarnya harus kita fahami dalam puasa kita. Jika tidak, kita sekadar membenarkan kata-kata Rasulullah,betapa ramai orang yang berpuasa, tetapi sekadar mendapat lapar dan dahaga. Sekian.
Minda Guruku

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin