Rabu, 2 September 2009

Bila JAWI Gegar Orang Yang Tidak Berpuasa....

Gambar oleh: Berita Harian


Sumber berita Harian Metro : KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang sedang leka menikmati nasi lemak bungkus di sebuah gerai makan bertempiaran melarikan diri sebaik menyedari gerai berkenaan diserbu pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Wilayah Persekutuan (Jawi), pagi semalam.



Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki Melayu berkenaan yang tidak berpuasa bersama beberapa rakan lain didapati menggunakan lokasi tersorok di belakang Kompleks Wilayah di sini, untuk mengisi perut pada siang hari Ramadan.

Lelaki terbabit yang meloncat tembok batu setinggi lebih satu meter terus melarikan diri dengan meninggalkan dua rakannya yang terpinga-pinga dikepung pegawai Jawi.
Sebaik ditahan, dua lelaki berusia awal 20-an yang sedang merokok sambil menjamu selera diminta menyerahkan kad pengenalan sebelum disoal siasat pegawai Jawi.


Sorang lelaki terbabit yang mengaku sedang memakan nasi lemak panas memberi alasan kononnya tidak dapat berpuasa semalam kerana terlupa niat puasa sebelum tidur.

Bagaimanapun, alasan berkenaan dianggap tidak munasabah berikutan lelaki terbabit didapati `curi' makan di lokasi tersorok yang menjadi tumpuan kaki ponteng puasa menjamu selera di siang hari.


Berikutan itu, pegawai Jawi diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasan Agama (KPPA), Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Zainul Abidin Mat Nor, mengarahkan kedua-dua lelaki terbabit datang ke ibu pejabat Jawi untuk diambil keterangan hari ini selain bungkusan makanan dan minuman turut diambil sebagai bukti.

Pemeriksaan sama turut dilakukan pegawai Jawi di kawasan medan selera di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini sebelum mendapati beberapa gerai terbiar dijadikan `markas' berkumpul sambil mengisi perut.


Ini terbukti apabila beberapa bahagian dapur tersorok di medan selera berkenaan dipenuhi dengan tin minuman, air kotak dan bungkusan makanan yang berselerakan di atas meja.


Operasi terbabit diteruskan ke Kompleks Pertama dan medan selera pusat beli-belah Sogo, di sini.

Dalam pemeriksaan di medan selera di tingkat enam berkenaan, dua lelaki yang dipercayai baru saja menjamu selera turut diperiksa dan disoal siasat pegawai Jawi.

Bagaimanapun, timbul suasana panas apabila seorang daripada lelaki berkenaan tidak mengaku bungkusan makanan terbabit miliknya sebaliknya memberi alasan majikannya baru saja beredar selepas menjamu selera.


Namun, dakwaan terbabit dianggap satu lagi alasan tidak munasabah apabila lelaki itu turut didapati sedang menyepit rokok masih berasap di tangannya.

Pada masa sama seorang gadis berusia awal 20-an yang baru sahaja ingin menjamu selera dengan hidangan laksa asam turut disoal siasat oleh pegawai Jawi kerana didapati tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai.


Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata semua lelaki dan wanita beragama Islam yang ditahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 atas kesalahan makan, minum atau menghisap rokok secara terbuka di tempat awam.

Jika sabit kesalahan kali pertama, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya semalam.


Dalam operasi bersepadu Jawi terbabit di 80 lokasi sekitar ibu kota semalam, seramai 13 lelaki termasuk seorang wanita yang tidak berpuasa ditahan.

Asmawi berkata, program rondaan , pemantauan dan pencegahan sempena bulan Ramadhan 2009 dilakukan dalam usaha melaksanakan dakwah bilhal kepada masyarakat.

Selasa, 1 September 2009

Kerajaan Islam Di Dalam Diri Sendiri




Foto oleh: Acied


Sebelum kita memperkatakan tentang kerajaan islam bertaraf negara, lebih baik kita memperkatakan tentang kerajaan Islam dalam diri. Memang sebenarnya kerajaan dalam diri lebih utama untuk diislamkan. Ia lebih utama untuk diberi perhatian. Mengapa? Ini memang telah diperintahkan Tuhan di dalam Al-Quran. Apa kata Tuhan? Tuhan menyebut, “Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka”. Itu bermakna Tuhan suruh diri diselamatkan dahulu. Bermula dari satu orang kepada dua orang. Kemudian tiga. Cara ini juga yang dibuat oleh Rasulullah 1400 tahun dahulu. Beliau tidak terus-terus bermula dengan jemaah besar atau masyarakat mahupun negara. Tetapi beliau mulakan secara kecil-kecilan dahulu dari satu kepada dua seterusnya tiga dan sehingga boleh menjadi jemaah. Kemudian daripada itu barulah membesar hingga boleh tertegaknya negara Islam.


Ada lagi kata Tuhan dalam Quran menjadi bukti mengapa perlu sangat kita ambil berat tentang kerajaan dalam diri. Agar diislamkan kerajaan dalam diri. Agar diperbetulkan dahulu kerajaan dalam diri ini. Tuhan menyebut, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka (kerajaan dalam diri).” Tuhan tidak mungkir janji. Itu janji Tuhan bahawa Tuhan akan ubah luaran kita, keadaan kita baik diri kita, keluarga kita, ekonomi kita mahupun pelbagai bentuk kehidupan kita jika kita sendiri betulkan kerajaan dalam diri kita. Inilah yang menjadi hujah sebahagian ulamak juga, bahawa “tegakkan Islam dalam kerajaan diri, insyaAllah, nanti akan tertegak Islam pada negara”. Sebabnya, bermula dari satu kerajaan diri, kemudian kepada dua kerajaan diri hingga banyak kerajaan diri dapat ditegakkan Islam, maka akan tertegaklah Islam pada satu jemaah. Dari jemaah akan tertegak Islam dalam masyarakat. Dan dari masyarakatlah nanti, akan membawa Islam ditegakkan pada tahap negara. Mahu tidak mahu, kena bermula dari kerajaan diri.


Kerajaan dalam diri diri ini, rajanya adalah hati. Hati itu dialah yang mengontrol dan memerintah kerajaan diri. Anggota badan seperti tangan, kaki, mulut dan kepala adalah rakyat yang taat setia. Apa kata raja akan diikuti tanpa bantahan oleh rakyat. Baik raja, baiklah rakyat. Sebaliknya, jika jahat raja, jahatlah rakyat. Segalanya bergantung pada raja. Raja ini pula, dia ada penasihat atau guru, itulah akal namanya. Akal berperanan mendidik raja. Kalau akal mendidik kepada Tuhan, hati akan terpimpin kepada Tuhan. Kalau akal gagal mendidik kepada Tuhan, hati tidak terpimpin kepada Tuhan. Nafsu pula adalah orang jahat dalam kerajaan diri. Ia adalah musuh no 1 kerajaan. Nafsu sentiasa mencari-cari peluang untuk mempengaruhi hati. Kalau hati sebagai raja mendapat guru yang tidak berwibawa, jawabnya hati akan dapat dipengaruhi nafsu. Jadilah raja itu boneka sahaja dalam kerajaan diri. Yang sebenarnya memerintah adalah nafsu. Raja menurut sahaja apa kata nafsu. Nafsu akan bertindak memberi arahan-arahan yang melawan perintah Tuhan. Bila nafsu memberi arahan jahat, Raja ikut sahaja. Jadilah rakyat seperti tangan dan kaki menjadi jahat juga. Terjebak dalam maksiat dan membuat kemungkaran. Ini membawa kepada kerajaan dalam diri tidak dapat ditegakkan Islamnya. Ia berlaku kerana akal sebagai guru atau penasihat tidak wibawa. Hinggakan nafsu tak dapat dikawal dan raja menjadi lemah, selemah-lemahnya yang hanya mengikut kata nafsu.

 
Nak Islamkan kerajaan diri, akal kena diislamkan terlebih dahulu. Kemudian barulah hati dan nafsu nanti akan belajar dari akal. Barulah nanti akan tertegak Islam dalam kerajaan diri. Akal perlu mendapat pimpinan ilmu wahyu. Hanya dengan ilmu wahyu dapat mengislamkan hati dan nafsu. Sumber ilmu pula mestilah dari Guru Mursyid. Itulah sumber ilmu kepada akal. Tanpa guru mursyid, takut-takut akal mendapat ilmu yang salah. Kalaupun berbentuk ilmu akhirat, bimbang-bimbang ia tak terhubung dengan Tuhan. Ataupun ilmu itu sekadar di akal untuk mental-exercise, dan bukan ilmu yang boleh mendidik hati.


Jadi, amat penting kita mengislamkan kerajaan diri. Mengislamkan akal, nafsu dan hati yang sangat berperanan ke atas kerajaan di dalam diri. Baik kerajaan di dalam diri, baiklah di luar. Yang dikatakan “baldatun toyyibatun warabbun ghafur” sebenarnya ada dua pengertian. Yang pertama, memanglah negara aman makmur lagi mendapat keampunan Tuhan. “Negara” itu dalam ertikata sebenar-benar negara. Ada maksud kedua iaitu “negara” itu ialah negara dalam diri, itulah dia kerajaan dalam diri. Kerajaan dalam diri perlu juga kepada aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan. Aman makmur dalam kerajaan diri ialah bila hati sudah tenang dengan Tuhan.


Itulah sepertimana maksud firman Tuhan, “Hanya dengan mengingati (menghayati) Allah, hati menjadi tenang”. Tenang itulah yang dikatakan aman makmur kepada negara dalam diri. Istilah tenang bagi hati itu akan berlaku bilamana hati sudah terhubung dengan Tuhan dalam keadaan hati sentiasa merasa berTuhan. Rasa-rasa itu adalah seperti rasa Tuhan mengawasi, rasa dimiliki Tuhan, rasa kehebatan Tuhan dan rasa hamba kepada Tuhan. Bila rasa-rasa ini sudah menguasai hati, di waktu itu datang ketenangan atau kemakmuran. Maksud tenang di sini ialah tenang daripada hal-hal dunia. Hal dunia tidak mengganggu-gugat diri sehingga memesongkan hati dari Tuhan. Atau dalam ertikata lain hal-hal dunia tidak memberi kesan pada hati sehingga boleh melalaikan hati daripada Tuhan.


Itulah sahaja yang dapat diperkatakan di sini tentang kerajaan dalam diri. Sudah kita tahu, sudah kita mendapat ilmunya, jangan bertangguh lagi. Masing-masing ada kerajaan dalam diri. Masing-masing perlu bertanggungjawab pada kerajaan dalam diri sendiri. Islamkanlah kerajaan dalam diri kita itu. Moga-moga cepat proses ini berlaku, akan cepatlah Islam pada negara menjadi kenyataan.


Minda Guruku

Jumaat, 28 Ogos 2009

Antara 2 Kemasyuran


Berbagai-bagai cara orang boleh masyhur dan dikenali ramai. Ada yang masyhur kerana sikap hidup dan ada yang masyhur kerana diusahakan . Nabi Adam dan Siti Hawa terkenal kerana merupakan manusia yang terawal dijadikan Allah di kalangan umat manusia. Syaitan termasyhur kerana sikap sombong dan angkuhnya yang tidak mahu sujud pada Nabi Adam apabila disuruh oleh Allah S.W.T. Habil dan Qabil pula termasyhur kerana mencatit peristiwa pembunuhan yang terawal dl kalangan umat manusia.

Begitu juga Nabi dan Rasul a.s yang mulia (khususnya 25 orang rasul terutamanya Rasul yang bergelar Ulul Azmi) terkenal kerana kepatuhan kepada Allah serta kesabaran dalam memikul tugas untuk memimpin umat pada jalan yang lurus. Mereka sabar berhadapan dengan telatah umatnya yang berbagai-bagai ragam itu. Firaun dan Namrud pula terkenal kerana angkuh dan sombong kepada manusia dan kepada Allah lantas mengaku dirinya sebagai Tuhan. Haman, Qarun, Abu Jahal serta Abu Lahab pun terkenal kerana kedegilan mereka dalam menerima ajakan Rasul yang diutuskan kepada mereka. Bahkan mereka berusaha untuk menghalang gerakan rasul-rasul tersebut.

Dari kacamata syariat, sifat suka masyhur merupakan sifat terkeji (iaitu mazmumah) apabila kemasyhuran itu benar-benar dicari dan tamak untuk diperolehinya. Kalau kemasyhuran itu semata-mata merupakan kurnia dari Allah S.W.T tanpa usaha untuk memperolehinya, tidaklah tercela. Kurniaan ini hanyalah untuk orang-orang yang beriman. Bagaimana sikap orang-orang beriman ini sehingga mereka layak menerima anugerah dari Allah?

Sesungguhnya mereka adalah golongan yang bekerja dan berusaha semata-mata kerana Allah. Redha Allah yang mereka tuntut. Pangkah, darjat, kemasyhuran bukan jadi matlamat mereka. Mereka memiliki sebuah hati yang ikhlas untuk Allah. Mereka tahu ke arah mana tujuan mereka hidup. Dunia hanya sementara. Akhirat adalah kampung mereka yang kekal dan abadi.

Selagi mereka di dunia, mereka akan terus bekerja, berusaha, beribadah sesuai dengan peranan mereka sebagai duta Allah di dunia ini. Allah menyuruh mereka menyampaikan risalah Tauhid sebagai pewaris kepada para Rasul dan Nabi. Mereka adalah golongan yang memelihara dan mempastikan agar kalimah Allah diagung-­agungkan, perintah Allah dijunjung serta ditaati dan larangan Allah dihindari.

Tidak hairanlah kalau Allah memberi mereka keutamaan di dunia lagi. Di akhirat sudah pasti akan Allah beri lagi habuan-habuan yang berupa nikmat-nikmat yang kekal abadi. Keutamaan dunia yang jelas diperolehi oieh orang-orang yang ikhlas ini adalah dihormati oieh semua lapisan masyarakat. Mereka juga disegani oleh kawan dan lawan. Mereka tidak terliur akan kemasyhuran, tetapi mereka terkenal dalam masyarakat. Sedangkan ganjaran di akhirat yang bakal mereka terima adalah seperti firman Allah:


Itulah perumpamaan akhirat, yang Allah sediakan untuk orang-orang yang tidak menginginkan ketinggian (pangkat atau nama) diatas bumi dan tidak pula membuat kerosakan. (- Surah Al ~Qashash : 83)


Amat jauh beza sikap orang beriman jika dibandingkan dengan orang yang tipis iman atau yang tiada iman langsung. Mereka mengejar dunia. Mereka mengumpulkan harta. Mereka perlengkapkan diri dengan kemewahan. Mereka mencari kemasyhuran. Tetapi tanpa mereka sedari semua yang mereka kejar itu akan memusnahkan diri mereka sendiri. Cuba kita singkap kembali sejarah dunia.
Hitler masyhur sebagai pemerintah dengan fahaman Nazinya. Dia dikagumi tetapi dibenci dan tidak dihormati sehingga ia ditembak mati oleh musuh-musuhnya. Marilyn Monroe, seorang yang jelita dan kaya-raya masih berasa tidak puas hati dengan kehidupannya. Dia hidup dalam resah gelisah. Kekayaan, kemasyhuran, telah meragut kebahagiaannya hingga sanggup ia membunuh diri dengan menelan pil tidur.

Mereka sanggup berbuat apa sahaja asalkan mereka dapat kemewahan dan kemasyhuran dalam hidup. Orang-orang kafir memang sudah jelaslah perbuatan mereka itu melanggar syariat. Tetapi sayangnya umat Islam juga terikut-ikut dengan cara hidup (millah) mereka. itupun umat Islam tidak sedar mereka sedang ditertawa­kan oleh musuh-musuh Islam kerana dalam kecerdikkan yang diiktiraf oleh sijil-sijil yang berjela-jela sebenarnya mereka telah ditipu. Musuh-musuh Islam berjaya mengalihkan pegangan beragama umat Islam kepada kehancuran akidah.

Bila umat Islam sudah longgar sikap cinta pada agama Islam, maka tidak hairanlah kalau kita lihat mereka bergaul bebas, dedah aurat, terlibat dengan rasuah dan riba, sama seperti orang­ orang kafir. Mereka tidak sedar dengan sebab mereka tidak mahu mengikat diri mereka dengan hukum-hakam Allah, maka keindahan, kehebatan Islam sudah tercemar.

Tidak hairanlah bila isu purdah timbul suatu ketika dulu, bukan sahaja umat Islam membenci orang-orang berpurdah, bahkan sebenarnya tanpa mereka sedari mereka telah memberi peluang kepada orang-orang kafir supaya turut menghina orang-orang berpurdah. Kalau kita tanyakan pengalaman orang-orang yang berpurdah ketika itu, mereka akan berkata, "Kami telah dimarah, dicaci, diusik bukan sahaja oleh orang-orang Islam tetapi termasuk juga orang kafir. Ini menunjukkan betapa syariat Islam telah dihinakan sekarang ini. Orang bukan lslam sudah hilang gerun dan rasa hebat terhadap Islam kerana umat Islam sendiri sudah tidak mahu mengamalkan Islam bahkan mereka turut menghina seperti orang-orang kafir itu.

Begitulah manusia sekarang dalam mengejar kemasyhuran. Mereka sanggup mati seperti seorang "stunt-man" kerana ingin masyhur. Tetapi mereka takut untuk mati demi mempertahankan syiar Allah, atau takut periuk nasi tergugat. Namun ada yang takut mati kerana persiapan untuk berhadapan dengan Allah tidak cukup. Ada yang takut mati kerana hati sudah terikat dengan dunia. Maklumlah bukan mudah untuk tinggalkan rumah banglo, kereta Mercedes, rumah sewa, kelengkapan rumah yang "up­dated", cucu~cicit, anak
menantu dan sebagainya. Bila mati harta tidak ikut ke kubur, orang yang disayangi tidak ikut masuk kubur.

Pada ketika itu, hanya amal taqwa yang akan membantu. Hanya kain putih pembalut tubuh. Bukan lagi baju-baju indah dan mahal, intan ­berlian, emas pertama, bintang-bintang kehormatan, pangkat dan darjat. Semuanya tinggal walaupun selama ni kita bersengkang mata kerana mengejar itu semua. Bahkan ada yang menyangka mati itu milik orang-orang tua sahaja Orang muda tidak mati. Firman Allah S.W.T:

Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya nescaya Kami berikan pada mereka balasan pekerjaan mereka didunia dengan sempurna dan mereka didunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi (nikmat) diakhirat kecuali neraka dan lenyaplah diakhirat itu apa yang telah mereka usahakan didunia dan sia-sialah terhadap apa yang mereka kerjakan.

Maksudnya, apa yang mereka usahakan di dunia itu tidak ada pahalanya di akhirat nanti. Sebenamya di samping mengejar kemayhuran, ada penyakit sampingan yang timbul darinya. Bila sudah masyhur, hati mula berbunga. Jadilah mereka seperti burung merak yang sombong dan bangga dengan kecantikan dirinya. Kita rasa bangga kalau kita dikenali. Nama pula sentiasa disebut dari bibir ke bibir. Orang yang mengejar dunia, sudah tentulah jelas salahnya. Tetapi orang-orang yang melakukan kerja-kerja yang zahirnya keakhiratan juga boleh tertipu. Bagaimana? Mereka berdakwah , ceramah sana-sini, orang dengar kata-kata nasihatnya hingga mengalirkan air mata kesedaran, hatinya sudah bangga dan puas . Ia berpuas hati dapat memberi kesedaran pada masyarakat tetapi hakikatnya taufik dan hidayah itu adalah dari Allah S.W.T.

Kadang-kadang belum pun keluar dewan ceramah. Baru turun dari pentas ceramah, hati sudah berbunga dengan riak, ujub (hairan diri}, takabbur dan sebagainya.

Begitu juga dengan penulis yang berdakwah dengan penanya. Mereka bangga dengan hasil tulisan mereka. Hati mereka berbunga bila hasil tulisan mereka keluar dalam media massa dengan nama yang terpampang. Bila nama naik, tentu orang akan baca hasil tulisan tersebut. Maka pujian pun datang menggunung. Hanyutlah penulis dalam lautan pujian dan kemasyhuran melalui penanya.

Berbeza dengan seorang penulis yang bertaqwa. Dijadikan penanya sebagai senjata untuk berdakwah. Semakin banyak ia menulis semakin dekat hatinya dengan Allah. Bertambah gerun hatinya pada Allah. Takut-takut kalau hanya pandai menulis tetapi tidak melaksanakan apa yang ditulis. Kadang-kadang penulis diuji Allah untuk menilai sejauh mana ketakwaan hamba-Nya ini. Terujilah penulis dengan hasil tulisannya. Ka1au bahan tulisannya keluar di dada media massa, hatinya berdebar-debar, mulutnya banyak beristighfar. Kalau ada bahan untuk menulis, ia berfikir banyak kali sebelum menulis. Terasa berat dan takut unfuk menulis. Ia takut akan pandangan Allah padanya. Takut tidak terbuat apa yang ditulis.

Golongan pendakwah mahupun penulis takut diri mereka menjadi seperti petani yang menanam pokok. Hasi1 buah-buahannya dinikmati oleh orang lain. Sedangkan dirinya tidak dapat manfaat apa-apa, akibat dari tidak ikhlas dalam berdakwah secara lisan atau tulisan.Lihatlah betapa musuh-musuh lahir dan batin yang sentiasa melancarkan peperangan pada diri anak-anak Adam. Syaitan memang pandai menipu. Tetapi hanya hamba Allah yang ikhlas sahaja yang tidak tertipu.

Banyaklah lagi contoh-contoh ibadah-ibadah yang zahirnya untuk akhirat tetapi telah jadi sampah dunia. Sebab itu sifat suka akan kemasyhuran tergolong dalam kategori sifat-sifat yang tercela.Kalau kita sebagai pemimpin yang banyak terlibat dengan masyarakat, kita tidak dapat mengelakkan diri dari menjadi masyhur. Biarlah masyarakat yang menilai. Tetapi hati kita kena jaga. Agar amal ibadah kita diterima Allah sebagai amal yang ikhlas untukNya.

Oleh itu berhati-hatilah dalam kita bertindak. Kadangkala kita tidak sedar kita cuba menarik perhatian orang lain kepada kita. Itu adalah sekecil-kecil sifat ingin masyhur. Yang penting jaga hubungan kita dengan Allah.Agar apa yang kita lakukan itu bukan bertujuan mencari kemasyhuran atau pun atas kepentingan duniawi apatah lagi atas kepentingan peribadi tetapi anggaplah sebagai mempertingkatkan ketaqwaan pada Illahi dalam hubungan sesama manusia . Yakni hubungan Habluminallah dan habluminanas.


Dari Abu Huzaifah (Minda Global)

Khamis, 27 Ogos 2009

Duit

Foto oleh: nur 2310


Aku melihat manusia hari ini telah menjadikan duit sebagai matlamat.

Duit telah dipandang besar.

Duit telah diagung-agungkan.

Duit telah menjadi begitu penting dan bernilai pada manusia.


Apa sudah terjadi? Mengapakah manusia jadi begini?

Tiada duit sudah jadi masalah, ada duit macam tiada masalah.

Walhal sepatutnya ada duitlah masalah.

Duit telah membuatkan manusia siang-malam memikirkannya.

Duit telah membuatkan manusia cinta dunia.

Duit telah memesongkan manusia dari cinta Tuhan.

Apalah ada pada duit. Duit hanya alat bukan matlamat.

Duit sebenarnya tiada nilai di sisi Tuhan.

Di akhirat, Tuhan tak tanya tentang

berapa banyak duit yang kita ada.

Tetapi persoalan Tuhan kelak ialah dari sumber mana duit itu datang?

Haramkah atau halalkah?

Duit itu pula ke mana gunanya?

Ke jalan Tuhan atau ke jalan syaitan?

Mind-set manusia sudah dikuasai duit.

Sebenarnya bukan manusia menguasai duit.

Tetapi duit telah menguasai manusia.

Bilakah manusia mahu mengubah hati dan pemikiran mereka?

Nasib kehidupan kita bukan duit yang menentukannya tetapi Tuhan.

Masalah pokok yang utama dan besar ialah sejauhmana kita dengan Tuhan.

Bukan sejauhmana kita dengan duit.

Masalah kita dengan duit,kecil sahaja.

Sedangkan permasalahan kita dengan Tuhan itulah yang besar.

Yang patut kita berat-beratkan ialah dosa-dosa kita dengan Tuhan.

Yang patut kita berat-beratkan ialah mati kita nanti, mati baik atau mati buruk.

Yang patut kita berat-beratkan ialah bagaimana nasib kita di akhirat nanti.

Jadi, janganlah sampai tak tidur malam memikirkan tentang duit.

Janganlah sedih bila ada masalah duit.

Janganlah sampai tak lalu makan bila datang masalah duit.

Yang patut sangat difikirkan dan disedihkan ialah masalah kita dengan Tuhan dan bukannya duit.

Begitulah pandanganku dan kuharapkan kalian semua mengambil iktibar.





Minda Guruku

Insan Yang Kenal Tuhannya...




Bukan mudah-mudah dengan hanya memberikan hujah Al-Quran dan hadis tentang Tuhan, sudah kita anggap orang itu kenal Tuhan. Bukan sebegitu mudah. Belum lagi kenal Tuhan untuk orang seperti itu. Walaupun hebat hujahnya, ada dalil dan nas sekali, dibawa pula pendapat ulamak muktabar, namun dalam soal mengenal Tuhan, itu bukan ukuran. Memang ilmu itu perlu ada dalam kita mengenal Tuhan, tetapi ia tak boleh dijadikan ukuran seseorang itu mengenal Tuhan. Orang seperti itu baru boleh kita katakan, tahu tentang Tuhan. Atau boleh kita panggil dia, ada ilmu tentang Tuhan. Dalam ertikata lain, mereka ini adalah “Alimbillah”. Jika, persoalan Tuhan baru di akal, baru bermain-main di fikiran, itu belum cukup syarat mengenal Tuhan.


Bila cukup syaratnya? Bila Tuhan itu sudah dihayati sifat-sifatnya, dijiwai dan dirasai sungguh-sungguh di hati. Malah dari situlah timbul pelbagai rasa dengan Tuhan yang antaranya rasa cinta dan takut Tuhan. Kalau ini berlaku, orang seperti ini layak kita gelar “Arifbillah”. Dari rasa-rasa inilah yang mendorong orang ini untuk beribadah kepada Tuhan. Dari rasa-rasa inilah yang meningkatkan taqwa mereka. Biar kurang hujahnya, biar kurang nak bercakap sangat tentang ilmu Tuhan, tetapi dia boleh merasa. Kemudian dari rasa ini, terdorong baginya untuk amalkan segala suruhan dan tinggalkan segala larangan Tuhan. Dari perilaku seharian, membuktikan yang dia ini sungguh mengenal Tuhannya. Apakah kita sudah jadi orang seperti ini? Apakah kita hanya takat boleh bercakap sahaja tentang Tuhan? Atau hanya boleh berfikir-fikir tentangNya sahaja? Jika belum, sungguh hati kita perlu dipimpin untuk itu.

Al Alimbilah, orang yang mengetahui ALLAH dengan rambang
Ia mempercayai ALLAH berdasarkan hujah ilmu dan akal
Atas dasar ilmu ia tidak boleh menolak adanya Tuhan
Tapi percaya secara ilmu itu, tidak ada rasa berTuhan
Takut dan cintanya dengan ALLAH tidak dapat dirasakan
Berlainan sekali Al Arifbillah
Orang yang mengenal ALLAH dengan makrifat yang mendalam
Ilmunya memberitahu
Dikuatkan dengan perasaan hati yang sentiasa sedar rasa berTuhan

Al Alimbillah suka berbahas, suka berforum, suka bermujadalah
Tapi apa yang dibincangkan tidak pun dihayati
Dan tidak diperbincangkan dengan amalan

Al Arifbillah, cinta dan takutnya dengan Tuhan amat mendalam
Perasaan itu payah hendak diungkaikan
Rasa kehambaan dapat dilihat di dalam kehidupan

Al Arifbilah bercakap berdasarkan pengalaman
Al Alimbilah bercakap di atas dasar ilmu pengetahuan
Al Arifbillah kerana rasa kehambaan mendalam
Sifat-sifat mahmudahnya nampak terserlah di dalam kehidupan

Al Alimbillah sifat-sifat mazmumahnya yang terserlah
Terutama sifat-sifat ego, riak dan megah Gila nama dan glamour
Ingin dipuji dan dikenang jasanya

Al Arifbillah , sanjungan dan pujian itulah yang menyeksa hatinya
Itulah yang dibenci dan sangat tidak disukainya
Al Alimbilah belum menyelamatkan seseorang
Al Arifbillah baru ada jaminan dari Tuhan

Minda Guruku

Rabu, 26 Ogos 2009

Dosa Memburu Di mana-mana


TUHAN! Dosa memburu di mana-mana sahaja
Ia memburu tidak kira masa dan tempat
Sasaran buruannya adalah manusia
sebagai hamba-hamba-Mu
Aku adalah salah seorang buruannya
Aku selalu sahaja menjadi mangsanya
Dosa ibarat semut berada di mana-mana
dan setiap masa ada
Siapalah yang dapat melarikan diri
daripada buruannya
Kalau kita berhati-hati pun tidak dapat dielak
daripada digigit semut
Betapalah kita tidak mempedulikannya
lebih-lebih lagi menjadi sasaran serangannya
yang lebih lagi kerap berlaku
Aku sedih Tuhan, aku bimbang selalu
Jiwaku tidak tenang, gelisah selalu
Bukan sahaja dosa-dosa menimpa aku di jalan-jalan,
di pasar-pasar, bahkan di rumah
dan di masjid pun berlaku
Di dalam sembahyang pun dosa memburu aku
Waktu berpuasa, membaca Al Quran,
bercakap tentang ilmu
Bahkan sedang memperkatakan tentang dosa
pun terjatuh di dalam dosa
Aduh di mana aku hendak lari dari dosa Tuhan!
Dosa ibarat semut berada di mana-mana
dan berada di setiap masa
Kalau di dalam sembahyang,
di waktu membaca Al Quran,
di dalam majlis ilmu dosa tetap memburu aku
Bagaimanakah jiwa aku mahu tenang
Bagaimana aku mungkin boleh terlepas
daripada kebimbangan?!
Justeru itu lepas sembahyang aku bimbang
Selepas membaca Al Quran aku tidak tenang
Bahkan selepas bangun tidur pun
Aku merasakan aku sedang diburu dosa
Aduh kalau bukan dengan rahmat-Mu Tuhan
Aku pasti binasa




Minda Guruku

Taubat Palsu

Foto oleh :Dyna Rashid

Manusia memang tidak boleh terlepas daripada berbuat dosa. Kalau tidak dosa terang-terangan, kita terlibat dengan dosa-dosa yang tersembuyi. Kalau tidak dosa lahir, kita terlibat dengan dosa-dosa batin. Kalau tidak dosa yang kita sedar, kita terlibat dengan dosa-dosa yang kita tidak sedar. Kalau tidak dosa-dosa besar, kita terlibat dengan dosa-dosa kecil. Dosa-dosa kecil ini pula, kalau kita kekalkan dan kita anggap ianya kecil, ia menjadi dosa besar.Kecualilah bagi para rasul dan nabi yang maksum, yang dosa-dosa mereka itu telah sedia diampunkan oleh Tuhan.Dosa berlaku bila kita berbuat maksiat dan kemungkaran, dan bila kita melanggar perintah Tuhan sama ada kita tinggal apa yang Tuhan wajibkan ataupun kita buat apa yang Tuhan haramkan.


Maksiat dan kemungkaran ialah punca kemurkaan Tuhan. Ianya juga adalah pintu manusia terkeluar dari rahmat dan kasih sayang Tuhan.Pintu untuk kembali kepada keampunan, rahmat dan kasih sayang Tuhan kepada manusia supaya manusia yang terbuat salah dan dosa, tidak berputus asa. Taubat adalah jalan bagi mereka menyucikan diri dan kembali semula kepada Tuhan.Kaedah bertaubat berbeza-beza dari umat ke umat. Bangsa Yahudi yang menjadi pengikut para nabi dan rasul yang terdahulu sebelum Rasulullah S.A.W terpaksa membunuh diri sebagai syarat untuk bertaubat dari dosa-dosa besar. Untuk bertaubat, mereka perlu keluar pada malam yang gelap-gelita di tempat yang sunyi dan menikam diri mereka hingga mati. Mati itulah syariat taubat kerana syaratnya telalu berat. Hanya mereka yang betul-betul menyesal sahaja yang sanggup berbuat demikian.


Bagi kita orang islam dan umat Rasulullah S.A.W cara, untuk bertaubat sangat mudah. Inilah sebahagian dari rahmat dan berkat Rasulullah.Syaratnya hanyalah:- Menyesal- Berhenti dari berbuat maksiat berkenaan- Berazam jangan diulangi lagi- Kalau dosa itu melibatkan orang lain, kenalah minta ampun dari orang tersebut terlebih dahulu.Oleh itu, ramailah orang-orang Islam yang bertaubat kerana syaratnya sangat ringan dan mudah. Hari-hari orang islam bertaubat. Ada yang bertaubat berpuluh-puluh, beratus-ratus bahkan beribu-ribu kali seumur hidup mereka. ini sangat berbeza dengan bangsa Yahudi dizaman dahulu. Mereka hanya boleh bertaubat sekali sahaja dalam hidup mereka kerana apabila sudah bertaubat mereka terpaksa membunuh diri.Inilah juga punca kedengkian dan sakit hati iblis dan para Syaitan terhadap umat Rasulullah S.A.W. sebegitu kerasnya mereka berusaha sepanjang masa tanpa rehat untuk menipu, menyesatkan dan menjurumuskan umat Rasulullah ini ke dalam kancah maksiat dan kemungkaran, semua dosa itu akan terhapus hanya dengan sekali taubat sahaja.


Justeru itu, sebegitu ramai umat yang iblis dan syaitan telah jauhkan dari rahmat dan kasih sayang Tuhan, seramai itu pula yang kembali kepada Tuhan dengan bertaubat. Kerana taubat itu dipermudahkan bagi umat Rasulullah.Namun, walaupun bertaubat itu mudah, di pintu taubat itulah iblis dan syaitan menunggu untuk menipu supaya taubat kita tidak diterima Tuhan. Bahkan dia sentiasa berusaha supaya taubat kita bukan sahaja tidak diterima Tuhan malahan akan menjauhkan lagi kita dengan Tuhan.Apabila kita bertaubat bersungguh dan penuh penyesalan digalakkan lagi dan didorong-dorongnya hingga kita terasa di hati kita yang dosa kita telah terhapus dan diampun oleh Tuhan. Hingga kita terasa sudah tidak berdosa lagi. Hingga kita terasa diri sudah bersih dan suci dari dosa. Rasa tenang, rasa aman dan rasa selamat dengan taubat kita itu hingga hati kita berkata-kata:

"Dah bertaubat ni, tenang rasa hati"

"Rasa hilang beban dosa"

"Dah bertaubat ni, kalau boleh rasa nak mati sekarang jugak"

"Aku ini mati esok, syurga manalah agaknya"

Akibatnya, kita bertaubat dari satu dosa tetapi kita terjerumus ke dalam satu dosa lain yang lebih berat lagi. Kerana rasa tidak berdosa itu adalah satu dosa. Rasa diri bersih dan suci dari dosa itu satu mazmumah. Ini dosa batin namanya. Dosa hati. Dosa lahir seperti minum arak, judi dan zina tidak bahaya kerana mudah kita sedar dan kita tahu. Oleh itu, tidak ada masalah untuk untuk bertaubat. Tetapi dosa hati sangat halus dan tersembuyi. Jarang manusia sedar bila terbuat dosa hati. Akhirnya mereka mati membawa dosa-dosa tersebut tanpa bertaubat. Ini ghurur namanya. Ini tipuan syaitan.Sepatutnya, lagi banyak kita bertaubat, lagi tajam sifat kehambaan yang ada pada diri kita. Setelah bertaubat, kita sepatutnya rasa lebih takut dengan Tuhan. Lebih rasa bersalah. Lebih rasa berdosa. Lebih rasa hina. Lebih rasa cemas dan bimbang. Ini semua adalah sifat-sifat kehambaan yang tidak lekang dari diri kita.Bahkan ia patut bertambah setelah kita bertaubat. Inilah apa yang dinamakan "Taubatan Nasuha" iaitu taubat lahir dan batin. Tetapi dalam hati kita. Tumbuh sifat-sifat mazmumah seperti merasakan diri tidak berdosa. Measa diri suci dan bersih. Hilang rasa bimbang.Hilang rasa takut dan cemas. Merasa diri selamat. Merasa diri sudah layak masuk syurga. Inilah angkara tipuan syaitan.


Memang, bagi kita umat Rasulullah, bertaubat itu mudah. Tetapi tipu daya syaitan terhadap orang yang bertaubat juga sangat halus dan sukar dikesan.Berapa ramai orang yang bertaubat tetapi tidak mendapat keampunan Tuhan. Sebaliknya dilaknat pula oleh Tuhan.Hubunganya dengan Tuhan lebih baik sebelum dia bertaubat dari selepas dia bertaubat. Walaupun sebelum bertaubat itu dia berdosa,setidak-tidaknya dia tahu dia berdosa, dia merasa dirinya berdosa dan dia rasa bersalah dengan Tuhan. Dia takut. Dia bimbang. Dia cemas.Dia risau kalau-kalau Tuhan murka padanya. Sifat hambanya lebih tajam sebelum dia bertaubat. Rasa-rasa inilah sebenarnya yang menyebabkan Tuhan sayang dan kasihan pada hamba-hambaNya.Apa ertinya kalau kasih sayang Tuhan ini hilang selepas kita bertaubat. Apa ertinya kalau sifat hamba kita hilang selepas kita bertaubat. Apa ertinya kalau kita menjadi angkuh dan tidak beradab dengan Tuhan setelah kita bertaubat. Apa ertinya kalau kita bertambah jauh dari Tuhan setelah kita bertaubat. Inilah taubat palsu namanya.Kita wajib bertaubat dari taubat palsu seperti ini.
Minda Guruku

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin