Selasa, 21 Julai 2009

Peringkat-peringkat Manusia Yang Bercakap



Di antara keistimewaan yang Allah Taala anugerahkan kepada
manusia ialah kebolehan bercakap. Manusia bercakap melalui
perantaraan lidahnya. Melalui lisanlah manusia menterjemah
apa yang didapati oleh akalnya, apa yang dirasai oleh hatinya,
apa yang dirasa oleh sentuhannya, sama ada daripada sentuhan
lidahnya, tangannya, kakinya dan lain-lain lagi, juga apa yang
dirangsang oleh nafsunya.


Seterusnya menterjemahkan apa yang dilihat, apa yang ada
di atas muka bumi mahupun yang di bawah muka bumi, daripada
daratan, lautannya, sungai-sungainya, bukit-bukaunya,
gunung-ganangnya, manusia, haiwan, jamadat dan tumbuhan.
Begitu juga ia menterjemahkan apa yang menjadikan keyakinan
yang bercorak agama yang bersifat maknawi dan rohani
daripada segala persoalan alam ghaib dan lain-lain lagi.
Maka daripada apa yang diterjemahkan oleh manusia melalui
lidahnya yang keluar berbentuk percakapan, yang bersifat lafaz,
perkataan-perkataan, istilah-istilah, maka tersebarlah berbagai
bagai maklumat yang menjadi ilmu dan pengalaman untuk
manusia.


Gabungan daripada maklumat yang disampaikan oleh lidah,
pelbagai golongan dan peringkat manusia kemudian disambung
pula melalui alat-alat perhubungan, wasilah-wasilah penyebar
yang canggih. Maka berkembang dan tersiarlah ilmu pengetahuan
di berbagai-bagai bidang dengan merata hingga maklumat
yang berisi ilmu pengetahuan itu dapat dimiliki oleh manusia.
Oleh yang demikian, lidah yang boleh bercakap menterjemahkan
apa yang dilihat, didengar, disentuh, dirasa dan boleh
menterjemahkan seluruh kehidupan iaitu yang berbagai-bagai
bentuk dan sifat itu, ia sangat memberi kesan kepada manusia
sama ada positif atau negatif, sama ada memberi faedah atau
merosak dan memudaratkan manusia, sama ada menguntungkan
atau merugikan, bahkan dari lidah lahir sejuta satu kebaikan
atau sejuta satu kejahatan.


Kalau begitu kedudukan lidah, setiap orang kenalah berhati hati
mengguna lidah. Setiap orang tidak boleh menggunakan
lidah sesuka hati. Dengan kata-kata lain, orang yang hendak
bercakap kenalah berfikir lebih dahulu sebelum bercakap. Jangan
sebarang cakap, jangan mudah-mudah hendak bercakap. Jangan
main cakap sahaja kerana ia boleh menjadi racun atau menjadi
madu kepada masyarakat, boleh menjadi peluru atau boleh menjadi
air, boleh benar, boleh palsu, boleh memperpadukan orang
atau memecahbelahkan orang, mendamaikan orang atau memporak-
perandakan orang, menyejukkan hati atau memanaskan
hati, menghiburkan hati atau menyakitkan hati, memuliakan
orang atau menghinakan orang, memberi iman atau memberi
kekufuran, membawa pahala atau dosa, membawa khabar
gembira atau khabar dukacita, memberi ilmu atau merapu dan
lain-lain lagi.


Justeru itu Islam mengingatkan siapa yang hendak bercakap
kenalah berhati-hati. Berkata Hadis:
Maksudnya: “Barang siapa yang beriman dengan Allah
dan Akhirat hendaklah ia bercakap baik atau diam saja.”


Orang-orang yang bercakap itu kerana tidak sama watak,
bakat, tabiat, IQ, kemampuan, kebolehan, bidang-bidang ilmu
yang dimiliki, pengalaman dan tujuan yang tidak sama maka
bolehlah kita kategorikan manusia yang bercakap itu seperti
berikut:


1. Golongan merapu
Orang yang berjumpa orang, asyik bercakap sahaja tidak
berhenti-henti, non-stop, kenakah atau tak kenakah, betul atau
tidak, penting atau tidak penting, berfaedah atau tidak, sesuai
atau tidak, orang suka atau tidak, mengarut atau tidak mengarut,
patut atau tidak, mengandungi ilmu atau tidak dia tidak ambil
kira, dia tidak peduli. Berdosakah atau berpahala dia tidak persoalkan,
dia memborong cakap itu semua. Inilah golongan yang
merapu.


2. Golongan peramah
Orang yang bertemu siapa pun dia mudah bercakap dengan
orang, bertegur sapa, bertanya khabar, berkenalan, tanya nama,
dari mana dan hendak ke mana, dia suka bercakap dengan orang
yang sekira-kira perkara yang perlu, sesuai dengan keadaan dan
kedudukan orang itu. Dan dia pun suka mendengar cakap orang
itu, boleh berbincang dan berbual, boleh berlaku dua hala. Inilah
golongan peramah atau pecakap.


3. Golongan kaki cakap
Orang yang apabila jumpa orang, kerjanya bercakap tidak
berhenti-henti. Ada sahaja yang dicakapkannya, ada sahaja
modal untuk dia bercakap. Boleh bercakap berjam-jam, lepas
satu perkara, satu perkara pula, lepas satu topik, satu topik pula
tidak jemu-jemu bercakap dan dia tidak fikir orang jemu atau
tidak. Cakap tidak bersukat, tapi tidak pula sampai bercakap
perkara yang bukan-bukan, tidaklah mengarut. Inilah dia
golongan kaki cakap.


4. Golongan yang ada cita-cita perjuangan
Orang yang apabila berjumpa orang, dia akan bercakap yang
perlu sahaja. Bercakap yang ada mengandungi ilmu dan didikan.
Bercakap yang menyedar dan menginsafkan, bercakap mengandungi
cerita-cerita suri teladan, iman, hukum-hakam, pengajaran,
isu-isu semasa yang diulas secara yang mengandungi
pelajaran dan hikmah. Bercakap yang mengandungi nasihat
yang berguna, cerita-cerita perjuangan. Inilah dia golongan ahli
agama yang ada cita-cita.


5. Golongan pendiam
Orang yang apabila bertemu orang dia tidak suka bercakap, dia
lebih suka mendengar. Dia bercakap sepatah-sepatah, disukatsukat,
bukan kerana benci, tapi sudah menjadi tabiat dan watak
semula jadi. Biasanya orang begini adalah orang yang mempunyai
kuat sifat malunya atau orang tidak yakin pada diri, di
sini dia banyak diam daripada bercakap. Ini dinamakan golongan
pendiam.


6. Golongan sombong
Orang yang berjumpa orang memang tidak suka bercakap kalau
bukan kawan, dia tidak suka bercakap kerana benci sahaja
dengan orang, biasanya orang begini kerana ada kedudukan,
mungkin ada pangkat, ilmu, harta kekayaan, ada nama. Kalau
dia bercakap sekali-sekala, kasar sahaja bunyinya, bertanya yang
bukan-bukan, menyindir-nyindir, pantang diberikan pandangan
dia meninggikan suara, bercakap mengenai kelebihan dirinya.
Inilah dia golongan yang bercakap sombong.


7. Golongan biasa
Orang yang bercakap yang perlu-perlu, bercakap perkara
perkara biasa, tidak terlalu berlebih-lebihan dan tidak pula
terlalu berkurangan, bercakap yang mudah, hal-hal kehidupan
biasa, secara natural. Inilah golongan percakapan orang biasa.


8. Golongan yang suka memperdaya
Orang yang bercakap dengan orang di mana-mana pun lebih
lebih lagi kalau orang tidak kenal dengannya, maka dia akan
bercakap dengan membawa perkataan-perkataan yang lemak
manis, bercakap tentang dirinya, usaha-usahanya, kelebihannya
dan kemampuannya, kemajuan-kemajuan yang dibuat, mungkin
mengajak sama di dalam usaha-usahanya. Membawa cakap
cakap yang meyakinkan orang kepadanya dengan tujuan untuk
kepentingan dirinya mungkin hendakkan pengaruh, sokongan,
duit dan hartanya. Cakap-cakapnya terpesona orang dibuatnya.
Inilah golongan yang bercakap memperdaya.

9. Golongan petah bercakap
Orang yang bercakap fasih, bahasa tersusun dan begitu jelas,
perkataan yang diucapkan begitu menarik, bahasa menggunakan
perkataan yang standard, dengan jalan bahasa yang tepat
dan betul, dengan istilah-istilah yang diguna begitu menarik, di
samping isinya padat dan bernas. Terpesona orang yang mendengarnya.
Inilah golongan orang yang petah bercakap.

10. Golongan tunjuk pandai
Orang yang bercakap dengan orang, apa sahaja orang perkatakan
dia mesti ikut campur memperkatakannya. Apa sahaja
isu yang dibualkan dia mesti menyampuk sama walaupun
adakalanya dia tidak faham kedudukannya, dia cuba bercakap
juga seolah-olah dia faham dari orang lain atau paling tidak
supaya orang anggap dia juga faham macam orang lain faham.
Apa sahaja yang orang tanya, dia mesti menjawabnya walaupun
tidak kena. Namun hendak mengaku tidak tahu, tidak sama sekali.
Dia akan bercakap apa sahaja agar orang menganggap dia
tahu semua hal. Inilah golongan orang yang bercakap menunjuk nunjuk
pandai.

11. Golongan bercakap lucah
Ada orang apabila dia bercakap, walau apa pun topik atau apa
sahaja isu yang diperkatakan atau dibualkan, dia mesti selit selitkan
perkataan-perkataan lucah, atau kata-kata dan ibarat ibarat
yang dibawa atau dijadikan penyedap dan pemangkin
cakap iaitu perkataan-perkataan yang boleh menaikkan nafsu,
atau perkataan-perkataan itu menjadikan para pendengarnya
teringatkan perempuan, terbayang perhubungan cinta bahkan
setengah orang hingga di dalam ceramah-ceramah agama atau
majlis dakwah pun sengaja mencari-cari peluang untuk
memasukkan dan menyelit-nyelitkan perkataan-perkataan di
dalam pendekatan dakwahnya atau ceramahnya yang ada
unsur-unsur nafsu atau seks. Orang ramai turut seronok mendengarnya.
Lebih-lebih lagi di dalam majlis itu terdapat ramai
kaum wanita, maka lebih lumrah lagi perkataan itu diselit-selitkannya.
Inilah dia golongan bercakap lucah.

Selain di atas, antara peringkat-peringkat manusia yang bercakap
ialah:
1. Bercakap perkara yang perlu-perlu sahaja.
2. Bercakap yang terpaksa.
3. Bercakap yang menjadi kewajipan.
4. Tidak suka bercakap.
5. Bercakap yang sengaja disukat kerana menjaga status.
6. Bercakap yang menggoda
Minda Mujaddid

Isnin, 20 Julai 2009

Rasulullah Tidak Menghiraukan Pujukan Yahudi

Foto Oleh: Sunnivoice


DALAM perjalanan Israk Mikraj pada 27 Rejab, Nabi Muhammad SAW ditunjukkan pelbagai keazaban umat manusia di atas keingkaran yang mereka lakukan di dunia.Rasulullah bersama Jibril dipertemukan dengan sebahagian kaum yang dihidangkan daging yang dimasak dengan baik dalam bekas perak. Di sebelahnya pula terhidang daging mentah, lagi busuk. Tetapi yang menghairankan, mereka memilih untuk makan daging mentah lagi busuk itu.Baginda segera bertanya kepada Jibril mengenai perkara itu. Jibril menerangkan bahawa mereka adalah sebahagian daripada umat Rasulullah – lelaki dan perempuan yang mempunyai isteri atau suami yang halal–tetapi ditinggalkan. Sebaliknya mereka mendatangi perempuan atau lelaki za'niah (pelacur).


Dalam perjalanan berikutnya, ditunjukkan beberapa kayu berduri di jalan dan sesiapa yang melalui jalan berkenaan pasti akan terluka atau terkoyak bajunya. Lalu Rasulullah pun bertanya kepada Jibril.Jawab Jibril: "Inilah seumpama beberapa kaum daripada umat engkau yang duduk di tepi-tepi jalan (lepak) mengintai-intai orang yang lalu di jalan itu bertujuan mengganggu dan sebagainya."Lalu Jibril membaca firman Allah bermaksud: "Dan jangan kamu duduk di jalan-jalan untuk menakut-nakutkan (mengganggu) orang lain."Ketika Rasulullah bersama Jibril meneruskan perjalanan, sampailah mereka ke suatu tempat. Di situ Baginda terlihat seorang lelaki yang berenang dalam lautan darah sambil dilontarkan batu ke mulutnya.Rasulullah pun bertanya: "Apakah sebenarnya kejadian itu"? Jibril pun menjelaskan itulah diumpamakan sebahagian daripada umat Baginda yang memakan riba.


Kemudian Rasulullah berjumpa pula dengan seorang lelaki yang menghimpunkan beberapa bekas kayu yang dia tidak terdaya memikulnya, tetapi semakin ditambah pula kayu itu. Semakin tidak terdaya semakin kayu itu ditambahnya dan begitulah seterusnya.Rasulullah pun bertanya kepada Jibril mengenai kejadian itu, lalu, Jibril menerangkan bahawa itulah seorang yang memegang amanah, tetapi tidak mampu melaksanakannya, namun mereka masih juga mahu menerima amanah lain.


Seterusnya sampailah mereka ke suatu tempat di mana beberapa kaum yang menggunting lidah dan bibir sendiri.Setiap kali lidah dan bibir mereka putus, ia pulih seperti sedia kala dan mereka mengguntingnya kembali dan begitulah seterusnya berulang-ulang kali.Rasulullah pun bertanya kepada Jibril. Jawab Jibril: "Inilah diumpamakan seseorang yang mengajarkan manusia dengan tiada sebenarnya dan mereka tidak membuat apa-apa yang mereka ajarkan."


Kemudian Nabi Muhammad bersama Jibril terjumpa pula beberapa kaum yang mempunyai kuku tembaga tajam.Mereka menggaru-garu muka serta badan hingga tersiat daging dan bercucuran darah.Rasulullah segera bertanya kepada Jibril mengenai perkara itu.Jibril menjawab: "Inilah seumpama mereka yang makan daging, suaranya dengan mengumpat serta menjatuhkan maruah orang lain."


Selepas itu, dalam perjalanan seterusnya, Rasulullah ternampak satu lubang kecil. Tiba-tiba keluar seekor lembu jantan dan cuba hendak masuk semula ke dalam lubang itu, tetapi tidak berjaya.Rasulullah pun bertanya kepada Jibril. Jawab Jibril: "Itulah umpama seseorang yang mengerjakan serta memperkatakan perkara yang dimurkai Allah, kemudian dia menyesali atas perbuatannya itu tetapi dia tidak mampu untuk menyesalinya.


"Baginda dan Jibril pun meneruskan perjalanan dan tiba-tiba Rasulullah ditegur oleh pihak di sebelah kanan seraya berkata: "Wahai Muhammad, pandanglah aku. Sesungguhnya aku ingin bertanya kepada engkau suatu perkara."Tetapi Rasulullah tidak menyahut panggilan itu. Lalu Jibril pun menerangkan bahawa itulah seruan Yahudi dan jika Baginda menjawab tadi, nescaya ramailah di kalangan umat Baginda yang menjadi Yahudi.Selepas itu Rasulullah ditegur oleh pihak di sebelah kiri, tetapi Baginda masih tidak menyahut.Berkata Jibril: "Itulah seruan Nasrani dan jika engkau menjawab seruan itu tadi, wahai Muhammad, nescaya ramailah di kalangan umat engkau yang menjadi Nasrani."


Tidak lama selepas itu, Rasulullah diseru seorang perempuan yang memakai perhiasan cantik. Tetapi, Rasulullah tidak menyahut panggilan itu.Lalu Jibril pun menjelaskan kepada Rasulullah bahawa jika Baginda menjawab panggilan itu, nescaya ramailah di kalangan umatnya yang mementingkan perkara dunia daripada akhirat.


Selepas itu, Rasulullah diseru pula oleh seorang tua yang duduk jauh daripada mereka.Berkata Jibril: "Teruskan perjalananmu wahai Muhammad. Sesungguhnya itu adalah musuh Allah (iblis)."Lalu mereka pun meneruskan perjalanan.Dalam perjalanan itu juga, tiba-tiba mereka bertemu seorang perempuan tua di tepi jalan.Apabila ditanya oleh Rasulullah, Jibril pun menerangkan bahawa itulah diumpamakan umur dunia. Tiada apa-apa yang tinggal lagi melainkan umur perempuan tua itu.


Oleh: Hambasufi

Penghayatan Israk Dan Mikraj


Penghayatan Israk dan Mikraj timbulkan keinsafan

Foto: Pemandangan di dalam Masjidil Aqsa oleh Khateeb88


PERISTIWA Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW. Dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Rasulullah SAW dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah kepada Baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.


Peristiwa itu mengandungi banyak pengajaran yang perlu dijadikan teladan oleh umat Islam bagi menimbulkan keinsafan dalam diri mereka. Antaranya:Kuasa Allah tidak terbatas dan Dia boleh melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya seperti membawa Rasulullah SAW dari kota Makkah ke Baitulmaqdis serta dibawa menghadap ke hadrat-Nya di Sidratil Muntaha dalam tempoh singkat iaitu satu malam.Perkara itu kerana apabila Rasulullah menceritakan peristiwa ini kepada masyarakat umum di Makkah, mereka mentertawakan Baginda. Hanya Saidina Abu Bakar mempercayai kata-kata Rasulullah SAW dan beliau diberi gelaran As-Siddiq yang bermaksud orang yang benar.Sebelum Rasulullah SAW diIsrakkan, Baginda menjalani suatu ‘pembedahan’ untuk membersihkan hati serta dimasukkan unsur rohani, iman dan hikmat.


Ini menunjukkan bahawa pada peringkat pertama untuk bertemu Allah, kita perlu membersihkan diri dan jiwa daripada pelbagai sifat buruk serta menanamkan sifat baik dan ihsan dalam diri. Dengan jiwa tenang, penuh keimanan dan ketakwaan, kita akan beroleh kemudahan untuk bertemu dan menghadap Allah. Pelbagai peristiwa yang dilihat dan dialami Rasulullah SAW ketika Israk bersama malaikat Jibril memberikan gambaran menyeluruh perihal manusia di bumi ini dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah. Ada yang melakukan kebajikan, sementara yang lain kekal dalam kemaksiatan.Manusia akan diadili berdasarkan amalan mereka dan menerima balasan yang setimpal daripada Allah berpandukan kepada apa dikerjakan.


Allah juga menunjukkan kepada Rasulullah SAW serta umatnya iman dan akidah teguh adalah asas kepada sifat keIslaman sejati dan akan diberi balasan baik oleh-Nya.Rasulullah SAW memilih susu berbanding arak yang ditawarkan oleh Jibril.Ini jelas menunjukkan bahawa susu adalah minuman berkhasiat. Arak pula tidak disukai Baginda dan Allah kerana memabukkan dan akan menyesatkan umat Islam daripada mengingati Allah.Beberapa tempat disinggahi Rasulullah SAW untuk mengerjakan solat seperti Madinah, Bukit Tursina dan Masjidil Aqsa adalah tempat yang terpilih dan mulia.


Oleh itu, jika kita berkesempatan untuk berkunjung ke sana, adalah sunat untuk mengerjakan solat di tempat itu.Allah Maha Pengampun lagi Maha Mendengar. Bermula daripada perintah umat Islam diwajibkan mengerjakan solat 50 kali sehari semalam, atas permohonan Rasulullah SAW sebagai kekasih-Nya berulang kali (sebanyak sembilan kali), Allah mengurangkannya kepada lima kali saja sehari semalam seperti yang kita kerjakan hari ini.Surah Al-Fatihah dan ayat Kursi adalah ayat suci al-Quran banyak keberkatannya sekiranya dibaca dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana surah ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah kepada Rasulullah SAW ketika mengadap-Nya.Kejadian yang berlaku perlu diperhalusi oleh umat Islam bagi memantapkan akidah dan keimanan kita.

Sumber: www.geocities.com

Bala Yang Paling Merbahaya


Tidak ada di kalangan manusia yang suka kepada bala atau bala bencana. Kerana bala itu sangat menyusahkan manusia.Lantaran itulah manusia susah hati dengan bala.Walaupun demikian tidak ada di kalangan manusia sama ada secara perseorangan mahupun secara kelompok, dapat mengelak atau dapat terlepas daripada bala bencana, sekalipun dia seorang yang berkuasa atau seorang yang kaya. Cuma ada orang yang ditimpa bala sekali-sekala, ada yang selalu, ada yang ringan, ada yang berat, ada yang berlaku pada dirinya, keluarga dan harta bendanya atau kedudukannya dan lain-lain lagi. Diantara bala-bala itu mana yang lebih merbahaya?


Sebenarnya bala terbahagi kepada dua:


Pertama: Yang bersifat hissi atau bersifat zahir. Berbagai-bagai bentuknya, di antaranya seperti sakit badan, harta hilang, kematian keluarga yang tercinta, difitnah, diberimalu, dipukul orang, jatuh miskin, turun pangkat, perniagaan rugi, dibuang kerja, musnah harta oleh bencana alam, tidak naikpangkat, dipenjara dan lain-lain.


Kedua: Yang bersifat maknawi atau rohani. Berbagai-bagai bentuk pula, di antaranya seperti melupakan ilmu yang telah dipelajari, tercabut iman, atau iman bertambah kurang, ilmu tidak diamalkan, iman tercabut yang ada hubungan dengan akidah.Kurang iman atau iman merosot kerana beberapa sebab, diantaranya seperti ada amalan yang biasa dibuat tidak dibuat,atau membuat dosa sama ada kecil mahupun besar. Dosa itu pula, ada dosa lahir ada dosa batin.Di antara dosa-dosa itu ialah seperti berzina, riba, rasuah,mencuri, menipu, minum arak, judi, mengumpat, memfitnah,menghina, menghasut, hasad, tamak, bakhil, pemarah, mengadu domba dan lain-lain.Di antara dua bentuk bala ini, bala yang paling merbahaya ialah bala yang bersifat rohani dan maknawi, kerana bala ini akan membawa ke Neraka. Tapi bala yang bersifat hissi tidak membawa ke Neraka. Bahkan mungkin menguntungkan samaada ia menghapuskan dosa atau mendapat darjat di dalam Syurga, asalkan pandai menerimanya.


Oleh itu bala yang bersifat rohani dan maknawi ini sangat dibenci dan wajib dijauhi. Maksudnya, setiap dosa adalah bala,wajib dijauhi. Tapi bala yang bersifat hissi tidak dibenci. Ia hanya menyusahkan. Dan tidak pula menjadi satu kesalahan untuk berusaha mengelaknya. Juga tidak salah kalau setelah ditimpa sesuatu bala, berusaha menghilangkannya kerana bagi orang yang lemah iman dan tidak tahan dengan ujian boleh jatuh kepada dosa atau tercabut iman dengan ujian yang berat itu.Tapi bagi orang yang mampu berhadapan dengan ujian atau orang yang imannya kuat, tidak salah pula untuk tidak berusaha menghilangkannya kerana sifat redha dengan ketentuan Allah itu salah satu sifat terpuji. Ia merupakan sifat-sifat rasul. Dari itu pahalanya amat besar di sisi Allah yang Maha Pemurah.


Di akhir zaman ini oleh kerana kebanyakan umat Islam sudah jahil dengan ilmu agamanya sendiri, kemudian cinta dunianyapula begitu mendalam, maka mereka hanya terpaut dan terpengaruh dengan kehidupan yang terdekat iaitu dunia ini. Kehidupan di Akhirat sekadar tahu adanya Akhirat, namun hatinya tidak ke situ. Timbullah acuh tak acuh dengan Akhirat. Maka timbullah salah berfikir. Mereka memandang perkara yang terdekat itu amat besar dan serius sekali. Nikmatnya pun dipandang besar. Balanya pun dipandang besar. Akibatnya nikmat dan bala di Akhirat dipandang kecil sahaja. Maka sebab itulah mereka lupa daratan dengan nikmat dunia. Terasa sangat menderita dengan bala dunia.


Justeru itu bilangan yang teramai di kalangan umat Islam apabila ditimpa bala yang bersifat hissi di dunia ini, seperti sakit,miskin, dibuang kerja, tidak naik pangkat, turun pangkat, difitnah,hilang harta, rugi di dalam perniagaan, dipukul, dipenjara dan lain-lain, masya-Allah bukan main kepalang lagi susahnya.Derita jiwanya, kusut fikirannya, marah-marah sahaja, merungut-rungut, hilang bahagia, gelisah sahaja, rasa kesal tidak sudah. Mengadu di sana, mengadu di sini, jumpa siapa sahaja diluahkan perasaan susahnya. Kekusutan fikirannya sampai begitu ketara sekali kelihatan pada mukanya. Buat apa sahaja serba tidak kena. Begitu dia rasa kecewa dengan ujian itu. Bila iman tiada atau iman terlalu lemah, terus putus asa. Ada yang mahu bunuh diri untuk menyelesaikan masalahnya. Dia rasa dengan cara itu boleh menyelesaikan masalah. Dia ditipu oleh syaitan terkutuk kerana memandang besarnya dunia ini. Tersesat jalan dia di dunia ini, ke Neraka padahnya. Wal’iyazubillah.


Bagi orang Islam yang kuat imannya, dengan ujian dan bala dunia ini yang bersifat hissi, dia tidak begitu mengambil pusing. Bahkan bagi golongan muqarrobin dan siddiqin seperti para nabi, para Sahabat dan para auliya, mereka sangat terhibur dengan ujian dunia itu. Mereka rasa dosa mereka terampun dengan ujian dunia dan bala itu. Contohnya cerita di bawah:Di zaman Rasulullah SAW, ada seorang perempuan mempunyai tiga orang anak lelaki. Dia sanggup melepaskan kesemua anaknya ke medan perang. Dia senyum ketika anak sulung dan anak keduanya mati syahid di medan perang. Dia menangis apabila diberitahu yang anak bongsunya turut mati syahid. Bila ditanya mengapa dahulu senyum, sekarang baru menangis, beliau menjawab, “Aku sedih kerana tiada lagi anak yang hendak kukorbankan untuk jihad fisabilillah.”


Umat Islam di zaman gemilang dan di zaman keemasan terutama di sekitar 300 tahun selepas Rasulullah SAW, mereka sangat sensitif dengan bala yang bersifat maknawi dan rohani.Mereka sangat memandang besar akan bala itu. Mereka terlalu takut dengan ujian yang bersifat maknawi dan rohani itu. Jiwa mereka sangat terseksa dengan ujian itu. Bahkan bala yang berbentuk ini, belum datang pun mereka amat takut kalau-kalau di masa depan akan ditimpa dengan bala ini, sama ada secara sedar atau tidak. Kerana bala ini adalah dimurkai oleh Allah dan kalau Allah tidak ampun, akan ke Neraka, wal’iyazubillah. Justeru itulah jika mereka ditimpa bala ini, hati mereka menderita.Mereka menangis mengalirkan air mata. Hilang selera makan, hilang rangsangan dengan isteri, tidak senyum berbulan bulan. Mereka akan tebus dengan apa sahaja kebaikan bahkan jika mereka tertinggal yang sunat sekalipun mereka merasa telah berdosa, mereka merasa ini adalah satu bencana.


Hayati cerita di bawah ini:“Pada suatu hari, Sayidina Abu Bakar pergi ke kebunnya untuk melihat hasil tanamannya itu. Dilihatnya pokok-pokok tanamannya banyak yang sudah berbuah. Kerana terlalu asyik melihatkan buah-buahnya yang sudah masak itu, beliau terleka dan tertinggal solat jemaah Asar bersama Rasulullah SAW. Dengan rasa takut dan kesal yang tidak terkira, kebun itu terus diwakafkan untuk umat Islam dan digandakan sembahyangnya sebanyak 70 kali.”Sebaliknya kebanyakan umat Islam di akhir zaman ini tidak sensitif dengan bala maknawi dan rohani. Mereka tidak terasa apa-apa pun dengan bala ini. Mereka relaks sahaja. Mereka tidak rasa bersalah bahkan ada yang melupakan terus seolah-olah bala ini tidak berlaku dan tidak pernah berlaku kepada diri mereka.


Sebagai contoh, mereka tidak rasa bala apabila meninggalkan sembahyang atau lewat sembahyang. Mereka tidak rasa bala dengan mengumpat, dengan memfitnah, dengan menghina, dengan menderhakai kepada ibu bapa, kepada guru, dengan zina, berbohong, dengan menipu, dengan rasuah, dengan pendedah anaurat, dengan pergaulan bebas, dengan tidak berzakat,tidak berpuasa, dengan sombong, riyak, dengan tamak, bakhil, dengan pemarah, berdendam, hasad dengki, mengadu domba, menghasut, bergaduh, membunuh, riba, tidak belajar, tidak belas kasihan, tidak timbang rasa, tidak tolak ansur, tidak sabar, tidak pemurah, tidak redha, tidak membantu dan lain-lain.


Oleh kerana bala maknawi dan rohani ini tidak dianggap dan tidak dipandang bala bencana, maka adakalanya dianggap seronok pula diamalkan setiap hari hingga dijadikan budaya. Sebagai contoh, ada orang bila berkumpul sahaja, mengumpat dan mengata mesti didengar bersama, ketawa bersama, rasa seronok bersama, sambung-menyambung antara satu sama lain mengumpat orang lain. Adakalanya yang diumpat itu kawan sendiri, emak ayahnya, tok gurunya, pemimpin sendiri, isteri dan suami sendiri, hingga terlewat atau tertinggal sembahyang. Bertambah lagi membesar bala itu yang tidak lagi dianggap bala. Kemudian selepas bersurai ada yang menipu, ada yang balik ke rumah marah-marah sahaja pada isteri, membentak-bentak sahaja tidak tentu pasal. Bertambah merebak lagi bala itu, ibarat orang sakit, sakitnya telah kronik.


Namun tidak terasa itu adalah bala yang memecah belahkan rumah tangga, keluarga, satu masyarakat,satu bangsa kemudian terjun ke Neraka.Yang malangnya orang-orang ini juga yang memikirkan masyarakat. Yang membuat program untuk menangani gejala masyarakat, yang menganjurkan motivasi, yang memimpin,yang berdakwah, yang berceramah, yang menyalahkan orang,yang buat kaunseling.Cuba gambarkan apa yang akan terjadi, bahkan sudah terjadi pada masyarakat. Para pembaca boleh memberi jawapan. Saya sendiri ada jawapan. Biarlah jawapan saya untuk saya sendiri.Kerana kalau saya dedahkan ada sesetengah orang terlalu sensitif dan jawapan anda adalah untuk diri anda sendiri, dengan jawapan-jawapan itu tidak ada yang sakit hati.


Minda Mujaddid

Jumaat, 17 Julai 2009

Ramai Orang Mengaku Islam

RAMAI orang mengaku Islam
Tersinggung kalau dikatakan dia bukan orang Islam
Tapi persoalan iman mereka tidak dipedulikan
Syariat mereka abaikan, akhlak dipandang kecil sahaja
Sebut utamakan Akhirat rasa tersinggung
Menyebut Allah Taala sebagai budaya sahaja
Bukan dari hati yang takut, atau bukan menjiwai rasa bertuhan
Atau Tuhan disebut buat penyedap kata semata-mata sebagai budaya
Yang difikir dan diperkatakan hanya kemajuan-kemajuan
Pembangunannya, pembangun dan kekayaan
Seolah-olah kemajuan, pembangunan dan kekayaan adalah segala-galanya
Padahal beberapa ramai orang yang maju dan kaya
Rumahtangga huru-hara Anak, isteri tidak seia dan sekata
Kasih sayang tidak ada, keharmonian hidup tidak ada di dalam keluarga
Tidak pernah rasa bahagia
Jiwa kosong, fikiran berserabut
Side-effectnya, mudah marah, mudah tersinggung,mudah merajuk
Rupanya pembangunan, kemajuan, kekayaan tidak menjamin membawa kasih sayang
Kemewahan hidup tidak menjamin keharmonian di dalam keluarga
Pada kekayaan belum menjamin membawa bahagia

Minda Mujaddid

PENTINGNYA MENGETAHUI ZAT, SIFAT DAN PERANAN TUHAN

Terima kasih Tuhan dengan rahmat dan nikmatMu yang besar pada kami, Engkau telah memperkenalkan diri Engkau pada kami melalui Rasulullah SAW dari Al Qur'an. Engkau telah memperkenalkan kepada kami Zat Engkau, sifat-sifat Engkau, peranan-peranan Engkau, melalui wahyu Engkau kepada Rasul Engkau, kepada makhluk terutama manusia. Inilah nikmat paling besar dari Tuhan bagi kami manusia iaitu ciptaan Engkau.

Selawat dan salam bagi Rasulullah SAW. Dengan sebab baginda nikmat yang besar itu sampai pada kami, hingga kami kenal zat Tuhan, kami sifat dan peranan-peranan Tuhan. Oleh itu marilah kita banyakkan selawat kepada Rasulullah SAW yg sudah berjasa kepada kita semua. Dan marilah kita bersyukur kepada Tuhan, nikmat yang besar itu telah dianugerahkanNya kepada kita. Yang mana Tuhan mengenalkan diriNya, zatNya, sifatNya dan perananNya kepada manusia.



Marilah belajar dari Al Qur'an. Kalau kita baca ayat-ayat Al Quran dari awal sampai akhir, hampir setiap surah, kalau tidak di awal, tentu di tengah atau diakhir, walaupun kadang-kadang Tuhan ceritakan mengenai syariat, sejarah, tapi tak lepas Tuhan selitkan untuk mengenalkan diriNya, zatNya, sifatNya dan mengenalkan perananNya. Begitulah dalam Al Quran itu. Apa maksudnya?

Daripada keseluruhan ajaran Islam itu yang paling penting adalah aqidah, mengenal zat Tuhan dengan tepat. Mengenal sifat Tuhan secara tepat. Mengenal peranan-peranan Tuhan secara tepat.


Diantaranya, seperti Tuhan berkata;' Tuhan miliki langit dan bumi. Tuhanlah yang mempergilirkan malam dan siang. Tuhanlah yg menjadikan manusia dari setitis air . Tuhanlah yang menjadikan hidup dan mati. Tuhanlah yang memberi rezeki, menyembuhkan penyakit, Tuhanlah yang menjadi penyelamat, Tuhan yang Maha berkat, Tuhan mematikan dan menghidupkan. Tuhan yang menjadikan segala-galanya. Tuhan yang mendatangkan keselamatan dan bala bencana.' Begitulah seterusnya.

Apa maksud ini semua? Apa yang Tuhan kehendaki?

1. Supaya akidah dan kepercayaan kita kepada Tuhan itu tepat samada pengetahuan tentang zatNya, sifatNya mahupun perananNya. Ini adalah nikmat paling besar. Lebih besar dari dunia dan lebih besar dari Akhirat. Tak ada yang lebih besar lagi dari nikmat ini.
Apa maksud di sebalik mengenal Tuhan secara tepat?

2. Supaya kita takut kepada Tuhan, kita cinta pada Tuhan, supaya kita dapat anggap Tuhan adalah segala-galanya. Tuhan itu penyelamat dunia akhirat, tempat kita menyerahkan nasib di dunia dan di Akhirat.

3. Supaya kita benar-benar merasa Tuhan itu wujud, kita tak boleh hidup tanpa Tuhan, tak boleh selamat tanpa Tuhan, menyerahkan diri kita sepenuhnya pada Tuhan, tidak ada yang berkuasa mutlak melainkanTuhan. Makhluk sekalipun besar kuasanya, tidak satu habuk pun kuasa itu bila dibanding kuasa Tuhan.

4. Kita akan rasa Tuhan itu adalah segala-galanya. Kita akan menyerahkan diri padaNya tanpa berbelah bagi. Kita akan seronok, kuat, beruntung bersama Tuhan.

Itulah tujuan Tuhan kenalkan diriNya dalam setiap surah. Ini adalah nikmat paling besar dari Tuhan samada di dunia atau Akhirat.

Mengenal Tuhan itu nikmat paling besar bagi makhluk.


Minda Guruku

Khamis, 16 Julai 2009

Ya Allah, Kami Redha..diatas segala ketentuanmu

Dua hari yang lepas (14.07.2009 bersamaan 21 Rajab 1430) saya dan isteri telah kehilangan anak yang masih didalam kandungan ( 10 minggu). Begitulah kehendak Allah. Kita hambanya yang lemah ini hanya mampu merancang. Kehendakmu Ya Allah pasti ada hikmahnya yang tersirat. Sesungguhnya Engkau yang Maha Mengetahui.

Terima Kasih diucapkan kepada teman2 yang telah memberikan doa dan nasihat. Terima Kasih yang tidak terhingga juga kepada seluruh kakitangan,jururawat2,pegawai2, doktor2 dan doktor pakar di Hospital Pakar Serdang, jasa kalian hanya Allah yang akan membalasnya.

Buat isteri tersayang....terima kasih diatas segala pengorbananmu selama ini. Bersamalah kita redha dan sabar diatas ketentuan Allah ini. Ya Allah tabahkanlah hati kami insanmu yang hina ini.

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin