Selasa, 10 November 2009

Memahami Isu Penangkapan Dr. Asri



Memahami isu penangkapan Dr. Asri



Sumber: Utusan Malaysia Onlinehttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1108&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive



Oleh: Yusri Mohamad ialah Naib Presiden, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM)


dan Bekas Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia.






Tulisan ini asalnya bertujuan sebagai respons khusus kepada dua tulisan Datuk Dr.Mohd.Asri Zainul Abidin dalam Mingguan Malaysia yang bertajuk Fitnah dan Perjuangan dan Sejarah Akan Berulang. Bagaimanapun, oleh kerana sekarang ini pandangan masyarakat lebih tertumpu kepada isu penangkapan beliau, wajarlah di sini kita soroti persoalan Dr. Asri secara lebih umum.





Apabila berita beliau ditahan tersebar, tidak kurang yang simpati kerana asas penangkapannya, iaitu mengajar tanpa tauliah dirasakan terlalu kecil. Mereka yang lebih mengenali dan analitikal terhadap Dr. Asri pula beranggapan sememangnya beliau tidak wajar dibenarkan bebas menyebarkan pandangannya. Terlepas daripada soal wajar atau tidaknya Dr. Asri ditangkap, undang-undang yang mewajibkan tauliah untuk mengajar agama Islam tidaklah perlu dipertikaikan.





Undang-undang itu bukan sahaja bertujuan untuk memastikan hanya mereka yang berkelulusan dibenarkan mengajar. Ia juga bertujuan agar mereka yang tidak sesuai dan layak, dapat dihalang daripada mengajar walaupun mempunyai pelbagai kelulusan dan gelaran akademik. Jika ada yang tidak sesuai dan layak tetapi masih berdegil untuk mengajar walaupun telah diberi amaran, maka tidak salahlah tindakan penangkapan diambil jika dirasakan perlu.





Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pula seorang seperti beliau dikatakan tak sesuai dan tidak layak mengajar? Jawaban pokok kepada soalan ini adalah, Dr. Asri sebenarnya mewakili dan menjuarai suatu aliran pemikiran yang tidak selari dengan fahaman Islam sebenar atau yang biasa dinamakan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Oleh kerana fahaman Islam ASWJ menjadi pegangan asas para ulama dan pihak berkuasa agama di semua negeri, maka Dr. Asri dalam banyak hal menjadi tokoh yang sangat kontroversial kerana beliau sering menimbulkan pandangan yang mengelirukan masyarakat dan secara langsung atau tidak, menggugat kestabilan hidup beragama di negara kita.





Oleh kerana beliau jelas mengambil pendekatan bertentangan dengan arus perdana Islam di Malaysia, tidak hairanlah beliau diminati oleh sebahagian tokoh, individu dan organisasi yang sememangnya prejudis terhadap arus perdana Islam di Malaysia. Beliau turut diminati oleh mereka yang cenderung terlebih liberalis, rasionalis dan 'pemberani' dalam soal-soal agama kerana mereka ini juga terasa terbatas dengan kuatnya arus perdana Islam ASWJ di Malaysia.





Dr. Asri juga menerima dokongan atau sekurang-kurangnya simpati segelintir tokoh agama dan orang politik yang memang sealiran dengan beliau. Aliran Islam yang diperjuangkan oleh Dr. Asri boleh digelar pelbagai nama walaupun beliau sendiri cenderung menggunakan istilah yang bunyinya lebih positif seperti 'tajdid' atau 'kaum muda' serta mengelakkan istilah yang lebih kontroversi seperti 'Wahhabi'.





Apa pun labelnya, hakikatnya aliran ini memang wujud di dunia Islam walaupun merupakan aliran minoriti umat Islam yang majoritinya beraliran ASWJ. Perlu diingat para pendokong aliran ini sendiri sering mendakwa bahawa aliran mereka adalah aliran ASWJ sebenar. Antara ciri utama aliran 'kaum muda' seperti yang dipegang oleh Dr. Asri ini adalah kecenderungan merujuk terus kepada nas-nas al-Quran dan sunah tanpa mengutamakan tafsiran dan ijma' para ulama. Kecenderungan ini membawa kepada penolakan terhadap kebakuan fiqh Mazhab yang empat, akidah 'Ash'aari- Maturidi dan kerohanian tasawuf.





Pegangan





Di Malaysia, sejak awal lagi aliran ASWJ telah menjadi pegangan majoriti dan aliran yang dominan. Pun begitu, minoriti individu dan tokoh yang cenderung kepada aliran 'kaum muda' sudah ada sebelum munculnya Dr. Asri lagi. Mereka ini berada di pelbagai tempat tetapi mereka umumnya tahu diri dan tidak cuba mencabar secara agresif aliran perdana ASWJ. Bagaimanapun, fenomena Dr. Asri yang agresif dan lantang itu dilihat telah menyuntik keberanian kepada pengikut aliran ini untuk turut cuba mencabar dominasi fahaman ASWJ di Malaysia





Dalam 'perjuangan' mendominasikan alirannya, Dr. Asri banyak bergantung kepada bakat pidato dan penulisannya berjubahkan nas-nas al-Quran dan sunah yang terpilih dengan tafsiran yang selari dengan alirannya. Beliau juga sering berselindung di sebalik tokoh-tokoh ulama terkenal sama ada dengan memilih pandangan tertentu yang memihak kepadanya sahaja serta mengaburkan aspek kontroversi tokoh-tokoh tersebut. Inilah yang sering beliau lakukan dengan tokoh-tokoh seperti Ibnu Taymiyyah, Ibnul Qayyim, Muhammad Ibn Abdul Wahab, Yusuf al-Qaradhawi dan Hamka.





Dalam dua tulisan terbarunya, Dr. Asri cuba bersandar kepada populariti Hamka dan ayahnya yang turut membawa aliran pembaharuan dalam masyarakat Islam Indonesia. Mungkin Dr. Asri ingin mengatakan bahawa beliau sebanding dengan Hamka, ditentang kerana membawa aliran pembaharuan yang bercanggah dengan ulama tradisi. Seperti biasa, mereka yang tidak meneliti dan pada masa yang sama mengagumi Hamka secara mutlak mungkin termakan dengan hujahnya ini tetapi pada hakikatnya, Hamka juga ada sisi kontroversinya dan bukanlah serba maksum. Kritikan Hamka terhadap ulama Malaysia seperti yang dipetik oleh Dr. Asri bukanlah buah pandangan terbaiknya yang perlu kita telan bulat-bulat. Kita ingin tanyakan kepada Dr. Asri, apabila beliau memetik kata-kata Hamka, "Tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!", adakah beliau bersetuju dengan kenyataan ini? Jika betul ia adalah suatu gambaran salah yang menghina bukan sahaja para ulama tanah air, tetapi turut memperlekehkan institusi Raja-raja yang tak dapat dinafikan sumbangannya dalam menaungi agama di negara kita dari dahulu hingga sekarang.





Dari satu sudut lain, mereka yang mengkaji juga akan segera mengakui bahawa nasib sejarah dan realiti Islam dalam perlembagaan dan pentadbiran di Indonesia dan Malaysia jelas berbeza. Di Indonesia, Islam gagal diperuntukkan secara rasmi dalam perlembagaan sehingga urusan agama tidak dapat dikawal dengan kemas oleh undang-undang dan institusi rasmi.





Teman-teman yang prihatin dari Indonesia sering mengeluh bahawa inilah suatu kelebihan Islam di Malaysia berbanding dengan negara mereka yang akhirnya menyumbang kepada kerencaman yang melampau dan kurangnya kesepaduan umat Islam Indonesia. Kita patut tanyakan Dr. Asri, adakah beliau mahu kita mencontohi Indonesia dalam aspek ini dan melemahkan lagi kesatuan suara dan rasa umat Islam di Malaysia?





Sesiapa pun yang sedia mengkaji secara tekun dan jujur segala ucapan, tulisan dan sikap Dr. Asri (yang kebanyakannya boleh didapati di laman webnya) dengan berlatarbelakangkan pertembungan aliran ASWJ dan aliran-aliran pinggiran, akan segera banyak menemukan pola-pola pemikiran yang bertentangan dengan jumhur (majoriti) umat. Taklid dan hormat kepada tokoh ulama dan mazhab ditentang hanya untuk digantikan secara halus dengan taklid kepada tokoh dan alirannya sendiri. Dr. Asri juga sering menyeru kepada minda yang terbuka tetapi pada masa yang sama sering mempermasalahkan perbezaan pandangan dalam isu-isu ranting hingga menimbulkan ketegangan sesama Islam. Pandangan mazhab dan jumhur ulama kerap digambarkan sebagai ketinggalan dan jumud sedangkan dalam pelbagai persoalan lain aliran ini jauh lebih ketat dan keras daripada pandangan jumhur ulama.





Tulisan ini bukanlah sebuah perbahasan terperinci fenomena Dr. Asri tetapi cuba melakarkan suatu gambaran besar tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku. Gambar yang terhasil sebenarnya amat membimbangkan. Jika tidak berhati-hati, umat Islam di Malaysia yang sudah parah menanggung perpecahan mengikut garis kefahaman politik mungkin akan dirumitkan lagi dengan perpecahan aliran agama melibatkan ketiga-tiga sendi iaitu tauhid, Fikah dan tasawuf. Emosi dan simpati semata-mata tidak memadai untuk mencari sikap yang tepat dalam isu ini.





Dalam mabuk lagu perubahan dan pembaharuan yang dimainkan oleh Dr. Asri dan teman-teman sealirannya, kewibawaan kerangka fahaman agama serta keutuhan suara umat Islam boleh terhakis. Jika tidak berhati-hati kita akan mengulangi kesilapan isteri Aladdin yang termakan pujukan si tukang sihir jahat lalu menukarkan lampu lama yang penuh kesaktian dengan lampu baru yang hanya hebat luarnya tapi kosong isinya. Wallahualam.

Isnin, 9 November 2009

Mengapa Masalah Tidak Selesai



Mengapa Masalah Tidak Selesai



Mengapa masalah masyarakat


makin cuba diselesaikan semakin tidak selesai?


Kerana golongan yang memperkatakan masalah


mendatangkan lagi masalah




Gambar Hiasan Oleh: Vista

Kerana memahami masalah


dan cara menyelesaikannya tidak ada kaedah


Tidak ada kaedah, asalkan buat sahaja, itu adalah satu masalah


Ada yang tidak tahu sumber masalah itu juga masalah


Bagaimana hendak menyelesaikan masalah


jika tidak tahu dari mana sumbernya masalah


Ertinya pokok masalah disuburkan, buah masalah dicegah


Kalau faham pokoknya, tebang sahaja pokoknya,


tidak ada pokok tidak adalah buah


Ada yang tidak tahu di antara masalah dengan bukan masalah


Yang masalah bukan dikatakan masalah,


yang bukan masalah dikatakan masalah, lagi bermasalah


Ia macam orang tidak kenal padi dengan lalang,


padi dimusnah, lalang dibiarkan tumbuh, mudah bercambah


Ada juga perkara kecil dianggap masalah besar,


yang besar dianggap masalah kecil, ini juga masalah


Ini akan berlaku percanggahan


sesama yang memikirkan masalah


Bercanggah pendapat di dalam menilai masalah,


ini adalah masalah, masalah di dalam masalah,


masalah bertambah-tambah


Satu puak hendak mencegah, satu puak lagi membiarkan masalah


Ada golongan lagi ada masalah atau tidak ada masalah


peduli apa, itu bukan saya punya masalah


Aku fikir aku sahaja, jangan menimpa aku sudahlah


Sikap ini juga adalah masalah


Kita adalah satu juzuk daripada masyarakat


Mana boleh tidak memikirkan masyarakat yang bermasalah


Ada lagi masalah yang jadi masalah, yang bukan masalah dicegah


Sedangkan itu adalah berfaedah kepada umat


setidak-tidaknya faedah setempat


Ada orang faham masalah itu adalah masalah


tapi kerana hendak jaga hati ramai, dibiarkan sahaja


seolah-olah ia bukan masalah


Lebih-lebih lagilah bermasalah, yang jadi masalah itu


dipertahankan oleh kuasa


Kerana dapat untung peribadi atau kerana hendak nama


atau hendak berkuasa dilindungi oleh kuasa


Kalau yang berkuasa sudah buat masalah, lagilah bermasalah


Siapa lagilah yang mampu mencegah masalah?!


Apa yang diperkatakan tadi


itulah masalah umat Islam sedunia hari ini


Menyelesaikan masalah tidak seia sekata lagi


Perpaduan, keselarasan, rasa bersama sudah tidak ada


Ada yang membiarkan, ada yang hendak membanteras,


ada yang mempertahankan


Maka umat Islam kehilangan kekuatan,


kehilangan kedaulatan,


musuh campurtangan


Mengapa terjadi sedemikian?


Terjadinya ini semuanya adalah kerana tidak dirujuk lagi


kepada wahyu


Masing-masing golongan merujuk kepada akal,


dan kepada nafsu


sedikit sekali yang merujuk kepada wahyu

Jumaat, 6 November 2009

Hidupkan Islam Agar Ia Meriah

Islam diturunkan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya, bukan

semata-mata ilmu untuk ilmu. Jauh sekali hanya sekadar

mental exercise, atau sebagai bahan kajian.


Islam perlu dihidupkan dengan cara diyakini, dihayati, diamal

dan dilaksanakan di dalam kehidupan. Sama ada dihidupkan

di dalam kehidupan yang lahir ini, di dalam akal atau mental

kita, lebih-lebih lagi di dalam jiwa kita.


Apabila dihidupkan Islam itu di dalam kehidupan kita, ia

akan jadi meriah sekaligus sebagai syiar di mayapada ini.

Dengan itu Sunnah Rasulullah SAW akan menjadi pedoman

hidup dan akan kelihatan lambang-lambang kebesaran Allah

itu (ayatullah) di dalam kehidupan manusia. Sama ada di dalam

kehidupan peribadi mahupun di dalam kehidupan bermasyarakat,

di dalam kehidupan berpendidikan, di dalam ekonomi,

di dalam kebudayaan, ketenteraan, di dalam pentadbiran, di

dalam perhubungan dan lain-lain lagi.


Agar Islam itu hidup dan meriah, ia perlu dihidupkan atau dibangunkan

di dalam akal, di dalam jiwa dan di dalam kehidupan

yang lahir ini.


1. Menghidupkan Islam di dalam akal ertinya kita hendaklah

menguasai ilmunya, sama ada ilmu akidah, feqah, tasawuf,

akhlak, tafsir dan lain-lain lagi dengan tepat. Apabila Islam
itu dapat dihidupkan di dalam akal maka:

a. Ia akan menjadi ilmu dan maklumat-maklumat yang

dimiliki.


b. Ia akan menjadi panduan di dalam kehidupan yang

berbagai-bagai aspek.


c. Ia akan dapat menyelesaikan berbagai-bagai masalah

hidup apabila buntu.


d. Ia akan menjadi kawan secara maknawi pada seseorang

itu.


e. Dari ilmu boleh mendapatkan ilmu.


f. Dengan ilmu ia akan dapat merujuk.


g. Dengan ilmu ia akan dapat mendidik orang.


h. Dengan ilmu akan dapat menguasai orang.


i. Dengan ilmu akan dapat membangunkan kemajuan

dunia dan Akhirat.


2. Menghidupkan Islam di dalam jiwa. Dengan berpandukan

ilmu Islam itu, ia dapat membangunkan sifat-sifat mahmudah

di dalam jiwa atau hati, dengan kata-kata yang lain sifat-sifat

mulia. Dengan itu akan lahirlah pada seseorang itu

seperti sifat-sifat sabar, redha, tawakal, pemurah, lapang

dada, pemaaf, meminta maaf, rendah diri (tawadhuk), penyayang,

bertimbang rasa, lemah-lembut, jujur, adil dan

berlaku benar.


Dengan jiwa yang hidup itu seperti yang telah kita sebut

di atas, ia sangat membantu manusia melahirkan kehidupan

di dalam masyarakat yang berkasih sayang, harmoni, aman

damai, bertolong bantu, adil dan lain-lain lagi. Dari sini, hilang

ketakutan, kebimbangan, huru-hara, krisis, pergaduhan

dan peperangan yang sangat ditakuti oleh manusia.


Jiwa yang hidup itu memang manusia sejagat memerluk
kannya kerana di sanalah rahsia rukun damai di dalam

kehidupan bermasyarakat atau pergaulan. Jika jiwa tidak

hidup atau dengan kata-kata lain tiada sifat-sifat batin yang

mulia itu di kalangan manusia, maka akan wujudlah lawannya

iaitu sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji seperti

sombong, riyak, pemarah, gila puji dan nama, hasad, berdendam,

bakhil, tamak, mementingkan diri dan lain-lain

lagi.


Dari sifat-sifat yang keji tadi akan lahir buahnya di dalam

masyarakat manusia seperti bersakit-sakit hati, berkecil-kecil

hati, pergeseran, permusuhan, krisis, pergaduhan, pembunuhan

dan seterusnya peperangan. Akibat dari itu tiada

siapa yang susah melainkan manusia itu sendiri.


Dengan ulasan ini jelaslah pada kita bahawa dengan

menghidupkan jiwa, akan meriahlah di dalam kehidupan

manusia sesuatu yang positif atau akan lahirlah berbagai- bagai

bentuk kebaikan yang faedahnya kembali kepada

manusia itu sendiri.


3. Menghidupkan Islam di dalam kehidupan yang lahir seperti

sembahyang jemaah, berdakwah, bermesyuarat, membaca

Al Quran, berzikir, menutup aurat, membanyakkan sedekah,

menolong orang susah dengan wang ringgit dan tenaga,

bertolong bantu, mengutamakan orang lain, bersimpati

dengan kesusahan orang, melahirkan kegembiraan di atas

kegembiraan kawan, membayar hutang orang, memberi

hadiah, mengajar orang yang jahil, memberi nasihat bagi

orang yang buntu atau yang memerlukan nasihat, melupakan

kesalahan kawan bahkan memaafkannya, menziarahinya,

kunjung-mengunjung, menerima jemputan yang dihalalkan,

berniaga dengan tujuan khidmat dan menjalinkan

kasih sayang di antara peniaga dan pelanggan, menerima

dan menghormati tetamu, menunjuk jalan bagi orang yang

sesat jalan, menghormati ibu ayah, orang tua, pemimpin dan


guru, mengasihi kanak-kanak, bertimbang rasa kepada

manusia, bertolak ansur dan lain-lain.


Apabila kita menghidupkan Islam di dalam kehidupan lahir

hingga menjadi budaya hidup di kalangan umat Islam, akan

terserlahlah syiar-syiar Islam atau ayatullah atau lambang lambang

kebesaran Allah di dalam kehidupan umat Islam. Inilah

yang dimaksudkan oleh Allah Taala di dalam sepotong ayat Al

Quran yang berbunyi:

Maksudnya: “Barang siapa membesarkan syiar-syiar

Allah maka sesungguhnya ia daripada hati yang bertaqwa.”


(Al Haj: 32)


Untuk menghidupkan Islam agar ia meriah di dalam akal,

jiwa dan kehidupan lahir, ia memerlukan ilmu, mujahadah yang

serius serta berterusan, pimpinan guru serta memohon selalu

kepada Allah Taala agar memberi hidayah dan taufik.


Tanpa ilmu dan mujahadah yang berterusan serta tanpa pimpinan

guru dan hidayah dan taufik dari Allah Taala, tidak mungkin

Islam itu dapat dimeriahkan di dalam diri dan kehidupan

manusia. Oleh itu perjuangan yang gigih dan istiqamah dengan

dipandu oleh ilmu yang tepat serta pimpinan guru amat

diperlukan oleh umat Islam. Tanpanya, segala-galanya akan

gagal, tanpanya hanya akan tinggal di dalam slogan dan saranan saranan,

tanpanya hanya tinggal angan-angan dan ucapan.

Khamis, 5 November 2009

GOLONGAN-GOLONGAN DIKALANGAN UMAT ISLAM TERHADAP PERJUANGAN



Apabila kita mengatakan perjuangan ertinya adanya sebuah
jemaah yang ada pemimpin yang ditaati, ada pengikut

yang setia, ada dasar perjuangan yang berlandaskan Al
Quran dan As Sunnah, yang ia ditegakkan lebih dahulu sejauh
yang termungkin di dalam jemaah itu sebagai model. Ada
aktiviti ke luar dan ke dalam melalui berbagai-bagai cara dan
strategi untuk mencapai matlamat.

Ertinya Islam tidak berjuang secara individu atau secara
berseorangan tanpa ada jemaah, pemimpin dan pengikut serta
tanpa aktiviti, kerana Islam itu adalah cara hidup bernegara,
berekonomi, bermasyarakat, berpendidikan, berhubung, berkebudayaan,
berundang-undang, berdisiplin dan lain-lain lagi.


Oleh kerana perjuangan Islam itu adalah terpaksa sibuk, berkorban,
terkorban, menghabiskan masa, berhadapan dengan
kesusahan dan cabaran, terpaksa mengkesampingkan kepentingan
diri, maka selepas kejatuhan empayar Islam ada beberapa
golongan umat Islam dalam menghadapi perjuangan ini iaitu:


1. Golongan yang hidup matinya untuk Islam. Faham apa yang
mereka perjuangkan. Bersungguh-sungguh mengamalkan
di dalam diri mereka dan keluarga mereka, memberi seluruh
jiwa raga, masa dan harta untuk Allah dan Rasul. Mereka
sanggup berhadapan dengan sebarang risiko, bahkan mati
di dalam perjuangan itu memang ditunggu-tunggu. Syahid
adalah idaman mereka. Golongan ini amat sedikit dan
darjatnya lebih tinggi daripada ahli ibadah.


2. Golongan yang bersungguh-sungguh berjuang seperti
golongan yang pertama tadi serta faham apa yang mereka
perjuangkan. Cuma lemah mujahadah melawan nafsu. Di
dalam gigih berjuang itu, maksiat dibuat juga. Di dalam ada
cita-cita Islam, terlibat juga dengan dosa. Ini terserahlah
kepada Allah Taala, terpulanglah kepada Allah. Dia mengampunkan
sesiapa yang Dia kehendaki dan mengazab
sesiapa yang Dia kehendaki. Atau jika kebaikan yang mereka
lakukan lebih banyak daripada kejahatan, maka beratlah
amalan kebaikannya maka mereka tergolong dalam ashabul
yamin.


3. Golongan yang berjuang secara jahil. Fardhu ain di dalam
diri pun belum selesai. Mereka berjuang semata-mata kerana
semangat dan fanatik sahaja. Di dalam perjuangan mereka
mengganas, merosak dan menzalim sama ada di sedari atau
tidak. Mereka itu kalau gigih sekalipun berjuang, namun
Allah SWT tidak akan menerima perjuangan mereka. Kerana
kerosakannya lebih banyak daripada kebaikannya. Golongan
ini agak ramai di zaman ini.


4. Umat Islam yang berjuang bukan kerana Allah dan Rasul
atau bukan kerana hendak menegakkan Islam tapi berjuang
kerana mahu merebut pangkat atau kerana sakit hati dengan
musuh-musuhnya atau kerana kemegahan bangsa, negara
atau kerana nama atau kerana ideologi. Islam itu hanya
diselit-selitkan atau dijadikan bahan slogan untuk mempengaruhi
umat Islam. Golongan ini tertolak. Sama ada jadi
zalim, fasik atau kafir.


5. Golongan yang ingin berjuang tapi belum mula berjuang
kerana wadah-wadah perjuangan yang wujud di negaranya
atau jemaah perjuangan yang ada di negaranya tidak meyakinkan.
Kerana tahu tidak ada kemampuan dan kelayakan,
mereka beribadah dan membaiki diri sambil menunggu
perjuangan yang sebenar. Mereka lebih banyak menyendiri.


Golongan ini memang elok menyendiri.


6. Golongan yang menghabiskan masa untuk ibadah serta
membaiki diri, sedangkan kemampuan ada. Walaupun ada
perjuangan kebenaran di hadapan matanya namun mereka
tidak mahu menggabungkan diri. Kerana tidak mahu bersusah
payah atau tidak mahu menerima atau menanggung
risikonya. Golongan ini dimurkai Allah SWT.


7. Golongan yang uzur, sama ada uzur disebabkan sakit atau
cacat anggota atau tua atau terlalu miskin, sedangkan tanggungjawab
serta ada keluarga yang hendak ditanggung.
Maka mereka tidak dapat ikut serta di dalam perjuangan,
hanya memberi doa semata-mata. Golongan ini dimaafkan.


8. Golongan yang memilih menghabiskan masa untuk beribadah
daripada berjuang di waktu musuh belum begitu
mengancam terhadap umat Islam dan negara Islam. Sedangkan
sudah ada golongan lain yang berjuang dan tenaga
itu sudah cukup sebagai menegakkan fardhu kifayah. Maka
Golongan itu diharuskan untuk bersikap demikian tapi pahalanya
rendah dibandingkan dengan golongan yang berjuang
itu.


9. Golongan yang sudah tidak mempedulikan langsung terhadap
Islam. Mereka ialah Islam keturunan. Ibadah untuk
dirinya sahaja, tidak mahu berjuang, malah mereka tidak
mahu fikir mengenainya dan hanya mahu hidup sematamata.
Memikirkan makan, minum dan seks sahaja. Islam
tidak ada langsung di dalam hati mereka. Golongan ini disangsikan
keislaman mereka.


10. Ada golongan pada mulanya menceburkan diri di dalam
perjuangan. Apabila mendapat kesusahan atau tidak tahan
berhadapan dengan ujian dan cabaran, akhirnya mengundurkan
diri. Yang mengundurkan diri itu, ada yang menentang
dan ada yang tidak menentang.


11. Ada golongan yang menggabungkan dirinya di dalam
perjuangan setelah perjuangan itu telah menghasilkan buahnya,
ertinya setelah perjuangan memberi kesenangan. Tapi
apabila berhadapan dengan ancaman atau ujian yang berat,
ia akan menentang perjuangan itu dan adakalanya terus
menyebelahi musuhnya.

Glamor Tanpa Tuhan Dilupakan Orang

Ramai orang yang masyhur dan ternama,


ada glamor di seluruh dunia


Ada yang masyhur kerana kuasanya,


ada terkenal kerana ilmunya


ada yang terkenal oleh suara dan lakonannya






Akhirnya kebanyakannya disudahi dengan kehilangan nama


Sebelum mati pun sudah dilupakan orang,


terlalu jarang orang menyebutnya


Kerana apa terjadi begitu?


Sebelumnya namanya, beritanya, gambarnya di dada media massa?






Masyhurnya mereka tidak ada kaitannya dengan Tuhan


Yang Maha Esa dan Maha Kuasa


Terkenalnya bukan kerana cintakan Tuhan


dan kasih sayang sesama manusia






Terkenalnya mereka,


kebanyakannya kerana derhaka atau kerana dunia semata-mata


Di dunia lagi mereka sudah terhukum oleh Tuhan


Yang Maha Esa dan Maha Kuasa






Jasa-jasa mereka dilupakan begitu sahaja


Sepatutnya orang yang terkenal


di belakangnya ambillah pengajaran dan keinsafan


Mungkin mereka jugakan menempa sejarah yang sama






Tidak seperti terkenalnya para-para Rasul


dan Sahabat-Sahabat yang terkenal dan berjasa


Sering sahaja disebut orang,


nama-nama mereka sentiasa jadi bualan manusia






Nama mereka menyerikan majlis-majlis keramaian setiap masa


sejarah mereka berbeza?


Dengan sejarah yang telah disebut sebelum ini?


Kerana masyhurnya mereka ada hubungkait dengan Tuhan yang Maha Esa






Mereka adalah manusia yang cintakan Tuhan


dan saling berkasih sayang sesama manusia


Tuhan rahmati mereka,


Tuhan beri mereka berkat






Maka nama mereka sering sahaja disebut


dan dikenang setiap masa


Mereka manusia yang menjadi suri teladan


dan membawa peri kemanusiaan yang luar biasa






Mereka itu adalah kekasih-kekasih Tuhan,


orang-orang Tuhan yang membawa rahmat


kepada seluruh manusia dan dunia


Jasa-jasa mereka dikenang,


sejarah hidup mereka dijadikan bahan cerita






Padahal di waktu mereka hidup sering sahaja derita dan sengsara


Diburu, dikejar oleh musuh-musuhnya


Tidak seperti mereka yang terkenal dengan kemewahan


dan serba selesa dan serba ada


Mereka dilupa bahkan semakin lama semakin dilupa


Begitulah perbezaan di antara orang Tuhan dengan orang dunia










Gambar Hiasan Oleh : Azmeen

Selasa, 3 November 2009

PERKARA YANG MANUSIA TAHU TAPI TIDAK TAHU RAHSIANYA!

Banyak perkara yang manusia ketahui tapi tidak tahu
rahsianya di sebaliknya. Antara perkara-perkara yang
manusia tahu tetapi mereka tidak tahu rahsianya ialah:

1. Di antara cara mendidik manusia menjadi baik ialah dengan
usaha menyakitkan nafsunya.



2. Jika seorang muslim mati bersama sakit zahirnya, maka itu
adalah penghapusan dosanya atau dia mendapat darjat di
dalam Syurga. Sebaliknya kalau dia mati bersama penyakit
batinnya, dia akan ke Neraka.


3. Manusia yang berpenyakit lahir (fizikalnya), sakitnya boleh
merosakkan anggotanya sahaja tetapi manusia yang berpenyakit
batin boleh merosakkan semua yang ada di dunia.
Banyak perkara yang akan dirosakkannya.


4. Sesuatu perkara atau benda yang kita suka, sangat sukar
untuk kita tadbir dan mengurusnya. Biasanya selalu sahaja
kita melakukan kesalahan di dalam mengurusnya.


5. Banyak orang boleh memperkatakan penyakit batin tetapi
gagal mengesannya. Lantaran itulah ada orang waktu menceritakan
penyakit sombong, pada masa yang sama dia
sedang memakai sifat itu.


6. Mendidik manusia secara tidak formal dan dari sikap diri
kita lebih berkesan daripada sekadar memberi ilmu dan
teorinya.


7. Ramai manusia dirosakkan oleh makhluk yang paling
bodoh, yang tiada akal dan tidak bersekolah iaitu duit dan
harta. Bahkan orang yang paling pandai seperti profesor
pun dirosakkannya.


8. Bangsa yang mempunyai sifat taqwa dan ilmu akan menguasai
manusia lain. Begitu pun banyak bangsa tidak boleh
menempuh jalan ini. Maka mereka menguasai bangsa lain
dengan kekuatan lahirnya tetapi kerosakannya terlalu
banyak.


9. Orang yang memiliki dunia selalunya jiwanya tidak tenang.
Orang yang memiliki Allah, jiwanya tenang. Justeru itu
orang yang memiliki dunia ada yang membunuh diri sendiri.
Ini tidak berlaku kepada orang yang memiliki Tuhan.


10. Orang yang membunuh dirinya sendiri lebih besar dosanya
daripada orang yang membunuh orang lain.


11. Kehidupan manusia di dunia ini sebenarnya mudah diselesaikan
jika tahu rahsianya. Iaitu dengan iman dan taqwa.
Nanti akan berlakulah, pemimpin menaungi dan menegakkan
keadilan, orang kaya akan pemurah, orang miskin
sabar, orang berilmu memberi ilmu, ulama-ulama memberi
nasihat dan mendidik dan pemuda-pemudi memberi
tenaga. Semua manusia bermaruah dan bersifat malu. Setiap
orang akan mengutamakan orang lain. Anak yang kecil
ditunjukkan kasih sayang, anak yang masih bersekolah
jangan tunjuk sayang atau benci manakala terhadap anak
yang sudah dewasa, tunjukkan kemesraan dan selalu dijadikan
kawan berbincang.


12. Seseorang manusia itu akan dikasihi atau diberi simpati
kalau dia kenal dirinya dan pandai meletakkan diri pada
tempatnya.


13. Telah menjadi tabiat semula jadi manusia setiap orang sukakan
keamanan, kasih sayang, simpati, dibantu, dihormati,
dan tidak diganggu. Namun adakalanya manusia itu lupa,
bahkan lumrah berlaku perkara yang dia tidak suka itu disebabkan
oleh dirinya sama ada secara langsung mahupun
tidak. Sebagai contoh, apabila seseorang itu zalim, orang
lain akan berdendam dan membuat kacau hingga hilang
keamanan. Bila tiada keamanan, penzalim juga turut susah
dan terancam. Bila orang kaya bakhil, banyak orang dengki
dan sakit hati. Risikonya dia juga ikut sama menanggung.
Bila seseorang itu sombong, orang benci. Jika berlaku sesuatu
keadaan yang menyusahkannya, orang tidak akan
ambil peduli dan orang tidak bersimpati. Jadi, sikap kita
itulah adakalanya mengundang bala atau kesusahan. Bolehlah

kiaskan dengan sikap-sikap yang lain.


Minda Global

 
 
Gambar Oleh: awe2020

Isnin, 2 November 2009

Dr. Asri Ditangkap

Sumber : Utusan Online

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay dekat sini, malam ini.
Penahanan Mohd. Asri pada pukul 12 tengah malam itu disebabkan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

Bagaimanapun beliau dibebaskan selepas keterangannya diambil hampir sejam di balai polis Ulu Klang.


Sebelum ditahan, sepasukan anggota polis dan pegawai JAIS berada di luar rumah banglo itu sejak pukul 8 malam.

Dianggarkan, terdapat kira-kira 100 orang hadir mengikuti kuliah tersebut.


Anggota polis dan JAIS mula memasuki pekarangan kediaman itu selepas orang ramai meninggalkan banglo tersebut kira-kira pukul 9.30 malam.


Pegawai JAIS kemudiannya dilihat berbincang dengan Mohd. Asri kira-kira sejam, sebelum beliau dibawa tanpa digari ke Balai Polis Ulu Klang.



Mohd. Asri sempat memberitahu para pemberita yang turut berada di kediaman itu supaya mengikutnya ke balai polis tersebut kerana beliau mahu memberi penjelasan mengenai kejadian itu.



Turut berada di banglo itu ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib.


Semalam, Mohd. Asri mendakwa Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) memfitnahnya dalam memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.



Mohd. Asri yang juga kolumnis Minda Dr. Maza dalam akhbar Mingguan Malaysia berkata, antara tuduhan fitnah dalam memorandum bertarikh 12 Oktober lalu yang dimuatkan di laman web Pgsm mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah dan keluar daripada mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta menolak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.


Pgsm hari ini mengaku menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah sebarang cadangan melantik Mohd. Asri sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).


Presidennya, Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, tindakan itu diambil bagi menjaga kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin