Rabu, 16 September 2009

'Wira Kasut' Iraq Dibebaskan

Sumber : Berita Harian
BAGHDAD: Wartawan Iraq yang melempar kasut ke arah bekas Presiden George W Bush, tahun lalu, dibebaskan dari penjara semalam.

"Muntazer al-Zaidi yang menjadi hero di rantau Arab berikutan serangannya ke atas bekas pemimpin Amerika Syarikat itu ditemui di luar penjara oleh Ahli Parlimen yang menyokong tindakannya itu," kata abangnya, Uday al-Zaidi.

"Muntazer meninggalkan penjara beberapa minit lalu dan kini dalam perjalanan ke Baghdadiya TV," kata Uday merujuk kepada stesen televisyen yang menjadi majikan adiknya.


Zaidi dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana menyerang Bush ketika bekas pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu mengadakan sidang media di Baghdad Disember tahun lalu. Bagaimanapun, hukuman itu dikurangkan kepada setahun.


Mahkamah Iraq, Isnin lalu mengarahkan Muntazer dibebaskan berikutan di bawah undang-undang negara itu seseorang yang sudah menjalani 75 peratus daripada tempoh hukuman dan berkelakuan baik perlu dibebaskan.



Berjuta-juta penonton di seluruh dunia menyaksikan menerusi televisyen atau secara online, Bush yang ketika itu Presiden AS dua kali terpaksa mengelak kasut yang dilemparkan Muntazer ketika sidang media di ibu negara Iraq itu.


Tindakan Muntazer itu memalukan Bush dan Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki, yang berdiri di sebelah bekas pemimpin AS itu.



Bagaimanapun, kebanyakan penonton, termasuk di Amerika Syarikat, memuji keberanian wartawan Iraq itu. - Reuters

Selasa, 15 September 2009

Tidak Takut dan Tidak Cintakan Tuhan Asas Kejahatan


Penyakit paling besar yang menimpa dunia hari ini tetapi orang tidak anggap ianya sebagai penyakit dan mungkin orang Islam pun tidak menganggapnya sebagai penyakit ialah tidak takut dan tidak cinta Tuhan. Tidak takut dan tidak cinta Tuhan adalah penyakit besar yang sedang melanda dunia.



Orang yang tidak takut dan tidak cinta Tuhan, kalaupun dia tidak mengganggu orang lain, dia tetap dianggap jahat. Itu mengikut pandangan Tuhan. Sedangkan mengikut pandangan manusia, selagi kejahatan itu belum dilahirkan, itu belum dianggap jahat. Namun di sisi Tuhan tetap dianggap jahat sebab asas kejahatan itu sudah ada pada dirinya. Mengapa? Ini kerana:


1. Mudah Terdedah dan Terjebak Kepada Kejahatan


Bila seseorang itu tidak takut dan tidak cinta Tuhan ertinya jati diri orang itu sudah roboh. Dengan kata-kata yang lain, ketahanan dirinya sudah roboh. Bila ketahanan sudah roboh, mudahlah kejahatan-kejahatan itu masuk kerana asas atau denak untuk melakukan kejahatan itu sudah wujud.


Bila orang tidak takut Tuhan, dia tidak takut hendak buat jahat dengan makhluk Tuhan. Bila orang tidak cinta Tuhan, automatik dia tidak cinta dengan makhluk terutama manusia. Sebab itu sepertimana yang dikatakan tadi, kalau dia belum ganggu orang pun, tetapi asas atau benih kejahatan sudah ada dalam dirinya. Jati dirinya sudah tumbang. Pintu kejahatan sudah terbuka luas. Hanya menunggu hendak buat atau tidak.


2. Ikut Jahat Atas Kejahatan Orang Lain.


Bila tidak takut dan tidak cinta Tuhan, kadang-kadang dengan kejahatan orang lain dia pun ikut jahat. Contohnya: Katalah dalam pergaulan, ada kawan-kawan yang buat silap. Kawan itu mengata dan menghinanya. Dia tidak tahan dan tidak sabar. Dia pun mengata dan menghina. Ertinya dengan kejahatan orang, dia pun ikut jahat disebabkan jati dirinya sudah terdedah. Padahal asalnya orang lain yang buat jahat. Patutnya kalau orang buat jahat, biarlah orang itu sahaja yang jahat. Tetapi dia tidak tahan. Dengan kejahatan orang, dia pun ikut buat jahat sama.


Berbeza dengan orang yang takut dan cintakan Tuhan, hatinya bersih daripada benih kejahatan. Bila benih kejahatan tidak ada, tidak mungkin benih itu akan tumbuh dan subur. Boleh tumbuh dan subur itu kalau ada benihnya. Kalau dibaja, akan suburlah ia tetapi kalau benih pun tidak ada, tidak mungkin akan subur. Bila ada perasaan takut dan cintakan Tuhan, macam-macam kejahatan tidak jadi hendak masuk.


Contohnya:


- Katalah kita seorang suami. Suatu hari kita balik ke rumah pukul 12 malam. Bila ketuk pintu dan beri salam, isteri tidak bangun-bangun. Setelah lama mengetuk, barulah dia buka pintu. Apa hati kita kata? "Mungkin dia mengantuk. Takkanlah orang mengantuk tidak dimaafkan." Kita masih boleh lapang dada. Tapi kalau tidak takut dan tidak cinta Tuhan, kalaupun bukan penampar yang naik ke muka isteri, sudah tentu kita marah-marah dan mengamuk dengan isteri.


- Kita bergaul dengan kawan-kawan. Tiba-tiba ada orang buat jahat terhadap kita. Dimakinya kita. Hati kita bersangka baik, "Dia tidak perasan agaknya. Dia tersilap agaknya." Ataupun kita takwilkan, "Dosa apa yang aku buat sampai Tuhan hukum. Sampai kawan boleh buat jahat begini kepada aku. Kawan baik pula tu. Ini mesti ada dosa aku yang Tuhan hendak qisaskan." Bila sudah ada takut dan cintakan Tuhan, kita boleh berlapang dada dan berbaik sangka. Sebaliknya kalau tidak takut dan tidak cinta Tuhan, tentu timbul pergaduhan, sakit hati dan dendam.


Daripada dua contoh di atas, kalau kita kaji secara halus atau tersirat, kita akan dapati pula bahawa:


1. Setiap perkara yang kita tidak suka yang berlaku pada kita adalah disebabkan dosa-dosa kita sendiri.


Oleh kerana Tuhan sayang kepada kita sebagai hamba-Nya, kesalahan kita itu cepat dibalas sebagai penghapusan dosa. Dalam kitab ada menceritakan kisah satu keluarga yang mana si suami adalah seorang tauke emas. Dia keluar pagi, malam baru balik. Suami isteri ini orang beragama. Mereka ada orang gaji iaitu seorang lelaki yang baik.


Suatu hari sewaktu si suami tiada di rumah, orang gaji itu telah menghulurkan satu barang kepada isteri tuan rumah dari sebalik pintu. Mereka tidak memandang satu sama lain. Entah macam mana sewaktu menghulur barang itu, orang gaji itu telah memegang tangan puannya. Perempuan itu dapat merasa orang gaji itu memegang tangannya dengan bernafsu. Perempuan itu tidak marah tetapi dia fikir, dosa siapa yang menyebabkan perkara itu berlaku. Adakah dosa dia atau dosa suaminya.


Bila suaminya pulang, dia pun bertanya, "Saya minta abang jangan bohong. Waktu di kedai emas, apa yang berlaku?" Suaminya itu orang yang takut Tuhan. Dia berkata, "Tadi abang ada tersilap. Syaitan menggoda abang. Ada perempuan beli cincin, abang sarungkan cincin dan abang pegang tangannya dengan bernafsu." Perempuan itu pun berkata, "Patutlah saya kena hukum, abang pun kena hukum. Orang gaji yang baik itu pegang tangan saya. Ini hukuman pada abang." Inilah cerita dalam kitab. Kadang-kadang kerana Tuhan sayang seseorang itu, Tuhan tidak biar lama kesalahannya. Tuhan hukum dengan segera supaya dia terlepas daripada hukuman di Akhirat kelak.


Bilamana orang sudah takut dan cintakan Tuhan, ertinya ketahanan dirinya atau jati dirinya sudah wujud.


2. Gejala masyarakat payah hendak dibanteras kerana orang yang hendak baiki kejahatan pun sama-sama jahat.


Di sini baru kita tahu rahsia mengapa gejala dalam masyarakat payah hendak dibanteras. Ini kerana orang jahat dan orang yang hendak baiki kejahatan pun sama-sama jahat serta tidak takut Tuhan. Contohnya, antara murid dengan guru. Guru pening kepala dengan kejahatan murid seperti tidak ikut kelas, tidak berdisiplin, tidak buat kerja rumah, tidak hormat guru dan lain-lain. Dia fikir, "Jahat betul murid aku ini."


Kenapa dia rasakan muridnya jahat? Oleh kerana dia tidak buat kejahatan yang sama dengan kejahatan yang muridnya buat maka dia rasa muridnya jahat. Padahal sebenarnya dia sendiri buat kejahatan lain, maka Tuhan balas. Contohnya, guru tidak bergaduh tapi murid bergaduh. Kenapa dia tidak boleh mendidik muridnya agar tidak bergaduh? Ini disebabkan dia pun buat kejahatan. Cuma kejahatannya tidak sama. Di rumah, sekejap-sekejap dia tempeleng isteri atau sepak isteri. Jadi dia juga jahat. Bagaimana guru jahat hendak baiki murid yang jahat?


Jadi kalau hendak tangani kejahatan atau gejala sosial di kalangan pemuda pemudi, guru-guru, nazir atau menteri jangan hanya cari salah muda mudi. Selidikilah kejahatan sendiri dan bertaubat. Kalau terus bertindak sedangkan kita yakni menteri, guru besar, nazir, guru-guru tidak nampak kejahatan sendiri, maka Tuhan tidak akan tolong.


Oleh itu setiap orang yang hendak tangani gejala masyarakat, dia mesti fikir dulu apa dosanya. Dia mesti bertaubat dan meminta tolong dengan Tuhan. Setelah itu barulah berusaha menangani masalah. Di sini baru Tuhan akan tolong. Hari ini tidak berlaku begitu. Guru, guru besar atau menteri hanya nampak murid yang jahat dan tidak rasa dirinya jahat.


Begitulah juga kalau orang politik hendak baiki masyarakat. Masyarakat ada kejahatan sendiri manakala orang politik pula ada kejahatan sendiri. Mungkin dia tidak bergaduh macam masyarakatnya tetapi mungkin dia amalkan rasuah dan salah guna kuasa. Bagaimana orang jahat hendak baiki kejahatan orang lain?


Selama ini tidak pernah ada orang mengatakan segala kejahatan adalah berpunca dari manusia tidak takut dan tidak cintakan Tuhan, sekalipun ulama. Kalau ada orang yang memperkatakan pandangan yang sedemikian, mungkin dia dikatakan sesat hanya kerana pandangannya berbeza dari pandangan orang ramai. Ini perkara yang sangat tersirat. Tidak takut dan tidak cintakan Tuhan adalah asas kejahatan.


Bagi orang yang takut dan cintakan Tuhan, dia tidak cepat bertindak. Dia fikir dahulu. Mungkin kerana ada dosanya. Dia pun bertaubat. Kalau dia fikir-fikir tetapi dia tidak jumpa dosanya maka dia berkata kepada Tuhan, walaupun dia tidak jumpa dosanya dia tahu dia ada salah, jadi dia minta ampun. Setelah itu barulah dia minta Tuhan tolong dia. Sebab itulah Rasulullah itu, walaupun orang baling batu dan pasir padanya, dia doakan supaya orang itu diberi petunjuk.


Jadi kalau orang buat jahat pada kita, kita pun hendak bertindak balas, ertinya kita sama-sama jahat. Orang yang baik tidak terus bertindak. Yang paling baik, dia fikir, ada dosanya sehingga orang buat jahat padanya. Dia sentiasa baik sangka dengan Allah. Itulah kesan dari cinta dan takut pada Allah.


Justeru bagi orang yang hendak baiki masyarakat, tidak cukup sekadar buat akta dan peraturan. Akta itu benda luaran. Itu cara terakhir. Patutnya dia betulkan hati manusia dahulu supaya orang takut dan cintakan Tuhan. Mengapa perlu baiki hati dahulu? Ini kerana kejahatan datang dari hati yang tidak takut dan tidak cintakan Tuhan.


Contohnya:


- Kalau ada orang yang tidak mahu membantu jirannya yang miskin sedangkan dia tahu jirannya itu susah dan dia pula ada kemampuan, orang tidak akan berkata, "Tidak patut tangan orang itu tidak membantu." Tetapi orang akan kata, "Tidak ada hati perut orang itu."


- Kalau ada orang hasad dengki dengan orang lain, orang akan kata, "Jahat betul hati dia."


- Kalau orang tempeleng orang lain, kita tidak kata, "Sampai tangan orang itu." Kita akan kata, "Sampai hati orang itu."


Takut dan cinta Tuhan adalah ibu segala kebaikan. Manakala tidak takut dan tidak cinta Tuhan pula ibu segala kejahatan. Itulah jati diri yang sudah rosak. Cukup sekadar itu. Mudah-mudahan ia menjadi bahan berfikir untuk semua orang terutama guru-guru dan para pemimpin.

Minda Guruku

Isnin, 14 September 2009

Menggunakan Nikmat Di Jalan Tuhan

Marilah kita fahami secara umum maksud menggunakan nikmat di jalan Tuhan.


Pertama, cara mendapatkan nikmat itu mesti betul-betul menepati syariat. Nikmat itu didapati dengan cara yang halal dan bukan cara yang haram. Nikmat itu bukan didapati dengan cara mencuri, merampas atau menipu. Nikmat itu didapati dengan cara yang baik dan berhikmah. Nikmat itu didapati atas dasar ada keredhaan daripada orang yang memberinya. Kalau nikmat harta, didapati dengan jalan jual beli yang sah. Kalau nikmat ilmu, didapati dengan cara belajar dengan guru. Bagi orang muqarabin atau warak, mereka sangat berhati-hati dalam mengambil nikmat ini. Malah yang halal kalau tidak jelas halalnya, mereka tidak ambil. Mereka ini orang sangat takut dengan Tuhan sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah: “Tidaklah dinamakan taqwa itu sehingga seseorang itu meninggalkan sesuatu yang tidak salah kerana takut terjebak kepada hal-hal yang salah.”


Kedua, sudah mendapat nikmat, hendaklah dirasakan nikmat itu datang dari Tuhan. Meskipun kita dapat nikmat itu daripada orang dan kita berterima kasih kepada orang tersebut, hakikatnya semua nikmat itu adalah daripada Tuhan. Oleh itu, kenalah kita benar-benar merasakan nikmat itu daripada Tuhan. Dari sini, sepatutnya lahir berbagai-bagai rasa kehambaan dengan Tuhan. Kita rasa berterima kasih kepada Tuhan yang Maha Baik memberikan nikmatNya kepada kita. Rasa malu dengan Tuhan atas nikmatnya yang banyak kepada kita sedangkan apalah sangat diri kita ini di sisi Tuhan. Rasa tidak layak untuk mendapat nikmat, contohnya jika kita diberi jawatan, kerana kita bukan orang yang selayaknya. Rasa cemas mendapat nikmat, bimbang kita tidak dapat menggunakan nikmat ini di jalan Tuhan. Atau boleh sahaja kita lalai dan salahgunakan nikmat itu. Rasa takut dengan Tuhan, takut-takut nikmat itu adalah tanda kemurkaan Tuhan kepada kita. Justeru, nikmat itu tidak menjadi rahmat tetapi bertukar menjadi istidraj. Juga dari sini akan lahir berbagai-bagai rasa bertuhan seperti merasakan Tuhan itu Maha Pemurah, Maha Kaya, Maha Pemberi Rezeki dan Maha Adil.

Ketiga, nikmat yang kita dapat itu, hendaklah digunakan mengikut kehendak Tuhan. Di sini kena ada ilmu, jika tidak, kita tidak faham mana satu kehendak Tuhan, mana satu kehendak nafsu kita. Malah perlu juga ada pimpinan agar kita sentiasa terpimpin kepada Tuhan. Nikmat harta yang banyak yang kita dapat contohnya, sepatutnya kita ambil mana yang perlu sahaja. Mana yang selebihnya, sudah bukan keperluan, maka kita kembalikan kepada Tuhan. Kita berikan pada fakir miskin atau gunakannya untuk projek membangunkan keperluan umat Islam. Kemudian, dalam menggunakanlah nikmat itu Tuhan sudah mengingatkan kita supaya tidak membazir kerana orang yang membazir itu adalah kawan syaitan. Selain itu, apapun harta yang kita ada, bila cukup syaratnya untuk berzakat, hendaklah kita tunaikan kewajiban tersebut. Contoh lain, nikmat ilmu, janganlah kita gunakan untuk tujuan cari makan. Atau kita gunakan ilmu itu untuk tujuan bermegah-megah dan mencari glamour. Ini sudah tidak menepati kehendak Tuhan. Sekian.


Minda Global

Sumber Foto: Fred@SG

Jumaat, 11 September 2009

Mengenal Ulamak


Foto oleh : arzah1


Ramai orang di sana-sini memperkatakan tentang ulamak. Malah tidak kurang juga ada di antara mereka yang mengaku diri ulamak. Walhal, tidak pernah berlaku dalam sejarah, ulamak itu melantik diri mereka ulamak. Imam Syafie, sebagai contoh, rakyat yang mengakui dirinya ulamak tetapi dia sendiri tidak pula mengaku ulamak. Imam Ghazali pun begitu juga. Ramai orang cakap-cakap yang Imam Ghazali itu ulamak. Tapi bagi Imam Ghazali sendiri, tidak pula dia mengaku ulamak. Namun, apapun yang telah disebutkan tadi, ulamak itu bukan dinilai oleh orang ramai. Bukan juga dinilai oleh kerajaan. Lebih-lebih lagilah bukan dinilai oleh tuanpunya diri yang merasa dirinya ulamak. Kalau begitu bagaimana hendak kenal ulamak?



Ini boleh kita lihat dalam Al-Quran, Firman Allah yang bermaksud, "Hanya sanya yang takut dengan Tuhan itu ialah ulamak" - Al-Fathir:28. Dalam ayat ini, ada 2 perkataan penting yang boleh kita ambil. Pertama, ulamak dan kedua ialah takut. Maksud ulamak di sini ialah orang yang ada ilmu yakni ada ilmu dunia dan ilmu akhirat. Ada ilmu tentang Tuhan dan ada ilmu tentang syariat. Kemudian, dia itu takut dengan Tuhan. Kalau begitu kata Tuhan, iaitu ulamak mesti ada ilmu akhirat, ilmu dunia dan juga takut dengan Tuhan; maka datanglah perintah Allah melalui ayatNya yang bermaksud: "Hendaklah kamu bertanya (tentang akhirat, tentang dunia, ekonomi, masyarakat) kepada ahli zikir." (An-Nahl:43)


Rupanya, ulamak itu ialah ahli zikir. Ahli itu menunjukkan orangnya, dan zikir itu menggambarkan sifatnya. Ertinya, di sini, ulamak itu ilmunya mendarah mendaging. Tidak perlu buka kitab tetapi bila ditanya tentang ilmu Islam, dia boleh jawab. Bila ditanya tentang masyarakat Islam, keluar jawapannya. Itulah maksud mendarah mendaging. Ilmu yang ada difahami, dihayati dan dijiwai. Kalau baru waktu itu hendak buka kitab, itu merujuk kepada guru yang mengajar dan taklah disebut sebagai ulamak. Ada beza ahli zikir dengan ahli fikir. Ahli fikir, ilmunya sekadar di akal, tidak turun ke hati. Maksudnya ahli fikir ini sekadar tahu ilmu atau sekadar berteori-teori sahaja. Ilmunya hanya jadi bahan "mental-exercise". Ilmunya bertapak di akal, bukan di hati. Ilmunya tak mendarah mendaging, bermaksud tak difahami, hayati dan jiwai.


Mari kita perincikan maksud ahli zikir pula. Orang ini ialah yang cinta dan takutkan Tuhan. Ilmu yang ada padanya sudah mendarah daging. Kalau hatinya ibarat gudang, segala jenis barang ada di dalamnya. Hendak minta apapun, semuanya ada dalam gudang. Mintalah apa sahaja yang diperlukan, dia boleh jawab. Begitulah sekali diumpamakan ilmunya. Kalau kerajaan, rakyat, orang besar atau kecil, hendak bertanya, tanyalah dengan ulamak yang dikatakan ahli zikir ini. Jangan tanya kepada ustaz atau guru, sebab dia faham satu-satu bab sahaja. Merujuk pada ayat Al-Quran tadi, Allah tidak sebut tanya guru, tetapi jelas Allah sebut tanyalah Ahli Zikir. Hati ahli zikir ini kuat dengan Tuhan dan ilmunya mendarah daging. Orang seperti inilah yang diperlukan oleh Umarak (pemimpin). Umarak kena banyak bergantung kepada Ulamak untuk memimpin dan mencorak masyarakat. Sekian


Sumber: Minda Global

Khamis, 10 September 2009

Majlis Ulama Indonesia Haramkan Pengemis Jalanan

Sumber : Berita Harian

JAKARTA: Buat pertama kalinya selepas kemerdekaan, Majlis Ulama Indonesia atau MUI mengeluarkan fatwa bahawa meminta sedekah di jalanan adalah sesuatu yang haram.


Sumber Gambar: Basri Marzuki

Perbuatan meminta sedekah di ibu negara itu biasanya menjadi satu fenomena bermusim terutama pada Ramadan. Malah bulan puasa juga menjadi tarikan bagi sekumpulan peminta sedekah untuk memenuhi setiap penjuru di ibu negara itu.

Tahun ini sehingga hari ke-13 Ramadan hampir 1,500 peminta sedekah dengan kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak dari luar Jakarta dilaporkan ditahan pihak berkuasa bandar raya terbabit.

Keputusan ulama itu dibuat berikutan keputusan hampir sama dikeluarkan pihak berkuasa sivil untuk mengambil tindakan terhadap peminta sedekah dan juga mereka yang memberikan sedekah.

Fatwa MUI juga dibuat selepas langkah yang hampir sama diambil oleh Persatuan Ulama Madura (Jawa Timur) pada pertengahan Ogos lalu.

Bagi kebanyakan ulama Islam perbuatan meminta sedekah akan menyebabkan malas. Ketua MUI Jakarta, Amidan berkata fatwa terbabit adalah bertujuan menghukum mereka yang mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang lain untuk mendapatkan wang.


“Sebilangan peminta sedekah mempunyai pendapatan mingguan lebih tinggi daripada pekerja kolar putih,” kata Amidan.

Beliau menolak bantahan daripada peminta sedekah dengan menyifatkan bahawa perbuatan meminta sedekah tidak diperkenankan dalam Islam.

“Memberi adalah lebih baik daripada menerima dalam Islam,” katanya.

Keputusan MUI itu turut mendapat pandangan yang berbeza di Indonesia. Ada yang menyukai langkah itu manakala yang lain berkata ia menghalang orang ramai daripada bersedekah sepanjang bulan Ramadan dan disifatkan sebagai idea yang tidak baik.


Dua pertubuhan Islam penting Indonesia, Nahdathul Ulama (NUI) dan Muhammadiyah menyambut baik keputusan ulama berkenaan.

Media tempatan melaporkan kebanyakan peminta sedekah bermusim datang dari utara Jawa dan Tegal di Jawa Barat. Mereka sebenarnya tidak miskin, hidup dalam rumah yang baik di bandar atau kampung mereka. - Agensi

Selasa, 8 September 2009

Ustaz Azmil Mustafa (Bekas Pelakon "Ali Setan")

Sumber Berita: Harakah Daily

"Waktu itu saya baru balik dari pub, jadi apabila buka TV ada siaran terjemahan al-Quran dan doa tutup siaran. Masa itu saya perhati terjemahan tersebut dan saya rasa Allah hebat. Saya terus memuji Allah, tapi cakap Inggerislah (ketawa)"AZMIL MUSTAFA (bekas Pelakon Filem 'Ali Setan').



BERSEMUKA bekas pelakon 'Ali Setan', Haji Mohd Azmil Dato' Mustapha, bagai tidak percaya bahawa watak nakal dalam filem tersebut telah berubah sama sekali. Berjubah putih, berjanggut, riak wajahnya cukup menggambarkan ketenangan dikecapinya. Berbual dengannya seolah-olah mendengar ceramah, yang kini menjadi rutin hariannya. Ikuti temu bual wartawan Harakah, ANIS NAZRI dengan Azmil, di kediamannya di Shah Alam baru-baru ini.


HARAKAH : Bila mula berubah dan berhenti berlakon?


AZMIL: Saya berhenti berlakon tahun 1998. Tapi baru-baru ini, saya berlakon filem Puteri Gunung Ledang (PGL) kerana ditawarkan oleh Tiara Jacquelina. Lagipun watak yang diberikan sebagai seorang pendakwah. Itupun saya berat nak terima. Saya bagi 10 syarat yang remeh supaya saya tidak berkata tidak. Nak dijadikan cerita, mereka terima syarat saya, jadi saya tiada pilihan. Sedangkan saya rasa, orang lain tak akan setuju syarat-syarat saya itu. Saya buat kajian tentang watak itu. Memang dia pendakwah serta banyak mengislamkan orang di Nusantara.


Apa pendorong kepada perubahan?


Semuanya kerana Allah. Ia jadi sekelip mata. Saya suka buat perbandingan macam main bola sepak. Main bola sepak ni, 90 minit. Tapi dalam seminit ketika masa tambahan itu, macam-macam boleh jadi. Keputusan boleh berubah daripada 0-0 kepada 1-0. Saya juga macam itu, dalam sekelip mata berubah. Saya bermula dengan memuji Allah. Saya puji dengan ikhlas walaupun waktu itu saya jahil. Saya masih ingat, tahun 1979. Kebetulan masa itu saya masih jahil. Perkara pertama yang saya lakukan apabila sampai rumah, buka TV. Waktu itu saya baru balik dari pub, jadi apabila buka TV ada siaran terjemahan al-Quran dan doa tutup siaran. Masa itu saya perhati terjemahan tersebut dan saya rasa Allah hebat. Saya terus memuji Allah, tapi cakap Inggerislah (ketawa). Wow! Allah is 'great'! Macam-macam la keluar dari mulut saya. Akhirnya, ia menjadi amalan saya. Setiap malam saya mesti tengok siaran tu. Kalau keluar malam pun, saya akan bergegas balik sebab nak kejar siaran itu.


Apa reaksi rakan-rakan ketika itu?


Kawan-kawan saya terkejut. Tapi waktu itu saya belum berubah sepenuhnya. Jadi kawan-kawan selalu perli saya. Macam-macam la mereka kata...kepala senget, nak tengok Quran. Lebih kurang gitulah (ketawa). Lepas pada itu, saya jumpa seorang ustaz dan diajar cara untuk bertaubat. Saya buat taubat nasuha. Saya dalami agama, belajar sembahyang. Saya memang tak tahu lansung sembahyang ni. Baca Quran merangkak-rangkak. Baca Fatihah pun, buka buku lagi...itupun tulisan rumi. Tapi saya istiqamah. Lama-lama ia makin meningkat. Saya ingat lagi dulu saya baca surah Yassin ambil masa dua jam. Lepas solat Subuh, saya mula baca. Apabila habis sedar-sedar dah pukul 8.30 pagi. Gara-gara baca merangkak la ni. Umur dekat 30 tahun, baru saya hafal al-Fatihah. Alhamdulillah, sekarang dah okey.


Masih membaca?


Sekarang masih membaca. Saya penuhi masa dengan membaca al-Quran. Saya dah tingalkan dunia seronok-seronok ni. Saya dah banyak buang masa waktu muda dulu.


Saya suka berseronok, jadi saya nak tebus semuanya.


Berubah secara drastik, atau 'slowly'?


Dulu saya belajar di negara orang kafir, hidup mengikut budaya kafir. Apabila saya dah mendekati Allah, baru saya tahu apa yang saya buat selama ni salah. Sebab tu saya tinggal terus, bukan 'slowly'. Saya tak boleh 'slowly'. Kalau 'slowly', saya tak tahu saya sempat atau tidak. Kita tak tahu bila kita mati. Apabila dah timbul kesedaran, buang terus zaman lampau kita, jangan ada rasa cinta pada kehidupan lama kita yang sesat.


Hubungan dengan rakan-rakan hiburan?


Saya berhenti terus, tak keluar langsung. Putus hubungan dengan kawan-kawan dalam dunia hiburan. 'Member' baik pun saya tak jumpa atau hubungi. Kalau jumpa setahun sekali waktu raya pun dah cukup baik. Kadang-kadang tak jumpa pun sebab bagi saya, kalau saya masih terus bersama dengan mereka tak mustahil saya akan kembali semula. Jadi saya ambil keputusan tinggal semuanya.


Dah berani keluar berjumpa orang?


Sekarang dah berani. Dulu memang langsung tak keluar sebab takut terpengaruh. Pengaruh syaitan ni kuat. Setakat ni, pengaruh jahat selalu menang berbanding pengaruh baik.


Perkembangan terkini setelah meninggalkan dunia lakonan?


Sejak setahun kebelakangan ini saya banyak menerima jemputan untuk berceramah, dan lebih kerap dua, tiga bulan kebelakangan ini. Saya tidak membuat sebarang pekerjaan lain kerana sudah tak sempat.


Selain berceramah?


Saya sedang membuat perancangan untuk ke Syria, menuntut ilmu. Sebelum itu, saya buat solat hajat untuk memilih mana-mana destinasi. Kemudian saya diilhamkan untuk ke Syria dan Yaman. Jadi, saya pilih Yaman. Kebetulan saya berjumpa dengan seorang ustaz yang mengatakan kita kena buat istikharah jika mempunyai pilihan. Jadi saya pun buat istikharah, dapat petunjuk ke Syria. Empat kali istikharah, masih diilhamkan Syria. Jadi, saya buat keputusan ke Syria. Dua tahun lepas saya berpeluang ke Syria, dapat rasa satu ikatan istimewa berada di sana. Balik dari sana, saya ditawarkan membuat rumah anak yatim, yang mengambil masa setahun untuk ditubuhkan. Tapi akhirnya saya tarik diri kerana cara saya dan rakan kongsi berbeza, kerana dia berasal dari England dan tak izinkan saya berceramah. Jadi, saya ambil keputusan tarik diri daripada bergaduh.


Pernah bisnes sebelum ni?


Macam-macam bisnes saya buat. Rugi juta-juta. Pertama, mungkin Allah tak izinkan. Saya juga muhasabah diri. Yang saya ingat, saya pernah kata...kalau ada duit, saya buat segalanya. Saya jual barang keperluan agama, seperti tasbih, sejadah, buku-buku agama, kaligrafi Arab. Tapi saya tak sebut 'kalau Allah izinkan...' Agaknya sebab itulah bisnes saya tak berjaya. Adalah hikmahnya dan setakat ni saya nampak rezeki saya pada ceramah.


Perasaan setelah meninggalkan dunia hiburan dan berkecimpung dalam dakwah?


Ketenangan yang saya rasa tak dapat nak diceritakan. Tak boleh nak nilai. Tak boleh nak dibandingkan dengan duit yang dulunya saya pegang juta-juta. Duit boleh habis, tapi ketenangan yang saya rasa sekarang, saya tak mahu jual biarpun orang bayar berjuta-juta. Saya juga rasa satu perkembangan yang sangat baik bagi saya ialah apabila saya berceramah ni, ilmu saya bertambah. Saya membaca, tanya ustaz-ustaz kerana saya bukan latar belakang agama. Jadi, saya lebih mengenali Allah sejak berceramah ni.


Alhamdulillah, sambutan orang terhadap ceramah saya pun bagus. Maklumlah, 'setan' datang ceramah. Kalau ulama ceramah, tak ramai datang. Tarikan setan memang kuat (ketawa).


Topik apa yang selalu disebut ketika berceramah?


Kalau berceramah, saya lebih suka mengingatkan diri saya dan umat Islam lain supaya membangunkan semula Islam, kerana hari ini pemikiran dan seluruh kehidupan kita dijajah oleh orang kafir. Islam tiada sempadan, hanya orang kafir yang meletakkan sempadan dan jajahan, dan kemudiannya kita ikut. Orang kafir dah kuasai minda kita, kehidupan kita, hingga orang Islam hari ini melakukan perkara yang menjauhi diri daripada Allah. Tetapi semuanya dalam keadaan tidak sedar kerana sudah biasa ikut hukum orang kafir hingga tak rasa besalah langgar perintah Allah. Hukum Allah ni kena ikut setiap masa, bukan dalam solat semata-mata. Kadang tu, dalam solat je ikut Allah, lepas solat ikut balik cara kafir. Itu kesedaran yang perlu ditimbulkan untuk umat Islam.


Banyak menerima jemputan, selain PAS?


Saya dapat jemputan daipada RTM, buat rakaman dengan Pahang FM. Juga buat untuk jabatan agama Islam. Saya tidak mengehadkan kerana saya buat kerana Allah Taala, jadi tiada kompromi tentang itu. Bagi saya, memasuki pilihan raya ni satu kompromi, bagi sayalah. Kalau nak kuasa, minta pada Allah. Bukan minta pada sistem yang disediakan orang kafir. Bagi sayalah...(ketawa).Pilihan raya itu sistem orang kafir yang kita ikut. Lagi pun, jelas berlaku dalam negara yang amalkan politik, apabila parti Islam menang, mereka tetap tidak dapat berkuasa. Perkara ini berlaku di Algeria, Maghribi, Turki, Lubnan, Palestin. Hamas memang pun masih tak boleh berkuasa. Sistem orang kafir ni tak akan bagi Islam ambil kuasa.


Pernah terima tentangan sejak berdakwah?


Apabila saya bercakap agak lantang, ada orang yang labelkan saya ekstrim. Pernah suatu ketika dulu, mikrofon masjid ditutup apabila saya bercakap lantang. Ini orang-orang yang taat pada perlembagaan negara berbanding perlembagaan Allah. Perlembagaan itu perlembagaan kafir Lord Reid. Saya pegang kukuh, taat pada pemerintah selagi dia tidak melanggar hukum Allah. Kalau dah langgar, tak perlu lagi kita taat padanya


Cenderung pada politik?


Saya tidak bercakap atas dasar politik. Saya bercakp atas dasar Allah, ke jalan Allah. Bagi saya, Umno, PAS, KeADILan ni macam satu pasukan bola sepak. Umno sebagai Manchester United, PAS Chelsea, ADIL Liverpool. Padangnya sama...stadium. Pengadil sama, SPR. Sebab itu, saya pilih bercakap atas dasar agama semata-mata.


Bagaimana melihat umat Islam hari ini?


Saya sedih sebenarnya melihat orang Islam bergaduh, atau berselisih pandangan sesama Islam. Soal kecil pasal wajib baca qunut, ada yang kata sunat, tangan perlu letak di perut, wajar letak di dada. Benda-benda macam itu. Kita sesama Islam pertikai...tapi dalam masa sama biarkan saja orang kafir buat sesuka hati. Sedangkan merekalah (kafir) yang perlu kita musuhi. Kita ni terlalu banyak kelemahan. Dari segi kehidupan. Begitu juga bahasa. Dulu kita guna bahasa Arab sebagai bahasa sandaran seperti ilmu, khabar, akhlak, warta, Isnin, Selasa. Sekarang dah jadi integrasi, dominasi, automobil...semua ni dari bahasa Inggeris. Kita jadi makin jauh dengan Allah. Ada orang baca Quran, bertajwid, berlagu tapi tak tahu makna. Apa semuanya tu? Kita tak boleh ambil Islam ni secebis sana, secebis sini. Kena ambil seluruhnya.


Soal keluarga. Menjadi bapa tunggal. Kisah di sebaliknya?


Saya berkahwin dua kali. Pertama, bercerai kerana tak boleh terima saya sebagai hak masyarakat. Jadi artis ni, kita jadi hak orang ramai. Jadi, dia tak boleh terima keadaan itu. Bertahan lima tahun saja. Ada anak perempuan seorang, dah umur 21 tahun. Saya jarang jumpa anak saya tu, sebab mak dia tak bagi jumpa. Tak apalah, saya reda. Kuasa Allah, dia masuk UiTM, dekat la untuk saya jumpa.


Dia tak nak duduk sekali?


Ada sekali nak duduk dengan saya. Saya tak kisah, tapi saya bagi syarat. Suruh pakai tudung, sembahyang. Sehari lepas itu, dia balik semula ke rumah mak dia. Tak tahan agaknya (ketawa). Ada kawan-kawan kata saya keras. Saya terpaksa keras sebab kalau tak keras, ia boleh merosakkan semua yang saya dah mulakan. Saya tak sanggup nak ambil risiko tersebut. Orang sekarang lebih sayang harta daripada keluarga. Tak berani nak tegur anak. Sayang tak bertempat. Anak-anak semua bawah jagaan saya. Dulu saya bagi anak-anak ke rumah mak mereka. Tapi masalah sekarang, apabila balik dari rumah mak mereka, anak saya dah tak pakai tudung. Tanya pasal sembahyang, adalah buat sekali sembahyang. Saya fikir tak boleh jadi macam ni. Jadi, sekarang dah tak pergi lagi ke rumah mak mereka. Saya izinkan mereka jumpa di 'club house', di kawasan rumah ni saja. Mujur waktu bercerai dulu saya letak syarat-syarat supaya jaga syarak kalau nak terus berhubung dengan anak-anak. Jadi saya ada hak untuk menyekat.


Perancangan masa depan?


Pertama saya nak belajar bahasa Arab di Syria, sebab ada satu tempat tu berjaya mengajar orang kafir berbahasa Arab dalam masa tiga bulan. Saya dah cuba kat sini, tapi tak menjadi. Yelah, dalam kelas cakap Arab, keluar kelas cakap Melayu balik. Mana nak jadi. Saya cadang lepas raya, itupun bergantung kepada kewangan. Mungkin setahun di sana dan saya akan bawa anak-anak saya semua ke sana. Kenapa? Sebab saya nak bantu mereka mendapat pendidikan yang lebih baik dan lebih awal daripada saya. Saya nak mudahkan mereka. Tak mahu mereka jadi macam saya.

Mungkin mahu menamatkan zaman duda?

Saya rasa perlu kerana dah tak cukup masa nak tumpu pada keluarga berbanding dulu. Saya dah banyak keluar sekarang, kasihan pada anak-anak selalu ditinggalkan. Tapi calon tak ada lagi...(ketawa)

Foto oleh: azroul777

Rabu, 2 September 2009

Saya berpurdah bukan kerana alim atau H1N1: Rozita Pengasas Sendayu Tinggi


Sumber : Sinar Harian

Saya berpurdah bukan kerana alim atau H1N1: Rozita
Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kesusahan lampau saya kerana banyak majalah menyiarkan cerita itu. Niat saya tiada lain, hanya mahu
 menjadi pencetus semangat untuk wanita di luar sana . Biar mereka tahu, sebagai manusia jangan terlalu mengharapkan orang lain untuk berjaya
dalam hidup.



Saya pernah jadi penoreh getah, sambil-sambil itu melakukan bermacam-
macam kerja kampung untuk menampung hidup. Malah pernah juga cuba
 berniaga kedai runcit, menyertai MLM dan bekerja kilang.
Apabila berjaya dengan perniagaan Sendayu Tinggi, saya mula sedar

manusia perlu ada tiga sifat jika mahu berjaya. Pertama, mereka mesti
mengorak langkah untuk memulakan perkara kecil dalam diri. Kemudian,
 jangan pernah berkata tidak sebelum mencuba kerana tiada apa
yang mustahil.Ketiga, jangan suka menyalahkan orang lain.


Nilai sepuluh sen


Bila sudah berjaya mengumpul kekayaan, tiap-tiap tahun saya
pergi umrah. Ada banyak peristiwa yang dialami di tanah suci namun
 ada satu pengalaman yang paling menarik. Ia berlaku ketika saya tidur
lalu bermimpi, satu suara menyuruh saya membaca beberapa ayat daripada
surah Al-Baqarah.


Sekembalinya saya ke tanah air, saya terus mencari tafsir Al- Quran. Saya
mendapati antara maksud ayat yang disuruh baca itu ialah mereka yang
mendapat hidayah namun jika memalingkan mukanya, mungkin tiada lagi
hidayah untuknya selepas itu.


Saya memang sudah lama terdetik mahu berganjak ke alam (fasa)
 lain sebaik sahaja usia mencecah 40 iaitu membuat persediaan untuk
mati.Saya mula melihat betapa kehidupan di dunia ini sangat singkat,
 indah dan perlu dinikmati. Saya sedih mengenang ramai orang yang
berjaya dalam perniagaan tetapi hidup tidak bahagia.


Ketika saya mengejar dunia, hidup dirasakan huru-hara. Pernah saya beli
sebuah kereta dengan harga RM1 juta. Setiap kali tiba di satu-satu tempat,
saya senang melihat banyak mata memandang dan berbisik-bisik kagum.
 Namun lama-kelamaan saya tersedar, rasa bangga melihat kekaguman
orang itu menimbulkan perasaan riak dan mahu menunjuk-nunjuk.

Jika syiling sepuluh sen terjatuh, pernah satu ketika saya tidak mahu
mengutipnya semula. Waktu itu saya memikirkan kelas sebagai seorang
jutawan. Tetapi hari ini, saya tidak mahu lagi bersikap begitu. Saya mahu
buang rasa riak, sebab nilai duit sepuluh sen itu besar nilainya pada
sesetengah orang dan tidak patut dibazirkan begitu sahaja.


Saya tidak pandai mengaji dan tidak tinggi ilmu agama. Jadi saya mengupah
seorang ustazah yang tinggal bersama di rumah ini untuk mengajar serta
seorang ustaz untuk berkongsi ilmu agama. Sehari setiap minggu, rumah saya
dibuka untuk orang ramai menyertai majlis ilmu yang dibuat di sini.


Impian saya yang masih belum tercapai ialah membina sebuah kompleks hasil
perniagaan. Di kompleks berkenaan saya mahu membangunkan aktiviti dakwah
di samping memberikan kehidupan kepada fakir miskin menerusi perkongsian
ideologi perniagaan.

Saya tidak mahu golongan susah yang saya bantu ini memandang saya sebagai
sumber kewangan. Saya tidak memberikan mereka ‘ikan’ tetapi ‘pancing’
untuk mengubah kehidupan. Caranya saya beri mereka produk untuk
dipasarkan. Saya juga mengambil kuih, kerepek dan lain-lain daripada
mereka untuk dijual.

Satu lagi impian yang sedang diusahakan, saya mahu bina sebuah rumah
perlindungan untuk anak yatim piatu dan mualaf. Rumah sudah ada, tenaga
pengajar pun tidak ada masalah. Cuma tinggal mencari bayi dan kanak-kanak
untuk dibesarkan dengan pendidikan akademik berserta ilmu agama di rumah
tersebut.

Kini mula berpurdah
Purdah ini sudah lima bulan saya pakai. Bukan sebab alim, dan bukan juga
sebab H1N1. Sebaliknya inilah antara cara saya menjaga hati daripada
dirasuk perasaan riak. Bila mengenakan purdah, tiada orang yang mengenali
saya jadi tiada lagi layanan istimewa yang biasa saya dapat.

Saya tidak malu untuk mengaku, selama ini memang saya pakai tudung tetapi
hati masih kotor. Ini kerana walaupun memakai tudung saya sering kalah
bila syaitan berbisik supaya bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai
status selaku pengasas produk kecantikan.

“Kau kenalah pakai baju yang menampakkan kelangsingan, barulah orang tahu
produk kau bagus” – itu juga antara bisikannya yang sering menewaskan
saya. Barangkali ketika itu saya antara wanita akhir zaman yang disebut
dalam hadis ‘menutup aurat tetapi masih bertelanjang’ .

Sebagai majikan pula, kadangkala saya memarahi pekerja kerana mahu
semuanya serba sempurna. Saya menjadi sungguh takut apabila tersedar dan
berfikir bagaimana pula saya di sisi majikan paling besar iaitu Allah
Taala? Dia pun berhak marahkan saya kerana sungguhpun solat, di mana zikir
dan amalan sunat bagi menyempurnakan lagi amalan kepadanya?

Syukurlah, perubahan yang dibuat melimpahkan bahagia dalam hidup.
Anak-anak (Nurhayati, Alif Syukri, Aiman Hazim, Nurazizah dan Nurain
Sufiyah) dan suami melengkapkan lagi dunia wanita ini.


Kini hari-hari saya lalui sambil meneguk kelazatan ilmu akhirat. Melayan
keletah anak-anak, mengulit orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong,
kari, limau purut dan pokok herba lain; juga melayan burung, ayam, lampam,
puyuh, puyu dan tilapia melengkapkan lagi kediaman bak syurga dunia yang
saya gelar Sorga Ammi.

Gambar Hiasan oleh: I love Mawaddah
Sesudah solat Subuh, tatkala berdiri di balkoni rumah menyaksikan kabus
berlalu dibawa angin sambil merenung kalam-kalam bukit , saya semakin
yakin betapa perlunya saya bersyukur menjadi hamba yang dilimpahi kasih
sayangNya.

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin