Selasa, 11 Ogos 2009

Orang Yang Kenal Tuhannya



Ada orang mengatakan yang dia kenal Tuhan. Ada orang mengatakan yang dia cinta Tuhan. Benarkah begitu? Sedangkan yang kata kenal Tuhan itu hanya boleh cerita tentang Tuhan. Menceritakan tentang Tuhan itu sebenarnya baru tahu tentang Tuhan. Belum tentu kenal lagi.


Setakat menceritakan, ramai yang bukan Islam boleh cerita tentang Tuhan. Malah Tuhan menjadi bahan kajian mereka. Apakah orang bukan Islam itu mengenali Tuhan? Untuk test orang itu kenal Tuhan atau tidak, kayu ukurnya cinta Tuhan. Maksudnya di sini, kalaulah orang itu benar-benar kenal Tuhan, sudah pasti dia akan jatuh cinta dengan Tuhan. Sebab kenal dengan cinta itu saling kait mengait. Tak kenal maka tak cinta. Sudah kenal pasti jatuh cinta.


Maksud kenal ini bukan boleh sekadar di bibir sahaja, sekadar menjadi sebutan. Atau sekadar cakap-cakap. Lebih baik daripada itu sekadar tulis-tulis. Yang mana ini semua datang dari hasil ingatan atau hafalan. Lebih baik daripada itu boleh menghurai sahaja sedangkan tiada penghayatan dan penjiwaan.Kerana itu kenal mesti mengenali daripada hati. Yang mana hasil kenal itu, jatuh cinta yang juga daripada hati. Kenal itulah yang membawa faham. Faham tentang Tuhan membuatkan seseorang itu membuat apa sahaja perkara di dunia ini sesuai dengan kehendak Tuhan. Faham sungguh apa kehendak Tuhan. Faham sungguh apa yang tidak disukai Tuhan. Faham bagaimana nak beradab dengan Tuhan.


Cinta itu pula membawa kepada takut. Takut sangat cinta itu terputus di tengah jalan. Takut sangat cinta itu tidak berpanjangan. Kalau boleh biarlah cinta itu berlama-lama sepanjang hayat, sepanjang masa. Janganlah cinta itu terhenti separuh jalan. Janganlah cinta itu tidak berbalas. Bila tidak berbalas ibarat bertepuk sebelah tangan. Begitulah hasil orang yang kenal, cinta dan takut Tuhan. Orang seperti ini adalah orang yang dekat dengan Tuhan. Orang seperti ini membuktikan cintanya dengan berkorban untuk Tuhan. Dia sanggup berkorban apa sahaja yang ada pada dirinya untuk Tuhan.


Malah cinta dan takut itu jugalah yang membuatkan dia sangat mengasihi dan menyayangi sesama makhluk Tuhan. Orang ini, dia mendapat gelaran ‘Arifbillah. Orang inilah yang dimaksudkan hadis, Hendaklah kamu bersama Allah, dan sudah pasti kamu tidak mampu, oleh kerana itu bersamalah dengan orang yang sudah dapat bersama Allah (Arifbillah). Kerana bila kamu bersama ‘Arifbillah, sama seperti kamu bersama Allah.


Sumber : Minda Global

Rahmat Dan Nikmat Tuhan Yang Tersembunyi

Sumber Foto: Group Ikhwan

RAMAI umat Islam merasakan rahmat
dan nikmat Tuhan itu kesihatan badan
Diberi murah rezeki, dianugerahkan anak,
mendapat pangkat tinggi
Rumah besar, banyak harta,
kereta mewah dan canggih
Padahal nikmat yang disebutkan
belum boleh menyelamatkan kita
Adakalanya ia merosak dan dan membinasakan kita
Kalau tidak di dunia, ia akan berlaku di Akhirat
Tapi ada rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi
Setengah orang tidak sedar bahawa itu
adalah rahmat dan nikmat
Rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi itu
banyak pula
Di antaranya kalau kita berdosa diingatkan
agar kita bertaubat dan bersedih dengan dosa
Di waktu kita lalai dengan-Nya disedarkan kita
Sekali-sekala disusahkan kita agar kita insaf
Adakalanya kesusahan itu untuk darjat dan pangkat
Selalu sahaja kita mengingati Dia
Dimasukkan di dalam hati kita sentiasa takut
kepada-Nya
Di samping itu rasa cinta kepada-Nya selalu ada
Digemarkan kita membuat kebaikan
dan dibencikan kita dengan kejahatan
Dijadikan kita boleh berlemah lembut dengan orang
Boleh meminta maaf dan boleh memberi maaf
Boleh beristiqamah dengan kebaikan
Inilah di antara rahmat dan nikmat Tuhan
yang tersembunyi
Kalau hendak bersyukur, bersyukur kerana
itulah yang lebih utama
Kerana rahmat dan nikmat yang tersembunyi itu
jarang orang dapat
Tidak seperti rahmat dan nikmat di atas tadi
Oleh itu pandai-pandailah menilai rahmat
dan nikmat
Agar syukur kita lebih sempurna dan tepat


Minda Guruku

Isnin, 10 Ogos 2009

Erti Sekular Atau Sekularisme

Foto: Oleh evissa

Saya tidak perlu membahas dan memperkatakan tentang erti
perkataan sekular ini dari sudut sejarah, siapakah tokoh yang
menuturkannya lebih dahulu, di zaman bila dan mengapa timbul
perkataan ini kerana itu semua tidak penting bagi kita.

Apa yang penting bagi kita, sebagai pegangan dan panduan
agar kita tidak terjebak oleh faham sekular atau sekularisme ini
ialah pengertian sekular itu sendiri mengikut pandangan Islam.
Oleh itu perbahasan secara falsafah serta merujuk kepada sejarah
dan tokoh-tokoh yang memperkatakan perkataan itu, tidak perlu
kita bawa di sini. Ditakuti artikel ini terlalu panjang. Jadi kita
hanya ambil yang perlunya sahaja untuk menjadi pegangan kita
bersama. Agar di dalam kehidupan kita, walaupun di dalam
bidang apa pun, kita tidak terjebak atau menempuh jalan sekular
ini.

Sekarang marilah kita menghurai faham sekular ini mengikut
pandangan Islam.
Faham sekular ialah mengendalikan urusan kehidupan di
dunia secara terpisah daripada agama, ia tidak ada hubungan
dengan Tuhan atau tidak ada hubungkait dengan Akhirat. Terpisah
ini tidak kira sama ada di bidang ekonomi, politik, pendidikan,
pentadbiran, kebudayaan, perhubungan dan lain-lain
lagi. Dengan kata-kata yang lain, faham sekular itu ialah faham
keduniaan semata-mata. Ia tidak ada sangkut paut dengan
Akhirat.

Ertinya, bagi orang yang berfaham sekular, hidup di dunia
ini hanya habis di dunia. Kalau untung pun hanya berlaku di
dunia. Kalau rugi pun hanya berlaku di dunia. Sama ada susah
atau senang, hanya di dunia. Ia tidak akan dipersoalkan lagi di
Akhirat. Dosa dan pahala tidak masuk kira di sini kerana
kehidupan itu hanya di dunia semata-mata.

Di dalam faham sekular, syariat tidak diambil kira. Syariat
tidak ada tempat dalam kehidupan. Tuhan tidak campur tangan
di dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian manusia
boleh buat apa sahaja. Yang penting mendapat untung. Yang
diperlukan adalah pembangunan dan kemajuan. Yang mustahak
mendapat kemenangan dan kejayaan walau apa cara sekalipun.
Walau terpaksa menghalalkan cara. Halal dan haram jangan
difikirkan. Pantang larang jangan diambil kira.

Mengikut fahaman sekular, dunia bukan jambatan untuk
Akhirat atau bukan tanaman untuk Akhirat. Segala apa yang
berlaku di dunia ini hanya habis di dunia semata-mata. Tidak
timbul soal dosa dan pahala dalam faham sekular. Tidak ada
kehidupan di Akhirat atau tidak ambil pusing kehidupan di
Akhirat. Kalaupun percaya dengan hari Akhirat, tetapi acuh
tidak acuh. Seolah-olah Akhirat itu hendak dilupakan atau tiada.
Bahkan sesetengah orang tidak senang dengan kehidupan
Akhirat. Sebut sahaja Akhirat, hati benci, mulut mencemik.
Orang yang menyebut Akhirat dirasakan kolot dan sudah
ketinggalan zaman.


GOLONGAN-GOLONGAN SEKULAR
Setelah kita menghurai dan membahaskan erti faham sekular
atau sekularisme maka di sini kita faham bahawa mereka yang
berfaham sekular itu boleh dibahagi kepada beberapa kategori.
Di antaranya seperti berikut:

1.
Golongan yang berfaham sekular sejati (pure)
Golongan yang tidak percaya langsung adanya Tuhan dan
adanya kehidupan Hari Akhirat. Agama dianggap candu
kepada manusia. Ia adalah bikinan manusia. Wujudnya
alam ini adalah secara nature atau semula jadi. Orang atau
golongan yang berpegang dengan faham ini adalah orang
yang berfaham komunis, atheis atau free thinker. Golongan
ini adalah orang yang berfahaman sekular yang sejati atau
yang pure.

2.
Golongan orang-orang yang berfaham sekular yang tersesat
Golongan orang-orang kafir yang percaya dengan Tuhan,
dengan hari Akhirat dan percaya dengan agama tetapi tidak
kenal Tuhan. Keyakinannya dengan hari Akhirat tidak
tepat. Agamanya tersesat. Kehidupan dunianya terpisah
dari agama. Dalam urusan kehidupan di dunianya, seolaholah
Tuhan tidak campur tangan. Inilah golongan faham
sekular yang tersesat.

3.
Golongan orang-orang Islam yang yakin dengan wujudnya
Tuhan
Golongan orang-orang Islam yang yakin dengan wujudnya
Tuhan dan pengenalannya tentang Tuhan tepat. Percaya
dengan hari Akhirat secara tepat. Namun Islamnya hanya
di sudut ibadah. Persoalan kehidupan seperti ekonomi,
politik, pendidikan, perjuangan dan lain-lain tidak boleh
dicampur aduk dengan Islam kerana kejahilan. Syariat Islam
tidak ada tempat di dalam kehidupan kecuali di sudut
ibadah sahaja. Selain ibadah, mereka boleh menerima apa
sahaja pandangan ideologi atau akal fikiran. Itulah golongan
sekular disebabkan fasik.

4. Golongan sekular disebabkan zalim
Orang Islam seperti golongan ketiga tadi tetapi yakin
bahawa Islam itu adalah agama yang syumul. Ia adalah agama
seluruh kehidupan. Islam adalah agama ibadah, agama
politik, agama pentadbiran, agama ekonomi, agama pendidikan
tetapi mungkin kerana takut dengan golongangolongan
tertentu, atau tidak sanggup menerima risiko yang
berat, kerana kepentingan peribadi atau kerana malu dan
takut dituduh kolot maka berlakulah syariat Islam ditinggalkan
melainkan di sudut ibadah. Di aspek-aspek kehidupan
yang lain, syariat Islam tidak menjadi disiplin dan
peraturan. Inilah golongan sekular disebabkan zalim.

5.
Golongan sekular yang tertukar nawaitu
Orang Islam yang mengerjakan ibadah, berjuang, ber
ekonomi, berpendidikan, berdakwah, berpolitik, berhubung
dan lain-lain lagi walaupun mengikut syariat tetapi bukan
kerana Allah Taala. Semua itu dibuat kerana riyak, ujub,
nama, glamour, pangkat, wang ringgit, sama ada disedari
atau tidak. Oleh kerana itu pahalanya tidak sampai di Akhirat.
Itulah golongan sekular disebabkan tertukar nawaitu
atau niatnya.

6.
Golongan sekular yang disebabkan adanya unsur-unsur
sekular atau mementingkan dunia
Golongan yang lebih halus lagi daripada itu ialah apabila
seseorang Islam itu, segala usaha-usahanya mengikut syariat
tetapi oleh kerana terlalu membesarkan kehidupan dunia
daripada kehidupan Akhirat, dia tidak sanggup mengeluarkan
zakat lalu menjadi bakhil. Dia tidak suka membuat
kebaikan, tidak suka menolong orang, tidak suka bersedekah,
suka mengumpul harta sahaja dan menjadi tamak.
Itulah golongan sekular disebabkan adanya unsur-unsur
sekular atau mementingkan dunia.

Begitulah erti faham sekular atau sekularisme mengikut
pandangan Islam yang saya faham secara ringkas. Jadi faham
sekular ini hanya mementingkan dunia semata-mata. Percaya
dengan hari Akhirat tetapi tidak mengambil berat terhadap
Akhirat. Sengaja melupa-lupakan atau acuh tidak acuh dengan
Akhirat kerana hati telah terpaut dengan kehidupan dunia.
Apatah lagi kalau seseorang itu tidak percaya langsung dengan
hari Akhirat. Kehidupan itu hanya di dunia semata-mata. Lebih lebih
lagilah orang itu berfaham sekular yang sejati atau orang
yang berfaham keduniaan yang benar-benar pure.
Oleh yang demikian di akhir zaman ini, majoriti penduduk
dunia ini berfaham sekular. Sama ada mereka berkeyakinan
bahawa kehidupan ini hanya habis di dunia atau yang masih
yakin dengan kehidupan di Akhirat tetapi dari segi hati dan
sikapnya, dia lebih mementingkan kehidupan di dunia dari
kehidupan Akhirat.


Di sini jugalah bahawa umat Islam pun telah ramai yang
menganut faham ini. Kalau tidak berfaham sekular yang tulen
pun setidak-tidaknya tempias-tempiasnya telah menyerang
umat Islam. Di sinilah rahsianya mengapa umat Islam tidak
boleh bersatu. Hati umat Islam telah dirosakkan oleh faham
sekular atau faham sekularisme.

Sekianlah pandangan saya ini. Kalau ada kebenarannya,
maka ia adalah daripada Allah Taala yang Maha Mengetahui.
Kalau ada salah dan silapnya maka ia adalah daripada kelemahan
saya sendiri
Minda Guruku

Bersyukurlah Dengan Iman Dan Islam


BERSYUKURKAH engkau dengan nikmat Tuhan?
Kalaupun engkau bersyukur, tapi dengan nikmat
yang kecil sangat
Engkau bersyukur dengan nikmat yang murah
yang engkau usaha dan minta
Mungkin engkau bersyukur dengan sebab pangkat
yang engkau dapat
Boleh jadi juga dengan harta yang engkau dapat
Adakalanya mungkin disebabkan dapat anak atau badan sihat
Mengapa engkau bersyukur dengan Allah Taala
dengan anugerah Tuhan yang murah sangat?
Tapi pernahkah engkau bersyukur dengan Tuhan
kerana mendapat iman dan Islam?
Sudahkah engkau bersyukur dengan nikmat
kewujudan engkau oleh Tuhan?
Iman dan Islam nikmat yang tidak ada tandingnya
Kewujudan engkau tanpa kita minta juga nikmat
yang besar dari Tuhan
Mengapa engkau tidak pandang besar dengan
nikmat iman dan Islam?!
Mengapa engkau tidak terfikir untuk bersyukur kepada Tuhan?
Kerana kewujudan engkau di dunia ini?
Bahkan engkau tidak terasa apa-apa dengan iman dan Islam
Engkau tidak terfikir pun keberadaan engkau sebagai nikmat
Harta yang engkau nampak besar
Pangkat yang engkau nampak besar dan hebat
Yang kecil engkau nampak besar,
yang besar engkau nampak kecil
Kalau nikmat pun engkau tidak kenal
Jika nikmat pun engkau tidak dapat menilai
Lebih-lebih lagi Tuhan engkau belum kenal


Minda Guruku

Jumaat, 7 Ogos 2009

Ikhlaskah Kita?


Dari Muaz, Rasulullah SAW bersabda:

“Puji syukur ke hadrat Allah SWT yang menghendaki
agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya, wahai
Muaz!”

Jawabku, “Ya Sayidil Mursalin.”


Sabda Rasulullah SAW:
“Sekarang aku akan menceritakan kepadamu,
bahawa apabila dihafalkan (diambil perhatian)
olehmu akan berguna tetapi kalau dilupakan (tidak
dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai
hujah di hadapan Allah kelak.”

“Hai Muaz, Allah itu menciptakan tujuh malaikat
sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Setiap
langit ada satu malaikat yang menjaga pintu langit
dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga
pintu menurut kadarnya pintu dan keagungannya.

“Maka malaikat yang memelihara amalan si
hamba akan naik ke langit membawa amal itu ke
langit pertama. Penjaga akan berkata kepada malaikat
Hafazah: “Saya penjaga tukang umpat. Lemparkan
balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana saya
diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang
umpat.”

“Esoknya naik lagi malaikat Hafazah membawa
amalan si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya
berkata: “Lemparkan balik amalan ini ke muka
pemiliknya sebab dia beramal kerana mengharapkan
keduniaan. Allah memerintahkan supaya ditahan
amalan ini jangan sampai lepas ke langit yang lain.”

“Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke
langit
ketiga
membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga
langit berkata: “Lemparkan balik amalan ini ke
muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong.”

Rasulullah SAW meneruskan sabdanya:
“Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi
amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga
langit itu berkata: “Lemparkan balik amalan ini ke
muka empunyanya. Dia seorang yang ujub. Allah
memerintahkan aku menahan amalan si ujub.”

Seterusnya amalan si hamba yang lulus ke langit
kelima
dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad,
haji, umrah dan lain-lain tetapi di pintu langit
penjaganya berkata:
“Ini adalah amalan tukang hasad. Dia sangat
benci pada nikmat yang Allah berikan pada hamba-
Nya. Dia tidak redha dengan kehendak Allah. Sebab
itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan balik
ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki
dan hasad.”

Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata:
“Saya penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk
melemparkan balik amalan yang indah ini ke muka
pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang
lain. Kalau orang dapat musibah dia merasa senang.
Sebab itu amalan ini jangan melintasi langit ini.”

Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si
hamba yang dapat lepas hingga ke langit ketujuh.
Rupa cahaya bagaikan kilat, suaranya bergemuruh. Di
antara amalan itu ialah sembahyang, puasa, sedekah,
jihad, warak dan lain-lain.

Tetapi penjaga pintu langit berkata:
“Saya ini penjaga sum’ah (ingin masyhur). Sesungguhnya
si pengamal ini ingin masyhur dalam
kumpulan-kumpulan dan selalu ingin tinggi di saat
berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan
ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Allah
memerintahkan padaku agar amalan ini jangan
melintasiku.Tiap-tiap amalan yang tidak bersih kerana
Allah maka itulah riak. Allah tidak akan menerima
dan mengkabulkan orang-orang yang riak.”

Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan
membawa amal hamba yakni sembahyang, puasa,
zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan pendiam,
zikir pada Allah diiringi malaikat ke
langit ketujuh
hingga sampai melintasi hijab-hijab dan sampailah ke
hadrat Allah SWT.

Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan
semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh
yang betul-betul ikhlas untuk Allah.

Tetapi firman Tuhan:
“Hafazah sekelian, pencatat amal hamba-Ku, Aku
adalah pengintip hatinya dan Aku lebih mengetahui
apa yang dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan
amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan amalannya.
Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat
Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah
Maha Mengetahui.”

“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung
bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-
Ku atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan
pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi.”
“Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu
adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas orangorang
yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana
hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalnya
ini?”


“Laknat-Ku tetap padanya.”


Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat
yang mengiringinya pun berkata:
“Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu
dan laknat kami sekelian bagi mereka.
Dan semua yang di langit turut berkata: “Tetaplah
laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang
melaknat.”

Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini)
kemudian menangis teresak-esak dan berkata, “Ya
Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dari apa
yang diceritakan ini?”

Sabda Rasulullah SAW, “Hai Muaz, ikutilah Nabimu
dalam soal keyakinan.”

Muaz bertanya kembali, ‘Ya, tuan ini Rasulullah
sedangkan saya ini hanya si Muaz bin Jabal, bagaimana
saya boleh selamat dan boleh lepas dari bahaya
tersebut?”

Bersabda Rasulullah, “Ya begitulah, kalau dalam
amalanmu ada kelalaian maka
tahanlah lidahmu
jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah
dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah
mengangkat diri dan menekan orang lain.”

‘Jangan riak dengan amal supaya amal itu diketahui
orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan
dunia dengan melupakan akhirat. Kamu
jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada
orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takbur
pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan
akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis
dengan maksud supaya orang takut padamu. Jangan
mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan,
jangan merobekkan peribadi orang lain dengan
mulutmu kelak engkau akan dirobek-robek oleh
anjing-anjing jahanam.”

“Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Di
neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia.”
Muaz berkata, “Ya Rasuiullah, siapa yang tahan
menanggung penderitaan semacam itu?”

Jawab Rasulullah SAW, “Muaz, yang kami ceritakan
itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan
oleh Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua
itu,
kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu
mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku
kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu
sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu
pasti akan terhindar.”


Petikan Dari Karya Guruku

PERTEMUAN DENGAN RAJA SEGALA RAJA




SEMBAHYANG adalah ibu segala ibadah
Ibadah rasmi dari Tuhan kepada hamba-hamba-Nya
seluruhnya
Ia merupakan pertemuan rasmi
Lima kali sehari semalam dengan Allah
Ertinya pertemuan rasmi dengan Raja
yang Maha Agung, Raja Segala Raja
Umpama pertemuan rasmi raja manusia
Sesama rakyat jelatanya
Bagaimana keadaan kita, apa yang kita rasa
Apa persiapan yang sepatutnya?
Kita siapkan pakaian yang cantik
Kita bersihkan badan kita
Kita berwangi-wangian, pergi dengan kenderaan
sampai istana
Di istana kita duduk dengan penuh tertib
berhadapan dengan raja
Kita duduk dengan penuh tawadhuk
Bahu membongkok mata ke lantai dan khudhuk
Kita tidak pandang kiri dan kanan
Penuh bimbang, malu dan takut
Tidak ada seorang yang berani bercakap-cakap
Dan bersembang-sembang
Menunggu dengan penuh takut akan perintah raja
Apa titah raja, apa pesanan, apa amanahnya
Dan apa nasihatnya
Begitulah sembahyang, pertemuan dengan Allah
Secara rasmi, Ia adalah Raja Segala Raja
Raja yang bukan jenis manusia
Raja yang mempunyai Zat yang Maha Suci
daripada segala penyerupaan
Pengetahuan-Nya tembus, penglihatan-Nya tembus,
pendengaran-Nya tembus
Sepatutnya pertemuan kita lebih serius
Lebih beradab, bertertib dan takut
Di waktu itu kita menyediakan diri kita
Bersih lahir dan batin
Menunggu penyembahan itu dengan penuh takut
Malu, khusyuk, tadharuk
Takut dan malu hendak bercakap-cakap dan berbual
Kecuali yang ada hubungkait dengan Tuhan
Kita menyembah, seluruh fikiran, hati dan jiwa
Seluruhnya tertumpu kepada Tuhan
Fizikal ikut rukuk
Fikiran ikut rukuk, hati ikut rukuk
Fizikal ikut sujud, fikiran ikut sujud dan jiwa ikut sujud
Waktu berdiri dirasakan seolah-olah
kita berada di Padang Mahsyar
Sedangkan Tuhan sedang melihat
Aduh kecutnya perut, menggeletar sepatutnya jiwa kita
Di waktu itu sepatutnya tidak ada apa yang kita ingat
Kecuali sepenuh hati dan jiwa raga dan fikiran kita
hanya kepada Allah semata-mata
Tapi ramai manusia tidak begitu
Berhadapan dengan raja jenis manusia lebih terasa gerun,
malu dan beradab
Dari berhadapan dengan Tuhan pencipta manusia
Kerana manusia belum kenal Tuhan Khaliqnya
Minda Guruku

Khamis, 6 Ogos 2009

Dunia Yang Mempersona


ALANGKAH indahnya dunia ini
Di sudut mana pun dia mempesona
Makan minum lazatnya dirasa
Mempengaruhi fikiran dan jiwa
Perempuan cantik memperdaya
Banyak laki-laki yang binasa
Pangkat dan darjat menjadi rebutan
Kerana di sana ada habuan
Berfikirlah manusia siang dan malam ke arah itu
Segala tenaga dikerah mencapainya,
sekalipun letih kerananya
Sesungguhnya manusia telah menjadi hamba
kepada dunia
Di sanalah manusia dianggap mulia
Siapa tiada diperhina
Nafsu merangsang setiap waktu ke arah itu
Ditariknya kita, dituntunnya kita memburunya
Hingga kebanyakan manusia tidak mampu
menahan kemahuan nafsunya
Hilang pertimbangan, lupa agama,
porak-peranda manusia dibuatnya
Dibantu pula oleh syaitan
pendorong manusia memburunya
Syaitan membisik-bisik: Buatlah apa saja
yang menguntungkan
Terutama di masa muda jangan sia-siakan
Gunakan tenaga itu untuk keseronokan
Tua nanti bertaubatlah, Tuhan kan Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang
Begitulah bisikan syaitan
Terlupalah manusia dengan Tuhan
Syariat Tuhan diabaikan
Tuhan tidak diambilkira
Akhirat dibenci bahkan dilupakan
Siapa yang mengajak kepada Tuhan
dianggap ketinggalan zaman
Tenggelamlah manusia lemas
di dalam dosa
Minda Guruku

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin