Khamis, 6 Ogos 2009

Matlamat Hidup



Persoalan ini adalah persoalan yang mesti dijawab oleh semua orang dengan tepat dan berhati-hati. Tepat jawapannya, maka tepatlah matlamat hidup yang dipilih olehnya. Salah jawapannya, salah pulalah matlamat hidup yang dituju oleh seseorang. Melihat kepada kelompok manusia yang berbagai-bagai ragam dan nama, kita akan dapat mengagak secara kasar apakah tujuan dan matlamat hidup mereka.

Namun secara umum, melihat kepada sikap mereka, manusia diseluruh pelusuk bumi ini menjadikan hidup mereka untuk:

1. Makan, minum, berumahtangga, beranak pinak dan tua, kemudian mati. Kerana itu persoalan hidup mereka ialah bagaimana mencari duit untuk dapatkan keperluan-keperluan tadi. Halal, haram, wajib atau pun sunat,tidak lagi diperhitungkan. Tuhan tidak penting bagi mereka.

2. Ada yang hidup mengejar pangkat dan kuasa. Orang lain habis dipijak dan dianiaya. Yang penting dirinya berjaya. Soal keperimanusiaan sudah tiada. Yang ada matlamat pangkat dan kuasa. Soal Tuhan belakang kira.

3. Ada sekumpulan manusia yang hidupnya hanya membanggakan diri dan mencari kemuliaan diri. Atas tujuan ini, mereka mencari ilmu, kekayaan dan mencantikkan diri. Mereka menggunakan segala peluang yang ada hingga timbul hasad dengki, marah, fitnah, tipu, menindas dan lain-lain kejahatan yang sudah tidak terkawal lagi. Hilang lenyap perpaduan, kasih sayang dan bantu membantu di kalangan manusia. Hidup nafsi-nafsi, sentiasa tegang dan hati sakit sekalipun berada di dalam satu parti.Umpama pokok-pokok kayu di hutan yang melepaskan pucuknya tanpa peduli. Inilah hidup manusia hasil daripada matlamat hidup yang mereka pegangi. Hidup tidak ubah seperti haiwan yang tidak ada tamadun dan peradaban yang tinggi. Gagal menempuh kemuliaan tetapi jatuh hina ke taraf haiwan dan tumbuh-tumbuhan malah lebih hina daripada itu.

Firman Allah:
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada Jin dan Manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakan oleh mereka untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan merekamempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak,bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (Al A'raf: 179)

"Telah nampak kerosakan di daratan dan di lautan di sebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allahmerasakan azabNya kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (kejalan yang benar) ." (Ar Rum : 41)

Matlamat belum tentu tercapai tetapi keburukannya telah menjadi penyakit yang berbagai-bagai yang menimpa masyarakat. Melihatkan hal ini sepatutnya manusia mula memikirkan kembali di mana silapnya dan apa jalan keluar daripada kesilapan ini. Untuk itu, manusia perlu jelas matlamat hidupnya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjalani hidup sebagaimana yang telah Allah perintahkan.

Firman Allah:
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekaluanAlam." (Al An'am: 162)

"Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu." (Az Dzariyat : 56)

Apabila hidup kita untuk Allah, ertinya apa jua tindakan kita, percakapan kita, fikiran kita dan hati kita,semuanya dalam menegakkan hukum Allah. Segala-galanya diatur dan disusun dengan begitu cantik agar kita tidak jatuh ke taraf yang hina sebagaimana haiwan. Selamatlah hidup kita di dunia dan selamat juga di akhirat.

Amin Ya Rabbal Alamin.


Minda Guruku

Rabu, 5 Ogos 2009

KENALAH JAGA SEMBAHYANG SUNGGUH SUNGGUH


Foto Oleh Khazan Che Mat

Oleh kerana sembahyang fardhu lima waktu adalah ibu
segala ibadah, tiang agama, pembangun insaniah dan
umat, maka sembahyang hendaklah istiqamah mengerjakannya.



Dijaga sungguh-sungguh roh sembahyang itu bahkan
kalau boleh sekalipun perkara yang sekecil-kecilnya hendaklah
dipelihara seperti
mempertahankan sunatnya, jauhi yang makruh
di dalam sembahyang, sembahyang di awal waktu, pertahankan
sembahyang jemaah, luruskan saf, rapat-rapat ketika
sembahyang jemaah.



Kemudian jauhi bersembahyang di tempat di mana bangunan
yang dibina daripada duit haram atau syubhat, kosongkan tempat
sembahyang dari perkara yang boleh mengganggu fikiran
kita ketika mengerjakan ibadah sembahyang seperti jangan ada
di dinding masjid atau surau gambar-gambar yang boleh melalaikan
kita. Tempat sujud biarlah kain putih, jauhi daripada
tempat sujud yang ada gambar pemandangan yang boleh
mengalih fikiran dan perasaan kita agar kita benar-benar dapat
membuat penumpuan kepada kerja sembahyang.



Begitulah juga jauhi daripada bersembahyang di tempat yang
sibuk, tempat lalu-lalang orang, tempat hingar-bingar, hiruk pikuk
yang boleh mengganggu kekhusyukkan kita di dalam
sembahyang, yang boleh mengganggu kita untuk menghayati
sembahyang sepenuhnya agar sembahyang kita itu benar-benar
membina fikiran kita dan membangunkan jiwa kita. Agar
sembahyang betul-betul mendidik kita hingga boleh mengubah
sikap dan perihal hidup kita daripada jahat kepada baik.

PERASAAN YANG PATUT TIMBUL KETIKA BERSEMBAHYANG



Rasa takut, rasa bimbang, rasa malu, rasa gementar, rasa hina
diri, rasa lemah dan dhaif, meminta, mengharap, mensucikan
dan mentaqdiskan Tuhan, membesarkan-Nya, merindui, bermanja-
manja, merasa dilihat-Nya, merasa didengar-Nya, merasa
dikuasai-Nya, rasa diketahui-Nya, memenuhi lubuk hati kita.



Dengan cara itu subur jiwa tauhid kita dan sekaligus dapat
menghidupkan jiwa kehambaan di dalam jiwa kita dan dengan
itu ruang-ruang yang mengganggu dan melalaikan kita tertutup
habis. Maka oleh yang demikian sembahyang itu semakin lama
makin memberi kesan kepada fikiran, jiwa dan sikap serta perilaku
kita.




Minda Guruku

PERBEZAAN MASYARAKAT SEBELUM MERDEKA DAN SELEPASNYA

Foto Oleh: FoX20

Perbezaan-perbezaan dalam keadaan masyarakat sebelum
merdeka dan selepasnya dapat dilihat dalam aspek-aspek
berikut:


1. Orang miskin, golongan pertengahan dan orang kaya boleh
berada dalam satu kampung. Zaman sekarang, masyarakat
sudah disusun di mana ada taman untuk orang miskin
(rumah kos murah), ada taman untuk golongan pertengahan
dan ada taman hanya untuk golongan atau kelas orang orang
kaya.


2. Dahulu hidup gotong-royong di dalam semua hal. Sekarang
semuanya diupah justeru tabiat hidup nafsi-nafsi telah menebal.


3. Dahulu semua anak-anak di dalam sebuah kampung dianggap
anak bersama. Mereka dijaga sama-sama dan setiap
orang boleh menegur atau merotan. Sekarang cikgu pun
dilarang merotan. Betapalah orang biasa.


4. Dahulu orang buat maksiat seperti berjudi, secara menyorok-
nyorok. Sekarang orang membuat maksiat secara
terang-terangan.


5. Dahulu orang alim dan cikgu dihormati serta disegani.
Sekarang orang tidak peduli.


6. Dahulu kalau pengantin baru, di dalam masa sebulan, menziarahi
keluarga kedua belah pihak agar kenal-mengenal
keluarga kedua-dua belah pihak. Mereka juga menziarahi
orang yang dihormati iaitu tuan guru dan ketua kampung.
Kini ia jarang berlaku lagi.


7. Dahulu kalau ada orang meminang seorang perempuan,
orang-orang penting di dalam satu keluarga diajak berunding
untuk sama ada menerima atau menolaknya. Hari ini
suasana ini sudah tiada lagi bahkan ada kalanya mereka
berdua yang berkira.


8. Dahulu lelaki perempuan pantang berkenal-kenalan, lebih lebih
lagi hendak berjalan berdua-duaan. Ianya dianggap
satu pantang larang oleh masyarakat. Sekarang berjalan
berdua-duaan bagi yang bukan muhrim sudah jadi budaya.


9. Dahulu kalau atas nama mengaji Al Quran atau mengaji
agama, guru-guru tidak mengambil upah. Bahkan sesetengah
guru, dia menanggung pula makan minum murid muridnya.
Sekarang mengajar Al Quran dan mengaji agama
sudah jadi komersil.


10. Dahulu alim ulama tempat orang ziarahi. Sekarang mereka
tidak diziarahi lagi.


11. Dahulu setiap pokok yang berbuah di sesebuah kampung,
sudah menjadi adat setiap orang boleh mengambilnya dan
makanlah sekenyang-kenyangnya. Hanya dilarang membawa
balik. Sekarang, jangan. Ia akan dianggap mencuri
atau menceroboh.


12. Dahulu kalau orang menangkap banyak ikan sungai, mereka
agih-agihkan kepada orang kampung. Mereka tidak
jual. Sekarang hal ini tidak berlaku lagi.


13. Dahulu kalau ada pergaduhan di kampung, orang-orang
tua akan mendamaikan dan dibuat kenduri. Adakalanya
dibuat di masjid. Sekarang tidak berlaku lagi.


14. Dahulu anak-anak muda yang belum berkahwin digalakkan
untuk tidur di masjid atau di surau. Sekarang sudah tidak
ada lagi.


15. Dahulu, anak lelaki khatam Al Quran lebih dahulu, baru
boleh berkhatan. Begitu juga anak-anak perempuan, mesti
khatam Al Quran lebih dahulu, baru boleh kahwin. Sekarang
berkhatan atau berkahwin tidak ada sangkut-paut dengan
Al Quran.


16. Dahulu kalau ibu bapa menghantar anak pergi mengaji Al
Quran, mereka menghadiahkan kepada guru itu satu rotan
sambil mengatakan kepada guru itu, “Kalau anak saya ini
nakal, rotanlah dia dengan rotan ini”. Sekarang merotan
murid satu pantang larang.


17. Dahulu orang ramai minat membawa hadiah-hadiah kepada
guru-guru. Sekarang tidak berlaku lagi.


18. Dahulu kalau orang tidak pakai songkok berjalan, dianggap
kurang adab. Sekarang tidak pakai songkok sudah jadi
budaya bahkan ulama pun berjalan bergondol.


19. Dahulu kalau perempuan terutama perempuan muda, malu
sangat kalau berselisih di jalan dengan lelaki. Sekarang
berjalan berdua-duaan lelaki perempuan bukan muhrim jadi
budaya.


20. Dahulu pasangan yang berkahwin, antara yang lelaki
dengan yang perempuan, mesti ada jarak umur. Suami mesti
lebih tua daripada isteri. Paling tidak lima tahun. Sekarang
kebanyakan suami isteri umurnya sebaya.


21. Dahulu kalau ada pemuda yang bekerja di negeri lain,
contohnya sebagai polis atau askar, kalau mereka balik
bercuti, mereka bukan sahaja menziarahi ibu bapa bahkan
turut menziarahi tuan-tuan guru dan orang-orang penting
di kampung. Kalau tidak, dianggap tidak beradab. Sekarang
sekadar ziarah ibu bapa sahaja. Ziarah orang penting di
kampung sudah tiada lagi.


22. Dahulu, perempuan-perempuan muda tidak akan keluar
rumah kecuali dengan keluarga. Hari ini mereka keluar
rumah sesuka hati. Tidak kira sama ada seorang diri atau
dengan orang lain. Ia sudah jadi perkara biasa.


23. Dahulu di dalam masa pertunangan, jangan mimpi hendak
bertemu. Lebih-lebih lagi hendak dibawa berjalan-jalan. Sekarang
belum bertunang pun sudah berjalan berdua-duaan.
Betapa pula setelah bertunang.


Buah Fikiran Guruku

Selasa, 4 Ogos 2009

Jadikan Aku Hamba Yang Setia


AKU tidak menyesal tidak menjadi kaya-raya
Itu kemudahan hidup, belum terjamin terhindar dari Neraka
Aku tidak bersedih tidak mendapat ilmu yang banyak
Ia juga belum menjamin untuk ke Syurga
Aku tidak iri hati dengan mereka yang popular
Apakah dia pemimpin atau bintang filem yang dipuja
Semua itu belum menjamin dapat bahagia sekalipun di dunia
Di dunia lagi kita lihat mereka di waktu tua telah dilupa
Begitu jugalah keistimewaan-keistimewaan hidup
yang mempesona
Kalau aku dapat aku tidak menolaknya
Jika berlaku sebaliknya aku tidak kecewa
Semuanya itu tidak menjamin hidup di Akhirat sana
Yang aku takut tidak dapat menjadi hamba Allah
yang taat setia
Tidak dapat mengikut Nabi peri hidupnya
Memburu dunia setiap masa hingga derhaka
Melupakan Akhirat hidup yang abadi buat selama-lamanya
Tuhan, jadikanlah aku hamba yang taat setia
Jadikanlah Sunnah Nabi pakaian aku di dunia
Engkau cinta agungku jangan dilupa
Keredhaan-Mu yang aku pinta bila aku ke Akhirat sana


Minda Guruku

Orang-orang Yang Awal Dinyalakan Api Neraka Untuknya


Kata Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

‘Yang paling awal diseru di hari kiamat ialah orang
yang hafal Al Quran dan seorang yang perang sabil
(mati dalam peperangan) dan seorang yang kaya.”

Maka firman Allah kepada yang hafal Al Quran:
“Apakah Aku ini tidak mengajarmu? Mengajar Al
Quran yang Aku turunkan kepada Rasul-Ku?”
Jawab orang itu, ‘Tentu saja ya Tuhanku.”

Dan firman Allah, “Digunakan pada apa ilmu
yang kau miliki itu?”

Jawabnya, “Aku amalkan dan aku kaji siang dan
malam.”

Firman Tuhan, “Kamu dusta! ”
Demikian pula para malaikat berkata, “Kamu
dusta. ”

Firman Tuhan, “Kamu sebenarnya ingin dipuji
orang bahawa kamu ini seorang qari maka ganjaranmu
itu cukuplah pujian orang-orang itu. Itulah bahagianmu.”


Sekarang giliran orang yang mati di dalam peperangan
dihadapkan kepada Tuhan yang Maha Esa
dan Tuhan berfirman:

“Apakah engkau telah lakukan di dunia?”
Jawabnya, “Saya diperintahkan perang sabil dan
perintah itu saya jalankan sampai saya mati dalam
peperangan itu.”

Firman Allah: “Kamu dusta!”
Demikian pula para malaikat berkata, “Kamu
dusta.”

Firman Allah:
“Sebetulnya kamu ingin dipuji sebagai seorang
yang berani (pahlawan). Pujian itulah cukup untuk
bahagianmu.”

Kemudian tibalah giliran orang kaya dihadapkan
ke hadrat Allah SWT. Firman Allah:
“Apakah engkau ini tidak diberi kekayaan oleh-
Ku? Sehingga engkau tidak memberikan kepada
sesiapapun?”

Jawab orang kaya, ‘Tentu saja ya Tuhan, hamba
ini telah diberi kekayaan oleh-Mu.”

Firman Tuhan: “Dipergunakan pada apa kekayaan
yang Aku berikan padamu itu?”

Jawabnya, “Saya pergunakan untuk bersilaturrahim
dan bersedekah.”

Firman Tuhan, “Kamu berdusta!”
Demikian pula para malaikat berkata, Kamu
berdusta. "

Firman Tuhan:
“Sebetulnya kamu ingin dipuji sebagai seorang
yang pemurah. Pujian orang-orang itulah sebagai
bahagian untukmu. "

“Kemudian Rasulullah menepuk lututku,” kata
Abu Hurairah dan Rasulullah bersabda, “Ya Abu
Hurairah mereka itulah orang yang pertama-tama
dinyalakan api Neraka untuknya. "


Petikan dari Buku Mengenal Diri Melalui Rasa Hati

Isnin, 3 Ogos 2009

Kita Hamba Yang Tidak Ada Kuasa


MANUSIA apabila ada kuasa, lupa yang Maha Kuasa
Seolah-olah dia mampu membahagiakan dirinya
Adakalanya orang yang berilmu tinggi, merasa diri luar biasa
Dia merasakan akan bahagia sepanjang masa
Tidak kurang pula orang yang kaya, wah sombongnya
Merasa diri istimewa
Orang-orang lain hina belaka
Betulkah kita ada kuasa?! Betulkah kita istimewa?!
Betulkah kita luar biasa?!
Mampukah kita membendung
isteri tidak derhaka dengan kita?!
Mampukah kita menundukkan anak
mendengar kata, taat dan setia
Apakah kita memburu sakit atau sakit memburu kita
Ertinya adakah kuasa mengelak sakit?!
Dapatkah kita membendung rakyat jangan derhaka
Tidak mengata dan tidak menghina kita di belakang kita
Apabila berlaku bencana alam
dapatkah mengelak diri daripadanya?!
Kita orang istimewa tidak pernah kena
Yang kena orang miskin dan papa, yang tidak ada kuasa
dan yang bodoh-bodoh sahaja
Bencana alam tidak kenal siapa
Dia tidak memilih bulu, orang istimewa kena juga
Baru kita tahu kuasa mutlak di tangan Tuhan
yang Maha Kuasa
Kita adalah hamba yang tiada kuasa
Yang hina-dina memerlukan Tuhan sepanjang masa


Minda Guruku

Tidak Semestinya Seorang Pakar Al Quran Dan Hadis Bersikap Al quran Dan Hadis


Orang yang menyandarkan dirinya kepada Al Quran dan
Al Hadis boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian
atau golongan.


1. PAKAR KEDUA-DUANYA
Orang yang benar-benar belajar tentang Al Quran dan Al Hadis
serta pakar dengan kedua-duanya. Golongan ini yakin dengan
Al Quran dan Al Hadis. Amalan, perbuatan, perjuangan dan
akhlak mereka benar-benar mencerminkan Al Quran dan Al
Hadis itu. Kalau diminta dalil-dalil atau nas-nasnya dari sumber
keduanya, apa yang mereka lakukan dan laksanakan atau apa
sahaja yang ditanyakan, nescaya mereka dapat mendatangkan
dalil-dalilnya. Golongan ini sangat sedikit di akhir zaman ini.
Mencari mereka ibarat mencari gagak putih atau hendak mencari
belerang merah.
Golongan ini adalah manusia luar biasa. Golongan ini kalau
ada orang yang suka, terlalu suka dan kasih tetapi ramai yang
benci terhadap mereka. Yang benci terlalu benci pula.


2. PELAJARINYA TAPI LEMAH MUJAHADAH
Golongan ini benar-benar mempelajari Al Quran dan Al Hadis
tetapi lemah bermujahadah. Mereka mempelajari Al Quran dan
Al Hadis hingga mereka pakar di bidang ini. Apa yang mereka
pelajari itu memang mereka yakini. Namun kerana lemah
mujahadah melawan nafsu mereka, maka tindak-tanduk dan
akhlak mereka tidak semua mencerminkan Al Quran dan Al
Hadis. Mereka sedar akan hal ini. Mereka mengaku lemah dalam
mengamalkannya.
Namun kalau ada orang yang bertanya mengenai sesuatu
masalah, mereka tetap menjawab berdasarkan Al Quran dan Al
Hadis. Kerana ilmu itu mereka miliki, mereka tetap bercakap
benar sekalipun lemah melaksanakannya. Mereka tetap berasa
sedih dan selalu bersedih dengan kelemahan-kelemahan mereka.

Golongan ini terpulanglah kepada Allah.
Allah telah berfirman:
Maksudnya: “Allah mengampuni sesiapa yang Dia
kehendaki dan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki.” (Al
Baqarah: 284)


3. BELAJAR ATAS DASAR ILMU
Golongan ini golongan yang mempelajari Al Quran dan Al Hadis
atas dasar ilmu. Mereka minat dengan ilmu ini atas dasar mental
exercise. Apakah ia satu kebenaran atau tempat rujuk yang sebaik-
baiknya, mereka tidak dipersoalkan. Yang penting pada
mereka ialah ilmu daripada dua sumber itu. Mungkin juga
mereka mempelajarinya kerana untuk mencari keuntungan
dunia atau mencari populariti.
Dalam segi mengamalkan di dalam kehidupan seharian,
mereka tidak pun mempersoal apakah selari atau tidak. Itu tidak
penting bagi mereka. Itu bukan matlamat mereka. Pada mereka
yang penting ilmunya itu. Mereka ini golongan yang diragui
keislaman mereka.

4. BELAJAR, YAKIN TAPI TIDAK MINAT
Golongan ini mempelajari Al Quran dan Al Hadis seperti golongan
yang ketiga. Sikap, amalan mereka juga sama. Cuma
bezanya ia tetap yakin ilmu daripada kedua sumber ini adalah
satu kebenaran dan tempat rujuk. Namun untuk mengamalkannya,
mereka tidak berminat. Mungkin mereka merasakan
tidak menguntungkan, atau bimbang tidak mendapat kejayaan,
merasa malu atau rendah diri untuk mengamalkan. Mereka itu
adalah golongan yang fasik atau golongan yang menzalimi diri
sendiri. Golongan ini agak ramai juga.


5. MENGAKU MENGAMALKANNYA
Golongan ini mengaku mengamalkan Al Quran dan Al Hadis
tetapi mereka tidak mampu untuk terus merujuk kepada kedua dua
sumber itu kecuali sedikit kerana mereka tidak benar-benar
mempelajari Al Quran dan Al Hadis dengan sempurna atau
mendalam. Amal ibadah dan tindak-tanduk mereka lebih merujuk
kepada pendapat ulama atau mazhab-mazhab di dalam
Islam atau merujuk kepada kitab-kitab karangan para ulama.
Mereka yakin ulama atau mazhab yang menjadi ikutan dan
tempat rujuknya itu tentulah merujuk kepada Al Quran dan
Sunnah. Mereka kalau ditanya lebih boleh menjawab dengan
memberikan pendapat-pendapat ulama atau mengeluarkan
fatwa-fatwa mazhab daripada nas-nas atau dalil-dalil Al Quran
dan Al Hadis.


Walaupun begitu, mereka bersungguh-sungguh dalam mengamalkannya.
Mereka ini dianggap golongan muqallidin atau
golongan orang yang bertaqlid. Ulama berpendapat bahawa jika
dari sudut ilmu fekah, seseorang itu dibolehkan bertaqlid kerana
tidak semua umat Islam mampu untuk mendalami ilmu Al
Quran dan Al Hadis hingga bertaraf pakar, hingga mampu berdiri
sendiri tanpa bersandar dengan orang lain. Dengan kata kata
yang lain tidak mungkin semua umat Islam mampu menjadi
mujtahid.

6. MENDENGAR DARI JAUH
Golongan ini golongan umat Islam yang hanya mendengar dengar
tentang Islam dari jauh, mendengar melalui ceramah
umum atau mengikut orang ramai. Mereka ini bersandar kepada
ulama pun tidak, jauh sekalilah terus kepada Al Quran dan Al
Hadis. Namun mereka tetap mengaku, Islam yang diamalkan
oleh mereka mengikut Al Quran dan Hadis kerana mereka tahu
sumber ajaran Islam itu adalah dari Al Quran dan Hadis. Tentulah
apa yang diamalkan oleh masyarakat bersumberkan Al
Quran dan Al Hadis.


Golongan ini adalah bilangan yang majoriti atau bilangan
yang teramai hari ini. Dengan kata-kata lain mereka mengamalkan
Islam dengan secara tradisi tanpa mengetahui di mana
sumber ambilannya. Mereka hanya mengikut apa yang mereka
lihat. Kalau ada belajar pun sedikit sangat. Bahkan ada di antara
mereka, fardhu ain pun belum selesai. Golongan ini benar-benar
mengamalkan Islam secara jahil, secara melihat-lihat dan dengar dengar
semata-mata tanpa ada kitab tempat rujuk. Mereka ini
adalah golongan fasik atau ‘asi secara tidak sedar. Kebanyakan
mereka mati di dalam derhaka.


7. MENGKAJI SEBAGAI ILMU SEMATA-MATA
Golongan ini suka mengkaji Al Quran dan Al Hadis atau As
Sunnah sebagai ilmu, bukan mereka beriman kepadanya. Bahkan
mereka pun tidak minat menganut Islam. Pada mereka,
Islam yang bersumberkan Al Quran dan Al Hadis itu hanya
sebagai bahan kajian. Setakat mengetahui ilmu untuk dibandingkan
atau dijadikan perbandingan dengan agama atau ajaran ajaran
ideologi yang lain.


Mereka ini ada yang belajar dengan tujuan untuk merosakkan
ajaran Islam itu dengan cara mengubah atau menambah, membuang
dan menokok serta menyelewengkan fakta-fakta serta
huraian untuk mengelirukan umat Islam yang jahil. Mereka juga
bertujuan untuk menakut-nakutkan orang di luar Islam agar
mereka jangan menganut agama Islam. Mereka itu terdiri daripada
sebahagian orang Kristian dan sebahagian orang Yahudi,
juga golongan free thinker. Puak ini dipanggil golongan orientalis.


Mereka belajar dengan tujuan hendak merosakkan ajaran
Islam. Yang mereka harapkan sangat adalah agar umat Islam
dapat pendidikan Barat tetapi jahil dengan ajaran Islam. Dengan
usaha mereka itu telah ramai cerdik pandai di kalangan umat
Islam yang berpendidikan Barat, dapat dipengaruhi oleh mereka.
Mereka itu sebahagian besarnya berkuasa dan mempunyai kedudukan
yang tinggi di negara mereka. Sama ada di bidang politik,
ekonomi, pendidikan dan lain-lain.


Berdasarkan huraian ini, nyatalah bahawa tidak semestinya
seseorang yang mahir serta pakar Al Quran dan Al Hadis menggambarkan
peribadi Al Quran dan Al Hadis. Begitu juga ada
orang yang boleh berhujah dengan Al Quran dan Hadis, mampu
menulis hebat kertas kerjanya, pandai bercakap, hujah-hujahnya
cukup kuat kerana berlandaskan Al Quran, Al Hadis dan As
Sunnah. Walaupun demikian, tidak semestinya kehidupannya,
rumah tangganya, sikap dan akhlaknya, pergaulannya, perjuangannya
dan cita-citanya mencerminkan Al Quran dan As
Sunnah.


Bahkan zaman sekarang ini berdasarkan penglihatan saya
yang telah menjelajah dunia, khususnya di negara-negara umat
Islam, kebanyakan mereka yang pakar Al Quran dan As Sunnah
lebih bermotifkan mental exercise dan glamour daripada mengamalkan
dan memperjuangkannya.


Lantaran itulah orang ramai tidak pula ingin hendak menjadikan
mereka itu ikutan. Orang ramai sekadar rasa kagum
dengan ilmu mereka kerana pandai dan mahirnya mereka membawa
nas-nas Al Quran dan mendatangkan Hadis dengan sanad sanad
serta perawi-perawinya sekali.


Minda Guruku

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin