Jumaat, 29 Januari 2010

Mengamuk dicekup Jais


Sentral: Mengamuk dicekup Jais



Oleh Md Fuzi Abd Lateh


bhnews@bharian.com.my






WARGA emas yang ditahan ketika membeli nombor ekor di Bandar Bukit Sentosa, meronta-ronta cuba melepaskan diri daripada penguat kuasa Jais.





Warga emas kemaruk nombor ekor bertindak ganas, meronta ketika disoal





BUKIT BERUNTUNG: Seorang warga emas berusia 60 tahun bertindak ganas dan meronta-ronta apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan Operasi Judi di kedai ejen nombor ramalan di Bandar Bukit Sentosa, di sini kelmarin.





Pada awalnya, dia cuba menggunakan pelbagai helah termasuk melarikan diri ke keretanya bagi mengelak dicekup pada operasi yang dijalankan selama sejam itu.





Warga emas itu adalah antara enam pelanggan beragama Islam yang ditahan dalam operasi judi yang dijalankan pegawai Jais cawangan Hulu Selangor dan Gombak di dua kedai nombor ramalan.





Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jais cawangan Hulu Selangor, Khairul Hazri Sulaiman, berkata operasi bersepadu menahan penduduk Islam berjudi itu disertai tujuh kakitangan.





Katanya, operasi pertama tahun ini mendapat kerjasama empat pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.





"Dalam serbuan pertama di Jalan Orkid, Bukit Sentosa, kami menahan lima pelanggan beragama Islam kerana membeli nombor ekor.



"Kehadiran pegawai penguat kuasa tidak disedari membolehkan operasi berjalan lancar," katanya kepada Sentral di sini, semalam.





Beliau berkata, dalam operasi di premis kedua di Jalan Bunga Kertas di sini, pihaknya menahan warga emas itu yang berasal dari Kampung Sungai Buaya, juga kerana kesalahan sama.





"Beliau bertindak ganas dan mahu melarikan diri apabila disoal siasat. Semua suspek dibawa ke Balai Polis Bukit Sentosa menaiki kenderaan rasmi Jais untuk proses jaminan polis," katanya.





Beliau berkata, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 17 (9/95) Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Bersabit kesalahan pesalah boleh didenda RM3,000 atau dipenjarakan dua tahun.





Khairul Hazri berkata, operasi judi akan terus dijalankan mereka mengikut jadual dalam usaha membanteras penduduk Islam berjudi dan mendidik mereka mentaati perintah Tuhan sepanjang masa.





Katanya, beberapa bandar di Hulu Selangor dikenal pasti ‘port’ kaki judi Islam dan memberi jaminan serbuan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu VIP

Blog Widget by LinkWithin